SEORANG penjaga stor yang juga orang kurang upaya (OKU) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kulim, hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian seorang guru di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas pada Julai lalu.

Memetik laporan Harian Metro, S Jelatheswaran, 37, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Mirza Mohamad.

Mengikut kertas pertuduhan, Jelatheswaran didakwa dengan niat mencetus bencana hingga menyebabkan kematian mangsa N Kumar, 54, di pondok batu belakang sebuah rumah di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas Pulau Pinang antara pukul 4.30 petang 27 Julai 9.50 pagi 28 Julai lalu.

Sehubungan itu dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang jika didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Pavitra manakala tertuduh diwakili peguam Tamil Salvan.

Terdahulu, Pavitra memohon mahkamah menawarkan jaminan RM20,000 dan beberapa syarat tambahan kepada tertuduh namun Tamil Salvan merayu jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tiada pendapatan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya selain perlu menanggung tiga anak yang masih kecil.

Mirza kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan termasuk tidak mengganggu mana-mana saksi pihak pendakwaan, lapor diri setiap dua minggu di Balai Polis Jalan Pattani, menyerahkan pasport sekiranya ada dan turut mengarahkan tertuduh memaklumkan kepada pegawai penyiasat sekiranya ingin keluar dari Kedah dan Pulau Pinang.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam kejadian 28 Julai lalu, seorang guru lelaki dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kulim.

Bagaimanapun, kematian guru pendidikan moral sebuah sekolah di Pulau Pinang itu menimbul persoalan sama ada dia menjadi mangsa jenayah atau sebaliknya selepas dibawa tiga lelaki ke hospital terbabit pukul 9.15 malam.

Hasil siasatan polis membawa kepada penahanan wanita berusia 41 tahun yang bekerja sebagai penolong pegawai sebuah agensi kerajaan dan mangsa dipercayai terbabit dalam pergaduhan dengan beberapa lelaki di sebuah restoran kerana dia didakwa menyimpan gambar bogel suspek dalam telefon bimbitnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here