Author: Wartawan WartaRakyat

  • Ceramah MUDA diganggu: Jamal sifatkan Syed Saddiq berdrama

    Ceramah MUDA diganggu: Jamal sifatkan Syed Saddiq berdrama

    KETUA Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyifatkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebagai berdrama susulan insiden ceramahnya diganggu oleh ‘mat motor’.

    Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar sebaliknya memuji Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, Mohd Helmy Abd Latif apabila tampil membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan saman selepas dituduh sebagai dalang kejadian gangguan itu oleh Syed Saddiq.

    “Steady Ketua Pemuda UMNO Muar buat laporan polis dan saman tuduhan tidak berasas Syed Saddiq dan MUDA yang emosi kelmarin.

    “MUDA dan Syed Saddiq mana mungkin nak lapor polis, dia sendiri rancang, siap ada video maafkan ‘mat motor sebagai ‘ending’ (pengakhiran) drama,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitternya.

    Media sebelum itu melaporkan ceramah mega yang dibarisi kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan MUDA kelmarin diganggu sekumpulan ‘mat motor’.

    Gangguan tercetus ketika giliran Syed Saddiq menyampaikan ucapannya sebelum ceramah diteruskan dan keadaan berjaya dikawal oleh anggota polis serta sukarelawan yang bertugas.

    Berikutan itu, Pemuda UMNO Bahagian Muar semalam dilaporkan membuat laporan polis selain mahu mengambil tindakan saman terhadap dakwaan Syed Saddiq bahawa mereka terbabit mengganggu ceramah dihadiri penyandang Ahli Parlimen Muar berkenaan.

    MUDA Johor dalam laporan Berita Harian pula menafikan dakwaan gangguan sekumpulan ‘mat motor’ yang memprovokasi ceramah mega Pakatan Harapan (PH) di Muar kelmarin, sebagai gimik politik parti itu.

    Pengerusi MUDA Johor, Azrol Rahani, dilaporkan berkata, tuduhan berkenaan tidak berasas dan berniat jahat.

    Sehubungan itu, katanya, laporan polis sudah dibuat MUDA Bahagian Muar semalam berikutan provokasi itu, selain bagi menafikan pembabitan MUDA yang didakwa membuat gimik politik.

    Syed Saddiq turut dilaporkan memaafkan kumpulan anak muda yang cuba menimbulkan provokasi ketika beliau ingin berceramah Ahad lalu.

    Dalam hantaran video di akaun Facebooknya, Syed Saddiq menyatakan bahawa kumpulan itu bukanlah musuhnya.

  • Pemandu lori terima upah RM150 seludup diesel

    Pemandu lori terima upah RM150 seludup diesel

    BARU sehari bekerja dengan upah RM150, namun sudah ditahan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti menyeludup diesel bersubsidi.

    Malah, pemandu lori warga tempatan berusia 40-an itu turut menangis dan merayu kepada anggota penguat kuasa PPDNHEP supaya dilepaskan kerana terpaksa bekerja untuk menanggung empat anak selain menyesal di atas perbuatannya.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNHEP Pulau Pinang, A. Mogan berkata, lelaki berkenaan ditahan di Jalan Baru, Bukit Mertajam pukul 3.45 petang semalam selepas dipercayai baru selesai mengisi diesel di dua buah stesen minyak.

    Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati terdapat kira-kira 800 liter minyak diesel di dalam dua tangki simpanan berkapasiti 2,000 liter yang telah diubah suai di atas lori berjenama Toyota seberat satu tan yang dipandu lelaki itu.

    “Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan RM11,520,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Penyimpanan Stor Eksibit PPDNHEP Pulau Pinang, Bukit Minyak hari ini.

    Sementara itu tambah beliau, satu serbuan berasingan turut dilakukan kira-kira pukul 9 pagi hari sama oleh sepasukan empat pegawai penguatkuasa PPDNHEP negeri di sebuah stesen minyak di Auto City Juru.

    Dalam serbuan itu jelasnya, seorang lelaki warga emas berusia 60-an ditahan bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang mempunyai dua tangki simpanan fiber diubah suai berkapasiti 550 liter dipercayai miliknya.

    “Pemeriksaan lanjut kemudian menjumpai kira-kira 380 liter diesel di dalam kedua-dua tangki simpanan iaitu di bahagian tempat duduk belakang serta tempat mengisi barang di atas kenderaan berkenaan.

    “Hasil siasatan mendapati lelaki bergerak solo dan terlibat dengan kegiatan tersebut sejak enam bulan lalu manakala jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan adalah RM41,060,” katanya.

    Tambah beliau, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

    Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula tambah beliau, boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun.

    “Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan PPDNHEP Pulau Piang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi selain mengalu-alukan maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan berkenaan.

