Author: Wartawan WartaRakyat

  • PN akan perluas Program Jualan Prihatin Rakyat ke seluruh negara

    PN akan perluas Program Jualan Prihatin Rakyat ke seluruh negara

    PERIKATAN Nasional (PN) merancang mengadakan Program Jualan Prihatin Rakyat di seluruh negara yang menawarkan harga murah barang-barang keperluan utama, khususnya di kawasan di mana terdapat ramai penduduk yang susah.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata program berkenaan adalah satu tindak balas gabungan itu terhadap masalah besar yang dihadapi rakyat sekarang ini, terutama mereka yang terkesan selepas pandemik Covid-19.

    Menurutnya, beliau pernah menyatakan bahawa peratusan penduduk yang jatuh kepada kategori B40 sekarang sudah menjadi B60, sekali gus menunjukkan bahawa pada waktu pandemik ramai yang bertambah susah.

    “Selepas pandemik Covid ramai yang jatuh miskin… tak ada pendapatan yang cukup, tak ada pekerjaan, kos barang-barang yang dah meningkat. Jadi kita sedar tentang perkara itu walaupun usaha ini tidaklah sebesar mana… tapi ini adalah program yang kedua atau ketiga yang telah pun anjur di Pagoh.

    “Dan ini kita akan teruskan… tapi kita buat di lain-lain tempat. Tujuannya adalah untuk menawarkan jualan bahan-bahan yang kita telah edarkan dengan harga yang amat murah. Jadi ini program subsidi. Kerana walaupun kos hanya bagi mereka dua puluh ringgit. Tapi kita terpaksa bagi sedikit bantuan supaya tak membebankan penduduk,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Jualan Prihatin di Tapak Pasar Tani Lama, Bukit Pasir, Pagoh, Muar, hari ini.

    Muhyiddin mengalu-alukan sekiranya ada badan korporat yang ingin bekerjasama dengan gabungan itu untuk menyediakan barang-barang keperluan kepada penduduk dengan harga yang lebih murah daripada biasa.

    “Kita buat program seperti ini. Jadi ini boleh kita lanjutkan ke seluruh negara, terutama kawasan-kawasan yang kita tahu terdapat penduduk yang susah,” katanya.

    Seramai 1,000 penerima menyerbu Program Jualan Prihatin di Tapak Pasar Tani Lama, Bukit Pasir, Pagoh, Muar, hari ini.

    Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata program yang digerakkan oleh PN ini tidak mencukupi sekiranya kerajaan tidak bertindak secara lebih berkesan.

    “Jadi sewajarnya ada satu agenda besar kerajaan yang ada sekarang ataupun yang akan datang untuk menangani masalah harga barangan… dan saya tak fikir perkara ini boleh diatasi dalam satu jangka waktu pendek.

    “Mungkin memerlukan tempoh masa yang panjang. Tapi sementara kita nak menghadapi jangka panjang, kita buat jangka pendek. Jadi ini saranan sayalah pada pihak pimpinan negara supaya memberi perhatian utama.

    “Ini tak termasuk soal-soal lain seperti pendidikan, anak-anak pergi sekolah tanpa makan, tak ada sarapan pagi ataupun dalam bidang kesihatan. Jadi banyak isu yang patut difikirkan secara serius.

    “Perikatan Nasional mengambil pendirian, ini masalah negara, masalah rakyat, masalah kita. Sedikit sebanyak kita harus tunjukkan komitmen kita untuk membantu mengurangkan beban rakyat,” katanya.

  • Bank perlu timbang cadangan moratorium kepada PKS – Muhyiddin

    Bank perlu timbang cadangan moratorium kepada PKS – Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) menyarankan institusi perbankan agar mempertimbangkan cadangan pemberian moratorium kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang masih terkesan perniagaan pasca Covid-19.

    Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana terdapat mereka yang terus bergelut untuk pulih dan pihaknya sudah tiga kali membincangkan perkara itu dalam mesyuarat MPN.

