MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor percaya Parlimen bakal dibubarkan pada petang ini.
“Dok rasa macam depa nak umum petang ini,” lapor Sinar Harian.
“Ini akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” tulis Muhammad Sanusi dalam Facebooknya, pagi tadi.
Lebih 2,000 netizen memberikan reaksi kepada perkongsian MB Kedah itu setakat jam 11 pagi tadi.
Rata-rata netizen percaya ia merujuk kepada pembubaran parlimen walaupun MB Kedah tidak menyatakan perkara tersebut.
Warta Rakyat hari ini melaporkan, Perdana Menteri akan menghadiri Perhimpunan Agung MIC Di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada pukul 2.30 petang.
Difahamkan, Ismail Sabri telah pun menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada petang semalam untuk memohon pembubaran Parlimen sejurus sebelum baginda berangkat ke London, pada malam tadi.
Al-Sultan Abdullah dijadual membuat kunjungan hormat kepada Raja Britain, Raja Charles III dalam lawatan khas baginda ke London bermula esok hingga 16 Oktober ini.