Author: Wartawan WartaRakyat

  • Nelayan jatuh sampan dijumpai maut di Pulau Jerejak

    Nelayan jatuh sampan dijumpai maut di Pulau Jerejak

    SEORANG nelayan yang dikatakan terjatuh dari sampan ketika menangkap ikan di perairan Jelutong, Pulau Pinang pada petang Sabtu lalu ditemukan maut di pantai Pulau Jerejak semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi melalui MERS 999 mengenai penemuan satu mayat disyaki lelaki terdampar di pantai Pulau Jerejak, pukul 12.45 tengah hari semalam.

    Hasil maklumat yang diterima jelasnya, bot ronda KILAT 26 telah diatur gerak ke lokasi dan menemukan satu mayat lengkap berpakaian terdampar di pantai Pulau Jerejak.

    “Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban seterusnya diserahkan kepada Balai Polis Sungai Nibong dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat serta siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, tular dalam media sosial mengenai seorang nelayan yang dikatakan terjatuh di laut ketika sedang keluar menangkap ikan.

    Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban seterusnya diserahkan kepada Balai Polis Sungai Nibong dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang

    Menurut Abd. Razak, siasatan awal yang diterima daripada pihak polis menyatakan mangsa disyaki Mohd. Shahrul Mansor, 37, beralamat di Simpang Empat, Pulau Pinang dipercayai terjatuh dari sampan ketika cuaca buruk di perairan Jelutong ketika keluar menangkap ikan.

    “Ini adalah berdasarkan laporan polis yang diterima oleh Balai Polis Jelutong selepas kejadian tersebut dan pihak Maritim Malaysia tidak mendapat sebarang makluman awal berhubung kejadian ini,” katanya.

    Tambahnya, Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim tidak ke laut sekiranya cuaca buruk dan sekiranya keadaan mendesak, mereka dinasihatkan mengutamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini kurang baik.

    “Kita juga sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada komuniti maritim dan sebarang kecemasan di laut boleh dilaporkan terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146 atau MERS 999,” katanya.

  • MPN komited jana idea, strategi untuk pulihkan Malaysia

    MPN komited jana idea, strategi untuk pulihkan Malaysia

    SEJAK Covid-19 melanda Malaysia, isu kesihatan selalunya diletakkan sebagai tumpuan utama kerajaan, terutamanya untuk mengembalikan semula kehidupan rakyat seperti sebelum pandemik.

    Meskipun kesihatan menjadi tumpuan paling utama namun sektor lain seperti pendidikan, ekonomi, sosial dan kebajikan rakyat tidak langsung diketepikan bagi memulihkan negara.

    Bagi memastikan segala usaha dirancang, diatur dan dilaksana sebaiknya, kerajaan menubuhkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) pada 21 Julai 2021, menghimpunkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang kritikal.

    Objektifnya, memastikan lebih banyak idea dikongsi bersama dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dijayakan dengan selamat, teratur dan inklusif, demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

    Ahli MPN, Datuk Dr. Hartini Zainudin yang juga aktivis kanak-kanak berkata, MPN sememangnya memerlukan lebih masa untuk melaksanakan semua perkara sebaiknya kerana tidak mungkin ia boleh dilakukan bersendirian, tanpa kerjasama banyak pihak.

    “Ia bukan soal wang semata-mata, ini soal kemahuan dan ini soal apa yang menjadi keutamaan dan jika keutamaannya adalah untuk negara ini pulih dan memastikan setiap orang di Malaysia berjaya, maka semua orang mesti melakukan tugasnya.

    “Semua orang, bukan seorang, bukan dua orang tapi semua orang. Kita perlu berikan, bukan secara minimum tetapi maksimum.

    “Ya, ia memang berkisar kepada ekonomi tetapi bukan hanya ekonomi semata-mata. Kebajikan, kesihatan, semangatnya. Rakyat Malaysia memang hebat tapi kita berdepan situasi cukup sukar.

    “Jangan lihat negara lain, lihat di Malaysia pun. Ia memang sukar untuk kita,” katanya dalam temu bual khas bersama media semalam.

    Tambah beliau, semua pihak perlu bergabung, tidak boleh bergerak bersendirian dan perlu ada pemimpin untuk menggerakkan usaha sebegitu agar Malaysia kembali pulih seperti dahulu.

