Author: Wartawan WartaRakyat

  • Ada usaha pecah belah Perikatan Nasional – Muhyiddin

    Ada usaha pecah belah Perikatan Nasional – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa terdapat usaha pihak tidak bertanggungjawab untuk memecah belahkan gabungan politik itu.

    Menurutnya, usaha itu disebabkan mereka bimbang dengan kekuatan PN yang menjadi gerakan politik yang kuat dan kukuh hingga tiada isu melemahkan gerakan tersebut.

    “Bila gerakan ini sudah kuat dan kukuh, ada sahaja pihak yang berusaha memecah belahkan kita.

    “Bukan nak tuduh sesiapa tapi mereka tahu kita kuat dan gabungan ini menjadi ancaman besar kepada mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa majlis pemberian watikah pelantikan ketua-ketua pilihan raya Parlimen Selangor, malam ini.

    Menurut Presiden Bersatu itu, kekuatan PN yang disertai Bersatu, Pas, Gerakan, SAPP dan STAR menjadikan musuh politik gabungan itu bimbang dengan perpaduan dimiliki

    “Jadi mereja ambik tindakan langsung dan tidak langsung untuk pecah belahkan kita.

    “Untung kita sedar perkara ini dari awal,” katanya.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin memberitahu, gabungan itu memutuskan untuk mengukuhkan kedudukan mereka menerusi cara berterus terang dan bebrincang secara terbuka agar tiada perkara menjadi rahsia antara mereka.

    Katanya, jika berlaku sesuatu perkara, beliau akan maklumkan kepada rakan sejawatnya dari Pas dan Gerakan agar menunjukkan keikhlasan dalam hubungan.

  • Tuan Ibrahim seru komponen PN gabung kekuatan, ketepikan masalah remeh

    Tuan Ibrahim seru komponen PN gabung kekuatan, ketepikan masalah remeh

    TIMBALAN Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan bahawa satu kajian menunjukkan bahawa 23 peratus anak-anak muda Malaysia telah bosan dengan politik.

    Keadaan ini, katanya adalah sesuatu yang berbahaya kepada masa depan negara dan perlu ditangani segera oleh Perikatan Nasional (PN), khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

    Sehubungan itu, beliau mengajak semua anggota komponen PN supaya bergabung tenaga bukan sahaja untuk memelihara watikan pelantikan ketua-ketua jentera pilihan raya, sebaliknya mengetepikan masalah-masalah remeh.

    “Mari kita gabung kekuatan… mari kita mulakan gerak kerja sampai ke akar umbi. Pastikan bahawa isu remeh-temeh jangan kita besar-besarkan dan isu besar jangan kita remeh-temeh.

    “Main bola, jangan sibuk dengan kemuncup yang lengkat di stoking, yang lengkap di seluar. Main dulu, lepas main baru cabut kemuncup.. lebih malang lagi kalau penjaga gol duk sibuk cabut kemuncup,” katanya pada majlis pemberian watikah pelantikan ketua-ketua pilihan raya Parlimen Selangor, malam ini.

    Mengulas mengenai PRU-15, Tuan Ibrahim berkata pada pertengahan November, beberapa negeri khususnya negeri Pantai Barat akan menerima taburan hujan yang lebih berbanding bulan-bulan sebelumnya.

    “Jika pilihan raya diadakan ketika musim tengkujuh dan banjir, maka jentera perlu memastikan pengundi yang menyokong PN keluar membuang undi. Sebab penyokong tegar sesuatu parti ini sangat penting dalam memenangkan pilihan raya. Kalau hanya ada kekuatan yang tak boleh kita pegang kerana penyokong atas pagar kita tetapi risiko kita ialah kalau sekiranya situasi yang menyusahkan mereka tidak akan keluar mengundi.

    “Kecuali ahli parti yang hardcore dia tak peduli ribut taufan pun dia akan keluar. Tetapi bagaimana kita nak pastikan mobilisasi dapat dibuat supaya pengundi keluar beramai-ramai,” katanya.

    Tuan Ibrahim berkata kalau kita lihat pilihan raya di Melaka dan Johor yang memenangkan UMNO dan Barisan Nasional ialah penyokong tegar mereka.