  • PM kali ketiga: Kalau orang nak juga, takkan saya nak tolak – Tun Mahathir

    PM kali ketiga: Kalau orang nak juga, takkan saya nak tolak – Tun Mahathir

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TUN Dr. Mahathir Mohamad mengakui bahawa dirinya tidak mempunyai masalah untuk diangkat menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga sekiranya terdapat desakan kuat daripada rakyat untuk beliau kembali memimpin negara.

    Begitu pun menurut Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu, seboleh-bolehnya beliau mengharapkan perkara itu tidak berlaku.

    “Tak taulah desakan kuat… Tetapi setakat ini saya masih boleh berfungsi, bergerak, bercakap berunding dan buat semua perkara.

    “Walaupun umur saya lebih, tetapi saya masih lagi boleh bekerja dan kalau orang nak juga (dirinya jadi Perdana Menteri), takkanlah saya nak tolak?

    “Itu pun kalau nak jugalah… Tetapi seboleh-bolehnya, tidaklah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan bersama Jentera Pilihan Raya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan GTA di Pejabat Pejuang Langkawi di Kedah, hari ini.

    Sementara itu beliau menyifatkan pembentangan Bajet oleh kerajaan dalam tempoh hanya beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan hanyalah untuk membeli undi daripada rakyat.

    Menurutnya, tindakan tersebut hanyalah untuk memberikan duit kepada semua orang.

    “Itu Bajet untuk membeli undi tetapi nak kita nak bahaskan pun tak bagi. Biasanya apabila Bajet dikemukakan, parti lawan akan ada peluang beri pendapat tetapi kali ini tak bagi peluang langsung untuk dibahaskan dan tiba-tiba saja bubar Parlimen.

    “Jadi apa perlunya kemukakan bajett walaupun kita tahu Parlimen mungkin dibubarkan? Ini jelas merupakan Bajet politik, Bajet pilihan raya dan kita juga perlu tanya mengapa buat Bajet kalau lepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan buat bajet lagi satu?” katanya.

    Ditanya pandangannya mengenai kenyataan dibuat bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Langkawi bagi menentang beliau di Langkawi dalam PRU nanti, Mahathir berkata, beliau ‘okay’ saja dengan perkara itu.

    “Kalau dia nak bertanding, bertandinglah… Saya ‘okay’ saja kerana ini negara demokrasi dan demokrasi membenarkan siapa saja yang nak bertanding.

    “Kalau ada 100 orang nak bertanding di Langkawi pun, ‘okay’,” katanya.

  • Larikan beberapa kotak rokok, polis buru penyamun bersenjata

    Larikan beberapa kotak rokok, polis buru penyamun bersenjata

    POLIS memburu seorang lelaki yang melakukan samun bersenjata dan melarikan beberapa kotak rokok di sebuah kedai serbaneka di Taman Semenyih, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut pasa pukul 7.20 malam.

    Katanya, mangsa yang merupakan seorang perempuan berusia 21 tahun didatangi seorang lelaki yang memakai topi dan mengikat mukanya dengan sehelai kain kuning, serta bersenjatakan parang panjang.

    Menurut Mohd. Zaid, suspek telah memaksa mangsa membuka kaunter dan menyerahkan wang tunai.

    “Mangsa cuba berdolak dalik dengan menipu tiada kunci kaunter menyebabkan suspek naik angin.

    “Suspek kemudian menengking mangsa agar serahkan telefon bimbit dan menyebabkan mangsa melarikan diri ke dalam stor dan kunci pintu. Suspek kemudian telah melarikan diri.

    “Pemeriksaan mendapati saspek telah melarikan beberapa bungkus rokok sahaja. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan di dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan, lapor Utusan TV hari ini.

    Mengulas kanjut, Mohd. Zaid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dimana jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh boleh sampai 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Insp Suresh a/l Krishnan di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan.

  • Isteri ke-3 didakwa cederakan isteri ke-4 dengan parang

    Isteri ke-3 didakwa cederakan isteri ke-4 dengan parang

    SEORANG wanita yang juga isteri ketiga didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas tuduhan mencederakan madunya yang juga isteri keempat dengan parang.

    Mengikut kertas pertuduhan, Ruslyzay Shawaratuaini Che Roslan, 36, dari Puchong, Selangor didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas wanita berusia 41 menggunakan parang pada 4.30 petang, 15 Oktober lalu di rumah di Felda Lui Timur.

    Harian Metro melaporkan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326 A Kanun Keseksaan.

    Ruslyzay Shawaratuaini pada mulanya mengangguk faham atas pertuduhan terhadapnya dan beberapa kali mengaku bersalah di hadapan Hakim Norma Ismail.

