Author: Wartawan WartaRakyat

  • [VIDEO] Neelofa dah macam guru pendidikan jasmani

    [VIDEO] Neelofa dah macam guru pendidikan jasmani

    TIDAK asing buat warganet, Neelofa pasti mengundang perhatian ramai dan bualan di media sosial.

    Kebiasaannya kecantikan atau kemewahan dalam penampilan Neelofa jadi bualan.

    Terbaru selebriti itu mengejutkan netizen dengan penampilan ringkas dan bersahaja.

    Dengan mengenakan baju t-shirt berwarna merah serta tudung sarung berwarna hitam, penampilan Neelofa ke gelanggang futsal itu membuat netizen teruja.

    Pengguna, Kimkjenner berkata sekiranya nama Neelofa tidak disebut di dalam video berdurasi 12 saat itu, dia tidak mampu memastikan bahawa itu adalah artis terkenal tersebut.

    “Kalau orang yang rakam ini tak menyebut nama Neelofa , serius tak ‘cam’ (mengetahui) pun tu Neelofa. Nampak berbeza dan cantik!,” katanya.

    Antara komen netizen yang terpegun dengan selebriti terkenal itu

    Sprinklelolly pula terpegun kerana akhirnya Neelofa kelihatan seperti rakyat biasa.

    Di samping itu, Miyuni94 memuji kecantikan artis terkenal itu walaupun hanya mengenakan baju biasa bersama tudung sarung.

    Seorang pengguna Fatin pula sempat menyamakan penampilan Neelofa seperti seorang ustazah.

    Cikpet83 turut menyukai pasangan tersebut kerana mengingatkan beliau kepada pasangan budak sekolah dan seorang cikgu Pendidikan Jasmani yang sering diperlihatkan di sekolah.

    Difahamkan Neelofa hadir ke gelanggan futsal tersebut bagi memberikan semangat kepada suaminya, Haris Ismail atau lebih mesra dikenali sebagai PU Riz.

    Menerusi video yang dikongsikan @seorangnur di Tiktok, Neelofa juga kedengaran berseloroh dengan menyatakan bahawa kehadirannya itu adalah berbayar.

    “Kena bayar tau … dibayar,” kata Neelofa sambil kedengaran gelak ketawa daripada rakannya yang merakam detik kehadiran artis itu

    Perkongsian video itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang mengatakan penampilan Neelofa seperti cikgu Pendidikan Jasmani yang turun ke padang.

    Pengguna, Ubai Mz menyamakan penampilan Neelofa pada malam itu persis guru Pendidikan Jasmani ketika zaman persekolahannya.

    Ijatshobki_ juga bersetuju akan pemerhatian tersebut, walaupun selebriti terkenal itu tidak beraksi di gelanggang, tetapi ‘gaya’ tidak ubah seperti seorang pendidik di sekolah.

    Netizen turut menyamakan ‘aura’ Neelofa tidak lain seperti cikgu Pendidikan Jasmani atau ustazah di sekolah

    Tidak kurang juga ada yang mengatakan pertama kali mereka melihat penampilan Neelofa seperti itu namun tetap cantik meskipun tampil berbeza dan biasa.

    Deeyazul memuji kecomelan Neelofa dalam mengenakan pakaian persis guru agama sewaktu hari sukan sekolah.

    “Gaya macam kumpulan ustazah waktu hari sukan sekolah dahulu, aw cute (comel),” katanya, lapor SatuBerita.

  • Serang polis dengan parang, tekong bawa PATI ditembak mati

    Serang polis dengan parang, tekong bawa PATI ditembak mati

    POLIS menembak mati seorang lelaki maut selepas menyerang anggota pasukan keselamatan itu dengan parang ketika cuba menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan di Jeram Perdah di Kota Bharu, hari ini.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek yang berusia awal 30-an itu terkena satu das tembakan di bahu kiri dalam Op Wawasan pada pukul 1.40 pagi.

    “Sebelum itu sepasukan pegawai dan anggota polis dari Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) melihat sekumpulan PATI menyeberangi sungai dari Thailand ke Malaysia.

    “Ketika kejadian, pengadu bersama seorang anggota cuba menahan lelaki itu namun dengan tiba-tiba dia berlari ke arah pengadu sambil memegang parang.

