Author: Wartawan WartaRakyat

  • Tak guna isytihar harta jika tak sedia dipertikai – Afif Bahardin

    Tak guna isytihar harta jika tak sedia dipertikai – Afif Bahardin

    CALON Perikatan Nasional (PN), Dr. Afif Bahardin mengkritik ahli politik yang membuat pengisytiharan harta namun enggan membiarkan kekayaan mereka dipersoalkan, mengatakan sikap tersebut tidak mencapai tujuan sebenar yang mahukan ketelusan ketika mengisytiharkannya.

    “Sekarang, ada pengisytiharan harta dibuat oleh sesetengah (calon) ahli Parlimen, namun bila wartawan bertanya soalan, dia marah,” kata Afif merujuk sidang media Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli pada minggu lalu, di mana ketegangan berlaku apabila beliau dilihat naik angin terhadap wartawan yang meminta ulasannya terhadap kritikan berkaitan aset yang diisytiharkan.

    “Sebab sebenar kita membuat pengisytiharan awam adalah supaya orang ramai boleh mempertanyakannya,” kata Afif, yang merupakan calon PN untuk kerusi Shah Alam selepas melancarkan manifestonya untuk kawasan itu hari ini.

    Calon Perikatan Nasional Shah Alam Dr Afif Bahardin ketika berkempen di Shah Alam. Gambar: Facebook

    Baru-baru ini, calon pilihan raya PKR dari Pakatan Harapan (PH) membuat pengisytiharan harta selepas ditetapkan parti itu, di mana lebih RM350 juta jumlah aset telah diisytiharkan setakat ini.

    Bagaimanapun, pengisytiharan yang dibuat Rafizi menjadi antara yang paling hangat dibincangkan, di mana senarai aset peribadinya menunjukkan lonjakan kira-kira RM17 juta dalam tempoh tujuh tahun. 

    Pemimpin PKR itu dipertikai kerana turut menyenaraikan saham Invoke Solutions – sebuah syarikat berkait parti itu dan tidak berasaskan keuntungan – dalam senarai aset dimilikinya.

    Namun, Rafizi mempertahankan tindakannya itu, mengatakan dirinya sudah bergelar jutawan pada usia 30 tahun.

    Dalam pada itu, Afif berkata, tidak ada keperluan bagi seseorang calon mengisytiharkan harta melainkan setelah mereka dilantik untuk memegang sebarang jawatan awam.

    Sebelum ini, rakan kongsi PKR, DAP turut berkongsi pandangan yang sama, mengatakan calonnya hanya akan mengisytiharkan harta sekiranya mereka dilantik memegang jawatan.

    Pada pilihan raya yang dijadualkan 19 November ini, Afif akan bersaing dengan tiga lagi calon dari PH, Barisan Nasional (BN) dan Pejuang.

    Ketika ini, penyandang kerusi Parlimen tersebut adalah Khalid Samad dari Amanah. 

    Beliau menyandang kerusi itu selama tiga penggal, di mana beliau memenanginya dua kali di bawah tiket Pas.

    Bagi pilihan raya umum (PRU) kali ini, Khalid akan bertanding di Titiwangsa.

    Afif yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya berkata, beliau tidak menjangkakan persaingan yang mudah di Shah Alam.

    “Cabaran besar, Shah Alam bukan kerusi mudah, dimenangi PH sejak 2008.

    “Jadi, untuk alihkan majoriti PRU lepas bukan mudah,” katanya, lapor MalaysiaNow.

    Dr Afif Bahardin di Pasar Tani Seksyen 17, Shah Alam.

    Bagaimanapun, beliau berkata sambutan yang diterimanya baik, dan ramai penduduk tempatan mengenalinya.

    Beliau turut berjanji untuk membantu Shah Alam menyelesaikan isu banjir terus dihadapi penduduk, di mana ramai banyak kawasan di ibu negeri itu terjejas sehingga menyebabkan kerugian berbilion ringgit.

    Beliau berkata terdapat keperluan supaya agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan bekerjasama.