    “Tetapi sebenarnya kita (PN) masih majoriti untuk menolak BN. Tetapi kalau mobilisasi pengundi tidak dibuat, hubungan dengan pengundi tak dibuat, susah anak-anak muda kita… suatu yang kita bimbang dalam situasi cuaca demikian kalau mereka orang bersikap malas keluar mengundi dan seumpama,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengingatkan supaya parti-parti gabungan PN tidak mempedulikan masalah remeh-temeh yang muncul, sebaliknya terus berjuang untuk memenangkan calon-calon PN.

  • Azmin sifatkan UMNO ‘tidak berhati perut’ mahu PRU ketika musim banjir

    Azmin sifatkan UMNO ‘tidak berhati perut’ mahu PRU ketika musim banjir

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali  menyifatkan langkah UMNO yang tergesa-gesa mahu mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai ‘tidak berhati perut’ kerana tidak memikirkan nasib rakyat yang berdepan kesusahan memandangkan musim banjir semakin dekat.

    “Kata nak bubar Jumaat pagi ini, kenapa tergesa-gesa sangat ni… Kita (PN) sudah buat kenyataan terbuka supaya rakyat Malaysia tahu kita bantah sebarang cadangan pembubaran pilihan raya pada tahun ini. Sebab rakyat sedang susah… tak ada hati perut,” katanya ketika berucap pada program PN Selangor malam ini.

    Azmin mendakwa kumpulan terdesak dalam UMNO sebagai punca PRU-15 bakal diadakan pada masa terdekat sehingga tidak mengendahkan nasib rakyat.

    “Tetapi sekarang rakyat sudah tahu yang terlalu terdesak untuk mengadakan pilihan raya ini adalah sekumpulan manusia yang sedang dibayangi masalah mereka sendiri,” katanya lagi.

    Menurut Azmin lagi, hasil perancangan kerajaan PN sebelum ini semasa sedang berdepan cabaran pandemik, Covid-19 sudah membuahkan hasil malah pertumbuhan ekonomi negara sudah menunjukkan kesan positif.

    “Hari ini saudara Bank Negara baru saja membuat pengumuman pertumbuhan ekonomi tahun kedua tahun ini sudah mencatatkan 8.9 peratus. Tahniah Perikatan Nasional, orang lain jangan ambil kredit,” katanya.

    Semalam satu perjumpaan tertutup UMNO diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Ia melibatkan 764 pemimpin sayap 191 bahagian yang terdiri daripada Ketua UMNO Bahagian, Ketua Wanita UMNO, Ketua Pemuda UMNO dan Ketua Puteri UMNO.

    Perjumpaan tersebut disifatkan yang terakhir sebelum pembubaran Parlimen pada Jumaat ini selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.

  • Zahid Hamidi adakan pertemuan tertutup dengan 40 ADUN Johor

    Zahid Hamidi adakan pertemuan tertutup dengan 40 ADUN Johor

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    DATUK Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan tertutup dengan semua 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor malam ini.

    Pertemuan tertutup itu diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Saujana, Johor Bahru bermula 9 malam ini.

    Kenderaan rasmi Presiden UMNO itu dilihat memasuki pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar pukul 8.16 malam tadi.

    Turut dijadualkan hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian dan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.

    Sumber dalaman UMNO Johor memberitahu, tujuan utama pertemuan tertutup itu untuk membincangkan pembahagian tugas jentera negeri bagi berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Presiden juga dijangka mengingatkan kesemua 40 ADUN yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya tidak selesa dan terus meningkatkan perkhidmatan.

    “Ini berikutan PRU-15 adalah padang permainan yang lebih besar dengan segala isu tidak dijangka akan menjadi peluru berbahaya,” katanya.

  • ’Kalau berjaya penyatuan kita terus, kalau tak, kita ada pelan B – Tuan Ibrahim

    ’Kalau berjaya penyatuan kita terus, kalau tak, kita ada pelan B – Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu mempunyai pelan kedua jika penyatuan ummah yang diusahakan dengan UMNO gagal menjadi kenyataan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

    Ini kerana, katanya Muafakat Nasional (MN) bukan kepentingan politik yang hanya melibatkan UMNO dan PAS semata-mata.

    “Kalau berjaya kita terus. Kalau tak, kita ada plan B (rancangan kedua),” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

    Berikutan itu, beliau tidak kisah jika masih dianggap bermain dua kolam.

    “Sekarang kita 4, 5 kolam pun tak ada isu, bila sebut penyatuan ummah, ia libatkan semua, bukan PAS dengan UMNO sahaja. Walaupun MN ini adakan perjumpaan secara tidak rasmi, tetapi MN ini platform bukan untuk politik tapi kepentingan masyarakat orang Islam dan sebagainya.

    “Kalau nak kira sensitif berasa hati, Pas lebih berasa hati dengan UMNO, 60 tahun berbanding Bersatu, Bersatu sendiri pun sebahagian daripada UMNO. Sebab itu itu kita kata ada beberapa isu kecil sahaja yang kita cuba selesaikan. Kalau berjaya, kita teruskan. Kalau tidak berjaya pun kita ada plan kedua,” katanya

    Pasa masa sama Tuan Ibrahim turut menjelaskan yang keputusan mengenai kerjasama dengan UMNO akan diputuskan pada Sabtu ini.

    Mengenai syarat dikenakan UMNO kepada PAS jika mahu meneruskan kerjasama, beliau berkata:

    “Saya tengok kenyataan rasminya tidak ada syarat itu. Syarat itu tidak ada dalam kenyataan rasminya. Jadi saya fikir kalau betul tiga syarat itu mesti masuk dalam kenyataan rasmi.

    “Kenyataan rasmi tidak menyebut syarat-syarat tersebut.”

  • Ajal buruh terkena renjatan elektrik

    Ajal buruh terkena renjatan elektrik

    SEORANG buruh pembinaan ditemukan maut terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pendawaian elektrik di tapak pembinaan rumah di Bukit Penyau di Sibu, pukul 10.20 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, mangsa iaitu lelaki berusia 22 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring oleh seorang penyelia tapak pembinaan berkenaan.

    “Pihak polis menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan terjumpa mangsa dalam keadaan terbaring di tapak pembinaan itu.

    “Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah pergi ke tempat kejadian dan menemukan seorang lelaki pekerja tapak pembinaan warga tempatan terbaring dalam tapak pembinaan itu.

    “Turut ditemukan berhampiran mayat ialah wayar elektrik yang bersambung dengan generator,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik semasa membuat penyambungan dengan soket gerudi.

    “Siasatan tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku.

    “Mayat mangsa telah dihantar ke rumah mayat hospital Sibu untuk siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya memetik laporan Harian Metro.

  • Najib tak pernah keluarkan tunai walau ada berbilion dalam akaun

    Najib tak pernah keluarkan tunai walau ada berbilion dalam akaun

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu Pengurus cawangan AmBank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah membuat pengeluaran tunai daripada dua akaun peribadi AmIslamic miliknya meskipun memiliki wang berbilion ringgit.

    R. Uma Devi berkata demikian selepas bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion dana 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

    Sinar Harian melaporkan, saksi pendakwaan ke-37 itu bersetuju bahawa tiada penyata pengeluaran tunai dilakukan oleh Ahli Parlimen Pekan itu meskipun beliau menerima kemasukan wang dalam jumlah yang banyak.

    Muhammad Shafee: Jadi seseorang mahu berbelanja untuk diri sendiri, mempunyai wang tunai lebih mudah, orang kita biasa buat begitu kan.

    Uma Devi: Ia bergantung kepada individu itu.

    Muhammad Shafee: Namun, bukankah tiada pengeluaran dari penyata pengeluaran tunai (akaun Najib)?

    Uma Devi: Betul.

    Peguam utama Najib itu merujuk kepada dua akaun peribadi AmBank, yang berakhir dengan nombor 694 dan 880.

    Dalam prosiding pada 12 September lalu, saksi itu berkata, Najib telah mengeluarkan 46 cek berjumlah RM10.3 juta kepada syarikat, individu, bekas menteri, UMNO dan yayasan kebajikan bermula Mac hingga Disember tahun 2011 dari akaun semasa dengan nombor terakhir 694, miliknya.