    Namun, tertuduh menukar pengakuannya kepada tidak bersalah selepas diberi penerangan oleh mahkamah dan ditanya sama ada faham atau tidak pertuduhan yang dibacakan keatasnya.

    Tertuduh yang sebelum itu mencelah bagi menafikan tindakannya itu turut menerima teguran Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi yang mahu tertuduh menjawab soalan yang ditanya sahaja.

    Norma kemudian mengenakan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsadan passport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

    Mahkamah menetapkan 5 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh tidak diwakili peguam.

  • ‘Jika ada sebarang tuduhan, SPRM pergi siasat’

    ‘Jika ada sebarang tuduhan, SPRM pergi siasat’

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyiasat dan melihat sendiri tuduhan terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung dakwaan penyelewengan dalam kementerian tersebut.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, KPM bersikap terbuka dan telus dalam konteks pendidikan bagi memupuk kepercayaan dalam kalangan masyarakat.

    Ujar beliau, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof telahpun diarah membuat laporan bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan melibatkan kontrak bekalan makanan bermasak serta kebersihan bangunan dan kawasan di bawah KPM.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengadakan sidang media ketika hadir ke Majlis Pelancaran Inisiatif Reading Progress Di Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Kita nak pastikan imej KPM sejak saya masuk dalam kementerian ini terjaga, mesej kita setiap sen duit rakyat mesti dikembalikan kepada rakyat.

    “Saya berada di sini menjalankan khidmat negara. Ada sebarang pertuduhan, SPRM (boleh) pergi siasat kementerian dan lihatlah apa yang berlaku di sana, kalau ada,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian dalam satu sidang media Majlis Pelancaran Inisiatif ‘Reading Progress’ Di Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sebuah hotel di Shah Alam, hari ini.

  • Sultan Nazrin zahir rasa dukacita situasi semasa

    Sultan Nazrin zahir rasa dukacita situasi semasa

    SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa dukacita dan gusar dengan situasi semasa.

    Baginda melahirkan dukacita itu selepas melihat konsep pelbagai budaya, kepelbagaian dan toleransi dijadikan alat senjata dalam perang budaya wacana politik di peringkat antarabangsa.

    Sultan Nazrin bertitah, tanpa kepelbagaian budaya, dunia menjadi semakin miskin dan rakyat serata dunia semakin hari semakin enggan berkongsi nilai kemanusiaan.

    “Pada hemat saya, perubahan sikap yang mendalam terhadap kepelbagaian budaya merupakan suatu tragedi kerana ia menyemai benih-benih perpecahan dalam sesebuah negara sehingga membawa kepada pengusiran warga dan krisis pelarian.

    “Pada masa sama, kitalah yang bakal kerugian apabila menolak dan menafikan kepelbagaian budaya.

    “Saya yakin bukan saya sahaja yang berpendirian bahawa pencapaian pelbagai budaya kita amatlah penting kepada kemakmuran ekonomi dan pertumbuhan di masa akan datang,” titahnya.

    Baginda bertitah demikian pada Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam Ke-6 (WCIT 2022) di Pusat Konvensyen Meru Raya di Ipoh, hari ini.

    Turut berangkat, Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

    Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Profesor Tan Sri Dr. Nordin Kardi.

    Sultan Nazrin bertitah, laporan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) menganggarkan lebih ramai pelarian pada hari ini, dibandingkan semenjak Perang Dunia Kedua.

    Titah baginda, banyak data dan pelbagai cara digunakan sebagai pengukur kepelbagaian budaya serta kesan daripada kewujudannya.

    “Saya musykil sekiranya angka-angka ini adalah cara yang paling berkesan untuk memahami dan menyampaikan peri pentingnya nilai kepelbagaian budaya.

    “Ini kerana saya percaya kita dapat merasakan manfaat kepelbagaian budaya dalam masyarakat bukan melalui angka dan statistik semata-mata, malahan melalui kisah-kisah sebenar, pengalaman dan perkongsian mengenai pertemuan sesama insan,” titahnya, lapor Sinar Harian.

    Baginda percaya kehidupan akan lebih bermakna apabila menerima kepelbagaian dan perbezaan selain membuka pintu, hati dan minda kepada mereka yang amat memerlukan.

    Persidangan bertemakan ‘Berkongsi Nilai Kemanusiaan Kita’ menampilkan beberapa tokoh pemikir dalam dan luar negara.

    Persidangan antarabangsa kali ini mengetengahkan barisan pembentang yang tersohor termasuk Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md. Yunus; Chargee d’affaires Kedutaan Perancis di Malaysia, Virginie Bioteau, Chargee d’affaires Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, Timo Goosmann dan Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Republik Indonesia, Dr. Sandiaga Salahuddin Uno.

