Author: Wartawan WartaRakyat

  • PRU-15: ‘Bodoh’ isytihar harta, kata Hadi

    PRU-15: ‘Bodoh’ isytihar harta, kata Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, syarat PKR supaya calonnya yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mengisytiharkan harta adalah satu “kebodohan”.

    Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, pendekatan itu seolah-olah mahu menunjuk-nunjuk kepada orang ramai.

    “Isytihar harta ini kadang-kadang satu kebodohan. Nak tunjuk-tunjuk kepada orang ramai,” katanya dalam sidang media selepas kuliah mingguan di Rusila, Marang, menurut Malaysiakini.

    Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas sejauh mana parti itu akan turut sama mengikuti langkah PKR dalam pengisytiharan harta.

    Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dilapor berkata, setiap calon parti pada PRU-15 perlu berbuat demikian bagi memastikan standard yang lebih tinggi untuk pilihan raya akan datang.

    Langkah itu juga dikatakan akan menimbulkan keyakinan orang ramai terhadap pilihan raya dan institusi yang mereka berkhidmat sekiranya calon itu mula memegang jawatan.

    Semalam, Pas berkata parti itu tidak akan mengambil pendekatan meminta calon PRU-15 mengisytiharkan harta kerana ia mungkin akan memberikan implikasi negatif.

    Naib presidennya Mohd Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun jumlah aset itu hanya dimaklumkan kepada menteri besar.

    “Kita tidak boleh mendedahkannya (harta) kepada orang awam kerana ia ada baik dan buruknya. Bila orang tahu kita ada harta banyak, mungkin ada implikasi negatif.

    “Oleh itu kita ambil pendekatan tidak berbuat demikian (isytihar harta). Lagi pun orang PAS tak ada harta banyak dan malu juga sedangkan orang lain berjuta-juta,” katanya menurut Utusan Malaysia.

  • Pemandu lori ditahan bakar bendera parti

    Pemandu lori ditahan bakar bendera parti

    PEMANDU lori berusia 31 tahun ditahan kerana disyaki merosakkan bahan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Sejak beberapa hari lalu tular dalam aplikasi media sosial TikTok mengenai tindakan seorang lelaki dilihat sengaja membakar bendera daripada sebuah parti yang menimbulkan kemarahan ramai pihak di Dungun Terengganu.

    Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, hasil maklumat orang awam satu tangkapan dibuat terhadap seorang lelaki di rumahnya di kampung Pasir Raja.

    “Satu laporan diterima mengatakan seorang lelaki yang mungkin tidak siuman atau berada di bawah pengaruh dadah bertindak membakar bendera parti.

    “Hasil penelitian video berdurasi lebih kurang satu minit tujuh saat memaparkan seorang lelaki Melayu sedang membakar sehelai kain berwarna hijau dan putih menggunakan pemetik api.

    “Lokasi kejadian berlaku tepi jalan berhampiran simpang masuk ke Kampung Pasir Raja Kuala Jengai dan susulan itu tangkapan telah dibuat pada pukul 1.30 pagi,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati suspek merupakan orang yang sama terlibat dalam kes pembakaran bendera Jalur Gemilang.

    “Sebelum ini kita ada menerima satu laporan membabitkan kes membakar bendera Malaysia dan suspek adalah individu yang sama.

    “Kes disiasat dibawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan suspek yang dipercayai positif dadah akan ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

  • Warga Felda sambut baik tawaran PN

    Warga Felda sambut baik tawaran PN

    LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) adalah satu agensi kerajaan yang menangani penempatan semula penduduk luar bandar ke kawasan-kawasan lain untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.

    Nasib warga Felda ini tidak pernah dipinggirkan dan antara khabar gembira yang melegakan hati peneroka khususnya apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) melupuskan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

    Kerajaan PN juga menerbitkan sukuk bernilai RM9.9 bilion bagi menambahbaik model perniagaan agensi tersebut.

    Terbaharu, nasib warga Felda itu terus mendapat perhatian menerusi Tawaran PN BEST PRU15 yang diumumkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Untuk memperkasa generasi itu, PN menawarkan beberapa inisiatif seperti Wawasan Felda Baharu bagi menjamin masa depan mereka dengan mewujudkan peluang ekonomi baharu, keusahawanan serta menambah baik infrastruktur asas termasuk capaian Internet dan rumah mampu milik.

