Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bayi 8 bulan nyaris maut tertelan pengetip kuku

    Bayi 8 bulan nyaris maut tertelan pengetip kuku

    SEORANG bayi lelaki di Nashik, India nyaris maut apabila dia tertelan pengetip kuku yang kemudiannya tersekat di dalam kerongkongnya.

    Metro Co UK melaporkan, bayi itu sebelum kejadian bermain dengan pengetip berukuran dua inci sebelum tertelan objek berkenaan.

    Ibu bapa kepada bayi itu yang melihat kejadian kemudiannya membawa anak mereka ke hospital.

    Imbasan sinar-X kemudiannya menunjukkan objek besi itu tersekat di bawah kerongkongnya, sehingga hampir menutup laluan pernafasannya.

    Ibu bapa itu bernasib baik kerana pengetip kuku berkenaan tidak memasuki perutnya yang boleh mendatangkan ancaman lebih serius.

    Sementara itu, pakar di Kolej Perubatan Dr Vasantrao Pawar berjaya mengeluarkan objek itu dalam pembedahan selama sejam.

    Menurut doktor, bayi itu kini dalam keadaan baik dan beransur pulis selepas melalui prosedur pembedahan.

  • Belajar hasilkan senapang angin, pistol tiruan daripada YouTube

    Belajar hasilkan senapang angin, pistol tiruan daripada YouTube

    POLIS menahan kerana menghasilkan tiga laras senapang angin dan sepucuk pistol tiruan dalam serbuan di rumahnya di Taman Mewah Jaya, Sitiawan, pada Isnin.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hasan Basri berkata, lelaki berusia 39 tahun itu mendakwa senjata tiruan itu adalah untuk kegunaan sendiri selepas mempelajari cara pembuatannya menerusi laman penstriman video YouTube.

    “Penahanan lelaki berkenaan dilakukan susulan Op Tapis Khas Polis Kontinjen Perak yang dilaksanakan selama tiga hari bermula Isnin di seluruh negeri.

    “Hasil pemeriksaan di rumah itu pukul 12.30 tengah malam, polis menjumpai tiga laras senapang angin, sepucuk pistol tiruan, balang gas yang diubah suai dan gari bersama dua anak kunci,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh hari ini.

    Selain itu katanya, pihak polis juga berjaya menemukan bungkusan plastik lutsinar dalam beg suspek yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 6.34 gram.

    Beliau memberitahu, nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM350, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah selain mempunyai satu rekod kesalahan lampau membabitkan dadah.

    Tambahnya, lelaki tersebut direman tiga hari bermula Isnin dan kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.

    Dalam perkembangan sama, seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan di Terminal Bas Meru di Ipoh pada petang Isnin selepas polis menemukan 10 bungkusan plastik dipercayai mengandungi dadah jenis heroin.

    Menurut Mohd. Yusri, dadah yang disyaki untuk diedarkan kepada pasaran tempatan itu dianggarkan seberat 4.53 kilogram dengan nilai RM158,730.

    “Hasil ujian saringan air kencing suspek negatif dadah, namun mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

    “Justeru, lelaki itu direman tujuh hari bermula Selasa dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya, lapor Astro Awani.

    Mohd. Yusri berkata, kedua-dua mereka antara 408 orang yang ditahan dalam Op Tapis Khas yang menyasarkan sarang-sarang penagihan dadah seperti di kawasan perumahan dan penempatan, ladang serta jeti nelayan di seluruh Perak.

    Katanya, semua mereka yang ditangkap berumur dalam lingkungan 16 sehingga 63 tahun, termasuk tiga warga asing dari Myanmar, Vietnam dan Thailand.

    Menurutnya pelbagai jenis dadah dirampas termasuk methamphetamine, heroin, syabu, ganja, ketum, ketamin yang kesemuanya berjumlah hampir RM200,000.

    “Daripada kesemua yang ditahan, 34 orang membabitkan kesalahan pengedaran dadah, memiliki dadah (165 orang), disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (188 orang).

    “Dalam operasi ini juga, tujuh individu ditahan di bawah Akta Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 serta 14 yang dikategorikan sebagai individu yang dikehendaki atas kesalahan dadah,” jelas beliau.

  • HKL tawar pembedahan penggantian sendi lutut, pinggul robotik

    HKL tawar pembedahan penggantian sendi lutut, pinggul robotik

    HOSPITAL Kuala Lumpur (HKL) kini menjadi hospital Kementerian Kesihatan (KKM) pertama menawarkan pembedahan penggantian sendi lutut dan pinggul kepada pesakit menggunakan teknologi robot iaitu Robotic Surgery Assisted (ROSA).