    “Kami berusaha dengan sungguh-sungguh. Saya bercakap mewakili diri saya. Saya turun padang hampir setiap hari. Saya bercakap kepada semua orang, kita buat apa yang kita mampu buat.

    “Apa yang kita lakukan sekarang ialah kita mewujudkan gerakan, mendapatkan NGO lain, masyarakat sivil, sektor korporat dan swasta untuk bekerjasama dalam sektor makanan, kesihatan, ekonomi dan lain-lain.

    “Saya katakan, mari semua… mari kita bergerak bersama dan bekerjasama. Itulah yang saya lakukan dan semua yang di MPN lakukan,” katanya lapor BeritaBersatu.

    Selepas hampir dua tahun ditubuhkan, MPN kini memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi negara dan sedang meneliti PPN 2.0 bagi memastikan ekonomi negara kembali pulih terutamanya sektor paling terjejas akibat Covid-19.

  • Ular sawa 20kg telan kucing dalam sangkar

    Ular sawa 20kg telan kucing dalam sangkar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEEKOR ular sawa berjaya ditangkap selepas menelan seekor kucing dalam sangkar di Taman Damai Jaya, Johor Bahru, hari ini.

    Ular sawa sepanjang 1.5 meter dan seberat 20 kilogram itu ditangkap dalam sangkar yang menempatkan kucing.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan II, Faisal Ismail berkata, sembilan anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 7.04 pagi,

    Ular sawa sepanjang 1.5 meter dan seberat 20 kilogram itu ditangkap dalam sangkar yang menempatkan kucing.

    “Sebaik tiba di tempat kejadian, terdapat seekor ular sawa berada dalam sangkar kucing di rumah pemanggil.

    “Anggota bomba bertindak menangkap ular tersebut dengan menggunakan alat penjerut dan dilepaskan di kawasan yang jauh dari kawasan penempatan orang awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

  • Kalau Pas berjaya pujuk UMNO, Bersatu tiada masalah pertimbang kerjasama – Razali Idris

    Kalau Pas berjaya pujuk UMNO, Bersatu tiada masalah pertimbang kerjasama – Razali Idris

    SEORANG pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pihaknya masih terbuka bekerjasama dengan UMNO, jika Pas berjaya memujuk parti itu untuk meneruskan perpaduan ummah bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Datuk Razali Idris berkata, Bersatu menyokong Pas untuk menjayakan gabungan pemimpin Melayu dan Islam sejak dahulu, bagaimanapun ditolak UMNO yang memberi pelbagai alasan, termasuk tidak mahu bekerjasama dengan parti itu.

    “Kalau Pas berjaya pujuk UMNO terima Bersatu, kita meraikan kejayaan itu. Hakikatnya, UMNO sudah tolak secara jelas, tetapi kalau Pas masih hendak berusaha, kita biarkan…kalau berjaya baguslah.

    “Bersatu tidak ada masalah untuk pertimbang kerjasama (dengan UMNO), Pas tak payah pujuk Bersatu, kita tiada masalah, agenda kita sama dengan Pas nak perpaduan ummah,” katanya, lapor FMT.

    Beliau mengulas usaha Pas mahu menjayakan perpaduan ummah menerusi Muafakat Nasional (MN), susulan pertemuan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 17 September lalu.

    Pada 2 Oktober lalu, Zahid yang mengesahkan pertemuan itu berkata, Pas perlu memenuhi tiga tuntutan, jika mahu kembali menjalin kerjasama politik, iaitu meninggalkan Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu serta mengumumkan secara rasmi mereka ‘mufarakah’ (berpisah) 100 peratus daripada PN dan Bersatu.

    Razali berkata, komitmen Bersatu mewujudkan perpaduan ummah sudah terbukti dengan menerima pelawaan menyertai MN, namun ia tidak berjaya direalisasikan susulan penolakan UMNO.

    Beliau turut menepis dakwaan Bersatu cuba menghancurkan UMNO, termasuk mencuri ahlinya, yang dijadikan alasan oleh parti itu menolak kerjasama dengan pihaknya.

    Katanya, tidak timbul isu ahli dan Ahli Parlimen UMNO dicuri Bersatu, sebaliknya ia dijadikan alasan untuk menghalalkan tindakan UMNO enggan bekerjasama dengan parti itu.

