Author: Wartawan WartaRakyat

  • Nafi Najib diami rumah pegawai dalam Penjara Kajang

    Nafi Najib diami rumah pegawai dalam Penjara Kajang

    JABATAN Penjara Malaysia menolak dakwaan kononnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak ditempatkan dalam sel penjara, sebaliknya tinggal dalam sebuah rumah pegawai dalam di Penjara Kajang.

    Jabatan itu dalam kenyataan hari ini menafikan perkara tersebut yang sedang tular dalam media sosial.

    “Dakwaan yang tersebar itu sebagai palsu dan tidak sahih. Hentikan penyebarannya,” kata jabatan itu, memetik laposan Berita Harian.

    Terdahulu, tular di media sosial tangkap layar dipercayai satu perbualan di WhatsApp mendakwa Najib tidak ditempatkan di dalam sel penjara di Penjara Kajang.

    Menurut tangkap layar itu yang turut tular dalam Facebook, Najib didakwa ditempatkan di sebuah rumah pegawai senior Penjara Kajang yang terletak dalam kawasan penjara terbabit.

    “Najib tidak berada dalam sel. Seorang sahabat yang sepupunya adalah seorang pegawai senior penjara di Kajang, maklumkan Najib diberikan sebuah rumah di dalam kawasan penjara.

    “Rumah berkenaan adalah untuk pegawai senior penjara,” tulis mesej berkenaan.

    Sebelum ini, timbul dakwaan nama Najib tidak dimasukkan dalam pangkalan data Jabatan Penjara Malaysia dan hal itu juga ditularkan di media sosial.

    Najib dihukum penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

  • Penganggur mengaku salah cetak rompak filem, didenda RM10,000

    Penganggur mengaku salah cetak rompak filem, didenda RM10,000

    SEORANG penganggur dikenakan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas didakwa melakukan cetak rompak karya filem melalui aplikasi Telegram.

    Ahmad Fairuzaman Ahmad Bolia, 46, selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Diana Md. Razali, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, OKS didapati dengan cara dagangan mempamerkan kepada awam lima salinan langgaran karya filem melalui aplikasi Telegram Ahmad Faibers yang ditunjukkan dalam bentuk bergerak termasuk bunyi bagi lima filem hak milik sebuah syarikat penyiaran tatkala hak cipta wujud dan masih wujud bagi syarikat itu.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Desa Melor, Seremban, pukul 10 malam pada 18 Mac 2021.

    Oleh demikian OKS telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1)(e) Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1)(i) akta yang sama.

    OKS boleh didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 bagi setiap langgaran atau dipenjara bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azmil Aspara manakala OKS tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap OKS dan memerintahkan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda itu. OKS membayar denda tersebut.

  • Jaclyn Victor akui tertekan, kunci mulut sebagai peserta GV9

    Jaclyn Victor akui tertekan, kunci mulut sebagai peserta GV9

    PENYANYI Jaclyn Victor mengaku tertekan apabila terpaksa merahsiakan penyertaannya sebagai peserta Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) yang diumumkan, semalam.

    Beliau yang lebih mesra dipanggil Jac, 43, terpaksa mengunci mulut walaupun ramai pihak sudah mula menebak dan yakin namanya antara peserta program itu.

    “Salah satu syarat untuk menyertai program ini saya tidak boleh berkongsi penyertaan saya pada peringkat awal. Nama peserta hanya akan diumumkan secara rasmi pada majlis sidang media.

    “Jadi saya agak tertekan kerana tidak suka menipu. Cuma ia bukanlah sesuatu yang tidak baik. Saya terpaksa menafikan perkara itu kerana masih baru untuk dikongsikan kepada umum. Selebihnya saya okay sahaja,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Beliau terbuka hati untuk menyertai program nyanyian yang cukup digemari ramai itu kerana perubahan konsep serta medan untuk penyanyi sepertinya berkarya.

    “Sebelum ini, saya ada menerima pelawaan untuk terbabit dalam program ini, tapi saya tidak mahu serta enggan memikirkannya. Bagaimanapun ketika menjalani penggambaran untuk sebuah program, pelawaan itu saya terima lagi dan masih lagi ragu-ragu.

    “Kemudian bila bercakap dengan seseorang yang lebih berpengalaman dia diterangkan secara terperinci mengenai konsep pertandingan realiti ini dan saya jelas.

