Author: Wartawan WartaRakyat

  • Muhyiddin, Anwar tiba di Istana Negara

    Muhyiddin, Anwar tiba di Istana Negara

    PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong petang tadi.

    Kenderaan membawa Anwar dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilihat memasuki Pintu 2, Istana Negara, Kuala Lumpur pada pukul 4.10 petang.

    Sementara kenderaan membawa Muhyiddin juga dilihat memasuki Pintu 2, Istana Negara kira-kira pukul 4.05 petang, lapor Utusan TV.

    Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya ketua gabungan PH dan PN menghadap pada pukul 4.30 petang ini di Istana Negara.

    Kenderaan yang membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba jam 4.12 petang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid (Warta Rakyat)

    Justeru, pemimpin-pemimpin daripada kedua-dua gabungan itu termasuk Anwar dan Muhyiddin akan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ini selepas memandangkan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah.

    Menurut beliau, Istana Negara hari ini telah menerima pemakluman berkenaan gabungan parti-parti politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi pembentukan kerajaan baharu daripada ketua parti-parti dan ketua gabungan parti-parti politik yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen banyak susulan keputusan PRU-15.

    Bersama pemakluman tersebut, Ahmad Fadil berkata, ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik berkenaan turut mengemukakan pencalonan bakal Perdana Menteri Ke-10 kepada Istana Negara.

  • BN tewas, perjanjian dengan GRS terbatal

    BN tewas, perjanjian dengan GRS terbatal

    PERJANJIAN kerjasama di antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Barisan Nasional (BN) Sabah menjadi terbatal apabila BN tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu.

    Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor berkata, perjanjian dipersetujui GRS dan BN sebelum ini adalah GRS akan memberi sokongan kepada UMNO/BN jika parti itu layak membentuk kerajaan dan pemimpinnya menjadi Perdana Menteri.

    “Bagaimanapun, apabila BN kalah dan UMNO tidak layak menjadi Perdana Menteri, maka perjanjian itu tidak sah dengan sendirinya.

    “Perlu ditegaskan tiada janji sebelum pilihan raya dengan orang (pihak) lain termasuk dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan, hari ini, memetik laporan BH Online.

    Semalam, Hajiji dalam kenyataannya berkata, pendirian GRS untuk menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan membentuk kerajaan.

    Sementara itu, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, GRS menolak dakwaan BN Sabah bahawa GRS mengisytiharkan ‘perang’ terhadap BN seperti dituduh pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, semalam.

    Hajiji berkata, GRS tidak pernah mengisytiharkan perang terhadap BN seperti yang didakwa Bung Moktar.

    “Kita tidak ada apa-apa alasan atau perlu isytihar perang terhadap BN. Malah, dalam PRU15, GRS dan saya sendiri turun padang berkempen membantu calon BN di kawasan mereka,” katanya.

    Tuduhan Bung Moktar itu dikaitkan dengan keputusan GRS menyokong PN dalam soal pemilihan Perdana Menteri dan kerajaan baharu Persekutuan.

    Hajiji juga menafikan dakwaan beliau bersama Ahli Parlimen Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Bebas menemui Tan Sri Muhyiddin di kediaman pemimpin berkenaan di Kuala Lumpur.

    “Mereka berjumpa dengan Tan Sri (Muhyiddin) atas kerelaan sendiri dan saya tidak terbabit langsung pada perjumpaan itu.

    “Saya berharap UMNO/BN akan terus bekerjasama mentadbir negeri ini selaras dengan mandat diberikan rakyat kepada kerajaan GRS-BN pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16),” katanya.

  • Agong titah Muhyiddin, Anwar menghadap petang ini

    Agong titah Muhyiddin, Anwar menghadap petang ini

    YANG di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menitah perkenan untuk ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menghadap di Istana Negara pada pukul 4.30 petang ini.

    Ini susulan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

    “Setelah dipersembahkan hasil pengesahan calon-calon PM, adalah didapati bahawa tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai PM seperti yang diperuntukkan Perkara yang tersebut di atas,” kata Istana Negara menerusi satu kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Sultan Abdullah menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan PM ke-10 selesai.

    “Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya.