    Lapor Berita Harian, Ketua Unit Pertukaran Sendi HKL, Dr G Kunalan, berkata, sejak Julai lalu pihaknya sudah melakukan pembedahan penggantian sendi lutut dan pinggul kepada seramai 21 pesakit yang mengalami masalah osteoarthritis.

    Katanya, pembedahan teknologi robot memberikan ketepatan sehingga 98 peratus berbanding menggunakan sistem navigasi komputer sebelum ini yang memberikan ketepatan antara 94 sehingga 95 peratus.

    “Peningkatan ketepatan ini membolehkan setiap pembedahan terutama yang kompleks dirancang dengan sebaik mungkin kerana robot ini juga dapat menunjukkan lokasi dan bagaimana cara potongan tulang yang betul selain turut memberi akses kepada ligamen,” katanya.

    Dr Gunalan berkata, tempoh pesakit boleh keluar hospital selepas menjalani pembedahan itu juga lebih singkat iaitu antara sehari sehingga dua hari berbanding sebelum ini sehingga empat hari.

    Katanya, pembedahan yang mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit itu kini mendapat permintaan kerana ketika ini terdapat lebih 100 pesakit yang kebanyakannya berusia 60 tahun ke atas berada dalam senarai menunggu.

    “Pesakit yang menjalani pembedahan ini kerana sendi lutut mereka semakin haus sehingga menjejaskan aktiviti seharian, namun selepas menjalani pembedahan, kira-kira 80 peratus daripada mereka berpuas hati dengan hasil malah dapat menjalani kehidupan dengan baik semula,” katanya.

    Bagaimanapun Dr Kunalan berkata, ketika ini robot bernilai RM3 juta sehingga RM6.5 juta itu adalah pinjaman daripada sebuah syarikat swasta dari Amerika Syarikat (AS) yang diterima pada Julai lalu untuk digunakan bagi tempoh setahun.

    Justeru, beliau berharap KKM mengambil inisiatif mendapatkan robot itu untuk digunakan untuk menjalani pembedahan dan sebagai latihan di empat hospital utama iaitu HKL, Hospital Umum Sarawak, Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah dan Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, Kelantan.

    Sementara itu, Ketua Sub Kepakaran Arthoplasty KKM, Dr Mohd Yusof Ibrahim, berkata penggunaan robot itu juga mampu mengurangkan penggunaan tenaga manusia iaitu daripada sehingga empat pakar bedah kepada dua orang.

    Katanya, dengan ketepatan hampir 100 peratus, pembedahan itu diharap dapat membantu mengurangkan pembedahan ulangan kepada pesakit kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.

    “Justeru saya berharap teknologi robotik ini dapat menjadi trend terkini di semua hospital kerajaan selepas ini, setanding dengan hospital swasta lain dan hospital di Thailand atau Singapura yang sudah lama menggunakan teknologi ini,” katanya.

    Akuinya, ketika ini kesedaran orang ramai terutama warga emas untuk menjalani pembedahan penggantian sendi juga masih rendah.

    Katanya, berdasarkan kadar populasi warga emas di negara ini yang semakin bertambah, dijangkakan kira-kira 10 peratus daripada mereka perlu menjalani pembedahan berkenaan.

    “Namun kerana tahap kesedaran yang masih rendah selain tiada pengetahuan mengenai pembedahan seumpama ini, hanya kira-kira satu sehingga dua peratus sahaja yang sanggup menjalani pembedahan.

    “Singapura yang mempunyai seramai 4.5 juta penduduk menjalani sebanyak 100 pembedahan ini seminggu, manakala Kelantan yang mempunyai kira-kira dua juta penduduk hanya menjalani antara 10 sehingga 12 pembedahan seminggu walaupun seperti kita sedia maklum ramai warga emas yang menderita sakit pada bahagian lutut ini,” katanya.

  • Kes Ebit Lew: Firdaus Wong terima gambar, mesej lucah dikongsi saksi pertama

    Kes Ebit Lew: Firdaus Wong terima gambar, mesej lucah dikongsi saksi pertama

    SAKSI ketiga, Firdaus Wong memberitahu Mahkamah Majistret Tenom, hari ini bahawa dia telah menerima gambar kemaluan lelaki dan tangkap layar mesej lucah yang dikongsi oleh saksi pertama iaitu Mohd. Fairuz Abu dalam perbicaraan hari keempat kes gangguan seksual Ebit Lew.

