UMNO menolak formula Pas yang mendukung Bersatu bagi menjayakan penyatuan ummah, memandangkan parti itu ditubuhkan untuk melemahkan UMNO.
Lapor Berita Harian, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hakikatnya, UMNO tidak pernah menolak segala usaha untuk penyatuan ummah, namun yang ditolak UMNO ialah penyelamatan Bersatu.
“Bagi UMNO, formula Pas untuk mendukung Bersatu bukan rumus untuk ummah yang bersatu. Bersatu adalah parti yang jelas ditubuhkan untuk melemahkan kekuatan sebenar orang Melayu melalui UMNO.
“Kekuatannya adalah ‘superficial’. Tidak dibangunkan melalui perjuangan hakiki, tetapi dibina melalui ‘sindiket’ pengkhianatan politik paling licik dan jelik dalam sejarah politik Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Kerana itu, beliau berkata, Bersatu tidak mempunyai ‘standing’ sebagai pendukung kesatuan dan perpaduan Melayu, kerana DNA mereka ialah anti UMNO dan karakternya adalah khianat.
“UMNO adalah gerakan politik. Ia bukan gerakan dakwah. Tugas UMNO ialah mengurus dan mentadbir negara,” katanya.
Beliau dalam laporan itu berkata, penyatuan ummah tidak semestinya hanya akan terbit melalui kerjasama politik demi pilihan raya kerana UMNO sudah dan akan usahakan dalam pelbagai ruang lingkup, pada setiap masa dan bukan bermusim apabila ia mentadbir nanti.
“Segala perhitungan UMNO adalah pada kelangsungan politiknya dan kepentingan bangsa Melayu. Adalah strategik untuk orang Melayu mempunyai parti terbesar dan paling dominan dalam kerajaan akan datang.
“Fokus UMNO ialah untuk mengembalikan semula kekuatan sebenarnya supaya ia dapat menjadi jurucakap orang Melayu yang berkesan.
“Ia tidak akan dapat dicapai melalui kerjasama dengan Bdrsatu pastinya. Kerana sudah menjadi cita-cita Bersatu untuk UMNO itu di diakhiri, ditolak dan dimatikan,” katanya.
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya rakyat akan memilih gabungan politik itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang dan menolak Pakatan Harapan (PH) serta UMNO/Barisan Nasional (BN).
Presiden Bersatu itu dalam satu kenyataan berkata, antara sebab UMNO dan BN akan ditolak oleh rakyat adalah kerana pemimpinnya yang sudah terpalit dan bergelumang dengan isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“PH pula terkenal dengan kegagalan mereka untuk menyempurnakan janji yang dibuat setelah memenangi PRU-14,” katanya dalam laporan Agenda Daily hari ini.
Untuk rekod, pemimpin tertinggi UMNO sebelum ini iaitu bekas presiden parti, Datuk Seri Najib Razak kini menjalani hukuman penjara 12 tahun setelah disabitkan dengan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Najib juga masih berdepan puluhan lagi tuduhan jenayah, termasuk rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Penyelewengan berbilion-bilion ringgit dana 1MDB itu menjadi skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia diakukan pemimpin UMNO dan BN ketika mereka memerintah hingga memalukan negara.
Persoalan yang timbul ialah sama ada rakyat akan memilih kumpulan yang sejarah mereka terpalit dengan rasuah, salah guna kuasa, tidak amanah serta tidak menepati janji, ketika memerintah.
Sedangkan selama pentadbiran PN dilihat cekap dalam menangani isu ekonomi rakyat dan negara, selain berjaya menangani pandemik global Covid-19 yang melanda, walaupun tidak sampai dua tahun memerintah Malaysia.
Mengulas mengenai PRU-15, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, gabungan PN yang dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan, SAPP dan STAR sudah bersedia dengan tawaran baharu yang lebih baik kepada rakyat Malaysia jika menang nanti.
“Saya menegaskan sama ada Parlimen dibubarkan atau tidak, semangat yang ditunjukkan pada malam ini membuktikan Perikatan Nasional sudah bersedia untuk berhadapan dengan pilihan raya.
