SEBUAH bengkel kenderaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini terbakar dalam satu kejadian pagi tadi sehingga memusnahkan sebanyak 13 unit kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, kebakaran terbabit turut memusnahkan pejabat pentadbiran pengangkutan serta kelengkapan dan peralatan di kedua-dua premis itu dalam kejadian pada 4.45 pagi.
“Kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau pun kehilangan nyawa dan punca kejadian masih belum dikenal pasti.
“Anggaran kerugian juga masih dalam siasatan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah memaklumkan, setiba pasukannya ke lokasi kejadian, api didapati sedang marak.
“Pegawai dan anggota terlibat kemudian diarahkan untuk memakai alat pernafasan sebelum melakukan usaha pemadaman menggunakan lapan aliran hos.
“Setelah beberapa lama, kebakaran di bangunan berkeluasan 35×150 kaki itu berjaya dipadamkan. Anggaran peratusan kebakaran dianggarkan sebanyak 80 peratus,” katanya.
AMANAH mensasarkan bertanding di 40 kerusi Parlimen, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Timbalan presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia pertambahan 13 berbanding 27 kerusi sebelum ini.
Menurutnya, Amanah akan meletakkan calon di semua kawasan sama ada di bandar dan kawasan luar bandar.
“Kita tidak memilih kawasan tertentu sahaja, Amanah bertanding di semua kawasan.
“Untuk masa depan Amanah kita mesti bertanding di semua kawasan, ada kawasan majoriti dan kawasan campuran, kita akan letakkan calon,” katanya mengikut laporan Berita Harian.
Mengulas lanjut, Salahuddin menjelaskan, pemilihan senarai calon Amanah akan meneliti semua aspek dan latar belakang mereka termasuk biodata serta rekod
Beliau menambah, senarai calon akan dimuktamadkan pada hujung bulan ini.
PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah helikopter jenis Eurocopter EC120B hilang selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC), tengah hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Chester Voo, berkata helikopter kendalian Heli Outpost Sdn Bhd dengan nombor pendaftaran N409HH gagal dihubungi pada pukul 12:16 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Menurutnya, sistem radar di KLATCC merekodkan kehilangan ketinggian mendadak oleh helikopter terbabit.
“Pegawai KLATCC cuba menghubungi juruterbang itu, namun tiada panggilan kecemasan dibuat. Semakan daripada bacaan radar menunjukkan kehilangan ketinggian yang besar dalam masa kurang daripada satu minit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Voo berkata, Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KLARCC) segera diaktifkan untuk menentukan lokasi helikopter berkenaan.
Tambahnya, helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi terakhir yang diketahui untuk menjalankan usaha mencari dan menyelamat (SAR).
Media sebelum itu melaporkan, helikopter berkenaan dilaporkan hilang selepas terputus hubungan dengan KLATCC tengah hari tadi.
Helikopter syarikat swasta dengan seorang juruterbang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 11.37 pagi dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh pada 12.37 tengah hari.
Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, lokkasi terakhir helikopter dilaporkan di sekitar kawasan hutan dekat Bidor dan Langkap.
APA sudah jadi dengan prestasi dan semangat para pemain skuad Terengganu FC (TFC), kenapa terlalu cepat mengalah?
Begitulah antara pertanyaan demi pertanyaan diluahkan oleh para peminat dan penyokong bola sepak Terengganu sebaik sahaja skuad tersebut tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Keputusan tersebut sekaligus meleburkan impian peminat dan penyokong Terengganu untuk menyaksikan Piala FA edisi 2022 berjaya di bawa pulang ke bumi Penyu selepas 11 tahun berlalu.
Dalam perlawanan yang berlangsung malam tadi kesemua pemain pada awalnya turun dengan semangat kental, namun dilihat longlai dan kurang bermaya sehingga bolos tiga gol, iaitu jumlah jaringan agak besar bagi satu-satu perlawanan di peringkat final.
Walaupun terdapat pengulas sukan memuji persembahan ditunjukkan para pemain muda TFC, namun ia berlainan pula dengan penerimaan peminat dan penyokong TFC.
Malah, banyak pihak menyifatkan aksi yang ditunjukkan oleh para pemain TFC malam tadi seakan tidak bermaya dan tidak konsisten sehingga menampakkan jurang berat sebelah.
Selain itu, aksi pemain juga banyak yang gagal menutup ruang menyebabkan mereka bolos tiga kali, manakala fungsi jentera tengah pula seakan lumpuh.