    Firdaus Wong atau nama sebenarnya, Firdaus Wong Hai Hung, 39, berkata, gambar dan mesej itu dihantar kepadanya oleh Mohd Fairuz yang dikongsikan oleh pengadu (identiti tidak boleh didedahkan atas arahan mahkamah) dalam kes ini.

    “Setelah Akhi Fairuz memaklumkan kepada saya bahawa pengadu telah menerima mesej-mesej serta gambar lucah daripada Ebit Lew, beliau telah berkongsi dengan saya gambar dan beberapa tangkap layar mesej lucah dari Ebit Lew yang diterima pengadu,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria turut meminta Firdaus menjelaskan siapa Akhi Fairuz yang disebutkannya sebagai sahabatnya dalam soalan sebelum ini berkaitan wanita yang dibantu Multiracial Reverted Muslims (MRM).

    Firdaus memberitahu mahkamah Akhi Fairuz yang disebutkan adalah Akhi Fairuz Al-Jengkawi yang merujuk kepada saksi pertama, Mohd. Fairuz yang dikenalinya dalam sebuah program di laman sosial pada 2 Jun 2021.

    Ditanya adakah Firdaus ingat apa gambar dan mesej lucah yang diterima daripada Akhi Fairuz yang dikongsikan oleh pengadu, beliau mengakui ingat mengenainya iaitu satu gambar kemaluan lelaki dan juga tangkap layar mesej-mesej lucah.

    Seterusnya, Firdaus ditanya apa yang dilakukan terhadap gambar dan tangkap layar berkenaan sebaik menerimanya.

    “Saya telah muat turun gambar dan tangkap layar setelah saya menerima dari Akhi Fairuz dan secara automatik tersimpan dalam telefon bimbit saya,” katanya.

    Sebelum itu, dalam prosiding sama, Firdaus diminta menjelaskan apa bantuan yang telah diberikan MRM kepada pengadu dan suaminya.

    “Kami di MRM telah memberikan bantuan kepada pengadu dengan memberikan tiket penerbangan serta penginapan bagi beliau dan suaminya selain menawarkan khidmat bantuan lain seperti guaman, kaunseling, rawatan Islam dan sebagainya jika diperlukan,” jelas beliau.

    Diminta menjelaskan mengenai jadual penerbangan dan penginapan yang telah diberikan kepada pengadu, Firdaus memberitahu mahkamah bahawa ia adalah tiket penerbangan pergi dan balik pengadu serta suaminya antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur.

    “Pengadu dan suami terbang ke Kuala Lumpur menerusi penerbangan Malaysia Airlines pada 6 Ogos 2021 kemudian berlepas pulang ke Kota Kinabalu pada 8 Ogos 2021 dan mereka telah menetap di sebuah hotel di Kuala Lumpur,” jelasnya.

    Firdaus kemudian turut diminta menjelaskan kepada mahkamah, khidmat kaunseling dan rawatan Islam bagaimana yang diberikan kepada pengadu.

    “Khidmat kaunseling kepada pengadu dan suaminya serta rawatan Islam adalah untuk memberikan semangat dan keluar dari trauma yang dialami,” katanya.

    Perbicaraan ditangguhkan pada jam 11.30 pagi dan mahkamah telah menetapkan tarikh baharu iaitu 20 hingga 22 Disember depan untuk perbicaraan bersambung semula.

    Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, berhadapan dengan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

    Beliau diwakili pasukan peguam yang terdiri daripada Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

    Dalam pada itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.

  • Jualan Murah Keluarga Malaysia Siswa bermula 16 Oktober-Mustapa

    Jualan Murah Keluarga Malaysia Siswa bermula 16 Oktober-Mustapa

    JUALAN Murah Keluarga Malaysia (JMKM) Siswa bakal diadakan di 20 kampus seluruh negara bermula 16 Oktober ini.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mustapa Mohamed memaklumkan, projek rintis itu memberi manfaat kepada lebih 500,000 siswa dan dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

    Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) berkata, item-item yang akan dijual dalam program itu berbeza daripada item dijual dalam Program Jualan Keluarga Malaysia.

