Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kilang perabot didenda RM4,000 cemar alam sekitar

    Kilang perabot didenda RM4,000 cemar alam sekitar

    SEBUAH kilang perabot di Butterworth, Pulau Pinang dikompaun sebanyak RM4,000 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang gagal menguruskan buangan terjadual mengikut Peraturan Kualiti Alam Sekeliling, Buangan Terjadual 2005.

    Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kilang itu diserbu pihaknya dalam operasi bermula pukul 10 pagi hingga 12.30 tengah hari semalam.

    seramai 40 warga asing yang bekerja di kilang terbabit turut ditahan untuk siasatan lanjut.

    Menurut beliau, dalam operasi bersama-sama Jabatan Imigresen negeri itu, seramai 40 warga asing yang bekerja di kilang terbabit turut ditahan untuk siasatan lanjut.

    “JAS Pulau Pinang akan meneruskan penguatkuasaan tegas bagi memastikan peraturan dan undang undang dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dipatuhi oleh pihak industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Remaja perempuan baling pisau pada adik hingga mati direman

    Remaja perempuan baling pisau pada adik hingga mati direman

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG remaja perempuan yang membaling pisau pada adik lelakinya sehingga menyebabkan maut di Ulu Pulai, Ulu Choh, di Iskandar Puteri semalam, direman enam hari bermula hari ini.

    Majistret Nurmadiana Mamat membenarkan tempoh reman bermula hari ini sehingga 25 Oktober ini terhadap remaja berusia 18 tahun itu di Mahkamah Majistret Johor Bahru, pagi tadi.

    Perintah reman itu dikeluarkan bagi membolehkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Semalam, polis menahan remaja itu selepas menerima laporan mengenai insiden tersebut pada 2.15 petang.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin dilapor berkata, tragedi malang itu dipercayai berpunca apabila mangsa yang berusia 16 tahun bergaduh dengan kakaknya berikutan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

    Beliau berkata, mereka berebut tempat duduk dalam kereta dipercayai menjadi punca pergaduhan dua beradik itu.

    “Ibu mereka mengatakan pada awalnya, mangsa bergaduh dengan kakaknya disebabkan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah dan kakak mangsa mengaku telah membaling pisau ke arah mangsa setelah diejek ketika masuk ke dalam rumah,” katanya.

    Rahmat berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang dan bedah siasat akan dilakukan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru hari ini.

  • Ini penjelasan Radzi Jidin kenapa silibus tak boleh ditukar segera

    Ini penjelasan Radzi Jidin kenapa silibus tak boleh ditukar segera

    SILIBUS pelajaran di sekolah tidak boleh ditukar dalam kadar segera atas dua faktor utama, menurut penjelasan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.

    Pertama, sesuatu silibus itu harus dilengkapkan kitarannya iaitu pelajar harus mengharunginya dari mula memasuki sekolah hingga tamat di darjah atau tingkatan penghabisan.

    Jelasnya, murid Tahun Satu pada 2017 merupakan kohort pertama yang menggunakan silibus yang ada hari ini, sementara murid Tahun lain masih memakai silibus lama kerana ia perlu dilengkapkan perjalanannya hingga Tahun Enam.

    “Saya nak jelaskan bahawa pembangunan silibus ini mengambil masa, perjalanannya itu ada pusingan dan silibus yang kita lihat hari ini telah mula digunakan pada 2017.

    “Itulah kali pertama ia digunakan sehinggalah hari ini, mereka yang Darjah Satu pada 2017 itu sudah Darjah Enam pada tahun ini, dan mereka yang Darjah Satu pada 2018 sekarang sudah Darjah Lima.”

    Oleh hal demikian yang membawa kepada faktor kedua iaitu sebarang silibus tidak boleh diubah di pertengahan jalan kerana ia akan menggangu seluruh aturan sistem itu.

    Dalam erti kata lain, untuk memperkenalkan silibus yang baharu, perlu ditunggu hingga seluruh kohort yang menggunakan silibus lama selesai perjalanannya hingga Darjah Enam.

    “Maka kita perlukan penelitian yang mendalam, kita sedar daripada maklum balas daripada ibu bapa yang menceritakan bahawa silibus hari ini dilihat agak sukar berbanding dengan yang dahulu dan kita ambil kira.

