Author: Wartawan WartaRakyat

  • Remaja lemas selepas jatuh sungai ketika kutip bola

    Remaja lemas selepas jatuh sungai ketika kutip bola

    REMAJA lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh di Sungai Bukit Lanchong, Subang Jaya, Selangor, semalam.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa Wan Mohamad Hafiq Wan Ismail, 13, ditemukan 2 kilometer (km) dari tempat mangsa terjatuh.

    “Anggota bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.56 petang dan dimaklumkan mengenai kejadian itu.

    “Berdasarkan laporan awal, mangsa terjatuh ke dalam sungai ketika cuba mengambil bola sebelum dibawa arus dan tenggelam.

    “Anggota membuat pemantauan di kawasan sekitar dan tugas diserahkan kepada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) manakala pencarian secara ‘surface searching’ masih diteruskan di kunci air dan kawasan kali terakhir mangsa dilihat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, pencarian diteruskan pada hari ini dengan menggunakan dua buah bot dan mangsa telah ditemui terapung 2km dari tempat mangsa terjatuh, pada 8.21 pagi.

    Mengulas lanjut, Norazam berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, lapor Astro Awani.

  • Polis selamatkan ejen kosmetik mangsa culik di Thailand

    Polis selamatkan ejen kosmetik mangsa culik di Thailand

    EJEN jualan produk kosmetik wanita Rosnazirah Mohd Naim, yang diculik sekumpulan lelaki dari kediamannya di Tumpat, Kelantan pada 13 September lalu berjaya diselamatkan.

    Lokasi kedudukan mangsa berusia 36 tahun itu berjaya dikesan hasil bantuan dan kerjasama erat antara pihak berkuasa Thailand dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan malam ini berkata melalui kerjasama erat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan berjaya mengenalpasti lokasi keberadaan di Thailand.

    “Mangsa kemudiannya berjaya ditemui dan diselamatkan sebelum dibawa pulang ke tanah air hari ini. Dalam kes ini juga seramai tujuh lelaki tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.

    PAda 14 September lalu, Rosnazirah diculik dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat.

    Dia  dilarikan sekumpulan tidak dikenali pada jam 4.10 petang dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios.

    Pada 16 September lalu, Polis Thailand melancarkan operasi bagi mengesan Rosnazirah dengan turut membuat serbuan di sebuah rumah di pinggir Sungai Golok atau Takbai,

    Katanya, serbuan berkenaan dibuat susulan maklumat yang diperoleh bahawa kediaman itu dihuni salah seorang suspek.

  • Maut terjun tingkat lapan selepas tikam teman wanita hingga mati

    Maut terjun tingkat lapan selepas tikam teman wanita hingga mati

    SEORANG lelaki maut dipercayai akibat terjun dari tingkat lapan selepas menikam teman wanitanya sehingga maut dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Kilangan, Jalan Sungai, Pulau Pinang petang tadi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V. Saravanan berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian melibatkan dua warga Myanmar itu kira-kira pukul 8 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    Katanya, mayat mangsa wanita yang dikenali sebagai Khin Nyein, 30, dijumpai dalam keadaan berlumuran darah di balkoni tingkat lapan manakala mayat teman lelakinya yang berusia 30-an di parkir tingkat bawah pangsapuri tersebut.

    “Menurut saksi yang juga rakan mangsa wanita, dia dan mangsa yang bekerja di sebuah kilang emas baru pulang dari tempat kerja dan ketika tiba di rumah mereka suspek lelaki secara tiba-tiba meluru dan memeluk wanita berkenaan.

    “Lelaki itu juga menutup mulut teman wanitanya dan terus menikam mangsa di bahagian perut beberapa kali dengan sebilah pisau.

    “Rakan mangsa wanita berkenaan cuba menyelamatkannya namun ditolak oleh suspek,” katanya kepada pemberita malam ini.

    Menurut Saravanan, suspek lelaki yang dipercayai tinggal tidak jauh daripada kawasan perumahan mangsa kemudiannya bertindak terjun daripada tingkat lapan sebelum ditemukan maut di kawasan parkir apartment tersebut.

    Katanya, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan punca sebenar kejadian manakala mayat kedua-dua warga asing itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk proses bedah siasat.

