Author: Wartawan WartaRakyat

  • Manifesto PRU-15: Saya tak boleh janjikan ‘langit’ – Anwar

    Manifesto PRU-15: Saya tak boleh janjikan ‘langit’ – Anwar

    KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar manifesto PRU-15 Pakatan Harapan (PH) akan disusun dengan lebih teliti dengan tidak terlalu banyak menabur janji.

    Dalam temu bual eksklusif bersama Malaysiakini, presiden PKR itu berpendirian manifesto hanya memberikan komitmen yang jelas mengenai isu yang mampu ditangani oleh gabungan itu, sekiranya ia menawan semula Putrajaya.

    “Malangnya manifesto (sebelum ini) memang menjadi satu isu… tetapi pendirian saya adalah untuk memberikan komitmen yang jelas mengenai isu-isu yang kita mampu selesaikan.

    “Jangan buat terlalu banyak janji. Saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan tadbir urus yang baik. Saya tidak boleh menjanjikan langit, dan saya rasa itu jujur,” katanya.

    Pada tahun 2018, Pakatan Harapan melancarkan manifesto pilihan raya setebal 138 muka surat yang bercita-cita tinggi, antaranya berusaha menangani peningkatan kos sara hidup, tuntutan beberapa komuniti dan mengurangkan kuasa perdana menteri.

    Bagaimanapun, sebelum keruntuhan kerajaan PH pada 2020 selepas memegang jawatan selama 22 bulan, perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui gabungan itu kesuntukan masa untuk menunaikan janji manifesto yang dibuat dengan tidak menjangkakan gabungan itu betul-betul akan menang.

    Anwar berkata pada tahap peribadi, beliau sedang merangka manifesto PH melalui penglibatan dengan sarjana dan maklum balas daripada rakan-rakan. Gagasan itu, katanya, termasuk catitannya semasa di penjara.

    Beliau mengakui PH menerima kelemahan mereka sendiri, tetapi berkata pada akhirnya PH komited untuk berusaha menyelamatkan negara.

    “Parti politik dan masyarakat sivil, setiap orang ada agenda masing-masing. Kita kena akur. Tetapi sebagai sebuah negara, mereka tidak boleh mengharapkan kita menerima setiap tuntutan kumpulan tertentu.

    “Kita mesti sekurang-kurangnya bersetuju dalam isu teras kemapanan, tadbir urus, yang merangkumi kebebasan kehakiman dan juga antirasuah,” katanya.

    Bekas timbalan perdana menteri itu berkata terdapat pandangan sinis dan negatif yang berleluasa di kalangan orang ramai tetapi kerajaan sekarang tidak menangani isu-isu ini.

    “Kami mempunyai pemimpin sekarang (yang) sepenuhnya dalam keadaan penafian.

    “Menteri Kewangan (Tengku Zafrul Aziz) menyatakan bahawa kejatuhan ringgit bukan satu isu atau kebimbangan.

    “Ia tidak masuk akal! Saya tidak tahu bagaimana dia menjadi seorang pegawai bank dulu jika ini pandangan yang dia nyatakan, dan diterima pula,” kata Anwar.

    ‘Tuhan selamatkan rakyat’

    Anwar menegaskan PH dan dirinya istiqamah dari sudut nilai dan integriti.

    Ketua pembangkang itu mendedahkan pada Jun lalu dia mendapat sokongan 120 ahli parlimen, termasuk 15 daripada Umno, untuk menjadi perdana menteri pada 2020, tetapi jumlah itu berkurangan selepas dia enggan campur tangan dalam kes mahkamah Najib Razak.

    Bagaimanapun, PH berpegang pada prinsip bahawa ia tidak akan menerima akuan berkanun (SD) daripada bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi – antara 15 ahli parlimen Umno yang memberikan sokongan kepada Anwar.

    “Ramai di antara kamu yang berhutang permohonan maaf kepada saya. Orang ramai mempersendakan saya (kerana mendakwa saya mempunyai majoriti), malah rakan-rakan dalam gabungan (PH). Ini bukan rahsia kepada pemimpin parti, tetapi kita tidak boleh mengatakannya secara terbuka.

