Author: Wartawan WartaRakyat

  • Wakil rakyat PKR tak pertahan kerusi Parlimen Alor Setar

    Wakil rakyat PKR tak pertahan kerusi Parlimen Alor Setar

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SELEPAS hanya sepenggal di Alor Setar, wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chan Ming Kai mengesahkan yang beliau tidak akan kembali untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

    Ming Kai yang sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Simpang Pulai di Perak dan ADUN Indera Kayangan di Perlis berkata, beliau dimaklumkan yang dirinya tidak lagi akan dicalonkan PKR untuk mana-mana kerusi dalam PRU.

    Katanya, sebelum ini beliau sememangnya bercadang memberi laluan untuk orang lain bertanding di Parlimen Alor Setar dan mencabar di kerusi yang belum dimenangi gabungan pembangkang seperti Bagan Datuk, Gombak, Ampang atau Pagoh.

    “Namun setakat ini parti hanya memutuskan untuk meletakkan calon baru di Alor Setar saja.

    “Saya dimaklumkan tidak akan dicalonkan lagi oleh parti untuk mana-mana kerusi dalam PRU akan datang,” katanya.

    Tambahnya, beliau menghormati serta menerima keputusan parti tersebut dan berterima kasih kepada rakyat dan semua anggota parti yang memberi sokongan terhadapnya.

  • PN Kelantan umum calon PRU-15 pada 3 November ini

    PN Kelantan umum calon PRU-15 pada 3 November ini

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mengumumkan senarai semua calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 3 November ini.

    Pengarah Pilihanraya PN negeri, Zulkifli Mamat berkata, calon berkenaan melibatkan 14 kawasan Parlimen di negeri berkenaan.

    “Bagi menghadapi PRU-15 PN Kelantan akan menggerakkan 27,200 jentera parti yang akan memainkan peranan sepanjang tempoh berkempen.

    “Pada masa yang sama PN juga akan mengaktifkan 544 bilik gerakan Unit Daerah Mengundi (UDM) bagi melancarkan gerak kerja sepanjang tempoh berkenaan,” katanya semasa merasmikan bilik gerakan media PN Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

    Menurut beliau, kempen secara bersemuka menjadi tunjang utama dalam meraih sokongan pengundi untuk memilih PN.

    “Pendekatan ini secara tidak langsung mampu mendekatkan parti dengan rakyat,” katanya sebagimana dilaporkan Sinar Harian.

    Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Condong itu berkata, pelancaran jentera PN akan turut dilakukan pada 3 November ini.

  • Rakyat perlu diingatkan tentang keburukan pemimpin UMNO

    Rakyat perlu diingatkan tentang keburukan pemimpin UMNO

    MENJADI tanggungjawab rakyat yang cinta pada bangsa dan negara untuk memperingati pengundi akan keburukan pemerintahan UMNO di bawah pimpinan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan sekutunya, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Menurut Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang juga Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), jika kerajaan UMNO tidak ‘ditamatkan’, Malaysia akan mengalami keadaan yang lebih teruk, malah pemulihan mungkin tidak dapat dilakukan.

    Justeru, menurutnya lagi, kesemua kesalahan dan kegagalan UMNO perlu didedah supaya rakyat yang cinta negara dan bangsa akan menolak parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Kepimpinan UMNO tidak senang mendengar serangan terhadap parti itu. Konon serangan disebabkan percubaan menutup kegagalan penyerang.

    “Sebenarnya serangan terhadap UMNO disebabkan khuatir parti kleptokrat ini memenangi PRU-15 dan mendiri kerajaan kleptokrasi.

    “Jika keburukan UMNO tidak didedah besar kemungkinan pengundi tidak fikir panjang dan undi UMNO seperti biasa.

    “Apatah lagi kepimpinan UMNO amat berjaya menutup perbuatan salah mereka dengan mendakwa ahli dan penyokong tidak perlu malu apabila melaku kesalahan.

    “Dengan sifat ini kesalahan Presiden UMNO yang sudah dipenjara dan dikena denda RM210 juta bukanlah sesuatu yang tidak baik dan perlu dirasai malu oleh ahli dan penyokong UMNO.

    “Oleh itu jangan malu apabila menyokong UMNO, apatah lagi sokongan akan dibalas dengan sogokan wang.

    “Pedulikan apa akan terjadi kepada negara apabila puak kleptokrat ‘Cash is King‘ memerintah sekali lagi,” dakwa Dr. Mahathir dalam satu kenyataan, hari ini seperti dilaporkan Astro Awani.

    Mengulas lanjut, Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, Malaysia telah menjadi negara separuh maju sehingga dikenali sebagai Harimau Asia, namun apabila Najib menjadi Perdana Menteri, beliau menolak khidmat untuk bangsa dan negara.

    ‘Dr. Mahathir turut mendakwa bagi menjayakan kepercayaan ‘cash is king’ atau ‘wang adalah raja’ Najib mencurahkan berbillion ringgit kepada UMNO dan rakyat secara percuma.

    “Daripada mana datang dana yang besar ini? Mudah sahaja. Najib dirikan 1MDB syarikat milik kerajaan bermodal RM1 juta dan syarikat meminjam lebih dari RM40 billion dengan faedah yang tinggi.

    “Sebahagian dari wang ini dimasukkan dalam akaun peribadi Najib dan wang inilah yang diagih kepada pemimpin dan bahagian UMNO dan mereka pun tutup mata terhadap kesalahan Najib memasukkan wang yang dipinjam oleh 1MDB ke dalam akaun peribadinya.

    “Sebaliknya mereka teruskan sokongan mereka kepada Najib. Pengundi dalam PRU juga disogok oleh Najib supaya UMNO menang.

    “Najib mungkin percaya bahawa melalui sogokan ini ia akan kekal sebagai Perdana Menteri dan sebagai Perdana Menteri ia boleh halang tindakan undang-undang terhadap pencurian wang 1MDB milik Kerajaan.

    “Tetapi dalam PRU-14, Najib kalah dan tidak lagi dapat sembunyi jenayah yang dilakukan dan kekalahan BN juga membongkar bermacam-macam jenayah dan salah guna kuasa yang dilakukan semasa pemerintahan UMNO dan Najib,” ujarnya.

    Dr. Mahathir berkata, prestasi pencapaian Malaysia merosot sehingga dikenali oleh dunia sebagai negara kleptokrasi iaitu negara pencuri yang dipimpin oleh pencuri, malah Malaysia tidak lagi menjadi Harimau Asia.

    “Di masa yang sama, politik Malaysia menjadi tidak stabil dengan kerajaan-kerajaan yang lemah yang tidak cekap.

    “Prestasi Malaysia merosot teruk, dan kewangan Malaysia tertekan kerana bayaran hutang yang bertimbun,” dakwanya lagi.

  • Isteri berjaya loloskan diri selepas ditanam dalam kubur

    Isteri berjaya loloskan diri selepas ditanam dalam kubur

    SEORANG wanita ditikam dan ditanam dalam kubur di sebuah hutan oleh suaminya di Washington, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

    Mangsa, Young Sook An bagaimanapun berjaya menggali sendiri kuburnya itu yang tidak dalam, sebelum mencari bantuan untuk menyelamatkan diri.

    Kejadian itu berlaku selepas suaminya, Chae Kyong An, 53, yang tidak tinggal bersama wanita itu singgah untuk mencuci pakaian di rumah mereka.

    Menurut anak perempuan pasangan tersebut, si suami telah menyerang isterinya di rumah kira-kira pukul 1 petang pada 16 Oktober lalu.

    Suaminya itu mengikut Sook An ke bilik tidur tempat dia pergi untuk menukar pakaian sebelum menyerangnya.

    Dia yang merupakan bekas anggota tentera kemudian menumbuk isterinya dan mengikat tangan serta menutup matanya dengan pita pelekat.

    Namun, Sook An dapat menghubungi talian kecemasan 911 dengan jam tangan Applenya dan menghantar pemberitahuan kepada anak perempuan serta kawan baiknya.

    Dia kemudian diseret oleh suaminya ke sebuah garaj dan jam tangan itu dipecahkan dengan menggunakan tukul, menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi, hari ini.

    Wanita tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam sebuah van dan dibawa ke suatu tempat di mana dia dapat mendengar suaminya mengorek tanah.

    Kyong An turut menikam dada Sook An dan meletakkannya di dalam lubang manakala sepohon pokok diletakkan di atas kuburnya.

    Bagaimanapun, selepas ditanam, dia dapat mendengar suaminya berjalan di sekeliling lubang.

    Selepas itu, dia menggali bagi membolehkannya keluar dari kubur tersebut serta berjaya menanggalkan pita pelekat pada badannya sekali gus mendapatkan bantuan.

    Suaminya itu kemudian berjaya ditangkap pihak berkuasa dan didakwa melakukan percubaan membunuh.

    Mereka bergaduh disebabkan masalah wang pencen suaminya itu.

  • Polis bantuan, AJK UMNO cedera ditembak ketika menunggang motosikal

    Polis bantuan, AJK UMNO cedera ditembak ketika menunggang motosikal

    SEORANG anggota polis bantuan cedera akibat ditembak individu tidak dikenali ketika menunggang motosikal di Kampung Aur Tebing, Salor, di Kota Bharu, malam tadi.

    Mangsa, Kamarul Fadzreen Kamaruzaman, 30, yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO Ketereh terkena tembakan pada dada kanan dan kini.

    Dia yang juga yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO Ketereh mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu.

    Menurut adik ipar mangsa, Shazwan Sazali, 33, dia sekeluarga mengetahui mengenai kejadian yang menimpa abang iparnya pada pukul 11 malam tadi, selepas dihubungi oleh kawan baik mangsa yang juga rakan setugas.

    “Mangsa ada memberitahu untuk keluar berjumpa rakannya di Kota Bharu dengan menunggang motosikal sendirian. Ketika dalam perjalanan dia tiba-tiba ditembak oleh individu yang tidak dikenali.

    “Bagaimanapun, dia masih menunggang motosikal sejauh 100 meter menuju ke sebuah kedai makan berdekatan untuk meminta bantuan. Sebaik tiba, dia juga sempat menelefon rakan baiknya supaya datang ke kedai terbabit.

    “Abang kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) sebelum dipindahkan ke HRPZ II untuk menjalani pembedahan,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Shazwan berkata, abang iparnya yang juga bapa kepada dua cahaya mata adalah seorang yang sangat baik dan peramah selain tidak mempunyai musuh.

    “Sejujurnya, kami sekeluarga tidak tahu apa motif utama abang ipar saya ditembak.

    “Kami sekeluarga terkejut dengan apa yang terjadi serta berdoa semoga dia terus kuat dan berharap agar pembedahan berjalan dengan lancar,” katanya.

  • Cari ketam, jumpa mayat terdampar

    Cari ketam, jumpa mayat terdampar

    PENCARI ketam terkejut selepas menemui mayat terdampar di tepi laut Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu pukul 8 malam tadi.

    Dia menemukan mayat lelaki itu dalam keadaan tidak berbaju, memakai seluar pendek, sarung tangan dan goggles renang sebelum memaklumkannya kepada pihak polis.

    Turut ditemui sehelai baju yang diletakkan di atas batu di tepi pantai dipercayai milik mangsa.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat yang belum dikenal pasti identiti itu.

    “Setakat ini siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya lapor Harian Metro.

    Kata Mohd. Zaidi lagi: “Mangsa dipercayai lemas ketika mencari ketam di lokasi dan mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses bedah siasat.

    “Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung mangsa boleh menghubungi pegawai penyiasat, Ketua Polis Balai Manggatal, Sub-Inspektor Badrizaman Abdol Rahman.”

  • Inisiatif MPN bantu rangsang ekonomi

    Inisiatif MPN bantu rangsang ekonomi

    PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun lalu cukup memberi kesan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) hingga sebahagiannya terpaksa beralih kepada bidang lain, kehilangan pendapatan serta ‘gulung tikar’.

    Usahawan tekstil dan pakaian sedia dipakai, Siti Normah Md. Desa, 37, antara yang paling terjejas berikutan tidak dapat keluar rumah susulan sekatan PKP hingga memaksanya mempelajari kaedah menjalankan perniagaan secara dalam talian.

    “Disebabkan hanya terperuk di rumah, saya mengikuti kelas pemasaran melalui Facebook, ‘Google meet’ bagi mendalami kemahiran teknik penjualan produk dalam talian. Namun, cabaran besar adalah perlu melanggan perkhidmatan internet, mempunyai komputer riba dan pencetak.

    “Mujur, moratorium yang dicadangkan Majlis Pemulihan Negara (MPN), sedikit sebanyak meringankan beban PMKS untuk bertahan mengharungi tempoh mencabar sepanjang COVID-19 memuncak.

    “Sokongan dan bantuan kerajaan itu menyelamatkan usahawan dan membantu perniagaan kembali stabil,” katanya memetik laporan Berita Harian pada Ahad.

    Siti Normah berkata, penubuhan MPN menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada usahawan, antara golongan yang paling terjejas sepanjang tempoh pandemik.

    “Pada masa sama, saya bersetuju dengan cadangan Pengerusi MPN (Tan Sri Muhyiddin Yassin) supaya dibangunkan satu sistem komprehensif yang berfungsi mempermudahkan proses penyaluran bantuan secara menyeluruh kepada semua PMKS.

    “Ini berikutan ramai usahawan berada di luar bandar dan sukar mendapat maklumat mengenai kemudahan ini. Saya harap tiada kelompok PMKS tercicir daripada menerima bantuan itu,” katanya.

    Baru-baru ini, pada Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Kerangkuman Sosial, MPN mengesyorkan supaya kerajaan membangunkan satu sistem komprehensif bagi memudah cara proses penyaluran bantuan secara menyeluruh dan berpusat.

    Tingkat usaha bantu PMKS

    Kerajaan juga diminta menumpukan kepada usaha untuk sektor PMKS, yang memberi sumbangan utama kepada ekonomi negara.

    Pekerja swasta, Fairuz Karmila Ahmad, 35, menyifatkan peralihan ke fasa endemik ketika ini cukup bermakna terutama kepada anak perempuannya yang berusia lima tahun selepas dua tahun terkurung disebabkan Covid-19.

    “Hanya sekarang anak saya itu berpeluang mengikuti pembelajaran bersemuka, dapat beriadah, bergaul dan guru dapat mengajar di kelas, sekali gus membantu murid meningkatkan pengetahuan am, berbanding ketika PKP, semua interaksi hanya di sebalik skrin komputer.

    “Selain itu, sebagai ibu bekerja banyak perubahan kini diadaptasi susulan tempoh mencabar Covid-19, antaranya kakitangan pejabat terbiasa dengan kursus secara maya, pembayaran digital dan tempat saya bekerja masih menerapkan budaya kerja tiga hari di pejabat dan dua hari lagi fleksibel,” katanya.

    Pada masa sama, katanya, kebenaran pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) cukup bermakna menampung kelangsungan hidup, menambah simpanan dan modal untuk perniagaan sampingan.

    Sementara itu, ibu kepada enam cahaya mata, Mussalme Jaafar, 44, terpaksa melakukan tiga pekerjaan dari pagi hingga ke malam untuk mencukupkan keperluan keluarga yang berada dalam kategori kumpulan berpendapatan rendah (B40).

    “Dari pagi hingga ke tengah hari, kerja hakiki saya di pejabat badan pengurusan dan petang, melakukan kerja mengemas (housekeeping) resort dan malam pula berniaga burger.

    “Kemelut Covid-19 menyukarkan kehidupan dan PKP memburukkan keadaan. Keadaan kerja berubah dan saya juga antara yang terkena tempias apabila gaji dipotong.

    “Mujur, rakyat dibenarkan mengeluarkan duit caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ia membantu kami menampung hidup di waktu sukar,” katanya yang menetap di Bukit Katil, Melaka.

  • Polis bantuan maut nahas kereta bertembung bas

    Polis bantuan maut nahas kereta bertembung bas

    SEORANG polis bantuan maut selepas Proton Persona yang dipandunya bertembung dengan sebuah bas di jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, pukul 1 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa yang berusia 20 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

    “Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu mangsa dipercayai telah memotong beberapa buah kenderaan.

    “Tindakan itu menyebabkan kereta tersebut telah bertembung dengan sebuah bas ekspres yang datang dari arah bertentangan.

    “Semasa kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari bandar Gua Musang hendak pulang ke rumahnya di Chiku 2,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Choon Foo berkata, mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

    Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

  • Anwar tanding di Tambun tak gegarkan PN

    Anwar tanding di Tambun tak gegarkan PN

    KEPUTUSAN Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) belum cukup untuk menggegarkan Perikatan Nasional (PN) khususnya di Perak.

    Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata umum mengetahui bahawa Anwar sentiasa melaungkan keyakinan melalui pengaruh dibawa namun hingga kini tiada sebarang perubahan yang berlaku membabitkan landskap politik negara.

    “Itu (keputusan) dia umumkan (bertanding di Tambun), sama ada betul atau pun tidak, kita tunggu sahaja,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Himpunan PN Parlimen Larut di Tapak Bazar Ramadan Selama di Larut, semalam.

    Keputusan Anwar untuk bertanding di Parlimen Tambun menyaksikan beliau dijangka bakal bertembung dengan Timbalan Presiden Bersatu yang merupakan penyandang kerusi berkenaan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) dan PAS, selepas menerima 38,661 undi, dengan majoriti 5,320 undi.

    Mengulas lanjut Hamzah nendakwa sokongan rakyat terhadap PN di Perak,adalah baik dan mampu memenangi lebih banyak kerusi terutama di bahagian utara Perak.

  • Nurul Izzah ‘dijangka kekal’ pertahan Permatang Pauh

    Nurul Izzah ‘dijangka kekal’ pertahan Permatang Pauh

    NURUL Izzah Anwar ‘dijangka kekal’ mempertahankan Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Perkara tersebut dimaklumkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang.

    “Ada kemungkinan besar parti menuju ke arah itu,” kata Anwar ketika ditanya pemberita malam tadi sama ada anak perempuannya akan mempertahankan kerusi itu yang dimenangi pada 2018 dengan majoriti 15,600 undi, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Kerusi berkenaan yang dianggap kawasan kubu kuat ‘keluarga Anwar’, dimenangi Anwar, isterinya dan Izzah, sejak sembilan penggal lalu, bermula 1982.

    Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebelum itu ditanya berhubung khabar angin kemungkinan Izzah berdepan Zuraida Kamaruddin di Ampang.

    Bekas ketua Wanita PKR itu menang di Parlimen Ampang pada PRU-14 pada 2018.

    Zuraida bagaimanapun menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dua tahun selepas itu.

    Awal tahun ini, beliau kemudian meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), di mana beliau memegang jawatan Presiden.

    Anwar tidak memberi maklum balas berhubung spekulasi terbabit, namun hanya berkata PKR akan berhabis-habisan merampas kembali kerusi yang hilang daripada ‘pengkhianat’ atau mereka yang berpaling tadah.

    “Kepala pengkhianat ada di Gombak, ekornya di Nibong Tebal,” katanya merujuk kepada bekas pemimpin PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Mansor Othman, yang meninggalkan parti itu dengan menyertai Bersatu.