  • SPRM sudah selesaikan kertas siasatan Mohd. Nazlan

    SPRM sudah selesaikan kertas siasatan Mohd. Nazlan

    KERTAS siasatan melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali sudah selesai, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

    Jelasnya, SPRM kini hanya menunggu arahan yang akan diberikan oleh Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

    “Dalam kes berkenaan, pada saya, kami telah selesaikan kertas siasatan, dan ia sudah berada dengan SPRM.

    “Tetapi kami belum dapat mengumumkan apa-apa arahan lanjut yang kita terima dari Pejabat Peguam Negara.

    “Buat masa ini saya reserve my comment (enggan mengulas lanjut) dalam siasatan ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama media dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara di George Town, hari ini.

    Sebelum ini Azam berkata, kertas siasatan itu pernah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara sebelum dipulangkan semula kepada SPRM untuk siasatan lanjut.

    SPRM sebelum ini dilapor membuka kertas siasatan terhadap Mohd. Nazlan, susulan laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan terdapat sejumlah wang yang tidak dapat ditentukan punca dalam akaun banknya.

    Mohd. Nazlan yang mengetuai perbicaraan kes SRC International membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri itu.

    Dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan, Najib berhujah yang mana Mohd. Nazlan mempunyai konflik kepentingan yang serius ketika menghakimi perbicaraan itu.

  • Datuk Bandar ditahan SPRM bantu siasatan projek tebatan banjir di Selangor

    Datuk Bandar ditahan SPRM bantu siasatan projek tebatan banjir di Selangor

    SEORANG Datuk Bandar ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, bagi membantu siasatan terhadap tender projek tebatan banjir dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

    Sumber yang mengesahkan tangkapan itu, berkata lelaki berusia lingkungan 50 tahun terbabit ditahan dalam usaha agensi itu melengkapkan siasatan terhadap penyelewengan berkenaan.

    “Beliau ditahan semalam. Selepas keterangannya diambil, beliau dibebaskan dengan jaminan RM50,000 oleh seorang penjamin. “Datuk Bandar itu dibebaskan sementara siasatan lanjut dijalankan SPRM,” katanya sumber kepada Berita Harian.

    Sebelum itu di Pulau Pinang, Ketua  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan, terdapat pegawai kanan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima habuan barangan berharga bernilai puluhan ribu ringgit.

    “Siasatan juga sedang dijalankan berhubung bagaimana sebuah syarikat mampu mengawal 30 buah syarikat lain untuk mendapatkan projek-projek di jabatan di MBSA. Setakat ini kita sudah menahan seramai sembilan orang dan siasatan berhubung kes ini masih dijalankan,” katanya dalam sesi dialog bersama media dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara di George Town, hari ini.

    Azam percaya, penahanan mereka yang terlibat merupakan sebuah kartel yang berjaya dibongkarkan dengan tangkapan terbaharu pegawai kanan kerajaan membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

    SPRM sebelum ini mengesahkan menahan beberapa individu berhubung siasatan terhadap Pelan Induk Saliran Lestari Shah Alam (SASUD) yang dikaitkan dengan MBSA.

    Pegawai MBSA yang ditahan itu termasuk dua jurutera, seorang penolong jurutera dan seorang penolong pentadbir selain seorang kontraktor.

  • Ada pegawai kanan MBSA terima barangan berharga puluhan ribu ringgit, Azam Baki

    Ada pegawai kanan MBSA terima barangan berharga puluhan ribu ringgit, Azam Baki

    KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan, terdapat pegawai kanan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima habuan barangan berharga bernilai puluhan ribu ringgit.

    “Siasatan juga sedang dijalankan berhubung bagaimana sebuah syarikat mampu mengawal 30 buah syarikat lain untuk mendapatkan projek-projek di jabatan di MBSA.

    “Setakat ini kita sudah menahan seramai sembilan orang dan siasatan berhubung kes ini masih dijalankan,” katanya dalam sesi dialog bersama media dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara di George Town, hari ini.

    Azam percaya, penahanan mereka yang terlibat merupakan sebuah kartel yang berjaya dibongkarkan dengan tangkapan terbaharu pegawai kanan kerajaan membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

    SPRM sebelum ini mengesahkan menahan beberapa individu berhubung siasatan terhadap Pelan Induk Saliran Lestari Shah Alam (SASUD) yang dikaitkan dengan MBSA.

    Pegawai MBSA yang ditahan itu termasuk dua jurutera, seorang penolong jurutera dan seorang penolong pentadbir selain seorang kontraktor.

