TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata adalah “tidak bertanggungjawab” untuk Perdana Menteri menyalahkan beliau dan menteri daripada Perikatan Nasional (PN) kerana mengakibatkan kerajaan tidak dapat dipertahankan dan memaksa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen.

Muhyiddin berkata Ismail menuding jari itu kepada PN kerana Barisan Nasional (BN) dan UMNO sedang menghadapi serangan teruk daripada orang ramai kerana pilihan raya umum akan diadakan ketika musim banjir.

“Tetapi mereka tidak boleh menyalahkan sesiapa. Mereka sendiri perlu bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu, lapor portal FMT.

Presiden Bersatu itu bagaimanapun berkata beliau tidak mahu memanjangkan pertikaian kerana Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenan pembubaran parlimen.

Awal hari ini, Ismail memetik surat 12 menteri daripada PN kepada Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan pendirian mereka membantah pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini, dan pengisytiharan Muhyiddin bahawa BN adalah musuh PN pada pilihan raya.

Pengisytiharan Muhyiddin, kata Ismail telah memecahbelahkan kerajaan, kerana PN adalah sebahagian daripada pentadbirannya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, gabungan itu hanya menyuarakan kebimbangan rakyat terhadap PRU15 yang akan diadakan tahun ini dengan mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Dan saya sebenarnya ada perjanjian dengan Ismail ketika beliau mengambil alih kerajaan bulan Ogos tahun lalu. Antara kandungannya ialah perbincangan perlu diadakan bersama PN sekiranya ingin membubarkan Parlimen,” tambahnya.

Katanya, ini kerana gabungan itu merupakan komponen terbesar dalam kerajaan.

“Jadi sekarang apabila dia (Ismail) menerima serangan, dia salahkan saya, dan juga menteri-menteri PN. Adakah ia adil? Itu tak wajar. Mereka patut salahkan (diri) sendiri, dan juga menanggung beban orang yang tidak puas hati terhadap mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here