    Inisiatif lain ialah menyelamatkan projek perumahan generasi baharu Felda terbengkalai yang berpotensi untuk dibaik pulih, di samping memperkenalkan skim keusahawanan Felda bagi menggalakkan penglibatan usahawan muda dalam aktiviti pertanian bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi terkini dan automasi.

    Turut menjadi tumpuan juga untuk memulihkan Felda supaya prestasinya setanding dengan syarikat perladangan kelapa sawit berprestasi tinggi bagi menjamin kesejahteraan peneroka.

    Tawaran PN memperkasakan Felda mendapat reaksi yang baik dari warga Felda di sekitar Bentong, Pahang.

    “Sudah pasti sebagai generasi kedua Felda, saya sambut baik usaha PN untuk bantu generasi kami kerana masih ada yang menumpang rumah keluarga. Cuma prosesnya diperhalusi dan dipermudahkan untuk memiliki rumah,” kata Anuar A.Latif, 49, yang menetap di Felda Sungai Nerek

    Selain itu, Wan Puspawati Wan Anuar berharap ekonomi lebih stabil bagi memberi laluan kepada kesungguhan PN dalam membantuk rakyat dan memulihkan keadaan.

    Buat Izhar Ahmad,73 beliau menghargai tindakan Muhyiddin melupuskan hutang peneroka memang dihargai dan berhadap lebih banyak infrastruktur dapat disediakan seperti bank.

    Menurut Shamsudin Abdullah, 61, belia berharap PN mampu mendapat mandat rakyat agar masalah rumah generasi kedua Felda mampu ditangani.

    “Syukur kerana pemimpin seperti Tan Sri Muhyiddin membantu peneroka. Saya harap jika PN menerajui negara, masalah rumah generasi kedua diselesaikan. Kalau bukan 100 peratus pun, sekurang-kurangnya lebih ramai generasi ini dapat,” katanya, lapor SatuBerita.

  • Wujud persefahaman Ahmad Zahid-Anwar bentuk kerajaan selepas PRU-15 – Muhyiddin

    Wujud persefahaman Ahmad Zahid-Anwar bentuk kerajaan selepas PRU-15 – Muhyiddin

    WUJUD persefahaman antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penggabungan bakal dilakukan dengan PH yang diterajui Presiden PKR itu jika UMNO tidak mendapat kerusi diperlukan bagi membentuk kerajaan pada PRU15 ini.

    “Memang ada persefahaman antara Ahmad Zahid dan Anwar supaya lepas pilihan raya ini, kalau UMNO tak dapat sejumlah kerusi yang mencukupi untuk bentuk kerajaan, maka dia akan bergabung dengan parti PH dipimpin Anwar.

    “Siapa di belakang Pakatan Harapan? Anwar Ibrahim? Bukan? DAP? DAP ini saudara pun tahu bagaimana ideologi DAP yang terbentuk sekian lama, dia menolak hak istimewa orang Melayu, tidak mendokong perjuangan Islam sebagai agama Persekutuan, banyak perkara bercanggah dengan kepentingan rakyat, khususnya orang Melayu,” katanya ketika berucap pada siri jelajah PN Best di Balok, Kuantan.

    Pada 14 Oktober lalu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, UMNO dan PKR sedang mengadakan rundingan sulit untuk bekerjasama bagi menghadapi PRU-15. 

    Wan Saiful mendakwa, agenda untuk bekerjasama itu adalah bagi meminimumkan pertembungan dalam pilihan raya umum nanti seterusnya mengusahakan pembentukan kerajaan secara bersama antara kedua-dua parti itu.

    Muhyiddin berkata, nasib rakyat akan menjadi pertaruhan jika kerjasama antara UMNO dan PH menjadi kenyataan selepas PRU15 ini.

    Beliau turut mempersoalkan parti mana yang akan menguasai kerajaan jika UMNO dan PH bergabung membentuk jajaran baru.

    “UMNO atau PH? Saya bimbang kalau ini berlaku, maka apakah nasib kita semua pada masa akan datang,” kata penyandang dan juga calon PN kerusi Parlimen Pagoh, Johor.