    “Kalau dulu, program ini lebih memfokuskan kepada artis yang sudah lama tak aktif atau lama tidak keluar lagu baharu, tapi sekarang konsepnya dah berubah.

    “Jadi bila mengetahui ia menjadi medan untuk penyanyi lakukan apa yang kita mahu, kenapa tidak ambil peluang itu? Daripada situ saya mula memikirkan mengenai hal ini dan betul juga, di mana lagi platform yang boleh kita persembahkan apa yang kita nak buat,” katanya.

    Konsert mingguan GV9 akan membuka tirainya secara langsung dari Dewan MBSA, Shah Alam selama 10 minggu pada setiap Ahad, pukul 9 malam bermula 18 September ini dan disiarkan di Astro Ria.

    Juara GV9 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 serta trofi.

  • Warga emas meninggal dunia dalam kebakaran

    Warga emas meninggal dunia dalam kebakaran

    Oleh ABU UBADIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga emas maut dalam kebakaran di rumahnya di Taman Bukit Permata, Bukit Siput, Segamat, pada awal pagi tadi.

    Mangsa, Mustaffar Batin yang berusia 61 tahun dipercayai terperangkap dalam biliknya di bahagian atas rumah dua tingkat tersebut.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 2.18 pagi.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata, seranai 17 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

    Ujarnya, mereka dibantu masing-masing sebuah satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan Fire Rescue Tender (FRT).

    Seorang warga emas melecur sebelum maut dalam kebakaran di rumahnya di Taman BUkit Permata, Bukit Siput, Segamat, hari ini.

    “Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis kekal berkeluasan kira-kira 4 x 7 meter. Kebakaran berlaku di tingkat atas dan telah mengakibatkan kemusnahan 30 peratus daripada keseluruhan rumah

    “Mangsa ditemui di bilik tingkat atas dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan cedera melecur 20 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Jelasnya, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi.

    Menurut Mazuki, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, operasi tamat pada pukul 7.34 pagi.

  • Ahli Parlimen Australia berucap guna bahasa Melayu, Mandarin

    Ahli Parlimen Australia berucap guna bahasa Melayu, Mandarin

    AHLI Parlimen Australia kelahiran Malaysia, Sam Lim menarik perhatian ramai apabila membuat ucapan sulungnya di Parlimen negara itu menggunakan bahasa Melayu dan Cina.

    Anak kelahiran Kampung Parit Zin, Muar, Johor, berusia 61 tahun itu mewakili Parti Buruh dilantik sebagai ahli Parlimen selepas memenangi kerusi Perth di Tangney pada pilihan raya umum Australia, baru-baru ini.

    Ketika berucap, Sam merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat Australia dan Malaysia yang menyokongnya sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

    “Kepada semua saudara-saudara yang berada di Malaysia, Australia dan seluruh pelusuk dunia, terima kasih atas semua perhatian dan berkat yang telah anda sekalian berikan kepada saya.

    “Terima kasih atas semua dokongan dan bantuan anda semasa pilihan raya di Australia. Terima kasih semua,” kata beliau memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Perkara itu dikongsikan Pembantu Menteri Hal Ehwal Luar Australia, Tim Watts menerusi video yang dimuat naik dalam Twitter hari ini.

    Pada pilihan raya umum Australia, Mei lalu, kemenangan Parti Buruh mendapat perhatian apabila dua calonnya, Sam Lim dan Penny Wong merupakan kelahiran Malaysia.

    Lim berhijrah ke negara itu pada 2002 manakala Penny Wong yang dilantik sebagai menteri luar berpindah ke negara itu pada 1976.

    Sebagai rekod, Sam merupakan bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum berkhidmat sebagai pegawai polis di Australia Barat.

  • Pekerja asing maut tersepit antara kren, besi penghadang

    Pekerja asing maut tersepit antara kren, besi penghadang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pekerja maut akibat tersepit di antara kren dan penghadang besi di sebuah kilang di Taman Perindustrian Tanjung Pelepas di Iskandar Puteri semalam.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nazran Omar berkata, mangsa merupakan warganegara Nepal dikenali Das Chandan Kumar, 20, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

    “Sebaik menerima panggilan kecemasan pada 5.50 petang, seramai 11 anggota dan sebuah jentera serta satu utiliti Hilux ke lokasi kejadian.

