Author: Wartawan WartaRakyat

  • Polis tahan dua pencuri kabel telekomunikasi

    Polis tahan dua pencuri kabel telekomunikasi

    POLIS menahan dua individu yang terbabit dalam kejadian kecurian kabel telekomunikasi di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Isnin lalu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mereka ditahan dalam serbuan dilakukan kira-kira pukul 5 pagi oleh sepasukan anggota polis selepas menerima maklumat awam.

    “Orang mawam memaklumkan kehadiran dua individu dalam keadaan mencurigakan. Dua lelaki berusia 24 dan 43 tahun itu ditahan sedang mencuri kabel utama milik sebuah syarikat telekomunikasi.

    “Salah seorang suspek berjaya ditahan di lokasi, manakala rakannya bertindak melarikan diri dengan sebuah lori yang turut digunakan dalam kegiatan terbabit selepas menyedari kehadiran polis.

    “Bagaimanapun, suspek yang melarikan diri itu berjaya ditahan ketika bersembunyi di dalam longkang selepas lori yang dipandunya melanggar kenderaan lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Petaling Jaya, hari ini.

    Katanya, pemeriksaan dalam lori berkenaan menemui peralatan termasuk tiga mesin gergaji besi, sembilan kon, dua tukul besi, satu guni berisi tali tunda, kabel utama sepanjang 100 meter, pelbagai papan, tangga dan penjana kuasa.

    “Selain itu, polis turut menemui dua baton lampu, pemotong kabel, kuku kambing dan cangkul selain dua Mykad milik individu lain,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

    Menurutnya, semakan mendapati suspek berusia 24 tahun tidak mempunyai rekod jenayah, manakala rakannya pula memiliki empat rekod jenayah.

    Katanya, kesemua peralatan, lori dan dua kereta dipercayai milik suspek dirampas untuk membantu siasatan.

    “Kedua-dua suspek direman empat hari mulai kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 25(1)(n) Akta Pendaftaran Negara kerana memiliki kad pengenalan individu lain,” katanya.

  • Keputusan Pas beri suntikan semangat kepada PN – Muhyiddin

    Keputusan Pas beri suntikan semangat kepada PN – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin  amat menghargai keputusan Jawatankuasa Pas Pusat untuk memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Beliau yang juga Pengerusi PN berkata, keputusan ini memberikan suntikan semangat kepada PN untuk bergerak dengan lebih tersusun dan bersatu-padu  dalam meraih sokongan rakyat.

    ‘’Secara peribadi saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas dan rakan-rakan pimpinan Pas yang terus istiqamah mempertahankan kerjasama Pas dalam Perikatan Nasional.

    ‘’Saya mendoakan semoga Perikatan Nasional mendapat mandat rakyat dalam PRU-15 untuk membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar memberi tumpuan kepada kesejahteraan dan kemakmuran rakyat,’’ katanya.

  • Bayi baru dilahirkan ditemukan dalam tong sampah

    Bayi baru dilahirkan ditemukan dalam tong sampah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemukan dalam tong sampah dengan kesan darah di kawasan kediaman One Tebrau, Jalan Setanggi, Taman Seri Setanggi, Johor Bahru pada 1 Oktober lalu.

    Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah (JKM) Johor Bahru, Adnan Md. Yassin berkata, bayi perempuan berkenaan ditemukan oleh seorang pengawal keselamatan di kawasan kediaman tersebut.

    “JKM menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.50 petang pada hari berkenaan berkaitan penemuan bayi yang tidak dikenal pasti jantina.

    “Pengawal keselamatan berkenaan berasa curiga apabila mengesan objek yang bergerak di dalam tong sampah Roro dan mendapati ia adalah bayi.

    “Pemeriksaan mendapati jantina bayi itu adalah perempuan, masih bertali pusat dan tidak memiliki uri dipercayai dipotong sendiri oleh ibu kandungnya.

    “Malah tubuhnya agak kemerahan dan awalnya disangka kesan gigitan semut namun apabila diteliti ia didapati kesan baharu dilahirkan.

