Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bayi baru lahir cukup sifat ditinggalkan di atas jalan raya

    Bayi baru lahir cukup sifat ditinggalkan di atas jalan raya

    SEORANG bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan di atas jalan raya di Jalan Kampung Korikot, Tambunan, Sabah hari ini.

    Lapor Berita Harian, bayi cukup sifat itu ditemui orang awam kira-kira pukul 1.05 pagi sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

    Menurut Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi itu pada pukul 2.38 pagi.

    Katanya, siasatan awal mendapati bayi perempuan itu dijumpai orang awam ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

    “Bayi itu ditemukan cukup sifat di atas jalan raya dalam keadaan dibalut dengan kain putih bercorak bunga.

    “Orang awam yang terkejut dan terus mengangkat bayi itu masuk ke dalam kereta,” katanya hari ini.

    Beliau tambah laporan itu berkata, bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Tambunan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

    “Bayi itu dalam keadaan stabil dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Tambunan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

    Nor Rafidah meminta orang ramai yang ada maklumat berkaitan kes itu segera menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Damsa Dahlan di talian 016-4486747.

  • Lelaki pecah kereta larikan sekotak tepung gandum diberkas

    Lelaki pecah kereta larikan sekotak tepung gandum diberkas

    SEORANG lelaki ditahan selepas memecah cermin sebuah kereta sebelum mencuri sekotak tepung gandum dalam kejadian di Taman Kota Masai dekat Pasir Gudang, hari ini.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi tadi berlaku di hadapan rumah pemilik kereta terbabit yang berusia 30 tahun.

    Suspek katanya seorang lelaki dewasa berusia 31 tahun yangmemecahkan cermin kereta pada bahagian tempat duduk pemandu dan melarikan sekotak tepung gandum.

    “Kejadian disedari jiran mangsa sebelum suspek melarikan diri. Mangsa dengan bantuan jiran kemudian mengejar suspek sebelum berjaya menahannya di Jalan Pulasan, Taman Kota Masai.

    “Sebatang spanar boleh laras yang digunakan untuk mencuri dan sekotak tepung gandum ditemukan ketika suspek ditahan,” katanya hari ini.

    Mohd Sohaimi dalam laporan itu berkata, mangsa kemudian menghubungi pihak polis dan menyerahkan suspek serta barang-barang yang dirampas untuk tindakan lanjut.

    “Pihak polis merakamkan penghargaan atas kerjasama dan maklumat orang ramai hingga tertangkapnya suspek.

    “Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 26 September depan, sementara kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Kalau berani minta PM bubar Parlimen, Wan Saiful beritahu Asyraf

    Kalau berani minta PM bubar Parlimen, Wan Saiful beritahu Asyraf

    SEORANG pemimpin Bersatu membidas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang mencabar presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata Asyraf boleh meminta Ismail untuk membubarkan Parlimen dan tidak perlu menuding kepada partinya.

    “Saya kadang-kadang malas nak layan pandangan ‘mangkuk’ ini.

    “Sebab kalau dia nak ‘tekan butang’, dia sendiri minta perdana menteri bubar. Apa nak suruh orang lain tekan butang,” katanya kepada FMT ketika ditemui di Majlis Ulang Tahun Bersatu ke-6.

    Tambahnya, jika Asyraf tidak berani berbuat demikian, beliau tidak perlu menyuruh Bersatu untuk menarik sokongan terhadap Ismail.

    “Kalau tak berani, tidak perlu suruh orang. Kalau berani buat sendiri,” katanya.

    Pada 20 Sept lalu, Asyraf dalam kenyataan di Facebook berkata, jika Muhyiddin merasakan kerajaan hari ini tidak berjaya menguruskan ekonomi dan wujud keperluan bagi mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15), maka bekas perdana menteri itu boleh mengarahkan anggota Kabinet Bersatu menarik sokongan terhadap kerajaan.