    “Orang nak masuk, kita terbuka dan ahli Bersatu masuk UMNO ada juga, tapi kita tak tuduh UMNO curi ahli. Nak curi apa, semua ahli sudah matang,” katanya yang menyifatkan UMNO kembali kepada perangai asalnya apabila mendapat kuasa.

    Mengulas tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin melabelkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama PN, Razali berkata, ucapan presidennya itu rentetan tindakan UMNO menolak untuk kerjasama.

    “UMNO dengan tegas menolak kita, sama ada dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi, Perhimpunan Agung UMNO, mereka kata ‘no’ Bersatu, maka kita kata ‘no’ UMNO. Apa yang Muhyiddin cakap sebenarnya urutan daripada UMNO-BN menolak Bersatu untuk bekerjasama.

    “Kalau orang tak mahu dengan kita, perlekeh kita, fitnah kita macam-macam, apakah kita nak terhegeh-hegeh bekerjasama (dengan mereka)?” soalnya.

  • Pas tidak putus asa satukan ummah walaupun bukan dalam PRU-15

    Pas tidak putus asa satukan ummah walaupun bukan dalam PRU-15

    PAS tidak akan berhenti berusaha untuk menyatukan ummah di negara ini meskipun tidak dapat direalisasikan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menjelaskan, hasrat tersebut akan diteruskan bukan sahaja melibatkan parti Melayu tetapi parti bukan Melayu yang tidak ekstrem.

    “Penyatuan yang dimulakan menerusi Piagam Perpaduan Ummah di antaran Pas dan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dua tahun lalu membuahkan hasil.

    “Sebenarnya kita Pas ini, perkara yang tak elok itu sudah dibersihkan, sucikan dah berpadu elok. Kita tak mahu kembali seperti tahun 1970-an, 1980-an. Orang Melayu dah berpadu elok, masyarakat di kampung pun sudah berpadu elok. Kenduri-kendara, sakit, demam, kematian, semua pakatan itu sudah elok. Kenapa kita nak rosakkan?

    “Kita banyak berkorban, banyak bersusah payah untuk dapat tahap yang kita capai sekarang. Jadi kerana itulah seruan ini, kita tidak akan berhenti, Insya-Allah,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Makan Malam dan Dana Pilihan Raya PRU-15 Pas Negeri Perak di Ipoh malam tadi.

    Hashim berkata, sekitar tahun 1970-an hingga 1980-an, UMNO dan Pas tidak boleh bertemu kerana bermusuh sehinggakan berlaku kejadian solat dua imam, tidak makan sembelihan akibat tekanan cukup hebat oleh UMNO.

    “Namun berkat kesabaran dan kefahaman terhadap kepentingan menyatukan ummah, Pas boleh menerima UMNO serta melupakan segala yang pernah berlaku sebelum ini,” ujarnya.

    Menurut beliau, usaha ke arah penyatuan UMNO dan Pas sebenarnya telah berlaku sejak sekian lama dan idea dicambah sedikit demi sedikit kepada pimpinan serta masyarakat sehingga ia diterima.

    Jelas Hashim, jika perpaduan di antara parti-parti Melayu Islam ini berjaya dilaksanakan, bukan sahaja ia memberi manfaat kepada orang Islam, tetapi seluruh umat manusia akan mendapat nikmat.

  • Pas, Bersatu masing-masing bertanding 20 kerusi DUN di Perak

    Pas, Bersatu masing-masing bertanding 20 kerusi DUN di Perak

    PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masing-masing akan bertanding 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pesuruhanjaya Pas Perak, Razman Zakaria mengumumkan perkara tersebut ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Dana Pilihan Raya PRU-15 Pas Perak di Ipoh, malam tadi.

    “40 kerusi DUN itu adalah kawasan majoriti pengundi Melayu, baki 19 lagi yang merupakan kerusi campuran, akan dibincangkan oleh Gerakan dengan beberapa pihak seperti Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dan Sayap Bersekutu Bersatu.

    “Bagaimanapun, perkara ini tertakluk kepada keputusan kepimpinan Pusat,” ujar Razman, yang juga Timbalan Pengerusi PN Perak, lapor Astro Awani.

