Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘PN sepakat, tiada dominasi Bersatu’ – Tuan Ibrahim

    ‘PN sepakat, tiada dominasi Bersatu’ – Tuan Ibrahim

    PAS menolak dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendominasi Perikatan Nasional (PN), sebaliknya semua keputusan diputuskan bersama dengan semua komponen dalam PN.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak timbul soal dominasi kerana sebarang keputusan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah melalui mesyuarat bersama lima parti dalam majlis tertinggi.

    “Kita ada majlis tertinggi parti yang dibuat oleh semua komponen, iaitu lima parti dalam majlis itu.

    “Sama juga dengan BN, orang melihat BN didominasi oleh UMNO sedangkan mereka juga bersama-sama (muafakat), kita (PN) pun sama.

    “Bila kita mesyuarat, Tan Sri Muhyiddin adalah pengerusi, semua kenyataan mesti daripada pengerusi bukan bermakna dominasi, tetapi ialah keputusan bersama,” katanya kepada media di pekarangan Pasar Batu Enam, Kuala Nerus, semalam.

    Tuan Ibrahim berkata, sebelum Pengerusi PN membuat apa jua keputusan, beliau akan berjumpa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Dia (Muhyiddin) akan datang Terengganu jumpa tuan guru presiden (Abdul Hadi). Saya pun banyak kali jumpa dia, bila ada perkara penting dia akan bincang dengan Pas sebab Pas dan Bersatu menjadi tunggak kepada PN,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah berkata, Bersatu lebih dominan dalam PN dan parti itu hanya memperalatkan Pas demi kepentingan mereka pada PRU15.

    Pada masa sama, Tuan Ibrahim berkata, Terengganu mempunyai dua ‘tanah haram’ iaitu di Marang dan Batu Enam, Kuala Nerus.

    “Di dunia ini ada dua Tanah Haram iaitu Tanah Haram Mekah dan Madinah tetapi politik di Terengganu pun ada dua ‘tanah haram’.

    “Saya tengok di Terengganu ini ada dua kawasan di mana kawasan yang memang bendera lain tak boleh masuk (pasang). Terima kasih anak muda di sini yang mempertahankan bendera Pas sahaja yang ada di Batu Enam,” katanya

  • Rina Harun mahu bangunkan Sepang jadi hab ekonomi, pelancongan

    Rina Harun mahu bangunkan Sepang jadi hab ekonomi, pelancongan

    CALON Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Perikatan Nasional (PN) di Sepang, Datuk Seri Rina Harun berhasrat menjadikan Sepang sebagai hab ekonomi dan pelancongan negara.

    Ujarnya, lokasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang terletak dalam parlimen itu perlu dimanfaatkan supaya pelancong yang tiba menjadikan Sepang destinasi pilihan mereka.

    “Kita nak supaya pembangunan ini bukan sahaja tertumpu di Kuala Lumpur, KLIA, atau di Cyberjaya, tetapi limpahannya kita nak juga sampai di Sungai Pelek, Bagan Lalang dan sebagainya. Saban tahun ramai pelancong turun ke KLIA, ke mana mereka pergi di tanah Malaysia ini.

    “Jadi kita nak jadikan Sepang hub ekonomi dan pelancongan supaya mereka boleh singgah di Sepang ini bagi memakmurkan ekonomi rakyat di Sepang dan dalam masa sama dapat memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak Sepang,” katanya semasa berkempen di Pasar Malam Salak Tinggi, Sepang, hari ini.

    Malah katanya, banyak lagi produk anak tempatan perlu dipromosikan di pasaran.

    “Kita ada banyak produk tempatan yang boleh kita perluaskan dan bantu supaya dapat dipasarkan produk penghasilan penjenamaan tempatan ini,” ujarnya.

    Selain itu, beliau juga akan mengatasi isu banjir dan orang muda yang telah lama dibincangkan dan bukan baru nak dilaksanakan.

    “Isu ini bukan saya datang baru nak cakap. Kita sudah ada perbincangan. Saya telah usahakan pelbagai perkara untuk membantu mengatasi masalah banjir ini.

    “Isu anak muda dan belia juga bukan baru nak dibuat, dan dilaksanakan. Saya nak teruskan usaha saya di Sepang ini,” tambah beliau.

    Dalam pada itu Rina berharap pengundi Sepang dapat memilih bakal wakil rakyat yang betul dan bukan mereka yang hanya tunjuk muka apabila tiba musim pilihan raya.

    “Calon PH ini dia baru datang, kita nak pilih pemimpin yang bila pilihan raya baru nak merayu undi, bukan baru nak tunjuk muka.

    “Kita sudah bertahun di Sepang. Jadi kalau ada ramai calon yang datang untuk berjumpa, tanya mereka, apa yang mereka laksanakan untuk bantu rakyat di Sepang,” kata beliau, lapor Astro Awani.