    “Ketika lelaki tersebut menyerang pengadu dengan menggunakan parang, pengadu melepaskan satu das tembakan dari arah sisi kiri lelaki itu bagi mempertahankan dirinya daripada serangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pemeriksaan awal terhadap lelaki tersebut mendapati dia masih bernyawa dan dibawa ke Hospital Lati, Pasir Mas, Kelantan bagi mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia pada jam 2.12 pagi.

    “Tiada parut suntikan Bacillus Calmette-Guerin (BCG) ditemui di badannya dan dia dipercayai bukan warganegara Malaysia berdasarkan tiada dokumen diri ditemui padanya.

    “Lelaki itu dipercayai tekong yang membawa masuk PATI melalui jalan tersebut ke satu tempat persembunyian sebelum diambil oleh pengangkut yang lain,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di kawasan tersebut berjaya menahan lima lelaki dan dua wanita warganegara Myanmar.

    “Polis merampas sebilah parang di tempat kejadian dan sepucuk pistol Styer bersama peluru dari Kompeni Taktikal (Komtek) PGA Jeram Perdah.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960, Seksyen 55 E dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

  • Mahkamah benarkan pendakwa cabar kebolehpercayaan saksi Zahid

    Mahkamah benarkan pendakwa cabar kebolehpercayaan saksi Zahid

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pendakwaan untuk memulakan prosiding bagi mencabar kebolehpercayaan saksi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan memberikan keterangan bercanggah.

    Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya berhasrat memulakan prosiding itu terhadap Pengarah Syarikat Pembinaan Teknik Sempurna Sdn Bhd, Jefri Jamil mengikut Sekyen 155 Akta Keterangan 1950.

    Difahamkan permohonan itu dibuat pendakwaan kerana keterangan Jefri yang membacakan pernyataan saksinya di mahkamah hari ini, dikatakan bercanggah dengan kenyataan yang diberikan beliau kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2018.

    Pada ketika itu, Raja Rozela sedang menyoal balas Jefri berkaitan cek yang diterima syarikat Teknik Sempurna berhubung pembinaan masjid dan sekolah agama di Masjid Tanah, Melaka daripada Yayasan Akalbudi yang diasaskan Presiden UMNO itu.

    Bagaimanapun permohonan berkenaan dibantah oleh peguam bela Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, dengan alasan dokumen kenyataan Jamil kepada SPRM sudah diklasifikasikan sebagai sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada 2 Mac 2021.

    Menurut Hisyam, pendakwaan tidak boleh memulakan prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi itu kerana pihaknya pernah memohon untuk mendapatkan dokumen berkenaan tetapi ditolak mahkamah sebelum ini dengan alasan ia tertakluk di bawah OSA.

    Raja Rozela bagaimanapun berkata kedua-dua permohonan berkenaan membabitkan perkara yang berbeza, lapor Berita Harian.

    Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, kemudian memutuskan pendakwaan boleh memulakan prosiding itu kerana Seksyen 155 membenarkan pendakwaan untuk mencabar kebolehpercayaan saksi dan ia tidak menyentuh sama ada dokumen berkenaan diklasifikasikan mengikut OSA atau tidak.

    Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

    Bagi pertuduhan pecah amanah Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadi dan polisi insurans serta lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang kepada firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

  • KJ umum berita gembira buat jururawat kontrak dan jawatan tetap

    KJ umum berita gembira buat jururawat kontrak dan jawatan tetap

    SERAMAI 1,136 Jururawat Gred U29 Kontrak, keluaran Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan 2,804 jururawat swasta yang dilantik secara kontrak serta masih berkhidmat di KKM bagi menyokong perkhidmatan kesihatan khususnya dalam tempoh pandemik COVID-19, akan diserap ke jawatan tetap.

    Menterinya, Khairy Jamaluddin dalam laporan Berita Harian berkata, pelantikan tetap itu akan dibuat secara berfasa dalam tempoh suku keempat tahun ini dan suku pertama tahun depan.

    Menurutnya, pelantikan tetap juga membabitkan Jururawat Masyarakat Gred U19 sebagai Jururawat Gred U29.

    “Seramai 1,406 Jururawat Masyarakat Gred U19 yang telah lulus kursus Diploma Kejururawatan Peningkatan Secara Lantikan (PSL), namun masih belum ditawarkan pelantikan tetap secara PSL ke jawatan Jururawat Gred U29.

