Author: Wartawan WartaRakyat

  • Jadi orang suruhan ah long selepas tak mampu bayar pinjaman

    Jadi orang suruhan ah long selepas tak mampu bayar pinjaman

    Oleh BADLISHAH MAT

    DUA lelaki yang juga mangsa pinjaman wang tidak berlesen daripada ah long diberkas polis selepas mereka dipercayai menjadi orang suruhan kepada sindiket itu untuk mengugut mangsa lain.

    Suspek berusia 38 dan 41 tahun itu dipercayai turut melakukan khianat ke atas peminjam wang yang gagal membayar hutang mereka termasuk menyimbah cat atau merantai pagar.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kedua-duanya diberkas pada pukul 6.30 petang, Ahad lalu ketika berkeliaran di Taman Sri Tandop disyaki untuk melunaskan tugasan ah long berkenaan mengugut mangsa. 

    “Kedua-dua suspek mengaku melakukan kegiatan itu bermula pada Ogos sehingga kini di sekitar Alor Setar, Kubang Pasu dan Pendang. Kita menerima 20 laporan berkaitan kegiatan mereka. 

    “Suspek juga merupakan peminjam kepada ah long siber dan kerana gagal membuat bayaran semula, ia kaedah untuk membayar balik. Ah long siber menawarkan pekerjaan dengan upah ikut pakej seperti RM350 untuk baling cat, RM150 (merantai pagar) dan RM50 (menampal notis ugutan).

    “Suspek terpaksa melakukan kerja itu untuk melangsaikan hutang mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, hari ini.
     
    Tambahnya, polis turut menemukan pelbagai peralatan yang digunakan suspek untuk mengugut dan melakukan khianat ke atas mangsa termasuk cat dan rantai besi ketika ditahan.
     
    Katanya, suspek hanya berurusan dengan sindiket utama ah long itu melalui aplikasi WhatsApp selain tidak pernah bersemuka ketika melakukan tugasan itu.

    “Hasil ujian air kencing juga mendapati kedua-duanya positif Methamphetamine dan mereka direman empat hari bermula semalam,” katanya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen, Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk kesalahan dadah.

    Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan taktik Ah long Siber berkenaan yang aktif menawarkan pinjaman melalui media sosial termasuk Facebook.

    “Ah long Siber adalah ah long yang menawarkan pinjaman di media sosial dengan niat melakukan pemerasan dan ugutan. Peminjam perlu mengisi maklumat pada pautan yang diberikan sebelum ia akan diluluskan seberapa segera. 

    “Sejumlah 50 peratus wang yang hendak dipinjam akan dipindahkan ke dalam akaun bank mangsa sama ada bersetuju atau tidak, peminjam dipaksa membuat bayaran lebih empat kali ganda dan jika gagal bayar semula akan menerima notis ugutan, merantai pagar dan membaling cat,” katanya.

  • PRU15: Pas-PN yakin kekal perintah Terengganu, BN nekad mahu tawan semula

    PRU15: Pas-PN yakin kekal perintah Terengganu, BN nekad mahu tawan semula

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    MAMPUKAH parti Pas bersama Perikatan Nasional (PN) dapat mengekalkan pemerintahan di Terengganu dengan mengulangi pencapaian kemenangan dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini?

    Dan apakah Barisan Nasional (BN) diterajui UMNO berjaya memenuhi impian mereka untuk kembali menerajui tampuk pemerintahan negeri ‘minyak’ ini sepertimana pernah dilakukan dalam beberapa siri PRU sebelum ini?

    Begitulah antara persoalan dan tanda tanya yang hangat diperbualkan kebanyakan pihak sama ada pemerhati politik mahupun rakyat di negeri ini.

    Rata-rata rakyat terutama mereka yang menjadi ahli serta penyokong setia parti politik mewakili kerajaan dan pembangkang kini masing-masing seperti tidak sabar untuk berhadapan dengan PRU15 yang disifatkan sesetengah pihak sebagai ibu segala PRU.

    Malah, ada yang menjadikan alasan pelbagai kemelut dan juga situasi yang melanda negara menyebabkan  politik juga dikatakan berada dalam keadaan kurang memuaskan.

    Menteri Besar Terengganu daripada Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

    Perkembangan ini secara tidak langsung dikaitkan sebagai antara faktor mengapa PRU-15 perlu diadakan lebih awal.

    Antaranya termasuklah masalah dalaman serta saiz politik yang menerajui tampuk pemerintahan negara tidak memiliki majoriti besar, menyebabkan ia berada dalam keadaan tidak stabil.

    Selain itu, faktor lain yang turut dikaitkan ialah perang saraf dalam kalangan parti politik tertentu disamping pelbagai desakan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Saberi Yaakob.

    Berdasarkan perkara itulah parti mewakili majoriti terbesar di Terengganu, iaitu UMNO dan Pas dikatakan telah bertindak awal menyusun pelbagai strategi dalam usaha memenangi hati rakyat.

    Antaranya termasuklah aktiviti yang mampu menarik perhatian anak-anak muda dan belia seperti himpunan motosikal RXZ dan sukan bola sepak.

    Bagi kepimpinan Pas, mereka tetap menaruh keyakinan tinggi bahawa parti itu bersama gabungan baharu pada kali ini, iaitu PN akan terus berjaya mengekalkan pemerintahan di Terengganu walaupun terdapat beberapa masalah tertentu untuk dirungkaikan.

    Bagaimanapun pendekatan turun padang untuk bersama rakyat yang dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas lain sedikit sebanyak dikatakan mampu merawat penyakit itu daripada menjadi barah.

    Namun begitu, sesetengah pihak pula mendakwa tindakan beberapa wakil rakyat yang gagal membantu menyelesaikan masalah sumbangan tabung bagi pembinaan surau-surau sekolah sebelum ini disifatkan sebagai sesuatu yang amat malang.

    Begitu juga dengan protes anak-anak muda di beberapa kawasan yang dikatakan tidak mahu keluar mengundi pada PRU15 nanti hanya gara-gara tidak berpuas hati dengan layanan wakil rakyat?

    UMNO diterajui Datuk Seri Ahmad Said dikatakan sejak awal-awal lagi telah menolak MN dan berulang kali mengatakan parti itu akan bertanding secara solo di semua kerusi di Terengganu pada PRU-15.

    Sementara bagi kepimpinan UMNO pula, selepas melalui episod duka dan sukar melalui kemelut politik dalaman dan tewas dalam PRU-14 pada 9 Mei 2018, mereka akhirnya dikatakan mula ‘sedar diri’.

    Untuk itu, mereka cuba mengambil kesempatan di atas setiap kecelaruan yang berlaku dalam kepimpinan UMNO negeri sebelum ini sebagai senjata utama untuk menggempur kubu lawan.

    Selain itu, kesan tsunami politik yang membawa kepada kekalahan BN pada tahun 1999 dan 2018 turut dijadikan sebagai pembakar semangat untuk membolehkan parti itu bangkit memenangi kerusi DUN, sekaligus ‘menawan’ semula Terengganu.

    Jentera UMNO BN juga kini dilihat semakin kerap turun padang untuk bersama rakyat bagi memastikan usaha mereka berhasil.

    Apa yang pasti, setakat ini impian Pas untuk terus mengekalkan pemerintahan dilihat agak tinggi sehingga kepimpinan parti tersebut masih sanggup menunggu jawapan tidak pasti daripada kepimpinan UMNO Terengganu berhubung percaturan dalam Muafakat Nasional (MN).

    Para pemerhati politik tempatan berpendapat, tindakan itu hanya membuang masa memandangkan UMNO diterajui Datuk Seri Ahmad Said dikatakan sejak awal-awal lagi telah menolak gabungan berkenan dan berulang kali mengatakan parti itu akan bertanding secara solo di semua kerusi di Terengganu pada PRU-15.

