PAS tidak akan berhenti berusaha untuk menyatukan ummah di negara ini meskipun tidak dapat direalisasikan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menjelaskan, hasrat tersebut akan diteruskan bukan sahaja melibatkan parti Melayu tetapi parti bukan Melayu yang tidak ekstrem.

“Penyatuan yang dimulakan menerusi Piagam Perpaduan Ummah di antaran Pas dan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dua tahun lalu membuahkan hasil.

“Sebenarnya kita Pas ini, perkara yang tak elok itu sudah dibersihkan, sucikan dah berpadu elok. Kita tak mahu kembali seperti tahun 1970-an, 1980-an. Orang Melayu dah berpadu elok, masyarakat di kampung pun sudah berpadu elok. Kenduri-kendara, sakit, demam, kematian, semua pakatan itu sudah elok. Kenapa kita nak rosakkan?

“Kita banyak berkorban, banyak bersusah payah untuk dapat tahap yang kita capai sekarang. Jadi kerana itulah seruan ini, kita tidak akan berhenti, Insya-Allah,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Makan Malam dan Dana Pilihan Raya PRU-15 Pas Negeri Perak di Ipoh malam tadi.

Hashim berkata, sekitar tahun 1970-an hingga 1980-an, UMNO dan Pas tidak boleh bertemu kerana bermusuh sehinggakan berlaku kejadian solat dua imam, tidak makan sembelihan akibat tekanan cukup hebat oleh UMNO.

“Namun berkat kesabaran dan kefahaman terhadap kepentingan menyatukan ummah, Pas boleh menerima UMNO serta melupakan segala yang pernah berlaku sebelum ini,” ujarnya.

Menurut beliau, usaha ke arah penyatuan UMNO dan Pas sebenarnya telah berlaku sejak sekian lama dan idea dicambah sedikit demi sedikit kepada pimpinan serta masyarakat sehingga ia diterima.

Jelas Hashim, jika perpaduan di antara parti-parti Melayu Islam ini berjaya dilaksanakan, bukan sahaja ia memberi manfaat kepada orang Islam, tetapi seluruh umat manusia akan mendapat nikmat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here