Author: Wartawan WartaRakyat

  • Lelaki himpit, halang kenderaan di lampu isyarat diburu polis

    Lelaki himpit, halang kenderaan di lampu isyarat diburu polis

    SEORANG lelaki bersama keluarganya berdepan detik cemas apabila secara tiba-tiba kenderaan dinaiki mereka dihalang sebuah kereta lain dari arah bertentangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Suakasih, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras Ahad lalu.

    Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, risau diapa-apakan, mangsa bertindak mengundurkan kenderaan lalu memecut laju melarikan diri namun suspek terus mengejarnya.

    “Siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali lelaki yang cuba menghalang dan menakutkan secara jenayah.

    “Suspek bertindak menghimpit dan mengejar kereta mangsa supaya berhenti hingga mendatangkan bahaya kepada keluarga mangsa. Tidak dapat dipastikan motif suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan pada semalam.

    Detik-detik cemas itu tular selepas video rakaman kamera papan pemuka dari kenderaan dinaiki mangsa dimuat naik seorang pengguna Facebook pada Isnin.

    Video berdurasi tiga minit itu memaparkan sebuah kenderaan berwarna merah secara tiba-tiba menghalang mangsa dan keluarganya di sebuah lampu isyarat sebelum berlaku kejar mengejar antara mereka.

    Dalam pada itu, Mohd Zaid berkata, mangsa yang ketakutan terus memandu melarikan diri sehingga berjaya meninggal suspek di belakang.

    Katanya, polis telah mengenal pasti suspek dan sedang mengesan lelaki terbabit untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

    “Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh tampil ke mana-mana balai berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Fudhail Zikri di taluan 01156566511,”ujar beliau

  • Cukai tertunggak RM1.7b: Najib, anak berjaya gantung penghakiman terus

    Cukai tertunggak RM1.7b: Najib, anak berjaya gantung penghakiman terus

    DATUK Seri Najib Razak dan anaknya Mohd Nazifuddin berjaya mendapatkan perintah mahkamah tertinggi negara untuk menggantung pelaksanaan penghakiman terus dalam kes cukai tertunggak lebih RM1.7 bilion dihadapi mereka sementara menunggu pelupusan rayuan.

    Memetik laporan Malaysiakini, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan permohonan penangguhan itu, berikutan tiada bantahan yang dibangkitkan oleh wakil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), peguam kanan persekutuan al-Hummidallah Idrus.

    Panel itu juga dianggotai oleh hakim mahkamah persekutuan Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Rhodzariah Bujang membenarkan penangguhan sementara menunggu pelupusan pendengaran merit rayuan oleh bekas perdana menteri dan Nazifuddin di Mahkamah Persekutuan.

    “Perintah untuk menggantung pelaksanaan penghakiman terus dibenarkan sementara menunggu pelupusan rayuan kedua-dua perayu di Mahkamah Persekutuan,” kata Tengku Maimun dalam prosiding yang dijalankan melalui sidang video, hari ini.

    Terdahulu, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Najib dan Mohd Nazifuddin memaklumkan kepada panel tiga hakim bahawa LHDN selaku responden tidak membantah permohonan dua beranak itu untuk menggantung pelaksanaan penghakiman terus diperoleh LHDN sementara menunggu rayuan mereka diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

    Perkara itu turut disahkan oleh Peguam Kanan Hasil Al-Hummidallah Idrus mewakili LHDN.

    Pada 10 Mei lepas, Najib dan Mohd Nazifuddin diberi kebenaran oleh Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN memasukkan penghakiman terus itu bagi mendapatkan semula lebih RM1.7 bilion cukai tertunggak daripada mereka.

    Pada 2020, dua Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin, bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

    Penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

    Najib dan Mohd Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 9 Sept 2021 untuk mengetepikan penghakiman terus itu.

  • Najib dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras – Penjara

    Najib dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras – Penjara

    JABATAN Penjara Malaysia mengesahkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sedang mendapatkan rawatan dan pemantauan lanjutan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).

    Memetik laporan Berita Harian, jabatan itu dalam kenyataan berkata, selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara, Najib dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan oleh pakar perubatan susulan perintah Mahkamah Tinggi pada 12 September lalu susulan keadaan kesihatannya tidak memuaskan.

    “Pada 19 September 2022, pihak HKL telah merujuk Najib ke HRC untuk rawatan dan pemantauan lanjutan hingga kini.

    “Datuk Seri Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau,” kata jabatan itu hari ini.