  • ‘Pengundi luar, anak muda pulanglah mengundi’ – Dr. Sahrudin

    ‘Pengundi luar, anak muda pulanglah mengundi’ – Dr. Sahrudin

    SEMUA pengundi Pagoh yang merantau atau tinggal di luar negara diminta pulang pada Sabtu ini untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, beliau juga menyeru anak muda yang berumur 18 tahun ke atas balik mengundi di Pagoh.

    “Saya juga menyeru semua anak perantau untuk pulang ke Parlimen Pagoh.

    “Undilah calon-calon yang betul-betul berjasa di Parlimen Pagoh dan (memilih) pemimpin yang bersih dan berintegriti,” ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama (BGU) Pagoh, lapor Sinar Harian.

    Sejumlah 21,173,638 pengundi bakal menentukan kerajaan baharu pada hari pengundian PRU15 bagi mengisi 222 kerusi Parlimen yang ditetapkan 19 November ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan tarikh penamaan calon adalah pada 5 November manakala hari mengundi awal pada Selasa lalu.

    Selain itu, Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, tiada isu dakwaan pembangkang yang mengatakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Si Muhyiddin Yassin menyalahgunakan duit kerajaan ketika pandemik Covid-19.

    “Setahu saya tidak timbul isu itu dakwaan pembangkang itu.

    “Walhal setahu saya, sebarang dana adalah dapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan dan dapat kelulusan daripada kabinet,” jelasnya.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari, bahawa Muhyiddin akan disiasat berhubung dakwaan membelanjakan RM500 bilion ketika pandemik Covid-19, dua tahun lalu, jika PH menang PRU15.

  • Lelaki didenda RM4,500 cantas bendera parti politik

    Lelaki didenda RM4,500 cantas bendera parti politik

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG pendawai elektrik didenda RM4,500 di Mahkamah Majistret Alor Setar akibat perbuatan khianat yang dilakukan ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Isnin lalu.

    Tertuduh, Burhanuddin Hussain, 41, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif.

    Muhammad Zul Hilmi turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama 12 bulan sekiranya tidak membayar denda terbabit.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan niat melakukan khianat dengan mencantas kira-kira 50 batang bendera sebuah parti politik yang menyebabkan kerugian RM1,600 di tepi Jalan Kampung Alor Parit, Jalan Bukit Raya di Pendang, antara pukul 10 pagi hingga 11.30 pagi, 14 November lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Sabirah Ramli yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhi hukuman ringan memandangkan tertuduh seorang duda yang perlu menyara seorang anak berusia 17 tahun dan ibunya berusia 77 tahun.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan kes itu berkepentingan awam.

    Sementara itu, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian amuk oleh seorang lelaki menggunakan sebilah parang sebelum menahan suspek dan merampas parang itu pada hari kejadian.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, siasatan polis mendapati suspek tidak terlibat atau menyertai mana-mana parti politik.

    “Justeru, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan kegusaran, permusuhan atau menggugat ketenteraman awam.

    “Polis Kedah akan sentiasa peka dan respon ke atas perlakuan jenayah seperti ini terutamanya semasa tempoh berkempen PRU15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • PN Perak lancar manifesto tumpu lima teras utama

    PN Perak lancar manifesto tumpu lima teras utama

    PERIKATAN Nasional (PN) Perak hari ini melancarkan manifesto bagi peringkat negeri itu dengan tema ‘PN Baik’ sehari sebelum tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melabuhkan tirainya. 

    Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, manifesto itu meletakkan lima teras utama yang menumpukan elemen pendidikan, sosial, wanita, infrastruktur dan kelestarian alam sekitar. 

    “Menerusi semua lima teras ini , diharapkan berupaya untuk membentuk bukan sahaja rakyat yang progresif malah berdaya saing dan dinamik,” katanya dalam ucapan pelancaran di Hotel Casuarina, Meru di Ipoh, lapor Malaysianow.

    Perak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 17 Oktober, menjadi antara negeri yang mengadakan pilihan raya peringkat negeri serentak dengan peringkat persekutuan pada PRU15 susulan pembubaran Parlimen 10 Oktober lalu. 

    Sementara Pahang dan Perlis membubarkan DUN pada 14 Oktober.

    Terdahulu, beberapa negeri membuat keputusan untuk tidak membubarkan DUN berikutan kebimbangan banjir musim tengkujuh.

    INI termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah yang diterajui Pas dan negeri-negeri yang di bawah Pakatan Harapan.

