Author: Wartawan WartaRakyat

  • Amukan bekas pegawai polis: 31 termasuk kanak-kanak pusaat jagaan maut

    Amukan bekas pegawai polis: 31 termasuk kanak-kanak pusaat jagaan maut

    SEKURANG-kurangnya 31 orang terbunuh dalam satu kejadian tembak dan tikam beramai-ramai di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di wilayah timur laut Thailand hari ini.

    Edaran gambar supek oleh pihak berkuasa Thailand

    Agensi berita Reuters melaporkan, jurucakap polis Thailand dalam satu kenyataan berkata, mangsa yang maut dalam kejadian di wilayah Nong Bua Lamphu itu termasuk 23 kanak-kanak dan orang dewasa.

    Katanya, suspek merupakan seorang bekas pegawai polis dan operasi memburu lelaki itu sudah digerakkan namun motif lelaki itu masih tidak diketahui.

    “Perdana Menteri telah memaklumkan semua agensi agar mengambil tindakan dan menangkap pelakunya,” kata jurucakap kerajaan.

    Menurut laporan BBC, suspek dipecat daripada badan beruniform itu baru-baru ini.

    Dia kali terakhir dilihat memandu sebuah trak pikap warna putih dengan nombor pendaftaran Thailand.

    Kadar pemilikan senjata api di Thailand adalah tinggi berbanding beberapa negara lain di rantau ini.

    Namun angka rasmi itu tidak termasuk sejumlah besar senjata api haram, kebanyakannya dibawa masuk merentasi sempadan negara.

    Insiden tembak beramai-ramai jarang berlaku di Thailand tetapi pada 2020, seorang askar yang berang dengan perjanjian hartanah membunuh sekurang-kurangnya 29 orang dan mencederakan 57 dalam amuk yang menjangkau empat lokasi.

  • Hakim tolak penangguhan kes 1MDB, perbicaraan sudah lama tertangguh

    Hakim tolak penangguhan kes 1MDB, perbicaraan sudah lama tertangguh

    PERBICARAAN kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak hari ini ditangguhkan kepada Selasa ini berikutan peguam utamanya sakit.

    Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah melapangkan perbicaraan hari ini selepas dimaklumkan oleh peguam Alaistair Brandah Norman bahawa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah diberi cuti sakit selama empat hari bermula hari ini kerana demam dan jangkitan tekak yang teruk.

    Bagaimanapun Sequerah menolak permohonan peguam itu supaya prosiding Selasa ini ditetapkan bagi pengurusan kes dengan alasan Muhammad Shafee mengendalikan satu kes rayuan di Mahkamah Tinggi.

    Sequerah turut menolak permohonan untuk melapangkan prosiding Rabu ini kerana Muhamad Shafee akan mewakili Najib dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkannya hadir pada persidangan Dewan Rakyat.

    Beliau berkata, perbicaraan kes 1MDB sudah lama tertangguh dan komitmen mahkamah adalah untuk menyelesaikan perbicaraan kes berprofil tinggi itu.

    “Kita tidak boleh menunggu mahkamah ini dan mahkamah itu.

    “Perbicaraan ini sudah lama tertangguh, pastikan saksi tersedia (pada prosiding minggu depan).

    “Komitmen kami adalah untuk menyelesaikan perbicaraan kes ini,” katanya lapor BH Online.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam tidak membantah perbicaraan hari ini dilapangkan kerana peguam utama bercuti sakit.

    Bagaimanapun, beliau menegaskan prosiding pada 11 dan 12 Oktober ini sepatutnya diteruskan dengan mahkamah menyoal balas Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian AmBank, Yap Wai Keat dan bekas Pengarah Bukan Eksekutif Ambank, Cheah Tek Kuang.

    Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

  • Operasi sindiket bitcoin diserbu, rampasan RM2 juta

    Operasi sindiket bitcoin diserbu, rampasan RM2 juta

    SURUHANJAYA Tenaga merampas mesin bitcoin bernilai lebih RM2 juta dalam serbuan di lima premis tidak berpenghuni sekitar Kajang, Selangor, Selasa lalu.

    Serbuan dilakukan menerusi Ops Renjat dijalankan Suruhanjaya Tenaga dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

    Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Abdul Razib Dawood berkata, sebanyak 349 unit mesin bitcoin telah dirampas selain cakera keras, wayar, kipas dan lain-lain peralatan yang kesemuanya dianggarkan bernilai lebih RM2 juta.

    “Siasatan mendapati kegiatan itu mengakibatkan kerugian kepada pihak utiliti melebihi RM1.3 juta.

    “Pengusikan dilakukan dengan cara membuat sambungan pintasan haram terus tanpa melalui meter,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Suruhanjaya Tenaga Putrajaya, hari ini.

    Beliau berkata, operasi bersepadu ini dijalankan berikutan aduan pengguna yang kerap mengalami gangguan bekalan elektrik sebelum intipan dijalankan pihaknya bersama TNB.

    Katanya, modus operandi sindiket perlombongan bitcoin secara haram adalah dengan menyewa bangunan rumah kedai dan mereka kemudiannya akan menggunakan nama pemilik berkenaan untuk memohon bekalan elektrik.

    “Ketika serbuan dijalankan tiada seorang pun individu di dalam premis berkenaan dan siasatan akan dijalankan berdasarkan penama pada bil elektrik iaitu melibatkan pemilik bangunan,” ujarnya.

    Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    “Kita ingatkan pemilik kena berhati-hati apabila menyewakan premis kepada mana-mana pihak dan hendaklah prihatin dengan aktiviti yang dijalankan oleh penyewa,” jelasnya.

    Tegas Abdul Razib, tindakan turut boleh diambil mengikut Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) oleh agensi penguat kuasa lain.

    “Kita juga minta kerjasama daripada orang ramai di luar sana untuk sama-sama membanteras kegiatan haram ini kerana ia boleh mengancam nyawa masyarakat,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Tambahnya, orang ramai diminta untuk melapor dan membuat aduan kes kecurian elektrik kepada TNB melalui talian 15454 bagi Semenanjung Malaysia atau Suruhanjaya Tenaga melalui talian 03-8870 8800 atau e-mel ke [email protected].

  • PAC bimbang trend hutang negara yang meningkat

    PAC bimbang trend hutang negara yang meningkat

    JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyuarakan kebimbangan terhadap trend peningkatan hutang kerajaan Persekutuan yang terus menokok saban tahun.

    Pada tahun lalu, paras hutang negara berjumlah RM979.8 bilion iaitu 63.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada RM879.5 bilion pada 2020, menyaksikan peningkatan sebanyak RM100 bilion.

    Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata ia berdasarkan pendedahan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid ketika taklimat Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2021 kepada PAC hari ini.

    Walaupun Penyata Kewangan Kerajaan 2021 diberikan Sijil Ketua Audit Negara tanpa teguran, beliau berkata terdapat beberapa perkara ditegaskan Ketua Audit Negara yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.

    “Antaranya penegasan perkara termasuk bayaran balik pinjaman matang menggunakan pinjaman baharu, pengurangan peraturan perbelanjaan pembangunan, peningkatan hutang Persekutuan dan pengiktirafan berbeza dengan prinsip pengiktirafan hasil asas tunai ubah suai,” katanya dalam kenyataan, lapor BH Online.

    Menyentuh mengenai agihan terimaan pinjaman kasar berjumlah RM217.2 bilion, Kah Woh menjelaskan pada tahun lalu, kerajaan ada membuat pinjaman yang meningkat sebanyak 11.6 peratus daripada RM194.5 bilion pada tahun sebelumnya.

    Daripada jumlah itu, beliau berkata 52.4 peratus atau RM113.7 bilion digunakan untuk membayar prinsipal pinjaman matang.

    “Pinjaman kasar yang dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembangunan adalah sebanyak RM62.3 bilion bersamaan 28.7 peratus daripada jumlah pinjaman manakala pindahan ke Kumpulan Wang COVID-19 adalah RM38 bilion atau 17.5 peratus,” katanya.

    Mengulas peratusan perbelanjaan pembangunan, Kah Woh berkata daripada RM62.3 bilion yang dipindah ke Kumpulan Wang Pembangunan, hanya RM40.9 bilion bersamaan 65.8 peratus digunakan bagi tujuan Perbelanjaan Pembangunan berbanding RM37.5 bilion bersamaan 77.3 peratus.

    “Sejumlah RM12.6 bilion (20.2 peratus) digunakan untuk tujuan menanggung Liabiliti PFI dan Komitmen Jaminan serta RM8.7 bilion digunakan untuk Pengelasan Belanja Mengurus Kepada Pembangunan,” ujarnya.

    Berkenaan pembayaran faedah pinjaman melalui kutipan hasil, beliau menjelaskan ia dibuat menerusi faedah pinjaman yang mana 16.3 peratus daripada kutipan hasil digunakan untuk tujuan itu.

    Jelasnya, ia bermaksud setiap RM1 hasil yang dikutip, 16 sen daripada kutipan itu digunakan bagi membayar faedah pinjaman.

  • Ada racun perosak: Singapura arah 2 produk Mie Sedaap ditarik balik

    Ada racun perosak: Singapura arah 2 produk Mie Sedaap ditarik balik

    SINGAPURA mengarahkan dua produk Mie Sedaap jenama Indonesia iaitu mi segera Korean Spicy Chicken dan mi segera Korean Spicy Soup ditarik balik susulan kehadiran etilena oksida iaitu sejenis racun perosak.

    Lapor The Straits Times, Agensi Makanan Singapura (SFA) berkata, etilena oksida dikesan dalam produk semasa tinjauan produk makanan.

    Ini selepas racun perosak yang sama dikesan dalam produk ais krim Haagen-Dazs pada Ogos lalu yang juga sudah ditarik balik.

    Produk Korean Spicy Chicken yang terjejas mempunyai tarikh luput pada 21 Mei 2023 manakala tarikh luput produk Korean Spicy Soup terlibat ialah pada 17 Mac tahun depan.

    Tinjauan The Straits Times menunjukkan bahawa dua perisa mi segera terbabit boleh didapati di pasar raya tempatan dan dalam talian.

    Menurut SFA, etilena oksida ialah racun perosak yang tidak dibenarkan untuk digunakan dalam makanan.

    Walaupun tidak menimbulkan risiko segera pada tahap penggunaan yang rendah, pendedahan jangka panjang boleh membawa kepada masalah kesihatan.

    Menurut laporan dari Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat, pendedahan jangka panjang kepada etilena oksida pada manusia boleh menyebabkan kerengsaan mata, kulit, hidung, tekak dan paru-paru serta kerosakan pada otak dan sistem saraf.

    Pada masa sama pendedahan kepada etilena oksida juga meningkatkan risiko kanser.

    Sementara itu, SFA sedang menguji produk mi segera Mie Sedaap yang lain dan bekerjasama dengan pengimport dan pihak berkuasa Indonesia untuk “menyiasat dan membetulkan punca pencemaran etilena oksida”.

    Kata SFA, pengguna yang telah membeli produk yang terjejas harus mendapatkan nasihat perubatan jika mereka telah memakan dan mempunyai masalah kesihatan.

  • SPRM tahan pengarah projek buat tuntutan palsu RM2.4 juta

    SPRM tahan pengarah projek buat tuntutan palsu RM2.4 juta

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan seorang pengarah projek syarikat kerana disyaki terlibat membuat tuntutan palsu kira-kira RM2.4 juta berhubung pembayaran projek kabel dasar laut di utara tanah air.

    Majistret, Noorlynna Hanim Abd Halim membenarkan permohonan reman daripada pihak SPRM itu selama lima hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret 4, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

    Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan pukul 4 petang di ibu negara ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur semalam.

    Menurut sumber, syarikat yang mengendalikan projek tersebut telah membuat lebihan bayaran kira-kira RM2.4 juta kepada syarikat kontraktor apabila pihak kontraktor mengemukakan invois tuntutan berdasarkan dokumen yang mengandungi butiran palsu.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manaf ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan pihaknya.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya lapor Sinar Harian.

  • CAP gesa cukai rokok dinaikkan dalam Bajet 2023

    CAP gesa cukai rokok dinaikkan dalam Bajet 2023

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menaikkan harga dan cukai rokok menerusi Bajet 2023 yang akan dibentangkan esok.

    Pegawai Pendidikan CAP, S. V. Subbarow berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan amalan atau tabiat merokok dalam kalangan rakyat khususnya golongan muda sekali gus dapat mengelakkan risiko pelbagai penyakit berkaitan.

    Menurut beliau, statistik menunjukkan negara ketika ini mempunyai kira-kira tujuh juta perokok manakala kerajaan terpaksa membelanjakan sebanyak RM6.2 bilion untuk merawat tiga penyakit utama berkaitan tabiat merokok pada 2020.

    “Sehubungan itu, jika berlaku kenaikan harga rokok, maka jumlah perokok akan berkurangan.

    “Bukti menunjukkan kenaikan harga rokok akan mengurangkan penggunaan rokok dan dalam jangka panjang, perokok lebih cenderung untuk berhenti merokok.

    “Ketika ini dianggarkan juga kira-kira 20,000 kematian dilaporkan disebabkan merokok setiap tahun di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Subbarow, tinjauan CAP menunjukkan seorang perokok membelanjakan kira-kira RM400 sebulan untuk pembelian rokok dengan kebanyakan mereka daripada kumpulan B40.

    Sehubungan itu tambah beliau, sekiranya kerajaan menaikkan cukai dan harga rokok, maka amalan menghisap rokok akan mula berkurangan termasuk risiko penyakit yang dihadapi.

    “Kesannya, perokok tegar akan berfikir panjang untuk membeli sekotak rokok berikutan harganya yang tinggi selain menganggapnya sebagai barang mewah atau eksklusif yang sukar atau mustahil diperoleh,” ujarnya.

    Tambah beliau, antara negara yang telah menguatkuasakan kenaikan cukai rokok termasuk Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei.

  • CPTPP berkuatkuasa hujung November – Azmin

    CPTPP berkuatkuasa hujung November – Azmin

    PERJANJIAN Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang diratifikasi Malaysia pada Jumaat lalu dianggap selesai dan akan mula berkuatkuasa pada 29 November ini.

    Lapor Harian Metro, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Malaysia adalah negara kesembilan yang meratifikasi perjanjian berkenaan.

    “Hasil Kajian Analisis Kos-Faedah (CBA) menunjukkan bahawa manfaat yang bakal dinikmati Malaysia menerusi penguatkuasaan CPTPP jelas mengatasi sebarang kos yang mungkin timbul.

    “Segala pindaan undang-undang berkaitan dengan Perjanjian CPTPP sudah selesai,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan asal Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai status penyertaan Malaysia untuk CPTPP dan kemajuan untuk perjanjian perdagangan bebas lain.

    Mengenai perdagangan bebas lain, Mohamed Azmin memaklumkan, Malaysia dan Turkiye memeterai Protokol Perluasan Skop bagi perjanjian perdagangan bebas (FTA) pada 29 September lalu, merangkumi tiga bab baharu, iaitu Perdagangan Sektor Perkhidmatan, Pelaburan dan e-Dagang.

    Selain itu, pada Julai lalu, Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk mengadakan satu mesyuarat ‘stocktaking’ pada pertengahan bulan ini bagi menentukan hala tuju rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang tertangguh sejak 2012, berikutan kegagalan kedua-dua pihak untuk mencapai kesepakatan bagi isu sensitif.

    “Malaysia juga terbabit secara aktif dalam rundingan menaik taraf FTA serantau sedia ada bagi Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA), Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) dan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN atau ASEAN Trade in Goods Agreement (ATIGA).

    “Nilai tambah yang dirunding dalam perjanjian ini dijangka akan memberi manfaat tambahan kepada komuniti perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

    “Proses naik taraf ini juga bertujuan memastikan perjanjian ini kekal relevan dan mampu menangani cabaran persekitaran ekonomi global yang tidak menentu,” katanya.

    Menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH- Bagan) mengenai sejauh mana CPTPP akan dilaksanakan kerana ia akan memerlukan mandat kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang semakin hampir, Mohamed Azmin berkata, beliau yakin kerajaan yang dibentuk kelak akan bertanggungjawab kepada negara dan rakyat.

    “Saya yakin kerajaan yang akan dibentuk selepas PRU ini adalah kerajaan PN, jadi kita teruskan usaha ini,” katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN).

    Katanya, walaupun indikator ekonomi semakin baik, namun ia masih memerlukan sedikit masa supaya proses pemulihan benar-benar memberi kesan positif kepada rakyat.

    “Disebabkan itu, saya minta supaya usaha membubarkan Parlimen ini tidak dijalankan sekarang.

    “Bagaimanapun, jika pilihan raya diadakan dan Parlimen dibubarkan, saya percaya ini adalah perjanjian yang memberikan manfaat kepada negara dan rakyat,” katanya.

  • PRU-15 ketika musim tengkujuh tidak digalakkan – MetMalaysia

    PRU-15 ketika musim tengkujuh tidak digalakkan – MetMalaysia

    TINDAKAN mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika musim monsun timur laut sebagaimana gesaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak digalakkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

    Menurut Timbalan Ketua Pengarahnya, Dr Hisham Mohd Anip, banjir akan kerap berlaku di seluruh negara secara amnya pada tempoh monsun.

    “Dalam tempoh peralihan pun banyak tempat sudah banjir. Ada (kejadian) banjir di Perak dan Johor.

    “Jadi dari segi kesesuaian, ia tidak membantu untuk mengadakan pilihan raya,” katanya sebagaimana laporan MalaysiaNow.

    Musim monsun timur laut dijangka melanda negara pada November hingga Mac tahun depan dengan ketika ini Malaysia dalam fasa peralihan monsun selepas mengalami monsun barat daya.

    Dr Hisham dalam laporan itu memberitahu, negeri pantai barat juga semakin terkesan dengan kehadiran monsun timur laut berbanding tahun-tahun sebelum ini.

    Namun katanya, berdasarkan model cuaca sedia ada, monsun timur laut yang bakal melanda tidak akan membawa cuaca yang ekstrem dengan paras hujan normal atau kurang dari normal.

    “Tidak ada satu model beri unjuran akan adanya jumlah hujan yang ekstrem dari segi kuantiti hujan bulanan.

    “Kita tak menjangka fenomena La Nina yang sedang berlaku akan mengakibatkan kita menerima hujan yang lebih banyak,” tambahnya.

    Menurut Hisham, MetMalaysia menjangkana kuantiti hujan yang melebihi kelaziman dijangka melanda utara dan timur Sabah pada Disember dan Januari.

    Di Pantai Timur Semenanjung sering menjadi keutamaan usaha pengurusan bencana ketika musim monsun, katanya tiada perubahan jumlah hujan yang signifikan akan melanda.

    Beberapa kawasan sudah mengalami banjir seperti di Pahang dan Johor membabitkan pemindahan ratusan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS).

    Katanya, berdasarkan corak hujan, negeri-negeri di Semenanjung Malaysia menerima hujan lebih awal daripada kedatangan monsun timur laut.

    MalaysiaNow sebelum ini melaporkan PRU15 akan berlangsung dalam keadaan banjir kilat dan ribut petir sekiranya diadakan selepas pertengahan November.

    Orang ramai melahirkan kegusaran berhubung desakan mengadakan PRU15 pada hujung tahun ini, selepas cakap-cakap mengenai pembubaran parlimen semakin hangat.

    Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pagi tadi melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir sebelum dijangka menerima mengadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob petang ini.

    Desakan mengadakan PRU15 pada tahun ini diketuai oleh Zahid dan kepimpinan tertinggi UMNO.

    Penggal ke-14 sepatutnya tamat pada pertengahan tahun depan.

    Sebagai bantahan, kerajaan-kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga tahun depan.

  • Warga emas hilang beberapa hari ditemukan lemas

    Warga emas hilang beberapa hari ditemukan lemas

    SEORANG warga emas yang dilaporkan hilang sejak beberapa hari lalu ditemukan mauyatnya di sungai dekat Kampung Air Panas Gerik, di Gerik, hari ini.

    Pihak bomba telah menerima maklumat daripada pihak polis berkenaan mayat seorang lelaki berusia 60-an yang ditemukan terapung di sungai pada pukul 9.38 pagi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak memaklumkan, susulan itu sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik kemudiannya telah dikerahkan ke lokasi.

    “Pihak kami menerima maklumat berkenaan seorang lelaki yang ditemukan terapung di sungai. Mangsa sebelum itu dipercayai hilang dan lemas beberapa hari lalu.

    “Pasukan bomba telah melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang ditemukan terapung kira-kira 5 meter dari tebing sungai.

    “Mangsa telah disahkan maut oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani.

    Katanya lagi, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Kamarul Ariffin Abdul Ghani.