    “KKM akan memfleksikan jawatan Jururawat Masyarakat Gred U19 kepada jawatan Jururawat Masyarakat Gred U19/Jururawat Gred U29.

    “Pindaan ini dibuat bagi membolehkan Jururawat Masyarakat Gred U19 yang lulus kursus Diploma Kejururawatan PSL dapat ditawarkan pelantikan tetap dan kekal mengisi jawatan sedia ada sebagai Jururawat Gred U29.

    “Dalam hal ini, KKM bercadang menggunakan 2,775 jawatan Jururawat Masyarakat Gred U19 yang kosong untuk diisi oleh graduan Jururawat dari Institut Latihan KKM mahupun swasta,” katanya di Johor Bahru, hari ini.

    Khairy menurut laporan itu lagi menjelaskan, KKM juga menawarkan kenaikan pangkat ke Gred U42 kepada 110 Jururawat yang memiliki ijazah sarjana muda kejururawatan yang diiktiraf oleh Kerajaan melibatkan 50 Jururawat Gred U32 dan 60 Jururawat Gred U36. Tawaran ini akan dibuat pada 17 Oktober 2022.

    Katanya, sebanyak 49 jawatan Jururawat Gred U41/42/U44 lagi akan diisi menerusi pengambilan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang akan dilaksanakan pada suku pertama tahun 2023.

    “KKM mengunjurkan sebanyak 226 jawatan Jururawat Gred U41/42/U44 diwujudkan dalam tempoh 2023 hingga 2025 iaitu sebanyak 63 jawatan pada tahun 2023, 125 jawatan pada tahun 2024 dan 38 jawatan lagi pada tahun 2025.

    “Jumlah ini tidak termasuk unjuran pewujudan sebanyak 7,434 jawatan Jururawat Gred U29, Gred U32 dan Gred U36 dalam tempoh yang sama.

    “Berdasarkan unjuran pewujudan sebanyak 226 jawatan Jururawat Gred U41/42/U44 ini, KKM akan menguruskan pelantikan tetap dan menawarkan kenaikan pangkat kepada pegawai yang layak mengikut tahun berkenaan,” katanya.

    Kadar nisbah jururawat dengan pesakit di Malaysia pada tahun 2020 ialah 1:302, jumlah itu semakin baik pada tahun 2021 dengan kadar nisbah 1:297, namun masih belum memenuhi sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 1:200.

    Khairy berkata, selepas isu doktor kontrak, sebahagian isu jururawat kini telah diselesaikan dan pada masa akan datang isu Pembantu Perubatan juga dalam perancangan untuk penyelesaian.

    “Diharap dengan inisiatif penyerapan jawatan kontrak dan kekosongan yang diisi dapat pengurangan kadar nisbah jururawat dengan pesakit selaras saranan WHO iaitu 1:200,” katanya.

  • Pelaku rasuah bunuh masa hadapan bangsa, pemusnah negara

    Pelaku rasuah bunuh masa hadapan bangsa, pemusnah negara

    PELAKU rasuah perlu dilihat sebagai musuh yang mahu membunuh masa hadapan generasi akan datang dan sedang memusnahkan negara.

    Ketua Pasukan #RasuahBuster, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacob berkata, aktiviti korupsi yang sudah berakar terlalu lama telah menyebabkan penderitaan yang tidak berkesudahan.

    Tegas beliau, amalan rasuah yang telah mengaibkan dan mengorbankan maruah negara oleh sesetengah individu perlu dihentikan dengan kadar segera.

    “Sudah-sudahlah membiarkan rakyat terzalimi kerana tidak ada keadilan ekonomi dan sosial.

    “Kita tak perlu bina kubu seperti tembok China untuk membentengi negara daripada musuh.

    “Cukup untuk kita bina tembok moral dan keimanan untuk pertahanan diri yang membentengi rasuahdaripada terus-terusan membarah,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran buku ‘Korupsi dan kemunafikan politik Melayu’ hari ini, lapor Utusan TV.

    Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan untuk mencemar dulu bagi melancarkan buku tersebut.

    Turut hadir ialah pimpinan parti politik termasuk kepimpinan Pemuda UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR dan Part Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

    Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, sifat mabuk kuasa dan gila kepada kuasa telah menyebabkan ramai orang menjadi buta.

    Jelas beliau, semua orang perlu memilih corak kepimpinan dan pemimpin bermaruah, berprinsip, mengutamakan rakyat dan mampu membina serta membangunkan negara dengan baik.