  • PN Selangor anggap dakwaan MB satu jenaka

    PN Selangor anggap dakwaan MB satu jenaka

    PERIKATAN Nasional (PN) Selangor menyelar dakwan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bahawa prestasi ekonomi negeri tersebut lebih baik di bawah pentadbirannya berbanding sebelum ini.

    Setiausaha PN Selangor, Muhammad Hilman Idham berkata, Amirudin yang cuba membandingkan pentadbirannya dengan bekas Menteri Besar sebelumnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dianggap sebagai satu jenaka.

    Jelasnya, pertumbuhan Selangor meleset dari tahun ke tahun sejak 2018 hingga ke hari ini walaupun sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

    Menurutnya, walaupun pertumbuhan ekonomi Selangor dicatatkan sebanyak 7 peratus pada tahun 2018, ia merosot kepada 6.8 peratus pada tahun berikutnya dan terus menurun pada kadar -5.2 akibat pandemik pada tahun 2020 sebelum merekod 5.0 peratus pada tahun lalu.

    “Matlamat Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk menyumbang 30 peratus daripada KDNK negara.

    “Sasaran ini sangat tidak realistik memandangkan Selangor perlu mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sekurang-kurangnya 9.5 peratus setiap tahun khususnya dalam suasana ekonomi hari ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Muhammad Hilman turut menemplak sikap barisan kepimpinan Amirudin yang tidak berpijak di bumi nyata dan tidak realistik dalam banyak perkara.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia itu turut memaklumkan ia merupakan strategi Amirudin untuk mengaburi mata rakyat agar terkesima dan ‘impress with big numbers.’

    “Wajarlah Amirudin mencermin diri terlebih dahulu sebelum mendabik dada sebegitu.

    “Realitinya, beliau sendiri terperangkap dalam bayangan prestasi kepimpinan sebelumnya sehingga terpaksa berhempas pulas melakukan penjenamaan semula terhadap pelbagai program kebajikan rakyat.

    “Ia demi memadam dan menghentikan rekod serta prestasi kejayaan Selangor tatkala pentadbiran Mohamed Azmin,” katanya lapor Sinar Harian.

    Pada Isnin, Amirudin menafikan kenyataan Mohamed Azmin yang mendakwa prestasi negeri itu merosot di bawah pentadbirannya.

    Amirudin berkata, sejak Mohamed Azmin meninggalkan Selangor, prestasi ekonomi negeri itu terus menunjukkan peningkatan baik.

  • MetMalaysia keluar nasihat mengenai Taufan Nesat

    MetMalaysia keluar nasihat mengenai Taufan Nesat

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan nasihat mengenai Taufan Nesat yang kini berada kira-kira 1,328km ke barat laut Kudat, Sabah.

    Dalam kenyataan hari ini, MetMalaysia memaklumkan taufan itu berada di kedudukan 380km ke timur Hainan, China.

    Menurutnya, berdasarkan pemerhatian pada 8 pagi ini, taufan itu bergerak ke barat daya dengan kelajuan 15 km/jam dan boleh mencapai kelajuan maksimum 139km/jam.

    “Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Laut China Selatan,” menurut kenyataan itu, lapor SatuBerita.

  • Nenek inspirasi filem Disney “Coco” meninggal pada usia 109 tahun

    Nenek inspirasi filem Disney “Coco” meninggal pada usia 109 tahun

    Inspirasi untuk filem animasi popular, “Coco” Maria Salud Ramirez Caballero telah meninggal dunia di Mexico.

    Setiausaha Pelancongan Mexico, Roberto Monroy sahkan kematian Maria pada Ahad lalu namun, sebab kematian tidak didedahkan.

    Monroy gelar Maria sebagai seorang wanita yang tidak pernah penat dan menjadi contoh kehidupan.

    Beliau berkata dalam satu kenyataan, “Sedih untuk saya mengumumkan kematian Maria Salud Ramirez Caballero atau “Mama Coco”, seorang wanita yang tidak tahu erti kepenatan dan seorang tokoh kehidupan. Beliau juga menjadi inspirasi watak yang dikenali seluruh dunia.”

    Maria diberikan gelaran “Mama Coco” selepas keluarganya berkata syarikat filem, Disney datang mengambil inspirasi daripada keluarga mereka walaupun Disney sendiri tidak pernah mengesahkan kenyataan tersebut.

    “Coco” mengaut keuntungan box office sebanyak AS$807.8 juta (RM3.8 bilion) dari seluruh dunia. 

    Maria menghasilkan kraftangan seperti pasu dan benda-benda lain untuk dijual kepada orang kampungnya.

    Dia mempunyai 3 orang anak, cucu dan cicit yang banyak dan meninggal dunia di Santa Fe de Laguna- tempat lahirnya  satu abad lalu.