    Hadir sama pada majlis itu ialah Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Timbalan Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Razman berkata, sekiranya keputusan yang dibuat kepimpinan Pusat tidak sama dengan pembahagian kerusi itu, mereka akan mematuhinya.

    “Pas Perak bersetuju untuk menggunakan logo PN bagi mewakili parti itu dalam PRU-15 nanti dan hasrat itu telah dimaklumkan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang,” katanya.

    Namun, katanya, keputusan muktamad mengenai perkara tersebut tetap bergantung kepada arahan pimpinan di peringkat Pusat.

    Sementara itu, dalam majlis berkenaan turut diadakan lelongan koleksi peribadi Abdul Hadi, Hashim dan bekas Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Allahyarham Norazli Musa bagi mengisi dana PRU-15 Pas Perak.

    Tongkat milik Abdul Hadi mendapat bidaan tertinggi iaitu RM11,000 selain beberapa barang lain seperti kopiah, vest dan jubah.

  • ‘’Kalau nak bincang, jangan letak syarat bukan-bukan, pelik-pelik’’ – Tuan Ibrahim

    ‘’Kalau nak bincang, jangan letak syarat bukan-bukan, pelik-pelik’’ – Tuan Ibrahim

    KEPEMIMPINAN Pas ternyata tidak senang dengan kenyataan Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang dianggap memberi kata dua kepada parti itu jika mahu bekerjasama dengan UMNO.

    Presiden UMNO tersebut sebelum ini mengemukakan tiga syarat tersebut iaitu Pas mesti keluar daripada Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka ‘mufarakah’ (berpisah) 100 peratus daripada PN dan Bersatu.

    Dan malam tadi, pada sidang media selepas Ceramah Jentera Pas Selangor yang disiarkam secara talian, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan UMNO supaya tidak meletakkan syarat ‘Puteri Gunung Ledang’ sekiranya ingin bekerjasama.

    Beliau menegaskan, jika UMNO meleletakkan syarat “berat” itu, ia tidak akan memenuhi hasrat yang sama.

    “Kita seboleh mungkin kalau boleh nak pakat tiga parti dan kita pun tahu, dua parti bagus, tapi tiga (parti) lagi bagus, kita kena ambil yang terbaik,” katanya.

    Sehubungan itu beliau berkata,  Pas akan bertemu dengan kepimpinan UMNO bagi mengadakan perbincangan berhubung syarat terbabit.

    “Jadi dalam konteks kerangka muafakat ini kita ada masa untuk bincang saya suka cari titik persamaan, jangan letak syarat bukan-bukan, pelik-pelik,” katanya lapor portak FMT.

    Ditanya, bila pertemuan itu akan berlangsung, Tuan Ibrahim berkata “masa belum boleh beri tahu lagi”, sambil menambah pemimpin Pas dan UMNO sentiasa berhubung memandangkan mereka berada dalam kerajaan persekutuan.

    Mengenai keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang mahu PRU-15 diadakan pada tahun ini juga, Tuan Ibrahim menegaskan, ia tidak sesuai.

    “Saya dah sebut kita masih ada masa, tempoh masa masih panjang, sekiranya dalam situasi tak stabil, kita tak tahu banjir tak banjir tapi kemungkinan. Biasa bula November, Disember berlaku banjir, oleh kerana kalau waktu itu kita adakan PRU, saya kira tak sesuai.

    “Kabinet akan bincang, dan Perdana Menteri akan maklum kerana kita anggota Kabinet bersama dari semua parti, bila dia nak bubar walaupun hak prerogatif Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong bila tarikh dicadangkan, terpulang pada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

  • KPLB peruntuk dana RM200 juta untuk pembangunan usahawan desa

    KPLB peruntuk dana RM200 juta untuk pembangunan usahawan desa

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan dana RM200 juta bagi pembangunan bersepadu termasuk latihan, dana pembiayaan dan infrastruktur yang kondusif bagi perkembangan usahawan luar bandar.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) antara inisiatif KPLB untuk memperkasakan sistem pembiayaan kewangan, kemudahan fizikal dan sistem sokongan luar bandar kepada usahawan.

    “Program ini menyediakan platform kepada semua pihak yang terlibat dalam rantaian keusahawanan termasuk pengeluar, pembekal, pemborong dan pengedar untuk menjalin kerjasama strategik termasuk meluaskan jaringan perniagaan.

