Author: Wartawan WartaRakyat

  • Mulut kebas punca Noh ludah – Pengurus Hujan

    Mulut kebas punca Noh ludah – Pengurus Hujan

    RENJATAN elektrik daripada mikrofon yang menyentuh wajah dibasahi peluh hingga mulut kebas, didakwa punca penyanyi, Noh Salleh meludah di pentas Konsert Hausboom Music 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor, kelmarin.

    Mengulas rakaman video memaparkan aksi Noh yang tular sejak malam tadi, pengurus kumpulan Hujan, Ahmad Ariffin Ahmad, berkata ketika itu, berlaku beberapa masalah teknikal yang didakwa menjejaskan persembahan Noh di pentas.

    “Noh sepatutnya tampil dengan gitar. Namun, disebabkan masalah teknikal, dia terpaksa menyanyi tanpa memetik gitar.

    “Pada masa sama, mikrofon dipegang mengalami masalah. Ketika meletakkan mikrofon berhampiran mulutnya, Noh terkena sedikit renjatan elektrik.

    “Ini terhasil kerana wajahnya dibasahi peluh dan air menyebabkan mulutnya kebas. Bagi mengalih rasa sakit, Noh secara spontan meludah di atas pentas.

    “Dakwaan konon Noh meludah ke arah penonton tidak benar. Sebaliknya, dia meludah atas pentas.

    “Jarak antara pentas dan penonton juga kerana dipisahkan besi penghadang, jadi tidak mungkin (ludah) terkena penonton.

    “Jika Noh ludah ke atas, mungkin tempias air liur kena kepada penonton. Sebab itu, Noh tunduk.

    “Namun, jika ada yang terkena tempias ludah Noh, kami mohon maaf kerana perkara itu tidak disengajakan,” katanya, lapor BH Online.

    Sejak malam tadi, tular rakaman video memaparkan aksi Noh meludah di atas pentas ketika membuat persembahan.

    Aksi Noh mengejutkan peminat yang tertanya-tanya mengapa bekas suami usahawan dan aktivis masyarakat, Mizz Nina menunjukkan gelagat sedemikian.

    Sebelum ini, Noh menimbulkan kekecohan apabila tampil dengan sebatang rokok di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW).

    Ariffin berkata, suasana pada konsert itu panas hingga berlengas.

    “Sebelum naik ke pentas, kita sudah buat (kemaskan) rambut Noh. 

    Tetapi dengan 13,000 penonton dan dewan yang panas seperti sauna dan berlengas, tidak mungkin Noh dapat kekalkan imej itu.

    “Biar apapun, kami berterima kasih kepada orang ramai yang prihatin dan sentiasa ingin tahu perkembangan Noh serta mendoakan kesejahteraannya.

    “Mungkin Noh tampak serabut kerana kami sedang membuat persiapan Konsert Hujan Rumah Kita pada 5 November depan,” katanya.

    Ariffin berharap orang ramai tidak membuat telahan dan tuduhan bukan-bukan terhadap Noh hanya atas rakaman video viral itu.

    Sementara itu, ditanya apakah kontroversi itu menjejaskan jualan tiket Konsert Hujan Rumah Kita yang bakal berlangsung di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam, Ipin berkata, setakat ini sambutan tiket menggalakkan.

    “Sekarang, boleh dikatakan setiap minggu ada sahaja konsert atau festival muzik berlangsung.

    “Jadi, sedikit sebanyak beri kesan kepada penjualan tiket konsert Hujan. Namun, bukanlah bermakna tiket Hujan tidak terjual, cuma beri sedikit impak.

    “Ini secara tidak langsung memberi tekanan kepada kami yang rancak memikirkan bagaimana hendak tampil dengan konsert berbeza,” katanya.

  • Air mata kegembiraan sambut kepulangan ejen produk kosmetik yang diculik

    Air mata kegembiraan sambut kepulangan ejen produk kosmetik yang diculik

    EJEN jualan produk kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim yang diculik sekumpulan lelaki di rumahnya di Tumpat, pada 13 Sept, hari ini diserahkan polis kepada ahli keluarganya di Jalan Kelochor, Kota Bharu.