    Beliau berkata, nilai tertinggi dicatatkan adalah sebanyak RM750,000 manakala terendah RM5,000.

    Menurutnya, antara penerima tersebut ialah bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi (RM100,000) dan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan (RM200,000).

    Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

  • ‘Kenapa UMNO beria-ia sangat nak buat PRU- 15 sekarang’ – Radzi

    ‘Kenapa UMNO beria-ia sangat nak buat PRU- 15 sekarang’ – Radzi

    NAIB Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Radzi Jidin hairan dengan sikap UMNO yang tetap mahukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera, sebolehnya tahun ini juga.

    Lapor Astro Awani, beliau berkata, jika benar UMNO benar-benar memikirkan kepentingan rakyat, parti itu sepatutnya tahu kegusaran rakyat pada waktu ini adalah banjir yang dijangka berlaku pada hujung tahun.

    “Kenapa nak buat sekarang? Kenapa beria sangat nak buat sekarang?

    “Kalau kita bercakap tentang kepentingan rakyat, maka kita tahu kepentingannya apa pada waktu ini. Seperti saya jelaskan sebelum ini, inilah dia perangai UMNO.

    “Mereka ingin menunjukkan bahawa mereka kuat, mereka parti paling kuat, paling teguh tapi mereka lupa yang paling kuat, apabila datangnya pilihan raya adalah rakyat.

    “Rakyat yang mempunyai kuasa untuk mengundi,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Inisiatif Menangani Beg Berat: Majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia, di Gombak, hari ini.

    Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap persediaan Kementerian Pendidikan (KPM) sekiranya PRU15 diadakan ketika sesebuah kawasan itu dilanda banjir.

    Radzi dalam laporan itu menjelaskan, sekiranya perkara itu berlaku, ia pasti mendatangkan kesukaran kerana bangunan sekolah bukan sahaja digunakan sebagai pusat mengundi malah ia juga digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) buat penduduk.

    “Penggunaan sekolah sebagai PPS ini adalah satu kebiasaan, telah digunakan sekian lamanya dan kita telah senaraikan sekolah yang memang kita gunakan sebelum ini dan dijadikan PPS.

    “Pada masa sama, sekolah juga digunakan untuk pusat mengundi. Kita tahu sekolah merupakan komponen utama apabila kita bercakap perihal mengundi. Bukan saja sekolah, guru pula banyak membantu dalam konteks pengurusan banjir.

    “Sebab itu saya kata, seolah-olah tiada masa lain pula untuk buat pilihan raya,” ujarnya.

    Sementara itu, ketika ditanya kerusi yang bakal ditandinginya dalam PRU15 nanti, secara ringkas Radzi menjawab beliau akur dengan setiap keputusan Bersatu dan bertanding di mana-mana kawasan ditetapkan parti.

  • Najib fail semakan kehakiman tidak dibenar ke sidang Dewan Rakyat

    Najib fail semakan kehakiman tidak dibenar ke sidang Dewan Rakyat

    DATUK Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini.

    Tindakan bekas Perdana Menteri itu bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkannya untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat, bermula Isnin lalu.

    Najib, 69, memfailkan notis itu melalui Tetuan Shafee & Co dengan menamakan kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Jabatan Penjara sebagai responden pertama hingga ketiga.

    Perkara itu disahkan oleh peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dengan menyatakan bahawa, Ahli Parlimen Pekan ini memohon dua perisytiharan iaitu diberikan kebenaran akses kepada pegawai Parlimennya bagi menjalankan fungsi sebagai ahli Parlimen.

    “Permohonan kebenaran itu juga bagi membolehkan beliau menghadiri persidangan Dewan Rakyat,” katanya ketika dihubungi media menerusi aplikasi WhatsApp, lapor Sinar Harian.

    Semakan tersebut akan dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid pada 12 Oktober ini.

    Sementara itu, dalam notis usul yang diperoleh, Najib menfailkan permohonan untuk membatalkan keputusan responden ketiga yang tidak membenarkan Najib selaku pemohon untuk bertugas dan hadir ke Parlimen pada tarikh yang dijadualkan.