    ”Melalui program ini juga KPLB dapat mengumpul maklumat dan mendapat maklum balas terkini daripada usahawan luar bandar khasnya di bawah bimbingan KPLB mengenai keberkesanan program pengukuhan keusahawanan yang telah dilaksanakan oleh agensi-agensi di bawah KPLB.”

    Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Kompleks Sukan Limbang di Limbang hari ini.

    Mahdzir berkata, hampir semua agensi di bawah KPLB mempunyai program khusus untuk pembangunan usahawan luar bandar.

    Agensi tersebut adalah Majlis Amanah Rakyat (MARA), FELCRA Berhad, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

    Turut terlibat, agensi wilayah iaitu KETENGAH di Terengganu, KESEDAR di Kelantan, KEJORA di Johor, KEDA di Kedah dan PERDA di Pulau Pinang.

    Sementara itu, Mini KUD@Limbang berjaya mencatat nilai jualan tunai lebih RM40,000 dengan kehadiran lebih 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari karnival yang bermula Jumaat lalu.

    “Ia melepasi sasaran awal sebanyak RM200,000. Jika kita mengambil kira sesi padanan perniagaan atau “business matching” nilai keseluruhan yang berjaya dicatatkan mencecah RM1.1 juta”, kata Mahdzir.

    Pada majlis sama, Mahdzir turut menyampaikan geran Skim Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) kepada 25 usahawan desa.

    Seramai 25 lagi usahawan menerima bantuan penyediaan warung di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP) manakala 10 penerima lagi di bawah Program Quick Win Kemas (Pengurusan Katering).

    Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

  • Rundingan pembahagian kerusi PH selesai Rabu ini

    Rundingan pembahagian kerusi PH selesai Rabu ini

    PEMBAHAGIAN kerusi Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di semua negeri sudah selesai kecuali Kedah dan Sabah.

    Menurut Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, rundingan dua negeri itu dijangka dapat diselesaikan Rabu ini dan selepas itu akan dibawa ke Majlis Presiden pada hari yang sama.

    Jelasnya, hanya dua atau tiga kerusi sahaja di Kedah dan Sabah masih dalam rundingan.

    “Kita yakin dapat selesaikan menjelang Rabu ini, maka saya boleh katakan rundingan untuk kerusi Parlimen telah selesai,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan sesi townhall di Auditorium A Komtar di Georgetown, hari ini.

    Menurut Rafizi, setiap parti dalam gabungan akan mendapat pertambahan kerusi pada pilihan raya ini apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak lagi bersama PH.

    “Semua parti akan dapat lebih kerusi sebab Bersatu dahulunya bertanding 52 kerusi, yang mana ia akan ditandingi oleh DAP, PKR dan Amanah mengikut kesesuaian setiap kerusi itu. Oleh itu, memang semua parti akan dapat kerusi lebih.

    “Sarawak tidak jadi isu sangat sebab Bersatu tidak bertanding ketika itu dan tidak ada banyak beza dari segi agihan kerusi seperti PRU lepas. Hanya Sabah perlu berunding dengan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kerana UPKO sebelum ini bukan PH, sebab itu makan masa sikit,” katanya.

    Dalam pada itu, Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR mengesahkan mahu bertanding di kerusi Parlimen Pandan pada PRU-15 nanti.

    Beliau sebelum ini telah memenangi kerusi tersebut dalam PRU-13 iaitu pada tahun 2013.

    Kerusi itu kini disandang Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

    Menurut Rafizi, perkara itu sudah disuarakan kepada pucuk pimpinan parti, namun senarai calon untuk PRU-15 belum dimuktamadkan.

    “Besar kemungkinan saya akan bertanding di (Parlimen) Pandan. Mengenai penyandang kerusi di situ, perbincangan kita ialah oleh kerana Pandan ini antara kerusi PKR yang paling baik, kemudian saya perlu tarik diri daripada bertanding kerana masa itu ada kes.

    “Jadi sebab itu kita bersetuju presiden parti ambil alih, kalau tidak, kerusi itu jadi rebutan. Perbincangan dalaman sama ada Wan Azizah main peranan dan bentuk peranan yang akan dimainkan, semua itu kita kena bincang secara dalaman dengan tuan punya diri dahulu.