  • Muhyiddin ingatkan bahaya kerjasama UMNO-PH

    Muhyiddin ingatkan bahaya kerjasama UMNO-PH

    DAP didakwa pernah mendesak supaya memansuhkan Akta Hasutan semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pusat selama 22 bulan, dedah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa desakan DAP untuk memansuhkan akta tersebut dibuat semasa beliau menjadi Menteri Dalam Negeri ketika PH memerintah, namun bertegas dengan pendiriannya untuk tidak tunduk dengan tekanan diberikan tersebut.

    “Saya duduk di Kemeterian Dalam Negeri (KDN), dalam mesyuarat, banyak perbincangan ditekan oleh DAP. Satu contoh yang saya masih ingat ialah supaya mengambil langkah untuk menghapuskan Akta Hasutan.

    “Akta Hasutan ni sudah lama ada iaitu untuk mengekang segala bentuk salah laku perbuatan yang menyentuh soal-soal induk dalam negara kita. Soal institusi Raja-raja dan Sultan, jangan sentuh tak tentu arah.

    “DAP didakwa pernah mendesak supaya memansuhkan Akta Hasutan semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pusat selama 22 bulan,” dedah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa desakan DAP untuk memansuhkan akta tersebut dibuat semasa beliau menjadi Menteri Dalam Negeri ketika PH memerintah, namun bertegas dengan pendiriannya untuk tidak tunduk dengan tekanan diberikan tersebut.

    “Saya duduk di Kemeterian Dalam Negeri (KDN), dalam mesyuarat, banyak perbincangan ditekan oleh DAP. Satu contoh yang saya masih ingat ialah supaya mengambil langkah untuk menghapuskan Akta Hasutan.

    “Akta Hasutan ni sudah lama ada iaitu untuk mengekang segala bentuk salah laku perbuatan yang menyentuh soal-soal induk dalam negara kita. Soal institusi Raja-raja dan Sultan, jangan sentuh tak tentu arah.

    “Diadakan peruntukan itu untuk tindakan tertentu boleh diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu, atau meminta hak istimewa orang Melayu ataupun agama Islam ataupun bahasa Melayu dan perkara-perkara lain yang sensitif. Dia (DAP) minta supaya saya ambil langkah untuk menghapuskan Akta Hasutan, saya tidak buat,” katanya semasa ceramah PNBest di Indera Mahkota malam tadi lapor Berita Bersatu.

    Menurut Muhyiddin, terdapat spekulasi yang sahih berkemungkinan wujud kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) khususnya antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk membentuk kerajaan bersama.

    “Saya dah dapat satu cerita yang sahih. Saya tak payah perlu beritahu sumber ini, cerita sahih ini mengatakan memang ada persefahaman yang sudah terjalin antara Zahid Hamidi dengan Anwar Ibrahim.

    “Supaya lepas pilihan raya ini kalau UMNO dan dia tak akan dapat sejumlah kerusi yang mencukupi untuk bentuk kerajaan sendiri, macam masa-masa yang lampau maka dia akan ambil langkah untuk bergabung dengan Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim.

    “Saudara tahu siapa di sebalik Pakatan Harapan Anwar Ibrahim? Siapa dia? DAP,” katanya lagi.

    Untuk rekod, Anwar dan Zahid diketahui umum mempunyai hubungan istimewa cikgu dan anak murid, malah sebelum ini berkomplot dalam menjatuhkan kerajaan PN sebelum ini.

    Jika kerjasama antara UMNO dengan PH itu terjalin, Muhyiddin berkata, DAP akan menjadi dominan dan tidak mustahil ia bakal menggugat kepentingan orang Melayu khususnya.

    “Banyak perkara yang dilakukan (DAP) bercanggah dengan kepentingan rakyat kita khususnya orang-orang Melayu,” katanya lagi.

    Muhyiddin menggesa kepada orang ramai supaya membuat pertimbangan yang sewajarnya semasa PRU-15 dan tidak membuat keputusan yang akan merugikan masa depan mereka.

    “Saya cukup bimbang kalau lah ini berlaku maka apakah nasib kita semua di masa akan datang. Tetapi nasib baik ini boleh jadi peringatan, sebelum berlaku.