    “Ia turut membabitkan pengisytiharan bahawa pemohon berhak mendapat akses yang munasabah untuk bertugas,” kata notis itu.

    Najib kini menjalani hukuman jel 12 tahun di Penjara Kajang atas kesalahan menyeleweng dana Syarikat SRC International Sdn. Bhd. dan didenda RM210 juta.

  • Gelaran ‘Datuk’ suami bukan palsu – Fouziah

    Gelaran ‘Datuk’ suami bukan palsu – Fouziah

    “SUAMI saya ada watikah, kad dan hitam putih,” demikian penjelasan selebriti dan usahawan, Datin Fouziah Gous berhubung dakwaan ‘Datuk palsu’ yang dikaitkan dengan status gelaran suaminya, Datuk Zhafran Md. Yusof.

    Kata Fouziah, tiada keperluan untuk suaminya membuktikan gelaran kerana mempunyai segala dokumen dan watikah yang diterima daripada Istana Pahang pada 2016.

    Dan sekiranya gelaran palsu, tidak mungkin boleh digunakan untuk tujuan rasmi.

    “Takkan kami nak tunjuk watikah pada semua orang sebab zaman sekarang orang suka manipulasi banyak benda. Banyak benda sensitif saya takut nak cakap lebih-lebih.

    “Awak nak buat pasport atau kad pengenalan, adakah senang-senang gelaran boleh diletakkan? Tepuk dada tanya diri sendiri, kenapa ia boleh?

    “Saya pernah bergurau dengan suami berhubung gelaran ini, tetapi apabila difikirkan, bagaimana boleh lepas di Jabatan Imigresen.

    “Saya bukan berkahwin dengan ‘sugar daddy’. Saya berkahwin dengan insan yang mencari duit bersama saya.

    “Kami saling membantu mencari apa yang diimpikan,” katanya kepada BH Online.

    Fouziah ditemui pada program Majlis Bicara Inspirasi Nona di sebuah hotel di Petaling Jaya, petang tadi.

    Menurut Fouziah, suaminya menerima jemputan Istana Pahang pada 2016, namun, hanya menghadiri pertabalan pada penghujung 2017.

    Justeru, Fouziah meminta orang ramai yang mempertikaikan gelaran datuk menyemak semula perkara itu kepada pihak bertanggungjawab.

    “Jika ia tidak dipaparkan dalam sistem, kenapa tanya kami? Sudah tentu kami pun nak tahu bagaimana ia boleh terjadi, tetapi takkan nak terus terjah.

    “Kita kena ada adab dan saya pasti ramai lagi memiliki gelaran, tetapi nama tiada dalam sistem.

    “Takkan kami nak tunjuk semua dokumen dan watikah, seolah-olah mempersoalkan kredibiliti sistem yang ada,” katanya.

    Sementara itu, Fouziah meluahkan rasa terkilan dengan apabila dituduh membisu berhubung gelaran ‘Datuk palsu’ yang dijadikan tajuk akhbar utama.

    “Saya sedih, malu dan terkilan apabila ada media yang mengeluarkan tajuk sedemikian. Saya bukan nak membisu, tetapi saya ambil masa bertenang sebelum menjawab.

    “Saya tak lari lari daripada media, cuma saya kecewa dakwaan mengatakan saya membisu.

    “Kali pertama akhbar ini mengatakan saya membisu mungkin saya terima. Namun, hari esoknya tajuk sama digunakan.

    “Rasanya tindakan ini tak patut. Tajuk ini membuatkan satu Malaysia memberi pandangan negatif kepada saya,” katanya.

    Kata Fouziah, dia berada di Johor Bahru bagi menjayakan sebuah festival ketika pihak media menghubunginya untuk menjawab dakwaan itu.

    Terdahulu, isu gelaran didakwa ‘Datuk palsu’ dikaitkan dengan suami penyanyi, Datin Seri Heliza Helmi iaitu Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman sehingga tular.

    Difahamkan, isu itu susulan perkongsian individu dalam Facebook mengenai gelaran Datuk Seri dimiliki Mahadi tidak tersenarai dalam sistem istiadat.

    Selain itu, nama Fouziah dan Datin Paduka Eina Azman turut terpalit dalam isu berkenaan.