  • Lelaki bertindak kejam bunuh anjing terbiar dengan panah

    Lelaki bertindak kejam bunuh anjing terbiar dengan panah

    SEORANG lelaki bertindak kejam apabila tergamak membunuh anjing terbiar dengan menggunakan anak panah dalam kejadian yang dipercayai berlaku di sekitar ibu negara.

    Menurut Harian Metro, kejadian itu dikatakan berlaku di sebuah kawasan di Setapak, Wangsa Maju Rabu lalu.

    Perbuatan kejam itu dirakam seorang individu dan turut dikongsi oleh Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) di media sosial.

    Menerusi rakaman berdurasi 23 saat itu, kelihatan seorang lelaki memegang panah sebelum beberapa kali melepaskan anak panah ke arah anjing.

    SAFM dalam kenyataan bersama video yang dikongsi di Facebook memaklumkan pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu.

    “Menurut video yang dihantar, suspek kelihatan mengambil busur dan anak panah sambil mengekori seekor anjing terbiar.

    “Suspek tanpa membuang masa menembak anjing malang itu apabila dia mempunyai peluang. Anjing ini didapati mati dengan anak panah masih tertanam dalam mukanya,” kata SAFM.

    Tambah laporan itu lagi, SAFM meminta saksi kejadian untuk tampil supaya pesalah yang melakukan perbuatan zalim itu boleh ditangkap dan didakwa.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, tiada laporan polis diterima setakat ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata, polis kini sedang berusaha mengesan suspek.

  • Remaja palsukan nombor plat elak bayar hutang

    Remaja palsukan nombor plat elak bayar hutang

    TINDAKAN dua remaja lelaki memalsukan nombor pendaftaran motosikal mereka mengundang padah apabila ditahan dalam OP Motosikal di Kuala Lumpur, awal pagi ini.

    Memetik laporan Harian Metro, seorang remaja terbabit memberi alasan sekadar untuk suka-suka menggunakan nombor pendaftaran 4Y1E (Ayie) namun perbuatannya itu menyalahi undang-undang.

    Seorang lagi remaja yang ditahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaannya bagi mengelak membayar hutang motosikal.

    Menurut Facebook Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, operasi dijalankan bermula pukul 2 pagi hingga 4 pagi di sekitar pusat bandar menahan remaja terbabit berusia 18 dan 19 tahun.

    “Mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan akan dituduh mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

    “Selain itu enam remaja lelaki berusia 16 hingga 21 tahun ditahan selepas terbabit dalam samseng jalanan,” katanya.

    Katanya, mereka dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

    “Tiga motosikal turut disita dan 106 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya.

  • Lebih RM1.2 bilion diperuntukkan bagi projek naik taraf jalan luar bandar

    Lebih RM1.2 bilion diperuntukkan bagi projek naik taraf jalan luar bandar

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) membelanjakan lebih RM1 bilion bagi Program Jalan Luar Bandar (JALB) untuk menyediakan sistem perhubungan luar bandar ke bandar yang lebih sempurna.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Program JALB dilaksanakan selaras dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) untuk memperbaiki, memperluas dan mempertingkatkan rangkaian sistem jalan raya di kawasan luar bandar.

    “KPLB mensasarkan untuk memperluaskan 100 peratus liputan prasarana asas di kampung-kampung di Semenanjung Malaysia dan 80 peratus di kampung-kampung di Wilayah Sabah dan Sarawak.

    “Bagi tujuan berkenaan pada tahun ini sahaja lebih RM306 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan jalan luar bandar bagi Wilayah Sabah dan lebih RM221 juta untuk Wilayah Sarawak,” katanya hari ini.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Projek Menaiktaraf Jalan Rancangan Belia Tiulon – Kg. Simbuan, Sook, di Keningau.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup dan Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

    Jelas Mahdzir, Projek Menaiktaraf Jalan Rancangan Belia Tiulon – Kg. Simbuan, Sook, Keningau, telah diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua, Rancangan Malaysia Kedua Belas, (RP-2, RMK12) tahun 2022 dengan kos RM152 juta.

