Author: Wartawan WartaRakyat

  • PRU15: Perangi rasuah menerusi kertas undi, nilai watak, pendirian calon – Khutbah Jumaat

    PRU15: Perangi rasuah menerusi kertas undi, nilai watak, pendirian calon – Khutbah Jumaat

    AZAM memerangi rasuah boleh dibuktikan menerusi kertas undi, dengan menolak serta tidak memberi undi kepada calon-calon yang memiliki imej rasuah atau terpalit dengan lumpur rasuah.

    Menerusi teks khutbah Jumaat di seluruh Perak dengan tajuk ‘Pilihan Raya: Pemilihan Ulil Amri’, masyarakat juga perlu membuktikan tekad itu dengan tidak membenarkan diri dibeli dengan sogokan wang.

    Dengan kata lain, memilih calon kerana dipengaruhi dengan sampul surat yang mengandungi wang.

    Menurut teks berkenaan, menghukum dengan adil dapat dilakukan apabila tidak lagi memilih orang yang terlibat dan terpalit dengan rasuah serta pecah amanah.

    Jelas teks tersebut lagi, sudah tiba masanya untuk mengubah yang buruk kepada baik dan langkah untuk menjernihkan air yang keruh.

    “Betulkan yang biasa, dan biasakan diri dengan yang betul. Pilihan yang dilakukan akan menentukan kehidupan rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang.

    “Mengundi ialah tanggungjawab rakyat kepada negara. Suruhanjaya Pilihan Raya menyediakan kertas undi bagi setiap pengundi.

    “Kertas undi yang dicetak melibatkan kos yang dibayar daripada duit pembayar cukai. Jangan sia-siakan kertas undi yang telah disediakan untuk kita; apatah lagi kerajaan bermurah hati mengisytiharkan hari ini dan esok sebagai hari cuti bagi memudahkan rakyat mengundi.

    “Sempurnakan rukun kenegaraan seorang rakyat; sempurnakan tanggungjawab fardu kifayah seorang muslim; ikhlaskan niat menunaikan kewajipan fardu kifayah untuk pergi mengundi agar dinilai sebagai ibadah di sisi Allah SWT,” katanya.

    Ujarnya lagi, masyarakat disarankan memilih calon yang memiliki peribadi yang jujur dan ikhlas selain akhlak dan budi pekerti mulia.

    Di samping berilmu dan berpengetahuan, mengamalkan gaya hidup sederhana serta tidak memperagakan kemewahan secara keterlaluan.

    “Pilihlah pemimpin yang memiliki sifat al-qawi, bermaksud berkemampuan, berkebolehan, berkepakaran, dan mahir dalam melaksanakan tugas.

    “Sifat al-amin, bermaksud amanah, bertanggungjawab dan berintegriti, tidak menyeleweng, tidak khianat, dan tidak mudah dibeli dengan wang ringgit, pangkat dan jawatan hingga bersedia menggadaikan maruah diri dan maruah bangsa.

    “Setelah berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT, walau apa jua keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), ummah wajib menerimanya dengan hati yang terbuka serta reda dengan ketentuan Ilahi,” jelas teks khutbah itu.

    Menurut teks khutbah itu lagi, PRU15 memberikan hak kepada 21.1 juta orang pengundi untuk memilih pemimpin bagi mentadbir urus negara dan menentukan nasib 32.7 juta rakyat Malaysia.

    Katanya, rakyat mengharapkan pasca pilihan raya, akan terbentuk sebuah kerajaan yang dapat memenuhi harapan rakyat; merangkumi peluang pekerjaan,pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan pengangkutan awam yang berkualiti.

    Termasuk perumahan rakyat, jaminan bekalan barang makanan, kos sara hidup yang rendah, inflasi yang terkawal dan pelbagai lagi.

    “Rakyat mahu melihat nilai ringgit kembali kukuh, beban hutang dan tanggungan negara berjumlah RM1.4 trilion dapat dikurangkan, rasuah dihapuskan dan negara kembali dihormati di peringkat antarabangsa.

    “39 parti politik bertanding, membariskan 945 calon, di samping 108 calon bebas. Islam sangat memberi penekanan soal kepimpinan. Nasib buruk atau baik rakyat dan negara ditentukan oleh pemimpin,” katanya.

