Author: Wartawan WartaRakyat

  • Badan bergelimpangan, teriakan, tangisan wanita – Penyokong Arema FC

    Badan bergelimpangan, teriakan, tangisan wanita – Penyokong Arema FC

    DETIK terendah sebagai penyokong, begitulah luahan hati seorang pengikut tegar kelab bola sepak Liga 1 Indonesia, Arema FC.

    Semalam, berlakunya rusuhan penyokong ketika perlawanan Liga 1 Indonesia antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang mengakibatkan 127 nyawa terkorban.

    Dalam perlawanan ‘derbi’ hangat itu, Arema FC tewas 3-2 menyebabkan penyokong kedua-dua kelab berkenaan bertempur di tengah padang.

    Dalam perkongsian @RezqiWahyu_05 di Twitter, beliau sangat terkesan dengan perkara yang disaksikannya secara langsung.

    “Penyokong tempang bergelimpangan, menjerit dan wanita menangis. Orang berlumuran darah, kereta musnah, caci-cacian… batu bata, besi berterbangan,” ciapnya.

    Menurut Rezqi, ketegangan berlaku apabila tiupan wisel akhir berkumandang, menyebabkan sesetengah penyokong tidak dapat menerima kekalahan.

    “Kelihatan seorang penyokong dari arah selatan nekad masuk ke padang untuk mendekati permain Sergio Silva dan Maringa, kemudian ada beberapa penyokong lagi berjaya masuk untuk berkongsi kekecewaan kepada pemain.

    “Semakin ramai penyokong berkumpul, keadaan tidak terkawal. Serta objek dilempar ke dalam padang dan peminat hilang kawalan, akhirnya pemain diiring masuk ke dalam bilik persalinan,” katanya.

    Selain itu, keadaan yang tidak terkawal membuatkan pihak polis menembak gas pemedih mata kepada penyokong di dalam padang.

    “Keadaan semakin kecoh kerana gas pemedih mata, penyokong panik dan berlari keluar mencari pintu namun pintu sudah sesak.

    “Ramai ibu mempunyai anak kecil yang kelihatan pasrah, tidak berdaya, tidak dapat menyertai orang ramai untuk keluar dari stadium,” ujarnya.

    Tambahnya, tersekat di dalam stadium bersama gas pemedih mata menjadi punca kepada keganasan antara penyokong dan pihak polis.

  • MKT UMNO sepakat buat PRU-15 tahun ini, rakyat Terengganu cemas ‘Empangan Tasik Kenyir pecah’?

    MKT UMNO sepakat buat PRU-15 tahun ini, rakyat Terengganu cemas ‘Empangan Tasik Kenyir pecah’?

    DUA isu penting yang sedang hangat diperkatakan oleh kebanyakan pihak sekarang ini ialah mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan kemungkinan banjir besar yang bakal melanda negara khususnya melibatkan penduduk di Pantai Timur.

    Isu PRU-15 kembali hangat diperbualkan setelah Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam kelmarin memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU-15 diadakan pada tahun ini juga.

    Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dipetik sebagai berkata, berdasarkan keputusan tersebut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong.

    Malah, menurut Ahmad Maslan, perkara itu adalah selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

    Selain itu beliau menegaskan keputusan mesyuarat berkenaan merupakan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal lagi untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 setelah runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akibat persengketaan dalaman politik sesama mereka.

    Susulan keputusan MKT UMNO berhubung PRU-15, pelbagai pihak khususnya daripada parti pembangkang mengecam tindakan tersebut dan menyifatkan UMNO hanya mementingkan diri sendiri.

    Sebelum ini kecaman pernah dibuat pihak pembangkang selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengatakan partinya sanggup berdepan dengan pilihan raya walaupun jika diadakan pada musim banjir.

    Begitulah betapa dahsyatnya politik di negara kita sekarang ini.

    Apa yang penulis dapat simpulkan, kebanyakan orang politik lebih mementingkan soal peribadi dengan bertindak sesuka hati sehingga sangup mengetepikan kepentingan dan juga nyawa rakyat.

    Itu cerita bab politik, tetapi apa yang lebih menggerunkan apabila penulis semalam ada menerima wash App daripada beberapa pihak berhubung persediaan rakyat Terengganu sekiranya berlaku kejadian empangan Tasik Kenyir di Hulu Terengganu pecah.

