Author: Wartawan WartaRakyat

  • PRU15: Anwar pernah tawar saya jadi TPM, kata Muhyiddin

    PRU15: Anwar pernah tawar saya jadi TPM, kata Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan pernah ditawar jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

    Menurutnya, ketika itu Anwar percaya bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan meletak jawatan dan menyerahkan kepimpinan negara kepadanya.

    “Malangnya perkara itu terjadi sebaliknya apabila Anwar dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu selepas bergaduh dengan Dr. Mahathir.

    “Anwar kata, Tun Mahathir tak lama, lepas tu dia akan berhenti (jadi Perdana Menteri). Lepas Sukan Komanwel, saya (Anwar) akan jadi Perdana Menteri dan kamu akan jadi Timbalan Perdana Menteri. Ini cerita yang tak pernah saya cerita, dia cakap dengan saya.

    “Kemudian dia (Anwar) datang melawat saya di pejabat ketika saya sebagai Perdana Menteri. Saya beritahu dia, saya cakap minta maaf Anwar, saya kini Perdana Menteri.

    “Kamu selamanya tak akan jadi Perdana Menteri selagi berkawan dengan DAP kerana orang Melayu akan tolak kamu,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah PN BEST Parlimen Tambun PN di Bandar Meru Raya, di Ipoh malam tadi.

    Turut berucap pada program tersebut ialah Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Pengerusi Gerakan Perak, Datuk See Tean Seng.

    Muhyiddin berkata, sehingga kini Anwar masih bercita-cita menjadi Perdana Menteri dan berharap akan menang bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Namun kata penyandang Ahli Parlimen Pagoh itu yakin Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu akan berdepan kesukaran menjadi Perdana Menteri kerana lebih 20 tahun meninggalkan kerajaan.

    “Kalau 20 tahun sudah meninggalkan pentadbiran kerajaan, nak kembali untuk duduk sebagai Perdana Menteri, saya fikir agak sukar kerana memahami dasar dan tindakan. Saya faham itu.

    “Kalau tak ada pengalaman yang tertentu untuk menguruskan negara kita berhadapan dengan risiko yang besar. Kalau-kalau dengan keadaan sebegitu, masalah utama rakyat tak mungkin selesai dalam tempoh secepat yang rakyat mahu,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • PH tak hormat perkara-perkara jadi tunjang negara – Muhyiddin

    PH tak hormat perkara-perkara jadi tunjang negara – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menghormati perkara-perkara yang menjadi tunjang negara.

    Perkara itu ialah, kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu.

    Kata Presiden Bersatu itu, pengalaman 22 bulan parti tersebut dalam PH cukup menekan dan menyeksakan.

    Sebagai contoh dari aspek ekonomi katanya, ada beberapa ketika Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng langsung tidak mahu menghormati agensi seperti TERAJU (Unit Peneraju Agenda Bumiputera) dan EKUINAS (Ekuiti Nasional Berhad).

    Menurutnya, beberapa peruntukan untuk agensi yang membantu orang Melayu berniaga diambil balik malah dihentikan dan tidak diwujudkan agensi itu.

    “Hanya kemudian selepas tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional, kami hidupkan semula TERAJU untuk menjamin kelangsungan masyarakat Bumiputra di negara kita.

    “Selain itu, Lim Guang Eng juga buat keputusan supaya peruntukan RM2 bilion EKUINAS diambil semula Kementerian Kewangan.

    “Ini menunjukkan bagaimana PH tidak menghormati agensi bumiputra diwujudkan kerajaan dan langkah-langkah diambil langsung tidak memikirkan nasib Bumiputra dalam pembangunan ekonomi negara kita.

    “Ini dua contoh tindakan yang diambil yang saya dapati bercanggah dengan dasar negara kita khusunya pembangunan usahawan bumiputra,” katanya malam tadi.