    “Projek ini melibatkan kerja-kerja menaiktaraf jalan sepanjang 20 kilometer dengan lebar berturap 6.5 meter mengikut piawaian JKR R2 dan agensi pelaksananya adalah JKR Sabah.

    “Jajaran jalan ini juga akan menghubungkan penduduk kampung ke Pekan Sook dan Pekan Keningau serta menghubungkan 13 buah kampung, 3 buah sekolah, klinik, rumah-rumah ibadat dengan anggaran jumlah penerima manfaat adalah seramai 2,000 orang,” kata beliau.
     
    Mengulas projek menaiktaraf itu tambah Mahdzir, ia dijangka ditender pada hujung September ini dan kerja pembinaan dijangka dapat dimulakan pada suku pertama tahun hadapan.

    “Dengan pembinaan projek ini, ianya akan dapat memberi manfaat kepada penduduk kampung sekitar untuk mengangkut hasil-hasil tanaman serta memberi kemudahan perjalanan kepada penduduk kampung,” katanya.

    Projek itu juga kata Mahdzir lagi, dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan, lebih selamat selain mampu menjana peningkatan ekonomi

  • Pertemuan dengan Zahid: Muhyiddin akan jumpa Hadi minta penjelasan

    Pertemuan dengan Zahid: Muhyiddin akan jumpa Hadi minta penjelasan

    PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan membuat pertemuan dengan Tan Sri Abdul Hadi Awang minggu depan bagi mendapatkan pengesahan berhubung dakwaan Presiden PAS itu bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Selasa lalu.

    Beliau sebagaimana lapor Free Malaysia Today berkata, selain mendapat pengesahan itu, pertemuan dengan Hadi juga bagi membincangkan kedudukan Perikatan Nasional (PN) susulan kenyataan PAS yang cenderung mahu bekerjasama dengan UMNO.

    “Saya ada baca kenyataan itu (Hadi jumpa Zahid). Saya juga ingin tahu apa yang berlaku dalam pertemuan itu.

    “Saya akan jumpa Hadi dalam Isnin atau Selasa,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Ulang Tahun Bersatu ke-6.

    Tambah laporan itu lagi, Muhyiddin berkata, beliau juga mahu mendapatkan pencerahan mengenai hasil perjanjian yang telah dibuat antara UMNO dan PAS.

    “Kita akan bincang banyak isu yang penting,” katanya.

    Semalam, memetik laporan Utusan Malaysia, Hadi dilaporkan telah membuat satu pertemuan dengan Zahid pada Selasa.

    Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin berkata, Muafakat Nasional (MN) mempunyai peluang cerah untuk dihidupkan semula.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan ta’awun, sekali gus tidak bersetuju sama sekali dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan BN sebagai musuh pada PRU-15.

    Hari ini, Muhyiddin menegaskan kepada PN bahawa musuh utama mereka adalah BN pada PRU15.

    Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata beliau tidak akan mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan tarikh sebenar PRU15.

    Beliau berkata terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya.

    “Kita masih boleh menunggu masa sesuai untuk diadakan PRU15,” katanya.

  • Kereta rosak angkara jalan berlubang, pemandu menang tuntutan terhadap PBT

    Kereta rosak angkara jalan berlubang, pemandu menang tuntutan terhadap PBT

    SEORANG lelaki memenangi tuntutan pampasan terhadap sebuah majlis tempatan selepas keretanya mengalami kerosakan akibat jalan berlubang.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Fahrurrazi Hamid membawa tuntutan terhadap Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ke mahkamah untuk mendapatkan pampasan bagi dua tayar dan empat rim tayar, antara lainnya.

    Mahkamah berpihak kepadanya dengan memerintahkan MPKj menyelesaikan tuntutan sebanyak RM2,980, merangkumi kos empat rim (RM1,800), satu tayar (RM800), ruang pelaras (RM180), dan caj tunda (RM200).

    Ketika Fahrurrazi memandu pada waktu malam di Jalan Sungai Long berhampiran Taman Perniagaan Budiman pada September 2020, keretanya melanggar lubang pada jalan, menyebabkan tayar dan rim kiri belakang keretanya rosak.

    Keesokan harinya, selepas gagal mencari rim dengan reka bentuk yang sama, beliau terpaksa menggantikan keempat-empat rim dan dua tayar dengan kos keseluruhan RM3,580.

    Beliau memfailkan tuntutan terhadap MPKj dan hanya ditawarkan RM1,430 daripada Takaful Malaysia Berhad, syarikat insurans majlis tempatan itu, sebagai pampasan bagi kos satu tayar dan satu rim.

    Selepas permintaan untuk jumlah disemak ditolak, beliau membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna tetapi dimaklumkan bahawa tribunal itu tidak mempunyai bidang kuasa berhubung perkara itu.

    Beliau kemudian memfailkan tuntutan kecil di Mahkamah Majistret Kajang dan perbicaraan berlangsung pada 15 Julai tahun ini.

    Mewakili dirinya di mahkamah, Fahrurrazi menjelaskan mengapa beliau terpaksa menggantikan keempat-empat rim itu dengan kos RM450 bagi setiap rim terpakai.

    Katanya, beliau tidak menemukan rim dengan reka bentuk serupa untuk menggantikan rim yang rosak dan rim terpakai juga lebih murah berbanding membeli empat rim baharu, yang berharga RM687.50 setiap satu, atau RM2,750 bagi kesemuanya.

    MPKj yang diwakili penolong pegawai undang-undang Muhidin Mahmud menyatakan pihaknya telah mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelenggara semua jalan bawah bidang kuasanya dan menafikan liabiliti.

    Beliau mendakwa, pemanduan melulu Fahrurrazi menjadi punca kejadian, seperti yang terbukti dengan rim dan tayar yang rosak.

    Muhidin juga menyatakan bahawa tuntutan penggantian keempat-empat rim adalah pengayaan yang tidak adil kerana hanya satu rim yang rosak.

    Majistret Noor Firdaus Rosli memutuskan MPKj bertanggungjawab sepenuhnya atas kerosakan yang dialami kereta Fahrurrazi.

    “Melihat gambar daripada plaintif, memang wujud lubang,” katanya sambil menambah, jelas bahawa jalan itu tidak diselenggara dengan baik.

    “Mengenai sama ada plaintif menyumbang kepada kerosakan itu, dapatan saya adalah negatif. Kejadian berlaku pada waktu malam, dan mana-mana orang munasabah tidak boleh diharapkan untuk menyedari dan mengubah haluan kenderaan mereka untuk mengelak lubang itu,” kata Noor Firdaus.

    Mengenai hujah yang dikemukakan oleh MPKj bahawa wujud unsur pengayaan yang tidak adil dalam menggantikan keempat-empat rim, majistret berkata, tidak masuk akal jika kereta boleh dipasang rim berbagai-bagai reka bentuk.

    Memetik Kertas Teknikal SAE bertajuk “Kesan reka bentuk roda pada seretan aerodinamik kenderaan penumpang” yang diterbitkan tiga tahun lepas, Noor Firdaus berkata: “25% daripada seretan aerodinamik kenderaan disebabkan oleh rodanya, dan mencadangkan sesebuah (kenderaan) untuk dipasang rim berbagai-bagai reka bentuk hanya akan mengundang akibat (buruk) yang tidak dijangka, selain daripada hakikat bahawa (perkara ini) tidak pernah dibuat, sekurang-kurangnya oleh mana-mana individu yang munasabah.”

    Sebaliknya, majistret tidak membenarkan tuntutan tayar tambahan itu kerana ia tidak mempunyai justifikasi.

    Saman Fahrurrazi terhadap Takaful Malaysia turut dibuang kerana telah ditentukan bahawa tiada hubungan undang-undang antara beliau dan syarikat itu.

  • BN adalah musuh PN pada PRU-15 – Muhyiddin

    BN adalah musuh PN pada PRU-15 – Muhyiddin

    PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan kepada penyokong serta pimpinan parti itu bahawa musuh utama Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti adalah Barisan Nasional (BN).

    Beliau dalam laporan Free Malaysia Today berkata, ketetapan itu telah dibuat dalam parti-parti PN.

    “Kita dalam PN sudah ada kesepakatan, antara perkara disepakati ialah saya nak sebut di sini, bahawa musuh utama kita tidak lain adalah BN

    “Kalau ada kawan kata keadaannya begini-begini, nanti lepas esok mana mana kita nak buat. Itu strategi yang cukup salah,” katanya ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-6 Bersatu.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata PN tidak perlu gentar untuk berlawan dengan BN pada PRU15.

    Beliau berkata apa yang penting adalah untuk PN menyelamatkan kerajaan.

    “Ada beberapa rakan datang jumpa saya di pejabat, tanya lawan ke tak dengan Umno? Lawan ke tak lawan?,” katanya sambil diiringi jawapan penyokong Bersatu yang ingin ‘lawan’ dengan BN.

    Muhyiddin juga enggan mengulas mengenai Pakatan Harapan (PH) dan tidak kisah sekiranya Umno mahu bertanding di semua kerusi dalam PRU15.

    Sementara itu, di dalam sidang medianya, Muhyiddin berkata perbezaan pandangan dengan PAS buat masa ini ‘dibenarkan’ kerana ia dibuat sebelum pilihan raya.

    Bagaimanapun katanya, apabila hampir dengan pilihan raya, PN akan mengambil keputusan bersama.

    “Itu tidak mengapa sebab PAS beri pandangan sebegitu sebelum pilihan raya.

    “Sekarang ini ialah masing-masing parti ada sedikit kebebasan untuk buat apa yang dia patut buat,” katanya.

  • Tanggungjawab besar Bersatu, selamatkan negara, tukar kerajaan – Muhyiddin

    Tanggungjawab besar Bersatu, selamatkan negara, tukar kerajaan – Muhyiddin

    AHLI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar menyelamatkan negara dengan memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum akan datang.

    Memetik laporan portal SatuBerita, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keadaan negara pada masa ini semakin tidak baik dan pilihan yang ada bagi membetulkan keadaan itu ialah dengan menukar kerajaan sedia ada.

    “Walaupun negara kita tidak hadapi ancaman peperangan, tetapi kita berhadapan peperangan lain iaitu menyelamatkan negara daripada jatuh ke satu paras kolam paling dalam.

    “Tahun depan masalah lebih teruk. Walaupun sudah ada usaha dibuat, walaupun sudah ada tanda-tanda pertumbuhan tetapi itu tidak mencukupi.

    “Sebab itu jawapan yang paling penting sekarang ialah bila mana pilihan raya sampai kita tukar kerajaan yang ada hari ini,” katanya berucap pada majlis sambutan ulang tahun keenam Bersatu di Putrajaya pada Sabtu.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional menambah, walaupun Bersatu bukan parti besar, namun mempunyai tekad besar selamatkan negara.

    Tegasnya, dengan keadaan tidak semakin tidak baik, usaha perlu dilakukan bagi membolehkan menentukan sendiri hala tuju negara.

    “Kita bina sebuah kerajaan Perikatan Nasional. Bukan sebab saya hendak jadi Perdana Menteri. Tidak kisah, sesiapa pun boleh menerajui negara dan menerajui kerajaan.

    “Yang paling penting Perikatan Nasional kembali berkuasa supaya menguruskan negara ini dengan lebih teratur, lebih berkesan dan yang paling penting rakyat jelata mesti ada cukup makan atas meja mereka,” katanya.