    Sebelum ini ketika ditemui media, Sultan Abdullah berkata, baginda tidak dapat mendedahkan apa-apa kerana ‘belum melihat apa-apa lagi’.

    Ini berlaku selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan Barisan Nasional (BN) tidak akan menyokong PH atau PN untuk membentuk kerajaan dan kekal sebagai pembangkang.

  • PM Ke-10: Agong putuskan dalam masa terdekat, minta rakyat sabar

    PM Ke-10: Agong putuskan dalam masa terdekat, minta rakyat sabar

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan membuat keputusan berhubung pelantikan Perdana Menteri ke-10 dalam masa terdekat.

    Titah Seri Paduka Baginda, rakyat diminta agar bersabar dan bersifat rasional selain perlu bergerak ke hadapan untuk negara tercinta.

    “Bersabar, terima keputusan rakyat, terima keputusan wakil rakyat dan terima keputusan Yang Dipertuan Agong.

    “Itu sahaja, biar saya buat keputusan dalam masa terdekat ini,” titah baginda ketika bertanya khabar pengamal media di hadapan pintu 2, Istana Negara, hari ini.

    Sebelum itu, Seri Paduka Baginda yang memandu sendiri kenderaan masuk semula ke Istana Negara selepas meninggalkan Istana pada pukul 12.07 tengah hari.

    Baginda turut bertitah, baginda tidak boleh mendedahkan kerana tidak menerima makluman terbaru.

    “Saya baru balik, nak tengok siapa ada majoriti, mudah-mudahan Insya-Allah,” titah baginda, lapor Harian Metro.

    Istana Negara terus menjadi tumpuan apabila gabungan parti politik yang dipersetujui perlu mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri Ke-10 kepada Yang di-Pertuan Agong, sebelum jam 2 petang ini.

    Ketua parti dijangka dipanggil untuk menghadap bagi Seri Paduka mendapatkan kepastian sendiri daripada mereka mengenai pendirian gabungan blok parti.

  • Pukul isteri: Suami bekas penyanyi dihukum penjara tiga bulan denda RM2,000

    Pukul isteri: Suami bekas penyanyi dihukum penjara tiga bulan denda RM2,000

    AHLI perniagaan yang juga suami bekas penyanyi dihukum penjara tiga bulan dan denda RM2,000 di Mahkamah Majistret Kajang hari ini selepas didapati bersalah memukul isterinya.

    Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Reduan Mahamood, 58, yang mengaku bersalah.

    Sekiranya tertuduh gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan tertuduh dikenakan tambahan hukuman penjara selama sebulan.

    Nik Siti Norazlini dalam hujahnya turut menasihati tertuduh dan mengharapkan hukuman itu dapat memberi pengajaran kepadanya.

    “Seorang isteri adalah pendamping bukannya ‘punching bag’. Saya harap hukuman ini dapat memberi pengajaran kepada kamu. Jangan buat lagi pada anak, isteri dan kepada sesiapa sekali pun,” katanya, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Adriana Mohd Arif, 45, dengan memukul serta menendang mangsa.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Batu 9, Cheras, di sini, pada 14 November lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shafiq Ahmed Bazari.

    Terdahulu, Mohd Shafiq memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap Reduan dengan alasan dia sudah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan itu.

    Malah katanya, tertuduh yang juga menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi adalah penyara utama keluarga.

    Bagaimanapun Norfarhanim memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya sebagai pengajaran supaya tertuduh lebih bijak dalam mengambil sebarang tindakan pada masa akan datang.

    Pada 19 November lalu, Harian Metro melaporkan polis menahan bekas suami penyanyi dangdut yang memukul isterinya sebelum kejadian itu tular di media sosial, baru-baru ini.

    Kejadian itu dirakam seorang individu sebelum dimuat naik di media sosial sehingga tular pada 17 November lalu.

    Video berdurasi satu minit tujuh saat itu memaparkan lelaki berambut panjang menarik tudung wanita berkenaan sebelum mangsa di heret dan di tendang berkali-kali di muka serta badan.

    Rakaman juga menunjukkan kanak-kanak perempuan menangis sambil mengangkat tangan sebagai tanda memohon maaf kepada individu terbabit.