    “Saya berkata kepada Tuanku, jika mereka (Umno) boleh memanipulasi dan mengingkari komitmen mereka selepas memberikan SD kepada Tuanku, maka tuhan selamatkan rakyat,” katanya.

  • Datuk Bandar Shah Alam sahkan MBSA ‘diserbu’ SPRM

    Datuk Bandar Shah Alam sahkan MBSA ‘diserbu’ SPRM

    MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengesahkan pejabatnya di Shah Alam ‘diserbu’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada Isnin lalu.

    Datuk Bandar Shah Alam, Zamani Ahmad Mansor mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini.

    Bagaimanapun, Zamani berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan tujuan serbuan tersebut dilakukan.

    “Ya (SPRM buat serbuan di pejabat MBSA).

    “Berkenaan dengan perkara ini (serbuan SPRM), kita masih tunggu laporan SPRM takut salah fakta,” katanya kepada Malaysiakini.

    Dia berkata demikian ketika diminta mengesahkan sekiranya terdapat serbuan SPRM di MBSA pada Isnin.

    Malaysiakini difahamkan oleh salah seorang wakil rakyat PKR yang enggan namanya disebut bahawa ‘serbuan’ itu dilakukan mungkin berkaitan dengan projek tebatan banjir.

    Namun Malaysiakini tidak dapat mengesahkan sama ada kunjungan itu satu serbuan atau sekadar lawatan.

    Malaysiakini juga sudah menghubungi SPRM bagi mengesahkan perkara tersebut, namun belum mendapat sebarang maklum balas.

  • Baharuddin dilantik Pengarah Cawangan Khas

    Baharuddin dilantik Pengarah Cawangan Khas

    TIMBALAN Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman, Datuk Baharuddin Ahmad, dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman yang baharu berkuat kuasa 25 Oktober ini.

    Perkara itu diumumkan Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, melalui satu kenyataan, hari ini dengan Baharuddin antara 26 pegawai kanan yang terbabit dalam pertukaran berkuat kuasa tarikh sama.

    Berikutan pertukaran ke jawatan baharu itu, Noorsiah berkata, Baharuddin akan memangku Gred VUYA5 (JUSA A)

    Baharuddin sejak 22 Ogos lalu memangku jawatan Pengarah Cawangan Khas susulan persaraan Datuk Seri Zamri Yahya.

    Kekosongan jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman akan diisi Datuk Mohd Khalid Ismail yang kini memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah E4 Cawangan Khas Bukit Aman. Beliau akan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).

    Noorsiah turut memaklumkan, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun akan mengisi kekosongan jawatan Ketua Polis negeri itu dengan memangku pangkat CP.

    Kekosongan ditinggalkan Muhammad Zaki akan diisi Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob, dengan memangku pangkat CP.

    Pertukaran juga membabitkan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin, sebagai Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, dengan memangku pangkat CP.

    “Ketua Cawangan Khas Johor, Senior Asisten Komisioner (SAC) Jalaludin Hamid akan mengisi jawatan Ketua Penolong Pengarah E4 Cawangan Khas Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP).

    “Jawatan Timbalan Ketua Polis Johor pula akan digantikan Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, SAC S M M Kumar yang akan memangku pangkat DCP,” katanya.

    Menurut Noorsiah, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Datuk Anuar Othman dilantik sebagai Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur dan memangku pangkat DCP.

    “Ketua Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Maktab Teknik PDRM Bakri di Muar, Johor, Asisten Komisioner (ACP) Md Khair Othman, pula ditukarkan kepada Ketua Penolong Pengarah (Agama dan Kaunseling), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dan memangku pangkat SAC.

    “Selain itu, Penolong Pengarah Perkhidmatan Bahagian Perkhidmatan Perjawatan, Jawatan Pengurusan Bukit Aman, ACP Mohd Faisal Yahya ditukarkan kepada Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta), JSJN Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC,” katanya.