    Katanya lagi, dalam proses melantik seorang pemimpin negara, antara panduan sebelum membuat pilihan adalah dengan meneliti dan memastikan orang yang dilantik memiliki keupayaan untuk mengurus negara dengan baik.

    “Siapakah antara calon yang berupaya mengangkat martabat dan memakmurkan negara? Siapakah antara calon yang memiliki imej bersih dan bebas daripada rasuah?

    “Siapakah antara calon yang memiliki kekuatan dan bukan boneka atau patung yang begitu lemah dan tidak memiliki kekuatan jati diri lalu terlalu mudah tunduk kepada tekanan?

    “Siapakah antara calon yang berupaya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan makmur, yang dihormati di peringkat antarabangsa?

    “Perkara tersebut hendaklah dijadikan panduan ketika membuat pilihan,” katanya, lapor Astro Awani.

    Katanya, pilihan raya juga memberikan hak kepada rakyat menentukan sama ada mahu terus mengekalkan corak dan haluan politik negara serta pemimpin sedia ada, atau sebaliknya.

  • Sanusi enggan mohon maaf, mahu jumpa Anwar di mahkamah

    Sanusi enggan mohon maaf, mahu jumpa Anwar di mahkamah

    PENGARAH Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata beliau tidak akan memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa membayangkan presiden PKR itu berperwatakan tidak bermoral.

    “Saya tidak mahu (meminta maaf), saya ingin jumpa (beliau) di mahkamah.

    “Saya tidak menuduhnya. Saya cuma komen mengenai apa yang berlaku (kes mahkamah). Semua orang tahu (mengenainya),” katanya yang merujuk sabitan kes liwat pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

    Anwar menerima pengampunan diraja penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun 2018 bagi tiga sabitan terhadapnya iaitu satu tuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan liwat atas alasan berlakunya “salah laksana keadilan”.

    Semalam, Anwar menghantar surat tuntutan kepada pemimpin Pas itu supaya segera menarik balik ucapan yang disifatkannya berunsur fitnah.

    Sanusi dikatakan telah membuat kenyataan itu pada satu ceramah menyokong calon Perikatan Nasional (PN) yang juga bekas Ahli Parlimen Tambun Ahmad Faizal Azumu, menurut surat tuntutan itu.

    Bagaimanapun, di ceramah untuk calon PN Ahmad Tarmizi Sulaiman di Sik malam tadi, Sanusi berkata beliau belum menerima surat tuntutan daripada peguam Anwar, SN Nair.

    Menteri Besar Kedah itu mengulangi kenyataannya bahawa hanya lelaki boleh menjadi Ahli Parlimen Sik.

    “Kedua-dua calon wanita (dari BN dan PH) tidak boleh (jadi Ahli Parlimen Sik). Sik memerlukan calon lelaki. Anda ada Ustaz Tarmizi di sini, pilih dia,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Sanusi baru-baru ini dikritik oleh pelbagai pemimpin berhubung kenyataannya mengenai calon wanita terutamanya daripada calon PH di Sik, Latipah Md Yatim, dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

  • Muhyiddin kuat di Pagoh walau sekali lagi berdepan pertandingan 3 penjuru

    Muhyiddin kuat di Pagoh walau sekali lagi berdepan pertandingan 3 penjuru

    DI kawasan Parlimen Pagoh, Johor, sokongan kepada penyandangnya,Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilihat semakin meningkat menjelang pilihan raya, esok, di mana bekas Perdana Menteri itu bakal mempertahankan kerusinya untuk kali kesembilan.

    Pada 2018, Muhyiddin mengekalkan kerusinya dengan tiket Pakatan Harapan (PH), memenangi 55.21% undi menentang calon Pas, Ahmad Nawfal Mahfodz dan calon UMNO, Ismail Mohamed.

    Tujuh kemenangannya sebelum itu adalah di bawah bendera Barisan Nasional (BN), mewakili UMNO sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.

    Beliau kemudiannya dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 2016 selepas dilihat lantang mengkritik cara Datuk Sri Najib Razak menangani skandal 1MDB.