    “Tidak ada barang basah. Item-item ini sedang dimuktamadkan. Umumnya ini akan meliputi perkara-perkara yang diperlukan oleh siswa antaranya alat tulis, beberapa barangan kering dan tiada barangan basah.

    “Ini sedikit sebanyak akan mengurangkan kos yang ditanggung oleh siswa. Mereka dapat diskaun untuk barangan tertentu, maka penjimatan itu bolehlah untuk tujuan lain,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Jihad Tangani Inflasi ke-19 di Putrajaya, lapor portal Bersatu, hari ini.

    JMKM Siswa akan berlangsung selama 10 minggu sehingga akhir tahun ini dan akan diperluas ke semua institusi pengajian tinggi awam di seluruh negara.

    Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan lebih RM500 juta nilai barangan dagangan berjaya dijana melalui 11 juta transaksi urusniaga di bawah Jualan Murah Keluarga Malaysia @DE Dagang bagi tempoh seminggu, antara 12 hingga 17 September.

    Program ini dilaksanakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia MDEC bermula awal September.

    “Dianggarkan sejumlah 10 juta rakyat telah menerima faedah dalam bentuk diskaun, rebat, dan subsidi penghantaran, 241,000 peniaga baru dan 91,000 ribu adalah pengusaha wanita,” katanya.

    JMKM @De Dagang ini hanya boleh dinikmati oleh warganegara Malaysia dan mereka boleh mendapat potongan diskaun sehingga 20 peratus bagi setiap transaksi.

  • [VIDEO]Ahli perniagaan diculik Vellfire putih kerana masalah hutang

    [VIDEO]Ahli perniagaan diculik Vellfire putih kerana masalah hutang

    SEORANG ahli perniagaan diculik sekumpulan lelaki menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire putih petang semalam dipercayai berpunca kerana masalah hutang.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 5.03 petang.

    Beliau berkata, sekumpulan suspek yang dipercayai lelaki tempatan telah menarik dan memaksa mangsa masuk ke dalam kereta ketika mangsa sedang makan sendirian di sebuah restoran dekat Jalan Pandan Indah.

    “Mangsa berusia 38 tahun telah meminta tolong dan cuba untuk melepaskan diri, tetapi tidak berjaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, mangsa telah hadir ke Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya pada pukul 10.45 malam selepas dilepaskan suspek di kawasan Klang.

    “Mangsa mengalami beberapa kecederaan luka di bahagian kaki dan muka akibat kejadian dan telah mendapat rawatan di Hospital Ampang,” katanya, lapor Utusan TV.

    Tambahnya, kejadian dipercayai berpunca akibat masalah hutang dengan pihak majikan dan suspek terlibat kini sedang giat dikesan.

    Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 364 Kanun Keseksaan.

    Mohamad Farouk berkata, pihak polis mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk awam yang cuba membantu dalam kejadian berkenaan dan menasihati orang awam supaya tidak terlibat dengan hutang tanpa lesen yang sah.

  • Kerajaan mohon lucut hak harta sekutu Jho Low

    Kerajaan mohon lucut hak harta sekutu Jho Low

    KERAJAAN menfailkan notis usul untuk melucut hak wang tunai berjumlah RM156,500, sebuah banglo, kereta dan kedai pejabat milik seorang lelaki yang didakwa sebagai rakan sekutu ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low iaitu Casey Tang Keng Chee.

    Keng Chee yang juga bekas Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilaporkan melarikan diri ke luar negara dan masih belum dikesan oleh pihak berkuasa.

    Notis usul itu difailkan melalui Pendakwa Raya tahun lalu bagi menuntut harta berkenaan mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), lapor Sinar Harian.

    Ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan serahan dokumen kepada pihak ketiga dijalankan pada 12 Oktober depan.

    Kerajaan selaku plaintif diwakili Timbalan Pendakwa Raya Noor Zalizan Lazarous.

    Pada 5 Mei 2021, media melaporkan, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memerintahkan Keng Chee membayar cukai pendapatan RM6,779,852.36 kepada kerajaan Malaysia selepas gagal memasukkan kehadiran dalam saman difailkan kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

  • Pas yakin kekuatan PN, sedia tanpa UMNO

    Pas yakin kekuatan PN, sedia tanpa UMNO

    Oleh BADLISHAH MAT

    PAS yakin tanpa kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) sekali pun, parti itu akan terus mendapat mandat daripada pengundi kerana kekuatan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, jentera parti berada pada tahap terbaik untuk menghadapi PRU bila-bila masa sahaja bersama gabungan itu.