    “Jangan memilih pemimpin yang menjadikan rakyat alat dan kuda tunggangan untuk memenuhi cita-cita peribadi mereka.

    “Wang negara yang diselewengkan, bocor dan tiris di sini-sana kerana memenuhi sifat tamak dan kepentingan peribadi pelaku rasuah.

    “Sampai bilakah kita harus leka dan tenggelam dalam pendustaan mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

    Hussamuddin menambah, #RasuahBusters telah turun padang ke setiap pelosok negeri untuk berjumpa orang ramai untuk berbicang dan merangka strategi transformasi memerangi rasuah.

    Selain itu, jelas beliau, pihaknya juga menganjurkan dialog bersama para pelajar di sekolah dan pusat pengajian bagi membolehkan mereka menjadi sebahagian daripada gerakan memerangi rasuah.

    “Alhamdulillah hari ini sokongan yang semakin meningkat dan suara anti rasuah semakin lantang bergema di seluruh negara tak kira oleh ahli politik, anak kecil atau siapa-siapa pun juga,” katanya.

  • Ahli perniagaan Malaysia ‘Fat Leonard’ diberkas di Venezuela

    Ahli perniagaan Malaysia ‘Fat Leonard’ diberkas di Venezuela

    AHLI perniagaan warga Malaysia, Leonard Glenn Francis yang melarikan diri daripada tahanan rumah di San Diego, awal bulan ini selepas mengaku bersalah dalam skandal rasuah tentera laut Amerika Syarikat (AS) ditahan di Venezuela pagi kelmarin.

    Portal NBC News melaporkan, lelaki yang dikenali sebagai ‘Fat Leonard’ ditahan ketika cuba menaiki pesawat di lapangan terbang antarabangsa Caracas.

    Pegawai kanan Polis Antarabangsa (INTERPOL) di Venezuela, Carlos Garate Rondon berkata, Francis memasuki negara itu dari Mexico sebelum Cuba dan destinasi terakhirnya adalah Rusia.

    Dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Simón Bolívar di ibu negara Venezuela dan kekal dalam tahanan sementara menunggu proses ekstradisi oleh pihak berkuasa AS.

    Francis dilaporkan melarikan diri dengan memotong gelang peranti pemantauannya pada 4 September sebelum melarikan diri dari kediamannya di San Diego.

    Pada 2015, dia mengaku bersalah merasuah pegawai tentera laut AS dalam skandal bernilai AS$35 juta (RM160 juta) setelah ditahan pada 2013.

  • [VIDEO] Bella hadir ke Mahkamah tampil seperti ‘Elsa’

    [VIDEO] Bella hadir ke Mahkamah tampil seperti ‘Elsa’

    REMAJA perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella hadir di Mahkamah bagi tujuan prosiding untuk memberi keterangan pada hari ini.

    Namun, apa yang lebih mencuri tumpuan ialah penampilan Bella ketika hadir ke Mahkamah yang dilihat mengenakan gaun berwarna biru serta mahkota dan tongkat seperti Puteri Elsa di dalam filem animasi terkenal, Frozen.

    Video berdurasi 41 saat yang dikongsi oleh @firdausashaj di Instagram memaparkan aksi Bella mengambil gambar dengan beberapa orang di Mahkamah.

    Perkongsian itu turut dibanjiri komen warganet yang memberi pujian serta sebak melihat remaja itu terus kuat berjuang menegakkan keadilan dibantu beberapa orang aktivis dan peguam, lapor Satu Berita.

    Siti Bainun Ahd Razali, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

  • Pembantu tadbir tidak mengaku salah dapatkan suapan untuk syarikat milik anak

    Pembantu tadbir tidak mengaku salah dapatkan suapan untuk syarikat milik anak

    SEORANG pembantu tadbir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas lima pertuduhan mendapatkan suapan bagi membolehkan syarikat milik anaknya dipilih sebagai pembekal perkhidmatan dan beberapa barangan dua tahun lalu.

    Tertuduh, Mohd. Zulkrnin Abdul Rashid, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Mengikut pertuduhan, Mohd. Zulkrnin didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pembantu tadbir gred N22 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Arumugam Pillai untuk mengesyorkan syarikat milik anak sulungnya, Salam Rizqi Maju Enterprise melalui lima nota minta bernilai RM8,890.

