Author: Wartawan WartaRakyat

  • Noraniza Idris lakar sejarah Malaysia Book Of Records!

    Noraniza Idris lakar sejarah Malaysia Book Of Records!

    PENYANYI yang popular dengan genre irama Malaysia dan etnik kreatif, Noraniza Idris mencipta sejarah baharu Malaysia Book Of Records (MBOR) menerusi bilangan penari paling ramai dalam persembahan Irama Malaysia.

    Portal hiburan Gempak melaporkan, berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, acara itu disertai oleh 565 orang terdiri daripada pelajar sekolah menengah sekitar Lembah Klang dan pelajar antarabangsa dari Universiti Putra Malaysia.

    Semua peserta menarikan tarian asas tradisional mengiringi persembahan Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani menerusi lagu baharunya Ala Ewa-Ewa duet bersama Hazama serta dua buah lagu lain iaitu Intan Payung dan Dikir Puteri selama durasi tujuh minit.

    Kak Ani Terkesima

    Mengulas mengenai kejayaan melakar rekod terbabit, Kak Ani menghela nafas lega dan usahanya itu diharapkan dapat menjadi panduan buat generasi pelapis baharu dalam tarian tradisional.

    “Syukur Alhamdulillah saya sangat teruja dan terkesima, seronok sangat. Ia tak sama kita menang anugerah, kita dapat pengiktirafan MBOR seolah-olah kita melahirkan sesuatu yang baharu buat generasi pelapis.

    “Jadi, bila mereka hadir untuk mengikuti program ini kita berjaya dan satu kepuasan buat saya,” ujarnya yang ditemui usai acara itu semalam.

    Hampir tak jadi buat

    Tambah pelantun lagu Dikir Puteri itu lagi, biarpun hampir berputus asa berdepan pelbagai cabaran menjelang hari terbabit, Kak Ani bersyukur sentiasa mendapat sokongan daripada pelbagai pihak pada saat akhir.

    “Hari ini menjadi hari bersejarah juga buat saya terutama bila dapat bawakan lagu Irama Malaysia dalam sebuah persembahan tradisional asas yang terdiri daripada peserta yang zero, tak tahu apa-apa dalam seni dan budaya.

    “Kita ajar dalam tempoh lapan hari. Kalau nak ikutkan, memang tak jadi tapi saat akhir dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (MAKUM) dan sekolah antarabangsa telah memberi kerjasama tinggi untuk menjayakan program ini.

    “Memang kalau ikutkan hampir nak gugur jantung, sedih, macam-macam cabaran dan dugaan, Alhamdulillah berkat doa dan kesabaran kita berjaya selesaikan pengiktirafan kali ini,” tambahnya.

    Acara persembahan ini diiktiraf dan disahkan oleh Yang Teramat Mulia, Datuk Mohammed Abdullah, Undang Luak Johol, Penaung Program CSR Pelancongan Seni dan Budaya “Malay World Cultural Paradise”.

    Acara ini dianjurkan bersama Malaysia International Tourism Development Associasion (MiTDA) dan Persatuan Tatihseni Malaysia bertujuan untuk mengembalikan kegemilangan sektor pelancongan Malaysia ke tahap yang lebih membanggakan di kalangan masyarakat Malaysia khasnya dan luar negara yang berperanan sebagai aktiviti tarikan pelancong untuk terus bercuti ke Malaysia menerusi aktiviti-aktiviti seni dan kebudayaan Malaysia.

    Objektif utama acara mencipta rekod ini adalah untuk mengangkat semula Irama Malaysia sebagai salah satu agenda kempen #SaveIramaMalaysia agar terus dekat di hati generasi pelapis melalui aktiviti perbengkelan dan pensijilan aktiviti kokurikulum yang melibatkan merit peserta pelajar.

    Usaha ini adalah salah satu inisiatif Kak Ani selaku Pengerusi Jawatankuasa Perlaksanaan Program Mencipta Rekod Terbaharu merangkap pengasas & penggubal modul Program CSR Pelancongan Seni dan Budaya “Malay World Cultural Paradise” menerusi Persatuan Tatihseni Malaysia.

