Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘Kenyataan saya diambil di luar konteks,’ jelas Takiyuddin

    ‘Kenyataan saya diambil di luar konteks,’ jelas Takiyuddin

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin menjelaskan kenyataan beliau mengenai penggabungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah diambil di luar konteks.

    Malah tegas beliau, tajuk dalam laporan media itu juga adalah mengelirukan pengundi.

    “Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya berkeyakinan penuh PN akan dapat membentuk kerajaan secara bersendirian dan Perdana Menteri adalah daripada Perikatan Nasional.

    “Kami percaya rakyat akan lebih yakin dengan tema PN iaitu prihatin, stabil dan bersih.

    “Dengan kenyataan yang jelas ini maka sebarang kenyataan berhubung kerjasama dengan BN tidak berbangkit dan kami di PN berkeyakinan akan membentuk kerajaan bersendirian selepas PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Media hari ini memetik Takiyuddin sebagai berkata, Pas akan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) pasca PRU-15 jika pihaknya tidak dapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan.

    “Pendirian Pas adalah jelas, …akan bergabung dengan BN sahaja bukannya dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti komponennya.

    “Bagi kita atau mana-mana gabungan parti apabila mendapat majoriti mudah minimum sebanyak 112 kerusi, parti itu sendiri akan menubuhkan kerajaan.

    “Kalau parti ini tidak mendapat majoriti mudah, parti akan bergabung dengan mana-mana pihak. Pendirian Pas jelas.

    “Kalau kita perlu gabungan (selepas PRU15), pilihan terdekat adalah gabungan dengan BN. Begitu juga parti lain dalam BN,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Tuan Ibrahim yakin PN bentuk kerajaan 19 Nov, tolak soal gabungan politik

    Tuan Ibrahim yakin PN bentuk kerajaan 19 Nov, tolak soal gabungan politik

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yakin Perikatan Nasional (PN) akan berjaya membentuk kerajaan 19 November ini berdasarkan peningkatan sokongan kepada gabungan politik itu.

    Beliau menegaskan, ini sekali gus menolak andaian berlakunya gabungan politik sebagaimana dakwa Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menurutnya hanya bersifat pilihan sedia ada dan ia telah sedia diulas oleh pelbagai pihak.

    Menurutnya, di sebalik pelbagai ramalan politik, beliau melihat sokongan kepada PN semakin jelas khususnya dalam kalangan pengundi muda, seiring peningkatan sokongan dan mood perubahan ditunjukkan rakyat terhadap gabungan itu.

    “Pengundi muda mahu sebuah kerajaan bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa. Trend sokongan semakin meningkat ini dijangka akan lebih menyerlah pada hari-hari terakhir kempen.

    “Tidak timbul soal gabungan politik buat masa ini. Apa yang dinyatakan SUA Pas (Takiyuddin) hanyalah pilihan sedia ada dan telah sedia diulas oleh pelbagai pihak,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menegaskan, perkara yang penting bagi PN ketika ini ialah meningkatkan usaha secara berterusan bagi membentuk kerajaan PN yang dipilih oleh majoriti rakyat.

    “Rakyat dan penjawat awam telah serik di bawah PH selama 22 bulan, dan tidak mungkin mengulangi kesilapan lampau.

    “Demikian juga dengan BN (Barisan Nasional) dengan pelbagai kemelut kluster mahkamah, terpalit dengan salahlaku dikalangan sebahagian pimpinan menyebabkan rakyat hanya punyai satu pilihan, iaiatu kerajaan PN. Saya yakin kita mampu lakukannya,” tambahnya.

  • Peniaga didenda RM1,000 menyerang, ugut wartawan

    Peniaga didenda RM1,000 menyerang, ugut wartawan

    SEORANG peniaga didenda RM1,000 di Mahkamah Majistret Seremban hari ini selepas mengaku bersalah menyerang dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wartawan sebuah portal berita pada Jumaat lalu.

    Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, S. Subramaniam, 41, mengaku bersalah apabila tuduhan dibuat terhadapnya.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyerang dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang lelaki berusia 24 tahun.

