Author: Wartawan WartaRakyat

  • Gong PRU-15 sudah berbunyi, kini tiba masa rakyat membuat pilihan

    Gong PRU-15 sudah berbunyi, kini tiba masa rakyat membuat pilihan

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SETELAH beberapa hari menunggu, kini debaran rakyat di negara ini berhadapan satu lagi saat bersejarah sudah hampir sampai ke kemuncak.

    Malah, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Saberi Yaakob berhubung pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu membuka peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan terbaik mengenai calon dan parti kegemaran masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat ini.

    Memandangkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah perkenan membubarkan Parlimen, maka rakyat berhak membuat pilihan terbaik mengenai calon dan parti yang bakal menerajui pemerintahan negara nanti.

    Maka itu, bukan masanya lagi untuk mana-mana pihak pertikaikan perkara tersebut kerana kelak nanti, ia dikatakan derhaka pula kepada Yang di-Pertuan Agong.

    Sebaliknya, apa yang penting, mulai sekarang setiap parti politik yang terlibat dengan pilihan raya perlu memperkemas dan menggerakkan strategi masing-masing untuk memenangi PRU-15 yang disifatkan sebagai ibu segala pilihan raya.

    Justeru, apa ditunggu lagi kerana gong PRU-15 sudah pun berbunyi, mandat rakyat telah dikembalikan untuk membolehkan mereka (pengundi) membuat pilihan.

    Kini, kita semua hanya perlu menunggu keputusan dan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung penetapan tarikh-tarikh penting melibatkan PRU-15.

    setakat ini SPR dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas pada 20 Oktober ini bagi membincang dan menentukan tarikh-tarikh penting tersebut.

    Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak memaklumkan, mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Ghani Salleh itu akan diadakan di Menara SPR Putrajaya pada pukul 10 pagi.

    Antara perbincangan itu bakal melibatkan penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan.

    Susulan pembubaran parlimen ini, kita berharap para pengundi berdaftar juga telah bersedia untuk memilih calon dan parti politik yang sesuai ketika keluar membuang undi nanti.

    Pilihlah calon dan parti yang boleh membantu mereka dan bukan sekadar tahu menabur janji-janji yang tidak pernah tertunai.

    Ia penting bagi memastikan nasib dan kehidupan rakyat selepas pasca PRU15 tidak berhadapan dengan sebarang masalah.

    Sebagai rakyat dan pengundi, kita mestilah berpandangan jauh sebelum membuat sesuatu keputusan kerana sebarang kesilapan ia boleh menyebabkan masa depan generasi kita turut terjejas.

    Apa yang penting setiap calon yang dipilih nanti adalah mereka yang memiliki nilai-nilai kepimpinan, mesra dan cakna rakyat, sering turung padang serta ada ilmu agama.

    Selain itu, setiap pengundi juga perlu memastikan calon yang dipilih adalah bebas rasuah dan berintergriti.

    Ia penting kerana kita tidak mahu tersalah pilih mereka yang tidak tahu membuat kerja dan jarang pula turun padang bersama rakyat serta gagal menyelami masalah masyarakat di kawasan mereka khususnya ketika berlakunya bencana seperti banjir dan ribut.

  • Polis jumpa mayat reput ketika siasat lokasi kereta terbabas elak kelibat

    Polis jumpa mayat reput ketika siasat lokasi kereta terbabas elak kelibat

    POLIS menemukan satu mayat reput ketika menjalankan siasatan terhadap kemalangan kereta yang terbabas berhampiran persimpangan lampu isyarat Pekan Tambun di Ipoh, pagi ini.

    Mayat dipercayai perempuan yang sudah reput sejak beberapa hari itu, ditemui hanya pada kira-kira tiga meter dari kereta Proton Satria Aeroback yang terbabas ke dalam longkang berdekatan.

    Difahamkan sebelum penemuan mayat, pada kira-kira pukul 5 pagi sebuah kereta yang dipandu oleh seorang anggota tentera dari arah Hulu Kinta terbabas ke dalam longkang berkenaan.

    Anggota tentera berkenaan dikatakan cuba mengelak suatu kelibat yang melintas di hadapan keretanya sebelum terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri jalan.

    Bagaimanapun, dalam kejadian itu anggota tentera itu hanya cedera ringan, lapor Berita Harian.

    Anggota polis trafik yang kemudiannya datang ke lokasi kira-kira 5.30 pagi untuk menjalankan siasatan sebelum turut menemui mayat reput di sekitar kawasan kemalangan.

    Ketika menjalankan siasatan berkenaan, anggota polis dikatakan terhidu bau busuk sebelum menemukan mayat reput berhampiran kenderaan yang terbabas.

    Maklumat penemuan itu dilaporkan kepada Balai Polis Tambun berhampiran dan mayat kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk proses bedah siasat.

    Difahamkan, proses bedah siasat akan dijalankan pada sebelah petang bagi mengenal pasti identiti mayat dan punca kematian.

    Tinjauan wartawan di lokasi mendapati siasatan dijalankan oleh pihak polis dan forensik PDRM di lokasi kejadian dan mayat reput sudah dibawa keluar daripada lokasi.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

  • Guru KAFA mengaku tidak bersalah hempas murid hingga patah kaki

    Guru KAFA mengaku tidak bersalah hempas murid hingga patah kaki

    SEORANG guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Marang, Terengganu hari ini atas pertuduhan mencederakan anak muridnya sehingga patah kaki kanan pada tiga bulan lalu.

    Tertuduh, Ahmad Mursyidin Abdullah, 37, yang berasal dari Bukit Payong di Marang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

    Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mencederakan anak murid lelakinya yang merupakan murid tahun tiga dengan mengangkat dan menghempas mangsa ke atas kerusi kayu sehingga patah kaki kanan, memetik laporan Berita Harian.

    Tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah sekolah KAFA di Bukit Payung di sini pada pukul 4.15 petang, 6 Julai lalu.

    Ahmad Mursyidin didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Pada 14 Julai lalu media melaporkan seorang ibu mahu pembelaan terhadap anak lelakinya berusia sembilan tahun yang didakwa dicederakan tertuduh hingga patah kaki pada 6 Julai lalu.

    Insiden itu didakwa memberi kesan trauma kepada mangsa sebelum ibu bapanya membuat laporan polis pada 8 Julai lalu.

  • Perdana Menteri disaman kerana bubar Parlimen

    Perdana Menteri disaman kerana bubar Parlimen

    PENYANDANG Parlimen Klang, Charles Santiago, menfailkan saman pemula terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan pembubaran Parlimen yang dibuat Perdana Menteri kelmarin.

    Saman pemula berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, bertujuan menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada menjalankan Pilihan Raya Umum (PRU).

    Berdasarkan salinan saman pemula yang difail dan dilihat BH, Charles menuntut supaya satu deklarasi bahawa kuasa yang terletak pada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 55(2), Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilaksanakan mengikut Perkara 40(1) dan (1A).

    Perkara 55(2) membabitkan Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

    Peruntukan Perkara 40(1) pula menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

    Sementara (1A) adalah sewaktu menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

    Charles juga menuntut satu deklarasi bahawa permintaan Defendan Pertama kepada Yang di-Pertuan Agong pada 9 Oktober 2022 untuk pembubaran Parlimen ke-14 adalah menyalahi Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan kerana permintaan itu tidak dibuat berdasarkan nasihat, atau berdasarkan kuasa am, Jemaah Menteri dan oleh itu terbatal dan tidak sah.

    Beliau juga menuntut satu deklarasi bahawa pembubaran Parlimen ke-14 pada 10 Oktober 2022 seperti yang dimaklumkan melalui P.U.(A) 320 tidak mengikut Perkara 55(2) dibaca bersama Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan dan tidak mempunyai kesan undang-undang.

    Justeru, Charles menuntut satu deklarasi bahawa defendan ketiga iaitu SPR, tidak mempunyai asas undang-undang untuk mengambil apa-apa langkah mengadakan PRU termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pengeluaran mana-mana writ bawah Seksyen 12, Akta Pilihan Raya 1958 dan pengeluaran sebarang notis bawah Peraturan 3(1), Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

    Beliau juga memohon suatu perintah dikeluarkan Mahkamah Tinggi untuk menghalang defendan ketiga dan ejen, pengkhidmat dan/atau pekerjanya daripada mengambil sebarang langkah untuk mengadakan PRU berdasarkan kepada pembubaran itu termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pengeluaran sebarang writ bawah Seksyen 12, Akta Pilihan Raya 1958 pengeluaran mana-mana notis bawah Peraturan 3(1), Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 dan/atau daripada memberi kesan kepada mana-mana writ atau notis sedemikian jika dikeluarkan.

    Beliau turut menyertakan afidavit sokongan yang antara lain menyatakan antara fakta menyokong saman pemula berkenaan termasuk banjir yang melanda pada Disember 2021 serta bantahan parti-parti yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan dalam situasi ketika ini.

    Sementara itu, Charles ketika dihubungi mengesahkan tindakan terbabit, sambil memaklumkan akan mengeluarkan satu kenyataan media mengenainya hari ini.

    “Salam. Saya akan hantar kenyataan dalam masa terdekat,” katanya secara ringkas lapor Berita Harian.

    Kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen Ke-14.

    Ia selaras Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, apabila Yang di-Pertuan Agong bertindak menurut budi bicara baginda untuk memperkenankan permintaan itu.

  • PRU-15: Zahid paling gembira  namun penganalisis ramal rakyat akan keluar mengundi

    PRU-15: Zahid paling gembira namun penganalisis ramal rakyat akan keluar mengundi

    SELEPAS pelbagai spekulasi berhubung tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), akhirnya tanda tanya tersebut terjawab selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan secara rasmi Parlimen terbubar.

    Walaupun berdepan tentangan daripada pelbagai pihak, namun nampaknya kehendak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi lebih diutamakan berbanding kehendak rakyat yang semakin terbeban dengan kesulitan hidup dan juga tidak lama lagi musim banjir pula bakal tiba.

    Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata individu paling gembira dengan keputusan pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri adalah Zahid kerana selama ini desakan supaya PRU-15 disegerakan berpunca daripada Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut.

    “Suasana politik yang bodoh masih kelihatan jelas, Zahid Hamidi paling gembiralah sebab kehendak dia dah dapat.

    “Bagi pembangkang mereka tidak setuju tapi sekarang sudah bubar Parlimen, jadi suka atau tak suka mereka kena pergi berperang juga lah,” katanya semasa dihubungi Agenda Daily.

    Pembubaran Parlimen pada mulanya ditentang blok pembangkang, termasuk juga parti komponen dalam kerajaan yang berpendirian tidak sesuai diadakan pada ketika bencana banjir diramalkan berlaku pada hujung tahun ini.

    Namun, Ismail Sabri tidak dapat menahan lebih lama desakan bosnya, Zahid apabila hampir saban minggu mengadakan himpunan raksasa dengan menghimpunkan penyokong parti untuk memberi tekanan kepadanya.

    Ditanya berhubung peratusan pengundi yang rendah semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang lalu, Salawati berkata situasi sudah berubah apabila orang ramai sudah menjalani kehidupan seperti biasa sekarang dan meramalkan pengundi baharu atau muda bakal mengubah corak pola pilihan raya kali ini.

    “Satu benda yang sukar untuk kita ramal adalah budak umur 18 tahun, enam juta pengundi. Demografi kita akan jadi sangat berbeza, lagipun pada saya budak-budak ni kita tak boleh nak predict apa ada dalam kepala mereka.

    “Pada saya sebenarnya tiada siapa yang takut nak pergi mengundi, semua orang nak pergi mengundi jadi sekarang ni pun rakyat memang nak mengundilah sebab sudah bubar… cuma macam orang rasa tak adil lah kalau kawasan yang dah kena banjir itu macam mana.

    “Memang ramailah yang akan keluar (mengundi) sebab dah bosan sangat dengan keadaan Malaysia ni. Walaupun ua-dua pun sebenarnya tak boleh pakai, tapi kita terpaksa pilih jugalah di antara dua itu,” katanya lagi.

    Salawati menggesa orang ramai agar turun mengundi menunaikan tanggungjawab mereka jika mahu melihat keadaan negara menjadi lebih baik memandangkan keadaan mencabar pada tahun depan yang bakal dihadapi negara.

    “Kita sebenarnya kita nak pastikan negara kita lebih baik, kalau boleh biar saja yang betul-betul berkaliber dapat jadi menteri, dapat pulihkan ekonomi.

    “Ekonomi teruk, duit (ringgit) pun menyusut. Rakyat sebenarnya nak makan tak nak lagi dibeban dengan masalah kewangan, OPR (kadar jangka masa panjang) yang naik berganda-ganda, berapa kali setahun.

    “Jadi kalau kerajaan berjaya wujudkan ekonomi yang bagus, pekerjaan yang banyak, saya rasa siapa pun jadi kerajaan rakyat akan gembira,” ujarnya lagi.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan menentukan tarikh penting bagi PRU-15 pada 20 Oktober ini.

  • Bomba bantu potong cincin di kemaluan lelaki

    Bomba bantu potong cincin di kemaluan lelaki

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang lelaki berusia 29 tahun terpaksa mendapatkan khidmat pihak hospital bagi mengeluarkan sebentuk cincin yang tersangkut di kemaluannya, awal pagi ini.

    Usaha itu bagaimanapun turut memerlukan khidmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terpaksa dipanggil ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar bagi urusan memotong cincin tersebut kira-kira pukul 12.45 pagi tadi.

    Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain, kerja-kerja memotong cincin tersebut memakan masa kira-kira 15 minit.

    “Sebaik menerima panggilan, pihak kami terus menuju ke hospital bagi memberikan khidmat khas membantu petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    “Setibanya di hospital, pihak kami mendapati terdapat cincin yang tersekat di kemaluan seorang lelaki. Kami memerlukan masa kira-kira 15 minit untuk memotong cincin tersebut,” katanya

  • 12 Menteri PN hanya suarakan kebimbangan rakyat, Saifuddin bidas PM

    12 Menteri PN hanya suarakan kebimbangan rakyat, Saifuddin bidas PM

    TINDAKAN 12 orang Menteri Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini hanyalah bagi menyuarakan kebimbangan rakyat agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak dilaksanakan dalam musim tengkujuh, yang mana berkemungkinan berlaku banjir.

    Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, rakyat mahu kerajaan memberi sepenuh tumpuan kepada langkah-langkah pemulihan ekonomi, mengawal kenaikan harga barang dan menyediakan peluang pekerjaan.

    Menurutnya, PN akan terus mendahulukan kepentingan rakyat, terutamanya dalam tempoh yang mencabar ini.

    “Ini merupakan antara sebab mengapa Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan Skuad Prihatin Nasional khusus untuk berdepan bencana banjir semasa Majlis Pelancaran Jentera Perikatan Nasional Pahang baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan, memetik laporan Berita Bersatu hari ini.

    Saifuddin yakin rakyat mengetahui alasan sebenar mengapa Perdana Menteri mahu mengadakan PRU-15 dalam masa terdekat.

    Ia tidak lain berpunca daripada tekanan dan desakan oleh Presiden UMNO.

    Justeru, tambahnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob usahlah mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah yang dihadapinya itu.

  • Kapal tunda dinaiki 16 kru warga China ditahan ceroboh perairan negara

    Kapal tunda dinaiki 16 kru warga China ditahan ceroboh perairan negara

    SEBUAH kapal tunda yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Sekinchan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor pada pukul 1.30 petang semalam.

    Pengarah Maritimnya, Kepten V. Siva Kumar berkata, penahanan itu hasil maklumat Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang yang mengesan kedudukan kapal dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 16.7 batu nautika barat daya Sekinchan pukul 11.01 pagi.

    “Hasil siasatan pihak Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) memaklumkan, bot tunda itu tidak mempunyai kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

    “Bot Maritim Malaysia BENTENG 01 yang sedang melaksanakan rondaan telah diatur gerak ke lokasi seterusnya menahan kapal tunda berkenaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Siva Kumar memberitahu, hasil pemeriksaan awal mendapati kapal tunda itu dikendalikan oleh 16 kru warga China yang kesemuanya mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

    Bagaimanapun katanya, nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.

    “Pemeriksaan mendapati kapal tunda itu melakukan kesalahan melanggar peraturan di bawah Seksyen 491B (1) (L) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

    “Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,” ujar beliau.

    Tambahnya, perintah penahanan ke atas kapal tersebut dikeluarkan dan kapten serta seorang kru kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

    “Maritim Malaysia memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan kesejahteraan perairan negara sentiasa terpelihara,” jelas beliau.

    Jika terdapat aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah Maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan MERS 999 untuk maklum balas segera

  • PRU15: Undi awal wajar diperluas, kurangkan kesulitan

    PRU15: Undi awal wajar diperluas, kurangkan kesulitan

    KEBENARAN mengundi awal perlu duperluaskan
    apabila Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bakal diadakan ketika musim tengkujuh yang mengundang pelbagai kemungkinan.

    Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai berkata, pengundian awal dapat mengurangkan risiko gangguan kelancaran pelaksanaan proses demokrasi di hari kemuncak, agar keterlibatan seluruh rakyat itu dapat dijamin.

    Katanya, isu yang menyelubungi undi pos terutamanya, dapat diselesaikan menerusi pengundian awal, supaya tiada lagi masalah kertas undi lambat sampai atau sampai selepas hari mengundi.

    “Undi awal masih undi yang sah dan tak boleh kata ia salah, ia tetap dikira.

    “Kalau kita lakukan undi awal di beberapa tempat di luar negara, mungkin kita boleh kurangkan sedikit beban yang digalas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “Kita sedar, mereka pun ada kekangan tenaga kerja,” ujarnya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Menurutnya, isu kedua yang boleh diatasi dengan pengundian awal adalah keterbatasan waktu para petugas barisan hadapan kesihatan misalnya, untuk membuang undi sekiranya mereka ditugaskan di kawasan terjejas.

    Katanya, mereka ini tidak boleh mengambil cuti atau mungkin terpaksa bekerja sepenuh masa, maka tiada kesempatan untuk melunaskan tanggungjawab mereka dalam proses demokrasi negara.

    “Ini juga sebagai langkah berjaga-jaga. Kita risau kalau ramai sangat datang berpusu-pusu ke tempat mengundi, ia akan meningkatkan risiko penularan wabak Covid-19,” jelasnya.

    Mungkin ada beberapa perkara dalam perlembagaan SPR yang perlu dipinda, katanya.

    Begitupun, jelas Tharma, langkah peluasan kebenaran pengundian awal itu amat diharapkan untuk memastikan pilihan raya di negara ini lebih selamat, efektif dan mewakili suara seluruh rakyat Malaysia.

  • ‘’Ismail tidak bertanggungjawab salahkan saya dan menteri PN’’ – Muhyiddin

    ‘’Ismail tidak bertanggungjawab salahkan saya dan menteri PN’’ – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata adalah “tidak bertanggungjawab” untuk Perdana Menteri menyalahkan beliau dan menteri daripada Perikatan Nasional (PN) kerana mengakibatkan kerajaan tidak dapat dipertahankan dan memaksa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen.

    Muhyiddin berkata Ismail menuding jari itu kepada PN kerana Barisan Nasional (BN) dan UMNO sedang menghadapi serangan teruk daripada orang ramai kerana pilihan raya umum akan diadakan ketika musim banjir.

    “Tetapi mereka tidak boleh menyalahkan sesiapa. Mereka sendiri perlu bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu, lapor portal FMT.

    Presiden Bersatu itu bagaimanapun berkata beliau tidak mahu memanjangkan pertikaian kerana Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenan pembubaran parlimen.

    Awal hari ini, Ismail memetik surat 12 menteri daripada PN kepada Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan pendirian mereka membantah pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini, dan pengisytiharan Muhyiddin bahawa BN adalah musuh PN pada pilihan raya.

    Pengisytiharan Muhyiddin, kata Ismail telah memecahbelahkan kerajaan, kerana PN adalah sebahagian daripada pentadbirannya.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, gabungan itu hanya menyuarakan kebimbangan rakyat terhadap PRU15 yang akan diadakan tahun ini dengan mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong.

    “Dan saya sebenarnya ada perjanjian dengan Ismail ketika beliau mengambil alih kerajaan bulan Ogos tahun lalu. Antara kandungannya ialah perbincangan perlu diadakan bersama PN sekiranya ingin membubarkan Parlimen,” tambahnya.

    Katanya, ini kerana gabungan itu merupakan komponen terbesar dalam kerajaan.

    “Jadi sekarang apabila dia (Ismail) menerima serangan, dia salahkan saya, dan juga menteri-menteri PN. Adakah ia adil? Itu tak wajar. Mereka patut salahkan (diri) sendiri, dan juga menanggung beban orang yang tidak puas hati terhadap mereka,” katanya.