Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘Top 5’ UMNO capai kata sepakat – Tok Mat

    ‘Top 5’ UMNO capai kata sepakat – Tok Mat

    MESYUARAT membabitkan lima pemimpin tertinggi UMNO atau dikenali ‘Top 5’ hari ini berjaya mencapai kesepakatan untuk kebaikan parti itu bergerak ke hadapan.

    Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bagaimanapun tidak memperincikan kesepakatan yang dicapai oleh Top 5 itu di sebalik cakap-cakap mengenai pembubaran Parlimen mahu pun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Alhamdulillah, perbincangan bersama kepimpinan Top 5 parti tengahari tadi berlangsung dengan baik.

    “Dapat capai kesepakatan untuk kebaikan parti bergerak kehadapan,” tulisnya di Facebook.

    Mesyuarat melibatkan Top 5 UMNO itu yang difahamkan berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur terlebih dahulu dikongsi Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi akaun Facebook miliknya.

    Top 5 UMNO merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden iaitu Ismail Sabri, Mohamed Khaled serta Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Sebelum ini, UMNO memaklumkan perkara berkaitan tarikh pilihan raya umum akan dibincangkan dalam kalangan Top 5 parti itu.

    Malam ini, MKT UMNO akan bermesyuarat, antaranya bagi membincangkan isu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Bulan lalu, Ismail Sabri memberi bayangan beliau akan berjumpa ‘top five’ UMNO untuk membincangkan tarikh PRU15 sebelum pembentangan Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini.

  • Bayi ditinggalkan depan rumah warga emas

    Bayi ditinggalkan depan rumah warga emas

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    SEORANG bayi lelaki yang baru dilahirkan ditinggalkan depan rumah seorang warga emas di Kampung Tawakal, Kempas, Johor Bahru pada 20 Ogos lalu.

    Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, bayi itu ditinggalkan dalam keadaan masih bertali pusat dengan tubuhnya dibaluti kain batik diletakkan dalam kotak.

    “Bayi ini semasa ditinggalkan berusia dua atau tiga hari. Diselamatkan penduduk kampung itu yang menyedarinya pada pukul 12.40 tengahari.

    “Bayi berkenaan kemudian dirawat di Bahagian Kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru. Pada ketika itu keadaan bayi ini agak membimbangkan kerana ketika itu diserang sawan dan mengalami masalah pernafasan.

    “Bagaimanapun selepas menjalani rawatan, keadaan bayi berkenaan beransur baik dan disahkan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang kronik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Adnan berkata, buat sementara bayi berkenaan yang dinamakan sebagai Ayden ditempatkan di Yayasan Orphan Care Johor Bahru mulai 26 September lalu hingga 24 Oktober ini.

    “Pelindung kanak-kanak akan mengurus pendaftaran kelahiran bayi berkenaan dan membincangkan penempatannya pada masa depan,” ujar beliau.

    Bagi tujuan itu katanya, JKM meminta bantuan orang ramai bagi mengesan waris bayi itu bagi membincangkan kebajikan dan keperluannya.

    Orang ramai boleh menghubungi Pelindung Kanak-kanak, Zaid Ikhwan Lim di talian 07-2232606 atau 07-2232607 bagi menyalurkan maklumat.

  • Polis buru 5 lelaki rosakkan kereta guna batang besi

    Polis buru 5 lelaki rosakkan kereta guna batang besi

    POLIS kini mengesan lima lelaki warga tempatan yang bertindak merosakkan sebuah kereta dengan menggunakan batang besi.

    Kejadian berlaku di hadapan sebuah pasar raya di Taman Setia Indah, Johor Bahru, 12 tengah hari tadi.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian terbabit dipercayai berpunca kerana salah faham ketika mangsa membunyikan hon tanpa sengaja.

    Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 24 tahun pada pukul 1.55 petang.

    “Suspek telah menyemburkan serbuk pemedih mata ke arah mata mangsa dan memukul kepala menggunakan topi keledar serta memecahkan cermin kereta hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, empat lelaki yang tidak dikenali disyaki rakan suspek telah datang dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

    “Rakan suspek kemudian memecahkan cermin kereta belakang, cermin kanan dan kiri serta bonet hadapan dengan menggunakan dua batang besi panjang,” ujarnya.

    Akibat daripada insiden tersebut, mangsa mengalami cedera bengkak di bibir, lebam di tangan kanan, sakit pada leher dan belakang badan.