  • Warga emas didenda RM30,000 abai anjing peliharaan hingga mati

    Warga emas didenda RM30,000 abai anjing peliharaan hingga mati

    SEORANG warga emas dijatuhi hukuman denda sebanyak RM30,000 atau lapan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda itu selepas didapati bersalah mengabaikan empat ekor anjing peliharaan sehingga menyebabkan seekor daripadanya mati dua tahun lalu.

    Hukuman itu diputuskan Hakim Mazdi Abdul Hamid ke atas tertuduh, Ho Yuh Ma, 63, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan itu di Mahkamah Sesyen, di Georgetown hari ini.

    Mengikut pertuduhan, Yuh Ma selaku orang kena saman (OKS) didapati secara tidak munasabah meninggalkan empat ekor anjing tanpa jagaan, makanan dan minuman hingga menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya sehingga salah seekornya mati di tempat kejadian.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Sam Ah Chow, Tanjong Bunga di Georgetown, 17 Julai 2020.

    Tertuduh yang bekerja sendiri dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Sesyen 29(1)(e)Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 29(1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Raya Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Roziman Awang Tahrin dan Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Baldev Singh Bhar.

    Ketika prosising kes, Roziman memohon mahkamah mengambil kira sensitiviti kes tersebut yang telah menyebabkan kematian seekor anjing selain menetapkan hukuman berat berbentuk pengajaran terhadap OKS supaya perkara sama tidak berulang.

    “Hukuman itu juga dapat memberi mesej kepada masyarakat supaya tidak mengabaikan kebajikan haiwan,” katanya.

    Difahamkan tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut.

  • Zahid Hamidi tiada lagi autoriti moral buat keputusan – Khairy

    Zahid Hamidi tiada lagi autoriti moral buat keputusan – Khairy

    PERUNDINGAN pembentukan kerajaan baharu membabitkan Barisan Nasional (BN) tidak boleh melibatkan Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana Ahmad Zahid tidak lagi mempunyai keabsahan moral selaku Presiden UMNO dan mesti diundurkan segera.

    “Perundingan pembentukan kerajaan baharu tidak boleh melibatkan Dr. Zahid Hamidi. Beliau tiada lagi keabsahan moral selaku presiden UMNO dan mesti undur segera.

    “Beliau mungkin masih lagi presiden pada nama, tetapi dia tiada lagi autoriti moral untuk membuat keputusan bagi pihak UMNO,” katanya, lapor SatuBerita.

    Khairy berkata demikian dalam satu ciapan di akaun Twitter rasmi beliau hari ini.

    Pembentukan kerajaan baharu dan calon Perdana Menteri Ke-10 dijangka diputuskan hari ini, terarah kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    PH dan PN adalah dua blok parti politik yang mendapat jumlah kerusi Dewan Rakyat tertinggi pada PRU15, Sabtu lalu.

    PH memperoleh 82 kerusi, manakala PN 73 kerusi, namun tidak cukup untuk majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

    Kedua-dua blok parti itu memerlukan sokongan Ahli Parlimen mewakili gabungan parti lain, termasuk BN yang menang 30 kerusi bagi mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

  • PN Perak belum putuskan ketua pembangkang

    PN Perak belum putuskan ketua pembangkang

    PERIKATAN Nasional (PN) Perak belum memutuskan siapakah akan mengepalai ketua pembangkang negeri itu selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri yang baharu semalam.

    Timbalan Pengerusi PN 1 Perak, Razman Zakaria berkata, segala keputusan berkenaan akan dibuat dalam mesyuarat pada satu tarikh yang diputuskan kelak.

    “Kita tak tahu (ketua pembangkang Perak). Biarlah mesyuarat akan menentukan nanti,” ujarnya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Ditanya sama ada wakil PN atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipilih sebagai ketua pembangkang, Razman juga menyerahkan kepada mesyuarat pucuk pimpinan.

    Sementara itu, diminta mengulas gabungan BN dan PH yang membentuk kerajaan negeri Perak semalam, Razman menyatakan mereka tetap berpegang kepada prinsip perjuangan.

    “Terpulang kepada UMNO yang bergabung dengan PH, kami tetap ada prinsip,” katanya.

    Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diumum pada Sabtu menyaksikan PH berjaya memenangi 24 kerusi dan BN sembilan kerusi manakala PN mendapat 26 kerusi.