    Beliau berkata demikian semasa program jelajah PN BEST di Tambun.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau yang ketika itu Menteri Dalam Negeri turut didesak menghapuskan Akta Hasutan yang bertujuan melindungi institusi dan peruntukan dalam Perlembagaan negara.

    Katanya, Akta Hasutan melindungi kedudukan Raja-Raja Melayu, keistimewaan orang Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu yang mana PH menuntut agar akta tersebut dihapuskan.

    Sehubungan itu katanya, beliau mewujudkan satu jawatankuasa di peringkat kementerian yang meneliti tuntutan berkenaan dan ia kemudiannya memutuskan perkara itu perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum boleh dipinda.

    “Tapi bagi saya, ia desakan yang tidak wajar dan munasabah untuk menghapuskan akta berkenaan kerana akhirnya kedudukan raja akan terdedah dengan perbuatan penghinaan oleh sesiapapun.

    “Walaupun ia tuntutan dari DAP, namun Anwar ada dalam PH dan kalau beliau memperjuangkan dan mendukung Perlembagaan negara kita, seharusnya tindakan (desakan hapuskan akta hasutan) tidak diambil, katanya.

    Muhyiddin berkata, itu antara contoh kerosakan dilakukan PH dalam tempoh 22 bulan dan jika pentadbiran PH diteruskan mungkin akan membawa musibah kepada negara.

    “Sebab tu saya buat keputusan Bersatu dan Majlis Tertinggi Bersatu dan pandangan Tun Mahathir agar parti itu meninggalkan PH.

    “Ya kita tinggalkan dan orang kata kita khianat tetapi saya nak nyatakan bahawa kita tidak sanggup untuk mengkhianati bangsa, agama dan negara.

    “Kalau PH terus berkuasa di Putrajaya, akan berlaku banyak kerosakan dan kemusnahan pada sistem negara yang ada pada hari ini,” tambahnya.

  • Bekas Setiausaha Tetap KPSU, anak dan menantunya maut dalam kebakaran

    Bekas Setiausaha Tetap KPSU, anak dan menantunya maut dalam kebakaran

    BEKAS Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Sarawak, Affendi Keli, maut dipercayai terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Gita, di Kuching pukul 7 malam tadi.

    Selain Affendi, 69, turut terkorban anaknya Aneeqa, 35 dan menantunya, Nor Hasyidah Ajis, 22.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat ketiga-tiga mangsa ditemui di tingkat atas rumah jenis kekal itu.

    “Ketiga-tiga mangsa maut dipercayai lemas selepas terperangkap di dalam asap tebal akibat kebekaran itu.

    “Kami menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.03 malam dan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dibantu lapan anggota dari BBP Batu Lintang digerakkan ke lokasi.

    “Setibanya di lokasi, didapati kebakaran berlaku di sebuah rumah teres dua tingkat setengah berstruktur kekal terbakar 100 peratus dan turut musnah empat kenderaan manakala sebuah lagi musnah separuh,” katanya dalam kenyataan malam ini, lapor BH online.

    Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian.

    Affendi, juga pernah menjadi Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan Sarawak serta Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

  • PRU-15: ‘Selamat tinggal UMNO’ merebak ke Rantau Panjang

    PRU-15: ‘Selamat tinggal UMNO’ merebak ke Rantau Panjang

    FENOMENA ‘Selamat tinggal UMNO’ di Kelantan bukan sahaja berlaku di Bachok dan Kubang Kerian, malah ia turut merebak ke Parlimen Rantau Panjang.

    Ketua Muslimat Pas Kelantan, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, beberapa Unit Daerah Mengundi (UDM) UMNO di beberapa DUN terutamanya Apam Putra, di mana ramai mengisytihar keluar daripada UMNO.

    Katanya, mereka berpendapat tiada gunanya lagi bersama dengan UMNO ekoran perkembangan politik yang berlaku sekarang.

    “Mereka menganggap politik UMNO tidak lagi bersih apabila ramai pemimpin UMNO dihadap ke mahkamah atas dakwaan rasuah dan penyelewengan dana kerajaan.