    Kata Noorsiah, pertukaran juga membabitkan Timbalan Ketua Cawangan Khas Risikan dan Operasi Pulau Pinang, ACP Nor Azizi Maarof kepada Ketua Cawangan Khas Johor dan memangku pangkat SAC.

    “Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Osman Mamat ditukarkan kepada Ketua Penolong Pengarah (Perancangan dan Pembangunan Dasar Strategik) Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan Bukit Aman dan turut memangku pangkat SAC.

    “Turut ditukarkan, Ketua Unit Penguatkuasaan Seksyen Wang Awam II, Bahagian Dasar Saraan Wang Awam dan Khidmat Pengurusan, Kementerian Kewangan, ACP Luqman Abdul Rahman kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak dengan memangku pangkat SAC,” katanya.

    Katanya lagi, pertukaran juga membabitkan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Rupiah Abd Wahid yang ditukarkan sebagai Ketua JPJKK Johor dengan memangku pangkat SAC, manakala jawatan Ketua Polis Daerah Taiping akan diisi Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid dengan memangku pangkat ACP.

  • ‘’100 peratus ahli UMNO Pasir Salak sokong saya calon Ahli Parlimen’’ – Tajuddin

    ‘’100 peratus ahli UMNO Pasir Salak sokong saya calon Ahli Parlimen’’ – Tajuddin

    AHLI  Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengesahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen yang sedang disandangnya itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu berkata ini kerana majoriti ahli parti di bahagian berkenaan mahu beliau bertanding di kerusi tersebut.

    Malah katanya perkara berkenaan turut mendapat sokongan sebahagian besar ahli-ahli UMNO di cawangan Bahagian Pasir Salak.

     “Ahli UMNO di Pasir Salak 100 peratus sokong saya sebagai calon Ahli Parlimen. Malah jawatankuasa bahagian juga mencalonkan nama saya yang mana cawangan-cawangan juga menyokong sokong saya bertanding di kerusi Parlimen itu.

    “Saya tidak mahu dikatakan ‘masuk bakul angkat sendiri’, tetapi anda boleh menilai dengan fakta di mana kelemahan saya sebagai ketua bahagian selama ini,” katanya lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian pemberita ketika sesi beramah mesra bersama media di sini, pada Jumaat.

    Tambahnya, walaupun beliau digugurkan daripada jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebelum ini, ia tidak menghalang ahli-ahli UMNO Bahagian Pasir Salak untuk mencalonkan beliau bertanding di kerusi Parlimen itu lagi.

    Katanya,  selama beliau memimpin parti di kawasan berkenaan, UMNO Bahagian Pasir Salak mempunyai rekod yang baik selain tidak wujud sebarang perpecahan dalaman.

    Pada masa sama, Tajuddin turut mengesahkan Ketua Wanita UMNO Perak Datuk Dr Wan Noorashikin Wan Nordin telah dicalonkan UMNO Bahagian untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah pada PRU15.

    Katanya, sementara Timbalan Ketua UMNO bahagian, Khairul Azwan Harun pula dicalonkan oleh untuk bertanding di kerusi DUN Sungai Manik.

    “UMNO Bahagian mahu Dr Wan sebagai calon di (DUN) Kampung Gajah kerana dia telah menjalankan kerja yang bagus. Malah rakyat menerimanya dengan baik. Selain itu, Ttmbalan saya, Khairul Azwan (Harun) dicalonkan (untuk bertanding di DUN) Sungai Manik.

    “Tidak ada pertikaian dalam kalangan ahli. Saya sudah mendapatkan respon semua cawangan dalam perjumpaan, dan mereka semua setuju,” katanya lagi.

  • PRU-15 semasa banjir, helah UMNO untuk menang: Mukhriz

    PRU-15 semasa banjir, helah UMNO untuk menang: Mukhriz

    GESAAN beberapa pemimpin UMNO yang mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan hujung tahun ini yang turut diramalkan akan berlaku banjir, hanyalah helah untuk memastikan tidak ramai pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.

