Author: Wartawan WartaRakyat

  • 46 maut, 16 hilang gempa 6.6 magnitud gegar China

    46 maut, 16 hilang gempa 6.6 magnitud gegar China

    SEKURANG-kurangnya 46 orang dilaporkan terbunuh manakala 16 lagi hilang dalam kejadian gempa bumi berukuran magnitud 6.6 yang melanda barat daya China, semalam.

    Menurut media tempatan, gempa pada pukul 1 petang waktu tempatan pada kedalaman 10 kilometer menggegarkan wilayah Sichuan.

    Impak kejadian turut menyebabkan batu dan tanah jatuh dari lereng gunung menyebabkan kerosakan pada rumah dan gangguan bekalan elektrik.

    Kira-kira 21 juta penduduk di bandar Chengdu Sichuan minggu lalu diletakan di bawah perintah berkurung COVID-19.

    Lapor BBC, gempa itu berpusat di Luding, sebuah pekan terpencil di kawasan pergunungan kira-kira 226 kilometer dari Chengdu.

    Media tempatan melaporkan 17 kematian dicatatkan di bandar Ya’an manakala 29 lagi di kawasan berhampiran wilayah Ganzi.

    “16 lagi penduduk hilang dan 50 lagi cedera,” kata stesen CCTV malam tadi.

    Sementara itu, khemah dibangunkan untuk lebih 50,000 orang yang dipindahkan dari kediaman masing-masing kerana didapati tidak selamat akibat gempa bumi.

    Gempa bumi dan penutupan susulan gelombang haba dan kemarau menyebabkan bekalan air dan elektrik terputus memandangkan Sichuan bergantung kepada kuasa hidro.

    Bencana gempa bumi terburuk dialami China adalah 7.9 magnitud pada 2008 yang mengorbankan hampir 90,000 orang di Sichuan.

    Gegaran itu memusnahkan bandar, sekolah dan komuniti luar bandar di luar Chengdu, yang membawa kepada usaha selama bertahun-tahun untuk membina semula dengan menggunakan bahan yang lebih tahan.

  • 2 lelaki ditahan, dadah 6.3kg dirampas

    2 lelaki ditahan, dadah 6.3kg dirampas

    POLIS Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang didalangi dua lelaki tempatan dan merampas sebanyak 6.3 kilogram dadah bernilai RM86,390 di Seberang Perai Utara (SPU), Jumaat lalu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, kedua-dua suspek berusia 26 dan 25 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di Sungai Dua dan Butterworth.

    Menurut beliau, dalam serbuan itu polis merampas sebanyak 14 bungkusan dadah jenis heroin seberat 6.3 kilogram bernilai RM84,000 dan dua bungkusan ganja seberat 47.8 gram bernilai RM2,390.

    “Selain itu kita turut merampas sebuah kereta, sebuah motosikal, sebentuk cincin dan seutas rantai dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM136,140.

    “Hasil siasatan mendapati sindiket terbabit mulai aktif sejak Jun lalu untuk pasaran tempatan dan jumlah dadah yang dirampas boleh menampung keperluan kira-kira 31,500 penagih,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Tambah beliau, saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis tetrahydrocannibol (THC) dan ketamin selain turut memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

    Katanya, kedua-dua suspek direman sehingga 8 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Saman guru: ‘Cikgu JJ’ kerap ponteng kelas dan bocorkan soalan – Saksi

    Saman guru: ‘Cikgu JJ’ kerap ponteng kelas dan bocorkan soalan – Saksi

    SEORANG bekas pelajar memberitahu Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam bahawa guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, di Kota Belud yang didakwa tidak masuk ke kelas untuk mengajar selama tujuh bulan, turut membocorkan soalan peperiksaan.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Suriana Mohammad Salleh, 21, yang memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan di hadapan Hakim Leonard David Shim berkata, perkara itu berlaku pada 2017 ketika beliau berada di kelas Tingkatan 4 Sains Sukan sekolah berkenaan, selepas cikgu terbabit Mohd Jainal Jamran (defendan pertama) sering tidak masuk ke kelas mereka untuk mengajar.

    Katanya, beliau dan rakannya Nur Natasha telah menemui seorang guru, Cikgu Norhana, untuk membuat aduan selepas Jainal begitu lama gagal masuk ke kelas untuk mengajar mereka, namun tiada tindakan diambil.