Begitu juga dengan penjaga gol TFC, Rahadiazli Rahalim yang dikatakan gagal membaca pergerakan pemain lawan ketika tewas gol pertama.
Nafuzi sedikit kecewa dengan persembahan anak buahnya.
Tindakan Rahadiazli meninggalkan posisi jauh ke hadapan membawa padah apabila pada minit 34 gawangnya dibolosi.
Bagaimanapun, pengulas sukan Ahmad Shahrul Azhar yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan percaya penjaga gol muda tersebut mempunyai masa hadapan lebih cemerlang sekiranya terus di beri peluang beraksi.
“Usah bimbang dan kecewa, kita berharap akan terus dapat melihat kelibat penjaga gol muda ini dalam aksi final akan datang” ulas beliau.
Bagi pengendali TFC Nafuzi Zain pula terpaksa akur dengan kekalahan tersebut memandangkan jurang kualiti cukup jauh antara pemain Skuad Penyu dengan JDT menjadi punca pasukannya kempunan untuk menjulang Piala FA 2022.
Namun, beliau berbangga kerana anak buahnya yang masih muda mendapat pengalaman berguna bagi membantu mengembangkan prestasi dan karier masing-masing.
Ini kerana dalam perlawanan tersebut, TFC menyenaraikan ramai pemain muda manakala JDT pula dibarisi pemain berpengalaman dan sudah acap kali beraksi di perlawanan akhir.
Bagi penulis, dalam sesuatu perlawanan bola sepak, selain teknikal dan taktikal perkara utama perlu diserap dan ditekankan juga kepada pemain ialah melibatkan motivasi dan psikologi.
Ia penting kerana ia sekurang-kurang nya dapat mengatasi masalah tekanan apatah lagi ketika berhadapan dengan sebuah pasukan lebih bagus seperti JDT.
Malah, penulis masih ingat pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) suatu ketika dahulu pernah mengambil pendekatan ini di mana antara penceramah motivasi ketika itu ialah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail.
Apapun, walaupun gagal merangkul juara Piala FA, penulis berharap semua pihak sama ada pengurusan, pemain, peminat dan penyokong setia TFC dapat menerima keputusan ini dengan hati terbuka.
Malah kemaraan sehingga ke peringkat final merupakan suatu perkara amat membanggakan.
Jadikanlah keputusan ini sebagai suatu pengalaman terbaik untuk meneruskan perjuangan akan datang, khususnya dalam aksi Liga Super di samping harapan langkahan ke final Piala Malaysia.
Tidak mustahil TFC akan kembali bertemu dengan JDT dalam aksi final Piala Malaysia pula?
Penulis juga ingin melihat suatu hari nanti lebih ramai pemain Penyu berjaya menyarung jersi pasukan kebangsaan sepertimana pernah dibuktikan antaranya seperti Yahaya Jusoh, Zulkifli Hamzah, Yunos Alif, Abdah Alif, Zuber Ibrahim, Mubin Mokhtar, Ariffin Osman, Marzuki Yusof dan Zulharisham Awang.
Dalam aksi Piala FA malam tadi, JDT memperoleh gol awal menerusi pemain kebangsaan berusia 20 tahun, Arif Aiman Hanapi, dan pemain import kelahiran Brazil, Bergson Da Silva.
Arif Aiman dengan tenang menggunakan kaki kirinya untuk gol sulung perlawanan pada minit ke-34.
Manakala gol kedua JDT dijaringkan oleh Bergson pada minit ke 63 menerusi sepakan penalti setelah dia diterjah oleh Rahadiazli.
Gol saguhati TFC pula diperoleh pada minit ke 76 menerusi jaringan Tchetche Herman sebelum Bergson menjaringkan gol pemusnah pada minit ke 78 menjadikan kedudukan 3-1.
PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini dilaporkan menegaskan pihaknya akan melakukan pembersihan ‘musuh dalaman’ gabungan itu dan UMNO.
“Kita tahu kalau ada musuh di luar parti kita, itu kita kenal pasti dengan mudah.
“Kalau ada duri dalam daging, gunting dalam lipatan, kita kenal. Sekilas ikan di air, kita kenal jantan dan betinanya.
“Tidak lama, saya ulangi, tidak lama. Sesuatu mesti dilakukan untuk membersihkan. Kita harus melakukan pembersihan dari dalam.
“Kita tidak mahu ada musang dalam reban ayam. Musang perlu dikeluarkan.