    “Kerana dalam konteks ini, satu kohort (Tahun Satu 2017) sudah tamat kitarannya dan inilah ruang terbaik untuk kita lihat kembali silibus tersebut,” katanya dalam program Agenda Awani.

  • BERSATU tanding semua kerusi di Parlimen Gopeng

    BERSATU tanding semua kerusi di Parlimen Gopeng

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Parlimen Gopeng akan bertanding di semua kerusi dalam Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).

    Selain kerusi Parlimen Gopeng, tiga lagi kerusi di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Sungai Rapat, DUN Simpang Pulai dan DUN Teja akan turut ditandingi.

    Ketua Bahagian Bersatu Gopeng, Ahmad Ishak berkata, semua nama calon telah dikemukakan dan pengumuman rasmi mengenai perkara tersebut akan diumumkan sendiri oleh pimpinan tertinggi parti tidak lama lagi.

    “Kita akan bertanding di semua kerusi di Parlimen Gopeng ini malah di DUN Simpang Pulai kita akan letakkan ahli bersekutu calon India. Mesej kita adalah untuk menunjukkan bahawa kita berbesar hati untuk meletakkan calon dalam kalangan masyarakat India di sini.

    “Di Gopeng ini kita ada ramai ahli bersekutu, jadi kita menghargai peranan mereka dalam menggerakkan jentera dan kita akan bergerak secara berpasukan bersama Pas untuk membantu memenangkan calon PN,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Parlimen Gopeng di Dewan Bandaran Gopeng, malam tadi.

    Hadir menyempurnakan majlis tersebut, Timbangan Pengerusi PN Perak yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria.

    Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Gopeng, Abu Bakar Hussain ketika berucap pada majlis yang sama mengesahkan bahawa Bersatu akan bertanding di semua kerusi Parlimen Gopeng.

    Beliau berkata, Pas Kawasan Gopeng akan membantu memastikan kemenangan PN di kerusi Parlimen itu dan tiga kerusi DUN di dalamnya pada PRU-15 nanti.

    “Saya sebagai YDP Kawasan Gopeng, saya berjanji bahawa Pas akan memberikan sokong yang padu. Walaupun Pas tak bertanding, tapi Insya-Allah semangat berjuang untuk menentang PH dan kalahkan UMNO tetap berkobar-kobar.

    “Sekarang kita kena mulakan gerak kerja pilihan raya walaupun calon-calon belum diisytiharkan lagi namun kerja-kerja awal mesti lakukan mulai sekarang. Kami dalam PAS ada pengalaman,” ujarnya lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, Razman yang ditemui pemberita selepas majlis itu menjelaskan bukan isu Pas tidak meletakkan calon di Parlimen Gopeng kerana mereka bertanding atas tiket PN.

    Menurutnya, sesiapa sahaja yang bertanding atas tiket PN akan diberikan sokongan untuk memastikan kemenangan.

  • Maut dipercayai dihempap kereta ketika curi ekzos

    Maut dipercayai dihempap kereta ketika curi ekzos

    SEORANG lelaki ditemui mati berhampiran sebuah kereta di tepi jalan di Taman Jaya Utama, Telok Panglima Garang, Selangor, dipercayai akibat dihempap kenderaan itu pada awal pagi semalam.

    Ketua Polis Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika lelaki itu bersama seorang rakan disyaki sedang mencuri tabung ekzos kereta berkenaan sekitar jam 4 hingga 6 pagi.

    “Lelaki tempatan berusia 40 tahun itu dipercayai maut akibat terhempap selepas peralatan yang digunakan untuk mengangkat kereta berkenaan tiba-tiba terjatuh.

    “Dia dipercayai terhempap ketika berada di bahagian tengah kenderaan, berdekatan tabung ekzos. Kes disiasat sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya, lapor Berita Harian.

    Susulan itu, Ahmad Ridhwan berkata, bertindak atas maklumat diperoleh, pihaknya kemudian menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun yang juga rakan kepada si mati, di sekitar kawasan Telok Panglima Garang pada pukul 10.45 pagi semalam.

    Beliau berkata, suspek yang ditahan didapati mempunyai tujuh rekod jenayah membabitkan kes mencuri ekzos kenderaan dan pecah rumah serta dua rekod narkotik.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri, dan suspek akan direman hari ini,” katanya.

  • 10 cedera termasuk pemandu, van kilang terbalik dan ‘melekat’ di tiang

    10 cedera termasuk pemandu, van kilang terbalik dan ‘melekat’ di tiang

    SERAMAI 10 pekerja kilang termasuk pemandu cedera selepas van yang membawa mereka terbabas dan melanggar tiang dalam kemalangan di KM 151.4 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Bukit Tambun Juru, Juru pukul 6.38 pagi tadi.

    Kemalangan itu mengakibatkan pemandu van kilang tersepit, manakala sembilan lagi penumpang terdiri daripada pekerja wanita dan lelaki cedera.

    Menurut pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap, Pegawai Bomba Kanan 11, Azhar Samsudin, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.38 pagi.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian pihak bomba mendapati sebuah van jenis Foton terbabas dan melanggar tiang.

    “Pemeriksaan mendapati van berkenaan remuk teruk dengan pemandu van tersepit di dalam kenderaan tersebut, dua mangsa mengalami kepatahan manakala tujuh lagi mangsa cedera ringan.

    Anggota bomba ketika berusaha mengeluarkan mangsa dari van terbabit yang seakan ‘melekat’ pada tiang. – Foto JBPM

    “Pasukan penyelamat melakukan kerja kerja penyelamatan mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pada jam 7.34 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kesemua mangsa yang berjaya diselamatkan kemudian diberikan rawatan awal oleh Pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    “Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan selanjutnya,” katanya lapor Astro Awani.

    Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.47 pagi dan kes diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.

  • Berebut tempat duduk kereta, kakak tikam adik

    Berebut tempat duduk kereta, kakak tikam adik

    SEORANG remaja lelaki maut, dipercayai ditikam kakaknya selepas berebut tempat duduk di dalam kereta ketika pulang sekolah.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, perselisihan faham dua beradik itu berlarutan selepas tiba di rumah mereka di Ulu Pulai, Ulu Choh, semalam.

    Katanya, polis menerima panggilan berkaitan kejadian itu pada 2.15 petang yang melaporkan mangsa maut ditikam.

    Beliau berkata, ibu mangsa mendakwa mangsa berusia 16 tahun bertengkar dengan kakaknya berusia 18 tahun, kerana berebut tempat duduk dalam kereta.

    Katanya, kakak mangsa berang selepas dipersenda ketika masuk ke dalam rumah.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang.

    “Bedah siasat akan dijalankan esok (Khamis) di Hospital Sultanah Aminah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, suspek ditahan dan perintah tahanan reman akan dilakukan esok.

  • MUDA pertimbang gerak solo PRU-15: Sumber

    MUDA pertimbang gerak solo PRU-15: Sumber

    MUDA bercadang untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berikutan perundingan kerusi yang belum tentu walaupun kedua-dua pihak sudah bersetuju untuk membentuk pakatan pilihan raya.

    Sumber dari MUDA memberitahu Malaysiakini masih tiada perbincangan rasmi mengenai rundingan kerusi antara MUDA dan Pakatan Harapan (PH) setakat ini, walaupun seorang pemimpin PKR menyatakan sebaliknya.

    Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz hari ini mengesahkan belum ada mesyuarat rasmi mengenai rundingan kerusi.

    Difahamkan setakat ini, satu-satunya kawasan yang disahkan untuk Muda ialah kerusi Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Muar.

    Ini berdasarkan syarat perjanjian dengan PH bahawa kedua-dua parti akan memastikan rundingan tidak menyentuh kepada kerusi disandang (incumbency).

    Amira mendedahkan bahawa dua syarat lain adalah untuk menyokong calon perdana menteri PH dan jika MUDA ingin mengadakan perbincangan dengan parti ataupun gabungan lain, maka MUDA perlu mendapat persetujuan Majlis Presiden PH.

    Pun begitu, sumber MUDA berkata masa semakin suntuk untuk rundingan kerusi.

    “Syarat ini tidak akan bermakna kepada kami. Memandangkan kami sudah bersetuju untuk membentuk pakatan pilihan raya maka kami harus bergerak ke hadapan untuk membincangkan peruntukan kerusi lain.

    “Ini tidak adil kepada kami kerana kami juga memerlukan masa untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya.

    “Kami mula mempertimbangkan untuk bergerak solo kerana kami tidak sabar lagi. Pimpinan mungkin mempunyai jawapan muktamad selepas mesyuarat esok,” kata sumber itu, lapor Malaysiakini.