    Selepas PRU14 lalu, pentadbiran kerajaan Perak yang diwakili 59 kerusi DUN telah bertukar sebanyak tiga kali.

  • PN tak pernah bawa naratif berbaur perkauman, tolak budaya pecah kaum

    PN tak pernah bawa naratif berbaur perkauman, tolak budaya pecah kaum

    PEMUDA Perikatan Nasional (PN) menegaskan gabungan parti itu tidak pernah sama sekali membawa naratif berbaur perkauman sebaliknya menolak budaya memecah belahkan kaum dan agama.

    Timbalan Ketua Penerangan 1 PN, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, teras yang didakap menerusi Rukun Negara adalah sandaran bagi setiap anggota dalam parti.

    “Jelas dalam PN ada berbilang kaum dan agama serta pegangan yang saling menghormati sebegitu atas semangat integrasi, kemakmuran dan konsosiasionalisme politik selaku teras.

    “Islam melarang sama sekali penganutnya untuk berbuat rasis terhadap kepercayaan lain dalam dunia selain teras yang didakap menerusi Rukun Negara adalah sandaran kami,” katanya hari ini.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani semalam berkata, polis memberi peringatan dan penegasan kepada pengguna media sosial agar mengekang diri daripada menyalahgunakan platform tersebut.

    Katanya, polis juga mengeluarkan amaran ekoran banyak kandungan media sosial menyentuh sentimen perkauman dan keagamaan serta menghina institusi diraja sejak PRU15 berlangsung.

    Bagaimanapun beliau yang juga Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, tidak dinafikan kadang-kadang ada dalam kalangan penyokong terbawa-bawa dengan sentimen atas kerisauan tertentu.

    “Ini kerana polarisasi politik yang sekian lama dibakar oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

    “Oleh itu, mewakili suara anak muda khususnya dalam parti Melayu yang moderat dan progresif maka kita menolak sekerasnya budaya kebencian ini,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • 209 kes penderaan kanak-kanak di Pulau Pinang tahun ini setakat September lalu

    209 kes penderaan kanak-kanak di Pulau Pinang tahun ini setakat September lalu

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini diberitahu terdapat sebanyak 209 kes penderaan melibatkan kanak-kanak direkodkan berlaku di negeri itu dari bulan Januari sehingga September tahun ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Chong Eng berkata, daripada jumlah itu, jenis penderaan melibatkan seksual adalah sebanyak 91 kes; pengabaian (67); fizikal (42) dan emosi (9).

    Bagaimanapun ujar beliau, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa memberikan langkah segera dan sokongan kepada mangsa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

    “Antara SOP itu adalah JKM menyelamatkan kanak-kanak mangsa dera berkenaan dalam tempoh 10 jam selepas aduan atau maklumat berkaitan penderaan diterima.

    “JKM juga akan membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya jika ada keperluan dan pengesahan pegawai perubatan berkaitan penderaan,” katanya.

    Chong Eng (DAP-Padang Lalang) menjawab soalan A. Kumaresan (PKR-Batu Uban) mengenai jumlah kes penderaan kanak-kanak yang berlaku di negeri itu sepanjang tahun ini.

    Selain itu, Chong Eng berkata, perintah sementara di bawah Seksyen 19, Akta Kanak-Kanak 2001 dan perintah tetap dibawah Seksyen 30 Akta Kanak-Kanak 2001 akan diperoleh daripada mahkamah untuk menempatkan kanak-kanak mangsa dera di bawah jagaan orang yang layak dan sesuai atau ditempatkan di tempat selamat.

    Dalam masa sama katanya, JKM juga akan memberikan khidmat nasihat dan intervensi kaunseling juga akan diberikan kepada mangsa dera.

    “Pasukan perlindungan kanak-kanak yang telah dilantik di bawah Seksyen 7, Akta Kanak-Kanak 2001 juga memainkan peranan dalam melaksanakan program advokasi berkaitan penderaan kanak-kanak di peringkat komuniti setempat,” ujar beliau.

    Jelas beliau, antara faktor dan punca berlakunya penderaan kanak-kanak adalah disebabkan masalah kewangan; kecuaian ibu bapa atau pengasuh; pendera terlibat dengan jenayah; kanak-kanak mengikut teman lelaki dan banyak lagi.