    Pada tahun yang sama, beliau menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bergabung dengan PH bagi menghadapi pilihan raya umum dua tahun kemudian, bersama PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

    Beliau kemudiannya meninggalkan PH pada 2020, dan mengasaskan Perikatan Nasional (PN), gabungan baru yang diwakili Muhyiddin di Pagoh kali ini.

    Seorang penduduk yang memperkenalkan dirinya sebagai Jaafar berkata, Muhyiddin banyak memberikan sumbangan besar kepada kawasan itu sejak bertahun lamanya.

    Warga emas berusia 69 tahun itu juga sangat berterima kasih dengan bantuan yang diterima daripada Muhyiddin secara peribadi.

    “Ketika anak-anak saya hendak melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) kami tiada wang.

    “Saya pergi jumpa Muhyiddin untuk mendapatkan bantuan. Dalam masa dua jam, beliau sudah membantu anak-anak saya dengan semua keperluan untuk belajar di universiti, termasuk wang saku.”

    Muhyiddin yang menjadi Menteri Besar Johor dari 1986 hingga 1995, menerima kecaman daripada bekas rakan-rakannya daripada PH selepas keluar daripada gabungan itu, di mana beliau dituduh menubuhkan ‘kerajaan pintu belakang’ apabila PN mengambil alih Putrajaya.

    Namun, penduduk Pagoh dilihat tidak terpengaruh dengan label yang diberikan itu.

    Sebahagian besar mereka menumpukan prestasinya selama berkhidmat dalam tempoh yang panjang di kawasan itu.

    Bercakap kepada MalaysiaNow, Jaafar turut mengimbas kembali bagaimana Muhyiddin menubuhkan hab universiti di Pagoh yang mencipta peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

    “Rakan-rakan saya bekerja di sana sebagai pengawal keselamatan dan penyedia makanan, dan mereka mampu menyara keluarga,” katanya.

    Sementara itu, isterinya, Kak Yah berkata, di Pagoh mereka tidak pernah berasa diabaikan sepanjang Muhyiddin mewakili mereka di Parlimen.

    “Beliau tidak perlu berkempen untuk diri sendiri di Pagoh, kita boleh jaga Pagoh bagi pihaknya,” katanya.

    Sementara itu, Awang Junaidi yang menjadi pengundi di Pagoh sejak PRU11 berkata dia banyak mendengar komen negatif mengenai Muhyiddin dan ‘kerajaan pintu belakangnya’, tetapi tidak pernah percaya apa yang didakwa itu.

    “Setahu saya, beliau seorang yang ada kredibiliti.

    “Muhyiddin sepatutnya mengetuai kerajaan. Pada Mac 2020, PN menjadi kerajaan pada masa yang tepat,” katanya.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Muhyiddin sekali lagi berdepan pertandingan tiga penjuru menentang di mana beliau akan berdepan calon BN dan PH.

    Calon BN adalah Datuk Seri Razali Ibrahim sementara Iskandar Shah mewakili PH.

    Razali yang merupakan ahli Parlimen Muar selama tiga penggal, tewas kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada PRU-14.

  • PRU-15:Sokongan anak muda selamatkan maruah agama, bangsa, tanah air-Muhyiddin

    PRU-15:Sokongan anak muda selamatkan maruah agama, bangsa, tanah air-Muhyiddin

    SOKONGAN besar-besaran anak muda terhadap Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) esok akan menjadi sejarah teragung negara, sekali gus penyelamat kepada maruah agama, bangsa dan tanah air.

    Dengan tekad mahu melakukan perubahan setelah jemu dengan pentadbiran berpanjangan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang tidak menunaikan janji, anak muda kini beralih kepada gabungan baharu yang membawa harapan masa depan mereka PN.

    Sehubungan itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan anak muda supaya bukan sahaja melihat kepimpinan BN dan PH daripada sudut fizikal, tetapi perlu faham apa sebenarnya dilakukan pemimpin terbabit.

    “Anak-anak muda kena faham situasi sebenar siapa pemimpin-pemimpin itu. Bukan sahaja (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) (Pengerusi PH), Guan Eng (Pengerusi DAP)… tapi yang lain-lain dalam PH dan DAP,” katanya.

    Sebaliknya PN menerusi manifesto PN BEST menawarkan pelbagai janji kepada anak muda demi masa depan mereka, katanya sambil berharap anak muda turut mengajak rakan, ibu bapa, dan jiran untuk memberi undi kepada PN.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Jelajah Perdana PN Best di Kompleks Sukan Pagoh, Muar, malam tadi.

    Turut hadir Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai yang juga Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

    Bekas Perdana Menteri kelapan itu sekali lagi mengajak pengundi supaya keluar beramai-ramai esok bagi melaksanakan tanggungjawab memilih dan menentukan parti mana yang berhak membentuk kerajaan baharu.

    Muhyiddin berkata, ini adalah satu pilihan raya yang amat penting untuk rakyat Malaysia dapat memilih kerajaan yang bertanggungjawab untuk menguruskan hal ehwal negara bagi tempoh lima tahun yang akan datang.

    “Saya memohon dan merayu seluruh pengundi dari Perlis sampailah ke Sabah untuk tunaikan tanggungjawab… keluar mengundi beramai-ramai untuk menentukan kerajaan yang nak dipilih adalah kerajaan yang mendapat dukungan dan sokongan rakyat.

    “Untuk membuat keputusan yang tepat bila mana kita hadir untuk mengundi dan harapan saya selaku Pengerusi Perikatan Nasional ialah agar semua pengundi yang ada di seluruh negara akan menyokong calon-calon Perikatan Nasional yang bertanding di PRU-15 ini.

    “Suruhanjaya Pilihan Raya telah pun menyatakan dalam undi awal baru-baru ini hampir 94.5 peratus telah keluar mengundi… satu peratusan keluar undi antara yang tertinggi dalam sejarah negara.

    “Kalau trend itulah yang akan berlaku dan gelombang ini akan terus berterusan sampai 19 November ini, saya yakin gelombang rakyat itu akan nanti merubah keadaan negara kita dan Perikatan Nasional dipilih untuk mentadbirkan negara… nsya-Allah,” katanya.

    Menurutnya, pengundi perlu menentukan supaya keputusan pilihan raya umum esok, akan dapat membentuk sebuah kerajaan yang boleh menjamin kestabilan politik, ekonomi, dan sosial di Malaysia.

    “Kita harapkan akan berlaku satu tsunami baharu yang akan membersihkan sampah sarap politik di negara kita… dan mewujudkan satu kerajaan yang beramanah dan bertanggungjawab yang dipimpin oleh pemimpin Perikatan Nasional,” katanya, lapor Agenda Daily.

  • Guan Eng batal peruntukan UTAR, PN beri balik-Muhyiddin

    Guan Eng batal peruntukan UTAR, PN beri balik-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan peruntukan RM300 juta kepada Universiti Tun Abdul Razak (Utar) milik MCA walaupun sebelum itu bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menarik dana tersebut.

    Muhyiddin berkata, perkara itu berlaku semasa Guan Eng berada dalam kerajaan Persekutuan ditadbir Pakatan Harapan (PH) dan selepas beliau menjadi Perdana Menteri kelapan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN), peruntukan tersebut dikembalikan semula kepada Utar.

    Juteru beliau meminta pengundi Cina dinasihatkan melupakan sahaja Pakatan Harapan (PH) dan DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Jelasnya, ini kerana apa yang dilakukan gabungan itu ketika memerintah selama 22 bulan sebelum ini merugikan kaum itu sendiri.

    “Guan Eng menarik balik peruntukan yang disediakan kerajaan sebanyak RM300 juta kepada UTAR, yang ditaja MCA untuk pembangunan pendidikan tinggi dalam kalangan bukan Melayu.

    “Hanya setelah Perikatan Nasional yang saya pimpin sebagai Perdana Menteri… kami memulangkan balik peruntukan itu kerana ini berkaitan dengan soal pendidikan.

    “Agak luar biasa apabila seorang Cina yang sewajarnya menyokong pendidikan untuk masyarakat Tionghua majoritinya walaupun ditaja oleh MCA, mengambil tindakan drastik untuk ambil balik peruntukan itu dan tak diberikan peruntukan pada pihak universiti berkenaan.

    “Saya waktu pimpinan Perikatan Nasional mengambil alih teraju negara, kita sediakan semula peruntukan yang saya anggap penting untuk tujuan pendidikan anak-anak di negara kita. ‘Ignore the existence of DAP’,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Jelajah Perdana PN Best di Kompleks Sukan Pagoh, Muar, malam tadi.

    Turut hadir Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai yang juga Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

    Muhyiddin berkata, beliau diberitahu bahawa sesetengah kaum Cina juga sekarang ini sudah tidak menyukai Guan Eng.

    “Tapi sebenarnya orang melayu sudah lama pun tidak setuju dan tidak sokong Guan Eng kerana dia tidak menghormati Perlembagaan Negara… tak menghormati kedudukan agama Islam… tak menghormati hak-hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan bangsa lain.

    “Ini perkara serius. Jika anda hendak menjadi pemimpin kepada rakyat Malaysia, anda mesti menghormati Perlembagaan. Hak Melayu sudah dijamin dalam Perlembagaan… begitu juga hak kaum-kaum lain,” katanya.

    Pada majlis sama, Muhyiddin berkata, serangan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertalu-talu terhadap PN dan beliau sendiri menunjukkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sudah semakin gelabah.

    “Dia (Anwar) kini berada pada satu tahap gaban… dah bimbang. Hanya tinggal beberapa jam saja lagi orang dah nak mengundi. Dia nampak bahawa parti dia (PH) tak mendapat tarikan majoriti rakyat.

    “Yang dia kata akan menjadi ancaman ialah Perikatan Nasional, yang agak lebih popular kononnya Muhyiddin Yassin. Jadi seranglah saya berhabis-habisan supaya saya jatuhkan tumbang dan dia jadi Perdana Menteri,” kata Muhyiddin lagi.

  • Institusi pondok sokong perjuangan PN bangunkan ummah – Muhyiddin

    Institusi pondok sokong perjuangan PN bangunkan ummah – Muhyiddin

    INSTITUSI pondok di negara ini menyatakan sokongan padu terhadap perjuangan Perikatan Nasional (PN) sebagai wadah membangunkan ummah.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dinyatakan 15 wakil pentadbir institusi pondok, mewakili 313 sekolah pondok seluruh negara yang datang menemuinya semalam.

    Katanya, antara yang hadir ialah Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pondok Semalaysia Baling Kedah, Ahmad Marzuki Mat Yusof; Pengarah Sekolah Islam Hatimurni, Engku Ahmad Fadzil Engku Ali dan Pengerusi Persatuan Guru Agama Pondok Pantai Timur; Syed Suhaimi Syed Hassan.

    “Semua sekolah berkenaan mempunyai 21,910 murid. Wakil mereka hadir dengan menyatakan sokongan padu terhadap perjuangan Perikatan Nasional sebagai wadah membangunkan ummah,” katanya menerusi catatan Facebook hari ini.

    Muhyiddin pada pertemuan ringkas itu berkata, hadirin berbincang akan hala tuju dan fungsi sekolah pondok dalam melahirkan lebih ramai ulama dan hafiz sebagai kesinambungan generasi akan datang.

    Perwakilan turut menyuarakan kebimbangan mereka akan penularan pengaruh liberalisme yang tidak berlandaskan fahaman ahli sunnah wal jamaah yang sangat bahaya dan perlu ditangani segera.

    Turut dibincang antaranya usaha memperkasa silibus pendidikan supaya setanding Sijil Tinggi Agama Malaysia.

    “Saya yakin usaha murni ini boleh dilaksanakan menerusi penyelarasan kurikulum yang diiktiraf badan akreditasi,” katanya.

    Mengulas perkara itu, Muhyiddin berkata, beliau menyatakan bahawa dalam Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15, PN juga memberikan perhatian kepada pengurusan sekolah tahfiz.

    “Ini bagi memastikan persekitaran sekolah yang kondusif. Bantuan penyelenggaraan akan diberikan kepada semua sekolah pondok atau tahfiz yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Negeri,” katanya.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau bersyukur ke hadrat Allah SWT usaha PN memperjuangkan Islam turut diiringi doa daripada anak-anak tahfiz seluruh negara yang dizahirkan pada program Munajat Pilihan Raya diadakan baru-baru ini.

    “Saya sangat menghargai doa semua pihak yang memohon supaya negara terselamat daripada bencana dan tidak dipimpin pihak yang tidak amanah, salah guna kuasa dan secara terang memusuhi Islam.

    “Semoga ikhtiar kita dengan berdoa selepas berusaha ini diberkati Allah SWT dan berkat kesungguhan kita berjuang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran ini dikabulkan dengan negara ini dapat ditadbir dengan penuh prihatin, bersih dan stabil,” tambah beliau.

  • Kedudukan PN menaik, mampu atasi BN – Ikmal Hisham

    Kedudukan PN menaik, mampu atasi BN – Ikmal Hisham

    KEDUDUKAN Perikatan Nasional (PN) kini dalam trend menaik dan dijangka mampu memenangi kerusi untuk mengatasi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, ia berdasarkan laporan dilakukan perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    “Semalam saya menerima panggilan daripada perisikan tentera yang memaklumkan berita di peringkat negara hari ini, kedudukan PN ke arah menaik.

    “Kerusi PN diramal mengatasi BN dan kedudukan kita setakat ini cukup baik…sekiranya ia termakbul, bermakna Perdana Menteri akan diangkat dari Perikatan Nasional,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ceramah Grand Final PRU15 di Machang, malam ini.

    Ikmal Hisham yang juga calon Pas Parlimen Tanah Merah turut mengharapkan pengundi memberi kepercayaan kepada PN untuk mengemudi negara.

    Dalam pada itu, beliau menyifatkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, gagal membawa pembangunan kepada Machang selama dua penggal mengemudi Parlimen berkenaan.

    Katanya, Ahmad Jazlan yang juga calon BN Parlimen Machang gagal mengambil peluang untuk membawa masuk pembangunan di Parlimen berkenaan ketika memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar.

    “Buktinya hari ini apabila saya datang ke Machang, banyak perbezaan jika dibandingkan dengan Parlimen Tanah Merah dan berharap pengundi di sini memberi peluang kepada calon PAS di Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, untuk membawa perubahan kepada Parlimen Machang,” katanya, lapor Berita Harian.

  • PRU15: Sokongan saat akhir bantu PN tawan Teluk Intan

    PRU15: Sokongan saat akhir bantu PN tawan Teluk Intan

    ANGIN perubahan pengundi di saat akhir dijangka memberikan kelebihan buat calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin bagi memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan.

    “Perkembangan ini turut memberi gambaran positif kepada PN negeri untuk meraih kerusi daripada DAP.

    “Keyakinan ini selepas 200 ahli dan penyokong UMNO yang hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu menyatakan sokongan terbuka kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Kita amat alu-alukan kehadiran ahli baharu Bersatu di Teluk Intan ini dan kita harapkan ia mampu memberi lonjakan untuk kita pastikan Parlimen Teluk Intan akan ditawan PN.

    “Malah kita juga harapkan ia menjadi penanda aras dan peluang terbaik untuk Bersatu khususnya PN membawa perubahan di Perak dengan memulakan langkah menawan Parlimen Teluk Intan,” katanya yang juga Setiausaha Bersatu Perak di Teluk Intan, malam tadi.

    Sementara itu, bekas Ketua UMNO Cawangan Jalan Mak Intan Masaad Mansur berkata, keputusan tersebut dibuat atas kerelaan sendiri selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan UMNO Bahagian Teluk Intan.

    “Kami seolah-olah terpinggir dan merasakan tidak diperlukan sebagai ahli parti malah pimpinan UMNO sendiri menyatakan cawangan kami ini bukan dalam kawasan Changkat Jong.

    “Mesej kami jelas, kami mahu bantu menangkan PN dalam PRU15 dan kami akan cuba tarik pengundi atas pagar menyokong PN,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Lakukan perubahan, usah ulang kesilapan PRU lalu, kata Hadi

    Lakukan perubahan, usah ulang kesilapan PRU lalu, kata Hadi

    RAKYAT Malaysia diajak membuat perubahan dengan mengundi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 Sabtu ini untuk sebuah kerajaan yang bersih dan stabil.

    Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pengundi dingatkan agar tidak membuat kesilapan dengan memilih Pakatan Harapan (PH) sebagaimana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

    Beliau berkata, semasa mentadbir negara selama 22 bulan, kerajaan PH kerap menyatakan tidak mempunyai sumber kewangan untuk memberikan bantuan kepada rakyat

    “Namun semasa pentadbiran PN selama 17 bulan di bawah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau mendapati terdapat duit yang boleh dibelanjakan kerajaan sehingga selesai masalah Covid-19 dan masalah lain yang dihadapi negara.

    “Jadi mari kita buat perubahan dan jangan buat kesilapan macam dulu lagi,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Perdana PN BEST malam tadi.

    Hadi pada masa sama mengharapkan anak muda dapat memahami slogan bersih dan stabil yang ditawarkan PN.

    Katanya, mereka mesti tolak PH kerana apabila berjanji, mereka bohong sebagaimana janji menurunkan harga minyak dan menghapuskan tol dalam 24 jam.

    “Namun kita (PN) berjanji akan menunaikan tanggungjawab kita,” katanya.

    Mengakhiri ucapan beliau, Hadi turut sempat meninggalkan pantun empat kerat buat ingatan rakyat.

    Buah salak buah kedondong
    Ambil dikumpul dalam baldi
    Bukan salah ibu mengandung
    Salah pangkah undi

  • PRU-15: PH angkuh, sombong dengan penjawat awam, kata Azmin

    PRU-15: PH angkuh, sombong dengan penjawat awam, kata Azmin

    PENTADBIRAN kerajaan ketika pimpinan Pakatan Harapan (PH) didakwa rakus dan zalim menekan pegawai dan anggota kerajaan, kata Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Malah beliau menyifatkan pentadbiran 22 bulan PH sudah cukup membuktikan watak PH yang senantiasa bersikap angkuh dan sombong.

    “Kenyataan ugutan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki satu kenyataan yang angkuh dan sombong.

    “Ini pun bukan kali pertama, ketika PH membentuk kerajaan dalam mesyuarat Jemaah Menteri saya ada dalam itu, mereka mendesak Perdana Menteri untuk menukar lapan ketua setiausaha.

    “Ini tidak pernah berlaku, mengapa PH ingin bergaduh dengan anggota perkhidmatan awam, mereka bukan orang politik. Anggota perkhidmatan melaksanakan dasar yang diputuskan kerajaan, jadi jangan bermusuh dengan anggota perkhidmatan awam, ia tidak ada keperluan.

    “Tapi mungkin ini sudah ditakdirkan begitu, jadi anggota perkhidmatan awam boleh melihat sendiri watak PH yang senantiasa bersikap angkuh dan sombong dan cuba mendera anggota perkhidmatan awam,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada majlis rapat umum PN di Putrajaya, malam tadi.

    Rafizi pada Ceramah Mega PH di Johor Bahru malam tadi, memberi amaran kepada Azam jika gabungan itu memenangi pilihan raya Sabtu ini susulan syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd yang didakwanya diserbu SPRM.

    “Esok (hari ini) kita jumpa di mahkamah, lusa (Jumaat) satu hari lagi kempen, Sabtu kita mengundi. Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, InsyaAllah,” kata Rafizi.

    Sementara itu ditanya mengenai saman bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terhadapnya, Azmin berkata, itu terpulang hak masing-masing.

    “Saya hanya mengemukakan beberapa perkara yang menyebabkan PH ditolak oleh rakyat, bukan saja orang Melayu marah tapi semua rakyat Malaysia merasakan tidak ada tempat dan ruang di bawah PH,” katanya, lapor Harian Metro.

    Hari ini, Guan Eng mengarahkan peguamnya untuk memulakan prosiding saman fitnah terhadap Azmin kerana membuat kenyataan palsu menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Sabtu ini.

    Pengerusi DAP itu berkata, Mohamed Azmin memfitnah dengan menyatakan beliau menggunakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk ‘mengejar’ semua syarikat berkaitan MCA dan bertanggungjawab terhadap cukai baharu menyasarkan perniagaan Cina tertentu.