    “Cara kerja yang bersendirian sudah lama berlalu.”

    Shah Alam mempunyai lebih 430,000 penduduk, di mana Melayu membentuk 74% populasi, manakala Cina dan India masing-masing mewakili 17% dan 8%.

  • Ibu, bayi cedera dihempap pokok ketika berkelah

    Ibu, bayi cedera dihempap pokok ketika berkelah

    SEORANG wanita bersama bayi lelakinya cedera selepas dihempap sebatang pokok rhu ketika sedang berkelah di Pantai Puteri, Tanjung Kling, di Melaka Tengah pukul 6.30 petang tadi.

    Dalam kejadian itu pokok berkenaan menghempap belakang kepala mangsa yang sedang mendukung anak lelakinya berusia setahun lima bulan sehingga menyebabkan kedua-dua mereka tersungkur dan tersembam ke pasir.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, ketika kejadian, suami bersama dua lagi anak wanita itu sedang bermandi di pantai.

    Ketika kejadian itu katanya, mangsa sedang mendukung anak lelakinya berusia setahun lima bulan di bawah pohon rhu itu manakala suami dan dua lagi anaknya sedang bermandi-manda.

    “Secara tiba-tiba dahan pokok itu menghempap belakang kepala ibu kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kedua-dua mereka tersungkur dan tersembam ke dalam pasir,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Ujarnya, orang ramai kemudian membantu mengalihkan dahan pokok berkenaan dan mengorek pasir bagi menyelamatkan kedua-dua mangsa terlibat.

    Tambahnya sebagai langkah awal, pihaknya telah berhubung dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Zainal Abu untuk memotong sebahagian pokok rhu yang berisiko tumbang kerana sudah berusia lebih 23 tahun.

    “Semua pokok rhu di sini sebenarnya sedang dalam tindakan untuk dicantas dan ditebang oleh pihak berkuasa, namun kejadian ini berlaku di luar kawalan.

    “Kawasan ini juga akan ditutup daripada sebarang aktiviti perkhemahan dan perkelahan buat sementara waktu bagi mengelak kejadian berulang,” tambahnya.

  • PRU-15: PN mampu pecah rekod BN di Besut

    PRU-15: PN mampu pecah rekod BN di Besut

    PERIKATAN Nasional (PN) dijangka memecahkan rekod yang dipegang Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama apabila menguasai kerusi Parlimen Besut buat beberapa penggal.

    Peluang PN lebih cerah memandangkan penyandangnya Tan Seri Idris Jusoh menarik diri daripada dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

    Calon Pas mewakili PN bagi Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, perubahan iklim politik yang berlaku sekarang memberi peluang kepada parti-parti lain.

    Katanya, Parlimen Besut sejak sekian lama dimenangi UMNO, BN dengan mengambil kira ada tokoh yang disegani.

    “Namun sekarang sudah dikesan ada angin perubahan apabila pengundi yang ditemui memberi komitmen memihak kepada PN,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni peniaga dan orang ramai di Pasar Tani Alor Lintah dekat sini semalam.

    Turut hadir Yang Dipertua Pas Besut Wan Azhar Wan Ahmad.

    Che Mohamad Zulkifly sebelum ini merupakan bekas Ahli Parlimen BN Setiu, namun sudah lama keluar daripada parti terbabit.

    Menurutnya juga kerja kuat semua pihak terutamanya kerjasama erat jentera Pas dianggap begitu luar biasa bagi memenangkan calon PN kali ini.

    “Saya mengucapkan berbanyak terima kasih di atas sokongan dan gerak kerja yang padu petugas PAS dan pelbagai pihak,” ujarnya lapor Harakah Daily.

  • PRU-15:PN punya sokongan kuat akar umbi di Sungai Buloh

    PRU-15:PN punya sokongan kuat akar umbi di Sungai Buloh

    PERIKATAN Nasional (PN) mempunyai pengaruh dan sokongan di peringkat akar umbi di Parlimen Sungai Buloh walaupun berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    Calon PN dari Pas, Mohd. Ghazali Md. Hamin berkata, populariti calon BN, Khairy Jamaluddin dan dan Calon PH, Datuk R. Ramanan tidak menjadi masalah buat PN.