    Wash App berkenaan pada awalnya dikongsikan oleh salah seorang pemimpin masyarakat yang hanya menggunakan nama Poksu yang hadir ke taklimat khas Bencana Tasik Kenyir di ILP Marang.

    Menurut Poksu, kejadian yang bakal berlaku cukup menggerunkan, cuma cukuplah jika poksu khabarkan sentiasa bersiap siaga dan ikutlah arahan daripada pihak berkuasa jika diminta.

    Dikhabarkan kata Poksu mungkin dalam bulan November 2022 hingga Mac 2023 akan berlaku banjir besar.

    Amat dibimbangi banjir ini akan mengakibatkan kebocoran pada pintu keluar atau air buang di Tasik Kenyir yang kini masih dalam pembaikian akibat kerosakan semasa banjir Februari 2022.

    Dalam taklimat yang disampaikan pihak pengurusan Bencana itu menurut Poksu, jika berlaku kebocoran, dalam masa 5 hingga 8 jam benteng Tasik Kenyir akan mula pecah dan kepala air yang menakung air seluas 360 km akan melanda hampir semua kawasan Hulu Terengganu, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

    Kawasan Marang bakal menjadi laluan pokok-pokok tumbang di mana Wakaf Tapai, Tambak Baru bakal ditenggelami air setinggi lima hingga enam meter manakala Pekan Bukit Payung pula air meningkat setinggi 16 meter.

    Bagaimanapun dalam taklimat tersebut, pihak pengurusan bencana meminta orang ramai tidak panik, sebaliknya diminta sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan sebarang kemungkinan.

    Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat pula meminta agar orang ramai tidak panik dengan kenyataan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengenai kemungkinan ‘Empangan Kenyir pecah’ pada musim Monsun Timur Laut kali ini kerana ia hanyalah bersifat ramalan segala kebarangkalian dan tidak bermaksud akan benar-benar berlaku.

    Hafiah berkata, taklimat NADMA sebelum ini adalah sebagai pemberitahuan persediaan dan pelan pihak berkuasa berhubung segala kemungkinan.

    Katanya, pelan tindakan itu sudah tersedia selepas NADMA menjangkakan hujan berlaku terlalu lebat dan limpahan air keluar dalam jumlah yang banyak.

    Justeru beliau berharap orang ramai jangan panik kerana Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengatakan bahawa empangan Tasik Kenyir masih terkawal dan tidak akan pecah.

    Sebaik menerima dan membaca washapp dan penjelasan tersebut penulis termenung seketika memikirkan apa akan terjadi kepada rakyat Terengganu sekiranya mala petaka ini benar-benar berlaku?

    Persoalannya, adakah pemimpin politik kita sedia maklum tentang perkara ini dan apakah tindakan yang sedang mereka lakukan?

    Sepatutnya kebimbangan rakyat seperti ini perlu diberikan keutamaan berbanding ketetapan dan keghairahan untuk mengadakan PRU-15.

    Ia penting kerana ketika rakyat sedang melalui musibah mereka tidak lagi berminat memikirkan hal sekeliling, apatah lagi keluar untuk membuang undi.

  • Ular sawa seberat 20 kilogram ditemui dalam mesin basuh

    Ular sawa seberat 20 kilogram ditemui dalam mesin basuh

    SEORANG pelanggan pusat dobi layan diri menemui seekor ular sawa berukuran 1.8 meter seberat 20 kilogram dalam mesin basuh di premis berkenaan di Taman Impian Emas, Johor Bahru semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Suhaimi Mohd. Jamal berkata, pelanggan melaporkan kejadian itu kepada pemilik premis yang kemudian menghubungi anggota bomba.

    Katanya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan itu pada pukul 9.41 pagi.

    “Menurut komander operasi, mereka menemukan seekor ular sawa berukuran 1.8 meter seberat 20 kilogram yang berada di dalam mesin basuh di kedai itu.

    “Anggota di lokasi menangkap ular berkenaan dengan menggunakan penjerut dan dilepaskan di kawasan jauh dari penempatan orang awam,” katanya, lapor BH Online.

    Menurut Suhaimi, reptilia yang ditemui itu tidak berada dalam keadaan agresif ketika cuba ditangkap.

  • Kadang-kadang UMNO tidak fikir panjang, kata Hamzah

    Kadang-kadang UMNO tidak fikir panjang, kata Hamzah

    BERSATU menyifatkan tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menetapkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini sebagai tidak mematuhi peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

    Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata ini kerana keputusan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 perlu dibuat selepas mendapat pandangan daripada Jemaah Menteri.