    “Mangsa didapati tersepit di antara kren dan penghadang besi sewaktu anggota bomba tiba di lokasi kejadian.

    “Anggota bertindak menggunakan peralatan khas ‘Rescue Cutter’. Pemeriksaan dilakukan pegawai perubatan di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

  • Lelaki intai guru wanita di tandas diburu

    Lelaki intai guru wanita di tandas diburu

    SEORANG lelaki yang mengintai seorang guru wanita di tandas Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic), pada 15 Ogos lalu kini diburu.

    Pihak polis telah menerima laporan daripada mangsa yang berusia 32 tahun, pada hari yang sama.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim, perbuatan suspek itu turut dirakam dalam kamera litar tertutup (CCTV) dan tular dalam media sosial.

    “Hasil siasatan mendapati, mangsa ke Kompleks Sukan Negara untuk membawa pelajar bagi menyertai latihan perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan.

    “Bagaimanapun, semasa berada di dalam tandas wanita, mangsa menyedari kehadiran seorang lelaki yang sedang mengintainya dari bilik tandas sebelah.

    “Mangsa kemudian menjerit sehingga menyebabkan suspek bertindak melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd. Iqbal berkata, mangsa menceritakan dia hanya sempat melihat paras kepala hingga mata suspek sahaja.

    Katanya lagi, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

    “Siasatan masih diteruskan untuk mendapatkan rakaman CCTV di lain-lain lokasi berhampiran,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Sebarang maklumat lanjut berhubung kes iitu katanya, boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes Insp Hadi di talian 016-2745515.

  • 74 rumah di 13 kampung terjejas akibat banjir kilat di Baling

    74 rumah di 13 kampung terjejas akibat banjir kilat di Baling

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BANJIR kilat di Baling semalam secara keseluruhannya menjejaskan sebanyak 74 rumah penduduk di 13 kampung yang terletak di bawah pentadbiran Balai Polis Baling dan Balai Polis Kupang.

    Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, lima kampung yang terjejas terletak di bawah pentadbiran Balai Polis Baling manakala lapan lagi terletak di bawah pentadbiran Balai Polis Kupang.

    “Lima kawasan terjejas di bawah Balai Polis Baling adalah Taman Bayu Sejahtera, Kampung Sungai Batu, Taman Bayu Indah , Taman Bayu Indah 2 dan Taman Bayu Permai.

    Jambatan Bailey ditutup sementara kepada semua kenderaan dan pejalan kaki akibat banjir

    “Sementara lapan kawasan di bawah pentabiran Balai Polis Kupang yang dimasuki air adalah Kampung Iboi, Kampung Bendang Bechah, Kampung Hangus, Kampung Bendang Padang, Kampung Tok Saba, Kampung Masjid Iboi, Kampung Lata Chelak dan Tanjung Nering,” katanya.

    Semalam, Sungai Kupang yang terbabit dengan tragedi aliran puing serta banjir lumpur meragut tiga nyawa pada 4 Julai lalu, melimpah buat kali ketiga akibat hujan lebat selama kira-kira sejam sejak pukul 5 petang.

    Jambatan Bailey yang dibina untuk kegunaan sementara penduduk Kampung Iboi didapati mengalami kerosakan struktur kerana terdapat pokok yang tersangkut padanya.

    Beberapa klip video yang tular di media sosial jelas menunjukkan air sungai berwarna kemerah-merahan melimpah dari sungai tersebut dan memasuki rumah penduduk.

    Shamsudin menambah, air sungai tersebut telah pun surut kira-kira pukul 1 pagi tadi.

    “Melalui pemerhatian kasar, Jambatan Bailey yang dibina untuk kegunaan sementara penduduk Kampung Iboi didapati mengalami kerosakan struktur kerana terdapat pokok yang tersangkut padanya.

    Terdapat dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu di Kampung Padang Empang dan Masjid Al-Huda, Kampung Hangus.

    “Disebabkan itu, jambatan tersebut ditutup sementara kepada semua kenderaan dan pejalan kaki,” katanya.

    Dalam pada itu beliau memaklumkan, terdapat dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu di Kampung Padang Empang dan Masjid Al-Huda, Kampung Hangus.

    “Di PPS Kampung Padang Empang, seramai 96 mangsa terdiri dari 31 keluarga berteduh di situ sementara PPS Masjid Al Huda pula menempatkan 34 keluarga dari enam keluarga,” katanya.