    Media melaporkan, seorang jurutera dipercayai ditugaskan untuk menyediakan dokumen berkaitan dan senarai kontraktor bagi projek itu.

    Malah, SPRM dilaporkan turut mengenal pasti sebanyak 68 syarikat yang dipercayai berada dalam senarai itu yang didakwa ditawarkan tender untuk projek berkenaan.

  • SPRM jangka siasatan rasuah Penjana Kerjaya selesai sebulan lagi

    SPRM jangka siasatan rasuah Penjana Kerjaya selesai sebulan lagi

    SIASATAN kes tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) melibatkan nilai RM100 juta dalam tempoh sebulan lagi.

    Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, ini kerana siasatan kes berkenaan mengambil sedikit masa yang melibatkan ramai suspek termauk banyak pihak lain.

    “Setakat ini SPRM telah membuka sebanyak 62 kertas siasatan bersabit kes itu dan menahan 38 lelaki dan 13 wanita bagi membantu siasatan.

    “Kes ini tiada kaitan dengan politik, ia seperti rompakan di siang hari (daylight robbery) yang mana sekumpulan individu melihat ada peluang (untuk ambil keuntungan) daripada kemurahan hati kerajaan bagi membantu mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi dialog bersama media dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara di George Town, hari ini.

    Sebelum ini SPRM memaklumkan tentang pelaksanaan operasi besar-besaran bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Penjana Kerjaya di beberapa negeri seluruh negara.

    Operasi berkenaan adalah susulan maklumat diperolehi susulan pemantauan dan risikan oleh SPRM dengan kerjasama Perkeso yang mendapati ada majikan-majikan yang mengemukakan tuntutan palsu serta menyeleweng dana program tersebut.

    Program itu merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran Covid-19 bermula awal tahun 2020 yang dilaksanakan Perkeso melalui pewujudan pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja. 

  • SPRM terbuka cadangan diletakkan di bawah Parlimen

    SPRM terbuka cadangan diletakkan di bawah Parlimen

    CADANGAN meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen mungkin akan menyebabkan agensi itu terikat atau terpaksa mengikut polisi dan arahan yang ditetapkan oleh ahli politik.

    Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, sedangkan terdapat pihak lain yang mahukan SPRM terus kekal bebas daripada tekanan politik.

    Beliau turut mengambil contoh terdapat badan pencegahan rasuah di negara tertentu yang diletakkan di bawah Parlimen atau Senat perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu untuk menjalankan siasatan melibatkan kes berprofil tinggi.

    “Saya sebelum ini juga pernah mendapat mesej daripada seorang menteri kanan yang bertanyakan adakah SPRM sedang menyiasat beliau. Saya cuma balas ‘Ya, terima kasih’, setakat itu sahaja.

    “Dalam siasatan kes Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) misalnya, ramai individu berprofil tinggi dinamakan, adakah saya perlu tanya mereka terlebih dahulu sebelum membuka kertas siasatan? Kita tidak pernah tanya dan ini menunjukkan kebebasan kita.

    “Bagaimanapun SPRM terbuka dengan cadangan tersebut,” katanya dalam sesi dialog bersama media dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara di George Town, hari ini.

    Azam ditanya berkenaan cadangan beberapa pihak sebelum ini supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen yang mana akan memastikan proses semak dan imbang SPRM lebih bebas serta telus.

    Mengulas lanjut Azam berkata, SPRM masih boleh dilihat bebas meskipun tidak diletakkan di bawah Parlimen sekiranya cadangan yang digariskan menerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) dilaksanakan secepat mungkin.

    Antaranya kata beliau, memastikan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak dilantik secara sewenang-wenangnya sebaliknya menerusi perkenan Yang di-Pertuan Agong.

  • KPLB belanja hampir RM900 juta bangunkan infrastruktur asas di Sarawak

    KPLB belanja hampir RM900 juta bangunkan infrastruktur asas di Sarawak

    HAMPIR RM900 juta dibelanjakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi Wilayah Sarawak untuk tujuan pembangunan infrastruktur asas, ekonomi dan modal insan.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara tumpuan projek pembangunan infrastruktur asas adalah Jalan Luar Bandar (JALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Bekalan Air Luar Bandar (BALB).

    “Tahun 2022 kita ada peruntukan lebih kurang RM900 juta untuk Sarawak, jadi kita nak belanjakan untuk 2022, tapi pada masa yang sama ada projek sambungan 2021 yang belum siap lagi, 2020 dekat-dekat nak siap 2022, jadi kita kena tengoklah benda ni supaya benda ni berjalan dan pada masa yang sama bila ada projek yang baru masuk, kita koordinasi dengan kerajaan Negeri.

    “Kita ada projek tertentu yang sedang dilaksanakan di negeri Sarawak dan ada yang dipanggil pra pelaksanaan, yang belum dilaksanakan dan pada masa yang sama kerajaan Negeri juga ada projek prasarana yang mereka yang di atas bajet Negeri yang sedang berjalan.”

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching hari ini.

    Turut sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi dan Pengarah KPLB Sarawak, Mohd Syafiq Anas Abdullah.

    Mahdzir memaklumkan hasil pertemuan itu, kerajaan Sarawak dan KPLB bersetuju untuk meningkatkan penyelarasan bagi semua projek-projek pembangunan yang sedang dan yang akan dilaksanakan di wilayah itu.

    “Jadi antara perkara yang kita bincang hari ini adalah yang melibatkan koordinasi di antara kerajaan Negeri dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Premier juga bersetuju supaya pasukan teknikal daripada KPLB dan juga daripada kerajaan Negeri dapat kerap berjumpa,”katanya.

    Ditanya mengenai projek yang bermasalah di Sarawak, Mahdzir berkata setakat ini tidak ada projek yang dihentikan atas faktor penjimatan kos ekoran pandemik Covid-19.

    “Ada projek yang sudah siap, ada projek yang sedang dalam pelaksanaan, tapi yang paling penting sekali yang belum dan yang nak mula tu kita ada koordinasi kerana koordinasi sangat penting sebab nak tentukan supaya tidak ada pertindihan di antara bajet Negeri dengan bajet daripada KPLB.”

    Mengulas mengenai Bajet 2023 KPLB untuk wilayah Sarawak, beliau yakin peruntukannya akan melebihi daripada tahun ini.

    “InshaAllah ada bajet, bajet tu masih embargo 2023, tapi saya yakin ia lebih daripada 2022 lah”, katanya.

  • Bersatu beri 6 cadangan libat RUU Berkaitan Sumbangan Politik

    Bersatu beri 6 cadangan libat RUU Berkaitan Sumbangan Politik

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencadangkan enam perkara perlu diambil kira dalam penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Berkaitan Sumbangan Politik.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, cadangan pertama adalah mengenai keperluan mewujudkan dana iaitu ‘state-funding’ untuk parti politik di dalam negara.

    “Langkah menubuhkan pengurusan dana itu bakal mewujudkan persaingan yang sama rata dan adil untuk semua parti politik di Malaysia.

    “Kedua, pelaporan aset dan harta parti mestilah telus dan terperinci agar tiada sesiapa boleh menyalahgunakan dana politik, atau menyorok dana yang mereka perolehi atas topeng politik.

    “Ketiga, pelantikan pegawai pengawal sumbangan politik mestilah bebas daripada pengaruh politik dan diselia oleh Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, keempat, denda atau hukuman yang dikenakan bagi mereka yang tidak patuh mestilah signifikan supaya ia menghalang salah laku.

    Beliau turut menjelaskan bahawa sumbangan kepada parti harus mendapat pengecualian cukai agar dapat menyuburkan budaya yang telus.

    Selain itu katanya, peraturan mestilah menyuburkan budaya politik sihat dan menggalakkan partisipasi rakyat dalam menghidupkan budaya politik sihat.

    Wan Saiful berkata, kesemua cadangan tersebut dikemukakan ketika sesi perundingan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang diadakan di Parlimen pada Rabu.

    Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, penyediaan draf RUU berkaitan sumbangan politik itu adalah satu perkembangan baik kerana beberapa kes berprofil tinggi di dalam negara dilihat membabitkan wang berbilion ringgit yang didakwa sebagai sumbangan politik.

    “Sejak 2015 saya terlibat dalam proses merangka peraturan pendanaan politik. Semalam saya melihat buat pertama kali perkara pokok dirangka Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).

    “Tahniah kepada pasukan di GIACC yang bertungkus lumus merangka draf undang-undang yang sedang disediakan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Pada 23 September lalu, Wan Junaidi berkata, RUU Berkaitan Sumbangan Politik itu dijangka akan dapat dibentangkan di Mesyuarat Parlimen bagi bacaan pertama pada awal November ini dengan bacaan kedua pula pada penghujung bulan tersebut.