    Sehubungan itu, kes kini disiasat di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Salaihudin Azual Razali di talian 013-7290763.

  • Gempar harimau kumbang masuk dalam rumah

    Gempar harimau kumbang masuk dalam rumah

    PENDUDUK di sekitar Jalan TPS 3/2, Taman Pelangi, Semenyih, Selangor, digemparkan dengan kehadiran seekor harimau kumbang yang berkeliaran di sekitar kawasan perumahan berkenaan, hari ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, salah seorang penduduk membuat panggilan kecemasan sejurus haiwan liar itu masuk ke dalam kawasan rumahnya sekitar pukul 3.32 petang.

    “Setelah membuat ‘size up’ didapati benar terdapat seekor harimau kumbang berada di tempat parkir rumah pemanggil.

    “Anggota bomba membantu membuat pengosongan di sekitar ruang parkir berkenaan dan memasang jaring khas sebelum pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menjalankan kerja-kerja membidik ubat pelali,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Norazam berkata, sejurus selesai diberikan ubat pelali, anggota bomba membantu Perhilitan mengangkat harimau kumbang tersebut ke dalam sangkar khas.

    Katanya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan haiwan liar itu diserahkan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.

  • Jangan cuba heret BERSATU masuk politik sempit, Fayhsal tempelak Asyraf

    Jangan cuba heret BERSATU masuk politik sempit, Fayhsal tempelak Asyraf

    BEKAS Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P. Waytha Moorthy tidak pernah menjadi anggota Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) dan tidak seharusnya diambil sebagai pusat rujukan untuk sebarang pendirian oleh parti itu.

    Ketua Armada BERSATU Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad kamal berkata, adalah melucukan apabila Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memetik kata-kata seorang mantan menteri untuk menggambarkan BERSATU ingin sabotaj kerajaan hari ini dengan menolak Belanjawan 2023.

    “BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) secara tegas menolak sebarang pilihan raya ketika negara sedang bergelut dengan risiko banjir dan kemelesetan ekonomi global seperti yang diberi amaran oleh Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

    “Beberapa Dewan Undangan Negeri di bawah PN juga tidak akan dibubarkan.

    “Ini bagi membolehkan persiapan dibuat bagi menghadapi bencana, memastikan ekonomi negara terus berkembang agar rakyat tidak kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan. Bagi BERSATU, kepentingan rakyat sentiasa keutamaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, Asyraf menyifatkan pihak yang menolak Bajet 2023 seperti menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Asyraf berkata, tindakan ugut-mengugut seperti itu juga mampu memberi persepsi negatif kepada pemain industri serta pelabur dari dalam dan luar negara.

    Sebelum ini media melaporkan, bekas Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P Waytha Moorthy mendakwa parti teras PN iaitu BERSATU mungkin tidak menyokong Bajet 2023 ekoran pertembungan Ismail Sabri dengan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kemudiannya kenyataan itu dipetik Asyraf.

    Namun, Wan Ahmad Fayhsal berkata sebenarnya, pihak yang bersungguh-sungguh mahu pilihan raya diadakan awal ialah Asyraf dan bos-bosnya sendiri, bukanlah parti BERSATU atau PN.

    “Hanya mereka yang saban hari bercakap soal pilihan raya.

    “Kebajikan dan nyawa rakyat ditolak ketepi, nafsu pemimpin parti diangkat tinggi.

    “Jangan cuba heret BERSATU masuk ke dalam politik sempit seperti ini,” katanya.

  • Batal permohonan kebenaran kerajaan Pahang teruskan saman bekas KP Berita TV3

    Batal permohonan kebenaran kerajaan Pahang teruskan saman bekas KP Berita TV3

    MAHKAMAH Tinggi Temerloh hari ini membatalkan permohonan kerajaan negeri Pahang untuk meneruskan tindakan guaman terhadap seorang aktivis alam sekitar, Mohd. Khaidir Ahmad yang merupakan seorang muflis.

    Pesuruhjaya Kehakiman, Roslan Mat Noor mengumumkan keputusan tersebut selepas peguam yang mewakili kerajaan negeri (plaintif) terkhilaf arahan pengurusan kes dan gagal hadir ke mahkamah.

    Defendan iaitu Khaidir, 59, yang diwakili peguam, Akif Rusli dari firma guaman Tetuan Law Practice of Rafique turut hadir bagi sebutan kes secara fizikal buat kali pertama di mahkamah tersebut, lapor Sinar Harian.