    Dalam masa sama, Kak Ani berharap agar acara seperti ini dapat dilaksanakan secara berterusan dengan lebih serius dan irama Malaysia tidak terus hilang dalam jiwa anak-anak generasi pelapis sebagai keberlangsungan usaha menyemai semangat patriotisme sebagai halwa jatidiri rakyat Malaysia secara tidak langsung.

  • Nik Abduh perjelas dakwaan salah guna kuasa

    Nik Abduh perjelas dakwaan salah guna kuasa

    SELEPAS tular surat yang meminta kemudahan perkhidmatan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) untuk majlis perkahwinan anaknya, Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz menjelaskan ia sebenarnya turut melibatkan jamuan rakyat di Masjid Tok Guru.

    Free Malaysia Today melaporkan, Nik Abduh berkata, ia juga menjadi majlis kesyukuran keluarga besarnya, diketuai bapa saudaranya, Nik Razi Nik Mat yang bersepakat untuk menganjurkannya bersama sejak pemergian bapa mereka, bekas menteri besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat, tujuh tahun lalu.

    “Selepas kematian ayahanda saya tujuh tahun lepas, inilah julung kalinya keluarga besar kami menganjurkan jamuan rakyat dengan jemputan kepada seluruh masyarakat setempat, terutama rakan taulan dan anak murid kepada ayahanda yang sememangnya dibayangi dengan memori kerinduan kepadanya.

    “Saya anggarkan sekitar 8,000 hingga 10,000 orang tetamu telah hadir dan lebih 30 kawah gulai telah dinikmati bersama selain juadah yang lain. Alhamdulillah..,” katanya di Facebook.

    Menurutnya, majlis itu turut dihadiri beberapa pemimpin PAS termasuk Mursyidul Am, Hashim Jasin, timbalannya yang merangkap Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah dan beberapa pimpinan utama parti terdiri daripada ahli Majlis Syura Ulamak PAS dan ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

    Beliau turut berterima kasih bukan sahaja kepada MPKB sebaliknya kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) serta polis yang menerima permohonan untuk turut sama membantu melancarkan majlis keraian dan jamuan rakyat dalam memastikan keselesaan pergerakan dan kelancaran lalu lintas yang agak sesak pada waktu puncak.

    “Pihak MPKB sebagaimana biasa turut menyediakan tambahan tong-tong sampah bagi memudahkan urusan pungutan dan pemindahan sisa pepejal bagi menjamin kebersihan (kesihatan) dan keceriaan kawasan sekolah dan masjid Tok Guru yang perlu dipulihkan dengan cepat,” katanya.

    Terdahulu, tular surat permohonan bertarikh 20 Sept daripada Nik Abduh kepada MPKB bagi memohon kemudahan majlis anaknya termasuk perkhidmatan pengurusan sisa pepejal, kerusi meja, hiasan bunga dan bantuan penguat kuasa bagi kawalan lalu lintas.

    Yang Dipertua MPKB, Rosnazli Amin kemudian mengesahkan menerima surat permohonan itu namun tidak membuat sebarang keputusan.

    Tindakan pemimpin PAS itu turut dipersoalkan Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Nik Abduh atas salah guna kuasa kerana meminta “kerjasama” daripada pihak berkuasa tempatan berkenaan untuk menyediakan kemudahan majlis perkahwinan anaknya.

  • PH buntu selepas Rafizi tolak ‘khemah besar’, tinjauan dapati sokongan Melayu merosot

    PH buntu selepas Rafizi tolak ‘khemah besar’, tinjauan dapati sokongan Melayu merosot

    BEBERAPA siri rundingan mengenai pilihan raya umum akan datang melibatkan pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) dilihat menemui jalan
    buntu.

    Perkembangan itu selepas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli tidak sehaluan dengan parti komponen mengenai idea ‘khemah besar’ di sebalik tinjauan terbaru yang mendapati pengundi Melayu kurang menyokong gabungan itu.

    Berikutan situasi tersebut, difahamkan PH tidak mempunyai pilihan selain berusaha untuk mendapatkan lebih banyak masa.

    Pemimpin gabungan itu antara lain diberitahu supaya membangkitkan isu seperti kenaikan kadar inflasi dan bencana banjir yang dijangka berlaku dengan harapan ia dapat mengelak daripada sebarang langkah pembubaran Parlimen tahun ini.