    Menurut Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, ini kerana UMNO menyedari sokongan rakyat tidak lagi menyebelahi mereka sekiranya PRU ditangguhkan lagi sehingga ke tahun hadapan.

    “UMNO kemungkinan mengambil peluang parti itu untuk menang adalah lebih tinggi sekiranya jumlah pengundi hanya berada di bawah 60 atau 50 peratus.

    “Apabila jumlah yang keluar mengundi rendah, peluang untuk UMNO menang makin tinggi, itu terbukti berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

    “Di Johor, sekitar 45 peratus tidak keluar mengundi manakala sebahagian mereka pula tidak undi UMNO serta BN. Masalahnya, pembangkang berpecah menyebabkan UMNO dapat membentuk kerajaan hanya dengan 30 peratus yang mengundi mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ‘Jom Mengemping bersama Ahli Parlimen Jerlun’ di Megat Dewa di Kodiang, hari ini.

    Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, oleh itu dalam PRU akan datang, UMNO mahu menggunakan helah tersebut sebagai formula untuk pastikan kemenangan parti itu dengan beranggapan ketika banjir tidak ramai akan keluar mengundi.

    “Ketika itu, mereka akan kerah penyokong tegar bagi membolehkan cukup 30 peratus untuk menang pilihan raya.

    “Janganlah kita termakan dakyah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kononnya pembangkang takut berdepan PRU, beliau yang mahu buat PRU sewaktu orang tak ramai dengan harapan boleh menang,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya lagi, Pejuang tidak sesekali takut untuk berdepan PRU sama ada cepat atau lambat kerana itu adalah peranan sebuah parti politik.

    “Ahmad Zahid kata kita ni semua takut. Takut apa? Kita nak jaga kepentingan rakyat. Bukan takut nak menghadapi pilihan raya. Kami tetap bersiap sedia untuk hadapi pilihan raya sama ada banjir atau tidak, itu memang kerja kami,” katanya.

    Mukhriz tegaskan, adalah tidak wajar untuk mengadakan PRU15 ketika rakyat berdepan musibah banjir.

    “Kesian kepada rakyat, tak patut sangatlah. Orang sedang susah rumah tenggelam, ada pihak kalut nak buat PRU. Sudahlah tempat mengundi kebiasaannya adalah sekolah, masa banjir pula sekolah dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Agaknya mereka (UMNO) terdesak sangat nak menang sebab tu nak juga buat PRU ketika banjir,” katanya sinis.

    Ahmad Zahid ketika melancarkan Jentera Pemuda BN baru-baru ini dilaporkan berkata, BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU-15 diadakan tahun ini.

    Beliau yang juga Presiden UMNO menyifatkan isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat ini adalah jelas dan nyata.

  • 5 hari hilang, anak tak tolak kemungkinan bapa ‘disembunyikan’ di alam lain

    5 hari hilang, anak tak tolak kemungkinan bapa ‘disembunyikan’ di alam lain

    KEHILANGAN seorang warga emas, Ithnin Warsan, 79, penduduk Kampung Tungku Tiga dekat Segamat sejak lima hari lalu disifatkan anaknya sebagai misteri dan tidak menolak kemungkinan kaitan alam ghaib.

    Noor Azali Ithnin, 44, berkata, kali terakhir ahli keluarga melihat bapa mereka ialah pada pukul 7 petang, Isnin lalu ketika warga emas berkenaan bersiar-siar di halaman rumah.

    “Biasanya, bapa akan masuk ke rumah sebelum azan Maghrib. Namun, pada hari kejadian, dia tidak masuk ke rumah sehingga pukul 7.15 petang.

    “Kami memanggil namanya di sekitar kediaman namun tiada jawapan,” katanya sebagaimana lapor Harian Metro.

    Noor Azali berkata, mereka tidak menolak kemungkinan kaitan kehilangan bapanya dengan alam ghaib.

    “Sepanjang usaha kami mencarinya, ada ustaz memberitahu bapa ‘disembunyikan’ di sekitar kawasan kampung.