    Hadir sama, ahli keluarga dan penyokong Khaidir yang juga bekas Ketua Pengarang Berita TV3 dan kini merupakan seorang yang muflis.

    Sebelum itu, Akif memohon mendapatkan kebenaran membatalkan dan membuang kes tersebut kerana plaintif tidak serius dengan tuntutan saman terbabit.

    Roslan bagaimanapun menetapkan 22 November depan untuk pengurusan kes secara dalam talian menerusi aplikasi EFS Kehakiman di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Nurliyana Md Zukri.

    “Saman tersebut masih sehingga kini tidak mendapat apa-apa sanksi atau kebenaran yang hendaklah didapatkan terlebih awal,” kata Akif.

    Kerajaan negeri Pahang memfailkan saman fitnah dengan tuntutan sebanyak RM1 juta terhadap Khaidir yang juga dikenali sebagai Wartawan Tua, menerusi Tetuan Hidayah & Co di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 7 April 2022.

    Ia susulan dua laporan bergambar bukti di akaun Facebook Khaidir Ahmad mengenai kejadian bencana banjir lumpur bersama sisa balak, yang memusnahkan rumah rakyat di Kampung Sungai Dingin, Mentakab, Pahang pada 28 Disember 2021 dan kegiatan pembalakan yang mencurigakan di tanah kerajaan negeri di Mukim Benus, Bentong, Pahang, berhampiran Lebuhraya Central Spine Road (CSR) pada 30 Januari 2022.

    Selain Khaidir, tiga lagi aktivis yang lantang menyuarakan isu alam sekitar di Pahang turut disaman dengan tuntutan RM1 juta oleh kerajaan negeri Pahang.

    Mereka adalah bekas Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil; Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack dan blogger, Mohd. Shukri Mohd. Ramli.

  • Ejen jualan kosmetik nyaris diseludup ke Laos

    Ejen jualan kosmetik nyaris diseludup ke Laos

    EJEN jualan produk kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim yang berjaya diselamatkan selepas diculik sekumpulan lelaki dari kediamannya di Tumpat, Kelantan pada 13 September lalu, ditemui ketika cuba diseludup ke Laos.

    Lapor Berita Harian yang memetik sumber berkata, kedudukan mangsa dapat dikesan berdasarkan maklumat yang diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum maklumat itu disalurkan kepada Polis Diraja Thailand.

    Susulan itu, polis negara berkenaan membuat sekatan jalan raya di kawasan sempadan Thailand-Laos dan berjaya menyelamatkan mangsa.

    Menurut sumber, mangsa kini berada di bawah pemantauan pihak polis di Kuala Lumpur selepas selamat tiba ke negara ini, semalam, untuk pemantauan tahap kesihatannya.

    “Buat masa ini, polis sedang memantau perkembangan kesihatan fizikal dan psikologi mangsa sebelum dibenarkan pulang untuk bertemu keluarganya,” katanya.

    Bagaimanapun, sumber enggan mendedahkan lokasi sebenar keberadaan wanita itu bagi mengelakkan mangsa diganggu buat masa ini.

    Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dalam kenyataan memaklumkan Rosnazirah, atau Azi, 36, berjaya diselamatkan Polis Diraja Thailand dan dihantar pulang ke tanah air.

    Katanya, lokasi kedudukan mangsa berjaya dikesan hasil bantuan dan kerjasama erat antara pihak berkuasa Thailand dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

    “Siasatan dan kerjasama erat antara PDRM dengan Polis Diraja Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan berjaya menjejaki dan mengenal pasti lokasi keberadaan mangsa di Thailand.

    “Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan dengan hasil bantuan pihak berkuasa negara itu dan dibawa pulang ke Malaysia hari ini,” katanya.

    Acryl Sani dilaporkan berkata, seramai tujuh lelaki tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur berhubung kes itu.

    Azi dilarikan pada pukul 5.10 petang, 13 September lalu dengan menaiki kereta Toyota Vios dan terdapat penduduk mendakwa melihat mangsa menaiki bot ke Thailand.

    Kereta sama kemudian ditemui pukul 10 malam hari sama di Kampung Kuala Jambu, Pengkalan Kubor.

    Penculikan mangsa dipercayai ada kaitan dengan sindiket dadah dan susulan itu polis menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia antara 35 hingga 47 tahun bagi membantu siasatan.

