Author: Wartawan WartaRakyat

  • Wanita UMNO luah rasa kecewa BN gagal terjemah kuota 30 peratus calon wanita

    Wanita UMNO luah rasa kecewa BN gagal terjemah kuota 30 peratus calon wanita

    WANITA UMNO tidak berpuas hati dengan senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) yang mendakwa pucuk pimpinan parti gagal menterjemah janji untuk menetapkan kuota 30 peratus calon wanita.

    Ketua penerangan Wanita UMNO, Norshida Ibrahim berkata, pucuk pimpinan BN seakan-akan tidak memandang serius janji kuota itu.

    “Apakah pucuk pimpinan BN lupa bahawa calon wanita adalah salah satu faktor kemenangan kepada BN?

    “Adakah pucuk pimpinan lupa janji tersebut ditagih oleh kesemua wanita dan pengundi wanita di negara ini,” soalnya menerusi satu hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Daripada 160 calon BN yang diumumkan, Selasa lalu oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku pengerusi BN hanya 18 adalah wanita yang kira-kira hanya berjumlah 11.25 peratus.

    Wanita UMNO pula hanya mendapat lapan kerusi manakala Puteri UMNO diberikan tiga kerusi.

    Mengulas lanjut, Norshida berkata, jika tidak mahu melaksanakan janji kuota 30 peratus calon Wanita, adalah tidak perlu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Dewan Tertinggi BN menyatakan komitmen untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus pembabitan calon wanita dalam PRU-15.

    “Apakah kita perlu berdiam diri dengan pendirian sebegini yang sudah begitu lama dijanjikan angan-angan kosong oleh pucuk pimpinan,” soalnya lagi seperti dilaporkan Malaysiakini.

    “Jelas bahawa pucuk pimpinan tidak mengiktiraf dan memberikan kepercayaan penuh kepada Wanita BN untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam pimpinan arus perdana negara,” katanya sambil menyatakan kekecewaan pergerakan itu.

  • PKR namakan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai calon MB Perak

    PKR namakan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai calon MB Perak

    PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mempertaruhkan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Difahamkan sekiranya calon berkenaan, Zainal Azman Abu Seman menang di DUN tersebut, beliau akan menjadi calon Menteri Besar Pakatan Harapan (PH) di Perak.

    Kawasan luar bandar majoriti Melayu itu dimenangi PKR pada PRU-14 tetapi kerusi itu dirampas semula oleh UMNO pada pilihan raya 2018, dengan hanya majoriti 329 undi.

    Sumber daripada PKR mengesahkan Zainal akan menjadi calon MB PH jika gabungan itu memenangi perak pada PRU15 ini.

    Zainal mempunyai sejarah perkhidmatan awam yang lama, termasuk pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perak semasa pentadbiran PH, yang menjadikannya ideal untuk jawatan itu.

    Beliau adalah seorang daripada tujuh calon PRU-15 berprofil tinggi yang diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu lalu.

    PKR Perak dijangka mengumumkan senarai calonnya untuk kerusi DUN di Ipoh pada jam 5 petang ini.

    Zainal telah mengakitifkan akaun media sosialnya beberapa hari lalu dan menyiarkan gambar-gambar aktiviti terbarunya di Perak Utara.

    Dalam catatan di Facebook semalam, bekas penjawat awam itu menawarkan diri untuk berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak dengan menawarkan pengalaman yang dimilikinya dalam sektor awam.

    “Marilah bersama-sama memberi sokongan dan undi kepada Harapan pada kali ini,” kata Zainal, memetik laporan Malaysiakini, hari ini.

  • Tidak sekat mana-mana individu mahu sertai PN-Muhyddin

    Tidak sekat mana-mana individu mahu sertai PN-Muhyddin

    PERIKATAN Nasional (PN) tidak menghalang mana-mana individu yang mahu menyertai gabungan itu, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, perkara tersebut sudah menjadi dasar parti dalam gabungan berkenaan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

    “Dasar parti-parti kita ini, sesiapa yang nak menjadi ahli kita tak pernah halang (dan) sekat.

    “Itu keputusan sejak awal (dan) kita buat begitu pasal ini (PN) adalah parti yang mewakili pribumi, Bumiputera, Islam dan parti saya (Bersatu) pun ada yang bukan Islam. Jadi, itu terpulang pada pihak masing-masing.

    “Bagi kita, soal menjadi keahlian itu tak menjadi masalah (tetapi) soal nak jadi calon itu adalah soal atau ada pertimbangan lain yang perlu diambil kira,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Minum Petang Bersama Jentera PN Hulu Terengganu di Kuala Berang, malam tadi.

    Sementara itu, Muhyiddin menjangkakan tiada perubahan calon pada saat akhir bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Beliau berkata, ini kerana senarai nama calon berkenaan sudah diputuskan dan dimuktamadkan, apatah lagi tarikh penamaan calon juga semakin hampir.

    “Yang ada sekarang, kita sudah putuskan dan sudah ada persetujuan berapa Pas dapat, Bersatu dapat dan kita kena muktamad (soal calon) pasal harinya sudah sampai dan tempoh yang cukup dekat,” katanya, lapor portal Bersatu.

    Semalam, PN mengumumkan bertanding 169 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri di Pahang, Perlis dan Perak pada PRU-15.

    Menerusi jumlah itu, Bersatu bertanding 74 kerusi, Pas bertanding di 64 kerusi Parlimen manakala Gerakan diberikan 20 kerusi Parlimen.

  • Peratus keluar undi rendah bahayakan PN

    Peratus keluar undi rendah bahayakan PN

    PERATUSAN keluar undi yang rendah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) boleh membahayakan Perikatan Nasional (PN), kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, terutamanya matlamat PN untuk meneraju kerajaan baharu paska PRU-15.

    Justeru katanya, rakyat perlu keluar mengundi selain menekankan golongan muda dan perantau pulang dan melaksanakan tanggungjawab mengundi.

    Katanya, anak muda perlu mengundi Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kelantan supaya PN boleh menang.

    “Kalau nak jelas hala tuju negara, bina negara yang stabil, keadilan yang sama antara kaum, kemajuan ekonomi dan semangat bermuafakat, maka rakyat perlu memenangkan PN.

    “Insya-Allah, dengan kemenangan itu kita dapat bina sebuah negara yang hebat. Tambahan pula, kemenangan kita untuk mendaulatkan agama selain Islam menuntut untuk berlaku adil pada semua orang,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PRU15 PN Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di Kota Bharu, malam tadi.

    Pada majlis sama, Ketua Armada Bersatu, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pengundi dalam kalangan anak muda di Kelantan sangat ramai iaitu 59 peratus, sekali gus menjadi aset penentu masa depan bukan sahaja untuk kejayaan PN di Kelantan tetapi seluruh negara.

    “Insya-Allah di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang, dapat menjanjikan kepemimpinan cemerlang dan ia tawaran terbaik khusus buat anak muda.

    “Saya sendiri pernah jadi menteri. Kerajaan kita cukup duit untuk diberi kepada Kelantan, namun masalahnya adalah pada pentadbiran di Putrajaya yang tidak amanah dan jujur.

    “Justeru, marilah kita mengundi PN yang mana terdiri daripada kalangan ulama dan ahli politik yang bebas rekod rasuah,” katanya, lapor portal Bersatu.

  • PN tak gerun hadapi musuh PRU15-Mohd Amar

    PN tak gerun hadapi musuh PRU15-Mohd Amar

    PERIKATAN Nasional (PN) tidak gerun kepada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) untuk berhadapan Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15).

    Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Pas sendiri bukan lagi bergerak sendirian tetapi turut mendapat sokongan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada PRU kali ini.

    Pihaknya juga yakin kejayaan Pas menakluk Kelantan selama 32 tahun, sudah cukup membuktikan bahawa pihaknya mampu menerajui negara dengan menubuhkan sebuah kerajaan baharu yang lebih baik dan adil.

    Malah katanya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Pas yakin ramai pengundi UMNO sebelum ini akan bagi undi Pas dan PN.

    “Kita akui UMNO dulu hebat, tetapi sekarang tidak perlu lagi takut.

    “Kita juga perlu pastikan kesemua 14 kerusi di Kelantan dimenangi terlebih dahulu dan tidak mustahil selepas PRU-15 ini, negara diterajui kerajaan baharu yang boleh membawa perubahan besar.

    “Walaupun kita parti berbeza dalam PN, kita mempunyai matlamat yang sama,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PRU15 PN Negeri Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di Koa Bharu, malam tadi.

    Mohd. Amar berkata, pihaknya yakin rakyat terus memberikan kepercayaan kepada PAS dan seterusnya membuka ruang kemenangan kepada PN di seluruh negara.

    Pada majlis sama, Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, 11 kerusi yang dimenangi sebelum ini perlu dipertahankan manakala tiga lagi kerusi harus ditempatkan ‘penyerang’.

    Katanya, Parlimen Gua musang, Machang dan Ketereh, sudah ditempatkan ‘penyerang’, manakala 11 wakil lagi bertindak sebagai ‘goal keeper’ untuk terus mengekalkan kemenangan sebelum ini.

  • Muhyiddin tidak tolak kemungkinan kerjasama Zahid-Anwar pasca-PRU15

    Muhyiddin tidak tolak kemungkinan kerjasama Zahid-Anwar pasca-PRU15

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak tolak kemungkinan bakal wujud kerjasama antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mendedahkan, kerjasama tersebut adalah bagi membentuk kerajaan yang baharu.

    Jelas Muhyiddin, kerjasama itu boleh membawa musibah terutama kepada masyarakat Melayu kerana Anwar akan membawa sama komponen parti Pakatan Harapan (PH) lain termasuk DAP untuk membentuk kerajaan.

    “Bila PRU nanti selesai dan jika UMNO tidak mempunyai jumlah kerusi untuk bentuk kerajaan, kemungkinan Zahid akan jemput Anwar dan bersama parti PH termasuk DAP bagi bentuk kerajaan.

    “Adakah orang yang sokong UMNO mahukan ini terjadi? Kalau tidak mahu maka orang UMNO perlu sokong PN bagi elak musibah berlaku,” kata Muhyiddin dalam ucapannya di Majlis Pelancaran Jentera PN Terenganu di Kuala Berang, malam tadi.

    Jelas Muhyiddin, adalah menjadi tanggungjawab jentera PN untuk menyedarkan penyokong UMNO ini dan meyakinkan mereka untuk mengundi PN pada PRU15 nanti.

    “Inilah jihad yang perlu kita teruskan untuk sedarkan orang Melayu dan penyokong UMNO.

    “Kalau kita tidak ambil langkah dan beri kefahaman yang betul, mereka akan undi BN dan PH, saya takut kalau lepas PRU kita hadapi yang teruk,” katanya, lapor portal Bersatu.

    Beliau juga menyatakan PRU kali ini adalah untuk rakyat selamatkan negara supaya tidak terjerumus ke kancah kerosakan yang sukar untuk dibetulkan.

  • Rosol calon PN di Hulu Terengganu-Muhyiddin

    Rosol calon PN di Hulu Terengganu-Muhyiddin

    TIMBALAN Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Rosol Wahid diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding di kerusi Parlimen Hulu Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perkara tersebut ketika berucap dalam Program Jelajah Prihatin PN Hulu Terengganu dan Pelancaran Jentera PRU-15 PN Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, malam tadi.

    “Saya nak tengok di Hulu Terengganu PN diisytihar menang, calon yang bertanding tidak lain tidak bukan adalah saudara Rosol Wahid untuk kawasan Hulu Terengganu.

    “Sepatutnya esok akan diisytihar (calon PN Terengganu) tapi kerana dia calon Bersatu biar saya isytihar beliau adalah calon PN di kawasan Hulu Terengganu,” katanya yang juga Presiden Bersatu.

    Seramai 3,000 penyokong PN hadir pada majlis itu termasuk Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang, Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris dan Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

    Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen dengan enam daripadanya dimenangi Pas iaitu Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman manakala Barisan Nasional (BN) memenangi dua kerusi iaitu Besut dan Hulu Terengganu.

    Bagaimanapun, kerusi Hulu Terengganu bertukar menjadi milik Bersatu apabila penyandangnya, Rosol keluar UMNO selepas PRU-14 dan menyertai Bersatu pada Disember 2018.

    Pada PRU-14, Rosol yang bertanding atas tiket BN memenangi kerusi Hulu Terengganu dengan majoriti 2,868 undi menewaskan calon Pas, Muhyiddin Abdul Rashid dan Datuk Razali Idris yang merupakan calon Bersatu ketika itu.

  • [VIDEO] Ada pemimpin UMNO mahu kecilkan kemenangan BN demi PH, dakwa Hadi

    [VIDEO] Ada pemimpin UMNO mahu kecilkan kemenangan BN demi PH, dakwa Hadi

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEGELINTIR pemimpin dalam UMNO sedang mengatur strategi bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak mengecil.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, menerusi maklumat diterimanya, langkah tersebut sebagai strategi untuk membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas hari pengundian nanti.

    Katanya, tindakan tersebut dipercayai diatur oleh sebahagian pemimpin UMNO yang mahu menyelamatkan diri masing-masing daripada kes mahkamah.

    “Kami difahamkan ada dalam kalangan pimpinan UMNO yang mahu kecilkan kemenangan UMNO untuk bekerjasama dengan PH. Tindakan mengecilkan kemenangan UMNO itu dibuat bagi membesarkan kemenangan PH untuk kedua-dua parti tersebut bergabung selepas PRU-15.

    “Sekarang ini ramai dalam kalangan orang UMNO yang tak setuju dengan PH sementara golongan tertentu ini berjanji akan mendukung pemimpin yang nak bergabung dengan PH, untuk membebaskan diri,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) Kedah di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar hari ini.

    Abdul Hadi berkata, golongan terbabit diyakini cuma mahu selamatkan diri sendiri dan bukan hendak membantu rakyat.

    “Sama ada mereka mahu jadikan pemimpin PH sebagai Perdana Menteri, perkara itu kini terpulang kepada BN sendiri,” katanya.

    Mengulas lanjut Abdul Hadi berkata, langkah tersebut merupakan susulan kepada kegagalan pihak tertentu untuk menarik UMNO ke dalam ‘khemah besar’ sebelum ini.

    “Mereka cuba guling kerajaan PN di Persekutuan tetapi gagal. Mereka jatuhkan kerajaan negeri di Perak tetapi tak boleh tubuh kerajaan. Itu tanda aras yang boleh dibaca dengan jelas. Terdapat cubaan membawa BN ke arah itu (bekerjasama dengan PH) namun apa yang pasti, kita jelas takkan bersama PH,” katanya.

  • Bekas pensyarah taruhan PN cabar Noraini di Parit Sulong

    Bekas pensyarah taruhan PN cabar Noraini di Parit Sulong

    CALON Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Parit Sulong, Dr. Abdul Karim Deraman, 64, yakin mampu menewaskan calon nama besar atau ‘heavyweight’ daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Abdul Karim yang pernah berkhidmat selama 36 tahun sebagai pensyarah di Fakulti Sains dan Jabatan Fizik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai bersyukur kerana diberikan kepercayaan serta dipilih sebagai calon.

    Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor itu memaklumkan minta untuk dicalonkan tetapi pucuk pimpinan telah memilihnya

    “Dalam Pas kami tidak pernah berebut jawatan atau mahu menjadi calon. Apabila diumumkan bertanding di Parit Sulong, saya terima dan menganggap ia satu pengiktirafan sepanjang pembabitan di dalam parti.

    “Saya yakin dengan gerak kerja dan sokongan ahli serta rakan dari PN akan dapat mengalahkan calon ‘heavyweight’ dari BN iaitu, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang juga Menteri Pengajian Tinggi,” katanya, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Abdul Karim diumumkan sebagai empat calon Pas bagi PN di Johor oleh Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin di Pejabat Pas Johor di Bandar Baru Uda di Johor Bahru, semalam.

    Tiga lagi calon diumumkan ialah Abdullah yang juga Naib Pengerusi PN Johor bertanding di Muar, Mohd. Nazari Mokhtar di Parlimen Tenggara dan Zanariyah Abdul Hamid di Sri Gading.

    Sementara itu, Zanariyah, 52, menyifatkan pemilihan dirinya bukti Pas dan PN tidak meminggirkan wanita.

    Zanariyah merupakan bekas pegawai optometri di sebuah hospital kerajaan berazam mahu memberikan yang terbaik bagi memastikan kemenangan parti di Sri Gading.

    “Saya kini mengusahakan pusat optometri di Parit Raja, Batu Pahat. Saya juga aktif dalam Pas sebagai Ketua Jabatan Keahlian Pas Kawasan Sri Gading dan Pengarah Jentera J12K Dewan Muslimat Pas Johor.

    “Saya akan mendekati lebih ramai pengundi daripada pelbagai peringkat usia termasuk golongan muda menerusi media sosial,” katanya.

  • PN Pahang tidak lamar calon digugurkan parti lain

    PN Pahang tidak lamar calon digugurkan parti lain

    PERIKATAN Nasional (PN) Pahang tidak mengambil mana-mana penyandang kerusi yang digugurkan oleh parti lain untuk bertanding sebagai calonnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, malah PN Pahang tidak berfikiran untuk menawarkan samada kerusi Parlimen atau kerusi Dewangan Undangan Negeri (DUN) kepada mereka yang ingin bertanding atas tiket PN.

    “Namun PN Pahang tetap akan akur dengan sebarang arahan dan keputusan Majlis Tertinggi.

    “Itu bukan bidang kuasa Perikatan negeri Pahang, apa saja keputusan itu tertakluk kepada keputusan Majlis Tertinggi, kami ini akur dengan keputusan Majlis Tertinggi.

    “Jadi itu kami di peringkat kami, kami tidak berfikir begitu tapi kalau Majlis Tertinggi melihat ada kewajaran, kami terserah lah, itu semua terserah kepada Majlis Tertinggi,” katanya.

    Saifuddin berkata demikian selepas majlis Pelancaran Jentera PN Indera Mahkota malam tadi ekoran terdapat spekulasi tawaran bertanding kepada penyandang kerusi Parlimen Maran yang digugurkan semasa pengumuman calon parti tersebut, lapor Astro Awani hari ini.

    Terdapat desas-desus penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib kononnya dirisik sebuah parti politik lain selepas Barisan Nasional (BN) tidak mencalonkan namanya untuk PRU-15.

    Malah dikatakan masyarakat Orang Asli di kawasan Maran tidak akan keluar mengundi sekiranya Ismail tidak menjadi calon.