    Menurut sumber, sekurang-kurangnya dua pemimpin yang menyertai program permukiman pemimpin baru-baru ini tentang bagaimana Rafizi menolak strategi PH untuk membentuk khemah besar dengan parti saingannya dalam usaha mengalahkan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO.

    “Rafizi menolak sebarang percubaan untuk membincangkan strategi memperluaskan khemah besar dengan parti lain seperti Bersatu, walaupun tinjauan menunjukkan bekas parti komponen PH itu masih mendapat sokongan besar dalam kalangan orang Melayu yang tidak mahu mengundi UMNO,” katanya

    Sumber kanan Amanah itu berkata demikian kepada MalaysiaNow berhubung program permukiman yang baru-baru ini dihadiri pemimpin PH bagi membincangkan isu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang sepatutnya diadakan pada pertengahan tahun depan selepas penggal berakhir.

    Idea khemah besar PH merujuk kepada strategi pilihan raya bagi membentuk kerjasama dengan parti-parti bukan PH, di mana matlamat utamanya adalah untuk menghalang BN daripada kembali menguasai kerajaan persekutuan.

    Bagi mencapai matlamat utama itu, mereka berpandangan pertembungan banyak penjuru di kawasan pilihan raya perlu dielakkan, memberi laluan pertandingan satu lawan satu bagi mengalahkan BN.

    Gesaan supaya idea khemah besar kembali dibahaskan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

    Kedua-dua PRN itu menunjukkan bahawa undi Melayu sangat penting kerana sebelum 2018, tidak menyebelahi PH namun pada 2018, undi kaum itu diberikan kepada BN dan Bersatu.

    Hampir semua analisis pasca pilihan raya bagi PRN Melaka dan Johor bersetuju bahawa Bersatu menguasai undi Melayu pembangkang, sehingga menyebabkan PKR diketepikan di kedua-dua negeri itu.

    PKR dan Amanah adalah parti yang paling ketara mengalami kekalahan, di mana kebanyakan calonnya kalah di kerusi berbilang kaum yang didominasi Melayu, berbeza dengan DAP yang menang besar di kerusi selamat yang didominasi etnik Cina.

    Ekoran itu, beberapa pemimpin PH dilihat mengambil pendirian berbeza dengan pendirian rasmi gabungan itu yang tidak mahu PN dimasukkan ke dalam khemah besar.

    Pemimpin PH termasuk Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub menggesa rakan pemimpin pembangkang untuk memasukkan Bersatu dan Pas dalam perbincangan mereka dalam usaha menjayakan khemah besar.

    Namun sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pemimpin DAP dan Amanah lebih berhati-hati dalam menjawab spekulasi kerjasama dengan PN, terutama Bersatu, parti yang mereka anggap bertanggungjawab memulakan ‘Langkah Sheraton’ sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan PH pada 2020.

    Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, cuba menjelaskan bahawa khemah besar itu hanya untuk pembangkang, dan kerana itu ia tidak boleh memasukkan PN kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaan.

    “Ini telah memberikan sedikit ruang untuk rundingan diadakan dengan PN khususnya Bersatu, kerana ia mempunyai peranan unik sebagai parti pembangkang dan musuh Umno, dan pada masa yang sama merupakan komponen utama kerajaan persekutuan yang dipimpin seorang perdana menteri UMNO,” kata sumber yang mengetahui tentang perbincangan yang diadakan sejak kebelakangan ini mengenai perkara itu.

    Khemah besar juga menjadi antara isu utama yang dibincangkan pemimpin PH semasa program permukiman di Port Dickson baru-baru ini.

    “Kunci utama mesyuarat itu, adalah perbincangan mengenai faedah bekerjasama dengan Bersatu bagi mendapatkan undi Melayu,” kata seorang ahli Parlimen yang turut hadir dalam salah satu perbincangan.

    Menurut satu sumber, beberapa badan pemikir yang ditugaskan untuk menjalankan penyelidikan mengenai sentimen pengundi terhadap PH turut dijemput bagi membentangkan penemuan mereka pada program permukiman itu.

