Author: Wartawan WartaRakyat

  • PH letak calon DAP di Parlimen Jerai

    PH letak calon DAP di Parlimen Jerai

    Oleh BADLISHAH MAT

    TIMBALAN Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff menjadi calon pertama parti itu yang akan mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di Parlimen Jerai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

    Difahamkan, DAP tidak pernah bertanding di kerusi Parlimen dalam Kedah melainkan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini. Malah kerusi Jerai dikatakan akan diberikan kepada Parti Amanah Negara (Amanah).

    Namun, pengesahan nama Zulhazmi dibuat oleh Ketua Penerangan PH Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh pada Majlis Pengisytiharan Calon PH Kedah di Laguna Merbok, Sungai Petani yang turut dihadiri Presiden Amanah, Mohamad Sabu, malam tadi.

    Parlimen Jerai ketika ini disandang Perikatan Nasional (PN) menerusi Pas, Sabri Azit yang mengalahkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada PRU-14.

    Sementara itu, PH mempertaruhkan calon wanita yang juga bekas Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, Datuk Latifah Md. Yatim di Parlimen Sik.

    Pada majlis sama, Dr. Ismail turut mengumumkan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar kekal mempertahankan Parlimen Pokok Sena.

    Ketua Pemuda Amanah Padang Terap, Muaz Abdullah pula diletakkan untuk bertanding di Parlimen Padang Terap, manakala Parlimen Baling akan ditandingi Ketua Amanah Kawasan itu, Johari Abdullah.

    Terdahulu, PKR sudah mengumumkan kesemua calon mereka di seluruh negara dengan sembilan daripadanya tersenarai untuk bertanding di Kedah.

    Mereka antaranya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang akan mempertahankan Parlimen Kulim Bandar Baharu: Dr. Azman Ismail (Kuala Kedah); Nur Azrina Surip (Merbok); M. Karupaiya (Padang Serai).

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min pula akan bertanding di Parlimen Alor Setar sementara Mohammed Taufiq Johari (Sungai Petani) dan Datuk Zulkifly Mohamad (Pendang) antara muka baharu ditampilkan selain Dr. Mohamed Fadzil Mohd. Ali (Jerlun) dan Aizuddin Ariffin (Kubang Pasu).

    Dalam pada itu, kerusi Parlimen Langkawi yang sudah disahkan akan dipertahankan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada PRU15 belum dinamakan sebarang calon oleh PH termasuk sama ada kuota daripada komponen mana.

    Mahfuz yang ditemui berkata, pihaknya berpuas hati dengan senarai yang diumumkan termasuk pembabitan calon muda yang pertama kali bertanding.

    “Satu sahaja kerusi tidak diumumkan lagi iaitu calon PH di Parlimen Langkawi, saya jangka kita akan mengumumkannya dalam tempoh sehari dua lagi.

    “Kita percaya kehadiran ramai calon muka baharu dan anak muda serta bekas pegawai kanan kerajaan, mampu memberi keyakinan pengundi kepada PH,” katanya.

  • Tragedi rempuhan Halloween: 149 orang maut di Seoul

    Tragedi rempuhan Halloween: 149 orang maut di Seoul

    SEKURANG-kurangnya 149 orang kebanyakannya remaja dan belia perempuan seawal 20-an terbunuh dalam kejadian rempuhan ketika orang ramai menyambut Halloween di Korea Selatan, malam tadi.

    Agensi berita Reuters melaporkan, dua warga asing antara mereka yang terbunuh.

    Ketua Jabatan Bomba Yongsan, Choi Seong-beom berkata, seramai 65 orang lagi cedera dalam huru hara di daerah Itaewon, Seoul itu dengan 19 daripadanya cedera parah.

    Katanya, kesemua mangsa cedera yang memakai kostum Halloween sudah diberikan rawatan dan angka kematian dijangka meningkat.

    Ia merupakan sambutan Halloween pertama di Seoul dalam tiga tahun selepas sekatan Covid-19 ditarik balik.

    Puluhan ribu orang termasuk warga asing mengunjungi kawasan itu untuk pesta Halloween.

    Menurut saksi, kejadian tidak dapat dikawal kira-kira pukul 10.20 malam waktu tempatan selepas orang ramai bersesak-sesak di lorong sempit menuruni bukit di Hotel Hamilton.

    “Jumlah orang ramai bertambah lebih 10 kali ganda berbanding kebiasaan,” kata saksi, Moon Ju-Young.

    Rakaman media sosial menunjukan ratusan orang pengunjung berada dalam lorong sempit semasa kejadian dengan pasukan kecemasan cuba menyelamatkan mereka.

    Seong-beom berkata, kebanyakan mangsa yang maut dipercayai akibat rempuhan di lorong sempit itu selepas mereka yang berada di atas bukit jatuh dan menghempap mereka berada di bawah.

    Menurut saksi Reuters, bilik mayat sementara diwujudkan di sebuah bangunan berhampiran lokasi.

    Itaewon yang juga bekas ibu pejabat angkatan tentera Amerika Syarikat di Korea Selatan adalah kawasan yang popular bagi golongan ekspatriat dan dikenali dengan bar, kelab malam dan restoran.

    Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berdoa agar mangsa yang cedera lekas sembuh.

  • Hadi Awang sah pertahan Marang

    Hadi Awang sah pertahan Marang

    PRESIDEN Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang akan mempertahankan kerusi Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November depan, kata Setiausaha Agung parti Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    “Saya boleh sahkan beliau akan pertahankan kerusi yang disandangnya.

    “Saya tidak tahu pun ada desas-desus beliau (Hadi) tidak akan bertanding pada PRU-15. Hari ini baharu saya dengar,” katanya ketika ditanya mengenai ada dakwaan mengatakan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tidak bertanding pada PRU-15.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Ekopelancongan Sumber Asli, di Kota Bharu, malam tadi.

    Pada PRU lalu, Abdul Hadi menang di Parlimen Marang dengan 53,749 undi menewaskan dua pencabarnya daripada Barisan Nasional (BN) dan PKR.

    Sementara itu, ditanya mengenai jumlah kerusi PN yang akan bertanding pada PRU-15, Takiyuddin berkata, perkara itu masih belum ada keputusan muktamad.

    “Kita ada 222 kerusi Parlimen dan belum pasti lagi berapa banyak mahu bertanding. Di Sarawak terdapat 31 Parlimen dan PN tidak bertanding di negeri itu.

    “Di Sabah pula ada 25 Parlimen dan kita bersama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.

    Takiyuddin turut menafikan dakwaan mengatakan berlakunya protes di Parlimen Tumpat susulan penyandangnya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi mungkin digugurkan daripada senarai calon.

    “Kehendak satu-satu kumpulan memang ada, namun apabila parti sudah buat keputusan, semua akan diterima,” katanya.

  • Polis tahan pemilik butik pengantin tipu pelanggan

    Polis tahan pemilik butik pengantin tipu pelanggan

    POLIS menahan pemilik butik pengantin bagi membantu siasatan berkaitan beberapa kes penipuan pakej perkahwinan di Hentian Plaza Tol Bentong arah barat, Kuala Lumpur, semalam.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan pukul 0.30 malam susulan maklumat diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.

    Jelasnya, lelaki itu adalah suspek utama yang dicari polis berkaitan kes penipuan pakej perkahwinan.

    “Kes tersebut berlaku di daerah Bentong dengan tiga kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Suspek kini direman empat hari sehingga 1 November ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Dalam pada itu, Zaiham berkata, pihaknya berterima kasih atas kerjasama masyarakat kerana membantu menyalurkan maklumat sehingga suspek tertangkap.

    Terdahulu, Zaiham dalam satu kenyataan kelmarin memaklumkan suspek dicari selepas polis menerima dua aduan berkaitan penipuan pakej perkahwinan ditawarkan syarikat ‘The Wedding by Fiey’ milik suspek membabitkan kerugian RM20,900.

    Katanya, dua mangsa, masing-masing ibu pengantin berusia 57 tahun dan pengantin berusia 28 tahun mendakwa terpedaya selepas melihat iklan pakej perkahwinan yang ditawarkan melalui Facebook.

    Antara pakej ditawarkan termasuk set pelamin, baju pengantin, pakej persolekan, jurugambar, khemah dan katering.

    Zaiham berkata, suspek dikenali sebagai Muhammad Lutffi Iaman Mat Abu, 28, mensasarkan pasangan yang ingin berkahwin di daerah Bentong, Pahang.

    “Setelah bersetuju untuk mengambil pakej ditawarkan, mangsa diminta datang berjumpa suspek untuk berunding dan meminta bayaran penuh bagi pakej yang ditempah.

    “Selepas mangsa membuat pembayaran penuh atas nama syarikat, suspek terus menghilangkan diri,” katanya.

    Zaiham berkata, siasatan awal mendapati syarikat itu wujud dan didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

    Bagaimanapun, katanya lokasi butik pengantin dikenal pasti di bandar Bentong didapati sudah tidak beroperasi.

  • Pas kekal tanding sembilan kerusi Parlimen di Kelantan, kata Mohd. Amar

    Pas kekal tanding sembilan kerusi Parlimen di Kelantan, kata Mohd. Amar

    PAS kekal dengan status quo di Kelantan dengan bertanding sebanyak sembilan kerusi daripada 14 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula akan bertanding sebanyak lima kerusi.

    “Di Kelantan kita kekal status quo. Sembilan kerusi yang ditandingi oleh Pas di peringkat Parlimen dan lebihnya adalah Bersatu.

    “Pengumuman calon-calon itu dijangkakan diumumkan pada Rabu depan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob,” katanya selepas penutupan Karnival Anak Kelantan di Perantauan yang diadakan di Bangi Convention Centre di Bangi, hari ini.

    Mohd. Amar berkata, pengumuman calon-calon itu dijangkakan diumumkan pada Rabu depan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

    Mengulas mengenai anak kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Omar yang diumumkan bertanding di Parlimen Pasir Salak, beliau berkata, terpulang kepada parti untuk menentukan calon mereka bertanding di mana.

    “Terserah parti masing-masing nak letak (calon) di mana. Cumanya kalau kita tengok dari sudut negatif, maknanya ustaz Nik Omar ini sudah tidak ada tempat di Kelantan.

    “Maka sebab itu dia terpaksa dibawa keluar dari Kelantan,” ujarnya memetik laporan Sinar Harian.

  • Bukan perlakuan sumbang tapi bergurau adik-beradik-polis

    Bukan perlakuan sumbang tapi bergurau adik-beradik-polis

    SIASATAN polis berhubung dua lelaki didakwa membuat perlakuan sumbang dalam sebuah surau di Banting yang tular baru-baru ini mendapati kedua-duanya merupakan pasangan adik-beradik.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, kedua beradik berusia 21 dan 14 tahun itu tinggal di Seremban, Negeri Sembilan.

    “Kedua individu berkenaan datang ke Banting bersama ibu bapa serta seorang adik perempuan untuk bercuti dan makan di sebuah restoran di pekan Banting.

    “Kira-kira pukul 4.30 petang Selasa lalu, keluarga berkenaan singgah di sebuah surau di pekan Banting untuk menunaikan solat.

    “Selepas selesai solat, kedua adik-beradik itu bergurau di dalam surau tanpa disedari perbuatan mereka dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, berdasarkan keterangan kedua ibu bapa mereka, dua beradik itu mempunyai hubungan yang rapat dan selalu bergurau.

    Katanya, dalam kejadian itu, abang bergurau dengan adiknya serta membetulkan seluar dan tiada sebarang niat untuk berkelakuan tidak senonoh di dalam surau terbabit.

    “Keterangan kedua pelaku dan ibu bapa mereka sudah diambil dan kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Warta Rakyat sebelum ini melaporkan polis daerah Kuala Langat menerima laporan daripada pihak surau berhubung kejadian itu.

    Ini susulan video berdurasi satu minit 49 saat yang dimuatnaik di media sosial memaparkan dua lelaki tempatan membuat perkara yang tidak senonoh dalam surau.

    Polis menerima laporan pada pukul 9.07 malam Rabu lalu daripada seorang lelaki tempatan berumur 54 tahun iaitu bilal surau mengatakan melihat rakaman CCTV mengenai dua lelaki melakukan aksi terbabit.

  • Dua isteri orang dicekup berkhalwat dengan dua lelaki Bangladesh

    Dua isteri orang dicekup berkhalwat dengan dua lelaki Bangladesh

    PEJABAT Agama Daerah Kulim (PADK) menahan dua wanita selepas didapati berkhalwat dengan dua lelaki warga Bangladesh dalam bilik berasingan di sebuah rumah tumpangan di Lunas, di Kulim, hari ini.

    PADK melakukan pemeriksaan dengan bantuan polis di rumah tumpangan itu selepas menerima maklumat awam berhubung kegiatan dua pasangan terbabit.

    Hasil pemeriksaan di bilik pertama pada 11.30 pagi tadi mendapati, seorang wanita yang masih berstatus isteri orang dan mempunyai empat anak itu ditemui berdua-duaan dengan seorang lelaki warga Bangladesh.

    Menurut Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim Anwar Shariffudin Mat Saad berkata, wanita berusia 38 tahun itu menetap di Kulim dan mendakwa memberi alasan kepada suaminya untuk mengambil lesen kenderaan hari ini.

    “Sementara di bilik berasingan, seorang wanita berusia 26 tahun turut dicekup berkhalwat dengan lelaki warga Bangladesh berusia 35 tahun pada 12.45 tengah hari.

    “Wanita yang ditahan di sebuah lagi bilik juga sudah berkahwin tujuh tahun tetapi belum mempunyai anak.

    “Dia turut memberi alasan kepada suaminya untuk mengambil lesen kenderaan bersama rakan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Mengulas lanjut, Anwar Shariffudin berkata, kedua-dua wanita itu bekerja di sebuah kilang plastik dan mengenali lelaki warga Bangladesh itu melalui aplikasi WeChat.

    “Mereka ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

    “Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Lunas untuk dibuat laporan tangkapan sebelum diambil keterangan,” katanya.

  • Polis tahan 4 lelaki kes gaduh akibat mabuk

    Polis tahan 4 lelaki kes gaduh akibat mabuk

    POLIS menahan empat lelaki selepas terlibat dalam pergaduhan di Banting, Kuala Langat yang dipercayai punca akibat mabuk baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor berkata, kesemua individu itu ditahan secara berasingan kelmarin.

    “Tangkapan pertama pada pukul 1.30 pagi di Genting Highlands, Pahang membabitkan lelaki berusia 24 tahun yang dipukul menggunakan topi keledar dalam pergaduhan terbabit.

    “Tangkapan kedua kira-kira pukul 3.30 pagi di Banting melibatkan lelaki berusia 18 tahun yang berada di lokasi semasa kejadian.

    “Hasil soal siasat tangkapan kedua ini kemudian membawa kepada penahanan dua lagi lelaki berusia 22 dan 26 tahun kira-kira jam 11 malam di sekitar Banting,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, siasatan mendapati suspek ketiga dan keempat ini adalah individu yang memukul tangkapan pertama menggunakan topi keledar dan tangan.

    “Dua suspek ini kini direman empat hari sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut dan kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya bagi cadangan pertuduhan,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

    Kelmarin media melaporkan polis giat mengesan sekumpulan individu yang tular selepas terlibat dalam pergaduhan di Banting, pukul 2.05 pagi, Selasa lalu.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 324/160 Kanun Keseksaan.

  • ‘[VIDEO]Saya tekankan soal kebolehpercayaan, integriti, cakap kena tunaikan’ – Muhyiddin

    ‘[VIDEO]Saya tekankan soal kebolehpercayaan, integriti, cakap kena tunaikan’ – Muhyiddin

    SOAL kebolehpercayaan dan integriti menjadi dua ‘bahan’ utama bagi Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk sekali lagi memimpin negara sekiranya diberi kepercayaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang pernah menjadi Perdana Menteri pada tempoh paling sukar sewaktu pandemik Covid-19 melanda negara berkata, kebolehpercayaan dan integriti penting bagi membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi.

    Sebagai seorang tokoh pemimpin berpengalaman, Muhyiddin mengakui sering mendengar masalah dan kesusahan dihadapi rakyat.

    Jelas beliau yang juga calon Perdana Menteri PN, rintihan rakyat itu lebih kuat kedengaran sekarang walaupun negara sedang berada dalam fasa pemulihan selepas Covid-19.

    Bukan mahu mendabik dada, namun bekas Perdana Menteri itu berkata, rekod dan prestasi sepanjang menjadi wakil rakyat serta seketika sebagai Perdana Menteri jelas membuktikannya.

    “Rakyat jumpa saya mengadu tentang bagaimana nak hidup, bukan soal nak kaya kerana ramai yang sudah terjerumus dalam kancah kemiskinan ketika ini.

    “Dapat RM100 pun amat bermakna bagi mereka, apa lagi kalau RM1,000 atau RM2,000. Boleh ke dia (pihak lain) buat macam itu? Siapa nak bagi duit?

    “Saya dah dididik sejak kecil, bercakap jangan bohong, (itu) berdosa. Bila cakap mesti tunaikan, tak tunaikan itu mungkir janji.

    “Bukan saya mahu mendabik dada dengan rekod saya tetapi apabila saya cakap, saya akan buat.

    “Jadi, kalau rakyat tak percaya dengan ‘Abah’ itu tak tahu lah. Ikutkan ‘Abah’ itu orang tua, jadi kena ikut nasihat kita,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam temubual, baru-baru ini, lapor Utusan TV, hari ini.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau amat memahami masalah yang dihadapi rakyat ketika ini apatah lagi negara masih berhadapan pelbagai isu yang disifatkannya kritikal.

    Kata beliau, usaha lebih keras amat diperlukan untuk kembali melonjakkan negara dalam tempoh terdekat.

    “Dahulu bila saya kata tutup, duduk rumah jangan pergi ke mana-mana, Alhamdulillah semua dengar dan kita pulih.

    “Rakyat Malaysia berdisiplin dan dengar kata pemimpin yang tahu apa yang terbaik, maka Alhamdulillah sekarang kita hampir pulih. Belum sepenuhnya tetapi sudah kembali ke sedia kala.

    “Bagi saya masa amat penting kerana sekarang tiada lagi kelebihan dari soal masa. Semasa saya muda, orang gelarkan saya ‘young man in a hurry’. Sekarang ‘old man in a hurry’. Masa bukan di pihak kita, jangan kena usaha keras,” jelas beliau.

  • Pemimpin nomad tak hirau rakyat

    Pemimpin nomad tak hirau rakyat

    Oleh BADLISHAH MAT

    CALON pilihan raya yang sering berpindah-randah kerusi atau nomad tidak memikirkan kepentingan rakyat melainkan hanya untuk tujuan politik mereka semata-mata.

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, golongan pemimpin seperti itu tidak menghiraukan pembangunan prasarana, pendidikan dan sosio-ekonomi kepada rakyat di sesuatu tempat.

    Menurutnya, sikap terbabit sudah tentu memberikan kesan yang tidak baik kepada rakyat apatah lagi jika mereka menang pilihan raya dan tidak menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat.

    “Pilihan raya ini bukan cerita syok-syok. Maksud pilihan raya dalam sebuah negara yang demokrasi adalah memilih pemimpin dan yang keduanya pemimpin itu mesti berkhidmat kepada rakyat.

    “Kalau dia bertanding Parlimen berjarak 200 kilometer misalnya berbanding ketika dia bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum itu, sebenarnya itu lebih kepada melihat bagaimana nak membina sesebuah parti sahaja.

    “Mereka duduk situ tujuan untuk politik sahaja, lepas itu rasa tak selesa pindah tempat lain pula, mereka tak peduli kepada rakyat. Rakyat itu bukan masalah mereka, rakyat itu masalah kerajaan,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Kuala Nerang, Padang Terap hari ini.

    Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertukar kerusi dari Port Dickson ke Tambun, manakala bekas Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berpindah dari Hang Tuah Jaya ke Bagan Datuk.

    Mahdzir berkata, trend tersebut tidak dipraktikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang berkhidmat di sesuatu kawasan sehingga mereka bersara.

    “Kita (BN) nak bagi perkhidmatan kepada orang ramai. Orang itu (pemimpin) pun tak ada masalah nak jumpa sebab dia ada di situ. Walaupun bertanding Parlimen dan perlu selalu ke Kuala Lumpur, sekurang-kurangnya hujung minggu dia balik ke kawasan.

    “Rakyat nak cakap sikit sahaja hal mereka, pada mereka mungkin (permintaan) kecil. Tapi kepada rakyat itu benda yang besar. Contohnya minta buat jalan 300 meter sahaja tetapi untuk penduduk ia amat penting,” katanya.