    Menurut laporan BH Online, kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Seremban Jaya, Negeri Sembilan, pada pukul 7 malam, 11 November lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd. Azman manakala tertuduh diwakili peguam Asmawi Ismail.

  • Tragedi pergi pusat undi: Trak tentera terbalik, seorang parah

    Tragedi pergi pusat undi: Trak tentera terbalik, seorang parah

    SEORANG anggota tentera cedera parah dalam satu kejadian trak terbalik di Jalan Chengkau-Pilin, dekat sini, tengah hari tadi, ketika dalam perjalanan ke pusat pengundian awal di Port Dickson.

    Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata trak Regimen ke-11 Kor Armor Diraja, Kem Syed Sirajuddin, Gemas itu membawa 24 anggota tentera berumur lingkungan 24 hingga 30 tahun.

    “Mereka dalam perjalanan ke pusat mengundi di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson, untuk tujuan mengundi awal. Setibanya di tempat kejadian, trak berkenaan didakwa gagal dikawal dan terbalik. 

    “Susulan kejadian berkenaan, seorang anggota mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Rembau, empat berada di Zon Kuning (cedera sederhana) dan 19 lagi Zon hijau (cedera ringan). Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987. – BERNAMA

  • 6,914 al-Quran, buku dikenakan larangan dirampas

    6,914 al-Quran, buku dikenakan larangan dirampas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK 6,914 naskhah al-Quran tanpa kelulusan serta bahan penerbitan yang dikenakan perintah larangan dirampas Kementerian Dalam Negeri (KDN) dari sebuah premis di Pendang, Kedah, Ahad lalu.

    Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yusoff berkata, rampasan tersebut dibuat menerusi satu serbuan dalam Ops Naskhah yang dijalankan kira-kira pukul 11 pagi kelmarin.

    Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang disyaki merupakan pengedar bahan tersebut telah diambil keterangan.

    “Rampasan melibatkan sebanyak 2,874 unit al-Quran, 4,024 bahan al-Quran dan 16 unit bahan penerbitan berbentuk buku yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM563,370.

    “Dalam serbuan itu, kami berjaya merampas al-Quran yang tidak memiliki kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) serta buku yang dikenakan perintah larangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Difahamkan premis tersebut dijadikan sebagai tempat jualan serta stor penyimpanan al-Quran serta buku tersebut.

    Tambahnya, kebanyakan al-Quran dan buku-buku yang dirampas itu datangnya dari Indonesia dengan harga jualan mencecah RM500 senaskhah.

    Selain itu katanya, pemeriksaan dijalankan mendapati lelaki terbabit menyimpan atau menyembunyikan bahan-bahan bacaan tersebut dalam kotak.

    “Suspek dipercayai hanya akan mengeluarkan bahan bacaan tersebut apabila hendak menjualnya,” katanya.

    Difahamkan rampasan dilakukan itu merupakan yang terbesar dilakukan pada tahun ini.

    “Ketika ini kes tersebut masih disiasat mengikut Seksyen 8(1) dan 14(1) Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 serta Seksyen 7(1) dan 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya.

  • Keputusan kes Najib pinda laporan audit 1MDB 30 Januari

    Keputusan kes Najib pinda laporan audit 1MDB 30 Januari

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 30 Januari tahun depan untuk keputusan sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak dibebaskan atau dipanggil membela diri atas pertuduhan meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

    “Saya berterima kasih dengan hujahan semua pihak,” katanya yang turut akan memutuskan isu yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan, lapor Sinar Harian.

    Pihak pembelaan membangkitkan isu sama ada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy boleh diberikan indemniti atau pengecualian liabiliti undang-undang dan dibebaskan daripada tuduhan selepas dipanggil sebagai saksi pendakwaan.

    Dalam kes berkenaan, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sementara Arul Kanda oleh Datuk N Sivananthan.

    Berita lanjut menyusul…

  • PRU-15: ‘Pendirian PAS jelas, jika perlu akan bergabung dengan BN’

    PRU-15: ‘Pendirian PAS jelas, jika perlu akan bergabung dengan BN’

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini mendedahkan parti itu akan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) pasca PRU-15 jika pihaknya tidak dapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan.

    “Pendirian Pas adalah jelas, …akan bergabung dengan BN sahaja bukannya dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti komponennya.

    “Bagi kita atau mana-mana gabungan parti apabila mendapat majoriti mudah minimum sebanyak 112 kerusi, parti itu sendiri akan menubuhkan kerajaan.

    “Kalau parti ini tidak mendapat majoriti mudah, parti akan bergabung dengan mana-mana pihak. Pendirian Pas jelas.

    “Kalau kita perlu gabungan (selepas PRU-15), pilihan terdekat adalah gabungan dengan BN. Begitu juga parti lain dalam BN,” katanya pada sidang media ketika meninjau pusat mengundi di Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi bahawa tujuan PN bertanding PRU-15 adalah membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau PH.

    “Saya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional tidak pernah memberi mandat kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung Pas, untuk berunding dengan Barisan Nasional bagi tujuan membentuk kerajaan selepas PRU-15.

    “Saya berdoa dengan izin Allah SWT dan sokongan padu rakyat, PN akan memenangi jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang terbabit PRU-15,” katanya lapor BH Online.

    Lewat malam tadi dalam program Ceramah Perdana PRU-15 di Kampung Kubang Kiat, Takiyuddin berkata, PN yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutama BN pasca PRU-15.

    Takiyuddin berkata beliau menjangkakan BN akan menerima penggabungan itu.

    “Saya yakin kita dapat bentuk kerajaan Persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain, termasuk BN. Apa yang pasti kita tidak menerima PH walaupun perlu gabungan.

    “Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ada menyebut sekiranya kita tidak boleh bergabung sebelum PRU-15, mungkin selepas (PRU-15) kita boleh wujudkan hubungan itu.

    “Rujukan pertama kita adalah BN, bagaimanapun sebarang perbincangan belum dibuat sepanjang tempoh berkempen ini namun saya yakin BN akan terima. Perbincangan dulu sudah ada, namun ketika kita tidak bersama pun kita ada maklum mungkin kita boleh bersama selepas PRU-15,” katanya.

  • Bantu pengundi muda tingkat taraf hidup – Fakrunizam

    Bantu pengundi muda tingkat taraf hidup – Fakrunizam

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Raub, Datuk Mohd Fakrunizam Ibrahim berpandangan bahawa perubahan perlu dilakukan bagi membantu pengundi muda untuk berdikari serta menaik taraf kehidupan mereka dari semasa ke semasa.

    Beliau berkata, golongan pengundi muda pada masa kini perlu disediakan platform untuk peluang pendidikan, pekerjaan dan tempat tinggal supaya mereka dapat meneruskan kehidupan pada masa akan datang.

    “Mana yang pandai, ada rezeki mereka boleh sambung pelajaran ke tempat yang tinggi, masuk universiti dan dapat biasiswa atau PTPTN.

    “Bagi yang kurang berkemampuan, tidak boleh sambung belajar, mereka hendak bekerja tetapi nak kerja apa?

    “Ini yang kita kena fikirkan. Polisi-polisi kerajaan untuk pembentukan kerajaan baharu ini perlu diubah,” soalnya.

    Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Sinar Live yang bertajuk ‘Jangan Harap Pengundi Muda’ semalam.

    Program yang dihoskan Fahiz Ariff itu turut menampilkan calon Gerakan Tanah Air (GTA) Parlimen Lipis, Aishaton Abu Bakar dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Parlimen Sungai Buloh, Ahmad Jufliz Faiza.

    Selain itu, mengulas mengenai isu tempat tinggal pula, ulas Mohd Fakrunizam, ramai anak muda yang sudah berkahwin masih lagi tinggal bersama keluarga mereka.

    “Kita nak kalau boleh anak muda ini boleh berdikari dan bekerja. Bila bekerja, mereka boleh membina keluarga, berkahwin dan membeli rumah.

    “Ayat yang paling mudah untuk anak muda ini ialah kita kena mencari jalan membantu memberi mereka pancing, bukannya ikan.

    “Beri pancing supaya boleh memancing ikan dan supaya mereka boleh meneruskan kehidupan,” katanya lapor portal BeritaBersatu.

  • Guru Besar terlibat kemalangan motosikal maut dilanggar kereta

    Guru Besar terlibat kemalangan motosikal maut dilanggar kereta

    GURU Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sahom maut selepas motosikal ditunggang dilanggar kereta Perodua Alza di Kilometer 23.5 Jalan Ipoh- Kuala Lumpur berhampiran warung Kampung Gunung Panjang, Kampar, Perak, pagi tadi.

    Mohd. Erilzuddin Affendi Mohd. Amir, 45, menunggang motosikal Jenis Honda Vario dan disahkan maut di lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pada pukul 7.40 pagi sebelum ke lokasi kejadian.

    Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku selepas kereta Perodua Alza yang datang dari arah Kampar ke Ipoh hilang kawalan sebelum berpusing memasuki arah bertentangan.

    “Siasatan di tempat kejadian mendapati kedudukan kedua-dua kenderaan berada di kawasan berumput di bahu jalan menghala ke Kampar

    “Berdasarkan kedudukan kedua-dua kenderaan itu, kereta Perodua Alza dipercayai datang dari arah Kampar menuju ke Ipoh, sementara motosikal berkenaan dipercayai datang dari arah bertentangan.

    “Kereta berkenaan hilang kawalan dan berpusing masuk ke laluan motosikal berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di Kampar, hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, penunggang motosikal disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu Perodua Alza pula dibawa ke Hospital Kampar untuk menerima rawatan lanjut.

    Katanya, punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa akan dijalankan pada jam 3 petang hari ini di Jabatan Forensik Hospital Kampar, “katanya.

  • PRU15; 6,051 pegawai, anggota polis Pulau Pinang mengundi awal

    PRU15; 6,051 pegawai, anggota polis Pulau Pinang mengundi awal

    SERAMAI 6,051 pengundi membabitkan pegawai dan anggota polis di Pulau Pinang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, sebanyak 33 saluran di 28 pusat mengundi awal dibuka seluruh Pulau Pinang hari ini.

    “Selain itu, seramai 187 pegawai dan anggota telah digerakkan untuk penugasan hari ini bagi menyelaraskan proses pengundian awal hari ini,” katanya kepada pemberita di Dewan Mutiara Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, pada hari pengundian awal pos 10 November lalu pula, seramai 179 pegawai kanan, pegawai rendah dan kakitangan awam turut melaksanakan tangungjawab mereka.

    Sebahagian daripada pegawai serta anggota polis menunggu giliran untuk membuang undi awal sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

    Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, sepanjang 10 hari tempoh kempen PRU15 berlangsung polis Pulau Pinang telah mengeluarkan sebanyak 986 permit untuk aktiviti kempen yang mana 360 acara telah dijalankan setakat ini.

    “Mungkin dalam minggu-minggu akhir kempen nanti kita akan menerima lebih banyak permohonan permit,” katanya.

    Tambah beliau, setakat hari ini juga pihaknya turut menerima sebanyak 30 laporan polis berkaitan PRU15 dengan 12 kertas siasatan dan satu kertas enkuiri polis (KEP) dibuka.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain GAMBAR: Abd Razak Aid

    Sehubungan itu, katanya, polis menasihatkan semua pihak menjaga keselamatan dan bersedia menghadapi kemungkinan banjir memandangkan situasi cuaca yang tidak menentu pada masa ini dalam tempoh kempen PRU15 yang masih berbaki empat hari lagi.

    “Polis sentiasa bersedia memberi bantuan segera kepada mana-mana pihak yang memerlukannya terutama di kawasan-kawasan ‘hot spot’,” katanya.