    “Mereka membentangkan data daripada tinjauan yang berasingan, mengesahkan apa yang paling kami takuti: sokongan Melayu kepada PH berada pada tahap paling rendah.”

    Difahamkan, antara lain tinjauan tersebut turut mendapati hanya PH sahaja yang tidak akan mendapat lebih 15% undi Melayu pada PRU-15.

    Sekiranya tinjauan itu benar, keputusan PRU15 tidak akan memihak kepada PH dan gabungan itu akan kalah disebabkan undi Melayu beralih.

    Pada 2018, kemampuan Bersatu meraih undi dikatakan menyebabkan perubahan kecil 5 peratus undi yang sangat kritikal di beberapa kawasan UMNO tegar, terutama di kawasan luar bandar dan Felda, menyebabkan BN kalah mengejut selepas lebih enam dekad berkuasa.

    Namun untuk mengulangi sejarah yang sama, perunding dalam PH mesti terlebih dahulu menangani halangan kecil namun berbahaya dalam strategi mereka untuk memperoleh kemenangan.

    Seorang ahli Parlimen Amanah memberitahu MalaysiaNow bahawa sikap keras kepala dan pendekatan ‘tahu semua benda’ Rafizi dilihat sebagai masalah.

    “Dengan Rafizi mewakili PKR dalam rundingan, mencapai kata sepakat akan menjadi jalan sukar bagi kami,” kata ahli Parlimen Amanah itu dan menambah ramai yang masih mengingati peranan Rafizi yang menjadi antara punca Pakatan Rakyat (PR) pecah tidak lama selepas PRU pada 2013.

    Rafizi adalah ‘pengarah strategi’ yang mendalangi Langkah Kajang pada 2014, satu rancangan gagal sehingga mencetuskan perpecahan dalam gabungan PR yang ketika itu turut dianggotai Pas.

    Ia turut diikuti dengan sabitan tuduhan liwat terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim dan penyingkirannya dari Parlimen.

    Pemimpin Amanah itu turut mendakwa terdapat ‘masalah komunikasi yang serius’ antara Rafizi dan seorang ‘pemimpin utama Amanah’, namun enggan memberikan sebarang butiran.

    Khemah besar adalah salah satu daripada beberapa isu di mana Rafizi didakwa cuba memaksa pandangannya diterima.

    Di samping itu, Rafizi juga dikatakan berhasrat untuk memperkenalkan logo baru PH, sebagai langkah untuk tidak mengaitkannya dengan logo gabungan itu sebelum ini yang turut digunakan ketika Bersatu menjadi sebahagian daripada PH, kata sumber itu lagi.

    “Sedangkan, pada hakikatnya ramai yang merasakan logo itu hanya masalah kecil. Masalah yang lebih besar ialah persepsi orang ramai, yang akan merugikan kami,” tambah sumber itu.

    Sementara itu, sama ada berlaku banjir atau tidak – di mana ia menjadi alasan mereka yang menentang PRU15 diadakan tahun ini – namun faktor lain kekal boleh menjadi sebab perpecahan dalam PH.

    Ucapan Muhyiddin Yassin pada Ahad lalu, di mana beliau menamakan UMNO sebagai musuh utama PN juga sudah menimbulkan kebimbangan.

    Pemerhati berpengalaman Ahmad Atory Hussain, yang mengkaji politik Melayu selama beberapa dekad, berkata sasaran Muhyiddin adalah jelas: ahli UMNO dan pengundi Melayu atas pagar.

    “Berdasarkan pengalaman Langkah Sheraton pimpinan Muhyiddin, dijangka beliau boleh dapat sokongan ahli-ahli Umno termasuk menteri UMNO yang condong kepada Bersatu, di samping pengundi atas pagar yg sudah lama menunggu untuk sokong parti selain BN,” katanya.

  • Momentum inflasi, kemungkinan besar OPR naik lagi

    Momentum inflasi, kemungkinan besar OPR naik lagi

    BANK Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan besar akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terakhir 2022 pada 22 November ini, berikutan momentum peningkatan inflasi dalam negara.