    Apapun, soal parti mana yang bakal memerintah Terengganu selepas PRU-15 nanti, semuanya terletak di atas kebijaksanaan pemimpin, perpaduan dan kekuatan jentera parti yang bertanding di samping penerimaan pengundi.

    Memandangkan penentuan kalah atau menang terletak di bahu rakyat yang keluar membuang undi, maka mana-mana pemimpin parti yang berjaya mendekati serta mempengaruhi rakyat, sudah pasti bakal meraih kemenangan.

    Oleh itu, inilah masa terbaik bagi mana-mana parti politik untuk memperkemaskan jentera masing-masing sebagai persiapan menghadapi PRU15.

    Pada PRU-14, Pas  berjaya merampas Terengganu daripada BN setelah memenangi 18 kerusi DUN.

  • ADUN PAS Pahang tak terima peruntukan RM20,000 sejak Januari

    ADUN PAS Pahang tak terima peruntukan RM20,000 sejak Januari

    SEORANG ADUN PAS di Pahang mendakwa semua wakil rakyat parti itu tidak menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri yang ditadbir Barisan Nasional (BN) sejak Januari tahun ini.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, ADUN Panching, Tarmizi Yahaya berkata, peruntukan RM20,000 yang mula disalurkan kepada mereka sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran Putrajaya pada Mac 2020, ditamatkan tanpa sebarang notis mulai awal tahun ini.

    Beliau percaya tindakan itu berpunca daripada kemelut Muafakat Nasional (MN) di peringkat pusat yang sehingga kini masih tiada noktah.

    “Kami ADUN PAS tak terima peruntukan sebanyak RM20,000 sejak Januari. Ia ditamatkan tanpa sebarang notis. Kami tak dimaklum, tak dipanggil berjumpa untuk berbincang,” katanya kepada FMT.

    “Ada kemungkinan (tamat sebab MN), sebab bila ada isu di peringkat MN, bermula dari situ, UMNO mula hentikan peruntukan,” katanya yang menuntut kerajaan UMNO-BN Pahang memberikan penjelasan berhubung perkara itu.

    Semalam, Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari mendedahkan ADUN PAS di Pahang tidak menerima sebarang peruntukan dari kerajaan negeri pimpinan UMNO-BN. Ini berbeza dengan situasi di Kelantan dan Terengganu, di mana ADUN UMNO masih menerima peruntukan daripada kerajaan negeri, walaupun tidak bersama dalam pentadbiran.

    Mengambil kira situasi di negeri pimpinan PAS, iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah yang masih menyalurkan peruntukan sama rata kepada ADUN UMNO, Tarmizi mahu ia turut diamalkan di Pahang demi agenda pembangunan umat Melayu Islam di negeri itu.

    “Yang jadi ADUN PAS di Pahang semua Melayu Islam. Kalau peruntukan disekat, mereka sekat peruntukan untuk umat Melayu Islam sebenarnya,” katanya yang menyifatkan tindakan kerajaan negeri itu keterlaluan.

    Mengulas semangat MN di Pahang, beliau berkata, walaupun di peringkat pusat, agenda MN dilihat tegang, namun di peringkat bahagian, hubungan PAS dan UMNO masih mesra.

    “PAS di Pahang dengan ahli UMNO di peringkat bawah, kami masih ‘menikmati’ hubungan MN itu. Kita tak pernah serang UMNO-BN di Pahang dan tak pernah serang kerajaan negeri, seperti mana yang dilakukan Umno di Terengganu dan Kelantan.”

    Tarmizi juga mengingatkan pentadbiran UMNO-BN bahawa kuasa yang diperolehi parti itu ketika ini adalah dukungan partinya dan Bersatu.

    “Ikutnya, UMNO Pahang dapat peruntukan daripada kerajaan pusat, dia kena ingat antara jasa dia dapat peruntukan itu ialah hasil dukungan Bersatu dan PAS di peringkat pusat. Peruntukan (disalurkan kerajaan pusat), kerajaan negeri ambil, tapi tak disalurkan kepada ADUN PAS. Ini tidak adillah.”

  • PKR cabar Tengku Zafrul jawab tiga soalan punca Ringgit jatuh

    PKR cabar Tengku Zafrul jawab tiga soalan punca Ringgit jatuh

    PENGARAH Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chean Chung mencabar Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menjawab tiga persoalan berkaitan keadaan ekonomi Malaysia.

    Cabaran itu katanya, selepas Tengku Zafrul, kelmarin dilaporkan menepis kebimbangan banyak pihak berhubung prestasi ringgit.

    Menteri Kewangan itu juga ujarnya, menyatakan bahawa kerajaan tidak akan terlalu fokus kepada prestasi mata wang negara itu kerana perlu terus menumpukan kepada prestasi ekonomi jangka masa sederhana dan jangka masa panjang.

    “Memandangkan Tengku Zafrul mempunyai banyak masa untuk membuat video TikTok, saya mencabar beliau supaya memberikan penjelasan atas tiga soalan di bawah iaitu pertama, adakah kejatuhan nilai mata wang ringgit baik untuk majoriti rakyat?

    “Kedua, mengapakah ringgit merosot sepanjang 20 tahun ini secara berterusan, berbanding dengan nilai mata wang utama yang lain?

    “Ketiga, mengapakah pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia tidak meningkat semenjak tahun 1998,” soalnya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.

    Dalam pada itu, Chean Chung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu berkata, Tengku Zafrul dilihat cuba mengelirukan rakyat apabila menyatakan bahawa kejatuhan ringgit adalah perkara baik untuk Malaysia sebagai negara pengeksport.

    “Kalau kejatuhan nilai mata wang sesebuah negara adalah sesuatu yang baik, sepatutnya si pengeksport di Sri Lanka, Zimbabwe dan Sudan Selatan menjadi orang yang paling gembira di dunia ini.

    “Tapi tentunya mereka tidak gembira sangat. Ini adalah kerana pertama, pengeksport perlu membeli barangan input untuk diproses dengan harga yang lebih tinggi.

    “Misalnya kilang yang menghasilkan televisyen di Malaysia perlu membeli cip komputer dan skrin dari negara luar dengan dolar Amerika Syarikat (AS). Maka keuntungan mereka juga terjejas,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

    Tambahnya, kesan daripada situasi pelemahan ringgit itu juga antara lain bakal menyukarkan negara mengekalkan bukan sahaja bakat tempatan tetapi juga pekerja asing berkemahiran tinggi.

    Ringgit Malaysia jatuh melepasi paras RM4.50 berbanding dolar AS pada 6 September lalu iaitu kedudukan terendah sejak Januari 1998, beberapa bulan selepas bermulanya Krisis Kewangan Asia.

  • Lebih 34,000 unit kediaman siap dibina bernilai RM21.7 bilion tak terjual

    Lebih 34,000 unit kediaman siap dibina bernilai RM21.7 bilion tak terjual

    SEGMEN hartanah tidak terjual siap dibina atau lebih dikenali sebagai ‘overhang’ memperlihatkan lebih 34,000 unit kediaman bernilai RM21.7 bilion direkodkan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

    Memetik laporan Astro Awani, Ahli Parlimen Paya Besar itu bagaimanapun berkata, situasi overhang dilihat bertambah baik dengan penurunan marginal bilangan dan nilai setiap satu pada 7.5 peratus dan 4.6 peratus berbanding separuh kedua tahun 2021.

    Jelas beliau, hampir 60 peratus overhang terdiri daripada harta tanah kondominium/pangsapuri, manakala dari segi lingkungan harga, kira-kira 43 peratus berharga lebih daripada RM500,000 seunit.

    “Negeri Johor kekal dengan bilangan kediaman overhang tertinggi dalam negara dengan merekodkan lebih 6,000 unit overhang bernilai RM4.7 bilion.

    “Negeri ini menyumbang lebih 17 peratus dan 21 peratus setiap satu daripada bilangan dan nilai overhang negara.

    “Negeri Pulau Pinang pula di kedudukan kedua dengan lebih 5,000 unit bernilai RM3.64 bilion,” kata Mohd Shahar ketika berucap melancarkan Laporan Pasaran Harta H1 2022 di Institut Penilaian Negara, di sini, pada Rabu.

    Dalam pada itu, beliau berkata, status overhang service apartment juga bertambah baik, dengan lebih 22,000 unit bernilai RM19.32 bilion direkodkan pada separuh pertama tahun 2022, iaitu penurunan bilangan 6.7 peratus berbanding separuh kedua tahun 2021.

    Hampir 89 peratus daripada jumlah overhang itu, ujarnya, berharga RM500,000 dan ke atas dan sebahagian besarnya terletak di negeri Johor.

    Sehubungan itu, Mohd Shahar berharap situasi overhang kediaman dan service apartment akan terus terkawal dan semakin baik pada masa akan datang.

    Keadaan itu, katanya, penting bagi memastikan penawaran perumahan adalah selari dengan permintaan dan isu ketidakpadanan (mismatch) dapat diminimumkan.

    “Oleh itu, saya menyarankan pemaju dan pihak berkuasa yang meluluskan pembangunan projek serta penetapan harga jualan rumah memberi perhatian kepada data overhang ini.

    “Pastikan rumah yang dibina menepati permintaan di lokasi tersebut dengan harga yang mampu dimiliki oleh pembeli setempat,” katanya lagi.

    Mohd Shahar berkata, Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) telah membangunkan portal UPESM (Unsold Property Enquiry System Malaysia) sejak 2018, bagi memberikan akses secara percuma kepada data harta tanah tidak terjual mengikut lokaliti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

    “Saya menyeru kepada semua pihak berkepentingan untuk mengakses UPESM dan rujuklah data ini sebelum merancang pembangunan baharu di sesuatu kawasan.

    “Di samping itu, jalankan feasibility study yang menyeluruh agar keputusan yang dibuat adalah yang tepat dan tidak akan menyumbang kepada stok overhang negara pada masa hadapan,” ujar Mohd Shahar lagi.

  • 1MDB:Jho Low bersuka ria bersama keluarga, rakan di China tanpa ditangkap?

    1MDB:Jho Low bersuka ria bersama keluarga, rakan di China tanpa ditangkap?

    SUDAH tiba masanya Malaysia memburu ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low yang didakwa menjadi jerung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan perkara itu dalam rakaman video perbincangan beliau bersama penulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World’, Tom Wright.

    Perbincangan mengenai skandal tersebut yang disiarkan di platform Youtube dan dikongsikan di Facebooknya, hari ini.

    Ahli Parlimen Muar itu berkata, usaha menjejaki Jho Low dan membawanya pulang ke Malaysia dapat merungkai pelbagai kes penyelewengan yang melibatkan aset-aset negara mencecah bilion ringgit.

    Menurutnya, isu tersebut dianggap satu perkara serius memandangkan ia juga berkait dengan pertambahan jumlah hutang negara.

    “Kerajaan harus menuntut penjelasan daripada pihak Republik China tentang status ahli perniagaan tersebut yang dikatakan sedang berada negara terbabit

    “Adakah benar dia (Jho Low) sekarang tinggal di sana? Jika ya, bagaimana dia boleh berada di situ, bersuka ria bersama keluarga dan rakan tanpa ditangkap? Ini adalah satu persoalan dan kita boleh mendapatkan jawapan yang formal daripada mereka (China),” kata beliau.

    Media sebelum ini melaporkan bahawa usaha memburu Jho Low sedang giat dijalankan dengan kerjasama Interpol.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan itu turut dijalankan pihak berkuasa asing Singapura dan Amerika Syarikat.


    Syed Saddiq menjelaskan, kesepakatan antara Malaysia dan China mampu dicapai dalam usaha memburu Jho Low jika benar dia berada di negara itu kerana kedua-dua negara mempunyai hubungan diplomatik yang baik dan rakan strategik dalam dagangan.

    “Kita mahu saling bekerjasama dan menjadi rakan, namun janganlah memberikan kerjasama itu kepada individu yang telah mengeksploitasi hasil negara ini,” tegas beliau.

  • Anwar patut audit manifesto PH untuk masyarakat India terlebih dahulu, kata Vigneswaran

    Anwar patut audit manifesto PH untuk masyarakat India terlebih dahulu, kata Vigneswaran

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya melakukan audit terhadap manifesto Pakatan Harapan (PH) terhadap masyarakat India ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    Itu penegasan Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran mengulas kenyataan Anwar yang Pakatan Harapan (PH) akan melakukan audit forensik terhadap tiga institusi yang berperanan membangunkan masyarakat India sekiranya mereka menang dalam PRU-15.

    “Saya nak memberitahu Anwar, apa yang dia mesti audit adalah janji-janji PH kepada masyarakat India pada PRU-14.

    “Kita (BN) juga sudah menyediakan pelan tindakan, tapi mereka tidak pernah melaksanakannya ketika 22 bulan memerintah negara.

    “Jadi, Anwar perlu melakukan audit terhadap perkara-perkara ini dulu,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    Mengulas lanjut, beliau juga mendakwa pentadbiran PH tidak menunaikan janji-janji yang terkandung dalam manifesto khas tersebut ketika mentadbir negara.

    Terdahulu, ketika Perhimpunan Bersama Masyarakat India pada 10 September lalu, Anwar yang juga pengerusi PH berkata audit tersebut perlu dilaksanakan kerana masyarakat India di Malaysia berhak mengetahui perkara sebenar di sebalik dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa berkaitan institusi tersebut.

    Tiga institusi tersebut adalah syarikat pelaburan Maika Holdings, Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

  • Tular gula-gula bergelatin babi berlogo halal, ini nasihat Jakim

    Tular gula-gula bergelatin babi berlogo halal, ini nasihat Jakim

    HEBOH dalam kalangan pengguna media sosial, semalam apabila dikhabarkan terdapat satu jenama gula-gula yang mengandungi unsur babi tetapi mempunyai tanda halal pada pembungkus.

    Memetik laporan portal Gempak, menerusi ciapan yang dihantar oleh sebuah akaun di sebuah Twitter itu, kelihatan ‘gelatin babi’ tercetak dalam senarai bahan-bahan selain bahan-bahan lain yang biasa digunakan bagi pembuatan gula-gula.

    Hal ini bukan sahaja mengejutkan, malah membuatkan netizen tertanya-tanya, bagaimanakah gula-gula tersebut boleh dijual di pasaran.

    Lebih membimbangkan, gula-gula berkenaan juga dijual dengan terbuka di sebuah platform beli-belah online.

    Menerusi ruangan balas, kelihatan netizen berbincang mengenai perkara berkenaan dan mencadangkan supaya laporan kepada pihak berwajib dibuat.

    “Kena check logo tu. Logo halal itu bukan logo yang diiktiraf oleh Jakim. Nampak sangat mereka letak sahaja logo di situ. Buat laporan,” katanya.

    Dalam pada itu, Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi kenyataan di Facebook menjelaskan, produk tersebut telah menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf oleh Jakim.

    Penggunaan logo halal tersebut katanya adalah menyalahi Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dikenakan tindakan melalui peruntukan perundangan yang berkaitan di negara ini.

    Tambahnya, pengguna Muslim dinasihatkan untuk tidak memilih produk berkenaan dan meneliti terlebih dahulu label bungkusan produk sebelum membuat sebarang pembelian.

  • Senarai calon PRU-15 sudah tersedia, BN Sabah teliti sebelum muktamad

    Senarai calon PRU-15 sudah tersedia, BN Sabah teliti sebelum muktamad

    HAMPIR semua bahagian Barisan Nasional (BN) Sabah telah memberi cadangan senarai calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, senarai itu kini sedang diteliti sebelum keputusan muktamad dilakukan.

    Jelas beliau, pengumuman mengenai calon yang akan bertanding dalam PRU-15 itu akan diumumkan pada masa yang sesuai.

    “BN Sabah khususnya UMNO sudah menerima senarai calon yang dicadangkan dari setiap bahagian dan kita sedang meneliti serta memperhalusinya sebelum memuktamadkan nama yang sesuai.

    “Apabila tiba masanya nanti, kita akan mengumumkan calon-calon yang bertanding itu,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, BN Sabah masih perlu memperbaiki beberapa perkara khususnya persediaan jentera untuk berada dalam keadaan terbaik bagi menghadapi PRU-15.

    Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah memaklumkan, BN Pusat dan negeri tidak hanya bergantung kepada laporan di atas kertas tetapi perlu melihat kekuatan jentera di peringkat akar umbi yang akan menjadi penentu kemenangan nanti.

    Menurut Bung Moktar, BN Sabah ketika ni lebih menumpukan untuk memperkasa lagi jentera BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan cawangan.

    Tegas beliau, langkah itu diambil memandangkan kedua-dua segmen itu adalah jentera penting di peringkat akar umbi.

    “Kunci kemenangan adalah kekuatan jentera akar umbi dan apa yang penting ialah buat kerja yang terbaik di peringkat PDM, cawangan. Kita bekerja cara mahu menang dan kekuatannya ada di sini.

    “Tiada gunanya UMNO BN hanya kuat di peringkat bahagian tetapi di peringkat PDM berterabur, sebab itu jentera di peringkat PDM dan cawangan perlu diperkasakan,” katanya.

    Beliau berkata, langkah itu perlu memandangkan jentera BN negeri akan berhadapan PRU-15 secara berseorangan menerusi gabungan kerjasama semua parti komponen BN.

  • Maritim Malaysia tahan 2 pekerja sangkar ikan di Pulau Pinang

    Maritim Malaysia tahan 2 pekerja sangkar ikan di Pulau Pinang

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua pekerja sangkar ikan selepas didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri malam semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed  berkata, penahanan dibuat berikutan pemeriksaan rutin anggota penguat kuasa bot ronda melalui OP PERTIWI ke atas bot sangkar ikan bernombor PPF (R) 102 di kedudukan 0.18 batu nautika selatan Pulau Jerejak, pukul 9.15 malam.

    Menurut beliau, seorang daripada pekerja sangkar ikan itu merupakan warga Nepal manakala lagi seorang warga tempatan berumur 31 dan 40 tahun.

    “Pekerja sangkar warga Nepal terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri ketika pemeriksaan dilakukan.

    “Kedua Orang Yang Disyaki Salah (OYDS) itu kemudian ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
     
    Menurut beliau, kes akan disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 melanggar syarat sah Lesen Kultur Laut iaitu tidak menggunakan 100 peratus pekerja warganegara kecuali dengan kelulusan Pengarah Perikanan dan warganegara asing bekerja di tempat yang bukan tertera pada permit kerja bot.
     
    Dalam pada itu, beliau menegaskan kepada semua terutama pemilik sangkar ikan agar tidak sesekali menggajikan warga asing tanpa kebenaran.

    “Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pemilik sangkar ikan gagal mematuhi undang-undang sedia ada,” katanya.

    Tambah beliau, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.