Author: Wartawan WartaRakyat

  • Annuar puji ketegasan Ismail Sabri tolak kerjasama BN-PH

    BEKAS Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa memuji ketegasan Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang konsisten mempertahankan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

    Beliau turut terharu dengan ketegasan ahli-ahli Parlimen BN, khususnya Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang tegas mempertahankan keputusan berkenaan.

    “Saya selaku antara individu yang banyak terlibat dengan pelbagai keputusan dan dasar parti sekian lama terutama ketika menjadi ahli Parlimen, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Setiausaha Agung parti dan sebagainya merasakan sampailah masanya pencerahan dibuat.

    “Ini demi kepentingan ahli parti mengetahui perkara sebenar berhubung banyak perkara yang tidak dikongsikan sebelum ini,” katanya dalam Facebook milinya, harui ini, lapor Sinar Harian.

    Terdahulu media melaporkan seramai 26 ahli Parlimen BN hadir dalam perjumpaan bersama parti itu dan PH di sebuah hotel hari ini.

    Bagaimanapun, dua lagi tidak dapat hadir kerana tidak sihat.

    Setakat ini belum ada mana-mana gabungan parti yang mampu membentuk kerajaan sehingga meletakkan Parlimen dalam situasi tergantung.

    Keputusan rasmi menunjukkan PH memiliki kerusi terbanyak dengan 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi.

    BN yang menjadi kerajaan sejak merdeka sebelum dikalahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 pula hanya menguasai 30 kerusi.

    Dalam pada itu, Annuar berkata, atas permintaan ramai pihak, beliau akan menjawab semua soalan dalam sesi ‘Tiada Apa Perlu Disembunyikan Lagi’ menerusi siaran langsung di akaun Facebook miliknya dan saluran berkaitan pada jam 9 malam ini.

  • GPS menang di Parlimen Baram, sapu 23 kerusi keseluruhan

    GPS menang di Parlimen Baram, sapu 23 kerusi keseluruhan

    GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) semakin mengukuhkan kedudukannya di Dewan Rakyat setelah berjaya memperoleh kerusi Parlimen yang ke-23 bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menerusi kemenangan Datuk Anyi Ngau di Parlimen Baram hari ini. 

    Menerusi keputusan terkini di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Anyi yang juga penyandang kerusi berkenaan memenangi pertembungan tiga penjuru bagi kawasan itu dengan majoriti 7,339 undi selepas memperolehi 18,399 undi. 

    Beliau menewaskan Roland Engan daripada Pakatan Harapan dan calon Bebas Wilfredentika yang masing-masing hanya mendapat 11,060 dan 324 undi. 

    Terdahulu, SPR membuka 12 pusat mengundi di Parlimen Baram untuk proses pengundian PRU15 berlangsung, susulan beberapa pusat mengundi di situ digantung ekoran keadaan cuaca yang tidak baik pada hari pengundian (19 Nov).

    Dalam pilihan raya kali ini, GPS yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) bertanding di kesemua 31 Parlimen di Sarawak. – BERNAMA

    GPS, SPR, Baram, PRU15

  • Tuan Ibrahim ketuai rundingan bentuk kerajaan Pahang

    Tuan Ibrahim ketuai rundingan bentuk kerajaan Pahang

    PERIKATAN Nasional (PN) Pahang akan meneruskan rundingan bagi membentuk kerajaan negeri Pahang seberapa segera.

    Pengerusinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, dalam hal itu, Majlis Tertinggi PN telah melantik Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk mengetuai rundingan.

    Beliau bagaimanapun tidak disebutkan sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) yang terlibat dalam rundingan itu.

    “Setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pengundi di negeri Pahang yang telah memberi kemenangan kepada PN Pahang sehingga kami berada dalam kedudukan untuk membentuk kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini, lapor Sinar Harian.

    Pengerusi DAP Pahang pada Isnin mengesahkan PH bersetuju untuk bekerjasama dengan BN Pahang bagi membentuk kerajaan negeri.

    Kerajaan Negeri Pahang kini tergantung apabila tiada gabungan parti bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memperoleh majoriti.

    BN yang dijangka kembali menerajui kerajaan negeri dengan majoriti selesa dikejutkan PN yang menang dengan kelebihan satu kerusi DUN ketika ini.

    PN memenangi 17 kerusi di DUN Tanjung Lumpur, Cheka, Luit, Chenor, Bukit Ibam, Kuala Sentul, Damak, Pulau Tawar, Tahan, Jengka, Beserah, Pulau Manis, Lanchang, Kuala Semantan, Lepar, Sungai Lembing dan Panching.