    Portal SatuBerita melaporkan, MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata, inflasi teras mencecah paras kemuncak baharu apabila meningkat 3.8 peratus pada Ogos 2022 berbanding setahun lalu, dengan permintaan domestik terus mengukuh.

    Firma penyelidikan itu berkata, inflasi teras juga masih lagi merekodkan peningkatan 0.6 peratus berbanding bulan sebelumnya, manakala inflasi utama terus melonjak sebanyak 4.7 peratus, tertinggi sejak April 2021.

    “Peningkatan kecil dalam inflasi bukan makanan dengan inflasi makanan mencatatkan rekod tertinggi baharu menyumbang kepada peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP) sebanyak 4.7 peratus berbanding setahun lalu.

    “Bagaimanapun, kami mendapati tiga data IHP mengikut asas bulanan telah pun menunjukkan isyarat penyederhanaan. Ini sejajar dengan pembetulan kecil dalam harga komoditi global selain tekanan menurun rantaian bekalan di peringkat domestik dan serantau,” katanya.

    MIDF Research menambah, harga bahan api pada Ogos 2022 meningkat sebanyak 4.9 peratus berbanding setahun lalu, namun menguncup sebanyak 0.9 peratus berbanding bulan sebelumnya, penurunan bulanan terbesar sejak Disember 2020.

    Katanya, ia sejajar dengan penurunan harga komoditi dengan minyak mentah Brent susut kepada AS$96.5 setong bulan lalu selepas berlegar di atas AS$100 setong sejak Februari lalu.

    “Selagi kerajaan mengekalkan mekanisme subsidi bahan api sedia ada, kami melihat inflasi bahan api dan tekanan inflasi keseluruhan akan kekal stabil.

    “Namun dalam masa sama, kadar inflasi bukan bahan api mencatatkan rekod tertinggi 5.7 peratus yang antara disebabkan oleh kelemahan ringgit,” katanya, lapor BH Online.

    MIDF Research berkata, inflasi makanan di Malaysia meningkat kepada 7.2 peratus tahun ke tahun, paling tinggi pernah direkodkan.

    Ia menjelaskan, sebagai pengimport bersih makanan, penurunan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada bulan lalu sebahagiannya telah menyebabkan kenaikan inflasi makanan.

    “Dengan Rizab Persekutuan (Fed) dijangka menaikkan kadar dana lebih tinggi daripada jangkaan, ringgit akan kekal dalam trend melemah sehingga sekurang-kurangnya suku keempat 2022.

    “Menuju ke hadapan, kami menjangkakan inflasi makanan domestik akan mencatatkan penurunan pada kadar sederhana separuh kedua 2022 berikutan penurunan harga komoditi global, terutamanya harga berkaitan pertanian,” katanya.

    Ahli ekonomi CGS-CIMB, Nazmi Idrus, pula berkata inflasi berkemungkinan telah memuncak sama ada pada Ogos atau September 2022, dengan peningkatannya berpotensi lebih rendah dalam bulan-bulan akan datang untuk berada hampir kepada empat peratus menjelang akhir tahun ini dan ke arah tiga peratus menjelang akhir 2023.

    Beliau berkata, setakat ini kebanyakan indeks komoditi utama telah mencatatkan kemuncak pada suku pertama 2022, selain daripada gas asli, di tengah-tengah perkembangan geopolitik di Eropah.

    “Disebabkan itu, tekanan harga terhadap item utama seperti ayam, telur dan minyak masak akan turun apabila kos input berkurangan.

    “Namun demikian, satu kebimbangan yang kita alami adalah inflasi diimport daripada kelemahan ringgit yang akan menyebabkan kos barangan lebih tinggi,” katanya.

    Nazmi berkata, di sebalik kenaikan inflasi teras, CGS-CIMB menjangkakan normalisasi kadar faedah oleh BNM akan berhenti seketika semasa mesyuarat MPC bulan depan, berikutan kebimbangan terhadap tinjauan global yang lemah.

    “Bagaimanapun, kami menjangkakan dua lagi kenaikan 25 mata asas pada separuh pertama 2023,” katanya.

  • Suami isteri antara 5 ditahan terlibat pengedaran dadah

    Suami isteri antara 5 ditahan terlibat pengedaran dadah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI lima individu termasuk pasangan suami isteri ditahan kerana terlibat aktiviti pembekalan dadah selepas polis melalukan empat serbuan berasingan sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri, Jumaat lalu.

    Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, menerusi operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dan JSJN Bukit Aman, mereka yang ditahan itu berusia 22 hingga 32 tahun.

    “Pada 23 September lalu, sekumpulan pegawai dan anggota polis menjalankan empat serbuan berasingan bermula pukul 9 malam dan menahan lima suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita.

    “Ini termasuk pasangan suami isteri itu yanh berusia 23 dan 22 tahun dan mempunyai seorang anak berusia lapan bulan.

    “Menerusi serbuan berkenaan, polis turut merampas 21.16 kilogram (kg) ganja dan 784 gram syabu dengan nilai RM67,027. Jumlah dadah berkenaan dianggarkan mencukupi untuk kegunaan seramai lebih 21,000 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, modus operandi yang digunakan kumpulan itu adalah menjadikan premis perumahan di kawasan ‘gated and guarded’ sebagai lokasi simpanan dan pembekal dadah yang diperoleh dari negara jiran.

    “Kumpulan ini dipercayai bertindak selaku pembekal, di mana mereka menyimpan dadah berkenaan sebelum menjual dengan mengagihkannya kepada kumpulan pengedar kecil-kecilan di pasaran tempatan,” ujar beliau.

    Dalam serbuan berkenaan katanya, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM30,650, pelbagai barangan kemas bernilai RM44,413, tiga buah motosikal dan dua buah kereta bernilai RM113,000, rampasan keseluruhan bernilai RM188,063.

    Tambahnya, sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak bulan Mac lalu, semua suspek kini direman selama enam hari bermula Sabtu 24 untuk siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Planet Marikh dicemari sampah lebih 7,000kg

    Planet Marikh dicemari sampah lebih 7,000kg

    MANUSIA meninggalkan lebih 7,000 kilogram (kg) sampah sejak 50 tahun lalu di Marikh ketika tidak ada seorang individu pun pernah menjejakkan kaki ke planet merah itu.

    Felo penyelidik pasca kedoktoran bidang robotik di Universiti West Virginia, Amerika Syarikat, Cagri Kilic, yang menganalisis jisim semua kenderaan robotik dan pengorbit yang dihantar ke Marikh, tanpa mengambil kira berat daripada kenderaan sedang beroperasi ketika ini mendapati, sebanyak 7,118kg serpihan bersepah di planet Marikh.

    Antara serpihan itu adalah perkakasan yang dibuang, kapal angkasa tidak aktif atau yang terhempas di permukaan planet termasuk pengorbit Marikh 2 Kesatuan Soviet yang terhempas ketika melakukan pendaratan pada 1971.

    Bukan hanya manusia melakukan pencemaran di bumi, saintis juga bimbang serpihan itu boleh mencemarkan sampel yang dikumpulkan kenderaan robotik, Perseverance yang ketika ini dalam misi mencari bukti kehidupan lampau di planet Marikh.

    Lapor Mail Online, kebanyakan serpihan itu tidak dapat dielakkan memandangkan banyak bahagian perlu dibuang untuk melindungi kenderaan angkasa ketika ia meluncur melalui atmosfera planet merah.

    Ia termasuk kenderaan Perseverance dilancarkan Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang terpaksa mengharungi tujuh minit kesukaran ketika mendarat pada Februari 2021.

    Kenderaan robotik itu didapati merakam beberapa imej serpihan ketika dalam misinya dan ia turut dirakam robot helikopter, Ingenuity.

    Jun lalu, pasukan NASA mengesan cahaya dalam sekeping imej dihantar oleh kenderaan Perseverance yang kemudian diarahkan untuk meneliti semula.

    Secara keseluruhannya, terdapat sembilan kapal angkasa tidak aktif berada di Marikh termasuk pendarat Mars 3 dan pendarat Viking 1 dan 6.

    Menurut Kilic, kebanyakan robot itu masih dalam keadaan baik dan agensi angkasa menganggapnya sebagai monumen bersejarah berbanding sampah.

