PERBICARAAN kes penyelewengan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion dihadapi Datuk Seri Najib Razak yang sepatutnya bersambung pagi ini ditangguhkan berikutan tiada saksi boleh hadir untuk memberikan keterangan.

Di awal prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu Mahkamah Tinggi, tiada saksi tersedia untuk memberikan keterangan hari ini berikutan tiga daripada mereka menerima notis di saat akhir manakala dua lagi berada di luar negara.

“Saksi ke-43 pendakwaan, Pengerusi kumpulan Media The Edge, Datuk Tong Kooi Ong yang memberikan keterangan semalam ada di mahkamah untuk disoal balas, bagaimanapun difahamkan peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak dapat hadir pada prosiding hari ini,” katanya, lapor BH Online.

Perkara itu disahkan seorang lagi peguam bela Najib, Rahmat Hazlan yang memaklumkan bahawa Muhammad Shafee masih cuti sakit selepas melakukan rawatan orthodontik.

Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan itu kepada Isnin ini.

Semalam, Kooi Ong memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau diminta oleh Najib untuk beredar daripada kediamannya selepas mencadangkan kepada bekas perdana menteri itu supaya menyiasat dan mendakwa ahli perniagaan dikehendaki pihak berkuasa, Low Taek Jho (Jho Low) kerana mencuri AS700 juta milik 1MDB.

Menurutnya, dalam pertemuan di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta pada jam 10.45 malam, 6 Mac 2015, beliau turut menjelaskan, daripada AS$1 bilion yang disuntik bagi perjanjian usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd (PSI), AS$700 dilencongkan ke syarikat Good Star Ltd, milik Jho Low.

Najib, 69 menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here