Oleh BADLISHAH MAT
DEWAN Ulama Pas Pusat menganggap amalan politik fitnah yang dilemparkan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pandan merangkap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebagai suatu tindakan yang amat memalukan.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahya berkata, Rafizi tidak berhati-hati mengeluarkan kenyataan sehingga mengundang fitnah yang berleluasa terhadap Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man secara khusus.
“Sedangkan kesemua yang disebutkan oleh Rafizi tidak tepat dan telah dinafikan oleh kementerian berkenaan sendiri.
“Ironinya, Rafizi hanya bergantung kepada maklumat separuh masak ‘sumber dalaman’ yang tersasar daripada realiti sebenar,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Tuan Ibrahim melalui firma guaman Yusfarizal Aziz & Zaid memfailkan tindakan undang-undang terhadap Rafizi berhubung kenyataan fitnahnya berkaitan dakwaan kelulusan projek tebatan banjir yang dibuat selepas pembubaran Parlimen.
Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah dan calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pokok Sena turut mempersoal sama ada PH dan Rafizi sangat terdesak menggunakan jalan fitnah untuk meraih sokongan rakyat.
“Dewan Ulama Pas mengecam budaya fitnah yang sering menjadi amalan berpolitik Rafizi. Pendedahan kes rasuah kononnya atas nama sebuah integriti, rupa-rupanya mendedahkan beliau sendiri pada akhirnya tidak ada integriti,” katanya.
Menurut beliau, tindakan undang-undang yang diambil terhadap Rafizi juga turut disokong dewan berkenaan sebagai satu pengajaran supaya tidak berlagak pandai tetapi kosong di dalam.