Author: Wartawan WartaRakyat

  • PN serah nama calon PRU-15 Ahad ini

    PN serah nama calon PRU-15 Ahad ini

    Oleh BADLISHAH MAT

    SENARAI nama calon-calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi Perikatan Nasional (PN) Kedah akan dihantar kepada peringkat Pusat pada Ahad ini untuk dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon.

    Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ia susulan proses pembahagian kerusi antara komponen gabungan itu untuk bertanding di kerusi Parlimen telah diselesaikan pihaknya.

    Beliau berkata, PN di negeri-negeri lain juga akan menghantar senarai nama calon masing-masing pada tarikh yang sama.

    “Kita sudah selesai (membahagikan kerusi), pada 16 Oktober ini akan serah senarai nama kepada PN pusat.

    “Calon-calonnya semua kacak, comel-comel dan lawa-lawa (serta) kesemua calonnya 100 peratus muda kalau dibandingkan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya secara berseloroh ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Sungai Petani, Kedah hari ini.

    Pada 20 Oktober ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat bagi menetapkan tarikh-tarikh penting PRU-15 termasuk penamaan calon, pengundian awal dan hari mengundi sebenar susulan pembubaran Parlimen pada Selasa lalu.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menerima keputusan Pas pusat untuk kekal tidak membubarkan DUN di tiga negeri dikuasai mereka termasuk Kedah.

    “Kita akur dengan keputusan parti, bubar atau tidak bergantung kepada Pas pusat,” katanya.

    Pada Jumaat lalu, beliau membuat penegasan bahawa DUN Kedah tidak akan dibubarkan sebelum Mac 2023 meskipun Parlimen dibubarkan lebih awal untuk memberi laluan kepada PRU-15.

    Menurutnya, perkara itu telah disembah maklum kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sewaktu menghadap secara dalam talian pada Selasa.

    Pas Kedah kini menyandang tiga kerusi Parlimen di negeri itu iaitu Pendang, Jerai dan Sik yang dimenangi pada PRU-14, manakala tiga kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah kini terlepas kepada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) susulan tindakan Ahli Parlimennya keluar parti.

    Kerusi tersebut adalah Langkawi, Jerlun dan Kubang Pasu.

  • ‘Saya akan buat lagu baharu, raya tahun depan’ – Aliff Syukri

    ‘Saya akan buat lagu baharu, raya tahun depan’ – Aliff Syukri

    USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Aliff Sukri Kamarzaman yang merancang menghasilkan lagu baharu pada hari raya tahun depan.

    “Doakan yang baik-baik sahaja, saya akan keluarkan lagu baharu pada hari raya nanti, Insya-Allah tahun hadapan.

    “Saya maklumkan sekali lagi, apa saya buat ini hanya hiburan semata-mata, saya pun tidak boleh cakap lebih sebab kes masih dalam perbicaraan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Aliff Syukri ditemui pemberita selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di Sepang hari ini atas empat pertuduhan membuat video bersifat sumbang, April lalu.

    Terdahulu beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas empat pertuduhan membuat video tersebut, enam bulan lalu.

    Beliau dituduh telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang sumbang sifatnya, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi aplikasi Instagram, di akaun ‘aliffsyukriterlajaklaris’.

    Sebelum ini, video muzik lagu raya nyanyian Aliff Syukri yang mempunyai unsur komedi dianggap tidak kelakar oleh masyarakat sebaliknya menjadi bahan cemuhan gara-gara aksi lembut sekumpulan penari lelaki.

    Video berdurasi lima minit 23 saat dianggap netizen telah mencemari sambutan Aidilfitri dengan gaya keterlaluan oleh penari lelaki lembut berkenaan.

    Malah, ada yang menyifatkan tarian dalam video muzik itu sebagai satu cara halus menormalisasikan penyimpangan fitrah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

    Mengulas lanjut, Aliff Syukri yang ditemui selepas membayar ikat jamin sebanyak RM20,000 berkata, video baharu itu nanti dibuat sekadar suka-suka kerana minatnya yang mendalam dalam bidang muzik.

    Ditanya sama ada timbul rasa serik untuk membuat video baharu selepas didakwa di mahkamah, beliau yang terkenal dengan slogan ‘terlajak laris’, hanya menjawab, semua itu sekadar hobi dan tidak menyangka perkara berkenaan berlaku sehingga ke tahap ini.

    Ahli perniagaan berusia 35 tahun ini juga memohon agar semua pihak mendoakan perkara-perkara yang baik kerana beliau telah melaksanakan tugas sebagai rakyat Malaysia.