    Kepulangan Rosnazirah, 36, disambut dengan tangisan kegembiraan oleh kedua ibu bapa serta anggota keluarganya yang lain, termasuk anak perempuannya yang berusia 13 tahun.

    Turut mengiringi ketibaan mangsa adalah Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun serta pegawai-pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

    Muhamad Zaki berkata dengan penyerahan mangsa kepada keluarganya, kes dianggap sudah selesai dan kejayaan itu menunjukkan kesepaduan masyarakat dalam menangani permasalahan seperti ini.

    “Ini adalah kejayaan hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan, Bukit Aman dan rakan setugas dari negara jiran.

    “Kita tahu mangsa ditahan penculik melebihi 20 hari dan mungkin pengalaman dialami mangsa meninggalkan kesan emosi dan kejutan kepadanya. Sebaiknya kita berilah ruang kepadanya dan keluarga buat masa sekarang,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan mangsa kepada keluarganya hari ini.

    Jelasnya polis akan terus membantu mangsa termasuk bantuan di segi psikologi dan berharap agar masyarakat jangan memperkatakan hal yang negatif melibatkan mangsa.

    Katanya orang ramai perlu mengambil iktibar daripada kejadian ini dan berharap perkara sama tidak menimpa ke atas orang lain.

    “Apa yang penting kita berikan ruang kepada mangsa dan keluarga untuk menenangkan diri,” katanya.

    Dalam kejadian 13 Sept lepas, mangsa diculik oleh beberapa lelaki dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat pada pukul 5.10 petang.

    Mangsa disyaki dilarikan ke negara jiran melalui pangkalan haram di Kuala Jambu, Tumpat ekoran penemuan kereta yang digunakan suspek.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dalam kenyataan sebelum ini berkata mangsa diselamatkan melalui kerjasama dan perkongsian maklumat dan perisikan antara PDRM dengan Polis Diraja Thailand yang berjaya mengesan lokasi keberadaan mangsa di negara itu.

  • ‘Najib boleh hadir sidang Parlimen jika….’ – Azhar Harun

    ‘Najib boleh hadir sidang Parlimen jika….’ – Azhar Harun

    AHLI Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, yang sedang menjalani hukuman penjara ketika ini, boleh menghadiri sidang Dewan Rakyat jika mendapat kebenaran daripada Jabatan Penjara.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, menjelaskan beliau tidak mempunyai kuasa untuk memberi kebenaran kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) itu untuk hadir kerana Najib berada di bawah jagaan Jabatan Penjara.

    “Mengenai kehadiran Yang Berhormat Pekan, ia bukan di bawah kuasa saya langsung. Jika beliau hadir, maka beliau tidak perlu meminta kebenaran saya untuk masuk ke Dewan.

    “Persoalannya sekarang, adakah beliau boleh hadir? Itu bukan di bawah kuasa saya kerana ia bukan di bawah jagaan saya. Jadi, penjara mempunyai hak penjagaan beliau, maka terpulang kepada pihak penjara untuk melepaskan beliau daripada penjagaan itu.

    “Mengikut kefahaman saya, jika pihak penjara melepaskan beliau daripada penjagaan, maka pihak penjaralah yang menetapkan syarat pelepasan itu. Sekali lagi, bukan juga kuasa saya,” katanya, lapor BH Online.

    Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang membangkitkan cadangan supaya Najib dibenarkan hadir ke Parlimen, namun dengan tangan bergari, kerana beliau masih lagi seorang Ahli Parlimen.

    Perkara 48, Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang itu boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika disabitkan kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun, dan denda lebih RM2,000.

    Bagaimanapun, jika petisyen pengampunan difailkan dalam tempoh 14 hari dari sabitan dan hukuman, atau selepas pelupusan mana-mana rayuan atau prosiding mahkamah berhubung sabitan dan hukuman, kehilangan kelayakan itu hanya berkuat kuasa apabila petisyen itu dilupuskan, mengikut Perkara 48(4)(c).

