‘PERLIS Baharu’, itu antara topik hangat yang menjadi perbualan rakyat negeri ini selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran negeri daripada kerajaan BN.

PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tinjauan Bernama mendapati rakyat negeri ini telah bersedia untuk berada di bawah tampuk kerajaan PN yang menjanjikan slogan Perlis Baharu.

Pekerja swasta, Shahril Abu Seman, 43, berkata, beliau berharap kerajaan PN dapat membawa perubahan kepada pembangunan negeri ini yang dilihat agak ketinggalan daripada negeri lain.

“Perlis dilihat ketinggalan lima tahun kebelakang berbanding negeri lain, jadi kita harap pemimpin PN dapat menunaikan janji dan menjalankan tanggungjawab mereka kepada rakyat,” katanya kepada Bernama di Kangar, hari ini.

Menurutnya, rakyat Perlis berani berubah memilih PN pada PRU15 kerana percaya dengan kemampuan gabungan parti itu dalam membawa perubahan kepada negeri ini.

“Kita bagi kerajaan PN memerintah dahulu dalam tempoh lima tahun, jika gagal tunai janji kita akar tukar kerajaan lain pula,” katanya.

Berkongsi pendapat yang sama seorang peniaga, Loo Chin Soon, 61, berkata, kerajaan sebelum ini juga bagus dalam menghulurkan bantuan, tapi PRU15 kali ini mungkin rakyat mahu kelainan dengan harapan mereka yang menang dapat memperkasakan lagi kehidupan masyarakat di Kangar.

“Kerajaan sebelum ini pun baik-baik belaka tiada masalah, tapi PRU kali ini memang ada gelombang perubahan yang rakyat negeri Perlis mahu dan diharap mereka semua baik serta mampu menjalankan tugas,” kata.

Sementara itu, Hasmizan Hussein, 43, yang bekerja sendiri, mengharapkan calon menteri besar mempunyai personaliti yang baik, mesra rakyat dan paling utama selalu ada ketika rakyat dalam kesusahan.

“Saya melihat mereka yang menang ini boleh buat kerja, kita bagi mereka cuba dahulu kemudian baru nilai, dan paling utama selalu jumpa rakyat selain diharap dapat membangunkan Perlis menjadi negeri yang lebih maju,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, proses pembentukan kerajaan baharu di negeri ini berlangsung secara aman dan tidak timbul sebarang provokasi.

“Alhamduillah keadaan di Perlis aman dan sehingga kini tidak berlaku sebarang kekecohan mahupun provokasi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here