    “Antara lainnya memohon bantuan dari segi kewangan memandangkan ada antara mereka masih tidak dapat pulih dan perniagaan merosot.

    “Ini ditambah pula dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak tiga kali tahun ini yang dilihat bukan sahaja memberi kesan kepada momentum pemulihan ekonomi negara malah prestasi PKS yang kini menyumbang 90 peratus kepada aktiviti ekonomi negara,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Jualan Prihatin di Tapak Pasar Tani Lama, Bukit Pasir, Pagoh, Muar, hari ini.

    Muhyiddin mengulas mengenai kegusaran orang ramai terhadap kesan kenaikan OPR sebanyak tiga kali tahun ini dan sama ada kenaikan itu akan menjejaskan momentum pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19.

    Khamis lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus, yang merupakan kenaikan kali ketiga tahun ini selepas Mei dan Julai.

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, menerusi mesyuarat MPN sebelum ini PKS minta supaya institusi perbankan meneliti balik sama ada boleh untuk diadakan satu lagi moratorium khas.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berpendapat, walaupun diberikan moratorium pihak bank tidak akan rugi banyak.

    “Bagi sedikit masa, mereka (PKS) nak pulih tapi tak boleh pulih lagi (sekarang),” katanya.

    Beliau berharap kerajaan turut melihat kesan tersebut ke atas PKS yang merupakan antara sektor utama menyumbang kepada ekonomi negara.

    “Kalau mereka (PKS) tidak cergas dalam menghasilkan pengeluaran yang boleh dipasarkan, yang boleh kompetitif, bermakna pemulihan itu akan terjejas.

    “Pemulihan makin lambat dengan bebanan kos dengan kenaikan kadar inflasi dan sebagainya, ini akan jadi satu masalah yang besar,” ujarnya.

    Selain itu, beliau turut berharap agar kerajaan dapat melihat kepada kenaikan OPR tersebut dan seterusnya mencari jalan untuk membantu mengurangkan beban rakyat pada pembentangan Bajet 2023 akan datang.

  • Penduduk Klang diminta waspada amaran air pasang besar bermula bulan ini hingga Disember

    Penduduk Klang diminta waspada amaran air pasang besar bermula bulan ini hingga Disember

    PENDUDUK daerah Klang diingatkan untuk berwaspada dengan fenomena air pasang besar dan Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku bermula September hingga Disember ini.

    Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dalam kenyataan di Facebook berkata, fenomena terbabit boleh membawa risiko banjir dan runtuhan ban.

    Katanya, bacaan paras air laut di Stesen Pelabuhan Klang diramalkan mencecah paras tertinggi dengan 5.5 meter pada 7.18 pagi Isnin.

    “Pada 11, 13 dan 28 September ia dijangka berada pada paras 5.4m sekitar pukul6.42 pagi hingga 7.49 pagi manakala pada 14, 27 dan 29 September, paras air laut diramalkan berada pada paras 5.3m sekitar pukul 6.52 pagi hingga 8.16 pagi,” kata kenyataan itu.

    Berikutan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang (JPBD) mengingatkan semua penduduk di daerah terbabit agar sentiasa peka dengan keadaan semasa.

    “Sentiasa dapatkan maklumat terkini keadaan cuaca dan arahan lanjut pihak agensi kerajaan bertanggungjawab.”

    “Sekiranya terdapat laporan berhubung kejadian bencana warga Klang boleh menghubungi talian kecemasan PDT Klang di talian 010-8691067 atau 03-33716700,” katanya memetik laporan FMT.

    Menurutnya, Bilik Gerakan Bencana Daerah Klang akan turut dibuka bermula esok.

    “Penduduk digalakkan sentiasa bersedia dengan satu beg kecemasan bencana (ready2go) di rumah.

    “Sepanjang tempoh ini, penduduk dinasihatkan bersedia dengan beg khas dengan meletakkan barang seperti dokumen penting, wang tunai, air mineral, kit perubatan, kit kebersihan, tuala, pakaian, telefon bimbit,” katanya.