  • PRU-15: Calon PN Teluk Intan hasrat selesaikan isu projek terbengkalai

    PRU-15: Calon PN Teluk Intan hasrat selesaikan isu projek terbengkalai

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Teluk Intan, Datuk Zainol Fadzi Paharudin mahu menyelesaikan isu projek terbengkalai di daerah Hilir Perak itu jika diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

    Beliau berkata, projek pembinaan cawangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Teluk Intan, balai bomba baharu dan kemudahan parkir hospital yang memberi manfaat kepada rakyat itu perlu tindakan segera.

    “Lawatan ke projek ini dapat melihat keadaan yang menyedihkan dan saya kesal apabila tiada usaha yang dibangunkan oleh kepimpinan sebelum ini.

    “Projek-projek ini memberi manfaat kepada rakyat. Sekiranya dipilih, saya akan perjuangkan supaya projek-projek ini tidak berlaku isu terbengkalai lagi.

    “Begitu juga parkir bertingkat di Hospital Teluk Intan yang pernah diuar-uarkan sebelum ini. Hospital tidak mempunyai isu tanah kerana mempunyai kawasan yang luas,” katanya ketika ditemui pada program ramah mesra bersama penduduk di Taman Desa Ramah, Selabak.

    Menurut Zainol Fadzi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak perlu memikirkan jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi banjir yang kerap berlaku di daerah itu sejak tiga dekad lalu.

    “Saya difahamkan ada lima hingga enam kampung terjejas banjir hingga terpaksa berpindah (pusat pemindahan sementara) setiap tahun.

    “Rakyat sudah bosan dengan keadaan ini, jadi dengan teknologi terkini serta ramai pakar yang ada khususnya JPS perlu memikirkan kaedah penyelesaian jangka panjang,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.

    Ditanya peluang bertanding di kubu kuat Pakatan Harapan (PH) itu, Zainol Fadzi yang juga Setiausaha PN Perak berkata, beliau akan menggunakan peluang sebaiknya tempoh berkempen untuk meraih pengundi di Teluk Intan.

    “Ramai yang kata peluang saya di sini agak tipis kerana berhadapan dengan penyandang kerusi. Kita masih ada masa dan saya cuba sebaiknya.

    “Saya mempunyai rekod selama tiga penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik yang akan digunakan untuk bantu dan menaikkan kampung halaman saya ini,” katanya.

    Pada PRU15, Zainol Fadzi akan berhadapan dengan calon dan penyandang daripada PH, Nga Kor Ming; Datuk T Murugiah (BN) dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (Pejuang).

  • Shahidan mampu bantu PN rampas Perlis – Tuan Ibrahim

    Shahidan mampu bantu PN rampas Perlis – Tuan Ibrahim

    GELOMBANG yang dibawa oleh calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Shahidan Kassim mampu membantu parti itu menumbangkan Barisan Nasional (BN) sekali gus membentuk kerajaan baharu di Perlis selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, itu dapat dirasai apabila Shahidan turun sendiri berkempen di seluruh negeri itu bagi membantu PN.

    “Seluruh negara cukup mengenali siapa beliau (Shahidan), apatah lagi di Perlis,” katanya selepas menyampaikan Ceramah Mega Kubang Kerian Sejahtera, di Pasir Tumboh, Kota Bharu semalam.

    Selain faktor Shahidan, Tuan Ibrahim berkata gerak kerja yang telah dilakukan oleh Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut memainkan peranan dalam membantu kemenangan PN.

    Menurut laporan Sinar Harian, beliau turut mengharapkan gerak kerja itu akan berterusan bagi memastikan PN mampu menawan Perlis pada PRU15.

    Sebelum ini BN membuat kejutan apabila menggugurkan nama Shahidan sebagai calon Parlimen Arau.

    Tindakan itu menyebabkan Shahidan menyertai PN dalam misi mempertahankan kerusi Parlimen tersebut.

  • 1MDB: Bicara kes Najib tangguh, tiada saksi hadir

    1MDB: Bicara kes Najib tangguh, tiada saksi hadir

    PERBICARAAN kes penyelewengan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion dihadapi Datuk Seri Najib Razak yang sepatutnya bersambung pagi ini ditangguhkan berikutan tiada saksi boleh hadir untuk memberikan keterangan.

    Di awal prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu Mahkamah Tinggi, tiada saksi tersedia untuk memberikan keterangan hari ini berikutan tiga daripada mereka menerima notis di saat akhir manakala dua lagi berada di luar negara.

    “Saksi ke-43 pendakwaan, Pengerusi kumpulan Media The Edge, Datuk Tong Kooi Ong yang memberikan keterangan semalam ada di mahkamah untuk disoal balas, bagaimanapun difahamkan peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak dapat hadir pada prosiding hari ini,” katanya, lapor BH Online.

    Perkara itu disahkan seorang lagi peguam bela Najib, Rahmat Hazlan yang memaklumkan bahawa Muhammad Shafee masih cuti sakit selepas melakukan rawatan orthodontik.

    Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan itu kepada Isnin ini.

    Semalam, Kooi Ong memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau diminta oleh Najib untuk beredar daripada kediamannya selepas mencadangkan kepada bekas perdana menteri itu supaya menyiasat dan mendakwa ahli perniagaan dikehendaki pihak berkuasa, Low Taek Jho (Jho Low) kerana mencuri AS700 juta milik 1MDB.

    Menurutnya, dalam pertemuan di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta pada jam 10.45 malam, 6 Mac 2015, beliau turut menjelaskan, daripada AS$1 bilion yang disuntik bagi perjanjian usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd (PSI), AS$700 dilencongkan ke syarikat Good Star Ltd, milik Jho Low.

    Najib, 69 menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

  • Saringan ketat calon bukti kesungguhan PN mahu tadbir Malaysia dengan bersih

    Saringan ketat calon bukti kesungguhan PN mahu tadbir Malaysia dengan bersih

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa tiada parti lain yang lebih bersungguh untuk menampilkan barisan calon pemimpin yang bersih.

    PN membuktikannya dengan membuat saringan ketat terhadap calon yang mahu dipertandingkan seterusnya mengangkat sumpah untuk tidak terlibat dalam sebarang bentuk salah laku terutamanya rasuah.

    Justeru tegas Muhyiddin, rakyat tidak perlu ragu atau keliru lagi untuk memilih perwakilan mereka kerana PN menampilkan calon yang diyakini dapat memberi tumpuan penuh kepada khidmat kepada masyarakat.

    “Semua calon kita disaring. Pertama oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), kemudian PDRM (Polis Diraja Malaysia) berkenaan kes-kes jenayah.

    “Ketiga, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), kalau-kalau mereka ada hutang atau tak bayar cukai. Dan keempatnya (Jabatan) Insolvensi, selain daripada akhlak, pengalaman dan kelulusan yang turut diambil kira.

    “Jadi jangan bimbang untuk pilih calon kita,” ujarnya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

    Beliau yang juga calon PN Pagoh turut menjelaskan, ia bukan semata-mata meletakkan calon untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini tetapi keupayaan dan kewibawaan mereka untuk bekerja selepas itu.

    Muhyiddin menegaskan, PN tidak mahu mengulangi sejarah parti-parti lain yang dipalit skandal, sebaliknya mereka mahu menampilkan budi pekerti yang akan berkorban untuk mendengar suara rakyat dan membawanya ke Parlimen untuk dicari penyelesaian.

    “Bagi saya, itu penting. Bukan sekadar meletakkan calon, tetapi yang ada wibawa, kelayakan dan integriti. Itu asas kita,” tambahnya lapor BeritaBersatu.

  • Syed Saddiq doakan saya menang di Pagoh – Muhyiddin

    Syed Saddiq doakan saya menang di Pagoh – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui sehingga kini Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman masih berhubung dengannya kerana beliau dianggap sebagai ‘bapa’ dalam bidang politik.

    Menurut calon yang juga penyandang kerusi Parlimen Pagoh itu, Syed Saddiq ada menghantar mesej kepadanya melalui WhatsApp mendoakan kemenangannya di Pagoh.

    “Pasal dia lihat saya ini sebagai bapa sampai hari ini pun dia ada hantar WhatsApp doakan saya menang di Pagoh

    “Saya pun begitu juga nak doakan dia menang di Muar,” katanya semasa berucap di Ceramah Parlimen Muar di Padang Bukit Mor, Parit Jawa, malam tadi.

    Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, secara dasarnya beliau mahu calon PN Muar, Abdullah Husin menang Muar.

    “Bahasanya gitu. Tetapi ‘nawaitu’ kata menangkan Abdullah sebab PN. Tak apalah tak usah cerita,” katanya.

    Muhyiddin juga berkata, beliau yang membawa Syed Saddiq masuk menyertai politik semasa melantik menjadi Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Beliau akui Syed Saddiq merupakan seorang yang cerdik dan anak didiknya.

    “Syed Saddiq ini anak didik saya. Cerdik. Waktu awal-awal dulu dia tidak masuk politik pun.

    “Waktu saya tubuh Bersatu saya tengok anak ini bagus… saya kata datang sini, jangan pergi London dulu untuk belajar sana. Duduk sini dan saya nak lantik dia Ketua Pemuda Bersatu,” katanya.

    Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, selepas itu Syed Saddiq keluar Bersatu dan tubuh parti Muda.

    “Itu mukadimah permulaan (Syed Saddiq) masuk politik. Entah macam mana lepas itu macam-macam jadi dia terkeluar daripada Bersatu.

    “Dia kata nak tubuh parti Muda, dia tanya saya boleh tak tubuh. Pasal dia lihat saya ini sebagai bapa sampai hari ini,” katanya, lapor Sinar Harian.