    Menurut kenyataan itu, ia selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara dan peruntukan di bawah akta itu serta Peraturan Minimum Standard Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Layanan Terhadap Banduan (Peraturan Mandela).

    “Sebagai pihak berkuasa yang melaksanakan tanggungjawab di bawah Akta Penjara, pihak Jabatan Penjara selain melaksanakan hukuman yang telah dijatuhkan juga bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan seseorang banduan sentiasa dipantau dan dijaga termasuk penyediaan kemudahan rawatan dan ubat-ubatan sebagaimana yang disyorkan oleh pegawai perubatan kerajaan,”katanya.

    Sebelum ini, Pegawai Khas Najib Muhamad Mukhlis Maghribi, dilaporkan mendakwa tekanan darah Najib berada pada tahap tinggi dan berbahaya susulan pertukaran ubat yang diberikan untuk merawat masalah ulser di dalam perutnya.

    Pada 23 Ogos lepas, Najib dihantar ke Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

    Najib, 69, juga menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

  • Muda belum ada pelan alternatif jika permohonan sertai PH ditolak

    Muda belum ada pelan alternatif jika permohonan sertai PH ditolak

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masih tidak mempunyai sebarang pelan alternatif sekiranya Pakatan Harapan (PH) menolak permohonan Muda untuk menyertai gabungan tersebut.

    Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, ini termasuk bergerak secara solo atau menyertai gabungan politik lain.

    “Isu ini bukan isu kecil kerana kita bukan mahu bekerjasama untuk PRU sahaja tetapi bekerjasama dengan komponen PH. Jadi sekiranya tidak diterima Biro Politik dan Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda perlu duduk semeja kembali untuk membincangkan jalan ke hadapan.

    “Tetapi apa yang paling penting bagi saya sekiranya tidak dapat masuk komponen PH, harapnya kita dapat lagi membincangkan jalan supaya tidak ada pertindihan kerusi dan sebagainya, ini pandangan peribadi saya,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas dipanggil memberi keterangan berkenaan penyertaan dalam perhimpunan kerajaan gagal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di Larki, Johor Bahru, hari ini.

    Ditanya sekiranya Muda tidak diberikan 15 kerusi yang dimohon sebelum ini, beliau berkata, semua itu terpulang kepada rundingan dengan PH dan pihaknya nanti akan menerima dengan hati terbuka.

    Namun katanya, kerusi utama yang akan menjadi pilihan Muda ialah Parlimen Muar yang kini disandang Presiden parti, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman manakala selebihnya menyasarkan kerusi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

    Sementara itu, beliau berkata, pegawai dan kakitangan kerajaaan adalah yang paling terkesan sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetap diadakan semasa musim banjir.

    Amira Aisya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, ini kerana mereka perlu bertugas dan melakukan dua kerja iaitu semasa banjir dan PRU15 sekali gus akan membebankan mereka.

    “Kalau kita buat juga PRU semasa banjir, pegawai dan kakitangan kerajaan akan paling terjejas kerana mereka perlu melakukan dua kerja iaitu banjir dan juga kempen PRU,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas dipanggil memberi keterangan berkenaan penyertaan dalam perhimpunan kerajaan gagal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Larkin di sini pada Selasa.

    Katanya, jika PRU15 diadakan juga, rakyat akan sengsara dan dalam hal ini kerajaan boleh merujuk semula kerosakan dan kerugian akibat banjir pada tahun lalu.

    “Kalau kita lihat banjir tahun lepas lebih 70,000 terjejas dan lebih 50 rakyat meninggal dunia selain kerajaan rugi RM5.6 bilion. Itu jumlah yang sangat besar,” katanya.

    Justeru kata Amira Aisya, masa terbaik untuk mengadakan PRU-15 adalah selepas banjir besar yang diramal berlaku pada hujung tahun ini.

    Menurutnya, semua pihak sama ada parti pembangkang atau kerajaan perlu duduk semeja untuk membincangkan cara dan kaedah menghadapi banjir dan selepas musibah itu selesai barulah fokus semula kepada PRU-15.

    Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa berucap sempena pelancaran jentera Pemuda Barisan Nasional 2022, membayangkan PRU15 akan diadakan sedikit masa lagi dan perkara itu akan dibincangkan dengan ‘top 5’ UMNO.

    Susulan itu pada hari yang sama, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU-15 diadakan tahun ini.

  • Bukan hanya wanita, lelaki pun jadi mangsa ‘skodeng’

    Bukan hanya wanita, lelaki pun jadi mangsa ‘skodeng’

    MANA-mana individu tanpa mengira jantina mungkin menjadi mangsa jenayah intip dan hendap.

    Justeru itu, Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan jenayah itu memerlukan kerjasama semua pihak dalam perjuangan diwartakan sebagai akta.

    Memetik laporan Harian Metro, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berharap sesiapa sahaja, terutamanya lelaki, tampil ke hadapan dan berkongsi dengan pihaknya apa jua yang dialami mereka.

    “Setakat ini saya tidak pernah menerima sebarang perkongsian daripada lelaki, tetapi saya tidak menolak kemungkinan mereka menjadi mangsa juga.

    “Ini kerana jenayah intip dan hendap tidak mengira jantina atau latar belakang seseorang individu pada masa kini.

    “Oleh itu, saya berharap lelaki tidak malu berkongsi, ini adalah masa terbaik untuk kita sama-sama perjuangkan nasib mangsa intip dan hendap yang berhadapan dengan situasi sukar sebegini,” katanya hari ini.

    Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi libat urus bersama Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) mengenai penggubalan RUU anti-stalking law itu di Kuala Lumpur.

  • Siapa pegang kuasa, perlu bertanggungjawab

    Siapa pegang kuasa, perlu bertanggungjawab

    DENGAN kuasa di tangan, mereka perlu bertanggungjawab dan tidak menuding jari kepada orang lain.

    Itu penegasan Ketua Bahagian Bersatu Nibong Tebal, Yaakob Osman ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Ekonomi Pejabat Ekonomi Perdana Menteri (PM), Shahril Hamdan yang menggesa Muhyiddin ‘cermin diri’ terlebih dahulu sebelum melabelkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai gagal.

    Muhyiddin sebelum itu memberikan pandangan supaya kerajaan bertindak lebih serius menangani isu kejatuhan nilai mata wang ringgit.

    Yaakob berkata, Muhyiddin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) telah banyak memberi cadangan namun tidak dilaksanakan segera kerajaan.

    “Misalnya cadangan pembukaan pintu sempadan Singapura, dah dicadangkan awal untuk merancakkan ekonomi tetapi apa PM buat.

    “Kedua, kebenaran bawa masuk pekerja asing dengan segera pun dilewatkan walhal kedua perkara ini sangat penting untuk memulihkan ekonomi negara tetapi tidak dilakukan dengan kadar segera,” katanya,

    Beliau menambah, kerajaan perlu lebih peka dalam melaksanakan cadangan diberikan MPN kerana mereka ada kuasa.

    “MPN ini hanya menjalankan tugas menasihat,” ujarnya, lapor SatuBerita.

    Sehubungan itu beliau menegaskan tampuk pimpinan sekarang perlu mengambil tanggungjawab dan tidak menuding jari kerana kuasa terletak di tangan mereka.

  • Polis rakam keterangan dua beradik mangsa dera

    Polis rakam keterangan dua beradik mangsa dera

    POLIS merakam keterangan dua kanak-kanak disyaki didera sepasang suami isteri di sebuah kondominium di Taman Cahaya di Ampang pada Jumaat lalu.

    Dua kanak-kanak berusia enam dan lapan tahun itu telah dirakam keterangan di Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC), Bahagian Siasatan Seksual, Wanita & Kanak-Kanak (D11) di Ampang semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan pihaknya juga telah merekod keterangan beberapa individu lain berhubung kes itu.

    “Kertas siasatan dijangka akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada minggu ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Pada Jumaat, media melaporkan polis menahan kedua-dua suspek kira-kira pukul 6 petang selepas disyaki mendera dua beradik terbabit.

    Suspek wanita adalah adik kepada ibu mangsa yang menjaga dua beradik itu sejak dua tahun lalu selepas bapa kanak-kanak itu meninggal dunia.

    Sepasang suami isteri itu direman seminggu bagi membantu siasatan selepas disyaki mendera dua anak saudara mereka.

    Sebelum ini, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang berada seorang diri di rumah cuba terjun dan melarikan diri dari tingkap sebuah unit kondominium di tingkat empat.

  • “Jangan sampai kumpulan B40 menjadi kumpulan B80”- Jasri

    “Jangan sampai kumpulan B40 menjadi kumpulan B80”- Jasri

    BARISAN Nasional (BN) digesa membantu Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Ismail Sabri mentadbir negara dengan baik, bukan hanya pandai mendesak hingga pentadbiran negara menjadi huru hara.

    Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malsyaia (Bersatu) Maran, Datuk Jasri Jamaludin berkata, jika keadaan ini berterusan beliau percaya negara akan berdepan dengan cabaran yang bukan sahaja menyusahkan rakyat tetapi juga kemelesetan ekonomi berpanjangan.

    “Sehari dua ini tekanan makin kuat untuk PM membubarkan Parlimen oleh BN terutama pemimpin yang berdepan kes mahkamah.

    “Presidennya tanpa berfikiran rasional sanggup mengadakan pilihan raya di musim banjir tanpa mempedulikan kesusahan rakyat.

    “Apatah lagi pusat-pusat mengundi disekolah-sekolah terutama di negeri Pahang itulah juga dijadikan tempat pemindahan sementara banjir.

    “Rakyat yang saban tahun mengharungi banjir akan tahu bagaimana susah dan peritnya apabilah rumah-rumah mereka ditenggelami air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Jasri, akibat desakan itu, PM juga sudah tidak dapat fokus dalam mentadbir negara akibat tekanan selain banyak isu-isu rakyat yang tidak dapat ditangani.

    “Masaalah kehidupan rakyat yang kekurangan pendapatan, kenaikan harga barangan harian, rakyat yang masih belum mendapat pekerjaan akibat pandemik covid-19 dan pelbagai masaalah untuk rakyat meneruskan kehidupan.

    “Itu kita belum berbicara bab ekonomi. Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bank negara, tanggungan pinjaman meningkat, tukaran mata wang ringgit yang menjadi sangat lemah. Saya diberitahu sehingga Ringgit Malaysia (RM) sudah tidak bernilai di Thailand.

    “Laporan ahkbar Utusan Malaysia semalam juga mengatakan lebih 500,000 penoreh getah dan pekebun kecil berhadapan dengan bermacam masaalah terutama apabila tiba musim tengkujuh,” katanya.
    Beliau berkata, nasib mereka diabaikan dan tiada pihak dari kerajaan mengambil inisiatif untuk membantu walaupun kerajaan mempunyai sekurang-kurangnya enam agensi terlibat dengan pengurusan pekebun kecil.

    “Pilihan raya akan tetap diadakan dan tempoh masanya sehingga 2023. Eloklah kita mengutamakan bantuan kepada rakyat dan menyelesaikan masaalah negara yang kita hadapi. Jangan sampai kumpulan B40 menjadi kumpulan B80 akibat desakan yang tidak memberi manafaat kepada rakyat,” katanya, lapor SatuBerita.

  • Najib seperti punya akses bebas kepada dunia luar, dakwa Rafizi

    Najib seperti punya akses bebas kepada dunia luar, dakwa Rafizi

    TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyifatkan tulisan-tulisan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Facebook miliknya tidak menggambarkan keadaan kesihatannya yang teruk.

    Menurut Rafizi, bekas Perdana Menteri itu kelihatan seperti mempunyai akses bebas kepada dunia luar, yang mungkin mengesahkan dakwaan berkaitan layanan istimewa kepada ‘Merpati’ di penjara.

    Sejak beberapa hari lalu, timbulnya dakwaan layanan istimewa diberikan terhadap Najib yang dirujuk dengan nama kod Merpati di media sosial.

    Dakwaan itu antaranya melibatkan pengubahsuaian ruang penjara untuk Najib dan rancangan untuk membawanya ke Hospital Rehabilitasi Cheras bagi memudahkannya menerima tetamu dan mendapat kemudahan orang kenamaan (VIP).

    Memetik laporan Malaysiakini, Rafizi pada mulanya dilaporkan enggan mengulas mesej yang tersebar itu kerana tiada nama penulis.

    Bagaimanapun katanya, hantaran dalam Facebook Najib semalam yang mengulas pendekatan PKR untuk mendekati pengundi atas pagar telah menarik perhatiannya.

    “Saya keliru. Rakyat diberitahu bahawa kesihatan Najib tidak baik, tetapi sebaliknya dia nampak macam sihat dan malah boleh buat hantaran di Facebooknya,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Tegas Rafizi, Najib tidak sepatutnya mempunyai interaksi dengan dunia luar.

    “Bagaimana dia sampaikan mesej kepada pentadbir Facebooknya, lebih-lebih lagi bagaimana dia tahu apa yang saya cakap semasa pelancaran jentera pilihan raya PKR pada Ahad lalu,” soalnya.

    Katanya, sekiranya benar Najib akan dihantar ke Hospital Rehabilitasi Cheras, ia sekali gus mengukuhkan dakwaan di internet.