    “Tetapi boleh berlaku, khususnya kalau pengundi Melayu salah pertimbangan termasuklah pengundi yang sekarang ini menjadi ahli UMNO,” ujarnya lagi.

  • Kazim tarik diri kerana mahu terus berdakwah, jelas abang

    Kazim tarik diri kerana mahu terus berdakwah, jelas abang

    ABANG kepada Datuk Kazim Elias mendedahkan beliau bukan punca utama adiknya itu menarik diri sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Najmuddin Elias yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Batu Kurau menjelaskan, keputusan itu lebih kepada kesedaran adiknya meneruskan kerja-kerja dakwah dan tidak mahu dilabel bias atau berat sebelah atau memberi kesan negatif sebagai seorang pendakwah.

    “Sebenarnya ustaz Kazim dah tahu dari awal saya dicalonkan awal oleh Bersatu, sebelum dia ditawarkan oleh UMNO/BN. Masa BN tawarkan ustaz Kazim bertanding, ustaz Kazim dah tahu saya akan bertanding.

    “Jadi tidak timbul saat-saat akhir dia tarik diri tu kerana abangnya bertanding sebab dia dah tahu awal.

    “Adik (ustaz Kazim) mengatakan dia menarik diri itu kerana kelangsungan dakwahnya, tidak mahu menjadi satu ‘biased’ (berat sebelah) atau kesan negatif kalau dia terus menceburi 100% bidang politi,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

    Najmuddin mendedahkan sejam sebelum parti masing-masing mengumkan senarai calon pada jam 8.30 malam 1 November lalu, Kazim ada menelefonnya untuk mendapatkan pandangan beliau.

    “Saat terakhir dia tanya pendapat saya masa tu lebih kurang sejam sebelum diumumkan oleh pihak parti masing-masing, saya tak boleh nak tarik diri sebab saya sudah tandatangan semua sekali… Aku Janji dan sebagainya dan sebab itu sukar untuk saya menarik diri saat akhir.

    “Bagaimanapun, akhirnya beliau menarik diri pada esoknya walaupun telah diumumkan sebagai calon BN di Larut,” kata Najmudin yang menang di DUN Batu Kurau selama dua penggal menerusi tiket BN.

    Keakraban silaturahim adik-beradik tidak pernah terputus walau berbeza fahaman politik
    Najmuddin berkata walaupun berbeza parti politik, Kazim dan beliau mempunyai satu tekad yang sama iaitu menyatukan Islam dan Melayu demi pembangunan ummah.

    “Keakraban hubungan adik-beradik takkan terputus walaupun kami berbeza fahaman politik. Yang penting dia cakap dekat saya, Islam itu kena bersatu, Melayu kena bersatu walaupun berbeza parti. Itu matlamat kami,” katanya.

    Beliau juga berpendapat Kazim perlu membina kekuatan politiknya dahulu sebelum nekad terjun ke bidang politik sepenuh masa.

    “Bagi saya, mungkin saya dah dua penggal jadi wakil rakyat dah tahu sedikit sebanyak selok belok sepak terajang politik tapi bagi beliau yang baru nak mulakan dengan politik, bagi saya bukan masa sekarang.

    “Mungkin dia kena bina dulu kekuatan politiknya baru dia ada kekuatan untuk menerima mana-mana politik pada masa akan datang,” katanya.

    Pada 2 November lalu, Kazim menarik diri bertanding mewakili BN di Parlimen Larut pada PRU-15 dan digantikan dengan Ketua Penerangan Pemuda Umno Larut, Shafiq Fhadly Mahmud, yang akan bertemu Auzaie Fadzlan Shahidi (Pejuang-Berjasa), Zolkharnain Abidin (PH-Amanah) dan Hamzah Zainudin (PN-Bersatu).

    Kemudian, pada satu sidang media, beliau menjelaskan tujuannya menarik diri adalah demi kepentingan keluarga.

  • Sangka saya dah ‘mati’, tapi rakyat Melaka masih yakini, kata Mas Ermieyati

    Sangka saya dah ‘mati’, tapi rakyat Melaka masih yakini, kata Mas Ermieyati

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin menyangkakan perjalanan politiknya sudah terkubur selepas keluar UMNO.

    Apatah lagi katanya, Masjid Tanah dan kawasan sekitar dilihat sebagai kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

    Penyandang Parlimen Masjid Tanah itu menjangkakan akan kalah teruk di tangan calon UMNO apabila diarah bertanding di DUN Tanjung Bidara pada PRN Melaka lepas.

    Beliau seperti diramalkan Mas Ermieyati tumpas, namun kekalahannya membuka mata ahli politik wanita itu – UMNO terpaksa berpuas hati dengan kelebihan 364 undi, meskipun beliau ‘orang luar’.

    Mas Ermieyati yang bertanding sebagai calon Perikatan Nasional meraih 3,195 undi manakala pemenang, Ab. Rauf Yusoh, mendapat 3,559 undi. Calon Pakatan Harapan hilang deposit.

    “Tanjung Bidara bukan kampung saya. Kampung saya di Ayer Limau. Bila diletak bertanding di sana, saya jangka kalah teruk tapi Umno hanya menang tipis,” katanya, lapor Free Malaysia Today (FMT), hari ini.

    Bagi Mas Ermieyati, kekalahan sebegitu kecil petanda bahawa pengundi Melaka merasakan beliau dan PN masih berguna untuk mereka.

    Pada PRU15, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dicabar calon BN, Muda, dan Pejuang di Parlimen Masjid Tanah.

    “Saya tahu bukan mudah untuk saya mengekalkan kerusi ini.

    “Kalau rakyat rasa perlukan lagi khidmat saya sebagai wakil rakyat, mereka bolehlah beri saya peluang di Masjid Tanah.

    “Jika mereka rasa saya tidak bagus, tidak lagi layak, dan nak tukar, terpulanglah…namun saya punya komitmen untuk Masjid Tanah,” ujarnya lagi.

    Mas Ermieyati berkata, PN percaya BN itu tidak akan ‘menang besar’ di sebalik keputusan PRN Melaka.

    “Kita belajar daripada kesilapan, yang telah diperbaiki dan ditambah baik. PN bersedia penuh memasuki PRU kali ini.

    “Kalau kita rasa BN boleh menang besar tidaklah kita nak masuk bertanding,” ujar beliau lagi.

    PRU lalu, Mas Ermieyati menang Masjid Tanah sebagai calon BN dengan kelebihan 8,000 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan dan Pas.

  • Dewan Ulama Pas sokong tindakan saman terhadap Rafizi

    Dewan Ulama Pas sokong tindakan saman terhadap Rafizi

    Oleh BADLISHAH MAT

    DEWAN Ulama Pas Pusat menganggap amalan politik fitnah yang dilemparkan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pandan merangkap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebagai suatu tindakan yang amat memalukan.

    Ketuanya, Datuk Ahmad Yahya berkata, Rafizi tidak berhati-hati mengeluarkan kenyataan sehingga mengundang fitnah yang berleluasa terhadap Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man secara khusus.

    “Sedangkan kesemua yang disebutkan oleh Rafizi tidak tepat dan telah dinafikan oleh kementerian berkenaan sendiri.

    “Ironinya, Rafizi hanya bergantung kepada maklumat separuh masak ‘sumber dalaman’ yang tersasar daripada realiti sebenar,” katanya dalam satu kenyataan.

    Semalam, Tuan Ibrahim melalui firma guaman Yusfarizal Aziz & Zaid memfailkan tindakan undang-undang terhadap Rafizi berhubung kenyataan fitnahnya berkaitan dakwaan kelulusan projek tebatan banjir yang dibuat selepas pembubaran Parlimen.

    Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah dan calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pokok Sena turut mempersoal sama ada PH dan Rafizi sangat terdesak menggunakan jalan fitnah untuk meraih sokongan rakyat.

    “Dewan Ulama Pas mengecam budaya fitnah yang sering menjadi amalan berpolitik Rafizi. Pendedahan kes rasuah kononnya atas nama sebuah integriti, rupa-rupanya mendedahkan beliau sendiri pada akhirnya tidak ada integriti,” katanya.

    Menurut beliau, tindakan undang-undang yang diambil terhadap Rafizi juga turut disokong dewan berkenaan sebagai satu pengajaran supaya tidak berlagak pandai tetapi kosong di dalam.

  • Isytihar harta hanya sandiwara, PN tidak perlu ikut – Azmin

    Isytihar harta hanya sandiwara, PN tidak perlu ikut – Azmin

    KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan tindakan beberapa calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) membuat pengisytiharan harta dan jumlah aset mereka, hanyalah satu sandiwara.

    Beliau berkata, ini kerana mereka yang telah mengisytiharkan harta itu sendiri mempunyai rekod terlibat rasuah.

    Oleh itu beliau menegaskan, PN tidak perlu mengikut apa yang dilakukan parti lawan.

    “Mereka boleh buat asset declaration tapi mereka yang terlibat dalam rasuah pun masih menjadi calon. Ini semua sandiwara.

    “Jika anda komited untuk memerangi rasuah dalam sistem, maka anda perlu menunjukkan contoh yang baik.

    “Calon anda tidak boleh dibenarkan mengemukakan kertas penamaan calon pada hari penamaan calon ketika dia masih melalui kes di mahkamah, itu pendirian kita,” katanya, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Jelajah Prihatin Parlimen Tambun di Taman Klebang Jaya, Ipoh, hari ini.

    Mengulas lanjut Azmin berkata, adalah menjadi kebiasaan untuk Jemaah Menteri menyediakan pengisytiharan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas sesebuah kerajaan dibentuk.

    Beliau berpendapat, langkah itu perlu diteruskan untuk memastikan pimpinan dalam kerajaan dapat mematuhi peraturan dan tidak terjebak dalam amalan rasuah.

    Terdahulu, media melaporkan beberapa calon telah mengisytiharkan aset mereka susulan syarat yang dikenakan oleh parti masing-masing.

  • PRU-15: Rakyat jangan lupa jasa Perikatan Nasional

    PRU-15: Rakyat jangan lupa jasa Perikatan Nasional

    RAKYAT yang bakal mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk membentuk kerajaan baharu, diingatkan agar tidak melupakan jasa Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini pernah diberi peluang menerajui kepimpinan negara.

    Calon PN Parlimen Wangsa Maju, Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, parti tersebut di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri telah berjaya mengemudi negara ini dari Mac 2020 hingga Ogos 2021, yang ketika itu dilanda pandemik Covid-19.

    “Pada 19 Nov ini pengundi PRU-15 akan membuat keputusan. Maka, dalam kesempatan masa yang ada, khususnya jentera PN hendaklah kita penuh yakin dengan parti yang kita dokongi ini, walaupun ia parti yang baharu dan ini pertama kali logo PN memasuki PRU di negara ini,” katanya, lapor Harakah Daily.

    Nuridah membuat ucapan penuh bersemangat itu pada Majlis Ramah Mesra bersama Presiden Pas di Restoran Al-Badiyah, KL Traders, Kuala Lumpur pada Khamis, menyaksikan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hadir memberi semangat kepada calon-calon Pas di Wilayah Persekutuan yang bertanding pada PRU15 atas tiket PN.

    Selain Nuridah, turut hadir ialah calon Parlimen Titiwangsa, Dr Rosni Adam; Ustaz Fauzi Abu Bakar (Lembah Pantai).

    “Jangan lupa, walaupun PN sebelum ini pernah menjadi pemerintah negara tanpa sebarang manifesto buat rakyat tetapi Allah SAW izinkan parti ini memberikan khidmat yang terbaik buat seluruh warga Malaysia.

    “Namun, dengan kerenah beberapa pihak, Abah (Muhyiddin) terpaksa meletakkan jawatan Perdana Menteri, namun saya percaya tentu masih ingat betapa PN dapat memimpin Malaysia dengan penuh keprihatinan, stabil dan bersih,” ujarnya.

    Menurut beliau, faktor positif itu menjadi pendorong buat jentera PN bahawa parti masuk PRU-15 adalah untuk menang.

    “Sudah pasti boleh (menang)! Kepada pengundi diharap tuan-tuan dan puan-puan jangan ragu-ragu lagi untuk memberi kepercayaaan kepada calon-calon PN di seluruh negara, insya-Allah,” katanya.