    Najib telah memfailkan pengampunan diraja dalam tempoh 14 hari selepas sabitan itu.

  • Polis tahan pengasuh selepas terdapat lesan gigitan di muka bayi

    Polis tahan pengasuh selepas terdapat lesan gigitan di muka bayi

    SEORANG pengasuh wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kecederaan dialami bayi perempuan berusia lapan bulan di Taman Putra, Ampang, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 43 tahun ditahan selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat ibu mangsa sehari sebelum itu.

    “Berdasarkan laporan, ibu mangsa menyedari anaknya mengalami kecederaan dengan kesan gigitan pada muka dan kesan pulasan pada kedua-dua telinga.

    “Ibu mangsa kemudian membawa anaknya ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohamad Farouk berkata, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai enam anak asuhan berusia tiga bulan hingga dua tahun selain mempunyai anak kandung yang tinggal bersama iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan berusia 16 dan lapan tahun.

    “Siasatan awal mendapati kecederaan dialami mangsa dipercayai berpunca daripada anak asuhan yang lain menggigit muka bayi berkenaan ketika suspek keluar dari rumah.

    “Suspek direman selama empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

  • Lelaki dipenjara 8 bulan ugut tikam isteri, paksa lakukan hubungan seks

    Lelaki dipenjara 8 bulan ugut tikam isteri, paksa lakukan hubungan seks

    MAHKAMAH Majistret Ayer Keroh hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap seorang lelaki selepas didakwa memaksa isterinya melakukan hubungan seks sehingga menyebabkan ketakutan terhadap wanita itu, Mei lalu.

    Mohd. Faidros Mustafa, 41, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh dalam suatu perkahwinan yang sah telah menyebabkan ketakutan kecederaan kepada isterinya yang berusia 32 tahun untuk mengadakan persetubuhan dengannya.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Batu 2 1/2 Balai Panjang di Melaka Tengah, pukul 9 malam 9 Mei lalu, lapor Astro Awani.

    Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun.

    Mengikut fakta kes, tertuduh mengugut untuk menikam perut isterinya itu jika enggan menuruti kehendaknya melakukan hubungan seks bersama selain mangsa juga telah dipaksa mengambil dadah jenis syabu.

    Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar mahkamah mengenakan hukuman ringan memandangkan dia telah insaf serta tidak akan mengulangi perbuatannya itu.

    Majistret Mohamad Izwan pada penghakimannya kemudian menetapkan hukuman lapan bulan penjara dari tarikh ditangkap pada 14 Ogos lalu.

  • Baru keluar penjara, dua rakan  ditahan terlibat samun

    Baru keluar penjara, dua rakan ditahan terlibat samun

    DUA rakan yang baru bebas dari Penjara Kajang kerana kesalahan dadah diberkas lagi selepas dipercayai terlibat kes samun kedai serbaneka 24 jam di Taman Bayu Perdana, di Klang, pada Jumaat lalu.

    Kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 3.35 pagi ketika seorang pekerja berada sendirian di premis terbabit.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dua lelaki yang menaiki motosikal berhenti di depan premis sebelum seorang daripadanya masuk ke dalam premis.

    “Suspek kemudian mengambil 47 kotak rokok pelbagai jenis bernilai kira-kira RM700 sebelum melarikan diri.

    “Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berjaya memberkas dua suspek terbabit pukul 1.30 petang, hari yang sama selain rampasan pelbagai jenis rokok dan pakaian yang dipakai semasa kejadian.

    “Kedua-dua suspek berusia 24 dan 29 tahun itu ditahan secara berasingan di dua buah rumah di Pandamaran Jaya dan Bandar Sultan Suleiman, Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek memiliki rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

    Katanya, kedua-dua mereka juga baru selesai menjalani hukuman penjara enam bulan di Penjara Kajang.

    “Suspek masing-masing sebelum ini ditahan pada 31 Mac dan 20 April atas kesalahan memiliki dadah sebelum keluar penjara pada Ogos lalu,” ujarnya memetik laporan Sinar Harian.