  • Sharifah Amani bergelar isteri Ahmed Faris

    Sharifah Amani bergelar isteri Ahmed Faris

    PELAKON terkenal Sharifah Amani Syed Zainal Rashid hari ini menamatkan zaman bujang selepas menikahi Ahmed Faris Amir.

    Pelakon yang sangat masyhur menerusi filem ‘Sepet’ itu disatukan dengan pasangannya dalam majlis akad nikah di sebuah premis acara perkahwinan di Kuala Lumpur, sekitar pukul 10.15 pagi ini.

    Dengan hanya sekali lafaz, Sharifah Amani yang mesra disapa Nani, kini memikul tanggungjawab baharu sebagai orang rumah kepada Ahmed Faris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Impact Integrated.

    Pasangan berkenaan dinikahkan bapa Sharifah Amani sendiri, Syed Zainal Rashid Syed Zainal Abidin.

    Majlis pernikahan yang diadakan secara tertutup itu dihadiri kira-kira 200 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan teman rapat.

    Pasangan pengantin bagaimanapun merahsiakan jumlah wang hantaran atas permintaan keluarga kedua belah pihak.

    Pengantin lelaki turut menyerahkan mas kahwin bernilai RM300 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh.

    Antara yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, juga rakan artis termasuk pelakon teater Jo Kukathas, Iedil Zuhri, Prisia Nasution, Nadiya Nisaa’, Megat Shahrizal, Nadia Aqilah, Sherry Alhadad, serta ramai lagi.

    Pasangan mempelai juga bakal diraikan dalam satu majlis resepsi di lokasi sama malam ini lapor Astro AWANI.

  • Polis kesan saksi kemalangan maut di Lebuhraya Utara-Selatan

    Polis kesan saksi kemalangan maut di Lebuhraya Utara-Selatan

    Polis sedang mengesan saksi kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal yang maut di Kilometer 184.7, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Alor Pongsu di Bagan Sertai pagi ini.

    Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, mangsa, Muhammad Syafiq Abu Bakar, 28 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di bahagian kepala.

    Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mazuki Mat berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa sedang dalam perjalanan pulang dari Cameron Highlands ke rumahnya di Bandar Baharu, Kedah.

    Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan menyebabkannya dia terjatuh ke atas jalan.

    “Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

    “Berdasarkan siasatan awal, nahas dipercayai berlaku selepas motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan dan terjatuh sendiri,” katanya dalam kenyataan sepertimana dilaporkan Astro AWANI.

    Menurut Mazuki, pihaknya memohon saksi yang melihat dan mempunyai maklumat kejadian itu supaya tampil membantu siasatan polis.

    “Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Khairul Hanafi Hanapi di talian 013-6200564 untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Kerajaan lulus kenaikan elaun sara hidup pelajar MARA

    Kerajaan lulus kenaikan elaun sara hidup pelajar MARA

    RINTIHAN pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal berakhir apabila kerajaan meluluskan kenaikan kadar elaun sara hidup mereka mulai bulan ini.

    Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Program Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia bersama 3,000 pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMA) di German Malaysian Institute, di Bangi hari ini.

    Menurut Ismail Sabri, kenaikan elaun sara hidup itu membabitkan sejumlah 62,998 pelajar tajaan MARA dalam dan luar negara.

    “Kadar Elaun Sara Hidup pelajar sedia ada dan baharu bagi yang mengikuti pengajian dalam negara akan diseragamkan kepada satu kadar sahaja mengikut peringkat pengajian.

    “Untuk bidang pengajian bermula peringkat Diploma sehingga Doktor Falsafah akan dinaikkan kepada satu kadar sahaja iaitu pada kadar minima RM650 sebulan sehingga maksima RM950 sebulan,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, kerajaan membuat keputusan itu selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk peningkatan kos sara hidup serta kekangan kewangan ibu bapa pelajar khususnya kumpulan B40.

    “Kadar Elaun Sara Hidup pelajar sedia ada dan baharu bagi yang mengikuti pengajian luar di semua negara diseragamkan kepada dua kadar sahaja iaitu kadar A dan B,” katanya.