    “Cuma kita ada kelebihan kerana Wan Azizah sangat ‘versatile’ dan dia sudah pun buktikan. Itu adalah senjata rahsia kita. Cuma untuk saya contohnya, oleh kerana berkempen di seluruh Malaysia, jadi memang lebih logik saya bertanding di Pandan kerana itu ‘based’ saya dan itu bagi saya ruang berkempen di banyak kerusi di seluruh Malaysia,” katanya.

    Kata beliau, semua perbincangan mengenai strategi pilihan raya PKR akan dikekalkan di belakang tabir.

    “Dengan cara saya berkempen dan gerakan saya, maksudnya sebahagian besar daripada perancangan dan keputusan itu, sedang berjalan lancar dan diterima baik oleh parti,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Rafizi pernah menjadi Ahli Parlimen Pandan sepenggal bermula 2013 hingga 2018 selepas menewaskan calon MCA, Lim Chin Yee dengan majoriti 26,729 undi.

  • Azmin cabar bertanding di Gombak, Anwar kata, ”jaga kawasan, tak payah menyibuk”

    Azmin cabar bertanding di Gombak, Anwar kata, ”jaga kawasan, tak payah menyibuk”

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencabar individu yang disifatkan beliau sebagai ‘sudah tidak lagi relevan dalam politik’ untuk bertanding di Parlimen Gombak.

    Bukan itu sahaja, Azmin yang merupakan Ahli Parlimen Gombak turut mencabar individu terbabit untuk ‘menghantar’ isteri atau anaknya bertanding di kerusi disandang beliau pada Pilihan Raya Umum ke-15.

    “Ada orang sudah minat nak datang Gombak, silakan… Gombak terbuka, saya anak jantan. Silakan hendak hantar isteri pun boleh, anak pun boleh, kalau berani hantar diri sendiri (sambil mendapat sorakan).

    “Yang tuan-tuan seronok, tahu ke siapa dia? Saya tak sebut nama (individu dimaksudkan) tapi kalau saya tengok, saya lihat nak jawab pun dia sudah tidak relevan lagi,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Persidangan Bahagian Bahagian dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.

    Hadir sama, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan, Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad dan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

    Semalam, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson dan mungkin bertanding kerusi Parlimen disandang ‘pengkhianat’ PKR dan Pakatan Harapan (PH).

    Bagaimanapun, Ketua Pembangkang itu tidak menamakan kawasan kerusi Parlimen yang menjadi perhatiannya, namun kerusi itu mestilah memberi kelebihan tambahan kepada PKR dan PH.

    “Secara jujur saya belum ada pilihan lagi (Parlimen) untuk ditandingi tapi dalam pertimbangan adalah kerusi pengkhianat (PKR dan PH)… misalnya jika parti kata bertanding di Gombak (Parlimen) saya bertanding di situ.

    “Kita (PH) boleh masuk kubu kuat UMNO, tetapi saya harus memilih kerusi disandang pengkhianat. Mesejnya adalah pengkhianatan dalam politik (tidak boleh diterima),” katanya pada sesi soal jawab pada program Sembang Kencang KLS @ Anwar Ibrahim anjuran Kelab Wartawan Kuala Lumpur & Selangor (KLS) semalam.

    Dalam pada itu, Mohamed Azmin menyifatkan tuduhan yang dilemparkan itu sebagai melampau dan bersungguh-sungguh mahu mencipta naratif bahawa penyandang kerusi Parlimen Gombak adalah pengkhianat.

    “Maka kerusi-kerusi pengkhianat akan ditentang habis habisan, saya nak tanya siapa pengkhianat yang sebenarnya, apakah rakyat sudah lupa, peristiwa Langkah Kajang,” soal Mohamed Azmin.

    Sementara itu, Anwar dalam reaksinya, meminta Azmin menumpukan kepada usaha menjaga kawasannya itu berbanding sibuk mencabar pihak lain untuk bertanding di kerusi Parlimen Gombak.

    “Sibuk dengan dia apa pasal? Dia jaga kawasan dia, tidak mudah bagi dia (mempertahankan kerusi Parlimen Gombak),” katanya ringkas ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku SCRIPT – For A Better Malaysia, di Subang Jaya hari ini.