    Tegasnya, suspek kini direman lima hari sehingga Rabu untuk siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan.

    Tambah Hoong Fong, pihaknya mengingatkan kepada peniaga premis perniagaan untuk meningkatkan kualiti keselamatan di premis masing-masing terutamanya yang beroperasi 24 jam.

  • MB bertegas: Tiada lagi aktiviti merangsang pelanggaran norma dibenarkan di Kedah

    MB bertegas: Tiada lagi aktiviti merangsang pelanggaran norma dibenarkan di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PENGANJURAN Muda-Mudi Weekend Fest yang melibatkan konsert hiburan hingga mencetuskan kelakuan di luar tatasusila, tidak akan dibenarkan di seluruh Kedah.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, kejadian muda-mudi terkinja-kinja tanpa arah gara-gara konsert hiburan di Balai Seni Alor Setar kelmarin, menjadi penanda aras bahawa sebarang aktiviti yang boleh merangsang pelanggaran norma masyarakat tempatan tidak boleh diberikan ruang untuk membiak.

    Menurutnya, penganjuran acara yang menyihatkan tubuh badan seperti ‘fun run’, ‘fun ride’, pertandingan mencari harta karun dan memancing adalah digalakkan.

    “Begitu juga pertandingan yang selari dengan undang-undang, garis panduan program terbuka dan sesuai dengan tatasusila masyarakat tempataN. Semua itu digalakkan.

    “Semua Pegawai Daerah yang mempengerusikan jawatankuasa berkaitan pelesenan hiburan, telah dimaklumkan tentang hal ini dan arahan ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam laman Facebooknya, hari ini.

    Sejak kelmarin tular di laman sosial klip video memaparkan tindakan sekumpulan muda-mudi yang menari terkinja-kinja sewaktu kumpulan muzik membuat persembahan di pentas.

    Penularan klip video itu mengundang rasa tidak senang dalam kalangan penduduk negeri ini kerana dianggap melanggar tatasusila masyarakat.

    Kedudukan lokasi itu pula yang terletak tidak jauh dari Masjid Negeri, Masjid Zahir dan Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), turut menyebabkan banyak pihak tidak berpuas hati dengan kejadian tersebut.

    Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melalui Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Zaid Ahmad turut melahirkan rasa kesal terhadap kejadian itu dan menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen kepada penganjur sebuah festival untuk mengadakan konsert tersebut.

  • Buruh dipenjara 15 tahun, 10 sebatan rogol anak tiri hingga hamil

    Buruh dipenjara 15 tahun, 10 sebatan rogol anak tiri hingga hamil

    SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan sepuluh sebatan oleh Mahkamah Sesyen Tawau hari ini, selepas mengaku bersalah merogol anak tirinya pada 2021.

    Hukuman tersebut dijatuhkan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud terhadap tertuduh berusia 41 tahun yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

    Mengikut pertuduhan, warga Indonesia yang bekerja sebagai buruh ladang itu didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun di sebuah rumah kongsi kira-kira 8 pagi antara 1 hingga 30 Ogos 2021.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang sepuluh tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Suhaimi Suriana memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam selain kesan trauma dialami mangsa.

    Menurutnya, sebagai bapa, tertuduh sewajarnya memberi perlindungan kepada mangsa tanpa mengira sama ada anak kandung atau anak tiri namun tertuduh merogol mangsa sehingga hamil tujuh bulan.

    “Pendakwaan juga mengambil kira faktor trauma dialami mangsa, yang mana dalam kes ini, mangsa yang masih muda terpaksa menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal tanpa suami dan anak tanpa ayah.

    “Rayuan yang dikemukakan tertuduh sedikit pun tidak menunjukkan perasaan insaf atau menyesal atas perbuatan yang telah dilakukannya,” katanya, lapor Harian Metro.

    Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh dipenjara 15 tahun dan sepuluh sebatan berkuat kuasa daripada tarikh tangkapan iaitu pada 22 September 2022 serta dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk diusir pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman.