    Sumber itu mendedahkan MUDA hanya meminta enam hingga tujuh kerusi parlimen untuk PRU15 dan ini bukan tuntutan yang tidak munasabah.

    Sementara itu, Amira turut meluahkan kekecewaan berhubung rundingan kerusi dan menggesa PH duduk berbincang bersama mereka tidak lama lagi.

    “Ada yang tanya, MUDA akan tanding kerusi mana?.

    “Jujur saya sebut di sini, rundingan kerusi secara rasmi bersama PH masih belum bermula.

    “Sebagai Pengarah Pilihanraya MUDA, saya telah berhubung dengan pimpinan PH untuk berjumpa dengan Mesyuarat Majlis Presiden PH dan adakan rundingan secara rasmi dalam masa terdekat.

    “Namun masih belum ada mesyuarat rasmi ditetapkan,” katanya pada satu kenyataan.

    Rundingan dalaman PH belum selesai

    MUDA membangkitkan isu rundingan kerusi sehari sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengumumkan jadual PRU-15 esok.

    Ini akan disusuli dengan konvensyen PH di Ipoh malam esok, dengan gabungan itu akan mengumumkan calon perdana menteri, pembahagian kerusi, manifesto, dan lagu tema pilihan raya serta maskot.

    Bagaimanapun, sumber PH yang bersimpati kepada MUDA berkata terdapat sebab kukuh mengapa gabungan itu tidak memulakan rundingan kerusi dengan parti belia itu.

    Ini memandangkan gabungan itu belum menyelesaikan rundingan kerusi antara parti komponennya yang menghalang mereka daripada meneruskan rundingan dengan sekutu PH.

    Justeru, sumber itu berharap MUDA dapat bersabar, dan memberi jaminan bahawa PH akan dapat menyelesaikan perbincangan dalaman mereka sendiri dalam tempoh dua hari akan datang.

    “Jika MUDA benar-benar pergi bergerak solo, ia satu kerugian kepada kedua-dua parti, dan Muda akan mengalami kerugian yang lebih besar. Saya harap ini tidak akan berlaku,” kata sumber itu.

    Sumber itu juga melihat bahawa permintaan Muda mengenai peruntukan kerusi adalah munasabah dan bukan sesuatu yang terlalu rumit untuk dipertimbangkan.

    “Permintaan mereka munasabah dan tidak rumit untuk dipertimbangkan, memandangkan bilangan kerusi tidak banyak.

    “Kami tidak berniat untuk melengah-lengahkan atau membuang masa berhubung perkara ini kerana kami benar-benar komited untuk bekerjasama dengan MUDA.

    “Satu-satunya perkara ialah mengenai kekangan masa dan saya dapat memahami kekecewaan mereka,” tambah sumber itu.

    Sementara itu, wakil PKR dalam jawatankuasa pilihan raya PH, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika dihubungi membayangkan perkembangan yang lebih cerah.

    Ditanya jika rundingan kerusi dengan MUDA tidak akan berlangdung, Nik Nazmi memberi jaminan bahawa perbincangan sedang berjalan dan dia baru sahaja bertemu dengan Syed Saddiq pagi tadi.

    “Ia bagus,” katanya ringkas ketika menjawab soalan bagaimana mesyuarat itu berjalan.

    Nik Nazmi memberi jaminan bahawa pengumuman juga akan dibuat tidak lama lagi.

    Jika Muda dan PH bersetuju duduk untuk berunding, mungkin terdapat beberapa perkara yang boleh menimbulkan ketegangan.

    Secara khusus, soalan bagaimana untuk mentafsir syarat perjanjian bahawa tidak akan ada pertembungan di kerusi penyandang.

    Menurut sumber dari Harapan, satu-satunya kerusi yang dibuka untuk rundingan adalah kerusi yang ditandingi oleh Bersatu, Warisan, atau kerusi yang Harapan kalah pada PRU14.

    Bagi MUDA, ini termasuk kerusi yang dimenangi oleh PKR yang kemudian wakil rakyatnya berpaling tadah kepada Bersatu – pandangan yang tidak dikongsi PKR.

  • Bekas pembantu Anwar, Yusoff Rawther menang saman fitnah RM200,000

    Bekas pembantu Anwar, Yusoff Rawther menang saman fitnah RM200,000

    MAHKAMAH Sesyen Shah Alam memerintahkan Setiausaha Akhbar Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Tunku Abaidah membayar ganti rugi RM200,000 kerana memfitnah Yusoff Rawther.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Hakim Ishak Bakri Yusof berkata, Yusoff yang merupakan bekas pembantu penyelidik Anwar, membuktikan dakwaannya berhubung imbangan kebarangkalian.

    Peguam Yusoff, Tetuan Haniff Khatri Abdulla dalam kenyataan yang dikeluarkan petang tadi berkata, defendan juga diperintahkan membayar kos RM25,000 kepada Yusoff.

    Menurut kenyataan itu, Nashrul akan menerbitkan permohonan maaf dalam tempoh 45 hari dari hari ini dan kandungan itu perlu diterima oleh Yusoff.

    Beliau juga perlu menarik balik kenyataan media fitnahnya yang dikeluarkan pada 10 Jun 2019.

    Yusoff memfailkan saman itu pada 12 Sept 2019 atas dakwaan kenyataan akhbar yang dikeluarkan Nashrul menjatuhkan reputasinya di mata orang ramai.

    Selain saman fitnah terhadap Nashrul, Yusoff memfailkan satu lagi saman terhadap setiausaha politik Anwar ketika itu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bagi menuntut pampasan atas kecederaan yang didakwa dialaminya selepas serangan.

    Yusoff turut memfailkan saman terhadap Anwar atas dakwaan beliau melakukan serangan seksual terhadapnya 10 hari sebelum memenangi pilihan raya kecil Port Dickson pada 13 Okt 2018.

    Yusoff mendakwa mengalami trauma fizikal, psikologi dan sosial yang serius akibat kejadian itu.

    Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan kes itu belum selesai di mahkamah.

  • Ismail Sabri: ‘PH, PN, GTA adalah musuh utama perlu digempur BN’

    Ismail Sabri: ‘PH, PN, GTA adalah musuh utama perlu digempur BN’

    PAKATAN Harapan (PH) Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) adalah musuh dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang perlu digempur oleh Barisan Nasional (BN) dengan segala kekuatan yang ada, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan, segala ‘senjata’ dan ‘peluru’ yang dimiliki BN perlu dihalakan kepada musuh parti terbabit itu sambil mengelak terkena parti sendiri yang mungkin boleh menyebabkan calon BN tewas di sesuatu kawasan.

    Katanya, jentera BN perlu menyedari dan mengenali siapa lawan dan kawan mereka sebenarnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Kita kenal siapa musuh kita, siapa di sebelah sana, ada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA). Itu musuh kita yang kita dah kenal pasti.

    “Jadi halakan seluruh senjata dan peluru untuk tembak mereka bukan kaki sendiri, kita sudah tahu nak lawan siapa.

    “Saya juga minta fitnah kepada kita mesti dijawab segera dan jangan dibiar sehingga tiga atau empat hari kerana persepsi yang wujud jika tak ditangkis akan jadi fakta,” katanya ketika berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran di Dataran Serdang di Bandar Baharu, lapor Berita Harian.

    Hadir sama Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

    Pada masa sama, Ismail Sabri melihat Ahmad Zahid sebagai pemimpin berjiwa besar yang terus menyokongnya menjadi Perdana Menteri sejak awal lagi.

    Katanya, semangat itu seharusnya ada dalam diri setiap ahli dan pemimpin BN, sekiranya individu disokong mereka tidak dicalonkan pada PRU-15 kali ini.

    “Apabila tak dapat (jadi calon), saya tahu ramai akan kecewa. Tak apa kalau sedih, bersedihlah. Tiada masalah kita bagi dia tempoh bertenang dua ke tiga hari bawa hati lara nak pergi pantai di Langkawi pun boleh.

    “Tetapi selepas itu mesti keluar untuk berkempen bagi memastikan parti kita menang. Jangan ada sabotaj (termasuk) di Kedah. Kita kena berjiwa besar, saya nak beritahu orang yang paling berjiwa besar dalam kalangan kita adalah Datuk Seri (Ahmad) Zahid yang sokong bila saya jadi Perdana Menteri,” katanya.

    Berikutan itu, beliau berharap tidak berlaku sebarang tindakan sabotaj dalaman kerana matlamat utama BN adalah untuk kembali memerintah dan menang pada PRU-15.