    Antaranya adalah perkhidmatan mengambil dan menghantar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang Bubok ke ILP Arumugam Pillai bernilai RM550.

    Selain itu, tertuduh turut didakwa mengesyorkan syarikat sama bagi kerja pembekalan poster Covid-19 untuk kegunaan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan peralatan pencegahan dan SOP pandemik Covid-19 di ILP Arumugam Pillai yang masing-masing bernilai RM950 dan RM4,790.

    Dia juga dituduh menggunakan kedudukannya bagi membolehkan syarikat anaknya itu membekalkan perkhidmatan makanan dan minuman bernilai RM600 serta membekalkan jata negara dan pemasangan cermin gelap kenderaan berjumlah RM2,000.

    Kesemua kesalahan itu didakwa melakukan kegiatan terbabit di ILP Arumugam Pillai bermula Februari sehingga Julai 2020.

    Mohd. Zulkrnin didakwa melakukan kelima-lima kesalahan itu mengikut Seksyen 23(1)) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau lima kaki ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azlan Basri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Dalam pada itu, mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat sebanyak RM8,000 beserta seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Tertuduh juga perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan serta tidak dibenarkan mengganggu saksi kes sehingga kes selesai.

    Mahkamah turut menetapkan 21 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Rasuah: SPRM tahan pesara kerajaan salah guna kedudukan

    Rasuah: SPRM tahan pesara kerajaan salah guna kedudukan

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG pesara kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah kerana menyalahgunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah pada 2005.

    Sumber memaklumkan, lelaki berusia 69 tahun itu yang pernah bertugas di sebuah Pejabat Tanah dan Daerah di negeri ini ditahan di Pejabat SPRM negeri kira-kira pukul 3 petang kelmarin.

    “Lelaki itu disyaki menyalahgunakan jawatannya semasa proses pengambilan tanah oleh kerajaan bagi projek Lebuhraya Langkawi untuk mendapatkan suapan.

    “Suapan tersebut merupakan sebuah rumah di Sungai Menghulu, Langkawi untuk dirinya sendiri,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

    Tambah sumber, suspek kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

    “Jaminan itu diberikan atas faktor umur dan kesihatan dirinya,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes tersebut masih dalam siasatan.

    “Kami masih menyiasat kes tersebut di bawah di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.

  • Seleweng RM55.7 juta, bekas wanita pertama Honduras dipenjara 14 tahun

    Seleweng RM55.7 juta, bekas wanita pertama Honduras dipenjara 14 tahun

    BEKAS wanita pertama Honduras, Rosa Bonilla dihukum penjara 14 tahun oleh sebuah mahkamah semalam, selepas didapati bersalah menipu dan menyeleweng dana untuk kanak-kanak miskin, kata jurucakap kehakiman.

    Free Malaysia Today dalam laporannya memetik agensi berita Reuters melaporkan, menurut Kementerian Awam, isteri bekas presiden Porfirio Lobo itu membelanjakan dana bagi membantu kanak-kanak miskin berjumlah USD12.2 juta (RM55.7 juta) untuk membayar kad kredit, yuran sekolah anak-anaknya dan pembinaan hartanah.

    Peguamnya, Juan Berganza berkata, beliau akan membuat rayuan terhadap hukuman berkenaan.

    “Bekas wanita pertama, Rosa Elena Bonilla dihukum penjara 14 tahun sebulan atas jenayah penipuan dan menyeleweng dana awam untuk program sosial,” kata jurucakap Mahkamah Agung, Carlos Silva kepada wartawan.

    Bonilla sebelum ini dihukum penjara 58 tahun dalam perbicaraan terdahulu, tetapi dibatalkan Mahkamah Agung pada awal 2020 atas alasan tidak konsisten.

    Mahkamah Agung mengarahkan perbicaraan semula di mahkamah rendah, yang kemudiannya mendapati Bonilla bersalah pada Mac lalu.

    Lobo dilantik sebagai presiden pada 2009, selepas rampasan kuasa tentera yang menggulingkan kerajaan pimpinan presiden ketika itu, Manuel Zelaya. Lobo berkuasa hingga 2014.

    Seorang anak lelaki pasangan itu, Fabio Lobo, dihukum penjara 24 tahun oleh sebuah mahkamah di Amerika Syarikat pada 2017, selepas mengaku bersalah berkonspirasi menyeludup kokain ke negara itu.