Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bubar Parlimen tempoh terdekat tidak wajar, Pas usahakan satukan ummah – Hadi

    Bubar Parlimen tempoh terdekat tidak wajar, Pas usahakan satukan ummah – Hadi

    PAS berpandangan pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat adalah tidak wajar dan tidak perlu disegerakan, Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Beliau menegaskan, ia mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim tengkujuh yang menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan.

    ‘’ Pas berpendirian dalam apa jua keadaan, kepentingan negara dan rakyat hendaklah didahulukan, di samping langkah-langkah pemulihan ekonomi yang perlu terus disokong, khususnya melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau juga turut menegaskan,  Pas tetap akan meneruskan perbincangan dan rundingan dengan semua pihak (parti politik, NGO, ahli akademik, tokoh masyarakat) ke arah menjayakan agenda perpaduan ummah.

    ‘’Ia,bagi mencapai titik persamaan dan mengelakkan pertembungan sesama sendiri, sekali gus mengalahkan Pakatan Harapan,’’ katanya.

    Kenyataan Abdul Hadi berhubung kedua-dua isu menarik perhatian memandangkan Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) harus diadakan pada tahun ini.

    Manakala dalam soal perpaduan ummah, Pas dilihat berhadapan dengan cabaran memandangkan pertembungan antara UMNO dan Bersatu.

  • Budak 3 tahun maut didera pengasuh

    Budak 3 tahun maut didera pengasuh

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG budak lelaki berusia tiga tahun maut didera pengasuh di Taman Skudai, Johor Bahru, semalam.

    Polis menerima maklumat kejadian itu daripada bapa mangsa yang bertindak membuat laporan polis pukul 10 malam.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, aduan itu dibuat bapa mangsa sejurus dimaklumkan mengenai perkara terbabit daripada kenalan bapa mangsa yang juga suspek.

    “Susulan daripada laporan diterima itu, suspek berusia 28 tahun dan pembantu rumah warga asing 40 tahun ditahan hari ini.

    “Mangsa dan adik lelakinya berusia setahun dihantar untuk dijaga oleh suspek dengan bayaran RM2,800 sebulan. Bapa mangsa bekerja di Singapura manakala ibunya bekerja di Yong Peng.

    “Kedua-dua kanak-kanak ini telah dijaga hampir tiga bulan oleh suspek dan juga pembantu rumah. Suspek juga mempunyai dua orang anak berusia tujuh hingga lima tahun,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian, malam ini.

    Katanya, berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan dipercayai terdapat beberapa luka dan lebam di beberapa anggota mangsa dipercayai akibat didera namun tiada kecederaan pada pada adik mangsa.

    Menurut beliau, polis akan mendapatkan keterangan daripada beberapa pihak termasuk rakan dan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

    Kamarul Zaman berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk dibedah siasat yang siasat akan dilakukan esok.

    Tambahnya, suspek yang bekerja sebagai jurujual mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis akan mendapatkan perintah tahanan reman kedua suspek di mahkamah esok, katanya.

    “Siasatan menyeluruh akan dilakukan bagi memastikan dalang yang menyebabkan punca kematian kanak-kanak malang itu dibawa ke pengadilan,” katanya.

  • Nelayan terapung lebih 15 jam diselamatkan

    Nelayan terapung lebih 15 jam diselamatkan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG nelayan warga Indonesia terapung lebih 15 jam di laut selepas terjatuh dari bot nelayan tempatan di perairan Pulau Sibu, Mersing malam tadi.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima laporan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing memaklumkan kejadian tersebut pada pukul 8 malam.

    Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander (Maritim) Khairul Nizam Misran berkata, IPD berkenaan menerima aduan daripada pemilik bot nelayan warga tempatan, Kuek Ho Hwa, 66, memaklumkan seorang pekerjanya dikenali sebagai Catur, 40 tahun, terjatuh dalam laut.

    “Kali terakhir mangsa dilihat atas bot nelayan tempatan itu hanya memakai seluar hijau sebelum jatuh laut pada kedudukan 5.3 batu nautika Pulau Sibu Hujung di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Susulan itu katanya, maklumat disalurkan kepada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru sebelum operasi mencari dan menyelamat diaktifkan sekitar jam 11.50 malam.

    Nelayan warga Indonesia yangv terjatuh dalam laut pada malam tadi ditemukan selamat tetapi berada dalam keadaan lemah pada pagi tadi

    Beliau berkata, operasi berkenaan melibatkan sebuah aset bot Kilat 14 dari Zon Maritim Mersing, bot RH 32 dari Pasukan Polis Marin (PPM), bot PTL 21 dan PL 87 milik Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).