    BN pula menang 16 kerusi di DUN Peramu Jaya, Jelai, Muadzam Shah, Dong, Guai, Kerdau, Kemayan, Benta, Inderapura, Jenderak, Padang Tengku, Batu Talam, Bebar, Chini, Pelangai dan Sabai manakala PH lapan kerusi iaitu DUN Tanah Rata, Teruntum, Tras,Triang, Mentakab, Semambu, Bilut dan Ketari.

  • Gabungan PH-BN: Ismail Sabri sedia dipecat dari UMNO?

    Gabungan PH-BN: Ismail Sabri sedia dipecat dari UMNO?

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob difahamkan tidak bersetuju dengan gabungan BN-PH dan sedia dipecat.

    Menurut sumber, Ismail Sabri mendedahkan perkara itu dalam kumpulan WhatsApp Ketua Bahagian UMNO.

    “Saya sedia dipecat. Tidak akan bersama PH,” tulis Ismail Sabri dalam kumpulan WhatsApp berkenaan yang turut dilihat Suara.TV.

    Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pagi ini turut bertegas dengan pendiriannya menolak kerjasama bersama PH.

    Ahli Parlimen Sembrong itu juga bersedia sekiranya dipecat parti kerana menyatakan pendiriannya.

    Pemimpin UMNO pada pagi ini mengadakan pertemuan bersama pimpinan PH di Hotel Seri Pacific.

    Difahamkan pertemuan kedua-dua parti itu dibuat bagi membentuk kerajaan persekutuan.

    Zahid mendakwa, seramai 26 Ahli Parlimen BN akan menyokong keputusan Dewan Tertinggi BN untuk bergabung dengan mana-mana parti.

    Ketika ini, kerajaan negeri di Perak dibentuk hasil daripada gabungan BN dan PH.

    Perkara sama juga difahamkan akan berlaku di Pahang.

  • ‘Kesabaran kami sudah maksimum, Zahid wajib letak jawatan segera’ – Annuar

    ‘Kesabaran kami sudah maksimum, Zahid wajib letak jawatan segera’ – Annuar

    GESAAN menuntut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO terus kedengaran daripada ahli-ahli parti itu selepas kekalahan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Terbaharu, beberapa Ketua Bahagian UMNO, berkumpul hari ini di Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di ibu negara, sejurus Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman kerjasama yang bakal dijalinkan dengan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan pusat.

    Antara Ketua Bahagian yang membuat desakan itu ialah Ketua Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa; Ketua Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Ketua Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif; Ketua Bahagian Batu, Datuk Yahya Mat Ghani dan beberapa pemimpin lain.

    Menurut Annuar, kesabaran yang telah diberikan untuk patuh segala kehendak Zahid telah dituruti sehingga di saat-saat terakhir.

    Sehubungan itu tegas Annuar, Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut perlu mengikut tradisi serta mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan terburuk BN dalam PRU15 dengan meletak jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

    Beliau menegaskan, tindakan itu penting untuk dilakukan Ahmad Zahid dalam memastikan proses pemulihan dalam UMNO dan BN mampu dilakukan seberapa segera.

    Malah katanya, pendirian yang dibuat oleh parti itu serta akar umbi sebelum sebelum ini telah bercanggah dengan naratif yang cuba dirintis oleh Zahid ketika ini.

    “Kenapa UMNO mesti merangkak untuk mengangkat DAP menjadi kerajaan?

    “Kami terpaksa membuat pendirian kerana pemimpin telah terbuka nak mengangkat DAP menjadi kerajaan, PH jadi kerajaan dengan Anwar menjadi Perdana Menteri… kami tak boleh diam diri lagi,” kata Annuar dalam sidang media, hari ini.

    Dalam pada itu, majoriti Ketua Bahagian UMNO setakat ini menentang hasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan PH.

    Kebanyakan mereka, jelas Annuar, redha dengan kekalahan UMNO/BN dalam PRU-15 dan rela menjadi pembangkang.

    Tegas Annuar, jika kengganan Zahid berterusan hanya akan memaksa ahli UMNO melakukan tindakan luar dugaan untuk memaksanya berundur.

    “Dalam UMNO kita ada pilihan-pilihan tertentu untuk itu, namun pada tahap ini tidaklah perlu dan lebih baik dia undur diri sekarang,” kata Annuar lagi, lapor Astro Awani.

    Annuar turut memberitahu, ketua-ketua bahagian akan mengadakan siri perbincangan selepas ini bagi menentukan hala tuju terbaik parti itu.

    Kata beliau lagi, kesabaran ahli-ahli UMNO ketika ini sudah sampai ke tahap maksimum dan Zahid perlu mendengar suara majoriti ahli parti.

  • BN belum buat keputusan dengan siapa nak gabung

    BN belum buat keputusan dengan siapa nak gabung

    DEWAN Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang bermesyuarat petang ini belum mencapai kata putus mengenai sokongan kepada gabungan mana untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

    Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, keputusan dijangka dapat diputuskan esok, mengambil kira tempoh yang lanjutan diberikan oleh Istana Negara kepada semua parti untuk menentukan gabungan.

    “Setakat ini kita belum ada keputusannya. Masih berbincang,” katanya turut menjelaskan sebarang kemungkinan masih boleh berlaku sama ada BN mahu menyokong Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH), seperti dilaporkan BH Online.

    Sementara itu, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, MIC menyokong sebarang keputusan yang bakal diputuskan BN.

  • ‘Perlis Baharu’ jadi topik perbualan rakyat

    ‘Perlis Baharu’ jadi topik perbualan rakyat

    ‘PERLIS Baharu’, itu antara topik hangat yang menjadi perbualan rakyat negeri ini selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran negeri daripada kerajaan BN.

    PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Tinjauan Bernama mendapati rakyat negeri ini telah bersedia untuk berada di bawah tampuk kerajaan PN yang menjanjikan slogan Perlis Baharu.

    Pekerja swasta, Shahril Abu Seman, 43, berkata, beliau berharap kerajaan PN dapat membawa perubahan kepada pembangunan negeri ini yang dilihat agak ketinggalan daripada negeri lain.

    “Perlis dilihat ketinggalan lima tahun kebelakang berbanding negeri lain, jadi kita harap pemimpin PN dapat menunaikan janji dan menjalankan tanggungjawab mereka kepada rakyat,” katanya kepada Bernama di Kangar, hari ini.

    Menurutnya, rakyat Perlis berani berubah memilih PN pada PRU15 kerana percaya dengan kemampuan gabungan parti itu dalam membawa perubahan kepada negeri ini.

    “Kita bagi kerajaan PN memerintah dahulu dalam tempoh lima tahun, jika gagal tunai janji kita akar tukar kerajaan lain pula,” katanya.

    Berkongsi pendapat yang sama seorang peniaga, Loo Chin Soon, 61, berkata, kerajaan sebelum ini juga bagus dalam menghulurkan bantuan, tapi PRU15 kali ini mungkin rakyat mahu kelainan dengan harapan mereka yang menang dapat memperkasakan lagi kehidupan masyarakat di Kangar.

    “Kerajaan sebelum ini pun baik-baik belaka tiada masalah, tapi PRU kali ini memang ada gelombang perubahan yang rakyat negeri Perlis mahu dan diharap mereka semua baik serta mampu menjalankan tugas,” kata.

    Sementara itu, Hasmizan Hussein, 43, yang bekerja sendiri, mengharapkan calon menteri besar mempunyai personaliti yang baik, mesra rakyat dan paling utama selalu ada ketika rakyat dalam kesusahan.

    “Saya melihat mereka yang menang ini boleh buat kerja, kita bagi mereka cuba dahulu kemudian baru nilai, dan paling utama selalu jumpa rakyat selain diharap dapat membangunkan Perlis menjadi negeri yang lebih maju,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, proses pembentukan kerajaan baharu di negeri ini berlangsung secara aman dan tidak timbul sebarang provokasi.

    “Alhamduillah keadaan di Perlis aman dan sehingga kini tidak berlaku sebarang kekecohan mahupun provokasi,” katanya.

  • PRU15: Tak mustahil PN berjaya bentuk kerajaan, kata Annuar Musa

    PRU15: Tak mustahil PN berjaya bentuk kerajaan, kata Annuar Musa

    BEKAS Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berpandangan adalah tidak mustahil Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu berjaya membentuk kerajaan ketika rundingan BN dan Pakatan Harapan (PH) belum dimuktamadkan.

    “Terdapat gerakan perang psikologi untuk mengaburi ahli-ahli UMNO dengan mereka-reka 10 justifikasi mengapa BN wajib bersama PH.

    “Sedangkan kita diberitahu, belum ada sebarang keputusan parti, di mana hasil rundingan perlu dibawa dan diluluskan Dewan Tertinggi BN untuk dipersetujui atau ditolak.

    “Tidak mustahil PN yang terlebih dahulu berjaya ‘Cross the line’,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook hari ini.

    Katanya, situasi semasa rundingan bagi membentuk kerajaan dengan mana-mana gabungan juga akan memperlihatkan ‘belang’ dan ‘warna’ sebenar pimpinan BN untuk dinilai.

    Ramai pemimpin akar umbi katanya, bersetuju UMNO dan BN kekal tidak menyokong mana-mana parti, sebaliknya kekal memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa.

    “Kita kini berpeluang perhatikan belang masing-masing dan menunjukkan warna sebenar untuk kita nilaikan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • 44 maut gempa 5.6 magnitud gegar Jawa Barat, kematian dijangka meningkat

    44 maut gempa 5.6 magnitud gegar Jawa Barat, kematian dijangka meningkat

    SEKURANG-KURANGNYA 44 orang maut selepas gempa bumi berukuran 5.6 magnitud menggegarkan wilayah barat Indonesia di Jawa Barat hari ini.

    Lapor agensi berita Reuters, seorang pegawai kerajaan tempatan Bandar Cianjur, Herman Suherman berkata, lebih 300 yang lain cedera di bandar itu.

    “Ini hanya daripada sebuah hospital dan terdapat empat hospital di Cianjur,” katanya, memberi bayangan bahawa angka kematian dan kecederaan boleh meningkat.

    Agensi Bencana Kebangsaan Indonesia bagaimanapun melaporkan 14 kematian, buat masa ini.

    Dalam pada itu, jurucakap pentadbiran tempatan di bandar Cianjur di Jawa Barat, Adam berkata, terdapat berpuluh-puluh orang terbunuh.

    “Beratus-ratus, malah mungkin beribu-ribu rumah rosak akibat gempa bumi itu,” katanya.

    Gempa berlaku pada pukul 13.21 waktu tempatan (0621 GMT) dengan pusat gempa terletak 10 kilometer (km) dari barat daya daerah Cianjur di wilayah Jawa Barat dengan kedalaman 10 km.

    Gegaran kuat yang dirasai di Jakarta menyebabkan penduduk bergegas keluar dari rumah dan bangunan.

  • PRU-15: ‘Ahmad Zahid curang kepada UMNO, ahlinya’ – Penganalisis

    PRU-15: ‘Ahmad Zahid curang kepada UMNO, ahlinya’ – Penganalisis

    RUNDINGAN antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) ketika ini dilihat bertentangan dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

    Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, rundingan itu sama ada membawa UMNO dan BN sebagai sebahagian kerajaan bersama PH atau sekadar menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri, membelakangkan suara akar umbi parti.

    “Rundingan berkenaan juga tidak melepaskan Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada bertanggungjawab terhadap prestasi buruk UMNO dan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” jelasnya.

    Sehubungan itu, beliau menegaskan walau apa juga keputusan rundingan ketika ini, sama ada BN menjadi kerajaan atau kekal sebagai pembangkang, Ahmad Zahid tetap perlu akur dengan desakan akar umbi yang mahukannya meletakkan jawatan.

    “Jika kerjasama BN dan PH ini berlaku, ia bertentangan dengan ketetapan PAU dan Ahmad Zahid perlu bertanggungjawab dengan tindakannya yang merosakkan UMNO.

    “Ahmad Zahid juga jelas menipu ahli UMNO dan menyalahgunakan PAU apabila sebelum ini menafikan ingin bekerjasama dengan Anwar dan DAP, tapi perkara itu kini terserlah benar.

    “Jelas, Ahmad Zahid curang pada parti dan ahlinya. Dengan pelbagai desakan di peringkat bahagian dan sayap serta pimpinan negeri, beliau nyata sudah kehilangan kepercayaan untuk memimpin UMNO dan BN, sekali gus perlu melepaskan jawatan untuk memulihkan parti,” katanya memetik laporan BH Online hari ini.

    Terdahulu, pemimpin utama PH dan sejumlah Ahli Parlimen PH hadir dalam pertemuan dengan pemimpin tertinggi dan Ahli Parlimen BN di Hotel Seri Pacific bersebelahan ibu pejabat UMNO di sini, hari ini.

    Pertemuan itu dipercayai bagi berunding usaha membentuk kerajaan antara kedua-dua pihak, berikutan tiada parti yang berjaya mendapatkan majoriti mudah 112 kerusi Parlimen dalam PRU15, Sabtu lalu.

    PAU 2020 yang diadakan pada Mac tahun lalu antara lain memutuskan untuk menolak kerjasama dengan Anwar, DAP dan BERSATU dalam PRU15.

    Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik turut berpandangan pimpinan tertinggi parti lain yang kalah pada PRU15 juga perlu meletakkan jawatan bagi membolehkan proses peremajaan dan pembaharuan parti masing-masing berjalan.

    “Bukan saja Presiden UMNO, tapi parti lain yang kalah teruk juga seperti Presiden MIC dan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) juga perlu lepaskan jawatan.

    “Ini penting untuk beri ruang pada pemimpin pelapis naik dan menyegarkan semua parti supaya mereka dapat bangkit semula dan tidak menjadi parti yang tewas selamanya dalam pilihan raya akan datang,” katanya.