“Kita tidak mahu ada bangkai tikus dalam telaga kita. Telaga yang ada bangkai tikus airnya tidak boleh diminum,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Presiden UMNO itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak menyebut nama atau menjelaskan lanjut “gunting dalam lipatan” yang dimaksudkannya itu.
Dalam pada itu, Sinar Harian juga melaporkan Ahmad Zahid menggesa BN meminda perlembagaannya yang “lapuk” dan menghapuskan klausa yang memberi kuasa veto kepada parti komponen untuk menentukan permohonan parti baru.
“Yang akan menyertai tujuh parti tidak boleh masuk kerana Perlembagaan BN mengikat mereka daripada masuk.
“Kerana syaratnya jika ada satu parti menolak mana-mana parti yang (mahu) masuk, maka itu tidak boleh dilakukan.
“Perlembagaan BN perlu dirombak semula,” katanya.
“Orang mahu berkawan dan orang mahu menyertai kenapa perlu ditolak,” soalnya.
MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin mempertahankan pendedahannya bahawa beliau diarah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk “memberi laluan” bertanding di Parlimen Rembau, kawasan yang disandangnya sejak 2008.
Katanya, apa yang diperkatakannya pada minggu lalu adalah benar, namun enggan mengulasnya lagi secara terbuka.
“Saya sudah nyatakan apa yang perlu saya katakan sebagai jawapan kepada kenyataannya (Mohamad). Ia adalah benar dan saya tidak perlu membuktikannya. Saya tidak akan sentuh perkara itu di khalayak ramai lagi.
“Biar saya selesaikan perkara ini secara tertutup,” katanya lapor Berita Harian.
Pada 4 Sept, Khairy berkata beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), jika tidak diberikan kawasan.
“Saya (baru-baru ini) menerima satu mesej daripada (timbalan presiden UMNO) Mohamad (Hasan) untuk memberi laluan. Saya akan ikut apa yang Umno mahu dan di mana mereka mahu saya bertanding. Tak apa. Saya belum terima sebarang arahan. Saya akan berasa malu untuk ceroboh kawasan lain.
“Tak apa. Senario terburuk, saya tidak akan bertanding,” katanya.
Bagaimanapun, semalam Mohamad yang juga ADUN Rantau, menafikan akan bertanding di Parlimen Rembau seperti diperkatakan.
“Saya belum cakap pasal kerusi lagi dan Rembau pun, saya hanya bercakap soal kesiapsiagaan jentera parti. Saya hanya bagi tahu akan bertanding di peringkat Parlimen dan tiada nyatakan kerusi di mana pun. Fokus kami bincang soal jentera dan belum lagi membabitkan soal calon dan kerusi mana,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Katanya, beliau hanya memberitahu bahawa sudah sampai masanya bertanding di peringkat Parlimen sejajar statusnya sebagai timbalan presiden Umno.
“Saya tak pernah cakap nak bertanding (kerusi Parlimen) di mana-mana, cuma saya bagi tahu sudah sampai masanya untuk bertanding di peringkat Parlimen, di Parlimen mana suka hati sayalah, saya timbalan presiden,” katanya.
MUDA bukan proksi Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pejuang berdasarkan perbezaan perkara asas diperjuangkan, kata timbalan presidennya, Amira Aisya.
Memetik laporan Free Malaysia Today, beliau berkata, sekiranya Muda tidak ikhlas berjuang, adalah lebih baik mereka menyertai parti kerajaan sahaja mengambil kira tawaran “macam-macam” kepada Syed Saddiq sebelum ini.
“Buat apa susah-susah mahu lawan kerajaan, keluar masuk balai, naik turun mahkamah kalau apa yang saya buat sebagai pimpinan Muda ini tidak ikhlas untuk negara?
“Nak kaitkan Muda dengan Tun Mahathir dan Pejuang juga tak boleh. Muda bukan ejen atau proksi mereka. Banyak hal asas kami berbeza pendapat.
“Muda mahu raikan semua agama, kaum dan warna kulit. Waktu PRN (pilihan raya negeri) Johor, kami bergerak dengan PH – itu sangat jelas,” katanya di Facebook.
Beliau berkata demikian memandangkan timbul kerisauan dan keraguan terhadap niat sebenar Muda untuk menjadi parti komponen Pakatan Harapan (PH) seperti diumumkan presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada 6 September.
Mengulas lanjut, Amira berkata dakwaan yang ditujukan kepada Muda hanya kerana hasrat parti itu ingin menjadi sebahagian dari PH dibina dengan imaginasi.