“Perikatan Nasional juga sudah bersedia dengan tawaran baharu yang lebih baik untuk rakyat selari prinsip PN yang sentiasa mengutamakan rakyat dengan jika menang nanti.
“Saya percaya rakyat akan memilih PN kerana ia merupakan pilihan terbaik masa ini berbanding Pakatan Harapan yang terkenal kerana tidak menyempurnakan janji manakala UMNO dan BN pula sudah terpalit dan bergelumang dengan isu rasuah, penyelewangan dan salah guna kuasa, insya-Allah,” katanya.
ULAMA terkenal di Kedah yang juga pengasas Pondok Madrasah Takwiyatul Islamiah, Tuan Guru Abdullah Lebai Samah diangkat sebagai Tokoh Maulidur Rasul peringkat negeri Kedah pada tahun ini.
Abdullah yang berusia 86 tahun menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah di Hotel Raia, Alor Setar, hari ini.
Di sebalik pengiktirafan serta ketinggian ilmu dimilikinya, Abdullah tetap merendah diri dengan menganggap penganugerahan tersebut sebagai ketentuan tuhan ketika dirinya sendiri tidak memiliki apa-apa.
“Alhamdulillah, kepada Allah saya bersyukur. Anugerah tokoh diberikan ini tidak pernah saya sangka dan tidak pernah bermimpi untuk diperolehi.
“Saya tak ada apa-apa, saya serahkan segalanya kepada tuhan. Saya ini cuma bertugas untuk mengajar orang tua-tua di perkampungan, sekitar pondok saya saja,” katanya.
Berasal dari Kampung Sena di Tobiar, Pendang, Abdullah terlebih dulu mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Arab SRITA dan Madrasah Agama Makarimul Akhlak di Langgar sebelum berangkat ke Mekah bagi mendalami ilmu agama.
Sebaik pulang selepas 10 tahun berkelana di Mekah, beliau menubuhkan Pondok Madrasah Takwiyatul Islamiah di Pokok Sena yang kini cukup terkenal di negeri ini.
Antara faktor yang menyebabkan pondok beliau itu dikenali umum adalah disebabkan tiada sebarang caj dikenakan dengan mereka yang ingin menuntut ilmu hanya perlu solat berjemaah dan hadir ke kelas pengajian.
“Sejak saya balik dari Mekah sampai 1971, saya dah mula mengajar. Pengajian percuma dari dulu sampai sekarang, tanpa ada sebarang bayaran.
“Semuanya Lillahi Ta’ala. Setiap hari selepas subuh, saya akan mengajar quran atau kitab hingga pukul 8 atau 9 pagi,” katanya.
Memiliki 14 anak, rata-rata zuriatnya juga terdiri daripada insan yang cemerlang dalam menabur bakti kepada negara.
Anak keempatnya, Abdul Mokti Abdullah merupakan Pakar Perubatan Jabatan Otorinolaringologi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) manakala anak kelimanya pula, Ahmad Ubaidillah merupakan Penasihat Syariahh Bank UOB di Kuala Lumpur.
Beberapa anak didiknya juga terdiri daripada bekas penagih dadah yang sudah pulih sepenuhnya sejak mengikuti pengajian di pondok beliau.
Dalam pada itu Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor turut mengucapkan tahniah di atas anugerah diterima Abdullah.
“Kini pondoknya menjadi salah satu pondok yang terkenal di Kedah. Banyak sumbangan tuan guru dalam memartabatkan ilmu agama khususnya rakyat di negeri jelapang padi ini.
“Selayaknya tuan guru mendapati pengiktirafan sebagai Tokoh Maulidur Rasul kali ini,” katanya menerusi catatan di Facebook.
PERDANA MENTERI, Datuk Seri Ismail Sabri akan menyampaikan perutusan khas mengenai pembubaran Parlimen, pukul 3 petang ini.
Ismail Sabri melalui media sosial rasmi beliau memaklumkan pengumuman itu akan diadakan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, lapor Berita Harian.
Semalam, Ismail Sabri dilapor menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, dipercayai untuk mendapat perkenan baginda berhubung pembubaran Parlimen.
Memetik laporan New Straits Times, kunjungan itu bagaimanapun tidak diketahui media yang biasanya berkumpul di luar pintu utama istana.
Yang di-Pertuan Agong berangkat ke London, malam tadi bagi mengadakan lawatan khas ke United Kingdom, mulai hari ini hingga 16 Oktober ini.
Turut kelihatan mengiringi keberangkatan Yang di-Pertuan Agong di lapangan terbang ialah Azhar yang mana kehadiran beliau dikaitkan dengan desas-desus pembubaran Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dilapor memberi petunjuk akan ada pengumuman penting dibuat kerajaan hari ini, berkemungkinan berkaitan pembubaran Parlimen.
Bercakap pada sidang media, beliau juga mengesahkan Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sudah pun mempersembahkan cadangan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.
Namun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, memaklumkan pihaknya belum menerima apa-apa makluman berkaitan pembubaran Parlimen.
Sehubungan itu katanya, sesi Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen ke-14 akan diteruskan seperti dijadualkan esok, yang antara lain akan membahaskan Bajet 2023.
Persidangan Dewan Rakyat esok, adalah hari pertama bagi sesi pembahasan Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Jumaat lalu.
SERAMAI 76 orang maut apabila sebuah bot yang terlebih muatan terbalik di Anambra, tenggara Nigeria, pada Jumaat.
Kira-kira 85 orang menaiki bot berkenaan ketika kemalangan itu berlaku pada Jumaat di kawasan yang musnah akibat banjir.
“Bot itu terbalik berikutan peningkatan banjir di kawasan Ogbaru di negeri itu.
“Badan kecemasan mengesahkan angka kematian ialah 76 orang,” kata Pejabat Buhari yang memetik Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari sebagai berkata seperti dilaporkan oleh AFP.
Beliau mengarahkan supaya perkhidmatan kecemasan memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa.
Kemalangan bot adalah perkara biasa di Nigeria kerana muatan berlebihan, kelajuan, penyelenggaraan yang lemah dan mengabaikan peraturan lalu lintas.
Sejak permulaan musim hujan, banyak wilayah di Nigeria telah dilanda banjir.
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor percaya Parlimen bakal dibubarkan pada petang ini.
“Dok rasa macam depa nak umum petang ini,” lapor Sinar Harian.
“Ini akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” tulis Muhammad Sanusi dalam Facebooknya, pagi tadi.
Lebih 2,000 netizen memberikan reaksi kepada perkongsian MB Kedah itu setakat jam 11 pagi tadi.
Rata-rata netizen percaya ia merujuk kepada pembubaran parlimen walaupun MB Kedah tidak menyatakan perkara tersebut.
Warta Rakyat hari ini melaporkan, Perdana Menteri akan menghadiri Perhimpunan Agung MIC Di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada pukul 2.30 petang.
Difahamkan, Ismail Sabri telah pun menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada petang semalam untuk memohon pembubaran Parlimen sejurus sebelum baginda berangkat ke London, pada malam tadi.
Al-Sultan Abdullah dijadual membuat kunjungan hormat kepada Raja Britain, Raja Charles III dalam lawatan khas baginda ke London bermula esok hingga 16 Oktober ini.
SEORANG tauke stesen minyak dan ladang kelapa sawit kerugian hampir RM50,000 selepas seutas jam tangan jenama Rolex miliknya ‘lesap’ dipercayai dicuri di rumahnya sendiri dekat Bandar Laguna Merbok, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kehilangan jam tersebut disedari oleh lelaki berkenaan kira-kira pukul 10 pagi.
Katanya, susulan laporan polis dibuat lelaki berusia 65 tahun itu, polis telah menahan dua pekerja kedai perabot bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
“Mangsa mendakwa jam tangan berwarna emas itu diletakkan di atas piano di tepi tangga rumah. Bagaimanapun kira-kira pukul 10 pagi kelmarin, jam tersebut gagal ditemukan.
“Siasatan awal mendapati, hanya dua pekerja kedai perabot itu saja individu luar yang berada serta masuk ke rumah tersebut. Difahamkan kedua-dua pekerja kedai perabot berkenaan berada di rumah itu bagi menghantar tilam dibeli pemilik rumah, sehari sebelum itu,” katanya.
Tambahnya, ketika kedua-dua individu berkenaan menghantar tilam tersebut, isteri tauke berkenaan berada di rumah dengan wanita itu menunggu kedua-dua mereka selesai melakukan kerja.
“Dua pekerja tersebut terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun dan seorang warganegara Bangladesh berumur 51 tahun yang memiliki permit kerja sah. Mereka ditahan pada hari sama mangsa membuat laporan polis.
“Mereka masing-masing sudah bekerja selama 30 dan 10 tahun di kedai perabot tersebut. Pemeriksaan dijalankan di rumah serta asrama tempat suspek tinggal bagaimanapun tidak menemukan jam tangan tersebut,” katanya.
Tambahnya, sehingga kini siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
SUSPEK lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit kes pembunuhan seorang wanita bergelar Datin di Taman Paroi Jaya di Seremban, kelmarin.
Ketua Polis daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, suspek berusia 45 tahun itu ditahan pukul 1 petang di pondok tepi jalan, Batu 4, Jalan Port Dickson-Teluk Kemang, Port Dickson.
“Barang kemas milik simati turut dirampas daripada lelaki berkenaan,” katanya, lapor Sinar Harian.
“Permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Seremban bagi tujuan siasatan sehingga Jumaat ini dan polis percaya kes ini dapat diselesaikan susulan penahan lelaki berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nanda berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini media melaporkan seorang wanita warga emas bergelar Datin ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada badan di rumahnya di Taman Paroi Jaya.
Justeru, polis mengesan seorang lelaki yang juga suspek utama kes berkenaan dan dia dipercayai individu terakhir yang datang ke rumah mangsa.
PELAKON, pengarah dan penerbit filem, Ahmad Idham, dilantik sebagai Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan berkuat kuasa hari ini.
Menurut Ahmad Idham, pelantikan tersebut diumumkan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Zamani Ibrahim, sewaktu mesyuarat gerakan berkenaan di Seremban, semalam.
Ahmad Idham atau nama penuhnya Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri mengakui terharu dengan pelantikan tersebut.
“Saya terharu apabila dimaklumkan gerak kerja Hab Pendidikan Khas Dr Ahmad Idham yang saya asaskan dan gerakkan di Port Dickson melalui Pertubuhan Briged Prihatin dimaklumkan memberi impak di mata masyarakat.
“Mungkin atas dasar itu menjadi antara faktor yang dinilai kepimpinan tertinggi GTA Negeri Sembilan sebelum membuat keputusan untuk mengumumkan pelantikan ini,” katanya kepada media, lapor Berita Harian.
Ahmad Idham yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), bagaimanapun berkata pelantikan itu bukan untuk dibanggakan, sebaliknya jawatan diberikan adalah amanah dan tanggungjawab yang harus digalas sebaiknya.
“Melalui pelantikan ini, ia memberi gambaran jelas bahawa GTA bukan sekadar gabungan antara parti politik, sebaliknya turut menggabungkan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan profesional dan individu,” katanya.
Ahmad Idham berkata, lantikan beliau juga adalah atas kapasiti sebagai Pengerusi Pertubuhan Briged Prihatin dan beliau tidak perlu menyertai mana-mana parti politik.
“Saya komited untuk terus menyampaikan kepada masyarakat bahawa GTA bukan hanya gabungan retorik parti politik seperti digembar-gemburkan.
“GTA sebaliknya adalah gerakan rakyat untuk rakyat bagi mengangkat pemimpin Melayu Muslim yang berwibawa tanpa terikat kepada politik kepartian,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Idham dilapor kerana kerap berada di Port Dickson selain diuar-uar bakal bertanding di kerusi Parlimen itu.
APAKAH parti-parti politik di Terengganu khususnya Barisan Nasional (BN), Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) akan mempertaruhkan calon wanita mewakili gabungan parti masing- masing pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini?
Begitulah pertanyaan dan teka teki yang sedang hangat diperkatakan oleh kebanyakan pihak di negeri ini mengenai kedudukan calon wanita dalam PRU-15 nanti.
Perkara ini timbul apabila kebanyakan wakil pemimpin politik wanita di negara ini menyuarakan agar kouta calon golongan berkenaan turut diberikan perhatian untuk bertanding dalam PRU-15 kali ini.
Malah, para pemerhati dan penganalisis politik di Terengganu pula berpendapat sekiranya ada parti politik sanggup berbuat demikian, sudah pasti suasana PRU-15 menjadi lebih meriah.
Persolannya adakah parti yang sanggup melakukan percaturan sedemikian?
Ini kerana bagi penulis, tahap penerimaan masyarakat khususnya pengundi di Terengganu sejak kebelakangan ini tidak sama dengan negeri lain seperti di Pantai Barat.
Penulis perhatikan, para pengundi di negeri ini seolah-olah belum bersedia untuk menerima calon wakil rakyat wanita, menyebabkan parti-parti politik yang bertanding juga kurang yakin untuk meletakan calon mewakili golongan berkenaan?
Ini terbukti, apabila BN yang pernah mempertaruhkan calon wanita ‘terhebat’nya sebelum ini pernah menerima kekalahan.
Bekas Ketua Puteri Wanita Terengganu, Nordiana Shafie dicalon di DUN Batu Burok pada PRU-12, tahun 2008 dan Ketua Wanita Bahagian Marang, Toh Puan Zaiton Mat Amin di DUN Bukit Payong pada PRU-14, tahun 2018.
Toh Puan Zaiton Mat Amin
Kedua-duanya telah tewas kepada calon Pas dalam percaturan tersebut.
Nordiana yang memperoleh 9,511 undi tewas kepada Syed Azman Ahmad Nawawi yang mendapat 10,672 undi dengan majoriti 1,161 undi.
Zaiton pula yang mendapat 7,184 undi tewas kepada Mohd Nor Hamzah yang mendapat 11,672 undi.
Dalam pertandingan tiga penjuru itu Mohd Nor menang dengan majoriti 4,488 undi manakala Dalizan Aziz daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula mendapat 1, 104 undi.
Nordiana Shafie
Berdasarkan sejarah politik di Terengganu, calon wanita mewakili Pas Khadijah Sidek pernah menang di Parlimen Dungun pada tahun 1959 dan Teh Hassan daripada parti Perikatan pula pernah menang di DUN Chukai pada PRU tahun 1969.
Lain-lain calon wanita yang pernah bertanding ialah Sharifah Azzah Apple (Perikatan) bertanding di DUN Ladang pada tahun 1959 dan DUN Binjai tahun 1969, Siti Nor Abdul Hamid (Parti Sosialis Rakyat Malaysia) di Parlimen Kuala Nerus pada PRU 1974.
Sementara Maimun Yusof atau Tok Mun pula bertanding di Parlimen Kuala Terengganu pada tahun 2008 atas tiket Bebas.
Maimunah Yusof (Tok Mun)
Persoalannya benarkah dakwaan mengatakan bahawa calon wanita gagal ‘pikat’ pengundi di Terengganu sedangkan golongan berkenaan pernah memenanginya di Parlimen Dungun pada tahun 1959 dan DUN Kijal tahun 1969?
Mengikut pandangan sesetengah penganalisis politik sebelum ini, kekalahan calon wanita yang ditampilkan oleh parti politik adalah disebabkan silap percaturan.
Mereka meletakkan calon terbabit di kawasan yang telah kalah dan lubuk kuat pembangkang, bukan kawasan popular calon berkenaan.
Sehubungan itu, bagi memeriahkan PRU-15 kali ini penulis berharap calon-calon wanita mewakili BN seperti Zaiton dan Nordiana perlu diberi peluang bertanding semula.
Sementara Pas pula sudah sampai masanya cuba mengentengahkan Ketua Dewan Muslimatnya, Toh Puan Zarani Othman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanitanya, Zuraida Md. Noor sebagai calon parti itu pada PRU-15 kali ini.
Toh Puan Zarani Othman
Bagi penulis, kesemua calon wanita yang diberi peluang bertanding ini biarlah diletakkan di kawasan lebih selamat.
Kita mahukan selepas ini biar ada suara wakil rakyat wanita berada dalam DUN Terengganu.