    Jelasnya, PN bukan hadir dalam gelanggang Pilihan Raya Umum ke-15 di kawasan itu sekadar untuk menjadi ‘pemecah undi’ terutama di kawasan Melayu, sebaliknya yakin mampu melakar kejutan di Parlimen Sungai Buloh.

    “‘Niat kita membentuk gabungan bersama Parti Pribumi Bersati Malaysia (Bersatu) sebagai PN memang untuk memenangi PRU-15 ini dan membentuk kerajaan, bukan sekadar menjadi calon untuk pecahkan mana-mana undi.

    “Sebab jangan dilupa pada PRU-14 lalu, Pas memperoleh undi kedua tertinggi dan dengan pengunduran penyandang kerusi, R. Sivarasa daripada PKR, saya melihat saingan lebih terbuka di sini, malah kita juga ada pengundi tegar.

    “Saya juga yakin pengundi sudah bijak untuk menilai parti mana yang mampu menerajui negara dengan bersih dan stabil,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas kunjungan ramah mesra bersama penduduk sekitar Taman Saujana Utama 1, di Sungai Buloh, hari ini.

    Mohd Ghazali berkata, statusnya sebagai anak tempatan dalam Parlimen itu boleh memberi kelebihan berbanding dua nama besar yang jelas adalah orang luar.

    “Mereka (KJ dan Ramanan) dua nama besar, saya orang kecil sahaja, modal pun kecil, cuma kelebihan saya bukan orang luar, saya tinggal di Kota Damansara, saya harap status sebagai orang tempatan akan memberi sedikit kelebihan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, sekiranya dipilih pengundi, khidmat kebajikan kepada golongan susah akan menjadi keutamaan.

    “Selain itu kita akan cuba mencari penyelesaian terbaik kepada masalah banjir dan banjir kilat yang tidak berjaya diselesaikan PH terutama dalam kawasan Parlimen ini biarpun sudah mentadbir Selangor untuk beberapa penggal,” katanya.

    Ditanya sama ada penggunaan logo PN berbanding Pas boleh mendatangkan kekeliruan kepada pengundi, Mohd. Ghazali berkata, perkara itu bukan lagi isu kerana penerangan jelas sentiasa diberikan kepada pengundi.

    “Soal logo hanya strategi, ia benda yang boleh diubah, kita sudah ada kesepakatan mengenainya, malah masa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sudah digunakan logo PN, masih berjaya dapat undi,” katanya.

    Kerusi Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertembungan tujuh penjuru, selain Mohd. Ghazali, Khairy dan Ramanan, turut bertanding ialah Mohd. Akmal Yusoff (Parti Pejuang Tanah Air), Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) dan dua calon Bebas iaitu Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff, 62, serta Nurhaslinda Basri, 33.

    Pada PRU-14, Sivarasa meraih 43,631 undi menewaskan Nuridah dari Pas yang memperoleh 16,977 undi, A. Prakash Rao mewakili BN (16,681) dan Zainurizzaman Moharam dari PSM (642).

  • PRU-15: Isytihar harta hanya pada musim PRU gimik politik – Muhyiddin

    PRU-15: Isytihar harta hanya pada musim PRU gimik politik – Muhyiddin

    PENGISYTIHARAN harta oleh calon yang bertanding pada pada musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanyalah gimik politik semata-mata.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terdapat cara yang betul untuk mengisytiharkan harta seseorang.

    “Saya telah berbuat demikian ketika saya menjadi menteri dan Perdana Menteri atau memegang jawatan awam, anda perlu mengisytiharkan harta anda tetapi apabila anda adalah entiti swasta, anda tidak perlu berbuat demikian.

    “Adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyemaknya atau meminta Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkannya kepada badan pencegah rasuah.

    “Sebagai menteri, ia wajib tetapi selain itu ia hanya gimik politik yang cuba mendakwa calon itu miskin dan pengundi harus mengundi orang itu,” katanya lapor BH Online.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas program Santai Anak Muda Johor, di Dewan Terbuka Taman Sri Penggaram, Batu Pahat, hari ini.

    Sementara itu, ketika Muhyiddin dalam ucapannya menyifatkan ketika bersama Pakatan Harapan (PH) adalah masa paling jahil beliau dalam politik.

    Katanya, ketika itu beliau adalah Menteri Dalam Negeri selama 22 bulan dalam pemerintahan PH berkuasa.

    “Selepas 22 bulan, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, negara mengalami masalah dan saya perlu menyelamatkannya.

    “Kami meninggalkan PH menyebabkan kerajaan tumbang. Mereka mahu memanggil saya pengkhianat biarlah tetapi saya tidak mengkhianati bangsa, agama dan negara saya,” katanya.

    Muhyiddin berkata, walaupun membentuk kerajaan, PH tidak mampu melaksanakan manifestonya dengan Dr. Mahathir berkata ia bukan kitab suci.

    “Kita juga menerima tekanan hebat daripada DAP yang mahu kerajaan pada masa itu menangkis Akta Hasutan.

    “Akta ini melindungi Raja Melayu, Islam sebagai agama rasmi negara serta hak Melayu dan bahasa Melayu,” katanya.

    Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir mempersoalkan tindakan Muhyiddin yang cuba menafikan dirinya seorang pengkhianat selepas terbabit dengan ‘Langkah Sheraton’.

    Dr. Mahathir mendakwa, Muhyiddin selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) cuba mengaitkan dirinya dalam isu berkenaan.

  • Jika ada nombor telefon, data bocor bukan dari SPR, kata Hamzah

    Jika ada nombor telefon, data bocor bukan dari SPR, kata Hamzah

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan menyiasat dakwaan kebocoran data 800,000 pengundi yang dikatakan data dimiliki Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin bagaimanapun berkata, siasatan hanya akan dibuat jika ada laporan polis dibuat.

    “Sekiranya data tersebut mengandungi maklumat nombor telefon ia bukan daripada data SPR.

    “Kalau ada nombor telefon bermakna bukan SPR yang punya. Kalau SPR hanya nama dan nombor kad pengenalan sahaja.

    “Itu tak betul, itu mesti ada orang yang menipu semata-mata untuk mencari keuntungan. Apabila ada laporan polis kita akan buat siasatan.

    “Setakat ini belum ada lagi yang mengaku menerima benda-benda seperti ini,” katanya kepada media selepas menghadiri program ceramah Perikatan Nasional (PN) di Arau, hari ini, lapor Malaysiakini.

    Terdahulu dilaporkan kebocoran data yang pertama kali dilaporkan pada April lalu sekali lagi mendapat perhatian ketika kempen PRU ke-15 memasuki minggu kedua.

    Data itu membabitkan maklumat pengundi merujuk kepada pangkalan data SPR yang dilaporkan mengandungi 800,000 gambar pengundi dan MyKad mereka.

    SPR mengumpul gambar-gambar ini sebagai sebahagian daripada laman web Daftar MySPR yang dilancarkan pada 2019.

  • ‘Saya tak ada banyak duit untuk buat poster gergasi macam Anwar,’ kata Peja

    ‘Saya tak ada banyak duit untuk buat poster gergasi macam Anwar,’ kata Peja

    TIMBALAN Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau tidak mempunyai banyak duit untuk membuat poster gergasi seperti yang dibuat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PH) Perak berkata, beliau juga teringin untuk berbuat demikian sekiranya mempunyai duit.

    Menurutnya berpandangan, Anwar perlu membuat perkara seumpama itu untuk memperkenalkan diri kepada orang Tambun kerana beliau bukan berasal dari kawasan itu.

    “Dia perlu memperkenalkan diri dia. Kalau dia buat poster kecil, orang tak nampak. Jadi kena buat lebih besar dan dengan itu mungkin dapat menarik perhatian orang Tambun.

    “Itu kreativiti beliau, saya meraikan usaha-usaha ini. Beginilah kita berkempen di dalam pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Esports Youth Cabin Negeri Perak di sini, hari ini.

    Beliau mengulas kehadiran beberapa poster ‘gergasi’ Anwar di tepi Lebuhraya Utara Selatan dan berhampiran pintu gerbang Gugusan Manjoi.

    Poster di Gugusan Manjoi yang terpampang sosok Presiden PKR itu disifatkan begitu unik dan besar dengan ketinggiannya dikatakan melebihi bangunan dua tingkat.

    Mengulas tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang merosakkan posternya malam tadi, Ahmad Faizal yang juga calon PN bagi kerusi Parlimen Tambun berharap, ia tidak akan berulang.

    “Kita menghargai demokrasi, kita menghargai kepelbagaian pendapat dan kita menyerahkan kepada kebijaksanaan rakyat untuk memilih.

    “Namun kalau kita masih ada sikap seperti tidak faham proses demokrasi, tiada semangat demokrasi dalam pilihan raya ini, tentu ia akan mengundang kepada ketidakstabilan politik kerana apabila kita melakukan sesuatu, tentunya ada reaksi daripada pihak yang lain.

    “Kalaulah dalam kalangan penyokong saya pula yang berada dalam berasa marah kerana keadaan itu berlaku, ia tentu akan mengundang masalah lain,” ujarnya.

    Penyandang Parlimen Tambun itu bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak.

    “Namun saya ingin katakan kepada mereka yang telah merosakkan bukan saja poster saya, juga poster pesaing saya, perlulah kita jaga dengan baik dan tidak dirosakkan.. kerana akhirnya kita nak serahkan kebijaksanaan kepada rakyat,” tambahnya.

    Menurutnya, tindakan merosakkan poster calon lain itu tidak semestinya memberi impak negatif kepada calon tersebut, sebaliknya ia mungkin mendapat simpati daripada orang ramai.

    Beliau juga menyerahkan kepada pihak bilik gerakan yang berkenaan untuk membuat laporan kepada pihak polis atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “Saya pula tak ada duit banyak nak buat banner baharu, jadi itulah, nak kena tunggu tengok kalau ada duit lebih, nak kena tempah yang baharu,” katanya, lapor Astro Awani.

    Bagaimanapun ujarnya, beliau tidak risau kerana yakin orang Tambun telah mengenalinya.

  • Saya bangga gelaran ‘Bapa PKP’, Muhyiddin bidas Anwar

    Saya bangga gelaran ‘Bapa PKP’, Muhyiddin bidas Anwar

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau bangga dengan gelaran ‘Bapa PKP (perintah kawalan pergerakan)’ oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau berkata, tindakannya melaksanakan PKP ketika negara dilanda Covid-19 telah menyelamatkan banyak nyawa.

    “Anwar Ibrahim kata saya ‘bapa PKP’. Saya bangga. Dia tidak sedar kalau hari itu (semasa Covid-19), saya tidak buat PKP, berapa banyak sudah jangkit dan mati,” katanya ketika berucap dalam program santai anak muda Johor di Dewan Terbuka Taman Sri Penggaram, Batu Pahat, hari ini.

    Muhyiddin mengulas kenyataan Anwar baru-baru ini yang mengatakan beliau ‘bapa PKP’ dan gagal menguruskan Covid-19 sehingga kira-kira 36,000 rakyat terkorban.

    Dalam pada itu, Muhyiddin berkata sebanyak empat juta rakyat Malaysia dijangkiti Covid-19 tetapi 99 peratus daripadanya selamat dan sihat.

    “Saya ingat Anwar pergi sekolah tinggi di Universiti Malaya (UM) dengan saya tetapi dia kata 36,000 itu yang paling besar di dunia.

    “Di Amerika Syarikat (AS), 1.6 juta mati sebab Covid-19. Bagaimana dia boleh kata 36,000 adalah tinggi (daripada itu),” katanya lapor FMT.

    Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata mengenai saranan Anwar supaya beliau mengisytiharkan harta telah dilakukan sebelum ini dan menyatakan tindakan itu ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-15) sebagai gimik politik.

    “Saya sudah ada pengalaman. Dah hantar pada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Saya dah disiasat.

    “Kalau saya jadi Perdana Menteri, saya wajib isytihar. Sekarang tidak perlu lagi. Yang penting kita bersih dan terbukti ‘track record’ PN bersih,” katanya.

  • Murid Tahun Tiga maut dilanggar pikap ketika lintas jalan

    Murid Tahun Tiga maut dilanggar pikap ketika lintas jalan

    SELEPAS 48 bertarung nyawa dalam rawatan kecemasan, seorang murid Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Sungai Penipah di Mukah, yang dilanggar pikap ketika melintas Jalan Mukah Balingian di hadapan simpang sekolah itu, meninggal dunia hari ini.

    Dalam kejadian pukul 1 tengah hari kelmarin, Mohammad Firdaus Jimbat Abdullah, 9, yang juga murid Tahun Tiga, dari Kampung Kuala Lama, Mukah, cedera parah di bahagian kepala dan leher.

    Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias, berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Sibu pada pukul 10.33 pagi tadi.

    “Kemalangan berlaku apabila pikap dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun bergerak lurus dari arah Balingian menuju ke arah Mukah.

    “Ketika melalui jalan hadapan simpang sekolah itu telah melanggar seorang murid yang melintas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Muhamad Rizal berkata, akibat kejadian itu murid terbabit mengalami kecederaan parah dan telah dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

    “Pikap yang terbabit sudah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk pemeriksaan Puspakom.

    “Rakaman percakapan pemandu terbabit serta sepupu mangsa yang juga saksi kejadian turut diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lapor BH.

  • PRU15: Lonjakan sokongan kepada PN di tiga negeri

    PRU15: Lonjakan sokongan kepada PN di tiga negeri

    LONJAKAN sokongan rakyat dijangka meningkat terhadap Perikatan Nasional (PN) di Pahang, Kelantan dan Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan itu berdasarkan beberapa faktor termasuk penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) dan BN.

    “Pertama berlaku satu gelombang penolakan rakyat Kelantan dan Pahang terhadap Pakatan Harapan (PH), ‘confirm’ dah tetapi juga kepada BN.

    “Di Perlis kita lihat gelombang penolakan berlaku apabila (Datuk Seri) Shahidan (Kassim) bersedia bersama Pas dan bersedia jadi calon PN. Beliau ada pengaruh yang besar dan Perlis hanya ada tiga Parlimen,” katanya.

    Beliau menjangkakan kerja yang dibuat PN selama ini termasuk dengan kesedaran pengundi, diharap akan berlaku ‘pembaharuan’ di Perlis.

    Tuan Ibrahim berkata demikian kepada pemberita pada satu sidang media di Pejabat Pas Negeri di Kota Bharu, hari ini.

    Beliau yang bertanding di Parlimen Kubang Kerian itu memberitahu di Pahang juga berlaku perkara yang sama apabila tokoh besar yang berpengaruh seperti Datuk Seri Ismail Muttalib bertanding sebagai calon PN di Maran.

    “Oleh kerana sekarang beliau jadi calon PN di Maran, saya tengok ada gelombang kesedaran dan kebangkitan di Pahang.

    “Di Pantai Timur hanya Pahang yang masih dikuasai BN. Kita harap kali ni pengundi Pahang buat perubahan ke arah Malaysia yang lebih ‘best’,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu Tuan Ibrahim yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) PN di Cheka, Pahang memaklumkan beliau telah bertemu dengan hampir 80 peratus pengundi di kawasan itu.

    Katanya baki pengundi yang selebihnya akan ditemui sepanjang minggu kedua tempoh berkempen ini.