  • Polis Johor lupus dadah RM6.11 juta

    Polis Johor lupus dadah RM6.11 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor melakukan pelupusan dadah bernilai RM6.11 juta yang melibatkan kes-kes sudah selesai bicara dan dijatuhkan hukuman bagi tempoh 2002 hingga 2021.

    Pelupusan itu melibatkan pelbagai jenis dadah berjumlah 301.54 kilogram (kg) dan 642.37 liter yang akan dilakukan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

    Ketua Polis Johor, Datuk kamarul Zaman Mamat berkata, antara dadah dilupuskan heroin seberat 41.79 kg; kanabis (20.21kg); ketamin (2.49kg); metamfetamin (9.90kg); methylenedioxy methamphetamine (25.45kg) dan daun ketum (192.03kg) selain pelbagai jenis dadah (9.65kg dan 642.37 liter).

    “Jumlah itu berkurang sedikit berbanding tahun lalu apabila JSJN Johor telah berjaya melupuskan pelbagai jenis dadah yang dirampas iaitu 1,765kg dan 3,717 liter yang dianggarkan bernilai RM28.91 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahry, hari ini.

    Beliau berkata, bagi tempoh dari 1 Januari hingga kelmarin, JSJN Johor telah berjaya membuat tangkapan seramai 10,556 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan bagi tempoh berkenaan juga 4,956 kes telah selesai.

    Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 2.72 tan dadah berjaya dirampas dengan nilai keseluruhan RM12.26 juta.

    “Polis Johor berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka. Maklumat boleh disalurkan melalui hotline JSJN 012-2087222,” katanya.

    Mengenai persiapan banjir, beliau berkata, sebanyak 15 bot polis dan beberapa aset serta jentera lain disediakan untuk membantu agensi lain dalam menghadapi bencana alam tersebut.

    “Polis bersiap sedia hadapi banjir dan semua pihak perlu patuhi arahan diberikan pihak penguatkuasaan. Mereka dinasihatkan dapatkan maklumat daripada jabatan kaji cuaca, polis bersama agensi lain bersiap sedia untuk beri bantuan,” ujar beliau.

  • Sanggup berhenti kerja jaga ibu terlantar

    Sanggup berhenti kerja jaga ibu terlantar

    SEORANG anak tunggal sanggup berhenti kerja demi menjaga ibunya yang uzur setelah wanita itu kini hanya mampu terbaring susulan penyakit saraf yang dialaminya.

    Bagi Amin Nasrin Abdullah, 30, dari Kampung Tasek Permai, Rantau Panjang Kelantan itu, dia mahu menghabiskan masa menjaga ibunya, Halimah Mohd Yusof, 69, yang boleh boleh diserang sawan secara tiba-tiba.

    Atas faktor itu, Amin yang sebelum ini sudah bekerja selama 10 tahun di sebuah kedai serbaneka di pekan Rantau Panjang terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja demi menjaga ‘syurga’ nya itu.

    Menurutnya, hidupnya selama ini hanya ditemani kasih sayang ibu sahaja selepas kedua-dua orang tuanya berpisah sejak dia masih kecil, jadi dia tidak sesekali menyesal berhenti kerja demi menjaga satu-satunya ‘harta’ di dunia yang masih ada.

    “Sekarang saya hanya bergantung harap kepada wang simpanan yang dijangka bertahan untuk tempoh dua bulan sahaja memandangkan ibu juga memerlukan lampin pakai buang dengan kos RM450 sebulan.

    “Sejujurnya saya sendiri buntu tetapi perlu terus kuat di depan ibu kerana dia hanya mampu terbaring serta perlu dibantu untuk makan, minum dan mandi. Hati saya juga luluh melihat ibu meronta kesakitan apabila diserang beberapa kali dalam sehari.

    “Saya tidak sampai hati meninggalkan ibu seorang diri di rumah dan mengambil keputusan berhenti kerja walaupun sebelum ini pernah mengupah orang menjaga ibu dengan bayaran RM600 sebulan,” katanya dalam laporan Berita Harian.

    Sementara itu, nasib Amin turut mendapat perhatian wakil badan bukan kerajaan (NGO) Thirdforce dibawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar, yang tampil membantu daripada segi kewangan dan barangan keperluan selain turut memberi sokongan moral buatnya.