    “Walaupun kehilangannya penuh misteri, kami berdoa supaya bapa ditemui,” katanya.

    Dia turut membuat laporan berkaitan kehilangan itu di Balai Polis Segamat pada Selasa lalu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pelbagai usaha sudah dilakukan untuk menjejak lelaki berkenaan termasuk pencarian di lokasi kerap dikunjunginya, kediaman kenalan dan kawasan sekitar kampung ini.

    “Namun, sehingga kini jejaknya masih gagal dikesan. Kami akan meneruskan pencarian dan unit rondaan bermotosikal (URB) turut membantu mengesannya,” katanya dihubungi hari ini.

  • Geng Batam guna tangkal, jampi sebagai pendinding ketika pecah rumah

    Geng Batam guna tangkal, jampi sebagai pendinding ketika pecah rumah

    POLIS menumpaskan kumpulan penjenayah dikenali Geng Batam yang aktif melakukan kegiatan pecah kereta sekitar daerah Melaka Tengah, sejak awal bulan ini.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, empat suspek yang juga warga Indonesia berusia 22 hingga 41 tahun ditahan dalam serbuan berasingan sekitar Senai, Johor, pada 14 September lalu.

    “Suspek dikatakan mensasarkan kenderaan yang didalamnya mempunyai barangan berharga dan ditinggalkan sebelum memecahkan cermin kenderaan dengan menggunakan serpihan seramik daripada palam pencucuh.

    “Siasatan dijalankan mendapati kumpulan ini bergerak menggunakan kenderaan yang disewa dari Johor dan menuju ke Melaka untuk tujuan pecah kereta,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, dengan tertangkapnya semua suspek, polis berjaya menyelesaikan lapan kes jenayah pecah cermin kereta di daerah Melaka Tengah.

    Menurutnya, semasa tangkapan ke atas suspek polis merampas pakaian digunakan semasa kejadian, beberapa unit telefon bimbit, lampu suluh dan kenderaan.

    Selain itu katanya, polis turut menjumpai barang beserta ayat jampi serapah, tangkal yang dipercayai digunakan setiap suspek sebagai pendinding bagi mengaburi perbuatan jenayah mereka dikesan polis.

    Kesemua suspek kini direman sejak 15 September bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, katanya.

    Selain itu beliau mengingatkan orang awam agar sentiasa berwaspada serta tidak meninggalkan barangan berharga dalam kenderaan.

  • Juruteknik mengaku tidak bersalah pecah rumah, larikan kereta

    Juruteknik mengaku tidak bersalah pecah rumah, larikan kereta

    SEORANG juruteknik didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini di atas dua pertuduhan melakukan pecah rumah dan melarikan kenderaan di sekitar Port Dickson pada 14 September lalu.

    Tertuduh, Chong Kek Wui, 39, mengaku tidak bersalah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Diana Md. Razali, lapor Harian Metro.

    Mengikut kertas pertuduhan, Chong didakwa melakukan pecah rumah ke atas sebuah rumah kediaman dengan niat untuk mencuri cincin berbatu jade warna hijau dan jam tangan jenama Omega.

    Kesalahan itu dilakukan di Kampung Lukut Kecil Batu 3 1/2 Jalan Seremban, Port Dickson lebih kurang pukul 2.20 hingga 5 petang, 14 September lalu.

    Tertuduh yang juga bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun jika sabit kesalahan dan boleh dikenakan denda atau sebat jika kesalahan kali kedua atau lebih.

    Tertuduh sebelum ini pernah disabitkan dan dihukum oleh Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan di bawah seksyen yang sama, maka dia tertakluk kepada pemberatan di bawah Seksyen 75 kanun yang sama.

    Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mencuri kereta Toyota Vios iaitu kesalahan yang boleh didakwa di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.

    Kesalahan itu dilakukan di lokasi dan masa yang sama.

    Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara minimum satu tahun dan maksimum tujuh tahun serta boleh dikenakan denda.

    Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd Nasir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah berikutan perlu menanggung dua anak selain penanggung tunggal dalam keluarga.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap hari Sabtu minggu pertama.

    Kes akan disebut semula pada 25 Oktober depan.

  • Najib dihantar semula ke Penjara Kajang

    Najib dihantar semula ke Penjara Kajang

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dihantar semula ke Penjara Kajang setelah selesai menjalani pemeriksaan dan rawatan rehabilitasi di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).

    HRC menerusi satu kenyataan berkata, pakar perunding perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan HRC telah memberikan pelepasan perubatan dan membenarkan beliau dihantar semula ke Penjara Kajang.

    Menurutnya, ini susulan hasil pemeriksaan terkini dilakukan terhadap Najib oleh Pakar Perubatan Rehabilitasi HRC mendapati tahap kesihatan beliau kini berada dalam keadaan yang baik.

    “Beliau juga telah diberikan tunjuk ajar oleh Jurupulih Perubatan Fisioterapi HRC dan boleh menjalankan latihan teknik senaman secara kendiri.

    “Pakar perunding perubatan dari Hospital Kuala Lumpur dan HRC telah memberikan pelepasan perubatan dan membenarkan beliau dihantar semula ke Penjara Kajang,” kata HRC hari ini.

    Menurut HRC, pakar perunding yang berkaitan juga telah mengadakan sidang keluarga (family conference) bersama beliau dan ahli keluarga terdekat, di mana mereka telah dimaklumkan situasi terkini keadaan kesihatan serta pelan pemantauan kesihatan beliau.

    Katanya, adalah dimaklumkan bahawa beliau telah menjalani beberapa pemeriksaan dan rawatan rehabilitasi sepanjang keberadaan beliau di HRC.

    “Bersesuaian dengan matlamat HRC, kami akan terus komited dan telus dalam pemberian perkhidmatan bagi memastikan pesakit yang dirawat di sini dapat mencapai tahap potensi yang optimum dan membolehkan seseorang individu mencapai tahap kefungsian yang maksimum,” katanya.

    21 September lalu, Jabatan Penjara Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi satu kenyataan memaklumkan Najib sedang mendapatkan rawatan rehabilitasi dan pemantauan lanjut di HRC.

  • Jangan hanya setuju keputusan mahkamah bila orang lain terkena – Bersatu

    Jangan hanya setuju keputusan mahkamah bila orang lain terkena – Bersatu

    BERSATU menghormati setiap keputusan mahkamah, termasuk yang membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 tuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung kontrak sistem visa luar negara (VLN).

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Razali Idris berkata, Bersatu bukan parti yang akan menentang sebarang keputusan mahkamah jika ia memihak kepada individu yang tidak “sebulu” dengannya.

    Beliau turut mengingatkan semua pihak termasuk parti-parti politik, supaya tidak hanya menyokong serta menghormati keputusan mahkamah jika ia memihak kepada pihak yang disokong, dan sebaliknya jika bertentangan dengan kemahuan mereka.

    “Elakkan daripada setuju (dengan keputusan mahkamah) apabila terkena pada orang lain dan menyanggah apabila kena batang hidung sendiri.

    “Rakyat perlu mengangkat martabat sistem kehakiman dan mahkamah dengan menghormati setiap keputusan,” katanya kepada FMT.

    Bagaimanapun, katanya, walaupun Zahid dibebaskan daripada tuduhan dalam kes sistem VLS, kes lain membabitkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang sedang berjalan tidak boleh diganggu.

    Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Yazid Mustafa memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Presiden UMNO itu.

    Zahid, 69, didakwa atas 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika menjadi menteri dalam negeri, untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

    Beliau juga didakwa atas tujuh lagi tuduhan memperoleh untuk dirinya SGD1.15 juta; RM3 juta; 15,000 franc Swiss; dan USD15,000 daripada syarikat sama berkaitan dengan tugas rasminya.

    Presiden Umno itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Beliau masih berdepan 35 tuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkait pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa beliau menjadi menteri dalam negeri.