    “Dan ini isu serius yang Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan perlu jawab,” ujarnya.

    Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

    Beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur minggu lalu dan dikatakan menghadapi masalah ulser perut dan darah tinggi.

  • Lelaki jadikan dua anak ‘hamba seks’, ugut isteri dipenjara 45 tahun, 24 sebatan

    Lelaki jadikan dua anak ‘hamba seks’, ugut isteri dipenjara 45 tahun, 24 sebatan

    TINDAKAN durjana seorang lelaki merogol, melakukan seks luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap dua anak kandungnya yang kini berusia 15 dan 19 tahun sejak tujuh tahun lalu serta mengugut membunuh isteri serta kedua-dua mangsa berbalas apabila dijatuhi hukuman penjara selama 428 tahun serta 240 sebatan di Mahkamah Ayer Keroh, Melaka hari ini.

    Astrro AWANI melaporkan, keputusan itu diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen, Nariman Badruddin selepas tertuduh yang berusia 56 tahun mengekalkan pengakuan bersalah atas 28 pertuduhan yang dibuat di Mahkamah Sesyen sama semalam.

    Tertuduh yang bekerja sebagai penyelia sebuah syarikat pelaburan hanya menunduk lesu di kandang tertuduh ketika mendengar keputusan oleh mahkamah.

     Hukuman penjara itu bagaimanapun diputuskan berjalan serentak secara berperingkat dan menjadikan tempoh pemenjaraan selama 45 tahun selain sebatan juga dilakukan selain hanya 24 hukuman sebatan maksimum boleh dikenakan

    Mengikut 21 pertuduhan di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sekurang-kurangnya 10 sebatan, tertuduh didakwa merogol kedua-dua mangsa secara berasingan dengan 13 pertuduhan melibatkan mangsa berusia 19 tahun serta lapan lagi pertuduhan membabitkan seorang lagi mangsa yang kini berusia 15 tahun.

    Tertuduh turut didakwa atas lima pertuduhan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan kerana memasukkan objek ke dalam kemaluan mangsa yang berusia 15 tahun dan berdepan hukuman penjara maksimum 30 tahun serta sebatan.

    Malahan, bapa lima anak itu turut berdepan satu pertuduhan lain mengikut Seksyen 377B Kanun sama kerana melakukan seks luar tabii terhadap mangsa sama serta satu lagi pertuduhan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 atas dakwaan melakukan amang seksual fizikal.

    Mengikut fakta kes, kejadian yang berlaku sejak tahun 2015 itu terbongkar selepas isteri mangsa terlihat tertuduh sedang merogol mangsa yang kini berusia 15 tahun di rumah mereka pada 5 september lalu.

    Tertuduh yang mempunyai dua isteri dikatakan menjadikan kedua-dua mangsa sebagai ‘hamba seks’ selepas mereka mencecah usia 12 tahun dengan melakukan perbuatan terkutuk itu di setiap ruang rumah termasuk atas sofa ruang tamu dan tangga rumah.

    Malahan, tertuduh turut beberapa kali memaksa mangsa melakukan hubungan seks termasuk memasukkan objek ke dalam kemaluan remaja perempuan itu.

    Kesemua kesalahan itu dilakukan antara 24 September 2015 sehingga 5 September 2022 lalu yang mana kejadian bermula selepas kedua-dua mangsa mula mencecah usia 12 tahun.

    Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Taman Thamby Chik dalam daerah Melaka Tengah.

    Prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan menjelaskan keterangan diberikan oleh kedua-dua mangsa jelas membuktikan mereka trauma dengan kejadian itu sehingga takut untuk mendekati lelaki lain mahupun saudara mereka.

    Katanya, sifat ‘binatang’ tertuduh telah merosakkan sesebuah institusi kekeluargaan sedangkan menjadi tanggungjawabnya sebagai ayah untuk melindungi kehormatan anak perempuannya.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun beberapa kali mengulangi telah menginsafi perbuatannya dan sudah memohon maaf kepada isteri serta anak-anak selain memohon hukuman ringan memandangkan keadaannya yang uzur kerana menghidap penyakit jantung, darah tinggi, diabetes, sakit kulit kronik serta masalah tulang belakang.

    Dalam prosiding berasingan, tertuduh turut mengaku bersalah di hadapan Majistret Mazana Sinin kerana mengeluarkan kata-kata ugutan bunuh terhadap isteri dan anak-anak dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun.

    Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun.

    Prosiding berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal.