Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pelajar junior dakwa diliwat ‘gemuk’ di bilik asrama

    Pelajar junior dakwa diliwat ‘gemuk’ di bilik asrama

    SEORANG remaja lelaki sanggup ‘berkurung’ hampir dua jam dan meliwat pelajar junior dalam bilik asrama sebuah pusat pengajian di Langkawi Ahad lalu.

    Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa yang berusia 16 tahun pada mulanya berada dalam bilik asrama sebelum seorang daripada pelajar senior yang dikenali sebagai ‘Gemuk’ memanggil dia ke biliknya.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, remaja itu yang masuk ke bilik berkenaan kemudian dikilas tangan oleh suspek berusia 19 tahun sebelum dia didakwa menjadi mangsa liwat pelajar senior terbabit.

    “Hasil siasatan awal, kita mendapati mangsa membuat laporan berhubung kejadian kerana mahu kejadian menimpa dirinya diambil tindakan oleh polis selain untuk pemeriksaan di hospital.

    “Mangsa dalam laporannya juga turut mendakwa yang kejadian itu (liwat) berlarutan sehingga dua jam,” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, susulan laporan itu, polis menahan suspek jam 8.15 malam Isnin lalu dan kes masih disiasat mengikut Seksyen,14 (d)Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    “Kita akan menumpukan siasatan secara menyeluruh dan meliputi segenap aspek dalam kes seperti dilapor dan didakwa mangsa berkenaan,” katanya.

  • [VIDEO] Ular sawa enam meter kekenyangan baham kambing

    [VIDEO] Ular sawa enam meter kekenyangan baham kambing

    SEEKOR ular sawa batik sepanjang enam meter, ditemukan dalam keadaan kekenyangan dalam sebuah kandang kambing di Jalan Cendana 6, FELDA Inas, Kulai pagi tadi.

    Reptilia dianggar seberat 80 kilogram itu menelan seekor kambing betina selepas pemilik ternakan itu mendapati haiwan berkenaan hilang dan tidak dapat dikesan.

    Memetik laporan Berita Harian, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.21 pagi dan menghantar sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai ke lokasi.

    “Tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati ular sepanjang enam meter itu dalam kandang kambing. Penternak mendakwa ibu kambing miliknya hilang, dipercayai dibaham ular sawa berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Jurucakap itu berkata, bomba kemudian menangkap ular itu sebelum dilepaskan di kawasan jauh dari petempatan penduduk.

    Katanya, ini kejadian pertama pihaknya menerima aduan seumpama itu di kawasan FELDA berkenaan.

    “Kejadian ini tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan operasi tamat pada pukul 8.21 pagi,” katanya.

  • Penjaga stor OKU didakwa sebabkan kematian guru

    Penjaga stor OKU didakwa sebabkan kematian guru

    SEORANG penjaga stor yang juga orang kurang upaya (OKU) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kulim, hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian seorang guru di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas pada Julai lalu.

    Memetik laporan Harian Metro, S Jelatheswaran, 37, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Mirza Mohamad.

    Mengikut kertas pertuduhan, Jelatheswaran didakwa dengan niat mencetus bencana hingga menyebabkan kematian mangsa N Kumar, 54, di pondok batu belakang sebuah rumah di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas Pulau Pinang antara pukul 4.30 petang 27 Julai 9.50 pagi 28 Julai lalu.

    Sehubungan itu dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang jika didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan denda.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Pavitra manakala tertuduh diwakili peguam Tamil Salvan.

    Terdahulu, Pavitra memohon mahkamah menawarkan jaminan RM20,000 dan beberapa syarat tambahan kepada tertuduh namun Tamil Salvan merayu jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tiada pendapatan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya selain perlu menanggung tiga anak yang masih kecil.

    Mirza kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan termasuk tidak mengganggu mana-mana saksi pihak pendakwaan, lapor diri setiap dua minggu di Balai Polis Jalan Pattani, menyerahkan pasport sekiranya ada dan turut mengarahkan tertuduh memaklumkan kepada pegawai penyiasat sekiranya ingin keluar dari Kedah dan Pulau Pinang.

    Mahkamah kemudian menetapkan 14 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Dalam kejadian 28 Julai lalu, seorang guru lelaki dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kulim.

    Bagaimanapun, kematian guru pendidikan moral sebuah sekolah di Pulau Pinang itu menimbul persoalan sama ada dia menjadi mangsa jenayah atau sebaliknya selepas dibawa tiga lelaki ke hospital terbabit pukul 9.15 malam.

    Hasil siasatan polis membawa kepada penahanan wanita berusia 41 tahun yang bekerja sebagai penolong pegawai sebuah agensi kerajaan dan mangsa dipercayai terbabit dalam pergaduhan dengan beberapa lelaki di sebuah restoran kerana dia didakwa menyimpan gambar bogel suspek dalam telefon bimbitnya.

  • Penceroboh tol: Pemandu Proton X50 antara pengguna culas ditahan

    Penceroboh tol: Pemandu Proton X50 antara pengguna culas ditahan

    PEMANDU Proton X50 merupakan antara beberapa kenderaan ditahan kerana menceroboh tol dalam satu operasi dilakukan di Plaza Tol Dato Keramat, Lebuhraya AKLEH Kuala Lumpur malam tadi.

    Menerusi ciapan PROLINTAS AKLEH, pemandu Proton X50 itu dikesan mempunya tunggakan bayaran tol sebanyak RM57.50.

    “Hasil usaha mengesan penceroboh tol yang dijalankan secara kerap, beberapa kenderaan berjaya ditahan di Plaza Tol Dato Keramat, Lebuhraya AKLEH malam tadi.

    “Salah sebuah kenderaan yang ditahan ialah Proton X50 dengan tunggakan bayaran tol sebanyak RM57,50 dan amaun kerugian telah dikembalikan pada masa dan lokasi sama,” ciap PROLINTAS AKLEH.

    Ciapan itu menambah, PROLINTAS terus giat menjalankan operasi mengesan penceroboh tol melalui pasukan operasi lebuh raya.

    Tambahnya, ia bagi menahan pengguna tidak bertanggungjawab agar melangsaikan tunggakan bayaran tol.

  • Kes Ebit Lew: Pengadu takut buat laporan, ada saudara kerja di Balai Polis Tenom

    Kes Ebit Lew: Pengadu takut buat laporan, ada saudara kerja di Balai Polis Tenom

    SAKSI pendakwaan pertama dalam kes gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal Ebit Lew memaklumkan bahawa pengadu takut membuat laporan polis disebabkan ada saudaranya yang bertugas di Balai Polis Tenom.

    Perkara itu didedahkan Mohd Fairuz Abu, 37, kepada Mahkamah Majistret Tenom hari ini.

    Saksi yang juga seorang pakar motivasi memaklumkan sebelum itu dirinya juga ada mencadangkan agar pengadu wanita itu membuat laporan polis di Sabah.

    Jelas Mohd Fairuz, pengadu kemudiannya telah membuat laporan polis di Bukit Aman selepas membuat perbincangan dengan suaminya.

    “Pengadu memberitahu dia takut membuat laporan polis di Balai Polis Tenom disebabkan ada saudaranya yang bertugas di balai berkenaan.

    “Tenom ini sebuah daerah kecil dan ramai orang boleh tahu kalau dia buat ‘report’,” katanya sebagaimana lapor Astro AWani.

    Mohd Fairuz dalam laporan itu berkata demikian ketika prosiding hari kedua berkaitan perbicaraan kes gangguan seksual yang dikaitkan dengan pendakwah itu.

    Terdahulu, Lew tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Tenom kira-kira pukul 10.15 pagi dengan menaiki kereta jenis pacuan empat roda sambil diringi beberapa individu.

    Mohd Fairuz turut menyatakan hantaran dalam laman sosial Facebook mencadangkan wanita lain yang menjadi mangsa agar menghubungi dirinya bagi kaunseling serta bantuan membuat laporan dimuat naik selepas laporan polis dibuat oleh seorang lagi pengadu wanita lain pada 26 Julai 2021.

    Jelasnya hantaran itu juga dibuat selepas hasil perbincangan dengan Firdaus Wong serta peguam Multiracial Reverted Muslims (MRM).

    “Selepas itu, semua aduan pengadu akan diserahkan kepada Sayap Wanita MRM yang mempunyai kaunselor dan pakar psikologi,” jelasnya ketika menjawab soalan peguam Ram Singh.

    Lew, 37, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi Whatsapp antara Mac dan Jun tahun lepas.

    Pendakwah selebriti itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan bersambung.

  • Harga sawit negara terendah dalam tempoh 15 bulan

    Harga sawit negara terendah dalam tempoh 15 bulan

    NIAGA hadapan minyak sawit Malaysia mencecah paras terendah baharu dalam 15 bulan, meneruskan kerugian untuk sesi kelima berturut-turut apabila kebimbangan kemelesetan global menjejaskan permintaan dalam pasaran minyak boleh dimakan.

    Agensi berita Reuters melaporkan, kontrak penanda aras minyak sawit bagi penghantaran Disember di Bursa Malaysia Derivatives susut 5.08 peratus kepada RM3,344 satu tan menjelang rehat tengah hari.

    Terdahulu pada sesi itu, ia susut kepada RM3,326, paras terendah sejak 18 Jun 2021.

    Kontrak itu telah merosot 14 peratus setakat ini dalam tempoh lima hari.

    Memandangkan harga melepasi bawah paras RM3,430, peniaga bertindak menjual pegangan mereka, kata peniaga di sini.

    “Kegawatan global dalam pasaran tenaga dan saham menambahkan lagi tekanan jualan dalam bahagian minyak boleh dimakan.

    “Pasaran saham Asia jatuh, apabila kos pinjaman yang meningkat menambahkan lagi kebimbangan terhadap kemelesetan global, mendorong pelabur ke dalam dolar lindung nilai selamat dan menghukum mata wang di seluruh rantau ini,” katanya yang dipetik Berita Harian.

    Harga minyak jatuh lebih satu peratus, ditekan oleh pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan peningkatan simpanan minyak mentah yang mengimbangi sokongan daripada pengurangan pengeluaran AS yang disebabkan oleh Taufan Ian.

    Kontrak minyak kacang soya paling aktif di Dalian jatuh 0.52 peratus, manakala kontrak minyak sawitnya susut 1.08 peratus.

    Harga minyak kacang soya di Chicago Board of Trade merosot 1.22 peratus.

    Minyak sawit dipengaruhi oleh pergerakan harga dalam minyak berkaitan kerana mereka bersaing untuk mendapatkan bahagian dalam pasaran minyak sayuran global, manakala minyak mentah yang lebih lemah menjadikan minyak sawit kurang menarik sebagai bahan mentah bahan api bio.

    Minyak sawit mungkin menguji semula paras sokongan pada RM3,427 satu tan, penembusan di bawah paras itu boleh membuka laluan ke arah julat RM3,288 hingga RM3,360, kata Penganalisis Teknikal Reuters, Wang Tao.

    Eksport produk minyak sawit Malaysia untuk 1 hingga 25 September meningkat antara 18.6 peratus dan 20.9 peratus berbanding angka sebulan lalu, kata juru ukur kargo.

  • Bentang semula Bajet 2023 jika PRU-15 dalam masa terdekat

    Bentang semula Bajet 2023 jika PRU-15 dalam masa terdekat

    RANG Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Bajet 2023 yang dijadual dibentang Jumaat depan perlu dibentang semula di Parlimen jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.

    Menurut Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, perkara itu perlu dibuat seandainya bajet yang dibentangkan tidak sempat diluluskan untuk memberi laluan kepada PRU.

    Beliau berkata, kerajaan baharu yang terbentuk selepas PRU perlu membentangkan semula RUU berkenaan, bagi peringkat bacaan kali pertama dan seterusnya.

    “Kalau ada pilihan raya maka akan ada satu kerajaan yang baharu. Kerajaan baharu perlu buat bacaan pertama semula.

    “Sebab ini bajet, ia tidak mengikat kerajaan,” katanya sebagaimana laporan Sinar Harian.

    Azhar menerusi laporan itu bagaimanapun memberitahu, kerajaan baharu juga boleh menggunakan draf RUU sama ketika pembentangan semula ke Dewan Rakyat.

    Ketika ini turut timbul spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan selepas pembentangan Bajet 2023 iaitu sebelum sempat RUU tersebut diluluskan.

    Sementara itu, ketika ditanya adakah pihaknya akan menerima notis sebelum pembubaran Parlimen, Azhar berkata, Dewan Rakyat tidak akan menerima sebarang notis.

    “Pembubaran Parlimen adalah di bawah kuasa Perdana Menteri yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong.

    “Tapi pada masa sama, Agong juga mempunyai budi bicara untuk menolak nasihat tersebut. Itu undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

  • Persiapan banjir: 96 PPS sedia diaktif di KL, Putrajaya

    Persiapan banjir: 96 PPS sedia diaktif di KL, Putrajaya

    SEBANYAK 96 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menampung lebih 22,000 mangsa banjir di sekitar ibu negara dan Putrajaya sedia diaktifkan sebagai persiapan menghadapi bencana itu sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ia adalah sebahagian daripada 6,010 PPS di seluruh negara yang berupaya menempatkan lebih 1.6 juta orang yang sedia digerakkan pada musim banjir. 

    “JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) memberi fokus kepada empat perkara iaitu perlindungan, makanan, kaunseling dan pendaftaran di PPS.

    “Dalam soal penyediaan makanan, penggunaan makanan bungkusan ‘retort’ digunakan di PPS sebagai persediaan awal bagi menjamin mutu dan kesegaran serta memastikan sifar bakteria,” katanya ketika berucap merasmikan Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan PPS di sini hari ini. 

    Seramai 250 peserta terdiri daripada warga kerja JKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia , Polis  Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pejabat Kesihatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Majlis Perwakilan Penduduk menyertai program itu di Pusat Komuniti Sentul sebagai kesiapsiagaan menghadapi bencana. 

    Rina berkata program itu bertujuan memberi maklumat dan pendedahan berkaitan pengurusan bencana secara lebih cekap, bersepadu dan berkesan kepada petugas terlibat.

    Sebelum ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia dilaporkan mengenal pasti sejumlah 36 titik panas berisiko banjir di ibu kota antaranya Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Kampung Kassipilay, Kampung Puah dan Kampung Chubadak. 

    Dalam pada itu, Ketua Pengarah JKM Datuk Shaharuddin Abu Sohot ketika ditanya berkenaan persiapan sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan pada musim banjir, berkata pihaknya sedia berunding dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pengendalian lokasi memandangkan PPS dan pusat mengundi lazimnya menggunakan tempat yang sama. 

    “Belum ada pelan yang khusus tapi kita akan berunding kalau tempat diperlukan untuk urusan pilihan raya,” katanya. – BERNAMA 

  • Ceroboh perairan negara: 2 bot, 19 kru warga Vietnam ditahan

    Ceroboh perairan negara: 2 bot, 19 kru warga Vietnam ditahan

    DUA bot nelayan asing bersama 19 kru warganegara Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing bersama Pasukan Polis Marin (PPM) kerana menceroboh perairan negara.

    Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, kedua-dua bot berkenaan ditahan di kedudukan 12.8 batu nautika timur laut Pulau Aur kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

    Beliau berkata, pemeriksaan yang dilakukan mendapati terdapat 19 kru termasuk tekong, disyaki warga Vietnam berumur antara 18 hingga 51 tahun.

    “Kesemua mereka didapati gagal mempamerkan pengenalan diri yang sah dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut.

    “Dua bot berserta peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan dianggarkan 3,000 kilogram dirampas. Hasil rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM3.1 juta.

    “Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Maritim Malaysia dalam laporan itu mengingatkan seluruh komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan sekiranya gagal tindakan sewajarnya akan dikenakan.

    Sebarang aduan jenayah boleh hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404.

  • Abdul Hamid Bador calon terbaik GTA lawan Tok Mat

    Abdul Hamid Bador calon terbaik GTA lawan Tok Mat

    GERAKAN Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan yakin mampu memecahkan tembok kuat UMNO di Parlimen Rembau jika bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bersetuju mewakili gabungan itu bertanding di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail berkata, walaupun Abdul Hamid bukan ahli Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), namun GTA bersedia memberi ruang kepada semua termasuk individu tertentu yang mempunyai nama besar.

    “Bagi saya buat masa ini dialah (Abdul Hamid) calon paling terbaik untuk GTA di Parlimen Rembau. Lagipun dia memang orang Rembau.

    “Nak pecahkan tembok yang besar, kita perlu letakkan nama yang besar seperti beliau, lebih-lebih lagi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dikhabarkan akan bertanding di situ kali ini,” katanya kepada Sinar Harian.

    Mohamad Jani menurut laporan itu lagi, nama Abdul Hamid dicadangkan kerana beliau disifatkan seorang yang berani bercakap benar dan tegas seperti mana ditunjukkan ketika dalam perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara.

    Tambah Mohamad Jani, ciri-ciri kepimpinan sebegitu sememangnya diharapkan oleh rakyat.

    “Kalau kita nak betulkan negara, kita perlu letakkan orang ada ciri-ciri begitu.

    “Kalau setakat nak letak calon bertanding, saya selaku ketua negeri pun boleh. Tapi hasrat kita, kita nak menang dan boleh bawa suara rakyat dalam Parlimen,” katanya.

    Bagaimanapun beliau berkata, hasrat itu tidak pernah dibincangkan bersama Abdul Hamid dan hanya disuarakan kepada Timbalan Pengerusi GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bulan lalu.

    “Saya rasa yang hanya boleh pujuk dia (Abdul Hamid) Pengerusi Parti Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad saja,” katanya.

    Sementara itu, usaha Sinar Harian cuba menghubungi Abdul Hamid untuk mendapatkan kenyataannya masih belum berhasil.