    Katanya, operasi tersebut melibatkan 30 anggota kesemuanya dengan keluasan sektor pencarian di laut adalah 86 batu nautika persegi meliputi kawasan tenggara perairan Pulau Sibu.

    “Mangsa ditemui bot Perikanan PL 87 dalam keadaan selamat dan sedang berpaut pada tong minyak plastik berwarna biru pada kedudukan lebih kurang 10 batu nautika selatan Pulau Sibu pada jam 10.30 pagi tadi,” katanya.

    Menurut beliau, mangsa seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Tanjung Sedeli, Kota Tinggi untuk rawatan dan tindakan lanjut.

    “Mangsa dipercayai jatuhdan hanyut sejauh 9.3 batu nautika dari lokasi dia dilaporkan jatuh pada jam 8 malam tadi,” katanya.

    Pihak maritim katanya, merakamkan penghargaan kepada PPM, DOF, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Maritim Tanjung Sedeli dan semua pihak yang terlibat dalam berkenaan.

    Orang ramai diminta untuk menyalurkan sebarang maklumat atau aduan mengenai kejadian dan kecemasan di laut menerusi talian kecemasan MERS 999 atau talian pusat Operasi Maritim Negeri Johor 07-2199401.

  • Banjir di Johor:Mangsa berkurangan, tinggal 3 PPS

    Banjir di Johor:Mangsa berkurangan, tinggal 3 PPS

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BILANGAN mangsa banjir di Johor semakin berkurangan kepada 113 orang daripada 37 keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 malam tadi.

    Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, bilangan tersebut berbeza dengan 264 orang daripada 76 keluarga keluarga yang dicatatkan di empat PPS pada pukul 4 petang.

    “Jumlah tersebut berkurangan selepas semua 159 orang daripada 41 keluarga di Kampung Melayu Bukit Batu, daerah Kulai dibenarkan pulang.

    “PPS yang menempatkan mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu turut ditutup pada jam 8 malam ini,” menurut kenyataan itu.

    APM Johor memberitahu, 75 mangsa banjir lagi adalah dari Kampung Tengah, Renggam dan Kampung Sungai Linau (Kluang) masih ditempatkan di dua PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kampung Renggam dan SK Sungai Linau.

    Tambah kenyataan itu, selebihnya iaitu 38 mangsa banjir adalah dari Kampung Sri Gambut, Kampung Paya Embun, Kampung Melayu Raya dan Kampung Sri Menanti (Pontian) yang ditempatkan di PPS SK Melayu Raya.

  • Kanak-kanak dua tahun lemas di air terjun

    Kanak-kanak dua tahun lemas di air terjun

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui lemas di kawasan air terjun Lata Rek, di Kuala Krai pukul 1.40 petang tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, mangsa, Mohd. Firdaus Yusof
    ditemui pada pukul 5 petang pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

    “Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.53 petang dan seramai sembilan anggota telah ke lokasi untuk kerja-kerja mencari dan menyelamat,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Bayi berusia 40 hari maut akibat sesak nafas

    Bayi berusia 40 hari maut akibat sesak nafas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG bayi lelaki meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas secara tiba-tiba di rumahnya di Taman Merbau dekat Tikam Batu, Kedah pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.50 pagi apabila bapa bayi tersebut menyedari anaknya yang berusia 40 hari, berdepan kesukaran untuk bernafas.

    “Tanpa menunggu lama, bapa bayi tersebut terus membawa bayi berkenaan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani dengan menaiki kereta sendiri.

    “Mangsa yang dibawa ke Jabatan Kecemasan bagaimanapun disahkan sudah meninggal dunia dipercayai ketika dalam perjalanan ke hospital berkenaan,” katanya.

    Tambahnya, pemeriksaan awal doktor terhadap tubuh bayi tersebut mendapati, tiada sebarang kesan kecederaan mahu pun unsur jenayah.

    “Kes tersebut setakat ini diklaisifikasikan sebagai mati mengejut dengan pihak hospital akan menjalankan bedah siasat terhadap jasad bayi berkenaan,” katanya.

  • Pasangan kekasih antara 4 ditahan edar dadah

    Pasangan kekasih antara 4 ditahan edar dadah

    SEPASANG kekasih merupakan antara empat individu yang ditahan polis dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah dalam beberapa serbuan di daerah Timur Laut, Pulau Pinang, pada 28 September lalu.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam operasi itu, pihaknya merampas dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan pil ekstasi dan eramin 5 yang kesemuanya bernilai lebih RM168,000.

    Menurut beliau, pasangan kekasih iaitu lelaki tempatan berusia 27 tahun dan wanita warga asing berusia 29 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah sebuah kondominium di Jelutong, pukul 2.30 petang.

    Dalam serbuan itu katanya, polis merampas sebanyak 65 gram MDMA dan enam biji pil eramin 5 daripada pasangan kekasih berkenaan.

    Serbuan itu jelas beliau, membawa kepada operasi kedua di sebuah lagi kondominium di Pengkalan Weld yang mana seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan bersama-sama 131 bungkusan pelbagai perisa serbuk minuman yang dicampur dadah MDMA seberat 3.085 gram dan ketamin (22 gram).

    Dengan penahanan suspek-suspek itu jelas beliau, polis berjaya mengesan seorang lagi ahli sindiket itu di Jalan Tunku Kudin 2, Gelugor.

    “Suspek ketika itu sedang memandu sebuah kereta jenis Nissan Almera dan ketika polis mahu menjalankan pemeriksaan ke atasnya suspek bertindak memecut kereta secara berbahaya.

    “Polis bertindak mengejar sejauh kira-kira lapan kilometer dan turut melepaskan tembakan sebanyak tujuh das ke arah tayar kenderaan suspek bagi memberhentikannya.

    “Hasil pemeriksan ke atas suspek, polis merampas sebanyak 123 biji pil ekstasi dan 10 peket ketamin mengandungi sebanyak 35.33 gram,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah Timur Laut, Georgetown hari ini.

    Jelas beliau, siasatan mendapati suspek berperanan membekalkan semua dadah kepada ahli sindiket lain sebelum mencampurkan dalam pelbagai minuman berperisa.

    Katanya, sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan penjualan dadah menerusi aplikasi WeChat dan bergiat aktif sejak Jun lalu.

    “Dadah jenis itu dipercayai dibekalkan di pusat-pusat hiburan di sekitar negeri ini dengan harga RM150 hingga RM250 sebungkus,” katanya.

    Dalam operasi sama tambah Soffian, polis turut menyita wang tunai sebanyak RM1,150 dan menyita dua buah kenderaan bernilai RM128,000.

    Jelasnya, tiga daripada suspek merupakan penganggur manakala seorang lagi bekerja sebagai pemandu e-hailling.

    “Kesemua mereka direman sehingga 7 Oktober ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • NGO mohon Agong tidak perkenan PRU tahun ini

    NGO mohon Agong tidak perkenan PRU tahun ini

    BEBERAPA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berharap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak memperkenan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini.

    Presiden Persatuan Anak Muda Johor, Wilayah Persekutuan dan Selangor, Najmudin Mahmood berkata, tindakan mahu menyegerakan PRU-15 hanyalah cita-cita politik sesetengah pihak.

    Malah, katanya sikap sebilangan ahli-ahli politik mahu menyegerakan PRU-15 merupakan tindakan tidak cakna nasib rakyat yang terbeban dengan masalah ekonomi, selain bencana banjir yang bakal melanda negara hujung tahun ini.

    “Rakyat mohon perkenan Tuanku menolak usaha menyegerakan PRU-15 dalam keadaan semua orang dihimpit kesusahan serta risiko bencana banjir yang bakal melanda negara,” katanya ketika dihubungi SatuBerita pada Isnin.

    Beliau diminta mengulas laporan media menyatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka menghadap Seri Paduka Baginda bagi mendapatkan perkenan membubarkan Parlimen.

    Ini susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang mahu PRU-15 diadakan pada tahun ini juga.

    Sementara itu Pengerusi Pertubuhan Ikatan Wanita Prihatin, Hamsatul Azura mengakui mandat perlu dikembalikan kepada rakyat, namun kebajikan rakyat lebih penting.

    “Kebajikan rakyat lebih penting daripada pilihan raya itu sendiri. PRU masih lagi boleh ditangguhkan sehingga tamat penggal pada tahun depan.

    “PRU-15 ini kita sebagai rakyat juga dapat tahu ianya sekadar kepentingan peribadi pemimpin yang ada bukan kepentingan untuk rakyat,” tambahnya.

    Sehubungan itu, beliau yakin Seri Paduka memiliki kebijaksanaan untuk membuat keputusan yang terbaik demi rakyat.

    “Andai kata Perdana Menteri menghadap Seri Paduka untuk mohon bubarkan Parlimen, saya percaya dan yakin Tuanku akan membuat pertimbangan yang terbaik demi memastikan kehidupan rakyat tidak terjejas,” katanya.

    Hamsatul berkata, antara faktor PRU-15 tidak wajar diadakan pada tahun ini kerana banyak pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir juga merupakan pusat mengundi, sekaligus menyukarkan proses bantuan kepada mangsa dan pengundian menjadi sukar.

    “Keduanya dari sudut perbelanjaan, kita semua tahu bahawa pilihan raya memerlukan perbelanjaan yang besar. Pada saya, adalah lebih baik sekiranya kos yang dikeluarkan oleh negara untuk PRU, ditumpukan untuk pemulihan serta untuk kegunaan bantuan kepada mangsa banjir kelak.

    “Ketiga adalah dari segi petugas. Jika berlakunya PRU, anggota keselamatan perlu bertugas di setiap saluran mengundi. Andai kata pada ketika itu ada bencana banjir, adakah pasukan-pasukan keselamatan boleh bertugas di dua tempat pada masa yang sama,” ulasnya lagi.

  • RM1 juta diperuntuk untuk program pintar botani TABIKA KEMAS

    RM1 juta diperuntuk untuk program pintar botani TABIKA KEMAS

    JABATAN Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan program Pintar Botani melibatkan 500 buah TABIKA KEMAS di seluruh negara mulai tahun depan.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Modul Pintar Botani itu adalah aktiviti luar bilik darjah yang menerapkan aspek Sains dan Teknologi serta Amalan Gaya Hidup Sihat melalui makanan seimbang dan berkhasiat.

    “Program ini adalah aktiviti mengindahkan persekitaran TABIKA KEMAS dengan mendidik kanak-kanak menanam pokok sayur-sayuran serta buah-buahan dan hasil tuaiannya boleh dimasukkan dalam menu makanan di TABIKA KEMAS yang disediakan oleh pembantu Pemaju Masyarakat Sukarelawan.

    ‘’Ini sekaligus menjadi usaha KEMAS untuk memastikan kanak-kanak mendapat zat makanan yang seimbang agar tahap kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak yang lebih baik selain mereka mendapat pengalaman yang menyeronokkan sepanjang belajar di TABIKA KEMAS,”

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Hari POTENSI KEMAS Peringkat Kebangsaan 2022 Edisi ke-17 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjong Malim semalam.

    Mahdzir berkata,, aktiviti di luar bilik darjah menerusi Modul Pintar Botani itu juga akan membantu pembentukan pemikiran kreatif dan sifat bekerjasama dalam kalangan kanak-kanak.

    Mahdzir Khalid melambai tangan kepada peserta yang menyertai Hari Potensi TABIKA KEMAS di Tanjong Malim, semalam.

    “Program Pintar Botani ini bukan sahaja dapat mengoptimumkan tanah dan menceriakan kawasan TABIKA malah menjadikan persekitaran TABIKA KEMAS lebih menarik dengan penyediaan landskap serta tumbuhan hijau seperti sayur-sayuran dan pokok buah-buahan yang akan ditanam.”

    Pada masa yang sama Mahdzir berharap Program Pintar Botani itu mendapat sokongan dan juga kerjasama para ibubapa dan juga penduduk sekitar premis TABIKA KEMAS.

    “Penglibatan program Pintar Botani ini berkonsepkan Keluarga Malaysia melalui penglibatan  pelbagai pihak seperti  Jawatankuasa Aktiviti TABIKA, ibu bapa dan penduduk setempat, agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, MARDI, Kementerian Kesihatan dan termasuklah Badan Bukan Kerajaan (NGO)”, katanya.

    Selain itu tambah Mahdzir, program Pintar Botani itu juga akan membolehkan Pemaju Masyarakat TABIKA KEMAS memberi pendedahan asas keusahawanan melalui aktiviti jual beli hasil tanaman.

    Sementara itu, seramai 1,000 orang kanak-kanak TABIKA dari seluruh negara menyertai Hari Potensi KEMAS bagi edisi kali ini.

    Program membabitkan pertandingan pelbagai acara sukan yang melibatkan kanak-kanak seawal usia 5 dan 6 tahun.

    Antara acara yang dipertandingkan termasuk futsal, bola jaring, gerak kreatif, rounders dan pelbagai lagi dengan format pertandingan mengikut negeri-negeri.

  • Muat naik kandungan sumbang, pelakon terkenal didakwa esok

    Muat naik kandungan sumbang, pelakon terkenal didakwa esok

    SEORANG pelakon terkenal tanah air dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang esok.

    Pertuduhan itu dipercayai berkaitan dengan tindakan artis tersebut memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial.

    Pendakwaan akan dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, lapor Sinar Harian.

    Pelakon yang juga model berusia 36 tahun itu berdepan dengan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.