DESAKAN agar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk berundur mula kedengaran selepas keputusan semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan Barisan Nasional (BN) agak ketinggalan jauh di belakang Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Tinjauan Sinar Harian mendapati tanda pagar #ZahidHamidiLetakJawatan trending di Twitter dengan lebih 260 ciapan setakat pukul 1.26 pagi ini.

Selain itu, kata kunci ‘Zahid Hamidi’ juga trending di Twitter apabila mendapat lebih 600 ciapan di Twitter.

Seorang pengguna Twitter yang juga Exco BN, Ali Amir Razali menyuarakan rasa tidak puas hati beliau kepada Ahmad Zahid yang disifatkannya membuat keputusan hanya untuk ‘menyelamatkan diri sendiri’.

Setakat pukul 1 pagi ini, keputusan rasmi PRU15 menyaksikan BN hanya memperoleh 22 kerusi berbanding pesaingnya PN dengan 49 kerusi dan PH (46).

Sebelum ini, Ahmad Zahid merupakan individu yang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen bagi menyegerakan PRU15, di sebalik desakan pelbagai pihak termasuk pimpinan dalam UMNO untuk menangguhkan langkah tersebut.

Tindakan beliau yang juga Pengerusi BN menggugurkan beberapa pimpinan nama besar BN yang sebelum ini merupakan menteri di bawah pentadbiran Ismail Sabri turut menimbulkan persoalan dalam kalangan ahli parti itu.

Dalam pada itu, turut mencadangkan pengunduran Ahmad Zahid ialah bekas Setiausaha Agung BN yang merupakan antara penyandang ahli Parlimen digugurkan sebagai calon pada PRU15 iaitu Tan Sri Annuar Musa.

Dukacita teramat sangat. AI-Quran itu benar. Perpecahan menjadikan kamu lemah dan hilang kekuatan.

“Kami anjurkan muafakat, kami dilabel tidak setia. Kami minta jangan berpecah, kami yang menerima padah. Kini, ke mana kita nak dibawa?, mahu menjalin jajaran yang kita tolak? mahu melanggar keputusan PAU (Perhimpunan Agung UMNO) dan parti sekali lagi?

“Undurlah, cukuplah kebinasaan ini dan dengar suara rakyat serta fahami kehendak rakyat. Jangan sombong,” ujarnya.

Ahmad Zahid ketika ini masih berhadapan dengan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) di Mahkamah Tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here