KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) menyerahkan kepada kerajaan Kedah untuk membuat keputusan terhadap tiga kolam takungan ladang durian Musang King di Gunung Inas, Baling di Kedah yang didakwa sebagai punca kepala air pada Julai lalu.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kementerian yakin kerajaan Kedah berupaya dan boleh memberi perhatian terhadap projek pembangunan yang diluluskannya di negeri ini.
“Kita serahkan kepada kerajaan negeri, projek itu dilaksanakan oleh syarikat anak kerajaan negeri dan wajarlah kerajaan negeri yang membuat tindakan susulan.
“Pasti kerajaan negeri ada solusi untuk menghadapi situasi ini tambahan lagi mereka telah melihat bahaya kolam itu kepada penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 dan Sambutan 90 tahun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Lembangan Sungai Muda di Sungai Petani, Kedah.
Tuan Ibrahim sebelum ini memaklumkan JPS diminta mengeringkan tiga kolam takungan air yang ada di gunung itu secepat mungkin kerana bimbang kejadian banjir puing akan berulang.
Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan langkah mengeringkan kolam terbabit dianggap tidak akan memberi apa-apa kesan kepada persekitaran kawasan terbabit.
Katanya, dakwaan bahawa tiga kolam sebesar gelanggang futsal di puncak Gunung Inas menyebabkan perasaan tidak selamat dalam kalangan penduduk sekitar adalah hanya spekulasi semata-mata.
Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim berkata, dua empangan sabo yang akan dibina di kaki Gunung Inas sedang dalam proses pemilihan dan lantikan kontraktor.
“Kita yakin selepas urusan dokumentasi selesai, empangan sabo ini akan berjaya disiapkan kontraktor sepenuhnya tahun ini juga.
“Di Kedah, sebanyak tujuh empangan sabo akan dibina iaitu masing-masing dua di Yan dan Baling serta tiga lagi di kawasan baharu dan sehingga kini satu telah siap di Yan,” katanya.
Kata beliau, apabila empangan itu siap kelak, ia dapat mengurangkan impak dengan memperlahankan aliran air sungai dan menyekat aliran puing sekiranya berlaku banjir akibat hujan lebat walaupun dalam tempoh sama.
JANGKAAN Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa taburan hujan yang tinggi dan banjir berkemungkinan berlaku pada pertengahan November perlu diambil perhatian sebelum mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berbanding bulan-bulan lain, negara akan menerima taburan hujan yang lebih pada bulan tersebut.
“Maklum balas yang diterima kebanyakkan mereka mahukan keutamaan diberi terlebih dahulu kepada persediaan menghadapi bencana itu berbanding PRU.
“Pada mereka tidak sesuai jika PRU diadakan dalam masa terdekat kerana kalau betul jangkaan Jabatan Metereologi, mereka terpaksa memilih untuk mendepani bencanaitu berbanding keluar mengundi dalam keadaan bimbangkan keselamatan harta dan nyawa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 dan Sambutan 90 tahun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Lembangan Sungai Muda, Sungai Petani di Kedah.
Kata Tuan Ibrahim, pihak keselamatan juga akan menghadapi masalah kekuatan anggota kerana agihan perlu dilakukan serentak untuk yang bertugas menjaga keselamatan peti undi dan pada masa sama terpaksa bertugas semasa banjir.
Katanya, keputusan untuk melaksanakan PRU-15 perlu dibuat dan dirancang dengan berhati-hati supaya tidak menimbulkan sebarang mudarat dan masalah kepada semua pihak terutamanya rakyat.
“Kalau sudah tamat tempoh itu lain cerita, ini kita masih ada pilihan kerana masih ada tempoh untuk berkhidmat. Perdana Menteri yang akan buat keputusan nanti, Kabinet hanya akan beri pandangan dan selebihnya terpulang kepada Perdana Menteri,” katanya.
PAS masih lagi komited untuk mengeratkan hubungan dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga kini.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, setakat ini pihaknya masih kekal menjalinkan hubungan politik dengan UMNO dan Bersatu.
“Hubungan Pas bersama kedua-dua parti Melayu Bumiputera itu masih baik dan kerjasama dalam mentadbir kerajaan juga berjalan lancar.
“Naratif kita konsisten dalam soal ‘perpaduan ummah’ dan Pas komited mahu menyatukan majoriti dalam kalangan orang-orang Islam di negara ini.
“Justeru, kerjasama Pas, UMNO dan Bersatu perlu diteruskan dan dikekalkan bagi menguatkan lagi hubungan dalam kalangan umat Islam,” katanya memetik laporan Astro Awani.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam majlis penyerahan bot dan enjin kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), di Tawau hari ini.
Menurutnya lagi, kira-kira 65 peratus umat Islam di seluruh negara perlu bersatu membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil.
“Kalau semua Bumiputera Islam bersatu, sudah pasti kaum dan agama lain akan dapat menumpang teduh bersama dengan kita.
“Sebab itu, prinsip Pas kekal mahu memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak menguasai politik di negara kita pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang,” katanya.
Ditanya mengenai calon Pas di Sabah, katanya, setakat ini semua negeri sudah menghantar nama termasuk Sabah untuk bertanding pada PRU-15.
“Bagaimanapun, perbincangan lebih lanjut perlu dibuat untuk calon di Sabah dan kita akan lihat maklumat yang diberikan oleh pimpinan di negeri ini,” katanya.
NASIB pemimpin yang dianggap sebagai ‘pengkhianat’ kepada Pakatan Harapan (PH) dijangka berakhir dengan persaraan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Perkara itu ditegaskan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti dipetik BH Online.
Menurut Anwar, belum ada dalam sejarah pemimpin-pemimpin yang khianat masih tetap bertahan dalam arena politik.
“Dia bersaralah, mana ada dalam sejarah orang khianat boleh bertahan, jangan kita remehkan atau pandang enteng sikap kesedaran orang biasa, ia mungkin tiada sepetah itu mengulas dan melakar beberapa kenyataan.
“Namun, dia ada dalam sanubarinya dan hati nuraninya, dia tahu apa yang hak dan batil, apa benar dan palsu, ini harus diketengahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Perjumpaan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perlis di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad di Taman Sena Indah, Kangar semalam.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) memaklumkan, parti itu masih belum menetapkan calon untuk mengisi beberapa kerusi ‘pengkhianat’ seperti kerusi Parlimen Gombak dan Ampang.
Namun begitu, Anwar berkata, parti mestilah meletakkan calon yang kuat untuk menumbangkan ‘pengkhianat’ tersebut.
“Kita belum tetapkan siapa calon tetapi saya beri mesej yang jelas terhadap penyandang ‘kerusi khianat’ ini bahawa apa pun alasan dia bagi sama ada salah Anwar, salah siapa pun, dia khianat.
“Orang yang khianat ini harus ditolak dan kita sudah arahkan pimpinan (PKR) umpamanya menentukan calon mestilah kuat untuk menumbangkan mereka namun buat masa ini kita sedang meneliti calonnya kerana ‘kerusi khianat’ ini ramai juga,” katanya.
SUATU ketika dahulu masyarakat Melayu tradisi khususnya di Terengganu dan Kelantan sering kali dikaitkan dengan golongan yang cukup tebal dan kuat semangat kenegeriannya.
Sentimen serta gaya hidup ala ‘kekampungan’ amat sukar dipisahkan dalam diri warganya.
Malah, imej kenegerian itu bukan sahaja dikaitkan dengan anak-anak yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam sebaliknya turut dilihat pada mereka yang berhijrah serta berada dalam perkhidmatan pekerjaan, sama ada kerajaan mahupun swasta.
Sebab itulah bagi kebanyakan anak Terengganu dan Kelantan yang tinggal di luar negeri ketika itu, mereka sentiasa bergerak atau melakukan apa sahaja aktiviti secara bersama di samping mempunyai rangkaian kumpulan di antara satu sama lain.
Penulis perhatikan, mereka tidak akan membiarkan rakan-rakan senegeri berhadapan dengan masalah besar seperti dipukul atau dianiaya oleh golongan bukan senegeri.
Akhirnya jawapan kepada permasalahan tersebut ialah berlakunya pergaduhan dan permusuhan.
Begitulah betapa kuatnya semangat dan perpaduan dimiliki oleh masyarakat Melayu Terengganu dan Kelantan tidak lama dahulu.
Mereka sentiasa hidup dalam suasana harmoni dan setiakawan dan hormat menghormati antara satu sama lain.
Asas dan pegangan utama dalam kehidupan masyarakat ketika itu ialah Melayu dan Islam, iaitu dua simbol perkataan utama yang sememangnya terlalu sukar diganggu gugat walapun terpaksa ditembusi peluru.
Perkara ini wujud memandangkan setiap orang Melayu memiliki semangat kekeluargaan dan terlalu tebal jati dirinya sehinggga sukar dipengaruhi orang luar, apatah lagi bangsa asing.
Berdasarkan itulah kenapa usaha DAP untuk melebarkan sayapnya ke Terengganu dan Kelantan sebelum ini pernah menemui jalan sukar dan berakhir dengan ‘kematian’ apabila rakyat di kedua-dua negeri Pantai Timur ini menolak parti tersebut kerana mengkategorinya sebagai parti kafir atau tidak Islam.
Ketika itu, rata rata masyarakat di Terengganu dan Kelantan terlalu bencikan DAP, mereka mengaitkan DAP sebagai parti komunis, menyebabkan parti berkenaan tidak mampu menawan hati rakyat termasuk daripada kalangan masyarakat Cina sendiri yang memiliki sentimen berbeza berbanding negeri lain.
Bagaimanapun, itu cerita dahulu, kini zaman telah berubah dan seperti juga di negeri-negeri lain, masyarakat Melayu Terengganu dan Kelantan kini ramai yang telah menjadi golongan cerdik pandai dalam pelbagai bidang termasuk tokoh korporat dan politik.
Mereka berpolitik dengan pelbagai cara dan gaya sehingga ada kalanya terlupa tentang masa depan, iaitu terlupa semangat jati diri dan sejarah kebangkitan Melayu silam yang semakin pudar dan terhakis.
Young Syefura Othman
Akhirnya mereka juga terlupa tentang kehidupan generasi akan datang.
Lebih malang, ada kalanya kita mendapati tindakan rakus sesetengah individu menceburi bidang politik disebabkan kepentingan peribadi, sehingga ada yang sanggup membelakangi nilai nilai normal yang berhubung kait dengan masyarakat Melayu itu sendiri.
Perkembangan ini sekaligus meletakkan masyarakat Melayu kini sedang berada di ambang perpecahan, selain kehidupan mereka itu sendiri dianggap sebagai generasi terakhir.
Sebab itulah tindakan sesetengah orang Melayu yang menyertai DAP bukan sahaja dianggap sebagai perosak bangsa, sebaliknya mereka turut dikaitkan sebagai Melayu tidak ‘sedar diri’.
Penulis difahamkan, walaupun kebanyakan parti politik khususnya di Terengganu tidak bimbang dengan kemunculan DAP di negeri ini kerana parti itu tidak mungkin akan menang, namun ia mampu memecah belahkan orang Melayu.
Menurut pandangan penganalisis dan pemerhati politik, itulah cara halus dan strategi digunakan oleh pemimpin DAP bagi menghakis kekuasaan Melayu.
Ketika kebanyakan pemimpin parti politik Melayu asyik bercakaran sesama sendiri, DAP dalam diam terus menguatkan pengaruh politiknya dengan menarik orang Melayu khususnya golongan muda dan berlatar belakang agama menyertainya.
Selain melebarkan kekuasaannya dengan membuka cawangan di kawasan Melayu, mereka turut melantik orang Melayu sebagai pemimpin.
Calon Pakatan Harapan (PH) dari DAP, Marina Ibrahim.
GAMBAR: Warta Rakyat
Setakat ini DAP berjaya mengukuhkan partinya dengan menggunakan nama-nama seperti Tengku Zul Puri Shah Raja Puji Parlimen Raub), Zairil Khir Johari (DUN Tanjung Bungah), Sheikh Omar Bagharib Ali (bekas DUN Paloh), Young Syefura Othman (DUN Ketari), Dr. Abdul Aziz Bari (DUN Tebing Tinggi), Edry Faizal Eddy Yusof (DUN Dusun Tua), Syerleena Abdul Rashid (DUN Seri Delima) dan Jamaliah Jamaluddin (DUN Bandar Utama.
Ada juga pemimpin pplitik berpendapat, mereka yang menyertai DAP sama ada menjadi ahli atau sebagai calon bukan sahaja boleh dianggap sebagai Melayu tidak sedar diri, tetapi juga Melayu tidak tahu asal keturunan.
LAPAN bekas pekerja di sebuah stesen minyak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kemaman hari ini atas dakwaan menyalahgunakan kad petrol milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tertuduh Mohamad Amirul Izzat Mohamad, Md. Nazrul Khusairi Mohamad Ros, Muhamad Ikhwan Ruslan, Muhamad Aidil Mohd. Kamal, Muhamad Khairi Fakhri Abd. Karim, Khairul Fadhli Bahar, Abdullah Hassani Basri dan Iskandar Zulkarnain Adenan yang berusia lingkungan 23 hingga 32 tahun didakwa melakukan kesalahan itu ketika bekerja sebagai pembantu pam minyak di sebuah stesen minyak di Kemaman pada 2017.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman minimum enam bulan penjara, maksimum lima tahun penjara dan dikenakan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan, lapor Sinar Harian.
Semua tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah setelah 45 pertuduhan ke atas mereka dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman dihadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dalam mencapai niat secara curang dan tidak jujur menggunakan kad inden milik PDRM bernilai antara RM50 hingga RM830.05 antara pukul 7 pagi hingga 3 petang pada Oktober hingga Disember 2017.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin antara RM5,500 hingga RM30,500 setiap seorang dan menetapkan sebutan semula kes pada 7 November depan.
Difahamkan kesemua tertuduh berdepan 138 lagi pertuduhan menjadikan keseluruhan 183 pertuduhan yang didakwa melibatkan kesalahan dibawah seksyen yang sama.
Kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
TIDAK rela hubungan dengan teman wanita putus dan dihalang oleh bapa saudara, seorang lelaki bertindak mengugut mahu menculik dan memukul bekas kekasihnya.
Ugutan didakwa dibuat oleh suspek berusia 22 tahun yang menghubungi bapa saudara bekas teman wanitanya berusia 35 tahun yang menetap di sebuah pangsapuri di Lembah Jaya Selatan, Ampang Jaya pada 15 September lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bertindak atas laporan polis itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan suspek di sebuah restoran di Taman Larkin Perdana, Johor Bahru kelmarin.
“Mereka berpisah sejak Disember 2020, namun suspek sering mengganggu dan mengugut bekas teman wanitanya yang berusia 20 tahun serta bapa saudara mangsa.
“Bapa saudara wanita terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah kerana bimbang dengan keselamatan dirinya serta anak saudaranya,” katanya seperti dilaporkkan Satu Berita.
Hasil siasatan mendapati, punca kejadian adalah perselisihan faham antara suspek dengan bekas teman wanitanya.
“Semakan rekod jenayah juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah yang dikehendaki.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya,” jelasnya.
SEPASANG suami isteri l maut dalam kemalangan selepas kereta dinaiki mereka melanggar belakang sebuah lori di Jalan Wawasan, Bandar Baru Ampang, Ampang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kemalangan berkenaan berlaku pada 2.50 pagi itu membabitkan Perodua Myvi dengan sebuah lori kontena.
“Mangsa merupakan seorang lelaki warga India dan wanita tempatan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca akibat kecuaian apabila wanita terbabit yang memandu gagal mengawal kenderaan hingga menyebabkan kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Mohamad Farouk berkata, kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saksi bebas yang menyaksikan kejadian itu diminta untuk tampil menyalurkan maklumat berkenaan kejadian dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093,” katanya.
BOMBA menyelamatkan 14 kanak-kanak dan lima guru selepas mereka terperangkap di dalam banjir di bangunan tadika di Kampung Mohd Amin, Larkin, Johor Bahru, hari ini.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 9.30 pagi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Bomba Kanan II, Nazarudin Yusof berkata, tujuh anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.
Anggota bomba membantu memindahkan kanak-kanak dan guru tadika yang terperangkap akibat banjir di Kampung Mohd Amin, Larkin, Johor Bahru, hari ini
“Seramai 14 kanak-kanak dan lima guru yang berada di tadika itu dilaporkan terperangkap dalam banjir. Anggota bomba bertindak memindahkan kesemua mereka ke tempat yang selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
SERAMAI 29 mangsa melibatkan 11 keluarga dari Kampung Sri Bengkal dan Kampung Bintang Peserai, Batu Pahat dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu hari ini.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor dalam satu kenyataan memberitahu, semua mangsa dipindahkan ke PPS di Sekolah Agama Seri Bengkal yang dibuka pada pukul 8 pagi dan di Sekolah Kebangsaan (SK) Peserai yang dibuka pukul 12 tengah hari.
“Mereka dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air. Banjir berlaku akibat hujan lebat beberapa jam bermula pukul 6.30 pagi tadi serta pertembungan air pasang,” menurut APM Johor dalam satu kenyataan, hari ini.
APM Johor memaklumkan, selain Batu Pahat, beberapa kawasan di daerah ini turut dilanda banjir antaranya di Batu 10, Skudai; Kampung Dato Sulaiman Menteri dan Tabika Kemas di Skudai Kiri.
Anggota APM membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Sri Bengkal dan Kampung Bintang Peserai, Batu Pahat, hari ini
Jelasnya, banjir turut melanda Kampung Mohd Amin; Kampung Ubi; Kapung Tiram Duku; Kampung Peladang, Kampung Baru Muafakat; Kampung Pekajang dan Kampung Paya Mengkuang.
“Tiada mangsa banjir dari Johor Bahru yang dipindahkan kerana kawasan yang dinaiki air telah surut. Namun pemantauan ke tempat kejadian dari masa ke semasa akan dilakukan,” jelas APM Johor.
Dalam pada itu, APM Johor berkata, ribut berlaku di dua daerah melibatkan Kampung Sungai Naga di Api-Api, Air Baloi dan Parit Haji Omar di Kayu Ara Pasong (Pontian) dan Kampung Parit Jamil, Sabah Awor (Muar).
Ribut berlaku di melibatkan Kampung Sungai Naga di Api-Api, Air Baloi dan Parit Haji Omar di Kayu Ara Pasong, Pontian, hari ini
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Johor dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Baru Muafakat, Gelang Patah.
Menurut Komander Operasi dari BBP Iskandar Puteri, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Mohd Khairi Zainuddin, pihaknya menerima panggilan menyelamat dan memindahkan satu keluarga di kampung itu pada pukul 8.42 pagi.
Beliau berkata, seramai 11 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua unitili dan dua bot terlibat dalam operasi itu.
“Kita memindahkan keluarga itu yang terdiri daripada empat mangsa iaitu masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita dewasa selain seorang kanak-kanak lelaki dan satu bayi.
“Mereka dipindahkan ke PPS di Dewan Raya Gelang Patah. Setakat ini operasi menyelamatkan mangsa banjir masih berjalan,” katanya.