    Kadar itu katanya, dinaikkan kepada kadar minima RM1,380 sebulan sehingga maksima RM7,600 sebulan bermula dari peringkat pengajian Sarjana Muda sehinggalah peringkat Doktor Falsafah.

    Kerajaan tambah Ismail Sabri, sentiasa berusaha untuk memastikan Keluarga Malaysia kalis cabaran.

    “Ia juga merupakan inisiatif kerajaan dan MARA dalam meringankan beban pelajar Keluarga Malaysia dalam mendepani isu kos sara hidup dan inflasi,” ujarnya.

    Untuk rekod, kadar elaun sara hidup pelajar dalam negara sebelum ini adalah berdasarkan Kadar A bagi kawasan bandar besar dan Kadar B bagi kawasan luar bandar iaitu minima RM535 hingga maksima RM885 sebulan dari peringkat Diploma hingga Doktor Falsafah.

    Sementara pelajar luar negara pula diseragamkan kepada Kadar A dan B sahaja termasuk Amerika Syarikat yang mana Kadar C dimansuhkan.

    Sebelum ini kadar elaun sara hidup pelajar luar negara adalah antara RM1,200 hingga RM5,712 sebulan.

    “Saya harapkan seluruh pelajar Keluarga Malaysia sama ada dalam dan di luar negara dapat merancang dan menguruskan elaun sara hidup yang disalurkan itu dengan sebaik mungkin agar aspek pembelajaran di institusi masing-masing berjalan lancar,” katanya.

    Turut hadir, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan beberapa Anggota Jemaah Menteri yang lain.

  • Imigresen gempur 55 PATI ketika sedang tidur

    Imigresen gempur 55 PATI ketika sedang tidur

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 55 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Sapu di kawasan rumah pekerja di Batu 19 Sungai Tiram, Sandakan, pukul 1.10 pagi semalam.

    Sinar Harian melaporkan, semua PATI warga Filipina berusia antara empat bulan hingga 52 tahun itu sedang tidur di rumah pekerja terbabit.

    Pengarah JIM Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yusof berkata, dalam operasi itu seramai 88 individu telah diperiksa.

    “Semasa serbuan kesemua mereka sedang tidur di rumah kongsi pekerja dan hasil pemeriksaan seramai 55 individu terdiri daripada 19 lelaki dan 13 wanita dewasa serta 23 kanak-kanak disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

    “Turut ditahan ketika serbuan adalah seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun disyaki sebagai majikan dan akan disiasat di bawah seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

    “Ini kerana melakukan kesalahan mengambil pekerja warga asing yang tidak memiliki pas yang sah di bawah Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 serta turut disyaki membenarkan imigran haram untuk masuk dan berada di permis itu, ” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Katanya lagi, operasi itu akan terus dipergiat dan diteruskan oleh Imigresen Malaysia di negeri ini untuk membanteras PATI khususnya yang disyaki bekerja tanpa pas dan permit yang sah.

  • PRU-15: Pejuang mungkin letak calon muda bukan ahli parti

    PRU-15: Pejuang mungkin letak calon muda bukan ahli parti

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) menimbang untuk meletakkan calon muda yang bukan ahli parti itu di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) .

    Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya berkata, sebaliknya calon daripada badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dalam usaha menarik sokongan.

    “Sokongan anak muda penting memandangkan senario politik yang berlaku sebelum ini mempunyai banyak kepincangan dan kerosakan dalam parti yang wujud sebelum ini.

    “Justeru kita mengalu-alukan sokongan daripada anak muda kerana mereka inilah akan menjadi pewaris kepada negeri dan negara bagi menghadapi senario politik baharu yang memerlukan perubahan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Jentera Pejuang Tanah Air Parlimen Kubang Kerian, di Kota Bharu, semalam.

    Katanya, anak muda hari ini sudah melihat bahawa kerosakan yang berlaku pada negara adalah daripada hasil kerja politik yang kurang baik sehingga menyebabkan masa depan negara terbantut jika hendak dibandingkan dengan negara lain.

    “Dalam hal ini, pihak kami sentiasa terbuka dan kemungkinan besar akan meletakkan calon yang bukan daripada wakil parti, tetapi juga mungkin NGO yang datangnya dari kumpulan anak muda yang mempunyai jiwa juang tinggi.

    “Insya-Allah kita akan meletakkannya untuk bersama dalam membawa suara anak muda dalam pentadbiran kerajaan. Inilah usaha kita, tidak terikat dengan politik sebaliknya ia terbuka kepada seluruh rakyat tidak kira tua atau muda asalkan Melayu,” katanya.

    Marzuki berkata, kriteria calon yang diutamakan adalah yang benar-benar berwibawa serta bersih daripada rasuah.

    “Tidak ada guna kalau kita hendak mempamerkan calon yang ‘berserban tinggi’ tetapi amalannya tidak bagus dan kali ini kita mahu adalah kumpulan profesional yang benar-benar mempunyai komitmen tinggi dan sanggup melakukan perubahan demi rakyat Kelantan,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Marzuki berkata, sehingga kini berdasarkan demografi, pihaknya menyasarkan untuk bertanding di 14 kerusi parlimen di Kelantan dan 45 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) PRU-15 nanti.

    “Pada asasnya kita sebagai sebuah gerakan orang Melayu dan kita tahu bahawa kesemua kerusi yang ada di Kelantan ini sama ada di DUN mahupun Parlimen, ia adalah kerusi yang didominasikan oleh Melayu.

    “Kemungkinan besar di Kelantan ini kita akan meletakkan kesemua calon kita di semua kerusi di bawah Pejuang,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Sultan Brunei kini jadi pemerintah paling lama di dunia

    Sultan Brunei kini jadi pemerintah paling lama di dunia

    PEMENRINTAH Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menjadi raja paling lama berkhidmat di dunia selepas kemangkatan Ratu Britain, Ratu Elizabeth II, kelmarin.

    Sultan Hassanal Bolkiah yang menaiki takhta pada tahun 1967 telah memerintah selama 54 tahun dan 339 hari sehingga semalam iaitu lebih empat tahun lebih lama daripada Ratu Margrethe II dari Denmark.

    Menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi, ratu itu kini menduduki tempat kedua sebagai pemerintah diraja masih hidup yang paling lama memerintah.

    Sebelum ini, Ratu Elizabeth II menjadi Ketua Negara yang paling lama berkhidmat di dunia dan majlis meraikannya diadakan baru-baru ini sempena ulang tahun ke-70 pertabalannya pada awal tahun ini.

    Baginda menaiki takhta ketika berusia hanya 25 tahun pada tahun 1952 selepas Perang Dunia II.

    Sultan Hassanal Bolkiah yang berusia 76 tahun juga menjadi Perdana Menteri Brunei sejak negara itu mencapai kemerdekaan daripada United Kingdom pada tahun 1984.

  • Lelaki hilang disambar buaya ketika seberang sungai dengan rakit

    Lelaki hilang disambar buaya ketika seberang sungai dengan rakit

    SEORANG lelaki hilang dipercayai disambar buaya ketika menyeberangi sungai berhampiran Taman Kenari Batu 7, di Sandakan, semalam.

    Ketika kejadian, mangsa berusia 50 tahun itu dikatakan cuba untuk menyeberang dengan menggunakan rakit di sungai berkenaan.

    Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 8.57 malam.

    Jurucakap PGO JBPM Sabah berkata, seramai lapan anggota termasuk pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    “Menurut saksi, mangsa yang cuba untuk menyeberang sungai menggunakan rakit telah disambar buaya.

    “Operasi SAR dijalankan sepanjang sungai di kawasan mangsa dilaporkan dibaham buaya namun mangsa belum ditemui,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Menurutnya, operasi SAR ditangguh pada 10.28 malam dan disambung semula hari ini.

    “Operasi SAR akan disambung semula pada jam 6 pagi esok. Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.