    Katanya, walaupun Perdana Menteri mempunyai kuasa menasihatkan Yang di-Pertuan Agong berkenaan perkara itu tetapi beliau perlu mendapatkan pandangan anggota Kabinet terlebih dahulu.

    “Apakah itu tujuan dan matlamat mereka? Saya tak tahulah… yang pentingnya dalam Perlembagaan bahawa Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen setelah berbincang dengan anggota Kabinet.

    “Apabila sudah sampai waktu untuk kerajaan membubarkan Parlimen, mungkin kerana sudah adanya keperluan untuk rakyat melantik atau mencari kerajaan yang baharu.

    “Kalau kerajaan yang ada hari ini baik, sepatutnya diteruskan sehingga tamat tempoh,” katanya pada sidang media selepas dialog awam Program Kita Demi Negara Siri Kedua Zon Sabah bertempat di pekarangan Stadium Likas, Kota Kinabalu, hari ini.

    Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan MKT UMNO membuat ketetapan PRU15 diadakan tahun ini.

    Mengulas lanjut, Hamzah berkata UMNO perlu peka bahawa kerajaan dibentuk hari ini bukan diterajui sebuah parti dominan, sebaliknya terdiri daripada pelbagai parti politik sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan pembubaran Parlimen.

    “Jadi kena fikir panjanglah. Kadang-kadang UMNO tidak berfikir panjang dan ini masalah. Saya pula fikirkan kepentingan rakyat kerana segala apa yang kita lakukan adalah untuk kepentingan rakyat.

    “Visi kita adalah untuk memastikan negara kita menjadi antara negara terbaik di dunia yang mana semua di seluruh dunia datang untuk melawat, duduk dan memajukan negara ini bersama undang-undang yang dipercayai serta diyakini,” katanya lapor BH Online.

  • DAP mahu Anwar tanding di Perak pada PRU-15

    DAP mahu Anwar tanding di Perak pada PRU-15

    DAP Perak mengalu-alukan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, ketokohan Anwar amat diperlukan dalam usaha memenangkan PH di negeri berkenaan

    “Berdasarkan rekod tiga pilihan raya umum sebelum ini, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi oleh parti bertanding amat tipis dan seimbang.

    “Oleh kerana itu sebagai pengerusi DAP Perak, demi membantu Perak menang, saya hari ini mengalu-alukan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di negeri Perak.

    “Jika beliau datang, saya yakin bukan sahaja beliau akan menang tetapi akan membantu kita memenangi semula kerajaan negeri Perak. Jangan lupa, negeri Perak ini sudah tiga penggal 50-50,” katanya ketika berucap sempena Konvensyen Tahunan DAP Perak kali ke-21 di Ipoh, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Hadir menyempurnakan konvensyen itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

    Sementara itu, mengulas perkara sama ketika sidang akhbar selepas konvensyen, Kor Ming berkata, DAP tidak menetapkan lokasi khusus untuk Anwar bertanding.

    Katanya, pelawaan tersebut dibuat untuk memberi kelebihan kepada negeri Perak jika Anwar menjadi Perdana Menteri.

  • Kastam sita kontena muatan rokok seludup dari China, rampasan RM10 juta

    Kastam sita kontena muatan rokok seludup dari China, rampasan RM10 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KASTAM Johor merampas dan menyita sebuah kontena dengan muatan rokok seludup dari China bernilai lebih RM10 juta selepas melakukan pemeriksaan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, Iskandar Puteri pada 22 September lalu.

    Pengarah Kastam Johor, Sazali Mohamad berkata, menerusi pemeriksaan anggota Bahagian Penguatkuasaan Kastam Gelang Patah pada pukul 11.20 pagi, mesin pengimbas telah mengesan imej yang meragukan dalam muatan kontena berukuran 12 meter itu.

    “Kontena yang diimport dari luar negara itu dipercayai transit di Bay Pemeriksaan Kastam, PTP. Destinasi terakhir yang diikrar dalam ‘manifest ‘ adalah di
    Pelabuhan Kota Kinabalu.

    “Semakan ke atas dokumen ‘manifest’ mendapati bahawa kontena tersebut telah diikrar membawa pelbagai jenis barangan antaranya lampu, aksesori komputer, peralatan bakeri, perlatan bayi dan pemanggang BBQ elektrik.

    “Pemeriksaan imbasan mendapati imej diimbas tidak sama seperti yang diikrarkan. Hasil pemeriksaan kemudiannya mendapati terdapat 9.18 juta batang rokok putih dengan dua jenama dipercayai tidak berkastam yang diimport dari luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di Menara JKDM Johor, Larkin, Johor Bahru, hari ini.

    Beliau berkata, rokok itu dipercayai dari China dan kontena itu transit di PTP dianggarkan bernilai RM3.67 juta manakala jumlah duti atau cukai yang terbabit adalah sebanyak RM6.42 juta.

    Katanya, keseluruhan nilai rampasan termasuk cukai adalah berjumlah lebih RM10 juta.

    Sazali memberitahu, modus operandi sindiket itu adalah dengan membuat pengikraran tidak benar dalam ‘manifest’mereka sebelum menjadikan PTP sebagai lokasi ‘transhipment’ sebelum dihantar ke lokasi lain bagi mengaburi pihak berkuasa.

    Kes itu katanya, disiasat mengikut Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019 dan Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 kerana membuat pengikraran tidak benar dalam manifest dan mengimport barang larangan tanpa permit.

  • Krisdayanti simpati nasib mangsa rusuhan bola sepak

    Krisdayanti simpati nasib mangsa rusuhan bola sepak

    PENYANYI Krisdayanti, 47, menzahirkan rasa sedihnya terhadap insiden tragis meragut lebih 127 nyawa akibat rusuhan di perlawanan bola sepak di Malang, Jawa Timur.

    Krisdayanti atau nama sebenarnya Kris Dayanti Trenggono mendoakan semua korban ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

    Tulisan di Instagram beliau.

    “Tak ada bola sepak yang seharga nyawa. Innalillahiwainnailihirajiun. Dari lubuk hati yang paling dalam, saya turut berduka cita sedalam-dalamnya atas kejadian yang menimpa pecinta sepak bola Tanah Air di Stadium Kanjuruhan, Malang.

    “Semoga 127 korban jiwa yang meninggal mendapatkan tempat terbaik di sisi Allah SWT serta keluarga ditinggalkan diberi ketabahan,” katanya menerusi laman sosial Instagram miliknya lapor Harian Metro.

    Terdahulu, Ketua polis Indonesia di wilayah Jawa Timur, Nico Afinta berkata seramai 127 orang terkorban dan 180 lagi cedera dalam insiden membabitkan perlawanan antara pasukan Arema FC dan Persebaya Surabaya.

    Penonton merempuh masuk ke dalam padang ketika kekecohan penyokong yang berlaku dalam perlawanan liga bola sepak negara berkenaan.

    Penyokong Arema dan Persebaya bertempur selepas Arema tewas 3-2 dalam perlawanan berkenaan sebelum penyokong Arema masuk ke dalam padang dan pihak berkuasa terpaksa melepaskan gas pemedih mata.

    Sekali gus mengakibatkan lebih ramai penonton merempuh masuk dan berlakunya kes sesak nafas.

  • Cubaan seludup tayar kereta mewah import gagal

    Cubaan seludup tayar kereta mewah import gagal

    Oleh ABU UBAIDILLLAH RAHMAN

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menggagalkan cubaan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) menyeludup tayar kereta mewah yang diimport di Taman Cemerlang Lancar, Senai, Johor Bahru, pada 26 September lalu.

    Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, kedua-dua MPV berkenaan ditahan pada pukul 10 malam selepas diekori pasukan penguat kuasa JKDM Johor dari pintu masuk sempadan negara di
    Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, Iskandar Puteri.

    Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan anggota Bahagian Penguatkuasaan Sungai Pulai, JKDM Johor ke atas dua MPV berkenaan mendapati tayar pelbagai jenama dan saiz disumbat dalam kenderaan itu.

    “Terdapat 69 tayar baharu pelbagai jenama dan saiz dipercayai tidak berkastam yang diimport dari luar negara dalam kedua-dua MPV berkenaan.

    “Tayar yang diseludup ini adalah tayar bagi kenderaan mewah dengan saiz 19 inci ke atas,” katanya dalam sidang akhbar di Menara JKDM Johor, Johor Bahru hari ini.

    Beliau berkata, anggaran nilai tayar baharu yang disita ini adalah RM41,400 manakala jumlah duti atau cukai yang terbabit sebanyak RM19,500.

    Katanya, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket penyeludupan itu adalah dengan menyeludup masuk sejumlah dagangan tayar baharu pelbagai jenama dan saiz dari negara jiran tanpa sebarang pengikraran.

    “Mereka akan membawa barangan ini melalui laluan penumpang di pintu masuk negara dekat selatan tanah air,” ujar beliau.

    Menurutnya, turut disita kedua-dua MPV jenis Toyota Alphard yang bernilai RM80,000 itu.

    “Kedua-dua pemandu MPV berkenaan yang berusia antara 36 hingga 41 tahun itu kemudian ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang larangan tidak berkastam,” katanya.

  • Anak Zulkifli Al-Bakri meninggal dunia

    Anak Zulkifli Al-Bakri meninggal dunia

    ANAK bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri meninggal dunia pada jam 5.22 pagi semalam

    Menurut Zulkifli dalam hantaran di laman sosial, Hammad Zulkifli, 22, menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga.

    “Air mata deras mengalir menyaksikan sendiri Hammad menghembuskan nafas terakhir di sisi Abah. Abah sekeluarga sejujurnya amat sedih atas perpisahan ini.

    “Jutaan terima kasih kepada semua yang banyak membantu kami menguruskan Hammad daripada awal, sehinggalah ke liang lahad.

    “Bagi pihak keluarga, saya memohon maaf sekiranya ada salah dan silap di pihak anakanda saya, Hammad,” katanya dalam kemas kini tersebut, hari ini, lapor Astro Awani.

    Jelas beliau lagi, solat jenazah dilaksanakan di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekitar pukul 9.45 pagi tadi.

    Sementara itu, pentadbir laman Twitter Zulkifli menafikan dakwaan bahawa Allahyarham Hammad meninggal dunia akibat vaksinasi.

    “Beliau tidak meninggal dunia kerana divaksin. Harap maklum,” tulis hantaran tersebut.

    Dalam perkembangan sama, Zulkifli berkata program Jalsah ‘Ilmiyyah yang dikendalikannya pada pagi Ahad, diteruskan seperti biasa sebelum solat jenazah anaknya.

    Assalamualaikum. Jalsah Ilmiyyah pada pagi ini jam 9 pagi diteruskan seperti biasa sebelum solat jenazah anakanda saya pada jam 9.45 pagi. Kemuliaan ilmu tidak ada galang gantinya.

    — Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri)

  • Top 5 UMNO tiada kuasa perundangan desak PM adakan PRU-15

    Top 5 UMNO tiada kuasa perundangan desak PM adakan PRU-15

    Top 5 UMNO bukan penentu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu diadakan dalam tahun ini termasuk semasa musim tengkujuh dan banjir.

    Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, UMNO tiada kuasa perundangan untuk mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen bagi memberi laluan untuk diadakan PRU-15. Berikut adalah kenyataan penuh Hassan.

    Top 5 UMNO tidak ada kuasa perundangan untuk menekan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya membubarkan Parlimen bagi diadakan pilihanraya umum dalam keadaan Malaysia diancam banjir monson tengkujuh.

    Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pontian tidak bertanggungjawab kerana hanya menyebut Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Yang di-Pertuan Agong mesti bertindak atas nasihat Perdana Menteri.

    Ahmad Maslan cuba menyembunyikan fakta bahawa Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa budibicara kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bersetuju atau menolak permohonan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen di bawah Perkara 40(2)(b).

    Malaysia sebuah negara demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

    Kuasa budibicara Yang diPertuan Agong di bawah Perkara 40 (2)(b) untuk menjamin Parlimen Malaysia tidak dibubarkan sesuka hati oleh parti politik berkuasa adalah satu jaminan Perlembagaan Persekutuan supaya Negara Malaysia ini tidak jatuh ke tangan kuasa ologarki seperti Top 5 UMNO yang Presidennya sedan menghadapi pertuduhan Rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di mana keputusan di akhir kes pembelaan dijangka akan disampaikan pada bulan Disember tahun 2022 ini.

    Top 5 UMNO mahu pilihanraya diadakan sebelum keputusan Kes Mahkamah Presidennya.

    Oligarki UMNO ini tidak peduli banjir, tidak peduli monson tengkujuh, tidak peduli kesusahan Rakyat.

    Mereka hanya mementingkan usaha merebut kuasa.

    Ini satu penyalahgunaan kuasa oleh Perdana Menteri sekiranya Ismail Sabri Yaakob takut dan tunduk kepada kuasa oligarki UMNO.

    Malaysia yang demokrasi mesti diselamatkan dari golongan oligarki UMNO yang fasis.

    Hassan Abdul Karim
    Ahli Parlimen Pasir Gudang