  • Cadang Sabtu dipilih hari mengundi-Dr. Radzi

    Cadang Sabtu dipilih hari mengundi-Dr. Radzi

    MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menetapkan hari pembuangan undi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada cuti sekolah khususnya pada Sabtu bagi mengelak operasi sekolah terjejas.

    “Memandangkan jangkaan hari mengundi bagi PRU-15 dibuat bukan pada musim cuti persekolahan, maka akan banyak bilik darjah dan ruangan di sekolah akan digunakan sebagai saluran tempat mengundi,” katanya.

    Beliau berkata demikian ditemui media selepas membuat pelepasan peserta PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) Peringkat Putrajaya-Genting Highlands di Dataran Putrajaya, di Putrajaya, hari ini.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bergambar bersama para sukarelawan selepas hadir melepaskan para pelumba Le Tour De Langkawi (LTDL) di Dataran Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    SPR dalam kenyataan kelmarin memaklumkan akan bermesyuarat pada 20 Oktober ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting bagi PRU-15 termasuk hari penamaan calon, pengundian awal serta hari mengundi.

    Dr. Radzi berkata, biasanya secara umum pilihan raya dibuat pada cuti hari minggu dan turut berharap PRU-15 juga dibuat demikian.

    “Kita berharap begitulah untuk kali ini supaya tidak menjejaskan operasi sekolah. Buat Sabtu itu bagi memudahkan. Sebab kalau Ahad lain pula, ada negeri bersekolah hari itu.

    “Tapi kita tak tahu tarikh yang akan ditetapkan SPR. Apa yang penting, kalau operasinya pada Sabtu, ini adalah perkara yang kita sudah lalui seperti pilihan raya sebelum ini. Cuma kalau hari bersekolah itu akan terjejas operasi sekolah pada hari berkenaan,” katanya.

    Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) ada membuat perbincangan dengan SPR mengenai penggunaan sekolah, tetapi bukan secara khusus berhubung penggunaannya pada hari bersekolah.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin GAMBAR: Warta Rakyat

    “Perlu diingat, (tempoh) SPR untuk menyediakan tempat ini juga bukan sehari. Penyediaan tempat mungkin akan ambil masa sehari sebelumnya.

    “Sebab itu, kalau ianya diadakan pada Sabtu memudahkan semua orang termasuk pihak sekolah dan ibu bapa. Perkara begini SPR lebih maklum dalam membuat keputusan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • JAS ambil tindakan kilang penyaduran logam cemar udara

    JAS ambil tindakan kilang penyaduran logam cemar udara

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan terhadap sebuah kilang penyaduran logam di Tanjung Langsat di Pasir Gudang selepas didapati melepaskan pencemaran ke udara.

    JAS dalam satu kenyataan memberitahu, tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) itu dilakukan menerusi operasi yang dijalankan JAS Johor dan Pasir Gudang.

    “POK yang dilakukan kelmarin itu di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, kerana berlaku pelepasan pencemaran ketara.

    “Alat kawalan udara dan efluen di premis terbabit tidak berfungsi dan gagal beroperasi dengan baik.

    Tindakan POK diambil JAS bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku dan premis diarahkan untuk mengambil tindakan pembaikan dalam tempoh berkenaan

    “Malah, terdapat kawasan proses pengeluaran beroperasi tanpa alat kawalan, buangan terjadual tidak diuruskan dengan betul di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

    “Tindakan POK diambil bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku dan premis diarahkan untuk mengambil tindakan pembaikan dalam tempoh POK berkenaan,” kata kenyataan itu.

    Kenyataan itu berkata, persampelan efluen dan bahan buangan terjadual daripada premis itu sudah dijalankan untuk tindakan penguatkuasaan selanjutnya.

    “Seramai 10 anggota penguatkuasa dari JAS Cawangan Pasir Gudang dan JAS Johor terbabit dalam pemeriksaan berkenaan yang bermula jam 10 pagi dan berakhir jam 1 pagi.

    “Semua premis industri diingatkan supaya sentiasa mematuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya dan tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku kesalahan mencemarkan alam sekitar,” katanya.

  • PRU-15: Pas putuskan kekal bersama PN, tidak bubar 3 DUN

    PRU-15: Pas putuskan kekal bersama PN, tidak bubar 3 DUN

    MESYUARAT Jawatankuasa Kerja Pas Pusat hari ini memutuskan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Keputusan yang dinanti-nantikan oleh banyak pihak itu diumumkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan selepas mesyuarat tersebut.

    ‘’Pas akan memuktamadkan perbincangan kerusi-kerusi di negeri Perikatan Nasional,’’ kata beliau.

    Selain itu Abdul Hadi berkata, Pas juga mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undanga Negeri (DUN) Kelantan,Terengganu dan Kedah.

  • Wanita mengaku tidak bersalah curi barang kemas RM27,000

    Wanita mengaku tidak bersalah curi barang kemas RM27,000

    SEORANG peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan mencuri barangan kemas bernilai RM27,000 di sebuah kedai, 12 September lalu.

    Tertuduh, Anizan Sani, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri empat utas rantai dan sebentuk cincin.

    Perbuatan itu dilakukan di Kedai Rosdi Tukang Emas di Jalan Wakaf Stan di Kota Bharu, antara 12.24 tengah hari hingga 1.01 tengah hari, pada 12 September lalu.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yusnaliza Mohammad Yusoff, manakala tertuduh diwakili Mohd. Firdaus Zainal Abidin.

    Terdahulu, Yusnaliza menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dan memohon tarikh untuk serahan dokumen.

    Mohd. Firdaus dalam rayuannya memohon jaminan yang rendah memandangkan suami wanita itu yang bekerja sebagai guru sedia membayar ikat jamin.

    “Tertuduh adalah ibu kepada lima anak dan menghidap penyakit luka pada bahagian usus, darah tinggi serta kencing manis.

    “Tertuduh perlu hadir ke klinik kesihatan untuk menerima rawatan,” katanya, lapor Harian Metro.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Disember hadapan sebagai sebutan semula kes.

    Tertuduh kemudiannya membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

  • Penunggang maut rempuh lori rosak di lorong kecemasan

    Penunggang maut rempuh lori rosak di lorong kecemasan

    SEORANG penunggang motosikal maut selepas ditunggangnya merempuh sebuah lori rosak di lorong kecemasan dekat Kilometer 15, Jalan Bentong-Raub, tengah hari semalam.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa, Shamsuddin Zulkefli, 54, maut akibat kecederaan parah di kepala.

    Beliau berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian pada pukul 12.45 tengah hari.

    Katanya, siasatan mendapati sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 55 tahun telah mengalami kerosakan di bahagian enjin ketika dalam perjalanan dari Raub ke Kuala Lumpur.

    “Pemandu telah memberhentikan kenderaan di laluan kecemasan dan kira-kira 30 minit kemudian terdengar bunyi dentuman semasa lori sedang dibaiki,” katanya dalam satu kenyataan hari, lapor Utusan TV.

    Pemandu mendapati sebuah motosikal dari arah Raub telah melanggar bahagian belakang kanan lori.

    Zaiham berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Beliau menasihatkan pengguna jalan raya sentiasa memanu kenderaan dengan berhati-hati dan berhemah.

  • Jho Low kumpul dana tubuhkan TIA

    Jho Low kumpul dana tubuhkan TIA

    AHLI perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho memberitahu pegawai Ambank, beliau dan pasukannya dalam perancangan menubuhkan syarikat pelaburan strategik, bagi mengumpul dana untuk membangunkan negeri Terengganu pada tahun 2007.

    Syarikat itu merujuk kepada Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) ditubuhkan dua tahun kemudian dan dimiliki oleh Menteri Besar Terengganu Diperbadankan, dengan Sultan Terengganu yang kemudiannya menjadi Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai pemilik majoriti.

    TIA kemudian dipindahkan kepada kerajaan Persekutuan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) pada Julai 2009, dan dinamakan semula sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Pengurus Perhubungan Ambank ketika itu, Joanna Yu yang memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi hari ini berkata, apabila ditanya kepada Taek Jho sebab (pelaburan) di Terengganu, ahli perniagaan itu yang lebih dikenali dengan nama Jho Low menjawab, Tengku Datuk Rahimah Almarhum Sultan Mahmud (adinda Sultan Mizan) ketika itu sedang merancang untuk membangunkan negeri berkenaan.

    Saksi ke-40 pendakwaan itu berkata, Tengku Rahimah pada waktu itu juga pengarah di Loh & Loh Corporation.

    “Bantuan yang mereka (Jho Low dan pasukan) minta daripada bank untuk mengemuka cadangan terbitan bon bagi syarikat terbabit,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, Joanna berkata, beliau pertama kali mengenali Jho Low ketika ditugaskan oleh Chan Wan Seong (Pengarah Perhubungan Perbankan Ambank ketika itu) untuk mengendalikan pinjaman Majestic Masterpiece Sdn Bhd (Majestic) pada tahun 2007.

    Katanya, beliau diperkenal kepada Jho Low, Tan Vern Tact (pegawai TIA) dan Nik Faisal Ariff Kamil (pegawai pelaburan TIA ketika itu) oleh Wan Seong.

    Joanna berkata, Majestic yang dimiliki oleh Wynton Private Equity Group dan Abu Dhabi Kuwait Malaysia Investment Corporation (ADKMIC), pada waktu itu sedang dalam proses mengambil alih saham Loh & Loh dan Putrajaya Perdana Berhad.

    Menurut saksi, Jho Low ialah seorang pengarah Wynton.

    Katanya, tidak lama selepas pinjaman Majestic diluluskan dan pemerolehan dua entiti selesai, Jho Low memaklumkan mengenai pengumpulan dana terbabit.

    “Seingat saya, bagi cadangan terbitan bon oleh bank, ada satu mesyuarat awal diatur di antara Jho Low, Casey Tang (bekas Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1MDB) dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi (bekas CEO 1MDB) bersama pegawai Ambank dan saya serta rakan dari Bahagian Pasaran Modal Hutang.

    “Kami pada mulanya diminta memberikan cadangan untuk terbitan bon RM10 bilion dengan tempoh 30 tahun tetapi pegawai dari bahagian Perbendaharaan dan Pasaran Modal Hutang berkongsi pandangan mungkin tidak cukup pelabur bagi bon RM10 bilion, dan tempoh selama 30 tahun, juga tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.

    “Akhirnya pelanggan bersetuju mengurangkan saiz terbitan bon dengan jaminan kerajaan sebanyak RM5 bilion bagi tempoh 30 tahun. Saya tidak pasti siapa membuat keputusan supaya jaminan kerajaan dikeluarkan, tetapi setakat mana yang saya tahu, Perbendaharaan/Pasaran Modal Hutang Bank berkongsi pandangan ia mungkin diperlukan untuk bon melebihi tempoh 20 tahun.

    “Biasanya, pelanggan yang membuat keputusan muktamad mengenai struktur bon dan bagi 1MDB, pelanggan memainkan peranan penting dalam mendapatkan jaminan kerajaan untuk bon berkenaan,” katanya.

    Joanna berkata, selepas penerbitan bon itu dipersetujui, TIA membuka akaun di AmBank bagi tujuan menerima hasil daripada pengeluaran bon Nota Jangka Sederhana Islam, bagaimanapun beliau tidak pasti siapa yang mengaturkan pembukaan akaun berkenaan.

  • Lelaki dijel empat tahun, mengaku salah raba anak jiran

    Lelaki dijel empat tahun, mengaku salah raba anak jiran

    SEORANG lelaki dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di Melaka hari ini kerana meraba anak jiran berusia 12 tahun.

    Hakim Mohd. Sabri Ismail menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh yang berusia 48 tahun itu selepas dia membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

    Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didapati telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan di sebuah rumah di Tangga Batu, di Melaka, kira-kira pukul 11 malam, pada 2 Oktober lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

    Sinar Harian melaporkan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan.

    Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim bagaimanapun memohon hukuman berat diiberikan dengan mengambil kira faktor usia mangsa.

    Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bermula daripada tarikh ditangkap iaitu 9 Oktober lalu.

  • Pemandu e-hailing dihadapkan ke mahkamah bunuh kanak-kanak

    Pemandu e-hailing dihadapkan ke mahkamah bunuh kanak-kanak

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun pada 2 Oktober lalu.

    Tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh Chan Wen Jie, 28, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret R. Salini.

    Mengikut pertuduhan, Wen Jie yang bekerja sebagai pemandu e-hailing didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak berusia empat tahun.

    Dia didakwa melakukan perbuatan di alamat nombor 33, Jalan Ria, Taman Skudai Ria, Skudai pukul 8 hingga 8.30 malam pada 2 Oktober lalu.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq Sim, manakala tertuduh diwakili peguam K. Veeranesh Babu.

    Mahkamah menetapkan sebutan semula kes bagi laporan bedah siasat dan kimia pada 17 November depan.

    Pada 3 Oktober lalu, seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan maut dipercayai didera ketika di bawah jagaan kenalan bapanya serta pembantu rumah lelaki itu.

    Bapa mangsa yang bekerja di Singapura dan ibunya bekerja di Batu Pahat meminta bantuan daripada lelaki tersebut untuk menjaga dua anak mereka termasuk mangsa sejak tiga bulan lalu.

    Sementara itu, di mahkamah yang sama seorang pembantu rumah warga Indonesia, mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.

    Yuliana 40, didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi yang sama pada kira-kira jam 10.15 pada 3 Oktober lalu yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

    Mahkamah kemudiannya, menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas tertuduh.