    Berdasarkan fakta kes, pada 21 September 2022, kira-kira pukul 11.30 pagi, mangsa dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Tawau oleh guru sekolah selepas mengesyaki keadaan perut kanak-kanak itu seperti wanita mengandung.

    Hasil pemeriksaan doktor bertugas mengesahkan mangsa hamil tujuh bulan sebelum laporan polis dibuat.

  • Istana Negara nafi PM menghadap Agong hari ini

    Istana Negara nafi PM menghadap Agong hari ini

    ISTANA Negara menafikan laporan yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memohon pembubaran Parlimen hari ini.

    Perkara itu disahkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, hari ini.

    “(Ia) berita palsu. Tuanku masih di Singapura,” katanya melalui WhatsApp kepada portal berita FMT.

    Sementara itu, jurucakap di Pejabat Perdana Menteri yang dihubungi pagi tadi turut menafikan Ismail Sabri akan ke Istana Negara.

    “Tiada dalam jadual. Hanya mesyuarat saja hari ini,” katanya ringkas.

    Dakwaan kononnya Ismail Sabri akan mengadap Yang di-Pertuan Agong hari ini dinyatakan seorang blogger yang baru dipecat keahlian dari UMNO, sebelum kenyataannya itu dilaporkan oleh media selain turut diulang siar dalam media sosial.

    Spekulasi pembubaran Parlimen bertiup kencang ketika ini sungguhpun Perdana Menteri masih berteka-teki untuk mengumumkan bila pembubaran akan diumumkan.

    Ismail Sabri yang ditemui media pada satu majlis baru-baru ini meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi mengenai pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat.

    Jangkaan PRU akan diadakan tahun ini kembali dibangkitkan susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat yang meminta supaya PRU diadakan dalam tahun ini atau sebelum musim tengkujuh.

    Datuk Seri Ahmad Maslan melalui kenyataan selepas mesyuarat MKT UMNO memaklumkan ketetapan dibuat supaya PRU15 diadakan pada tahun ini dan Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

  • Tiket Konsert Resolusi Exists bulan depan semakin laris

    Tiket Konsert Resolusi Exists bulan depan semakin laris

    KUMPULAN rock terkenal era 90-an, Exists melahirkan perasaan gembira apabila tiket Konsert Resolusi Exists yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 18 November ini kini semakin rancak terjual.

    Pemain bass Exist, Musa Radhi berkata, kemunculan mereka menerusi program Gegar Vaganza (GV) minggu lalu turut menjadi faktor peminat membeli tiket konsert terbabit.

    “Walaupun kami hanya ditampilkan sebagai tetamu, tapi impak lagu-lagu yang dinyanyikan peserta menjadi penyebab jualan tiket bergerak laju.

    “Kami faham selain Konsert Resolusi Exists, banyak konsert lain juga berlangsung pada tarikh hampir sama. Orang yang membeli tiket pun sebenarnya orang yang sama.

    “Jadi mereka terpaksa bahagikan nak beli yang mana dulu dan kemudian. Mereka adalah penyokong industri muzik yang tulen,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, mereka menyedari dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, kuasa membeli setiap orang agak sedikit merosot.

    “Mungkin orang terpaksa berfikir dua tiga kali untuk buat keputusan beli tiket. Nak beli sekarang atau kemudian, atau nak beli tiket yang itu atau ini.

    “Di situ banyak timbang tara yang perlu dilakukan oleh setiap individu dalam perkara ini.

    “Peranan kami pula memandangkan tarikh sudah ditetapkan, kami kena terus berlatih untuk bagi yang lebih sempurna,” katanya.

    Musa berkata, anggota Exists bersedia turun padang untuk setiap aktiviti promosi yang diaturkan oleh penganjur.

    “Terima kasih kepada semua penyokong kami dan rancangan GV juga kerana berikan sedikit lonjakan kepada jualan tiket konsert,” katanya.

    Konsert Resolusi Exists menampilkan tiga penyanyi iaitu Mamat, Pasha dan Eiz.