  • Zamihan gagal kes saman fitnah Mufti Perlis

    Zamihan gagal kes saman fitnah Mufti Perlis

    PRESIDEN Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Zamihan Mat Zin gagal dalam kes saman fitnah RM2 juta terhadap Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berhubung kenyataan berbaur fitnah, tiga tahun lalu.

    Pesuruhjaya Kehakiman Dr. John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee memutuskan demikian di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini.

    Hakim tersebut menolak kes saman berkenaan apabila mendapati Zamihan selaku plaintif gagal mengemukakan unsur pertama kes iaitu adanya penerbitan berbaur fitnah.

    Sebagai yang mana dihujahkan oleh peguam Mohd. Asri selaku defenden, kedua-dua artikel yang dikatakan kenyataan fitnah telah diletakkan dalam Bahagian C Ikatan Dokumen.

    “Ini bermakna, penulis artikel kenalah hadir ke mahkamah dan secara rasminya mengesahkan itu adalah tulisan mereka, barulah ia boleh diterima pakai, dirujuk dan dipertimbangkan oleh mahkamah ini.

    “Malangnya, plaintif langsung tidak melakukan hal itu yang mana, saksi-saksi tidak dipanggil bagi membuktikan kewujudan artikel berkenaan,” katanya ketika membaca keputusan penghakimannya dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

    Hakim itu berkata, artikel itu kekal berada di Bahagian C ikatan Dokuman tanpa sebarang rujukan (tidak jua ditanda sebagai dokumen identifikasi) sehingga tamatnya perbicaraan kes tersebut.

    Maka beliau berkata, berdasarkan undang-undang, adalah ketara bahawa dalam situsi begini, kedua-dua artikel ini tidak boleh dirujuk dan dipertimbangkan oleh mahkamah.

    Lantaran itu katanya, tiada sebarang bukti untuk mengesahkan penerbitan kenyataan berkenaan.

    Menurutnya, harus diingat bahawa dalam kes ini, plaintif mendakwa defenden mengatakan kenyataan tersebut kepada wartawan yang kemudian menulis dan menerbitkannya dalam satu makalah.

    Oleh demikian, beliau berkata, penting untuk plaintif memanggil wartawan yang mendengar kenyataan tersebut bagi mengesahkan terdapatnya percakapan sedemikian.

    Bagaimanapun, Mohd. Johan Lee berkata, mahkamah masih boleh menerima pakai keterangan itu sekali pun makalah berkenaan tidak ditanda semasa perbicaraan.

    “Namun, tiada sebarang saksi yang dikemukakan oleh plaintif untuk mengesahkan percakapan defendan.

    “Tuntutan plaintif gagal dalam segala konteks untuk membuktikan terdapatnya penerbitan dalam kes ini maka tuntutan plaintif ditolak dengan kos,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Selain itu, mahkamah mengarahkan plaintif membayar RM40,000 sebagai jumlah kos kepada defendan.

    Dalam kes ini, Mohd. Asri diwakili peguam, Mohd. Faizal Abdul Rahman dan Fatima Zulaikha Binti Ahmad Bashri manakala Zamihan tidak diwakili peguam.

    Media sebelum ini melaporkan, Zamihan memfailkan saman itu Julai 2019 dengan menamakan Mohd. Asri sebagai defendan tunggal.

    Dalam penyataan tuntutan, Zamihan mendakwa Mohd. Asri mengeluarkan dua kenyataan fitnah terhadapnya melalui artikel bertajuk ‘Bukan Perlis sahaja’ yang diterbitkan pada 14 Oktober 2018.

    Satu lagi ialah ketika sesi forum Akta Kesalahan Keselamatan 2012 (SOSMA) bertajuk ‘Siapa Pengganas & Potensi Salahguna Kuasa’ di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 9 Februari tahun sama.

    Plaintif mendakwa ucapan Mohd. Asri itu disiarkan di portal berita dan kenyataan fitnah itu secara langsung merujuk kepada kerjaya, jawatan dan ia tidak benar selain membawa maksud bahawa plaintif tidak berintegriti, pembohong dan mengelirukan orang awam dengan hukum Islam yang karut.