    “Kita tidak paksa mereka, namun mereka sukarela hadir pada program anjuran Pas. Mereka mahu pilih sebuah kerajaan yang benar-benar bersih.

    “Apa yang jelas mereka tidak suka pemimpin yang terbabit dengan amalan rasuah,” kepada Harakah Daily di sini semalam.

    Siti Zailah yang juga calon Perikatan Nasional Parlimen Rantau Panjang berkata, pengisytiharan keluar UMNO sebelum ini berlaku di UDM Nibong, UDM Ipoh, Pengkalan Machang dan beberapa lagi.

    Menurutnya juga sebelum ini mereka merupakan penyokong kuat UMNO di UDM terbabit.

  • Penganggur ditahan rogol anak tiri usia 12 tahun

    Penganggur ditahan rogol anak tiri usia 12 tahun

    SEORANG penganggur ditahan bagi membantu siasatan kes rogol anak tiri yang berusia 12 tahun di Maran semalam.

    Suspek yang berusia 30 tahun ditahan di kedai makan di daerah tersebut pada pukul 3.45 petang.

    Difahamkan, perbuatan suspek terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibu saudaranya, yang kemudian membuat laporan polis pada Jumaat.

    Suspek dikatakan sudah beberapa kali melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

    “Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro, hari ini.

  • PRU-15: BN tiru manifesto PN isu kerakyatan anak lahir luar negara-Hamzah

    PRU-15: BN tiru manifesto PN isu kerakyatan anak lahir luar negara-Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa Barisan Nasional (BN) meniru manifesto PN berhubung isu kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara.

    Hamzah menegaskan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah memasukkan isu ini dalam manifesto BN ketika menjadi Menteri Dalam Negeri sebelum ini.

    “Dalam manifesto PN sudah ada tentang kerakyatan anak yang lahir di luar negara. Saya minta supaya PN masukkan perkara ini dalam manifesto.

    “Zahid sudah jadi Menteri KDN sudah lama sebelum ini, kenapa tidak pernah dimasukkan dalam manifesto BN sebelum ini?

    “Ini menunjukkan bahawa BN meniru manifesto PN dalam isu ini,” ujarnya.

    Hamzah juga menegaskan, sekiranya beliau kembali dilantik sebagai menteri dalam Kabinet kerajaan baharu selepas 19 November ini, isu kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara akan menjadi keutamaannya dan diselesaikan.

    “Saya sudah nyatakan sebelum ini, tangan saya terikat atas undang-undang sedia ada mengikut Perlembagaan negara.

    “Bukan saya tidak simpati kepada anak yang dilahirkan di luar negara, saya simpati tetapi saya tidak boleh lakukan lebih kerana terikat dengan undang-undang,” katanya lagi.

    Hamzah juga berharap agar semua gabungan lain yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 juga turut memberikan keutamaan kepada isu kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara.

  • ‘Apa kamu buat masa jadi Ketua Menteri’, Hajiji tanya Shafie

    ‘Apa kamu buat masa jadi Ketua Menteri’, Hajiji tanya Shafie

    KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor membidas Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang didakwa gagal berbuat apa-apa untuk Kota Marudu sepanjang dua tahun menjadi ketua menteri.

    Menurut beliau, Shafie tiada apa untuk ditunjukkan di kawasan itu, sedangkan banyak yang boleh dilakukannya ketika menjadi menteri pembangunan luar bandar selama bertahun-tahun.

    “Beliau bercakap seperti tahu segala-galanya, tetapi apa yang beliau lakukan untuk Kota Marudu ketika jadi ketua menteri?

    “Bahkan tandas awam pun tiada di situ. Beliau tanya apa yang saya dah buat? Saya nak tanya dia balik apa yang dia dah buat di Semporna?

    “Beliau tidak dapat menangani penempatan semula mangsa selepas beberapa rumah musnah di Kampung Bangau-bangau.

    “Hanya apabila kerajaan GRS-BN berkuasa, RM8.5 juta diberikan untuk selesaikan masalah itu.

    “Jangan bohong. Saya tak tahu cakap macam itu. Saya hanya cakap menggunakan fakta,” katanya ketika berkempen untuk calon GRS, Datuk Seri Maximus Ongkili di kediaman Timbalan Setiausaha Agung Bersatu Sabah, Maijol Mahap di Kota Marudu, lapor Free Malaysia Today.

    Dalam ucapannya, Hajiji berkata, kepimpinan Ongkili masih sangat diperlukan, terutamanya dalam membangkitkan keperluan Sabah di peringkat persekutuan.

    Beliau berkata, Ongkili yang merupakan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), konsisten dan lantang dalam memperjuangkan hak Sabah.

    “Saya perlukan beliau untuk bantu menyuarakan tuntutan Sabah kepada kerajaan persekutuan.

    “Suara kuat dan kegigihan beliau masih sangat diperlukan, khususnya dalam menuntut hak kami di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

    Hajiji juga menyifatkan keputusan PBS menggunakan lambang GRS kali ini sebagai pengorbanan besar.

    “Ini amat bermakna bagi saya…Sebab itu saya mahu rakyat di Kota Marudu mengundi Ongkili,” katanya,

    GRS, yang terdiri daripada Bersatu, PBS, Star, SAPP dan Usno, bersama Barisan Nasional berjanji melakukan yang terbaik untuk terus membawa pembangunan ke Sabah, katanya.

  • PN sindir papan iklan Anwar di Tambun

    PN sindir papan iklan Anwar di Tambun

    Poster gergasi Datuk Seri Anwar Ibrahim mengamit pandangan

    HANYA sehari selepas pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memasang poster gergasi memaparkan dirinya di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun, sepanduk besar dengan frasa ‘sizes not matter’ (saiz tidak penting) telah dipasang di atas jambatan di Jalan Tambun, Ipoh hari ini.

    Papan iklan terbaru yang dicetak ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) itu difahamkan telah dipasang lewat malam tadi dan menggantikan slogan ‘Dari Tambun Susur Keluar Ke Utara’ yang dipasang pada 6 November lalu.

    Satu lagi sepanduk dengan imej fiksyen raksasa kaiju terpampang di sebelah frasa’ ‘Ingatkan Godzilla, chor’ dengan tanda pagar slogan kegemaran Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ‘ayor bukan ayaq’ juga telah dipasang berhampiran Kompleks Lai Chee di Tambun.

    Ungkapan itu seakan mengejek kain rentang dua tingkat Anwar di jalan bertentangan, hanya 50m dari papan iklan PN.

    Sejak pengumuman Anwar pada 20 Oktober lalu bahawa dia akan bertanding di kerusi parlimen Tambun, beliau telah dihujani perang papan iklan dikatakan oleh saingannya Ahmad Faizal itu.

    Terdahulu, papan iklan dengan tulisan ‘Dari Tambun susur keluar ke Utara, 50m’ dipercayai dinaikkan oleh pasukan kempen PN.

    Kata-kata itu dilihat sebagai respons kepada papan tanda kempen Anwar dengan tulisan ‘Dari Tambun untuk Malaysia’ di Jalan Chemur/Jalan Meru Impian.

    Faizal dikatakan telah melancarkan sejumlah serangan yang boleh disifatkan agak kreatif.

    Sehari selepas pengumuman Anwar, Faizal ‘mengalu-alukan’ kehadiran Anwar dengan sindiran berkenaan sebutan ‘air’ dalam loghat Perak.

    “Di Tambun, kita sebut ayor – dengar betul-betul: ayor, bukan ayaq,” katanya.

    Sehari kemudian, papan iklan memaparkan Ahmad Faizal dan kata-kata ‘Ayor bukan Ayaq’ dinaikkan dekat Komplek Lai Chee, di Tambun.

    Anwar kemudian membalas dengan berkata dia bukan ‘orang luar’ kerana pernah tinggal selama sembilan tahun di Perak.

    Dia membangkitkan tempoh tujuh tahun belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Kuala Kangsar serta menjalani tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting selama dua tahun.

    Pada PRU lalu, Ahmad Faizal menang di kerusi Parlimen itu dengan majoriti 5,320 undi, menewaskan calon BN yang juga penyandang Ahmad Husni Hanadzlah dan calon PAS Muhamad Zulkifli Mohamad Zakaria.

    Pada PRU kali ini, selain Ahmad Faizal dan Anwar, turut bertanding adalah Ketua Umno Tambun Aminuddin Md. Hanafiah yang mewakili BN dan Abdul Rahim Tahir dari Pejuang.

    This image has an empty alt attribute; its file name is 1817096.jpg
    Gambar media sosial menyindir papan iklan ‘gergasi’ Anwar
  • PRU15: Belum ada laporan polis dakwaan Anwar tentera dibayar undi awal, kata Hamzah

    PRU15: Belum ada laporan polis dakwaan Anwar tentera dibayar undi awal, kata Hamzah

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjelaskan, sehingga kini tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa anggota tentera dibayar RM300 untuk undi awal.

    “Sekiranya terdapat laporan dibuat, pihak polis akan menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan.

    “Bila ada laporan polis, kami akan membenarkan PDRM menjalankan siasatan. Buat masa ini kami tidak menerima sebarang laporan polis untuk isu tersebut,” katanya, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sesi Taklimat Persediaan Banjir dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bakri, Muar, hari ini.

    Kelmarin, media melaporkan Anwar mendakwa berlaku pengundian awal membabitkan anggota tentera di Bera dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa anggota tentera berkenaan dibayar, selain menegaskan mempunyai bukti kukuh mengenai perkara itu.

    Berucap di majlis ramah mesra di Kuala Nerus, Terengganu, Anwar turut mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian.

    Mengulas lanjut, Anwar yang juga calon PH untuk kawasan Parlimen Tambun di Perak berkata, dia menggesa SPR segera bertindak menyiasat kejadian tersebut.

  • Pendedahan Anifah buktikan Zahid mahu ketuai kerajaan – Wan Saiful

    Pendedahan Anifah buktikan Zahid mahu ketuai kerajaan – Wan Saiful

    PENDEDAHAN bekas Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman berhubung tawaran jawatan Kabinet didakwa membuktikan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu mengetuai kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini kerana perkara itu jelas menunjukkan Presiden UMNO itu sedang mencatur susunan jemaah menteri dalam Kabinet.

    “Tindakan Ahmad Zahid menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri hanyalah lakonan untuk menipu rakyat Malaysia. Anggota Kabinet pun Ahmad Zahid yang hendak susun.

    “Saya yakin rakyat Malaysia sedar rancangan sulit Ahmad Zahid ini. Saya harap semua pengundi akan tolak Ahmad Zahid dan beri peluang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memimpin negara melalui Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Bersatu.

    Terdahulu, media melaporkan, Anifah membuat kejutan apabila muncul dalam program Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sabah, semalam.

    Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu bukan sekadar hadir dalam Perhimpunan Kebangkitan Rakyat Sepanggar malah, beliau secara terang-terangan menyatakan sokongan terhadap Anwar Ibrahim selaku calon Perdana Menteri.

    Malah mendedahkan, beliau ada diminta oleh Ahmad Zahid untuk tidak bertanding di Parlimen Kimanis dan membantu calon-calon BN.

    Dedahnya, sebagai balasan, calon BN Parlimen Bagan Datuk itu menawarkan jawatan Menteri Luar dan Senator kepadanya.

    Bagaimanapun, katanya, bukan jawatan yang beliau kehendaki sebaliknya, beliau mahu agar tuntutan-tuntutan yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditunaikan.