Author: Wartawan WartaRakyat

  • PRU-15: Petugas SPR meninggal dunia positif Covid-19

    PRU-15: Petugas SPR meninggal dunia positif Covid-19

    PETUGAS Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang meninggal dunia ketika bertugas semalam disahkan akibat Covid-19.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa, 45 tahun yang mati mengejut itu bertugas di pusat mengundi Sekolah ACS Methodist Jalan Raya Barat.

    “Punca kematian adalah disebabkan positif Covid-19 dan semua anggota polis yang bertugas bersama Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya berkenaan sudah diarahkan untuk menjalani kuarantin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu katanya, sepanjang tempoh 5 November hingga semalam pihaknya menerima 393 laporan polis dan daripada jumlah itu, sebanyak 82 kertas siasatan dibuka dan tujuh individu ditahan.

    “Walaupun masih terkesan beberapa insiden terpencil yang berlaku, namun ia berjaya ditangani dengan baik oleh pasukan yang bertugas dalam tempoh itu.

    “Polis Kontinjen Selangor masih lagi menempatkan pasukan petugas berada dalam keadaan siap siaga pada bila-bila masa apabila diperlukan.

    “Orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya serta tidak menyebarkan berita palsu yang bertujuan untuk membangkitkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

    Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan provokasi yang boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.

    “Secara keseluruhannya proses mengundi di Selangor berjalan lancar tanpa sebarang isu sensitif dan insiden yang tidak diingini.

    “Tahniah dan syabas diucapkan kepada rakyat Selangor kerana berjaya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi secara matang. Kerjasama anda semua amat kami hargai dan diucapkan ribuan terima kasih,” katanya Lapor BH Online.

  • PRU-15: Pengundi muda bantu PN menang besar di Kelantan

    PRU-15: Pengundi muda bantu PN menang besar di Kelantan

    SOKONGAN padu yang dizahirkan oleh pengundi muda memacu kemenangan besar Perikatan Nasional (PN) yang bertanding menggunakan logo Pas di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusinya, Datuk Ahmad Yakob berkata, gelombang sokongan itu menyaksikan PN meraih majoriti berganda berbanding PRU lalu seperti di Tumpat, Pengkalan Chepa dan Tanah Merah.

    “Sehubungan dengan itu setiap mesej yang disampaikan anak-anak muda mesti didengari dan isu-isu berkaitan golongan itu perlu diambil berat,” katanya ketika sidang akhbar keputusan PRU-15 di Pejabat Perhubungan Pas negeri di Kota Bharu, hari ini.

    Menurut beliau, selain itu gelombang pengundi muda turut membantu kemenangan PN di Gua Musang apabila berjaya menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah.

    Tambahnya, situasi itu memperlihatkan pengundi kini tidak lagi melihat kepada sosok tubuh pemimpin sebaliknya lebih melihat kepada dasar yang dibawa oleh parti itu sendiri.

    Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, manifesto dikemukakan PN terutamanya di Kelantan telah berjaya menepati citarasa rakyat termasuk anak-anak muda.

    Pada PRU-15 PN melakar kejutan apabila menyapu bersih 14 kerusi Parlimen di Kelantan, lapor Sinar Harian.

  • BN kalah teruk pada PRU-15, MB Johor gesa Zahid letak jawatan

    BN kalah teruk pada PRU-15, MB Johor gesa Zahid letak jawatan

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digesa segera meletakkan jawatan susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Menteri Besar Johor , Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Zahid perlu ‘berjiwa besar’ meletakkan jawatan utama dalam parti itu, sebagaimana dilakukan Datuk Seri Najib Razak pada 2018.

    Berikut kenyataan Onn yang disiarkan di Facebooknya.

  • ‘Terima kasih Pagoh! Terima kasih Malaysia’ – Muhyiddin

    ‘Terima kasih Pagoh! Terima kasih Malaysia’ – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan terima kasih beliau kepada penduduk Pagoh kerana sekali lagi memberi kepercayaan kepada beliau sebagai ahli Parlimen kawasan itu.

    Ini susulan kejayaan beliau mempertahakan kerusi tradisinya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan majoriti besar.

    Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, beliau amat menghargai sokongan dan doa rakyat Malaysia selain berazam melakukan terbaik untuk Pagoh.

    “Alhamdulillah, syukur atas keputusan yang memihak kepada saya. Terima kasih warga Pagoh yang sekali lagi memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi Ahli Parlimen anda.

    “Saya amat menghargai sokongan dan doa setiap daripada anda. Insya-Allah, saya akan lakukan yang terbaik untuk Pagoh. Terima kasih Pagoh! Terima kasih Malaysia,” katanya.

    Sebelum itu, Muhyiddin diumumkan sebagai pemenang kerusi Parlimen Pagoh dengan majoriti 10,007 undi.

    Calon Perdana Menteri bagi PN itu menewaskan dua saingan lain iaitu calon Pakatan Harapn (PH), Iskandar Shah Abd. Rahman dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Razali Ibrahim.

    Muhyiddin memperoleh 24,986 undi, manakala Iskandar mendapat 14,979 undi dan Razali memperoleh 14,426 undi.

    Peratus keluar mengundi di kerusi tersebut adalah sebanyak 77.77 peratus dengan 54,391 undi dikira berbanding 69,939 pengundi berdaftar.

  • PN sedia kerjasama bentuk kerajaan bersih, stabil – Muhyiddin

    PN sedia kerjasama bentuk kerajaan bersih, stabil – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) mengalu-alukan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip gabungan itu, untuk membentuk kerajaan yang bersih dan stabil, pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berakhir semalam.

    Namun tegas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, gabungan itu tidak akan bekerjasama Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan Persekutuan sebelum petang ini.

    Sehubungan itu beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pimpinan tertinggi gabungan berkenaan dengan mengambil kira situasi dan keadaan tertentu.

    “Apa yang penting, kita harap PN mengetuai kerajaan ini, maka kita akan dapat melahirkan suasana politik yang paling stabil

    “Ini bermakna kita perlu ambil kira (kerjasama) pihak tertentu dalam parti lain tetapi bukan dengan PH, kalau mereka ini sehaluan dan bersedia menerima dasar yang akan diketuai oleh PN, kita akan menimbangkan dengan teliti dan mendalam,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media Utama PN di Glenmarie Hotel & Golf Resort di Shah Alam awal pagi ini.

    Yang turut hadir Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan pimpinan tertinggi PN lain.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, PN mengalu-alukan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip gabungan itu untuk membentuk kerajaan yang bersih dan stabil.

    Malah, pihaknya juga akan berbincang dengan pimpinan parti di Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat berhubung perkara itu.

    “Kita juga ada terima surat daripada Istana Negara, kandungannya saya tak perlu sebut, yang memberi kepada kita perkara yang kita perlu sempurnakan mengikut kehendak Yang di-Pertuan Agong.

    “Jadi tak payah kita ‘reveal’ (dedahkan), perkara ini perlu kita mengambil langkah secepat mungkin, bermakna sebahagian perbincangan akan kita lakukan esok (hari ini) dan kita harap dapat dimuktamadkan sebelum petang esok (hari ini),” katanya.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, PN berjaya memenangi 73 kerusi Parlimen termasuk 22 calon gabungan itu yang bertanding menggunakan logo PAS.

    “Andai kata PN berjaya bentuk kerajaan bersama parti lain yang sehaluan, tumpuan PN adalah melaksanakan semua tawaran PN BEST yang dikemukakan kepada rakyat semasa tempoh berkempen.

    “Gelombang sokongan rakyat kepada PN terutama daripada pengundi muda membolehkan PN mencapai kejayaan luar jangka. Saya ucapkan tahniah kepada calon PN yang menang kerusi masing-masing.

    “Saya ingin ambil kesempatan ucap terima kasih dan penghargaan kepada seluruh jentera parti yang bekerja keras dengan penuh iltizam dan semangat juang tinggi sehingga memungkinkan PN peroleh kejayaan luar jangka,” katanya.

  • PRU-15: PN menang di Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang

    PRU-15: PN menang di Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang

    PERIKATAN Nasional (PN) menang tiga kerusi Parlimen di Selangor Utara termasuk merampas kubu kuat BN di Parlimen Tanjong Karang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Calon PN Parlimen Tanjong Karang, Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menang di kerusi itu selepas menewaskan calon BN, Datuk Habibah Mohd Yusof dan tiga calon lain dengan majoriti 2,180 undi.

    Habibah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang meraih 15,874 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH), Siti Rahayu Bahari mendapat 12,314 undi.

    Dua lagi calon iaitu Azlan Sani Zawawi dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 3,557 sementara calon Bebas, Mohd Rosni Mastol memperoleh 1,406 undi, lapor Sinar Harian.

    Kerusi Parlimen Tanjong Karang sebelum ini menjadi kubu kuat BN selepas dimenangi Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar daripada BN sejak enam penggal lalu.

    Bagaimanapun Noh digugurkan dan tidak dicalonkan bagi mempertahankan kerusi itu pada PRU15.

    Sementara itu, calon PN Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan memenangi kerusi itu selepas memperoleh majoriti 5,056 undi.

    Kalam memperoleh 17,973 undi menewaskan calon BN, Datuk Abd Rahman Bakri yang mendapat 12,917 undi dan Shamsul Ma’arif Ismail dari PH memperoleh 9,627 undi serta calon Gerakan Tanah Air (GTA), Datuk Seri Eizlan Yusof yang memperoleh 460 undi.

    Sementara itu, di kerusi Parlimen Sungai Besar juga menyaksikan kemenangan calon PN apabila penyandangnya, Muslimin Yahaya memperoleh majoriti 2,721 undi.

    Muslimin mendapat 19,791 undi, manakala calon PH, Saipolyazan M Yusof pula mendapat 17,070 undi, sementara calon BN, Datuk Seri Jamal Md Yunos pula sebanyak 13,984 undi serta calon Pejuang, Datuk Asmawar Samat mendapat 225 undi.

  • Sabah, Sarawak sepakat sokong kerajaan bakal dibentuk-Hajiji

    Sabah, Sarawak sepakat sokong kerajaan bakal dibentuk-Hajiji

    KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan Sabah dan Sarawak sepakat untuk menyokong kerajaan yang bakal dibentuk di peringkat Persekutuan.

    “Perkara ini telah dibincangkan bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melalui panggilan telefon yang saya terima.

    “Saya telah berbincang dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Jo dan kita sepakat untuk menyokong kerajaan yang akan dibentuk di peringkat Persekutuan yang boleh membawa kestabilan, bukan saja kepada negara kita tetapi di negeri Sabah.

    “Sebagaimana yang kita sedia maklum, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) di Sabah menang 13 kerusi daripada 25 kerusi dan satu daripadanya Perikatan Nasional (PN) jadi 14 kerusi dan kerusi ini kita akan bawa untuk memberi sokongan kepada satu kerajaan yang boleh membawa kestabilan kepada negara kita terutama Sabah dan Sarawak,” katanya.

    Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah berkata demikian dalam sidang akhbar di Sri Gaya di Kota Kinabalu awal pagi ini.

    Ditanya mengenai gabungan kerajaan yang mana akan menjadi pilihan, Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, perkara itu akan dibincangkan selepas keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) yang rasmi diperoleh.

    “Itu kita akan bincangkan tetapi kita lebih kepada kerajaan yang akan dibentuk sebuah kerajaan yang memberi kestabilan kepada Sabah.

    “Kita tidak boleh nyatakan di sini kerana kita belum dapat keputusan secara rasmi, jadi selepas itu kita buat satu lagi kenyataan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Calon PN menang besar di Pokok Sena, Mahfuz kecundang

    Calon PN menang besar di Pokok Sena, Mahfuz kecundang

    SETELAH empat penggal menyandang kerusi Parlimen Pokok Sena, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar akhirnya tersungkur di tangan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Ahmad Yahaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah dan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat memperoleh 52,275 undi dengan majoriti 31,751 sekali gus menewaskan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu yang mendapat 20,524 undi.

    Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN), Noran Zamani Jamaluddin memperoleh 14,523 undi manakala calon Warisan, Noraini Md. Salleh pula hanya mendapat 622 undi sekali gus mengakibatkan beliau kehilangan deposit.

    Keputusan rasmi itu diumum oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Pokok Sena, Ahmad Bawadir Abdul Ghani kira-kira pukul 12.50 tengah malam tadi.

    Mahfuz disifatkan calon ‘heavyweight’ apabila menjadi Ahli Parlimen Pokok Sena pada 1999 sebelum memenangi semula kerusi itu atas tiket Pas pada PRU12 dan PRU13, sebelum mempertahankan kerusi itu buat kali keempat pada PRU14.

    Mahfuz memenangi kerusi Parlimen berkenaan pada 1999, 2008, 2013 dan 2018 dengan kali terakhir pada PRU14 apabila meraih 5,558 majoriti.

  • GPS yakin bentuk kerajaan gabungan di Persekutuan

    GPS yakin bentuk kerajaan gabungan di Persekutuan

    GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) tidak menolak kemungkinan akan berlaku pembentukan kerajaan gabungan di peringkat Persekutuan.

    Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa setakat ini masih belum ada sebarang perbincangan diadakan bagi tujuan tersebut.

    “Saya tidak ada butiran daripada rakan kita di Semenanjung tapi saya jangkakan bahawa mungkin akan terbentuk kerajaan campuran,” katanya dalam sidang media, sebentar tadi.

    Abang Johari menegaskan, GPS menyasarkan untuk memenangi lebih 20 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan perkara itu melepasi jangkaan.

    Pada masa sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada para pengundi yang terus menyatakan sokongan kepada GPS.

    Ujarnya, kemenangan diperoleh hari ini menunjukkan bahawa GPS dan Sarawak memiliki suara yang kuat serta tidak boleh dikesampingkan.

    “Terima kasih kepada rakyat Sarawak yang telah memberi kepercayaan kepada GPS untuk menyuarakan apa sahaja yang dikehendaki kita dalam manifesto dibawa ke Dewan Rakyat.

    “Kita telah menambahkan kerusi kita daripada PRU-14, kalau dulu kita ada 18 kerusi, hari ini kita ada 21, kalau dikirakan yang dua lagi bermakna kita ada 23.

    “Ini adalah satu tanda bahawa Sarawak mempunyai suara yang kuat dalam PRU-15, sekali lagi saya ucapkan terima kasih,” katanya lagi.

  • PRU15: #ZahidLetakJawatan trending di Twitter

    PRU15: #ZahidLetakJawatan trending di Twitter

    DESAKAN agar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk berundur mula kedengaran selepas keputusan semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan Barisan Nasional (BN) agak ketinggalan jauh di belakang Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

    Tinjauan Sinar Harian mendapati tanda pagar #ZahidHamidiLetakJawatan trending di Twitter dengan lebih 260 ciapan setakat pukul 1.26 pagi ini.

    Selain itu, kata kunci ‘Zahid Hamidi’ juga trending di Twitter apabila mendapat lebih 600 ciapan di Twitter.

    Seorang pengguna Twitter yang juga Exco BN, Ali Amir Razali menyuarakan rasa tidak puas hati beliau kepada Ahmad Zahid yang disifatkannya membuat keputusan hanya untuk ‘menyelamatkan diri sendiri’.

    Setakat pukul 1 pagi ini, keputusan rasmi PRU15 menyaksikan BN hanya memperoleh 22 kerusi berbanding pesaingnya PN dengan 49 kerusi dan PH (46).

    Sebelum ini, Ahmad Zahid merupakan individu yang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen bagi menyegerakan PRU15, di sebalik desakan pelbagai pihak termasuk pimpinan dalam UMNO untuk menangguhkan langkah tersebut.

    Tindakan beliau yang juga Pengerusi BN menggugurkan beberapa pimpinan nama besar BN yang sebelum ini merupakan menteri di bawah pentadbiran Ismail Sabri turut menimbulkan persoalan dalam kalangan ahli parti itu.

    Dalam pada itu, turut mencadangkan pengunduran Ahmad Zahid ialah bekas Setiausaha Agung BN yang merupakan antara penyandang ahli Parlimen digugurkan sebagai calon pada PRU15 iaitu Tan Sri Annuar Musa.

    Dukacita teramat sangat. AI-Quran itu benar. Perpecahan menjadikan kamu lemah dan hilang kekuatan.

    “Kami anjurkan muafakat, kami dilabel tidak setia. Kami minta jangan berpecah, kami yang menerima padah. Kini, ke mana kita nak dibawa?, mahu menjalin jajaran yang kita tolak? mahu melanggar keputusan PAU (Perhimpunan Agung UMNO) dan parti sekali lagi?

    “Undurlah, cukuplah kebinasaan ini dan dengar suara rakyat serta fahami kehendak rakyat. Jangan sombong,” ujarnya.

    Ahmad Zahid ketika ini masih berhadapan dengan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) di Mahkamah Tinggi.