TIMBALAN Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu mempunyai pelan kedua jika penyatuan ummah yang diusahakan dengan UMNO gagal menjadi kenyataan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ini kerana, katanya Muafakat Nasional (MN) bukan kepentingan politik yang hanya melibatkan UMNO dan PAS semata-mata.

“Kalau berjaya kita terus. Kalau tak, kita ada plan B (rancangan kedua),” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Berikutan itu, beliau tidak kisah jika masih dianggap bermain dua kolam.

“Sekarang kita 4, 5 kolam pun tak ada isu, bila sebut penyatuan ummah, ia libatkan semua, bukan PAS dengan UMNO sahaja. Walaupun MN ini adakan perjumpaan secara tidak rasmi, tetapi MN ini platform bukan untuk politik tapi kepentingan masyarakat orang Islam dan sebagainya.

“Kalau nak kira sensitif berasa hati, Pas lebih berasa hati dengan UMNO, 60 tahun berbanding Bersatu, Bersatu sendiri pun sebahagian daripada UMNO. Sebab itu itu kita kata ada beberapa isu kecil sahaja yang kita cuba selesaikan. Kalau berjaya, kita teruskan. Kalau tidak berjaya pun kita ada plan kedua,” katanya

Pasa masa sama Tuan Ibrahim turut menjelaskan yang keputusan mengenai kerjasama dengan UMNO akan diputuskan pada Sabtu ini.

Mengenai syarat dikenakan UMNO kepada PAS jika mahu meneruskan kerjasama, beliau berkata:

“Saya tengok kenyataan rasminya tidak ada syarat itu. Syarat itu tidak ada dalam kenyataan rasminya. Jadi saya fikir kalau betul tiga syarat itu mesti masuk dalam kenyataan rasmi.

“Kenyataan rasmi tidak menyebut syarat-syarat tersebut.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here