  • ‘Khairy tidak akan ke Seremban’

    ‘Khairy tidak akan ke Seremban’

    MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin dijangka tidak akan menerima pelawaan untuk bertanding di kerusi Parlimen Seremban memandangkan kawasan itu disifatkan sebagai kubu kuat DAP, kata beberapa penganalisis politik.

    Beberapa penganalisis politik berkata, walaupun Khairy seorang ahli politik yang sangat popular secara keseluruhan, namun peluang untuk beliau menawan Parlimen Seremban agak sukar memandangkan penyandang kerusi itu ialah Anthony Loke Siew Fook, yang juga seorang ahli politik yang berpengaruh.

    James Chin dari University of Tasmania, Australia berkata situasi ini dilihat tidak menyebelahi Khairy dan boleh menyebabkan bekas ketua Pemuda Umno itu tewas sekiranya beliau ingin ‘mencuba nasib’ bertanding di kawasan itu.

    “Dia (Khairy) bukan seorang yang bodoh. Dia tahu kemampuan dirinya, dia tidak akan ke Seremban,” kata James Chin. 

    “Semua spekulasi ini hanya sekadar cakap kosong,” katanya lapor MalaysiaNow.

    Pada 4 Septembar, Khairy  mengesahakan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas diminta memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi berkenaan.

    Susulan ini, Khairy yang menyandang kerusi Parlimen Rembau sejak 2008 mengakui tiada persediaan untuk mencuba nasib di kawasan lain.

    Ekoran perkembangan ini, Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin mempelawa Khairy untuk bertanding di Parlimen itu meskipun sebelum ini Seremban kerusi tradisi MCA.

    Mengulas mengenai peluang Khairy berdepan dengan Loke, penganalisis politik dari UiTM, Mujibu Abd. Muis mengimbas kembali kekalahan Chong Sin Woon, calon MCA yang dipertaruhkan untuk melawan Loke pada 2018.

    Beliau berkata, walaupun Chong yang fasih berbahasa Melayu dan dianggap sebagai calon berkebolehan, dia tetap mengalami kekalahan teruk apabila Loke menerima majoriti 30,694 undi.

    “Tetapi kalau Khairy, mungkin peluang 50-50,” kata beliau. 

    “Tetapi Seremban ialah bandar besar dan merupakan kawasan campuran, jadi Loke mempunyai kelebihan sekiranya kita mengambil kira faktor kawasan.”

    Tambah Mujibu, sekiranya Khairy membuat keputusan untuk bertanding di Seremban, ini akan menjadi kerugian buat negara memandangkan kedua-dua mereka disifatkan sebagai ahli politik berkaliber, namun hanya seorang saja yang boleh menang.

  • Sungai Kupang di Kampung Iboi melimpah lagi

    Sungai Kupang di Kampung Iboi melimpah lagi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PENDUDUK Kampung Iboi di Baling sekali lagi berdepan pengalaman menakutkan apabila air dari Sungai Kupang yang pernah membadai kawasan tersebut pada 4 Julai lalu, sekali lagi melimpah hari ini.

    Meskipun limpahan itu tidaklah seteruk seperti yang berlaku dalam kejadian menyayat hati mengorbankan tiga nyawa pada awal Julai lalu, limpahan air tersebut yang jelas berwarna kemerah-merahan cukup untuk mendatangkan kerisauan kepada penduduk setempat.

    Difahamkan kejadian iu berlaku akiba hujan lebat selama lebih sejam bermula kira-kira pukul 6 petang tadi.

    Menurut Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) Iboi, Nor Mohamad Che Hussin, limpahan air sungai tersebut menyebabkan benteng pasir yang dibina dibawa arus.

    “Jambatan Bailey yang dibina sebagai penghubung sementara bagi penduduk kampung merentasi sungai itu juga terpaksa ditutup demi keselamatan,” katanya.

    Tambahnya, ketika ini penduduk sentiasa bersiap-sedia sekiranya keadaan menjadi lebih buruk.

    Pada 4 Julai lalu, lebih 1,000 rumah dan premis perniagaan terjejas akibat banjir yang berlaku manakala 17 buah rumah lagi rosak teruk.

    Kejadian itu mengorbankan tiga individu iaitu Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, ibunya, Salmah Mat Akib serta menantu Salmah, Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang mengandung empat bulan.