    Zamihan mendakwa kenyataan fitnah itu adalah berniat jahat dan mendedahkan dirinya kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan dalam masyarakat dan menuntut antaranya ganti rugi am RM2 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, permohonan maaf daripada defendan, perintah injunksi melarang defendan sama ada secara langsung atau tidak mengeluarkan kenyataan itu dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

  • Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan tumpu hasrat Muda sertai PH

    Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan tumpu hasrat Muda sertai PH

    Mesyuarat pertama Jawatankuasa Rundingan Pakatan Harapan (PH) dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang berlangsung pagi tadi memberi tumpuan kepada hasrat parti itu menyertai gabungan berkenaan.

    Timbalan Presidennya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz berkata, perkara lain terutama kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) belum dibincangkan.

    “Alhamdulillah perbincangan berjalan dengan lancar. Perbincangan sebentar tadi berfokuskan kepada penyertaan Muda ke dalam PH.

    “Perbincangan kerusi belum lagi dibuat, namun Muda sekali lagi menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi yang kini milik Barisan Nasional atau Perikatan Nasional,” katanya, lapor BH Online.

    Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya MUDA berkata, parti itu menghormati proses di dalam PH dan akan memberi ruang yang cukup bagi pucuk pimpinan gabungan itu untuk membincangkan kemasukan Muda sebagai parti komponen.

    “Semoga keputusan yang baik dapat dicapai bagi mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada antara semua parti,” katanya.

    Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan Jawatankuasa Rundingan PH dan Muda hari ini memaklumkan mesyuarat itu adalah usaha serius antara PH dan Muda bagi memastikan suara dan kepentingan rakyat diangkat bersama menjelang PRU15.

    Tambahnya, isu-isu berbangkit akan dibawa kepada peringkat pimpinan dalam mesyuarat Majlis Presiden yang akan diadakan dalam masa terdekat.

    Mesyuarat berkenaan dihadiri wakil gabungan dalam PH termasuk Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim Chee Keong; Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Pemuda Nasional AMANAH, Hasbie Muda dan Naib Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.

    Sementara itu, pimpinan Muda diwakili Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Timbalan Presiden, Amira Aisya Abd Aziz; Naib Presiden, Zaidel Baharuddin dan Ketua Penerangan, Luqman Long.

    Pada awal bulan ini, Muda bersetuju menyertai PH sebagai antara parti komponen dalam gabungan itu bagi menghadapi PRU15.

    Syed Saddiq dilaporkan berkata, hal itu diputuskan melalui Persidangan Pilihan Raya Muda.

  • Mahkamah putuskan Prayut boleh sambung tugas PM Thailand

    Mahkamah putuskan Prayut boleh sambung tugas PM Thailand

    PERDANA Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha kekal mempertahankan jawatannya selepas Mahkamah Perlembagaan negara itu memutuskan tempoh pentadbiran beliau belum melebihi had lapan tahun.

    Ini setelah Mahkamah Perlembagaan hari ini memutuskan penggal Prayut belum tamat dan hanya akan berakhir pada 2025.

    Ini setelah mahkamah mengira tempoh penggal pentadbiran Prayut bermula dari tahun undang-undang berkenaan tempoh pentadbiran Perdana Menteri selama lapan tahun berkuat kuasa iaitu pada 2017.

    Kekecohan itu timbul susulan tindakan perundangan difailkan di mahkamah oleh pembangkang yang mempertikai tempoh pendtadbiran Perdana Menteri yang didakwa sudah melebihi had.

    Susulan itu, bekas ketua junta berkenaan digantung tugas oleh mahkamah sejak 24 Ogos lalu sementara mahkamah meneliti cabaran undang-undang difailkan.

    Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan bertindak sebagai pemangku Perdana Menteri sejak arahan penggantungan tersebut.

    Mengikut Perlembagaan Thailand 2017, seorang Perdana Menteri tidak boleh berkhidmat lebih daripada lapan tahun, namun penyokong dan pengkritik Prayut tidak bersetuju mengenai tempoh sebenar pentadbirannya bermula.

    Bagaimanapun kedudukan Prayut masih belum selamat setelah pilihan raya nasional mesti diadakan dalam tempoh beberapa bulan ini.

    Sementara itu, susulan keputusan mahkamah, pihak berkuasa Bangkok kini sedang berjaga-jaga terhadap kemungkinan berlakunya demonstrasi selepas beberapa kumpulan penunjuk perasaan memberi amaran mahu turun ke jalan raya jika Prayut memenangi kes berkenaan.