“Muda ini dibina oleh sekumpulan orang muda yang mahu Malaysia maju ke depan. Setelah kekecewaan dengan Langkah Sheraton, saya dan kawan-kawan fikir, lebih baik kita tubuh parti politik dan jadi orang politik yang bersih, rajin dan bersungguh-sungguh mentadbir negara,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Puteri Wangsa, berkata beliau memahami setiap kritikan dan keraguan dari parti komponen PH berhubung “rekod” bekerja Muda dan PH.
Pada PRN Johor, Muda bertembung dengan parti komponen PH, di Larkin.
Katanya, justeru, beliau dan pimpinan Muda bersedia mengadakan pertemuan rasmi dengan PH bagi meleraikan setiap isu berbangkit.
“Lumrah membina sebuah gabungan bersama – pasti ada banyak persoalan. Sebab itu saya dan pimpinan Muda bersedia untuk adakan pertemuan rasmi bersama PH untuk kita leraikan setiap hal bersama-sama,” katanya.
Susulan kenyataan Syed Saddiq mahu membawa Muda menyertai PH, pemimpin akar Umbi daripada PKR paling kuat menyatakan kritikan mereka.
Khamis lalu, Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat Razeef Rakimin, mahu Muda terus memutuskan sebarang kerjasama dengan Warisan memandangkan parti itu tidak lagi mesra PH.
Beliau turut menyelar kenyataan Ketua Muda Sabah Amos Thien, yang masih mengharap kerjasama dengan Warisan, ketika Muda sudah meluahkan hasrat menyertai PH.
“Muda perlu belajar lagi dalam berpolitik dan bukan menjadi sebuah parti yang menempel sana sini untuk menang. Malah, status Muda dengan Pejuang sehingga hari ini masih belum ada noktah daripada parti itu,” katanya.
Terdahulu, Ketua Penerangan PKR Selangor Halimey Abu Bakar, mahu Muda menyatakan pendirian merek terhadap Gerakan Tanah Air (GTA) dan Pejuang, ditunjangi Mahathir, selain mahu parti itu menyatakan sokongan tuntas kepada Anwar Ibrahim sebagai calon tunggal perdana menteri, pada pilihan raya umum akan datang.
UMNO Sabah menolak kemungkinan Dewan Undangan Negeri itu akan dibubarkan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Biarpun begitu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya tetap melakukan persiapan secara menyeluruh.
“Kemungkinan itu memang tidak ada (bubar DUN Sabah), cuma dalam politik ini bermacam perkara boleh berlaku, jadi persiapan kita ini adalah secara menyeluruh,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu berkata demikian kepada wartawan di Kota Belud ketika diminta mengulas sama ada BN turut membuat persediaan jika berlakunya pembubaran DUN Sabah pada PRU kali ini.
Dalam pada itu, Bung Moktar berkata, jentera BN harus bekerja keras bagi memastikan kemenangan bukan sahaja di kerusi Parlimen Kota Belud, malah berjaya menawan Putrajaya.
“Yang penting jentera BN harus bersiap sedia turun padang bekerja seperti ‘lipas kudung’ bagi memastikan kemenangan calon PRU,” katanya.
Sementara itu, ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan turut yakin DUN Sabah tidak akan dibubarkan pada pilihan raya yang dijangka diadakan tidak lama lagi itu.
“Dalam PRU15 ini kita tidak akan bubarkan DUN,” katanya.
“Yang akan ada ialah pemilihan atau pilihan raya Parlimen dan kerajaan persekutuan saja yang Sabah akan bakal pilih nanti,” katanya.
KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengesyorkan dua cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil dibawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, cadangan yang akan dikemukakan adalah meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 ketika ini, kepada lebih RM3.
Satu lagi cadangan katanya adalah memanjangkan tempoh bantuan musim tengkujuh daripada tiga bulan kepada enam bulan setiap tahun.
“Bagi cadangan memanjangkan tempoh bantuan musim tengkujuh dari tiga bulan ke enam bulan, kos di pihak kerajaan akan meningkat dari RM200 juta ketika ini kepada RM400 juta setahun.
“Untuk cadangan meningkatkan harga lantai melebihi RM3 pula, kos keseluruhan diperlukan, dijangka mencecah RM500 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Pekebun Kecil Makmur RISDA Peringkat Negeri Kedah di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, dekat Padang Terap, hari ini.
Mahdzir menjelaskan, kerajaan boleh memilih mana-mana cadangan yang difikirkan sesuai dan mengikut kemampuan kewangan kerajaan.
“Perbezaannya kosnya nampak tidak ketara dalam membantu pekebun kecil dan mungkin kerajaan boleh pertimbangkan untuk melaksanakan salah satu daripadanya, bergantung kepada cadangan mana yang lebih baik,” katanya.
Pihaknya kata Mahdzir bersama pengurusan tertinggi RISDA akan membincangkan inisiatif tersebut bersama Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi minggu depan.
“Selepas itu, cadangan ini akan dibawa kepada perbincangan bersama Kementerian Kewangan. Apabila selesai perbincangan bersama tiga kementerian ini, inisiatif tersebut akan diangkat kepada Perdana Menteri secepat mungkin.
“Di peringkat itu, terpulang kepada Perdana Menteri sama ada untuk mengarahkan kami membuat kertas kerja bagi diangkat ke Kabinet atau ada keputusan lain,” katanya.
Mahdzir memberitahu, kertas kerja tersebut turut akan memberi perhatian terhadap golongan penoreh getah yang tidak mempunyai kebun atau tanah sendiri.
“Kadang-kadang beberapa pihak terlepas pandang terhadap golongan ini. Bagi pemilik kebun, mereka ada geran bagi mendaftar untuk mendapat beberapa faedah tetapi bagaimana pula nasib golongan penoreh getah yang tidak memiliki tanah ini?
“Jadi, kita mahu turut memberi perhatian terhadap golongan ini. Kita mahu turut raikan mereka agar pendapatan masing-masing, dapat ditingkatkan,” katanya.
KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) terus melaksanakan pelbagai agenda untuk masyarakat Orang Asli menerusi peruntukan sebanyak RM274 juta.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, menerusi peruntukan tersebut, JAKOA turut meningkatkan bakat baru dalam bidang sukan sekali gus mampu melahirkan atlet untuk negeri dan negara dalam pelbagai kejohanan pada masa hadapan.
“Penganjuran karnival sukan ini membuka peluang kepada belia dan beliawanis Orang Asli terlibat secara langsung dalam bidang sukan selain merapatkan hubungan silaturrahim antara masyarakat Orang Asli melalui sukan,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Orang Asli Peringkat Kebangsaan di Universiti Islam Antarabangsa, Kampus Indera Mahkota, Kuantan.
Turut hadir, Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Mohd Nor.
Abdul Rahman menjelaskan, karnival yang diadakan itu juga mampu untuk dijadikan sebagai medan dalam menghasilkan atlet-atlet yang berpotensi untuk diketengahkan pada temasya sukan sama ada pada peringkat negeri atau kebangsaan seperti SUKMA.
“Kita tahu corak kehidupan Orang Asli ini yang banyak tinggal di kawasan pinggir bandar dan di dalam hutan selain sering berjalan kaki serta menggunakan kudrat untuk aktiviti pertanian dan sebagainya mampu untuk membentuk stamina yang luar biasa di kalangan kaum-kaum lain.
“Hasrat kita adalah untuk menjadikan karnival ini sebagai satu lonjakan untuk belia dan beliawanis terlibat secara serius dalam bidang sukan selain mampu mewakili negeri masing-masing dalam kejohanan yang besar”, kata beliau lagi.
Karnival yang dianjurkan selama dua hari itu mempertandingkan acara seperti bola sepak, bola jaring, sepak takraw dan menyumpit.
Seramai 535 orang atlet dan jurulatih serta urus setia yang terlibat sepanjang penganjuran karnival sukan berkenaan.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, seramai tiga atlet Orang Asli berjaya meraih kejayaan di persada sukan antarabangsa sehingga kini.
Atlet tersebut adalah Zumika Azmi, 19 dan Sasha Azmi,17 dari suku kaum Temiar di Gua Musang Kelantan yang aktif bersukan sejak dari sekolah sehingga berjaya mewakili Malaysia dalam sukan kriket.
Seorang lagi atlet ialah Norashikin Mohamad Sayed, Orang Asli pertama yang mewakili negara dalam Sukan Layar dan merupakan pemenang pingat perak Sukan Asia China 2010.
“Dia juga pemenang pingat emas Kejohanan Kapal Layar Asia di China 2010, pingat gangsa Sukan SEA Myanmar 2012, pingat emas Sukan SEA Singapura 2015 dan pingat perak Sukan SEA KL 2017,” katanya.
Secara keseluruhannya, kontinjen Pahang mengungguli Karnival Sukan Orang Asli Kebangsaan dan dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan.