Author: Wartawan WartaRakyat

  • Selepas digugur UMNO, Shahidan berpeluang wakili PN

    Selepas digugur UMNO, Shahidan berpeluang wakili PN

    PERIKATAN Nasional (PN) Pusat yang akan menentukan sama ada Datuk Seri Shahidan Kassim diberi ruang bertanding mewakili PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 selepas digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN).

    Pengerusi PN Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, peluang masih terbuka untuk Shahidan bertanding mewakili PN selepas digugurkan sebagai calon BN Parlimen Arau.

    Katanya, langkah tersebut akan menjadi jambatan ke arah penyatuan ummah yang Pas usahakan selama ini.

    “Kita PN peringkat negeri tiada masalah untuk memberi laluan sekiranya Pas Pusat dan PN Pusat tidak menjadi halangan, kita pun akan terima. Kita tidak dapat membuat sebarang keputusan, hanya memaklumkan PN negeri memberi laluan kepada Shahidan bertanding di kerusi tersebut,” katanya lapor Harakah Daily.

    Shahidan digugurkan daripada mempertahankan kerusi Parlimen Arau yang diwakili sejak tahun 1986, PRU 1990, 2013 dan 2018. Beliau juga pernah dilantik Menteri Besar dari 1995 hingga 2008.

    Beliau tidak pernah tewas termasuk ketika berhadapan dengan Allahyarham Datuk Dr. Haron Din dan Datuk Hashim Jasin pada 2004 di DUN Tambun Tulang, 2013 (Parlimen Arau) dan 2018 (Arau).

    Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis berkata, kehadiran Shahidan bersama PN akan memberi kelebihan kerana pengaruhnya yang begitu besar di Arau dan Perlis.

    “Penyertaan Shahidan bersama PN di Parlimen Arau akan membuka lebih peluang lebih cerah untuk memang di kawasan berkenaan,” katanya yang akan mempertahankan Dun Sanglang.

    Menurutnya juga usaha ke arah penyatuan ummah akan digerak berterusan dan bukan sekadar ketika menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU).

  • Radzi mohon sokongan warga Putrajaya cipta era baharu politik negara

    Radzi mohon sokongan warga Putrajaya cipta era baharu politik negara

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin menjadikan kepimpinan prihatin, cekap dan bersih sebagai paksi untuk menggalas amanah dan tanggungjawab jika terpilih sebagai wakil rakyat kawasan itu.

    Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu berjanji akan menggalas amanah dan tanggungjawab besar itu dengan sebaiknya ke arah Era Baharu Putrajaya yang lebih baik.

    “Saya yang diamanahkan menjadi calon di Putrajaya berjanji menggalas amanah dan tanggungjawab besar ini dengan sebaiknya ke arah Era Baharu Putrajaya yang lebih baik berpaksikan kepimpinan yang prihatin, cekap dan bersih.

    “Dengan rendah diri, saya mohon sokongan daripada saudara saudari seluruh warga Putrajaya untuk kita sama-sama mencipta era baharu politik negara, bermula di Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

    Malam tadi, Radzi antara calon PN yang diumumkan Pengerusi gabungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 bagi kerusi Parlimen Putrajaya.

    Ia dibuat pada majlis pengumuman calon PN di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

    PN akan bertanding di 169 kerusi Parlimen manakala 116 lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

  • Perjuangan akan sentiasa diuji – Tuan Ibrahim

    Perjuangan akan sentiasa diuji – Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan ahli parti itu bahawa perjuangan mereka akan sentiasa diuji dan menuntut mereka bersikap rasional dan berjiwa besar.

    Berikut kenyataan penuh Tuan Ibrahim yang disiarkan dalam akaun Facebook rasmi beliau hari ini:

    Masa ini kita semua sedang diuji dalam perjuangan. Waktu ribut tengah kuat, ikat tali keledar, duduk di tempat masing-masing, dengar dan ikut arahan.

    Jangan ada yang buka tali keledar kerana merasa selamat dan kuat. Jangan ada yang cuba membantah arahan dan merasa lebih tahu. Jangan tinggal tempat duduk masing-masing kerana merasa kuat untuk melawan gelombang ribut ini.

    Telah banyak kapal yang karam,
    telah ramai yang terhumban,
    telah ramai yang menderita penyesalan,
    telah ramai yang dilaknat Tuhan.

    Berada dalam bahtera besar perjuangan akan sering diuji. Menuntut kesabaran tinggi. Kekuatan rohani, ketabahan jasmani dan aqli. Rasional dalam tindakan, jiwa besar sebagai anggota haraki.

    Tiada kebahagiaan selain merasa aman dan tenteram bilamana ribut berlalu, badai menghilang sedang kita terus berada dalam medan perjuangan untuk bertemu Tuhan sekalian alam.

    Nasihat buat diri dan anggota jamaah.

  • Calon ditampilkan PN bersih isu integriti, disenangi, boleh berkhidmat – Muhyiddin

    Calon ditampilkan PN bersih isu integriti, disenangi, boleh berkhidmat – Muhyiddin

    INDIVIDU ditampilkan Perikatan Nasional (PN) bagi mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah calon bersih daripada isu integriti, disenangi dan boleh berkhidmat kepada masyarakat.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kriteria pemilihan calon PN telah dibuat dengan teliti merangkumi pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional.

    Menurutnya, beliau bersyukur dengan sokongan padu daripada pemimpin serta anggota dan jentera parti baik Bersatu, Pas, GERAKAN mahupun parti Bersekutu kerana menyambut pengumuman calon PN dengan berlapang dada dalam suasana harmoni.

    “Alhamdulillah Majlis Pengumuman Calon Parti Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 malam tadi berjalan dengan lancar.

    “Seperti yang pernah saya sebutkan sebelum ini, kriteria pemilihan calon PN telah dibuat dengan teliti merangkumi pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional.

    “Namun, yang lebih penting adalah calon-calon kita bersih daripada isu integriti, disenangi dan boleh berkhidmat kepada masyarakat,” katanya di Facebook hari ini.

    Muhyiddin yang mempertahankan Parlimen Pagoh pada masa sama menyeru semua calon PN, agar bangkit dan memikul amanah menguruskan nasib rakyat sebagai satu jihad.

    Beliau menegaskan, mereka diingatkan agar jangan tidur atau leka, sebaliknya hendaklah menyampaikan risalah perjuangan PN ke seluruh pelosok negara,

    Katanya, ini bagi mencapai wawasan parti untuk mewujudkan Kerajaan Perikatan Nasional yang berintegriti, prihatin, bersih dan stabil (#PNBEST).

    “Kita tidak rela melihat negara ini jatuh ke tangan puak-puak tidak amanah, yang akan melakukan kemungkaran dan kerosakan kepada negara tercinta ini.

    “Kepada seluruh jentera parti, marilah bersama-sama berganding bahu dengan satu tekad untuk memastikan kemenangan kita dalam PRU-15 pada 19 November ini,” tambahnya.

  • Sindiket penyeludupan manusia babit pegawai Imigresen tumpas

    Sindiket penyeludupan manusia babit pegawai Imigresen tumpas

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket membawa masuk warga asing melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) semalam dengan tertangkapnya seorang pegawai Imigresen dan enam rakyat India, semalam.

    Pegawai Imigresen yang ditahan berusia 31 tahun manakala warga India itu pula berumur antara 20 hingga 42 tahun.

    Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, mereka ditahan dalam satu operasi bermula pukul 7.45 malam oleh pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama pegawai Imigresen Klia2.

    Beiau berkata, warga asing terbabit cuba memasuki negara ini untuk bekerja tanpa pas yang sah serta mengelakkan bayaran levi.

    “Modus operandi sindiket ini adalah menawarkan e-visa palsu kepada warga asing berkenaan untuk memasuki Malaysia sebagai pelancong,” katanya melalui dalam kenyataan hari ini.

    Khairul Dzaimee berkata, sindiket itu menyediakan tempat tinggal, program lawatan dan sejumlah wang kepada warga asing terbabit bagi menunjukkan seolah-seolah mereka adalah pelancong sebenar.

    Katanya, pegawai Imigresen yang bersubahat pula akan menurunkan cop ke atas pasport tanpa merekodkan perjalanan warga asing itu ke dalam sistem MyImms.

    “Sindiket ini disyaki telah menjalankan operasi sejak pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu,” katanya,

    Khairul Dzaimee memberitahu, berdasarkan maklumat risikan, sindiket itu dipercayai mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,000 kepada setiap warga asing yang menyamar sebagai pelancong untuk memasuki negara ini tetapi sebenarnya untuk bekerja tanpa pas kerja sah.

    Warga asing yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 kerana cuba memasuki Malaysia secara tidak sah.

    Pegawai Imigresen berkenaan pula akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, setelah perintah reman diperolehi.

  • Calon BN sumpah letak jawatan MP jika keluar atau dipecat parti

    Calon BN sumpah letak jawatan MP jika keluar atau dipecat parti

    CALON Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) wajib meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen (MP) sekiranya mereka keluar atau dipecat daripada parti masing-masing.

    Ia sebahagian daripada sumpah yang dilafazkan secara terbuka oleh calon BN pada satu majlis di ibu pejabat gabungan itu di Kuala Lumpur malam tadi.

    Pengarah pilihan raya BN, yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengetuai upacara mengangkat sumpah itu.

    Calon-calon itu antara lain berjanji akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta menunaikan tanggungjawab mereka dengan jujur dan amanah.

    Sekiranya mereka terlibat dalam salah guna kuasa dan rasuah, sebarang laba atau perbelanjaan akan menjadi “haram seharam-haramnya”.

    “Kami bersumpah dengan melafazkan wallahi wabillahi watallahi maka dengan lafaz ini berikrarlah saya dengan sesungguhnya dan dengan sebenar-benarnya mengaku selama-lamanya akan taat setia memelihara, melindungi dan mempertahankan kedaulatan perlembagaan dan undang-undang negara Malaysia.ketika memimpin ikrar berkenaan.

    “Jika saya khianat akan amanah yang dikurniakan ini, dengan menyalahgunakan kuasa dengan terlibat dalam rasuah atau menyimpang dalam apa jua bentuk sekalipun untuk mendapat laba dan hasil dunia maka pemilikan dan perbelanjaan yang saya kerjakan itu, adalah haram seharam-haramnya,” kata mereka, lapor Malaysiakini.

    Calon-calon daripada parti komponen BN bukan Islam turut saya membaca ikrar berkenaan.

    Ikrar itu juga menyaksikan calon BN bersumpah bahawa mereka akan mematuhi semua syarat kontrak dengan gabungan itu.

    “Bahawa saya juga berbai’iah dan bersumpah untuk mematuhi segala terma-terma dalam kontrak saya dengan parti sebagaimana yang telah ditandatangani serta akan meletakkan jawatan dari menjadi ahli dewan rakyat apabila saya keluar atau dipecat daripada parti,” kata mereka.

    Butiran kontrak itu bagaimanapun belum didedahkan kepada umum.

    Pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan sebelum ini menetapkan bahawa ahli parlimen yang bertukar parti di pertengahan penggal atau menjadi wakil rakyat bebas perlu mengosongkan kerusi mereka.

    Bagaimanapun, undang-undang tidak memerlukan ahli parlimen mengosongkan kerusi sekiranya mereka dipecat daripada parti.

    Malam tadi, BN mengumumkan barisan calon bagi PRU15 tidak lama lagi.

  • ‘Bantu saya sumbang kerusi Tasek Gelugor’  – Wan Saiful

    ‘Bantu saya sumbang kerusi Tasek Gelugor’ – Wan Saiful

    PERIKATAN Nasional (PN) tidak mempunyai agenda sulit mahupun program untuk menyelamatkan pemimpin-pemimpin tertentu sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).

    Menurut Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan, PN hanya bermatlamat untuk menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan semula ekonomi negara.

    “Rakyat tidak mempunyai banyak pilihan yang munasabah. Barisan Nasional akan mengangkat (Datuk Seri) Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri dan keutamaan mereka adalah memperkaya diri dan menyelamatkan diri.

    “Pakatan Harapan akan mengangkat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan agenda mereka akan merosakkan struktur asas Perlembagaan negara.

    “Malahan, Zahid Hamidi pernah berpakat untuk mengangkat Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Mereka berdua juga tidak pernah menafikan secara tuntas dakwaan bahawa ada pakatan untuk Zahid dan Anwar bekerjasama selepas PRU-15.

    “Pilihan yang munasabah hanyalah satu iaitu Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Berikutan itu, Wan Saiful berkata, pengundi hanya mempunyai PN sebagai pilihan dalam memastikan nasib rakyat Malaysia dapat dibela.

    “Hanya Perikatan Nasional menawarkan kerajaan prihatin yang bersih dan stabil, di bawah kepimpinan dua tokoh hebat iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang,” katanya.

    Dalam pada itu, Wan Saiful mengucapkan terima kasih kepada PN kerana mencalonkan beliau di Parlimen Tasek Gelugor pada PRU kali ini.

    Nama Wan Saiful diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.

    “Saya mohon pengundi Tasek Gelugor bantu saya untuk menyumbang satu kerusi yang akan digunakan untuk menolak pakatan Zahid-Anwar, dan menjulang kepimpinan Muhyiddin-Hadi,” katanya lapor portal BeritaBersatu.

  • Tiga EXCO Kedah ‘naik pangkat’ bertanding kerusi Parlimen

    Tiga EXCO Kedah ‘naik pangkat’ bertanding kerusi Parlimen

    SEBANYAK tiga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah diumum sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Nama mereka diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pengumuman Bakal Calon PN PRU-15, malam tadi.

    Mereka terdiri daripada EXCO Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail; EXCO Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India, Datuk Azman Nasrudin.

    Turut diumum adalah EXCO Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Dr Robert Ling Kui Ee.

    Ku Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak bakal bertanding di Parlimen Kubang Pasu.

    Azman yang juga ADUN Lunas, akan bertanding di Parlimen Padang Serai, manakala Dr Robert adalah ADUN Sidam yang akan bertanding di Parlimen Sungai Petani.

  • Tak sampai 24 jam dicalonkan Zahid, Ustaz Kazim tarik diri bertanding

    Tak sampai 24 jam dicalonkan Zahid, Ustaz Kazim tarik diri bertanding

    PENDAKWAH bebas Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim difahamkan sudah membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding di Parlimen Larut.

    Menurut laporan, Mohd Kazim membuat keputusan menarik diri itu tidak sampai 24 jam selepas Barisan Nasional (BN) menamakan beliau sebagai calon di kerusi Parlimen tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) malam tadi.

    Untuk rekod, pencalonan Mohd Kazim itu kali pertama diterimanya selepas UMNO sebelum ini berkali-kali cuba menawarkan kerusi kepadanya untuk bertanding.

    Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan tempat Mohd Kazim akan digantikan Ketua Koordinator BN, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud di Parlimen Larut.

    Penarikan diri Mohd Kazim dilihat akan menjadi satu tamparan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sudah pun menerima tekanan daripada akar umbi ekoran pemilihan calon tidak menepati kehendak pengundi di kawasan.

  • PRU-15: Perikatan Nasional akan calonkan Shahidan di Arau

    PRU-15: Perikatan Nasional akan calonkan Shahidan di Arau

    PERIKATAN Nasional (PN) Perlis mengesahkan kekosongan nama calon kerusi Parlimen Arau adalah untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Shahidan Kassim bertanding mewakili pakatan tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut Pengerusi PN negeri, Mohd Shukri Ramli, nama calon kerusi Parlimen Arau itu dikosongkan pada saat akhir kerana rundingan di peringkat Pusat dengan Shahidan masih belum dimuktamadkan lagi.

    “Ya, betul ada rundingan dengan beliau (Shahidan). Semua bermula apabila kami berjumpa secara tidak sengaja di lapangan terbang pada Isnin lepas.

    “Kami mempunyai hubungan baik selama ini dan perkara ini (tawaran menjadi calon PN) tercetus selepas terdapat ura-ura beliau mungkin tidak tercalon pada PRU-15.

    “Di peringkat negeri, kami belum tahu lagi keputusannya kerana perbincangan masih berjalan di ibu pejabat. Saya masih menunggu keputusan ibu pejabat,” katanya, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis berkata, pihaknya sebelum ini telah menghantar nama calon untuk dipilih di peringkat Pusat bagi bertanding di kerusi Parlimen Arau pada PRU15.

    “Kerusi Parlimen Arau ini adalah milik Pas. Sebelum ini, kita sudah hantar senarai nama yang sesuai untuk bertanding di kerusi Parlimen Arau.

    “Berdasarkan situasi sekarang, kita akan beri laluan kepada Shahidan sebab beliau adalah calon boleh menang. Paling penting pada kami adalah memenangi sebanyak kerusi pada PRU15,” katanya.

    Tambah Mohd Shukri, beliau percaya bahawa penyokong Pas di peringkat akar umbi akan merestui keputusan ini kerana mereka ahli yang taat kepada parti.

    Shahidan semalam mengesahkan tetap mahu bertanding di kerusi Parlimen Arau walaupun perlu menggunakan tiket parti lain selepas namanya digugurkan sebagai calon BN dan digantikan dengan Datuk Rozabil Abdul Rahman.