JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 55 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Sapu di kawasan rumah pekerja di Batu 19 Sungai Tiram, Sandakan, pukul 1.10 pagi semalam.

Sinar Harian melaporkan, semua PATI warga Filipina berusia antara empat bulan hingga 52 tahun itu sedang tidur di rumah pekerja terbabit.

Pengarah JIM Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yusof berkata, dalam operasi itu seramai 88 individu telah diperiksa.

“Semasa serbuan kesemua mereka sedang tidur di rumah kongsi pekerja dan hasil pemeriksaan seramai 55 individu terdiri daripada 19 lelaki dan 13 wanita dewasa serta 23 kanak-kanak disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Turut ditahan ketika serbuan adalah seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun disyaki sebagai majikan dan akan disiasat di bawah seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

“Ini kerana melakukan kesalahan mengambil pekerja warga asing yang tidak memiliki pas yang sah di bawah Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 serta turut disyaki membenarkan imigran haram untuk masuk dan berada di permis itu, ” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Katanya lagi, operasi itu akan terus dipergiat dan diteruskan oleh Imigresen Malaysia di negeri ini untuk membanteras PATI khususnya yang disyaki bekerja tanpa pas dan permit yang sah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here