    “Tiada sebarang dokumen berkaitan bayi mahupun ibunya ditemukan di lokasi berkenaan.

    “Bayi berkenaan kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi mendapatkan rawatan sesuai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    PELINDUNG kanak-kanak JKM, Zaid Ikhwan Lim bersama bayi yang ditemukan dalam tong sampah

    Adnan berkata, bayi berkenaan dibenarkan keluar dari wad semalam dan ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-kanak Johor menerusi subseksyen 25(2) Akta Kanak-kanak 2001.

    Menurutnya, bayi berkenaan dinamakan sebagai Lilyan Aleena dan kini berusia 12 hari.

    “JKM ingin meminta bantuan orang ramai bagi mengesan waris bayi berkenaan yang kini dalam keadaan sihat.

    “JKM berharap keluarga bayi berkenaan tampil bagi membincangkan masa depannya dengan secepat mungkin.

    “Bagi maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian Pelindung kanak-kanak JKM, Zaid Ikhwan Lim di talian 07-2232606, 07-2232607 atau 0111-7535394,” katanya.

  • Selagi hidup saya akan terus berjuang – Tun Mahathir

    Selagi hidup saya akan terus berjuang – Tun Mahathir

    TUN Dr.Mahathir Mohamad menegaskan, perjuangan menentang kleptokrat dan penyamun negara adalah satu ibadah.

    Justeru tegas  bekas Perdana Menteri itu, sebagai pemimpin beliau tidak boleh duduk diam mengarah dan menyuruh orang melakukan tanpa beliau sendiri turut melakukannya.

    ‘’ jika saya mahu orang lain berjuang menentang kleptokrat dan penyamun-penyamun negara saya mesti turut serta. Selagi hidup saya akan terus berjuang dan perjuangan ini masih belum selesai,’’ katanya dalam satu klip video hari.

    Beliau  mengulas kritikan netizen dalam media sosial yang mempersoalkan kenapa mahu bertanding lagi mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi biarpun sudah berusia 97 tahu.

    Dr.Mahathir berkata, beliau sedar ada yang persoal kenapa  perlu bertanding lagi di dalam pilihan raya.

    ‘’Tidak kurang juga yang suruh saya duduk di masjid dan buat ibadat atau duduk di rumah bermain dengan anak cucu.Pertamanya, saya masih hidup dengan rahmat Allah. Bagi saya umur panjang beri peluang kepada saya untuk terus berjuang. Tidak ada perjuangan yang lebih baik selain daripada berjuang  untuk agama, bangsa dan tanah air,’’ katanya.

    Sehubungan itu Dr.Mahathir berkata, beliau percaya perjuangan tersebut juga adalah satu ibadah.

    ‘’Seperti mana yang saya diwajibkan melakukan ibadah, sama ada di masjid mahupun ibadah-ibadah yang lain. Bagi saya  perjuangan itu satu ibadah dan tiada persaraan apabila melaksanakan ibadah. Itu termasuklah meneruskan perjuangan. Sebagai pemimpin saya tidak boleh duduk mengarahd dan menyuruh orang melakukan sesuatu tanpa saya sendiri turut melakukannya.

  • Pemandu Bezza cedera dalam kemalangan 4 kenderaan di Tambak Johor

    Pemandu Bezza cedera dalam kemalangan 4 kenderaan di Tambak Johor

    SEORANG pemandu Perodua Bezza cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di laluan Tambak Johor-Singapura, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan melibatkan sebuah lori, sebuah treler, dan dua buah kereta jenis Toyota Mark X dan Perodua Bezza.

    Beliau berkata, dalam kejadian pukul 9.07 pagi itu, sebuah lori muatan pasir dari arah Bangunan Sultan Iskandar ke Singapura telah hilang kawalan lalu melanggar Toyota Mark X.

    “Akibat kejadian itu, Toyota Mark X kemudian merempuh sebuah treler lalu menyebabkan treler terdorong ke hadapan dan melanggar Perodua Bezza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, ekoran kejadian tersebut, pemandu Perodua Bezza telah tersepit dan berjaya dibawa keluar oleh pihak bomba.

    “Mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi menerima rawatan manakala pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.

    Tambahnya, semua kenderaan yang terlibat didaftarkan di Malaysia dan mangsa adalah warganegara tempatan.

    Katanya, kes kini disiasat dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Hafiz Jaafar Mad Arif di talian 017-5919208.

  • Penarik kereta didakwa miliki pistol, peluru hidup

    Penarik kereta didakwa miliki pistol, peluru hidup

    PENARIK penarik kereta didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas tiga pertuduhan memiliki sepucuk pistol bersama peluru hidup dan pistol tiruan pada 27 September lalu.

    Hendrawan Aswan, 34, mohon dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

    Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Colts MK IV 70 Automatic Caliber berwarna perak dengan menyalahi undang-undang.

    Perbuatan itu dilakukan dalam sebuah kereta Proton Persona Proton Saga BLM di hadapan rumah No 476, Jalan Desa Bayan 14, Taman Desa Bayanmas Bukit Kayu Hitam, pada pukul 1.30 petang 27 September.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (PLB) Penalti Lebih Berat 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.

    Sementara bagi pertuduhan kedua tertuduh didakwa memiliki lima biji peluru jenis A USA 45 Auto yang disembunyikan di belakang katil di dalam bilik tidur di dalam rumah di lokasi, waktu dan tarikh sama.

    Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Sementara bagi pertuduhan ketiga Hendrawan didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan jenama 18C Tactical 9X19 berwarna hitam bersama satu kelopak pistol WE Tactical buatan Taiwan berisi dua butir peluru bebola besi diletakkan di dalam almari di ruang tamu rumah.

    Bagi kesalahan itu dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dimana hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syifa Mohd hamzah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Nur Syifa tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana memiliki sepucuk pistol menyalahi undang-undang.

    Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Pengarah, bekas timbalan pengarah Maqis ditahan SPRM

    Pengarah, bekas timbalan pengarah Maqis ditahan SPRM

    SEORANG pengarah dan bekas timbalan pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu pembekalan makanan haiwan.

    Sumber SPRM memberitahu, kedua-dua individu tersebut direman selama seminggu sehingga Rabu depan.

    “Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Tuan Mohd Izdham Naim Che Ani di Mahkamah Majistret di Kota Bharu hari ini.

    “Pengarah Maqis yang berusia 44 tahun itu ditahan pukul 8.45 malam tadi di pejabat SPRM Kelantan di sini.

    “Lelaki itu direman bermula hari ini sehingga Rabu depan untuk siasatan lanjut,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurut sumber, bekas timbalan pengarah Maqis berusia 55 tahun ditahan pukul 7 malam kelmarin di pejabat SPRM Kelantan.

    Sumber berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan selepas dipercayai berpakat dengan pembekal bagi mengemukakan tuntutan yang mengandungi butiran matan palsu berhubung pembekalan makanan haiwan kepada Maqis Kelantan pada Januari dan Mac lalu.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana membuat tuntutan palsu.

  • Pemberian bantuan RMT tahun ini tidak terjejas – Radzi

    Pemberian bantuan RMT tahun ini tidak terjejas – Radzi

    PEMBERIAN bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang telah dinaikkan kepada RM3.50 dan RM4 mulai bulan ini tidak akan terjejas walaupun Bajet 2023 belum diluluskan Dewan Rakyat.

    Jaminan itu disuarakan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin yang mengatakan kenaikan kadar itu tidak menggunakan peruntukan untuk tahun hadapan.

    Sebaliknya, Radzi menjelaskan, ia menggunakan dana sedia ada untuk tahun ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi meneliti kaedah pelaksanaan terbaik untuk tahun ini.

    “Kita sedang kaji dan melihat di peringkat kementerian tentang apakah pendekatan yang kita akan gunakan.Apabila kita akan laksanakan untuk tahun ini, ada peruntukan telah disediakan.

    “Secara umumnya, kita sedang berbincang (jumlah) peruntukan tersebut. Biasanya bila diumumkan itu telah ada peruntukan untuk perkara tersebut dan akan duduk bincang semula dengan Kementerian Kewangan apakah kaedah pelaksanaan untuk tahun ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas membuat pelepasan peserta Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat ketiga Putrajaya – Genting Highlands di Dataran Putrajaya, hari ini.

    Minggu lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 mengumumkan kenaikan kadar bantuan RMT buat semua penerima berkuat kuasa bulan ini.

    Menurut beliau, kadar RMT dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk murid-murid di Semenanjung.

    Kadar RMT untuk murid-murid di Sabah, Sarawak dan Labuan pula akan ditambah daripada RM3 kepada RM4.

    Sejumlah RM777 juta disediakan iaitu peningkatan signifikan berbanding RM280 juta pada 2020.

    Lebih 800,000 murid dan 7,300 pengusaha makanan serta pembekal susu tempatan akan menerima manfaat daripada penambahbaikan bantuan RMT itu.

  • Pas Pahang arah logo PN diperkenalkan secara meluas

    Pas Pahang arah logo PN diperkenalkan secara meluas

    PAS Pahang mengarahkan agar logo Perikatan Nasional (PN) diperkenalkan secara meluas bermula sekarang.

    Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Abdul Jabar berkata, arahan itu dikeluarkan selepas Pas Pusat memperkukuhkan kerjasama dalam PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas prinsip penyatuan ummah.

    “Ini bermaksud Pas Pahang akan bertanding di dalam PRU 15 di atas tiket PN. Logo yang bakal digunakan oleh Pas ialah logo PN.

    “Jadi, logo ini mestilah diperkenalkan secara meluas dari sekarang di dalam apa sahaja medium sama ada media cetak atau media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau menjelaskan, Pas Pahang amat berharap kepada semua ahli yang memiliki sebarang akaun media agar menukar profil berimejkan PN.

    “Semoga Allah permudahkan segala urusan kita dan diberikan kekuatan untuk bekerja keras bagi merealisasikan hala tuju tema PN Teraju Pahang,” ujar beliau.

  • Jumpa mayat reput: Disyaki ada padanan kes orang hilang

    Jumpa mayat reput: Disyaki ada padanan kes orang hilang

    MAYAT reput yang ditemukan berhampiran lokasi kemalangan di Jalan Besar Tambun, di Ipoh semalam disyaki ada kaitan dengan padanan kes orang hilang.

    Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri, pihaknya menemui padanan tersebut, setelah semakan dibuat berhubung penemuan mayat berkenaan.

    “Saya telah menubuhkan satu pasukan khas untuk membuat meneruskan siasatan dengan lebih mendalam, selepas kita mendapat laporan daripada pihak forensik berkenaan dengan sebab kematian.

    “Ada (padanan kes orang hilang), kita pun telah semak rekod sistem orang hilang dan didapati ada ‘match’ (sepadan) dengan satu kes orang hilang,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Taman Angkat Amanita PDRM Perak di Tapak Pekan Rabu Langkap, di Teluk Intan, hari ini.

    Sementara itu, ketika ditanya sama ada mayat itu dibunuh di lokasi berbeza sebelum dibuang di kawasan tersebut, Mohd. Yusri tidak menolak kemungkinan berkenaan.

    “Kemungkinan itu ada, bagaimanapun siasatan masih sedang dijalankan untuk kita mengenal pasti punca kematian, kenapa dibunuh dan di mana lokasi sebenarnya dibunuh.

    “Memang lama (sudah meninggal dunia) dipercayai sudah melebihi dua minggu, warga tempatan atau tidak itu masih lagi dalam siasatan polis,” katanya lagi.

    Semalam media melaporkan, hasil bedah siasat terhadap mayat reput yang ditemui berhampiran lokasi kemalangan di Jalan Besar Tambun, menunjukkan punca kematian adalah disebabkan dicekik.

    Mohd. Yusri berkata sehubungan itu, kes berkenaan telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.