    “Saya letakkan buku kawalan kelas di meja Cikgu Norhana supaya dia boleh melihat bukti Cikgu JJ (defendan pertama) tidak masuk mengajar kelas kami dan telah membocorkan soalan peperiksaan mata pelajaran bahasa Inggeris,” katanya menerusi kenyataan saksi.

    Suriana adalah bekas rakan sekelas kepada tiga plaintif, Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali, dan Calvina Angayung yang memfailkan saman kerana mendakwa Jainal gagal mengajar mereka dalam kelas bahasa Inggeris antara Mac hingga November 2017.

    Turut dinamakan sebagai defendan, pengetua SMK Taun Gusi ketika itu Suid Hanapi, ketua pengarah pendidikan, menteri pendidikan dan kerajaan.

    Terdahulu, saksi pertama Nurul Afirah Zainal Abidin, 20, yang juga bekas pelajar kelas sama memberitahu mahkamah bahawa “Mr JJ” merupakan guru yang mengajar subjek bahasa Inggeris.

    “Saya ingat, pada masa-masa dia masuk kelas kami, Mr JJ tidak mesra dan selalu marah-marah. Saya dapat bandingkan kelakuan dia (dalam kelas 4 Sains Sukan) dan dengan kelas lain, contohnya kelas 4 Prinsip Akaun yang bersebelahan dengan kelas kami. Dengan kelas lain dia lebih mesra.

    “Saya ingat ada sekali saya dan rakan sekelas pergi panggil dia untuk masuk kelas mengajar, tapi pada masa itu dia cakap dengan kami dia ada hal dan… tidak masuk kelas kami,” katanya menerusi kenyataan saksi.

    Nurul Afirah berkata, beliau dan rakannya pernah mengadu kepada dua guru lain berhubung perkara itu, namun dinasihatkan supaya membiarkannya saja kerana guru terbabit tidak mahu masuk campur dalam hal “Mr JJ”.

    Perbicaraan ditangguhkan sehingga 23 September depan dengan beberapa lagi saksi dijangka memberi keterangan bagi pihak plaintif.

    Ketiga-tiga plantif diwakili peguam Roxana Jamaludin, Shiren Sikayun, Jubili Anilik dan Dominic J Omok manakala defendan diwakil Peguam Kanan Persekutuan Mohd Hafizi Abdul Halim dan Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir.

  • KPLB bincang dengan JPA untuk naikkan gred pengurus PKD

    KPLB bincang dengan JPA untuk naikkan gred pengurus PKD

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menaikkan gred perkhidmatan bagi jawatan pengurus Pusat Komuniti Desa (PKD) di bawah kementerian berkenaan.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, cadangan kenaikan itu dilihat sesuai dengan peranan serta pengalaman mereka.

    Menurutnya, kementerian juga mencadangkan agar pengurus PKD diberikan tempoh kontrak perkhidmatan yang lebih panjang berbanding setahun yang dinikmati ketika ini.

    “Kita juga nak buat kajian bersama JPA untuk lanjut kontrak pengurus PKD kerana selepas kontrak mereka tamat perlu membuat permohonan semula, sebab mereka sudah berpengalaman dan nak kerja semula,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan sesi perjumpaan bersama Pengurus PKD seluruh Malaysia di Alor Setar, semalam.

    Mahdzir menjelaskan, ketika ini gred bagi jawatan Pengurus PKD adalah N19 dengan kontrak selama setahun.

    “Selepas kontrak mereka tamat, mereka buat permohonan baharu dan mereka dinilai selepas itu, kalau markah baik sambung lagi.

    “Tapi setiap kali kontrak nak habis mereka akan berfikir kena cari kerja baharu, jadi kesian juga kepada mereka,” katanya.

    Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, Setakat ini terdapat 180 pengurus PKD di seluruh negara yang telah menjalankan sebanyak 4,402 program.

    Tambahnya, ia bertujuan membantu meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.

    Sementara itu, Mahdzir turut menzahirkan rasa gembira dengan kejayaan penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah yang berakhir Ahad lalu dengan mencatatkan kehadiran pengunjung lebih 115 ribu orang.

    “Saya sangat berpuas hati dengan penganjuran Jelajah AKM dan ucapan terima kepada semua agensi KPLB, terima kasih kepada kerajaan negeri, pegawai terlibat,” ujarnya.

  • Mayat pemancing ditemukan tersangkut pada pukat tunda

    Mayat pemancing ditemukan tersangkut pada pukat tunda

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pemancing yang terjatuh dalam Sungai Sembayong di Kota Tinggi, kelmarin selepas bot dinaiki berlanggar dengan sebuah bot lain, ditemukan mayatnya semalam.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penguasa Bomba Al Hasra Mohamed berkata, Mayat Mohd. Fauzi Husin ditemukan pada pukul 3.20 petang.

    “Operasi pencarian dilakukan dalam radius 400 meter dari kawasan mangsa yang berusia 33 tahun dipercayai jatuh dengan menggunakan teknik ‘surface searching’ dan selaman sebelum berjaya menemukan mangsa.

    “Mangsa dijumpai tersangkut pada salah satu pukat bot nelayan tempatan. Operasi pencarian turut dibantu oleh penduduk kampung dan beberapa buah bot nelayan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Al Hasra berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 5.15 petang.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.11 petang Ahad melibatkan dua buah bot berukuran panjang empat dan sembilan meter.

    Kemalangan tersebut mengakibatkan tiga pemancing yang berada dalam bot empat meter semuanya tercampak ke dalam laut.

    Mohd. Mumtaz Hamzah, 38, dan seorang lagi mangsa yang hanya kenali sebagai Kamisan, 29, diselamatkan orang awam namun seorang daripadanya cedera dan dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili menggunakan kenderaan awam manakala Mohd. Fauzi hilang.

  • Dulu anggap bapa angkat, demi cinta terima jurang usia 21 tahun suami

    Dulu anggap bapa angkat, demi cinta terima jurang usia 21 tahun suami

    JURANG usia 21 tahun ternyata bukan halangan bagi Nur Amira Hanim Hazreen Imran menerima Zaini Ramli yang dulu dianggap seperti bapa angkatnya sebagai suami.

    Malah siapa sangka, bibit penyatuan pasangan itu bermula setelah Nur Amira Hanim, 25, terlebih dulu meluahkan perasaan terhadap Zaini, 46, kerana terpikat dengan keperibadian suaminya itu.

    Membuka cerita, Nur Amira Hanim berkata, dia adalah ibu tunggal kepada seorang anak lelaki berusia tiga tahun selepas berpisah dengan bekas suami pada 2020.

    Zaini pula adalah duda anak enam dan hidup solo sejak 2012 sebelum berkahwin dengan Nur Amira Hanim pada 15 Ogos lalu.

    “Kami berkenalan tahun lalu di tempat kerja iaitu dekat sebuah ladang kelapa sawit.

    “Di situ (ladang) , saya bekerja sebagai pengutip biji relai sawit manakala suami pemandu lori dan panggil dia (suami) abah saja kerana usianya lebih kurang sebaya dengan emak serta ayah.

    “Kiranya, saya anggap suami macam ayah angkat saja namun lama kelamaan, timbul rasa suka jadi saya mulakan langkah dengan meluahkan perasaan terhadapnya,” katanya sebagaimana lapor Harian Metro.

    Laporan itu memetik Nur Amira Hanim berkata, suaminya terkejut pada awalnya namun tidak menolak ‘lamarannya’.

    “Dia soal saya adakah sudah buang tabiat namun saya beritahunya luahan perasaan itu bukan gurauan dan akhirnya dia terima saya.

    “Jujurnya, saya sudah tertarik dengan suami ketika pertama kali melihatnya lagi kerana misainya mengingatkan saya kepada pelakon lama, Eman Manan.

    “Lagipun, saya memang suka lelaki berumur 40 tahun ke atas kerana matang dan tidak pernah menutup pintu hati untuk berkahwin lagi selepas berpisah dengan bekas suami,” katanya.

    Nur Amira Hanim berkata, dia bersyukur kerana niatnya untuk membina masjid tidak mendapat halangan keluarga.

    “Selepas berterus terang dengan emak dan ayah, mereka terkejut sebab umur lebih kurang sebaya namun beri restu kerana melihat kesungguhan saya.

    “Bagi saya, umur itu angka saja kerana yang penting adalah tanggungjawab suami untuk beri nafkah yang sepatutnya.

    “Setakat ini, kami cuba cari keserasian dan syukurlah, suami banyak bertolak ansur.

    “Kebetulan, kami berdua pernah gagal dalam perkahwinan sebelum ini jadi cuba belajar daripada pengalaman untuk jadi lebih baik,” katanya.

    Berhubung kisahnya yang tular di laman sosial, Nur Amira Hanim tidak menyangka video dimuat naiknya di TikTok akan mendapat tontonan ramai.

    “Saya muat naik video itu petang kelmarin dan terkejut apabila ia raih tontonan tinggi dalam masa singkat.

    “Kebanyakan komen positif dan terima kasih kepada semua yang mendoakan,” katanya.

    Sementara itu, suaminya, Zaini berkata, dia tidak menyangka akan berkahwin lagi tetapi menerimanya sebagai ketentuan Ilahi.

    “Ingatkan nak menduda saja tetapi ditakdirkan jodoh sampai jadi saya terima saja walaupun pada awalnya anggap isteri macam anak saja.

    “Anak saya (hasil perkahwinan terdahulu) semuanya okay, tiada masalah dan saya sukakan isteri kerana dia berani berterus terang serta sanggup terima saya seadanya,” katanya.

  • Lelaki maut, rakan parah terkena bom ikan

    Lelaki maut, rakan parah terkena bom ikan

    SEORANG lelaki maut manakala rakannya parah dipercayai terkena bom ikan di kawasan Hutan Lipur Lata Kekabu di Lenggong, hari ini.

    Mangsa, 44, maut di tempat kejadian manakala rakannya, 40, pula dibawa ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    Kejadian sekitar jam 3 petang itu berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang menangkap ikan, lapor Sinar Harian.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan laporan lanjut akan menyusul.

    Tular dalam media sosial beberapa keping gambar menunjukkan keadaan salah seorang mangsa yang berlumuran darah dipercayai terkena bom buatan sendiri itu.

  • PRU15: Presiden Parti Sarawak Bersatu sedia rampas Parlimen Sibu

    PRU15: Presiden Parti Sarawak Bersatu sedia rampas Parlimen Sibu

    PRESIDEN Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Seri Wong Soon Koh sedia bertanding di kerusi Parlimen Sibu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Keputusan itu dibuat sebagai memenuhi permintaan parti semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat PSB di Ibu Pejabat PSB di Bawang Assan di Kuching, hari ini.

    Jelas pemimpin berusia 80 tahun itu, semua ahli jawatankuasa Pusat merasakan beliau harus bertanding di kerusi Parlimen Sibu atas dua alasan.

    “Pertama, mereka memikirkan bahawa saya merupakan calon boleh menang dan kedua, saya merupakan presiden parti yang harus memimpin PSB dalam pertandingan di peringkat Parlimen.

    “Perkara ini saya akan pertimbangkan dengan serius,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Kata Soon Koh, PSB kini sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRU-15 yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa.

    Bagaimanapun sebarang langkah persiapan akan ditentukan apabila tiba masanya.

    “Perkara itu (perancangan) akan kita tentukan kelak, bila tiba masanya kita akan tahu apa yang akan dilakukan, namun kita (PSB) sudah bersedia,” katanya.

    Kenyataan Soon Koh tersebut bakal menyaksikannya membuat penampilan sulung di pentas Parlimen.

    Soon Koh merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan selama tujuh penggal sejak September 1991 sehingga kini.

    Menelusuri perjalanan politik Soon Koh, beliau bersama Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dari awal penglibatan politik sebelum mengambil keputusan untuk keluar parti dan menubuhkan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) bersama bekas Presiden Parti Rakyat Progresif Sarawak (SPDP), Tan Sri William Mawan Ikom pada 2014.

    Kurang daripada tiga bulan selepas pembentukan TERAS, Soon Koh sekali lagi keluar parti untuk menubuhkan Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang kini dijenama sebagai PSB pada tahun sama.

    Pada ketika itu, UPP mengambil pendekatan mesra Barisan Nasional (BN) dan bertanding dalam pilihan raya negeri sebagai calon langsung atas tiket BN.

    Beliau turut memegang beberapa jawatan utama dalam kabinet Sarawak termasuk Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang.

    Bagaimanapun pada Julai 2019, Soon Koh meletak jawatan sebagai menteri Kabinet sekali gus menandakan PSB bergerak secara bebas dalam landskap politik negeri Sarawak.

  • Rafizi akan dedah lebih banyak isu libat skandal LCS

    Rafizi akan dedah lebih banyak isu libat skandal LCS

    TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli akan kembali dengan memuat naik lebih banyak pendedahan mengenai kapal tempur pesisir (LCS) dalam masa beberapa hari lagi.

    “Buat masa ini tiada kenyataan panjang dibuat sehingga saya dapat mengakses Facebook saya semula.

    “Saya masih belum ada akses ke Facebook (sekuriti mengalahkan Fort Knox ni). Jadi tak ada kenyataan panjang sehingga saya dapat akses balik,” katanya dalam satu ciapan di laman Twitter hari ini, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini media melaporkan polis merampas telefon bimbit milik Rafizi untuk membantu siasatan berkaitan dakwaan mengenai projek LCS membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

    Rafizi berkata, pihak polis telefon merampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone untuk siasatan lanjut.

    Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan tindakan menyimpan telefon bimbit milik Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebagai satu bentuk intimidasi.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tindakan tersebut adalah sebahagian proses siasatan bagi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi membolehkan analisis forensik digital dijalankan.

  • Pisahkan jawatan Peguam Negara, Pendakwa Raya sebelum PRU-15

    Pisahkan jawatan Peguam Negara, Pendakwa Raya sebelum PRU-15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JAWATAN Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu dipisahkan bagi mengelak berlakunya kes-kes pendakwaan terpilih.

    Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, sudah tiba masanya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berbuat demikian sebelum membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Adakan PRU-15 pada tahun hadapan selepas satu pindaan Perlembagaan Persekutuan dapat diluluskan untuk memisahkan jawatan Peguam Negara dengan jawatan Pendakwa Raya.

    “Semua parti politik boleh bersetuju dalam hal ini, sama ada UMNO dan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) termasuklah Parti Pejuang Tanah Air (Pejaung) dan Gabungan Tanah Air (GTA).

    “Pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan dua pertiga di Parlimen iaitu seramai 148 Ahli Dewan Rakyat bersetuju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, dua individu yang berbeza masing-masing perlu memegang jawatan itu, tidak seperti sekarang Tan Sri Idrus Harun menjadi Peguam Negara sekali gus berperanan sebagai Pendakwa Raya.

    Ismail Sabri katanya, tidak perlu ikut jalan penyelesaian dicadangkan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said iaitu Peguam Negara yang juga Pendakwa Raya harus tunduk arahan Perdana Menteri dan parti politik yang berkuasa.

    “Cadangan Azalina itu merupakan langkah mundur ke belakang dan boleh menjerumuskan Malaysia menjadi seperti negara-negara jiran kita satu waktu dahulu iaitu Filipina di bawah diktator Marcos dan Indonesia di bawah diktator Suharto.

    “Penyokong-penyokong pembangkang khususnya PH juga macam orang-orang UMNO pernah mendakwa wujudnya pendakwaan berpilih-pilih apabila pemimpin mereka didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah atau lain-lain tuduhan,” ujar beliau.

    Hassan berkata, mereka tidak puas hati terhadap Peguam Negara yang bertindak juga sebagai Pendakwa Raya.

    Beliau memuji Ismail Sabri yang tidak campur tangan dan menghormati kebebasan badan kehakiman serta prinsip pengasingan kuasa semasa detik genting lima hakim Mahkamah Persekutuan membuat keputusan terhadap Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

    “Ini adalah ciri penting kepimpinan Ismail Sabri yang disokong dan dihormati kawan dan lawan. Rakyat lega dengan sikap Ismail Sabri.

    “Justeru untuk melengkapkan pencapaian cemerlang sebelum beliau berundur sebagai Perdana Menteri kesembilan, adalah bijaksana dan bersifat seorang pemimpin satu keluarga Malaysia jika beliau meninggalkan legasi penting iaitu memisahkan jawatan Peguam Negara dengan jawatan Pendakwa Raya,” katanya.