    “Nak kawan ka tidak, kita tak tahu tetapi sekilas ikan di air kita sudah tahu jantan betina. Jadi sekali mereka (BN) bercakap, kita sudah tahu nak kawan ka nak lawan.  
     
    “PN? Alhamdulillah sudah bersedia sepenuhnya dari atas ke bawah di peringkat negeri walaupun belum lancar secara rasmi jentera PN Kedah seperti mana di Terengganu.

    “Selepas ini pada 9 Oktober pelancaran PN Perak dan kemudian itu di Kedah tarikh bergantung Pengerusi PN pada masa kelapangan beliau,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Setiausaha Agung PN di Alor Setar, Kedah.

    Muhammad Sanusi berkata, parti yang bergabung membentuk PN ketika ini sedang mengukuhkan jentera pilihan raya masing-masing.

    “Semua parti bentuk PN siap sedia sepenuhnya. Kita akan hasilkan jentera PRU yang terkuat untuk hadapi sesiapa sahaja.
     
    “Bila semua parti sedia, gabungan kita akan hasilkan jentera ketumbukan yang kuat untuk kita hadapi sesiapa saja dalam PRU-15,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Besar berkata, Pas tidak ada isu di Kedah termasuk tidak mengamalkan rasuah atau melakukan apa-apa kerja buruk.

    “Saya selalu pastikan Exco, wakil rakyat, Ahli Majlis kita buat kerja. Jangan merapu,” katanya.

  • Roti canai tempat pertama makanan jalanan terbaik dunia

    Roti canai tempat pertama makanan jalanan terbaik dunia

    DENGAN skor sebanyak 4.9, portal Taste Atlas meletakkan roti canai pada kedudukan pertama dalam senarai makanan jalanan (street food) terbaik di dunia.

    Senarai yang dikeluarkan Ahad lalu juga buat pertama kali hidangan tradisi Malaysia berada di tempat pertama daripada 50 senarai makanan jalanan terbaik.

    Dalam keterangannya, portal tersebut menyifatkan roti canai sebagai “roti tradisional Malaysia yang mempunyai tekstur dalaman yang lembut, dan lapisan luar yang rangup”.

    Selain Malaysia di tempat pertama, hidangan dari negara Asia lain turut mengungguli senarai lima kedudukan terbaik.

    Makanan jalanan itu ialah Lumpiang Shanghai (Filipina) di tempat kedua, Karaage (Jepun) di tempat ketiga, Banh Mi (Vietnam) di tempat keempat dan Paratha (India) di tempat kelima.

    Lapor Astro Awani, portal Taste Atlas memfokuskan pada kajian terhadap makanan setempat, tradisional dan asli untuk pengembara, berbeza dengan portal lain seperti Michelin Guide, yang memfokuskan pada makanan kegemaran atau pilihan pelancong.

  • Bekas YDP majlis daerah mengaku tidak bersalah terima rasuah RM100,000

    Bekas YDP majlis daerah mengaku tidak bersalah terima rasuah RM100,000

    BEKAS Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan menerima rasuah berjumlah RM100,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

    Azhar Mohamed Ali, 48, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan atas tuduhan menerima suapan antara Julai 2017 dan April 2019 daripada Azizul Ab. Majid ketika mereka mempunyai hubungan kerja rasmi.

    Jika sabit kesalahan, Azhar berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

    Mengikut tuduhan pertama, Azhar didakwa menerima RM60,000 daripada Azizul di pejabat Majlis Daerah Kuala Langat di Banting, Selangor, pada 14 Julai 2017.

    Tuduhan kedua menyatakan dia menerima RM10,000 daripada Azizul di Taman Casa Mekar di Sungai Merab, Sepang, Selangor, pada 6 Sept 2017.

    Dalam tuduhan ketiga, Azhar didakwa menerima RM20,000 daripada lelaki yang sama di Amverton Cove Golf & Island Resort di Jalan Pulau Carey, Kuala Langat pada 18 Dis 2017.

    Menurut tuduhan keempat pula, dia dikatakan menerima RM10,000 lagi daripada Azizul di Taman Casa Mekar pada 30 April 2019.

    Rozilah membenarkan Azhar diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes seterusnya pada 26 Oktober.

    Azhar diwakili Ariff Azami Hussein, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Yusriza Zulkifli.

    Majlis Daerah Kuala Langat bertukar status kepada majlis perbandaran pada September 2020.