    Amin yang sentiasa murah dengan senyuman, berkata dia mempunyai saudara mara tetapi akur bahawa mereka juga ada kehidupan sendiri, justeru dia perlu kuat untuk menjaga ibunya kerana sebelum ini juga hidup mereka hanyalah berdua sahaja.

    “Di usia begini juga, ramai yang bertanya kenapa saya masih belum berkahwin? Saya hanya mampu tersenyum dan menerangkan bahawa buat masa ini hanya ibu yang menjadi keutamaan saya.

    “Sewaktu ibu masih kuat, dia yang membesarkan saya seorang diri dengan menorah getah dan melakukan pekerjaan lain tanpa erti penat. Sekarang adalah masa untuk saya membalas segala jasanya, biarpun bukan dengan kemewahan tetapi saya cuba menjaga sebaik mungkin.

    “Besar harapan saya supaya ibu boleh kembali sembuh kerana melihat keadaanya begini ada kalanya membuat saya menjadi sangat sedih, tetapi deminya saya cuba untuk terus kuat,” katanya yang mengakui sentiasa berdoa supaya dirinya terus kuat menghadapi dugaan itu.

    Menurutnya, ibunya menerima bantuan zakat dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebanyak RM450 sebulan bagi kategori ibu tunggal dan digunakan sepenuhnya untuk rawatan dan membeli lampin pakai buang.

  • 101 buku jadi mas kahwin pasangan ini

    101 buku jadi mas kahwin pasangan ini

    PASANGAN pengantin baharu, Nikhil Naushad dan Shantana Khatun menjadi topik perbualan masyarakat tempatan di pekan Bogra, Bagladesh apabila memutuskan untuk menjadikan 101 buku sebagai mas kahwin mereka.

    Dhaka Tribune melaporkan, ini setelah Shantana berhasrat mewujudkan sebuah perpustakaan keluarga dengan buku-buku berkenaan.

    Mereka disatukan di rumah nenek Nikhil di daerah Chikashi baru-baru ini.

    Mas kahwin itu menjadi perbualan tetamu dan penduduk kampung kerana kebiasaannya ia melibatkan emas, wang atau keperluan wanita.

    Selain buku, Shantana turut menerima pin hidung, cincin dan 70 buah buku bernilai 11,000 taka (RM485).

    Namun setiap buku yang dihadiahkan itu ditetapkan pada harga maksimum 2,000 taka (RM87.60) sebuah.

    Baki 31 buku lagi akan dibayar dan diserahkan secara berperingkat.

    Nikhil dan Shantanan jatuh cinta menerusi penulisan puisi semasa mereka menuntut di sebuah kolej.

    Dalam pada itu, Nikhil memberitahu pemberita bahawa Shantana hanya mahukan 101 buku sebagai mas kahwin dan berharap kisah mereka akan menjadi inspirasi kepada pasangan lain ke arah perkahwinan tanpa mahar.

    Bagi mereka yang akan memulakan hidup baharu di bandar Khandar, nilai dan kemuliaan buku adalah lebih daripada wang.

  • Seorang wanita maut, 13 cedera, pikap jatuh gaung

    Seorang wanita maut, 13 cedera, pikap jatuh gaung

    SEORANG wanita maut manakala 13 lagi cedera selepas pikap dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam sembilan meter ketika menuruni jalan dari Borneo Highland Resort, Padawan, di Kuching, semalam.

    Dalam nahas berkenaan, mangsa yang maut dikenali sebagai Yow Sze Ee, 22, yang juga penumpang pikap terbabit.

    Difahamkan, sebelum nahas itu, 14 sekeluarga itu melakukan aktiviti beriadah di kawasan air terjun bertempat di kawasan pergunungan berkenaan.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu 2.44 petang sebelum menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpok ke lokasi.

    “Mangsa pertama berjaya dinaikkan serta diselamatkan pada 3.45 petang, manakala mangsa terakhir berjaya dibawa naik pada 7.30 malam,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

    Kesemua mangsa katanya, diserah pada pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tindakan rawatan seterusnya.

    Operasi menyelamatkan semua mangsa selesai jam 7.39 malam.